|
|
بسم
الله الرحمن
الرحيم نحمده
ونصلى على
رسوله الكريم BEBERAPA ASPEK DARI PEMIKIRAN HAMKA TENTANG PENDIDIKAN
OLEH: MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY Haji
‘Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) (lahir 1908) -Allahu yarhamuh- adalah
seorang daripada para ulama dan pemikir Islam agung di Dunia Melayu Sunni ini.
Pemikiran dan ajarannya yang menyentuh pendidikan Islam antaranya boleh
diperhatikan daripada hasil karya prosanya seperti “Tasauf Moden”, “Pelajaran
Agama Islam”, “Falsafah Hidup”, apa lagi tafsirnya “Tafsir al-Azhar”,
juga “Sejarah Umat Islam” dan beberapa karangannya lagi yang penting,
termasuk “Tasauf Dari Abad ke Abad”. “Tasir al-Azhar merupakan tafsir Qur’an
terbesar dalam Bahasa Melayu yang bukan bersifat terjemahan. Untuk
kertas ini, oleh kerana keterbatasan masa, maka dimanafaatkan antaranya “Tasauf
Moden”, “Pelajaran Agama Islam” dan “Falsafah Hidup”, juga
bahagian-bahagian yang berkaitan dari “Tafsir Al-Azhar”. Maka
dalam nota ini, insya Allah, akan diberikan perhatian kepada beberapa aspek yang
menyentuh pendidikan dalam karya Buya Hamka seperti huraian psikologi rohaniah
yang merupakan perkara dasar dalam pembentukan peribadi manusia, kebahagian
manusia yang terletak pada pengembangan aspek-aspek itu sewajarnya, panduan
ajaran Nabi selain daripada Quran dalam hal yang berkenaan, unsur-unsur yang
perlu dibentuk dalam diri manusia, kepentingan membangun akal, darjah-darjah
akal manusia, hubungan akal dengan ilmu, kedudukan pengalaman, kedudukan iradah
dan kepentingannya, kategori-kategori nikmat Ilahi yang mesti dimenafaatkan dan
disyukuri, kedudukan pengelaman hidup dalam pendidikan, kepentingan pendidikan
rohani dan akhlak, pendidikan akidah, ciri-ciri peribadi yang unggul, dan
pendidikan kanak-kanak dan muda mudi. Juga kategori sifat-sifat unggul
manusiawi.
Aspek-aspek
pendidikan dalam karya Hamka: Dalam
berbicara berkenaan dengan hasil dari matlamat pendidikan, iaitu kebahagiaan
dalam bukunya “Tasauf Moden” (terbitan Darul Nu’man, Kuala Lumpur,
1998) (hlm 14 dst) beliau menyebut dengan penuh persetujuan pendapat Imam al-Ghazali
rd, iaitu: Bahagia dan kelazatan sejati ialah bilamana (seseorang itu) dapat mengingati Allah”. Seterusnya “Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu ialah kita rasai ni’mat kesenangan dan kelazatan, dan kelazatan itu ialah menurut tabiat kejadian masing-masing, maka kelazatan mata ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula dengan anggota yang lain di tubuh manusia.Adapun kelazatan hati ialah teguh makrifat (iaitu mengenal-p) kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingati Tuhan. Tiap-tiap barang yang dahulunya tiada dikenal oleh manusia, bukan buatan gembiranya jika telah dikenalnya.Tak ubahnya dengan orang yang baru pandai bermain catur, dia tidak berhenti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan buah dan papan caturnya.Demikian pula hati yang dahulunya belum ada makrifatnya, kepada Tuhan, kemudian mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembira dan tidak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu, kerana kelazatan mata memandang yang indah tadi. Tiap bertambah besar makrifat, bertambah besar pula kelazatan. Seorang
hamba rakyat akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan wazir,
kegembiraan itu naik berlipat ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan raja.
Tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kegembiraan,
lebih daripada apa yang dapat diperkirakan oleh manusia, sebab tidak ada yang
maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah. Bukankah segala kemuliaan alam itu
hanya sebahagian dari anugerah Allah?Bukankah segala macam keganjilan dalam alam
itu hanya sebahagian yang sangat kecil dari keganjilan Maha Kuasa Allah? Oleh
sebab itu tidaklah ada satu makrifat yang lebih lazat daripada makrifatullah.
Tidak ada pula swuatu pandangan yang lebih indah daripada pandangan Allah. Sebab
segala kelazatan dan kegembiraan , kesenangan dan sukacita yang ada di atas
dunia ini , semuanya hanya bertakluk kepada sebab pertimbangan nafsu, dan
semuanya akan berhenti perjalanannya apabila telah sampai ke batas, iaitu
kematian. Tetapi kelazatan makrifatullah bukan bertakluk dengan nafsu, dia
bertakluk dengan hati. Maka perasaan hati tidak berhenti sehingga mati.hati
nurani ini tidak rosak lantaran perpindahan hidup dari fana kepada baka. Bahkan
bila tubuh kasar ini mati, bertambah bersihlah makrifat itu, kerana tidak ada
pengganggunya lagi, sebab kekuasaan iblis, hawa dan nafsu tidak sampai ke sana.
Hati nurani ini telah keluar dari alam yang sempit, masuk ke daerah alam yang
luas, keluar dari gelap gelita
menuju terang benderang”. Tiga
Kekuatan Dalam Diri Insan Beliau
menyebutkan pula dengan penuh persetujuan pendapat Imam al-Ghazali berkenaan
dengan psikologi rohaniah bila beliau menyatakan bahawa kesempurnaan kebahagiaan
manusia itu bergantung kepada tiga kekuatan dalam dirinya, iaitu: a.
kekuatan marah b.
kekuatan syahwat c.
