|
TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah
|
|
بسم
الله الرحمن
الرحيم نحمده
ونصلى على
رسوله الكريم PEMBENTUKAN
JIWA REMAJA YANG BERTAQWA OLEH: MUHAMMAD
‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Pembentukan
jiwa remaja yang bertaqwa merupakan satu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh
semua pihak, selain daripada tanggungjawab peribadi orang yang berkenaan itu
sendiri. Dengan pembentukan jiwa yang bertaqwa dalam golongan remaja maka
keluarga yang bertaqwa dan masyarrakat bertaqwa boleh dijayakan; kalau
sebaliknya maka keluarga dan masyarakat demikian tidak boleh dijayakan; ini
kerana golongan remaja adalah mereka yang mewarisi segalanya dari generasi yang
terdahulu daripada mereka. 2.
Yang dimaksudkan golongan remaja ialah mereka yang berada dalam had umur
yang di bawah daripada tiga puluhan tahun; tetapi dalam penggunaan biasa
sekarang mereka itu adalah golongan yang berada dalam belasan tahun dan sebelum
tiga puluh tahun; bahkan ada yang menghadkannya kepada belasan tahun.
Bagaimanapun pembahagiannya belia atau remaja yang akil baligh dalam Islam
dianggap mukallaf iaitu bertanggungjawab tentang amalan-amalannya, dan ia
mendapat pahala dengan kebaikan yang dilakukannya dan dosa dengan kejahatan yang
dilakukannya. Ketaqwaan 3.
Ketaqwaan sedemikian pentingnya sehingga al-Quran menyebutnya beberapa
kali. Antaranya:
Dan
banyak lagi ayat-ayat tentang kewajipan bertaqwa itu. 4.
Antaranya juga sebutan tentang taqwa sebagai bekalan terbaik:
5.
Yang dimaksudkan ketaqwaan di atas ialah melakukan suruhan Allah dan
menjauhkan larangan-laranganNya. Dengan itu ianya kadang-kadang diterjemahkan
sebagai takutlah kepada Allah, atau jagalah diri daripada kejahatan, atau
laksanakanlah tugas-tugas, atau kasihkan Allah, atau sedar tentang Allah (“God
consciousness). Ianya takut bercampur dengan kasih dan penghormatan yang teramat
sangat. Bagaimana
Membina ketaqwaan 6.
Ketaqwaan adalah kurnia Allah kepada para hambaNya yang dikasihinya. Yang
boleh dilakukan oleh seseorang itu ialah mukaddimahnya; iaitu antaranya dengan
membentuk kefahaman yang benar tentang aqidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah yang
merupakan satu-satunya sahaja aqidah yang benar berdasarkan kepada Quran, Sunnah
dan ijma’ ulama dalam umat ini. Mengenal
Sifat-Sifat Allah 7.
Hendaklah pengetahuan tentang Allah diketahui dengan baik dengan
sifat-sifatNya: AdaNya, SedakalaNya, KekalNya, Menyalahi Yang BaharuNya, Berdiri
SendiriNya, WahdaniyahNya, Sifat IlmuNya, HayatNya, KuasaNya, KehendakNya,
MendengarNya, MelihatNya, Berkata-kataNya. Ini mesti diketahui dengan jelas dan
yakin. 8.
Hendaklah diketahui Ianya Maha Melihat, maka kita mesti memerhatikan diri
kita supaya selalu taat kepadaNya dan tidak derhaka kepadaNya. Kalau tersilap
derhaka hendaklah dengan segera bertaubat kepadaNya dan jangan tangguhkan lagi
taubat itu, sebab menangguh-nangguhkan taubat adalah satu dosa yang lan pula.