kekuatan ilmu. Maka
manusia perlu menjalani hidup mengikut jalan tengah
dalam hubungan dengan kekuatan-kekuatan atau keinginan-keinginan
itu.Jangan berlebihan menurut kekiuatan marah, kalau tidak sifat itu akan
memperbudakkan orang yang berkenaanb dan membawanya kepada kebinasaan.Jangan
pula berlebihan menurut kekuatan syahwat, yang menjadikan seseorang itu ahmak
atau bebal yang membawa kepada kerosakan.Maka jika kekuatan
syahwat dan marah itu ditimbang
baik-baik dan diletakkan ditengah-tengahnya, luruslah perjalanan
hidup seseorang itu menuju Pertunjuk Tuhan.Demikian pula
dengan kekuatan mareah, kalau ianya berlebihan
itu membawa kepada berlakunya perbuatan memukul dan membunuh.Tetapi kalau
kurang daripada yang sewajarnya , hilanglah diri dari rasa cemburu dan
keghairahan yang sepatutnya, dan hilanglah rasa tanggungjawab atas agama dan
keperluan hidup di dunia.Tetapi kalau marah diletak ditengah-tengahnya,
timbullah kesabaran dan keberanian dalam perkara yang memerlukan keberanian, dan
segala pekerjaan dapat dilakukan menurut nikmat Tuhan. Demikian
pula dengan keinginan syahwat; kalau ianya berlebihan maka terjadilah perbuatan
fasik (iaitu perbuatan melanggfar perintah Tuhan), dan onar atau huruhara.Kalau
syahwat itu terlalu berkurangan, terjadilah kelemahan hati dan timbullah sifat
malas dalam hidup.Kalau syahwat berjalan ditengah-tengah, timbullah pada diri
orang itu sifat ‘iffah ertinya memerintah diri sendiri, dan Qana’ah, ertinya
sikap merasai cukup dengan apa yang ada serta berada dalam usaha. Beliau
menukilkan lagi pendapat Imam al-Ghazali rd - yang mempengaruhinya, iaitu
kenyataan nya yang bermaksud: Di
dalam batin engkau ada terkumpul beberapa sifat yang ganjil, sifat kebinatangan,
sifat keganasan, dan sifat malaikat.Tetapi dirimu yang sejati ialah nyawamu,
rohmu.Hendaklah engkau tahu bahawa sifat-sifat yang tersebut tadi bukan kejadian
yang asli dari jiwamu, dia hanya sifat-sifat yang mendatang kemudian. Sebab itu
hendaklah engkau perhatikan baik-baik dan ketahui pula makanan apakah yang
setuju dengan sifat-sifat tadi, untuk pencapai bahagia. Kebahagiaan
sifat binatang ialah makan, minum, tidur dan sebagainya. Kalau dimasuki oleh
kebinatangan itu lebih daripada ukuran yang mesti, tentu engkau hanya
bersungguh-sungguh memikirkan makan dan minum sahaja. Kesenangan
dan kebahagiaan sifat ganas ialah memukul dan merusak.Kesenangan dan kebahagiaan
Syaitan ialah memperdayakan kamu dan menjerumuskan serta menghela.Kalau sifat
syaitan itu ada pada engkau, engkau akan memperdayakan orang , menjerumuskan
orang kepada kesesatan, menghelah-helah,memutar-mutar duduk perkara, sebab dengan demikianlah tercapai kebahagiaan dan kesenangan
syaitan. Adapun
kesenangan dan kebahagiaan sifat malaikat ialah menyaksikan Keindahan hadrat
Rububiah, keindahan Hikmat Ilahiah.Marah dan syahwat tidak terpengaruh (atau “berpengaruh”-p)
atas orang yang bersifat begini. Kalau engkau mempunyai sifat dari jauhar
malaikat ini hendaklah engkau berswungguh-sungguh menyelidiki asal kejadianmu,
sehingga akhirnya engkau tahu, jalan manakah yang harus ditempuh untuk mencari
Hadrat Rububiah itu, sampai akhirnya engkau beroleh bahagia yang mulia
dan tinggi, iaitu syahadah, menyaksikan keindahan dan ketinggian Maha
Tuhan, terlepas dirimu dari ikatan syahwat dan marah.Di sanalah engkau akan
mengetahui bahawa syahwat dan kemarahan itu dijadikan Allah atas dirimu, bukan
supaya engkau terperosok dan tertawan, tetapi supaya engkau dapat
menawannya.dapatlah keduanya enkau
pergunakan jadi perkakas untuk mencapai maksudmu menuju jalan makrifat tadi,
yang satu engkau jadikan kenderaan yang lain engkau jadikan senjata, sehingga
mudahlah engkau mencdapai keberuntungan, bahagia dan kesenangan. Kalau
engkau lihat salah satu anggota kerajaan hati itu melanggar undang-undang hidup,
iaitu salah satu dari syahwat dan marah, hendaklah engkau lawan sepenuh tenaga .Jika
dia kalah, sekali-kali jangan dibunuh, kerana kerajaan hati itu tidak akan
sentosa kalau keduanya tidak ada
lagi. Kalau engkau jalankan resep demikian, tentu (engkau) akan memperoleh
bahagia.Dapat engkau memegang dan mempergunakan nikmat Allah menurut yang
semestinya.Tentu pada suatu peringatan kehormatan yang tinggi daripadaNya. Kalau
engkau langgar pertaruh itu, tentu engkau celaka, engkau dapat seksa yang bukan
seperti(nya), yang membuat engkau menyesal.” (hlm.17-18). Kemudian
beliau menyatakan persetujuannya dengan ajaran Imam utama ini
dengan mengatakan bahawa kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi
nafsu daripada keinginan-keinginannya yang tidak baik, dan menahan kehendaknya
yang berlebihan.Beliau menyatakan itulah perang besar, lebih daripada penaklukan
negeri.Kemudian belia menyebut hadith nabi saw tentang “jihad akbar”
selepas kembali daripada “perang kecil”. Beliau menyatakan: Maka
kemenangan di dalam peperangan dengan nafsu ini ialah induk dari segala
kemenangan.Kerana orang yang berperang ke medan perang itu sendiri, ada juga
yang mencari nama dan kemegahan.Pada lahir ternama, pada batin amalnya belum
tentu diterima Tuhan.Sedang orang yang berperang dengan nafsu itu kerapkali
tidak dilihat manusia kemenangan itu lahirnya, tetapi tertulis dengan jelas di
Sisi Tuhan. (hlm.18). Ini disusuli dengan kutipan-kutipan para cendekiawan dahulu dan zaman moden berkenaan dengan masalah kebahagiaan dan hakikatnya serta jalan-jalan mencapainya. Akhirnya
selepas menyebut huraian-huraian para cendekiawan dan hukama Barat dan Timur,
beliau kembali kepada Nabi Muhammad saw dan menukil hadith-hadith berkenaan
dengan masalah itu. Ertinya dalam masalah pendidikan peribadi manusia beliau
mendapat panduan daripada Nabi saw. Selepas daripada Quran; kemudian beliau
berpandu kepada sumber-sumber lainnya.