Juga hendaklah diketahui SifatNya Mengintai dan memerhati hambaNya - ar-raqib;
dengan itu hendaklah hamba menjaga segala perbuatan dan tutur katanya. Juga
hendaklah diketahui dan diyakini bahawa Ia Maha Kuasa dan Maha Hebat, dengan itu
timbul gerun dalam hati untuk derhaka kepadaNya. Hendaklah diketahui Ia Maha
Pemurah dalam memberikan kurnia dan memberikan pahala, tetapi dalam masa yang
sama paling Kuat MarahNya dan Berat AzabNya. Dengan itu kita mengharapkan
pahalaNya dengan melakukan kebajikan dan kita meninggalkan kejahatan untuk
mengelak diri daripada dosa dan azab. Nau’dhu billahi min dhalik. 9.
Hendaklah kita mengetahui perjalanan mereka yang solih bagaimana mereka
selamat dengan taat kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, dan bagaimana pula
mereka yang derhaka itu terkena bala dan dihukum di Akhirat. 10.
Hendaklah juga kita mengenali sejarah dan memerhatikan bagaimana
bangsa-bangsa dan orang-orang perseorangan yang taat selamat dan mereka yang
mengamalkan nilai-nilai yang jahat binasa dan musnah. Perlaksanaan
Tugas-Tugas Kerohanian: 11.
Juga hendaklah kita menjaga ketaqwaan kita dengan menjalankan tugas-tugas
kerohanian kita seperti sembahyang, puasa, zakat dan lainnya, termasuk membaca
Quran dengan memahami maknanya dan juga mengingati nama-nama Allah dengan
mengamalkan zikir-zikir dan wirid-wirid serta doa-doa . 12.
Sembahyang itu hendaklah dilakukan dengan menyempurnakan bersuci, wudhu
dan tayammumnya (bila diperlukan). Sembahyang yang sah ialah sembahyang dengan
menunaikan rukun tiga belasnya seperti niatnya yang betul, bacaan fatihahnya
yang sah, berdirinya, takbiratyul-ihramnya, ruku’nya, I’tidanya, sujudnya,
duduk antara dua sujudnya, sujud keduanya, tahiyat awal dan akhirnya,
tama’ninahnya, tahiyat akhirnya dengan syahadahnya, selawat kepada nabinya,
demikian seterusnya sampai kepada salamnya. 13.
Selain daripada rukun tiga belas itu hendaklah diamalkan “rukun hatinya”
pula sebagaimana yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali rd, iaitu: faham
bacaan-bacaan, (seperti doa iftitah, fatihah, tasbih ruku’, tasbih sujud, doa
antara dua sujud, bacaan dalam tahiyat awal dan akhir, dan lain-lain bacaan di
dalamnya), hadhir hati dan ingat ianya berada dalam sembahyang, rasa takut
terhadap Allah, rasa ta’zim dan memuliakanNya yang amat sangat, harap kepada
rahmatNya, keampunanNya, dan redhaNya, serta malu terhadapNya. Dengan ini
sembahyang akan berkesan; dengan itu betullah apa yang dinyatakan dalam Quran
dalam ayat yang bermaksud “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada
kerja-kerja yang keji dan perbuatan-perbuatan yang munkar” (Surah ‘Ankabut
ayat45). 14.
Puasa pula hendaklah dengan menjaga diri daripada membatalkan puasanya
dengan tidak makan dan minum dan sebagainya. Juga hendaklah dijayakan puasa
dengan mengawal anggota badan kita daripada melakukan kemaksiatan dengan tangan,
kaki, mata, telinga, lidah, dan kemaluan. Bahkan jangan kita melakukan
kemaksiatan dengan berfikir tentang perkara-perkara yang ditegah. 15.
Membaca Quran hendaklah dilakukan dengan baik dan dengan memahami
makna-maknanya misalnya sebagaimana yang ada dalam “Tafsir Pimpinan al-Rahman
kepada Pengertian al-Quran”. Setiap orang pelajar sepatutnya memiliki tafsir
Quran seorang sebuah. Dan hendaklah ianya dijadikan bacaan yang tetap setiap
hari. Antara orang moden terkenal yang tidak renggang daripada Quran ialah
penyaer Islam Muhammad Iqbal rh dari masa kecil sampai ia dewasa dan meninggal
dunia. 16.
Demikian pula hendaklah para remaja mempelajari doa-doa harian supaya
ianya boleh diamalkan. Dan doa adalah amalan yang sangat mendatangkan kesan
selain daripada usaha kita sendiri. Bayangkan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w.
muncul dalam dunia kerana keberkatan doa Nabi Ibrahim yang bermaksud “Wahai
Tuhan bangkitkanlah di kalangan bangsa Arab itu seorang rasul yang membaca
kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar kepada mereka Kitab dan Hikmah
Kebijaksanaan dan menyucikan mereka (daripada kesyirikan dan kemaksiatan)”.(Surah
al-Baqarah ayat 129). Doa-doa harian seperti doa-doa selepas sembahyang, doa
ketika mahu membaca buku-buku pelajaran, doa-doa ketika hendak menghadapi
peperiksaan, ketika menghadapi pelbagai kesusahan dalam hidup. Hendaklah
amalan-amalan ini dilakukan semenjak kecil dan belia lagi. Termasuk ke dalamnya
amalan-amalan zikir lepas sembahyang seperti amalan “Subhana’Llah”, “al-Hamduli’Llah”,
“Allahu Akbar”, dan “la ilaha illa’Llah” , dan selawat kepada Nabi
s.a.w. dan seterusnya. Mengamalkan
akhlak yang baik: 17. Mengamalkan akhlak yang baik adalah satu daripada jalan-jalan yang paling penting dalam membentuk jiwa bertaqwa dalam diri para remaja dan belia sama ada lelaki atau wanita. 18.
Akhlak yang baik sedemikian penting sehingga dalam al-Quran Nabi Muhammad
s.a.w. dipuji oleh Allah dengan menyebutnya dari segi akhlaknya, sebagaimana
yang jelas dalam ayat yang bermaksud “Sesungguhnya akhlak tuan hamba
sungguhnya hebat wahai Muhammad” (Surah al-Qalam ayat 4). Dan dalam hadith
riwayat Abu Daud dinyatakan bahawa Nabi s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan
akhlak yang mulia. Dan di kalangan sarjana Barat terkenal bahawa pimpinan
Rasulullah s.a.w. berkesan “by sheer moral force” kerana akhlaknya yang
sedemikian bertenaga. 19.
Sifat-sifat yang mulia itu hendaklah difahami dan diyakini kebaikannya
bagi membentuk ketaqwaan, mulai dengan sifat-sifat yang ada pada Nabi s.a.w.
sendiri - sidik (benar), amanah, tabligh (menyampaikan kebenaran) dan fatanah
atau kebijaksanaan (dan kita menjadi bijaksana kerana kita menumpang
kebijaksanaan Allah dan RasulNya dengan kita memahami Quran dan Sunnahnya dan
kitab-kitab ulama yang menghuraikan kedua-duanya). Hendaklah kita berperagai
dengan perangai yang baik seperti pemurah, ikhlas, rajin dalam kebajikan, tepat
menunaikan janji, peramah, suka menolong orang yang memerlukan pertolongan,
sabar, tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan
yang baik. 20.
Dan boleh disebutkan bahawa sebagai pelajar perlu dijaga, untuk menjaga
ketaqwaan: keimanan yang kuat, pengabdian kepada Tuhan, akhlak yang mulia,
mengambil berat tentangt usaha mempelajari ilmu, samaada ilmu keagamaan atau
juga ilmu-ilmu lainnya yang bermanafaat dalam rangka fardhu kifayah, disiplin
dalam hidup dengan penuh tertib dalam semua perkara: dalam ibadat, belajar,
pergaulan, dengan guru dan ibu bapa serta kawan-kawan dan seterusnya, serta
sifat gigih atau bersungguh-sungguh. 21.