Kebahagiaan
Dalam Hadith Nabi saw Tentang
kelebihan manusia - yang menjamin kebahagiaannya- beliau menukil hadith nabi saw
dari Aisyah rd.Suatu masa Aisyah bertanya kepada Nabi saw: Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya? Raqsulullah saw menjawab: Dengan akal! Kata Aisyah pula: Dan di akhirat? Dengan akal juga, kata baginda. Bukankah seorang mansia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala lantaran amal ibadatnya?Kata Aisyah pula. Hai Aisyah, bukanlah amal ibadat yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadat mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka. Beliau
menukilkan lagi hadith nabi saw berkenaan dengan akal itu. Iaitu: Rasulullah
bersabda: Allah telah membahagikan akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup
mempunyai ketiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau
sebagian, tidaklah ia terhitung orang yang berakal. Orang bertanya: Ya
Rasulullah, manakah bagian yang yang tiga macam itu? Baginda menjawab: Pertama bai
makrifatnya dengan Allah, kedua baik taatnya bagi Allah, ketiga, baik pula
sabarnya atas (dalam teks “atau”) ketentuan Allah. Beliau
membuat penerangan berikut, iaitu dari sabda Nabi itu beliau mengatakan bahawa
kita boleh mengambil kesimpulan bahawa darjah manusia itu menurut darjah akalnya,
kerana akallah yang dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk,
mengagih-agihkan segala pekerjaan, menyelidiki akikat kejadian segala sesuatu
yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini.Bila akal bertambah sempurna, indah
dan murni, bertambah pula darjah
bahagia yang dicapai, sebab itulah maka menurut hadith nabi bila tercapai
kesempurnaan akal maka tercapailah kesempurnaan
kebahagiaan. Akal
Dan Pengetahuan Selepas
menyebut hal manusia dan tingkat mereka dalam hidup mengikut akalnya, beliau
menyebut manusia dengan akal dan pengetahuan serta pendidikannya: Katanya: Segala perbezaan dan perubahan tingkatan pandangan hidup maniusia itu timbul kerana perbezaan tingkatan pendapat akal. Berlainan pendapat kerana berlainan pengetahuan, pendidikan dan berbeza pula bumi tempat tegak.Jika akal itu telah tinggi keranba tinggi pengetahuan (ilmu) dipatrikan oleh ketingian pengelaman, bertambahlah tinggi darjat orang yang mempunyainya.Kerana sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam alam ini, hakikatnya sama saja, yang berubah adalah pendapat orang yang menyelidikinya.Maka kepandaian manyusia menyelidiki itulah yang menjadi pangkal bahagia atau celakanya. Bertambah
luas akal, bertambah luaslah hidup, bertambah datanglah bahagia. Bertambah
sempit akal, bertambah sempit pula hidup, bertambah datanglah celaka. Oleh
agama perjalanan bahagia itu telah diberi berakhir.Puncakya yang penghabisan
ialah kenal pada Tuhan, baik makrifat kepadaNya, baik taat kepadaNya, dan sabar
atas musibahNya.Tidak ada lagi hidup di atas itu! Di
sinilah timbul kehairanan kita melihat orang yang setiap hari menyisir tetapi
tak pernah menyisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya (membesarkan pangkat
kemegahannya-p), tetapi tidak membusungkan hatinya. (tidak memperkasakan
sifat-sifat kegemilangan hati manusia-p). Digosoknya sepatunya tetapi tidak
digosoknya akalnya sehingga ia tak pernah bertemu dengan bahagia, hanya
mendengar dari orang ke orang, dari mulut ke mulut. Ia duduk dekat orang bahagia,
tetapi dia jauh dari bahagia.Ada lurah yang dalam membatas mereka, padahal
mereka duduk berdekatan. Kita
hairan melihat manusia, yang takut rugi dengan hartanya, tetapi mudah beroleh
kerugian, yang lebih besar, iaitu murka Tuhannya.Ia ubati dengan segala cara
anaknya yang jatuh sakit, iaitu sakit badan: tetapi tidak dicarikannya ubat jika
anaknya mendapat sakit batin, iaitu sakit akal. Peribadi
Manusia Dan Alam Sekitar serta Kehidupan Tentang
peribadi manusia dan hubungannya dengan alam sekitar dan kehidupan lahiriah
sahaja, tanpa dimensi lainnya,yang lebih tinggi, sebagaimana yang kerap
dibicarakan zaman globalisasi ini beliau menyatakan:
Sebab
itu tidaklah sekali-kali bernama bahagia dan nikmat jika hati dan khayal kita
hanya kita perhubungkan dengan isi alam yang lahir ini (sahaja), yang harganya
hanya menurut keinginan kita. Jangan terlalu diperintah oleh khayal, oleh
angan-angan, oleh fantasi, kerana itu jugalah yang memalingkan kita dari bahagia yang
sebenarnya tujuan hidup, yang mulanya tangis akhirnya tertawa, dan mulanya pahit
akhirnya manis.
Dalam
berbicara tentang akal dan kedudukannya yang memerlukan bantuan iradah insan
untuk menjamin kejayaannya beliau menyatakan: Tetapi
dengan semata-mata akal saja belum pula cukup (bagi seseorang itu-p) untuk
mencapai bahagia, kerana akal berhenti perjalanannya sehingga itu. Adapun yang
menjadi perantaraan antara akal dengan bahagia ialah iradah, kemahuan! Walaupun
aal sudah lanjut dan tinggi, kalau tidak ada iradah untuk mencapai bahagia,
bahagia itu tidak akan tercapai. Iradah adalah kekuatan nafsiah kita, pada
kedirian kita, yang tidak dapat berpisah dari hajat hidup.Kalau hajat itu kuat,
timbullah irafah, sehingga dapatlah dia menaklukkan segala pengaruh yang
mendatang dari luar dan bekas-bekas asing, kalau kehidupan lemah, iradah itupun
jatuh.Kalau iradah jatuh terpengaruhlah diri oleh keadaan sekeliling kita, dan
sukarlah mencapai bahagia. (hlm.29). Kepentingan
Pembentukan Iradah Yang Kuat Dalam
hubungan dengan kepentingan iradah dalam membina kebahagian manusia berserta
dengan akalnya beliau terus membuat kenyataan: Ilmu
kedoktoran moden telah memasukkan juga ilmu jiwa ke dalam ilmu kedoktoran.