Dan dalam hubungan dengan pelajar juga perlu disebut sifat-sifat taqwa
sebagai pelajar: bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu kerana Allah dan
kerana hendak memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat serta negara
dan ummat Islam, bahkan ummat manusia amnya. Juga hendaklah dijayakan budaya
membaca dan mencatit secara berkesan, juga budaya membeli buku bila ada
kemampuan. Menjaga
aturan-aturan Syara’ 22.
Selain daripada itu hendaklah para pelajar membentuk ketaqwaan diri
dengan memahami aturan-aturan Syara’ dan mengamalkannya dalam hidup harian.
Dengan menjaga aturan-aturan haram-halal dalam Syara’
itu maka para pelajar dan belia akan mendapat kejayaan dalam hidup dan
keberkatan. Kisah-Kisah
Hidup Peribadi Utama Dalam Sejarah 23.
Antaranya dalam rangka membina ketaqwaan dalam diri hendaklah para belia
mendedahkan dirinya kepada kisah-kisah kehidupan peribadi-peribadi utama dalam
ummat ini seperti Nabi Muhammad s.a.w., para Sahabat, lelaki atau perempuan,
para tabi’in, para pemimpin Islam, juga para ulama dan ahli pengetahuannya
seperti Imam-imam yang empat, Imam al-Ghazali, ibn Khaldun, Salahud-Din Ayyubi,
Iqbal, ‘Alauddin Ri’ayat Syah, Bendahara Tun Perak, dan seterusnya. Menjaga
Jatidiri Melayu Islam Sunni Nusantara 24.
Hendaklah para belia mengelak diri daripada dirosakkan jatidiri Melayu
Islamnya dengan mengamalkan budaya asing seperti budaya barat atau Amerika
dengan melampau-lampau memuja cara pergaulan mereka, pakaian mereka, hiburan
mereka, filem mereka, minuman mereka dan budaya “celebrity” mereka. Kita
perlu kembali kepada jatidiri Melayu Muslim dan berbangga dan merasa diri
terhormat dengan jatidiri itu. Maruah
Diri, Keluarga,Masyarakat dan Ummat 25.
Hendaklah setiap belia merasa terpanggil untuk menjaga maruah diri
sebagai Melayu Muslim di rantau Nusantara, maruah bangsanya, dan maruah
masyarakat islam serta maruah keluarga. Maruah keluarga ini adalah pengajaran
Quran, sebab itu bila Siti Maryam a.s. membawa Saidina ‘Isa a.s. dia ditanya
“Wahai Maryam ibu bapa anda bukan orang yang jahat …” yang menunjukkan
bahawa terlalu amat penting dijaga maruah keluarga. Ini berlawanan sekali dengan
sikap setengah orang yang nafsi-nafsi tanpa berfikir tentang maruah diri,
keluarga, bangsa dan ummat. Kesimpulan: 26. Jelas boleh dinyatakan bahawa ketaqwaan dalam erti menjaga diri supaya sentiasa melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan menjauhi larangan-larangannya merupakan kunci kebahagiaan dan kejayaan hakiki dunia dan akhirat zahir dan batin peribadi dan kolektif. Ianya perlu dijaga dengan mengusahakan - dengan izin Allah - keimanan dalam diri, pengabdian kepada Allah, akhlak yang tinggi, mengelak daripada akhlak yang hina, menyuburkan budaya ilmu dalam diri dan kemahiran dalam perkara yang berguna, serta mengamalkan hidup berdisiplin dan mengadakan hubungan yang baik dengan orang-orang dalam masyarakat bermula dengan ibu bapa, para guru dan rakan-rakan. Peribadi yang penuh keimanan, ketaqwaan, keilmuan dan kemahiran serta akhlak yang baik berdisiplin tinggi seta dengan jatidiri yang kental inilah yang merupakan aset tertinggi umat ini yang menjamin kejayaan dunia dan akhirat, dari peringkat nasional sampai ke peringkat internasional dengan izin Allah. Wallahu
a’lam.
|
|