Mereka sudah mendapat kepastian bahawa iradah atau kemahuan itu amat besar
pengaruhnya bagi jasmani dan rohani manusia. Ramai orang yang baru demam sedikit
sahaja, kerana lemah iradahnya, demamnya bertambah larut. Segala macam penyakit
mendekat pada dirinya. Ada orang yang baru sembuh dari penyakit yang menimpanya
kerana iradahnya kuat. Dalam
berbicara tentang waham dan iradah pada diri manusia beliau meneruskan
kenyataannya: Kalau
waham itu berbekas pada akal, menjalarlah dia kepada seluruh perjalanan fikiran,
angan-angan dan kehendak. Ternyata tandanya pada (tubuh kasar, jelas terbayang
pada muka. Dia menjadi pucat, ragu-ragu, syak wasangka, tidak percaya pada diri
sendiri. kalau dia gembira lupa akan dirinya. Pucat dan putus harapan jika
kecewa. Jantungpun demikian pula, denyutnya berkurang, perjalanan arahnya
melemah …. Maka iradah adalah lebih mahal dari emas, kerana dengan iradah
orang bercita-cita yang tinggi. Cuma sayang, kelakuan manusia ini, lebih takluk
kepada kehendak jasmani yang akan hancur dalam liang lahat dan tidak peduli
kepada kehendak rohani yang akan hidup selamanya. Padahal kehidupan yang bererti
dalam dunia ini ialah bahagia, Bahagia yang timbul dari akal yang dapat tercapai
melalui iradah kemahuan). Selepas
membuat kenyataan tentang pendapat-pendapat Phythagoras, Socrates, dan
Aristoteles berkenaan dengan kebahagiaan yang mencakupi sifat-sifat hikmat
kebijaksanaan, keberanian, pengawasan diri dan keinginan, serta keadilan dalam
pengertian akhlak yang, kemudian pendapat Tolstoy, beliau menyebut penerangan
Imam al-Ghazali rd. Lima
Kategori Ni’mat Ilahi
Beliau
menukil pendapatnya yang memberi huraian berkenaan dengan nimat Ilahi yang boleh
dikategorikan kepada lima kategori. Pertamanya
kebahagiaan akhirat yang sempurna dan tidak berakhir. Ianya tercapai dengan
jalan atau tangga yang dikurniakan oleh Tuhan. Keduanya
keutamaan akhlak. Ini terdiri daripada kesempurnaan akal, yang ianya mencapai
kesempurnaan melalui ilmu pengetahuan. Juga ianya terdiri daripada sifat menjaga
keinginan diri (‘iffah), yang sempurna dengan kewarakan, sifat keberanian yang
sempurna dengan jihad, dan akhirnya dengan keadilan dalam akhlak. Dengan yang
empat ini sempurna akhlak dan budi, dengan itu terlaksana agama, dan ini membawa
kepada bahagian yang ketiga, iaitu keutamaan yang ada pada badan manusia. Keutamaan
tubuh badan tercapai dengan beberapa perkara: seperti kesihatan, kekuatan tenaga,
keindahan, dan umur panjang. Keutamaan
ini pula tercapai dengan beberapa keutamaan di luar badan, iaitu: cukup
hartabenda, cukup dengan anak isteri dan sanak saudara, dipandang mulia dan
dihormati, serta keturunan yang mulia. Yang
kelimanya ialah keutamaan yang timbul dari taufik dan pimpinan Ilahi terdiri
daripada: pertunjuk dari Allah, Irsyad pada jalan hidup yang betul, Tasdid atau
sokongan Ilahi dalam kehidupan, dan Ta’yid atau bantuan Ilahi. Selepas
itu diberikan oleh huraian tentang keperluan kelima-lima perkara itu serta
cara-cara untuk mencapainya berdasarkan Quran, Sunnah dan pemikiran mereka yang
utama dalam sejarah. Dengan itu tersusun hurain tentang cara mencapai
kebahagiaan berdasarkan aspek-aspek yang demikian itu
dengan baik. Pengalaman
Hidup Sebagai Unsur Dalam Pendidikan Dalam
berbicara tentang pengalaman hidup sebagai unsur pendidikan beliau menyatakan
dengan terang: Meskipun
kita akui adanya pengelaman, tetapi bukannya itu yang terpenting, pengelaman
adalah sebagai langkah pertama. Adapun pelajaran hidup yang kedua ialah
memperhatikan alam. Alam adalah laksana sebuah kitab besar yang terhampar di
muka kita, di dalamnya tertulis perjuangan hayat yang telah ditempuh lebih
dahulu oleh orang lain. Di situ dapat kita tilik bagaimana orang lain telak
sukses, telah mujur dan bahagia, dan dapat pula kita melihat mereka jatuh,
tersungkur, ada yang tak bangun lagi, ada yang menyesal selama-lamanya. Kita
dengar pekik orang yang kesakitan, maka kita tanyakan kepadanya apa sebab dia
jatuh, setelah tahu kita lalu lagi di jalan yang penuh dilaluinya. Semuanya itu
kita pelajari dengan saksama dari kitab yang terbentang itu. Itulah rahasia
perkataan raja dari segala pujangga dunia, Nabi Muhammad saw, mengambil iktibar
dari kejadian orang lain itu adalah jalan beroleh bahagia. Di
dalam hidup bermasyarakat adalah beberapa undang-undang yang harus dijaga dan
diperhatikan. Ada yanmg berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan
akal (dengan ilmu pengetahuan dan cara berfikir yang wajar yang dipelajari-p)
dan yang berhubung dengan kemuliaan budi. Di samping itu pula yang tertentu
untuk menjaga kemenangan dan kebahagiaan. Semua pokok undang-undang yang mesti
dijalankan itu adalah buah perjalanan hidup manusia sejak dunia terkembang,
ditambah, diperbaru, menurut perkembangan zaman dan waktu, dengan pimpinan dari
alam ghaib. Kalau segala peraturan itu dijaga, dipelajari dan dijalankan (dalam
pendidikan secara formal atau tidak formal-p) hiduplah manusia dalam hikmat
Tuhan, dianugerahkanNya, dan barangsiapa yang beroleh hikmat itu, bererti dia
telah mendapat perolehan yang amat banyak. (hlm.53-54).
Pendidikan
Rohani dan Akhlak Yang Menjayakan Kebahagiaan Dalam
pendidikan tentang diri manusia demi mencari kebahagiaan beliau berbicara
tentang banyak masalah, mulai daripada masalah keimanan, sampai kepada kejayaanb
dalam ibadat, kejayaan dalam pembentukan peribadi yang mulia dengan sifat-sifat
utama seperti keikhlasan, tawakkal, kesungguhan dan kebenaran dalam hidup,
kesabaran dan seterusnya serta jalan-jalan praktikal dalam mencapai semuanya.
Dia berbicara tentang keperluan manusia menjaga diri supaya sihat, keperluan
mendapat kemahiran dalam hidup untuk membina hidup yang bermaruah; beliau
berbicara berkenaan dengan kerukunan hidyup dalam masyarakat dan rumahtangga
serta ciri-ciri bangsa yang kuat dan bermaruah. Pendidikan
yang dipaparkan adalah jelas dan relevan pada setiap masa, termasuk masa kita
sekarang yang banyak terhakis nilai-nilai iman dan akhlak daripadanya. Pendidikan
Akidah Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah berdasarkan Dalil Naqal dan Akal Dalam
memaparkan pendidikan tentang akidah Islam dalam bukunya “Pelajaran Agama
Islam” (terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1981) beliau berbicara secara
mendetail berkenaan dengan dasar-dasar akidah Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah terdiri
daripada bab-bab berkenaan dengan “Manusia dan Agama”, “Dari Sudut Mana
Mencari Tuhan”, “Allah”, “Percaya kepada yang ghaib”, “Percaya
kepada Kitab-Kitab”, “Percaya kepada rasul-rasul”, “Percaya kepada hari
Akhirat”, “Percaya kepada Taqdir-Qadda dan Qadar”, “Iman dan Amal Salih
(Aqidah dan Ibadat)”. Dalam
membicarakan itu semua pendiriannya adalah penditrian Ahlis-Sunnah wal-Jamaah,
yang berlainan daripada Mu’tazilah, dan yang lainnya. Dalam pendekatan beliau
memberi huraian tentang keTuhanan beliau menggunakan nas-nas Quran dan Hadith
dan juga penemuan-penemuan dalam sains moden dan pemikiran falsafah yang sesuai
dengan zaman ini. Sebelum
berbicara tentang rukun iman beliau menyebut sedikit sebanyak kepercayaan
manusia sebelum Islam dengan pendewaan terhadap tenaga-tenaga alam sebagaimana
yang ada dalam kajian tentang sejarah agama-agama (‘history of religions”).
Kemudian beliau memberi penerangan tentang perkembangan falsafah Yunani dalam
penerokaan tentang hal-hal kepercayaan; dia berbicara juga berkenaan dengan
batasan-batasan akal manusia. Lepas itu baharulah beliau berbicara berkenaan
dengan keimanan dan agama serta kepercayaan-kepercayaan yang diajarkan olehnya. Dalam
berbicara tentang ajaran agama, beliau merujuk kepada wahyu, pemikiran dan juga
fitrah manusia yang dijadikan Tuhan. Dalam
berbicara tentang sifat-sifat Allah beliau mengajar tentang sifat-sifat Wujud,
dengan dalil-dalil pemikiran, kemudian dengan dalil ayat-ayat Quran. Dalil-dalil
pemikiran itu dinamakannya dalil kejadian, dalil peraturan dan pemeliharaan,
dalil gerak. Dibicarakannya Tuhan Yang Aewal, Dia Yang Akhir, Sifat tidak ada
yang menyaiNya, Sifat Maha kayaNya (al-Ghani), KeesaanNya, (dalam bahagian ini
dibicarakannya kesyirikan, tawassul dan istighathah), Qudrat dan Iradat,
dibicarakan pula Hikmat yang merujuk kepada kebijaksanaan Ilahi yang maha tinggi,
Sifat Hayat, Ilmu, Sama’ dan Basar, juga sifat Kalam. Dalam
membicarakan akidah-akidah Islam yang lain beliau memberi huraian-huraian dengan
berdasarkan kepada pemikiran dan juga nas-nas Quran dan Sunnah, ditambah dengan
pemikiran-pemikiran falsafah dan sains. Dengan demikian pendekatannya adalah
pendekatan yang sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan sains moden. Dalam
memberi huraian berkenaan dengan akidah Islam itu beliau memberi penekanan
kepada keperluan membentuk jiwa dan amalan berdasarkan kepada keyakinan yang
dijadikan pegangan. Dengan itu terbentuk jiwa dan peribadi mukmin yang kental
yang mampu menghadapi kehidupan dan cabaran-cabarannya tanpa kehilangan jatidiri
Muslim dan mukmin sebenarnya. Ciri-Ciri
Unggul Dalam Pendidikan dan Pembentukan Peribadi Manusia Dalam
menghuraikan pendidikan manusia dalam bukunya “Falsafah Hidup” (terbitan
Pustaka Antara, Kuala Lumpur, tahun 1980) beliau berbicara berkenaan dengan
beberapa perkara yang menjadi bab-bab buku itu
seperti “Hidup” dengan pembicaraan tentang akal, penyusunan kerja,
pertimbangan akal, menghaluskan akal, tanda-tanda orang berakal, dan faedah akal. Beliau
berbicara berkenaan dengan ilmu dan akal, tujuan akal, tingkat-tingkat makrifat,
akal dan hawa nafsu, kejahilan manusia, dan keutamaan ilmu.
Dalam
hubungan dengan budaya berfikir dan membuat renungan tentang alam beliau memberi
huraian yang baik dan jelas dalam mempertahankan nilai ini dalam suluhan cahaya
Quran sebagaimana yang ada dalam ayat 17-20 dalam Surah al-Ghasyiah dalam “Tafsir
al-Azhar”nya, jld 10-hlm 7979 dst. Dalam
ayat-ayat itu dianjurkan dalam bentuk soalan bagaimana manusia tidak melihat
bagaimana unta dijadikan, langit ditinggikan, gunung-gunung ditinggiukan, dan
bumi dihamparkan sebagaimana dilihat dalam pengelaman biasa semua orang. Beliau
menyatakan: Kalau
semuanya sudah dipandang (dengan penuh perhatian dan iktibar-p) dan
direnngkannya, niscaya tidak lagi dia (atau seseorang itu-p) menmgingkari
kekuasaan Allah untuk membangkitkan kembali manusia pada hari nanti, yang
dinamai hari Kiamat. Orang-orang
yang baru mencapai seujung kuku ilmu, dan terlalu banyak ditimbulkan keraguan
dan kehilangan iman dalam dadanya kerana pengaruh kaum Qrientalis dan zending
dan missi Kristen (serta juga para pemikir pascamodenisme-p) pernah mengambil
ayat ini jadi bukti bahawa al-Quran itu diturunkan hanya buat orang Arab, sebab
di dalamnya tersebut unta.dan menyangka dengan mengemukakan demikian, mereka
telah mengemukakan sesuatu (yang bersifat-p) “ilmiah”. Dalam
menyokong budaya berfikir yang diajarkan Quran beliau menghuraikan dalam “Tafsur
al-Azhar”nya -jld2 dalam hubungan dengan ayat 190-191 Surah ali ‘Imran yang
bermaksud bahawa dalam kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan
malam adalah beberapa tanda bagi orang-orang yang berakal (ulil-albab), iaitu
mereka yang mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir
tentang kejadian langit dan bumi. Mereka berdoa bermaksud wahai Tuhan tidaklah
Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia. Selain
daripada huraian-huraian lain beliau menyebut pandangan Imam Fakhruz-Razi rh
dari “at-Tafsir al-Kabir”nya bahawa: yang dimaksudkan dalam kitab yang mulia
ini ialah menjemput hati dan roh sesudah banyak menyakan soal-soal makhluk yang
dijadikan supaya manusia mulai tenggelam dalam memperhatikan makrifat terhadap
Allah, kerana sejak tadinya sudah panjang pembicaraan tentang hukum-hukum dan
jawapan terhadap terhadap beberapa keraguan yang dibawa oleh mereka yang tidak
mahu beriman, sekarang disebut tentang penerang hati dengan menyebut soal-soal
tauhid, kebesaran dan kemuliaan Tuhan, sebab
itu maka disebutkan ayat ini. Komen
Hamka rh tentang ayat-ayat ini antaranya ialah seperti berikut: Orang
melihatnya dan mempergunakan fikiran meninjaunya, masing-masing menurut bakat
fikirannya. Entah dia seorang ahli ilmu alam, atau ahli ilmu bintang, atau ahli
ilmu tumbuh-tumbuhan, atau ahli tentang ilmu pertambangan (berkenaan dengan
galian-galian-p), ataupun dia seorang failasuf ataupun penyaer dan seniman.
Semuanya akan dipesona oleh susunan tabir alam yang luar biasa. Terasa kecil
diri di hadapan kebesaran alam, terasa kecil alam di hadapan kebesaran
penciptanya. Akhirnya tak ada erti diri, tak ada erti alam, yang ada hanya Dia,
yaitu yang sebenarnya ada. (hlm.1033). Dalam
hubungan budaya fikir yang digandingkan dengan zikir yang diajarkan oleh Quran
dalam ayat ini, Pak Hamka menyatakan: Di
sinilah bertemulah dua hal yang tidak terpisahkan, yaitu zikir dan fikir.
Difikirlkan semua yang terjadi itu, maka lantaran difikirkan timbullah ingatan
sebagai kesimpulan dari berfikir, yaitu bahawa semua itu tidaklah terjadi
sendirinya, melainkan ada Tuhan Yang Maha Penciptanya, itulah Allah. Oleh kerana
memikirkan yang nyata, teringatlah kepada yang lebih nyata. Semata difikirkan
saja kejadian alam ini, yang akan bertemu hanyalah ilmu pengetahuan yang gersang
dantandus. Ilmu pengetahuan yang (tidak-p) membawa kepada iman adalah ilmu yang
buntu. Dia mesti menimbulkan ingatan, terutama ingatan atas kelemahan dan
kekecilan diri di hadapan kebesaran Maha Pencipta.Sebab itulah datang kelanjutan
doa tersebab zikir dan fikir…. Dalam
hubungan dengan pendidikan seni, seperti seni persajakan, Buya Hamka menerangkan
dasarnya dalam suluhan cahaya Quran dalam menafsirkan ayat-ayat 224-227 Surah
ash-Syu’ara’ (jld.7) hlm 5158 dst: …teranglah
bahawa di antara penyaer-penyaer itu , baik di zaman Rasul atau di zaman yang selanjutnya banyak juga penyaer
timbul dan syi’irnya diisi oleh imannya. Kita
dapat mengingat bahawa Penyaer Rasulullah itu, Hassan bin Thabit, ‘Abdullah
bin Rawwahah, dan Ka’ab bin Malik adalah penyaer-penyaer besar yang telah
mempergunakan sya’ir-sya’ir mereka dalam mempertahankan Islam.Seketika
utusan-utusan dari seluruh Jazirah Arab datrang menghadap Rasulullah s.a.w. di
Madinah, sesudah Nabi saw menang dalam diplomasi Hudaibiyah atau sesudah
menaklukkan Makkah, ada yang datang lengkap juga dengan penyaer mereka.Kalau ada
yang datang dengan gubahan sya’ir, Rasulullah s.a.w. menyuruh menangkis syair
mereka itu dengan syair pula.Yang bertindak menangkis dengan syair itu ialah
Hassan bin Thabit. Rasulullah pernah mendoakannya:
Ya
Tuhan sokonglah dia dengan Ruhul-Qudus… Pendeknya,
bila kita membaca sejarah Nabi , terutama dalam Sirah Ibn Hisyam, kita akan
membaca syair-syair yang timbul dari iman dan amal salih, yang timbul daripada rasa ingat kepada Allah yang
mendalam.Syair “Burdah” dari al-Busiri, syairsyair Maulana Jalaluddin Rumi,
syair Sa’di, dan asy-Syirazi, demikoian juga syair Maulana Muhammad Iqbal “Shikwa”
“wa Jawabi Shikwa” Piyam Mashriq”, dan lain-lain
semuanya adalah syair iman , amal salih, dan zikir kepada Allah. Kalau
demikian halnya dengan syair, niscaya demikian jugalah halnya dengaqn seni yang
lain, kecuali seni yang akan membawa kepada mempersekutukan Allah dengan yang
lain, seumpama seni membuat berhala.. Pada
akhir tafsiran Surah Syu’ara’ (hlm 5188) beliau membuat kenyataan” Sesudah
peraturan hidup, di antara dorongan dan hambatan, kemajuan ke muka dan usaha
menarik ke belakang, cita-cita yang mulia berhadapan dengan mempertahankan yang
salah, di dalam jihad yang tidak boleh berhenti, akhir kelaknya orang yang
bersalah niscaya akan sedar jua akan kesalahannya, dan akan sedar juga ke
jurusan mana perjalanan mereka yang
terakhir.Yaitu bahawa Islam pasti menang dan tegak, sebab dia adalahkebenaran,
dan yang menghalanmg selama ini , yang tegak di atas dasar kezaliman akan tahu
sendiri ke mana akan pergi mereka.yaitu ke dalam tempat keseksaan… Beliau
berbicara seterusnya dalam “Falsafah Hidup” berkenaan dengan undang-undang
alam, keutamaan, kedudukan cinta, buah keutamaan budi, keutamaan dan kewajipan,
dan perangai yang utama dalam diri manusia. Beliau
berbicara berkenaan dengan adab kesopanan, dengan pecahan-pecahannya seperti
adab diri terhadap makhluk, contoh-cpontoh kesopanan dalam islam, persaudaraan,
kesopanan terhadap Rasulullah saw, kesopanan kepada Tuhan, dan konsep kemenangan
yang sebenarnya dalam hidup. Beliau
berbicara berkenaan dengan hidup sederhana dengan pengertian sebenarnya, dengan
pecahan-pecahannya seperti sederhana pada niat dan tujuan, sederhana dalam
berfikir, sederhana mengeluarkan perasaan, sederhanapada keperluan hidup,
sederhsana pada perasaan sukacita, sederhana dalam hubungan dengan harta benda,
sederhana pada mencari nama, sederhana dalam mencari pangkat, dan juga
pendidikan kesederhanaan. Dalam
hubungan dengan pendidikan akhlak dalam suluhan cahaya Quran, dalam “tafsir
Al-Azhar”nya, (jld 6, hlm 4029 dst) beliau memberi huraian yang terang dan
mendetail berkenaan dengan maksud-maksud dalam ayat-ayat 23-39 Surah bani Isra’il)
yang menyentuh: akhlak dan adab kesopanan dengan Allah supaya jangan syirik
terhadapnya, dan supaya bersyukur kepadanya, menghormati ibu bapa, berendah diri
terhadap keduanya, menunaikan hak dan berbuat baik kepada kaum kerabat,
orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, supaya jangan
melakukan pembaziran, juga jangan bersikap bakhil, supaya jangan membunuh tanpa
hak, seperti jangan membunuh anak takutkan kemiskinan, jangan manghampiri zina,
jangan memakan harta anak yatim secara terlarang, dan supaya menunaikan semua
janji. Juga anjuran supaya menggunakan timbangan yang betul dalam perniagaan,
dan supaya jangan mengikut sesuatu tanpa ilmu, sebab manusia akan ditanya
tentang pendengaran, penglihatan dan hati. Juga dianjurkan supaya manusia tidak
berlagak sombong di bumi, dan diakhiri dengan perintah supaya manusia jangan
bersikap syirik sebab itu akan memusn ahkan manusia dalam Neraka Jahanam. Huraian-huraian
beliau berdasarkan kefahaman yang dipandu oleh ayat-ayat Quran, Sunnah dan juga
pendapat para ulama muktabar, serta juga maklumat-maklumat sejarah zaman dahulu
dan zaman moden. Penonjolan
nilai-nilai Quran dalam pendidikan akhlak sebagaimana yang dilakukan oleh beliau
ini mendatangkan menafaat untuk masyarakat mendapat bimbingan dalam menghadapi
kekalutan nilai-nilai masakini, apa lagi dalam zaman globalisasi yang
mengacaukan jatidiri nilai-nilai keagamaan sebagaimana yang ada dalam Quran. Dalam
“Tafsir al-Azhar” juga (jld 7) dalam memberi penerangan tentang ethika
peribadi dan kekeluargaan dalam suluhan cahaya wahyu Quran dalam surah Luqman,
ayat 12-19) beliau menghuraikan dengan panjang lebar pembelaan terhadap
nilai-nilai yang dibentangkan, seperti bermula nilai kehidupan dengan bersyukur
kepada Allah, yang mendatangkan kebaikan kepada manusia itu sendiri, larangan
melakukan kesyirikan-iaitu menisbahkan kuasa keTuhanan kepada tenaga-tenaga atau
makhluk bersekali dengan Allah--, diikuti dengan nilai-nilai berbuat baik kepada
ibu bapa dan bersyukur kepada Tuhan, larangan taat kepada ibu kalau mereka
mengajak kepada kesyirikan, arahan bersahabat dengan baik dengan mereka dalam
dunia, suruhan mengikut jalan mereka yang berpaling kepada Tuhan dengan taubat
dan ketaatan, suruhan melaksanakan sembahyang, melakukan amar makruf dan nahi
munkar, anjuran bersabar dalam menghadapi kesulitan hidup, larangan daripada
bersikap tabur dan sombong, dan suruhan supaya bersikap sederhana dalam gerak
geri, serta suruhan melembutkan suara dalam percakapan. Semua huraian-huraian
beliau mengukuhkan nilai-nilai rabbani dalam Quran supaya ianya tertegak dalam
diri, masyarakat dan keluarga manusia yang beriman. Pendidikan
Anak-Anak Yang
menarik berkenaan dengan kesederhanaan dalam pendidikan ini ialah kata-kata beliau seperti berikut:
Oleh kerana pekerti sederhana itu adalah
sebagai hasil daripada akal orang yang bijaksana, maka perhubungannya dengan
pendidikan adalah besar sekali, pengaruhnya pun bukan sedikit. Adapun orang yang
mendidik anaknya di zaman sekarang terbahagi kepada dua bahagian. Pertama
anak-anak dididik menurut garis yang dikehendaki oleh ayah bundanya,
menurut jalan cita-citanya.Kedua anak-anak dibiarkan sahaja menurut
bakatnya sendiri. Di
dalam keadaan yang pertama itu anak-anak tidaklah bebas bergerak menurut
kehendak gerak hatinya sendiri. Dia laksana barang, kepunyaan dari orang
tuanya.Kalau orang tuanya pendeta, dia mahu supaya anaknya menjadi pendeta
pula.Kalau orang tuanya militer, dia mahu supaya anaknya menjadi militer. Atau,
meskipun bukan diniatnya supaya anaknya seperti dia, tetapi diminatinya bentuk
anak itu menurut bentuk yang ditentukannya. Kesudahannya, mahu bergerak, mahu
diam, mahu berjalan, mahu duduk, mahu memilih jodoh, mesti menurut kehendak
orang tua itu. Kadang-kadang si ayah bunda ini tidak mempunyai pendirian yang
tetap dalam hidupnya. Waktu itulah yang serba susah bagi nasib anak itu.Dia akan
karam di tengah-tengah, sukar akan sampai kepada tujuan hidupnya yang telah ada
persediaan padanya tatkala ia dilahirkan. Pendidikan
anak-anak yang semacam inilah yang masih banyak bertemu pada masyarakat kita
pada masa ini, sehingga berpuluh, bahkan beratus pemuda pemudi yang tidak tentu
sebarang hidupnya. Di kota-kota terdapat berpuluh, bahkan beratus dan meningkat
ribu, anak-anak yang diperbuat oleh orang tuanya akan menjadi kerani, padahal
bukan semua orang mesti menjadi kerani. Di Minangkabau berpuluh, bahkan beratus,
dan meningkat ribu, anak-anak muda yang lepas dari sekolah agama maksud orang
tuanya akan dijadikan ulama, seakan-akan cuma menjadi ulama itu sahajalah
pekerjaan yang paling bagus di dalam dunia ini. Kata
mereka, begitulah pendidikan yang betul. Padahal itulah satu penyakit yang tidak
membiarkan seorang manusia maju menurut wajah yang telah ditentukan Tuhan sejak
dia dalam rahim. Mereka hendak perbuat manusia menjadi satu corak sahaja, serupa
binatang dan tumbuh-tumbuhan.manusia bukan jenis kuda yang hanya guna dikendarai
dan pengangkut barang sahaja. Manusia bukan jenis tumbuh-tumbuhan, yang kalau
dia sayur bayam, tetap jadi sayur sahaja. Meraut dan membentuk anak menurut
kehendak orang tua sahaja hakikatnya memberi bahaya kepada anak itu, melamakan
akan kemajuannya. Ketahuilah bahawa tabiat , hujunh hidup, tujuan dan jalan
kehidupan manusia itu berbeda satu sama lain. Hendaklah pendidikan itu
berikhtiar melahirkan ke mana tujuan hidup itu, bukan berusaha membenamkan.
Suatu pendidikan yang diasaskan kepada paksaan itu, paling banyak menimbulkan
jemu di dalam hati, dan menghabiskan umur dengan tak berfaedah. Pendidikan
macam yang kedua, ialah anak-anak dibiarkan sahaja menurut mahunya, tidak
dibentuk dan tidak dituntun. Dengan berbuat demikian padahal mencelakakan anak
itu sendiri. Meskipun tadi dikatakan bahawa tiap-tiap manusia itu mempunyai
wajah hidup sendiri-sendiri, kalau dia masih anak-anak, belumlah tentu ke mana
wajah itu, masih sukar ia akan naik. Anak yang demikian dinamai anak manja,
kebiasaannya anak-anak tunggal, atau anak yang tinggal seorang kerana mati sanak
saudaranya, maka tertumpulah perhatian seisi rumah kepada dirinya seorang.
Bangunnya, tidurnya, campurnya dengan anak-anak yang lain, sentiasa dapat
pujukan dari isi rumah. Anak yang demikian akhirnya akan menjadi pemalas, kerana
apa yang dimintanya dapat sahaja, tidak mahu mencari sendiri. Anak yang demikian
akan sombong… Pendidikan
yang tidak berhujung pangkal dan sangat merosak ini kebanyakan bertemu pada
orang-orang tua yang tidak memperhatikan zaan yang telah lalu, dan
tidakmemikirkan pula zaman yang akan datang… Dengan
ini kita lakukan keritik yang sehat kepada beberapa orang Kara eng di Tanah
Mengkasar dan beberapa orang teuku dan Hulubalang di tanah Aceh, dan
bangsawan-bangsawan Melayu dei Sumatera Timur dan Malaya (sekarang Malaysia-p)
yang memberikan pendidikan yang begitu manja kepada anak-anaknya….Biasanya
anak-anak yang begini jika sekiranya esok tiba giliran kepada dirinya memegang
negeri, maka negeri akan kacau.Dia akan kasar kepada anak buah, dia tidak akan
berusaha merimbun merampakkan perniagaan ayahnya, tetapi memusnahkan, untuk
melepaskan napsu mudanya. Seterusnya
beliau mengutarakan pendidikan cara yang berlainan daripada yang dua jenis di
atas tadi. Kata beliau: Bagaimana
pendidikan demikian kita akan biarkan sahaja? Tidak berniat hendak berubah?
Padahal zaman yang akan datang (sekarang
abad ke 21, waktu penulisan beliau tahun 6oan-p) akan mempunyai perjuangan yang
lebih hebat dan lebih sengit dari yang sekarang?…yang akan diperampun dan
diperpuang orang di zaman yang akan datang, ialah orang-orang yang sanggup
menegakkan kemuliaan tanah air dan bangsa.Di mana kita akan dapat orang begitu,
kalau tidak dari sekarang kita didik? …Anak-anak
harus dididik dan diasuh menurut kehendak hidup dan zamannya.maksud pendidikan
hendaknya ialah membentuk anak itu supaya menjadi anggota yang berfaedah di
dalam pergaulan hidup, penuh dirinya dengan
rasa kemanusiaan, walaupun apa mata pencariannya, cinta kepada persaudaraan dan
kemerdekaan.Pendidikan demokratis! … Garis
besar dari pendidikan yang sejati ialah, supaya anak-anak itu disingkirkan
daripada perasaan kekerasan orang yang kuat di hadapan orang yang lemah.
Pendidikan sejati ialah menanamkan rasa bahawa diri saya ini ialah anggota
masyarakat dan tak dapat melepaskan diri daripada kungkungan masyarakat.
Pendidikan yang sejati ialah membentuk anak-anak berkhidmat kepada akalnya dan
ilmunya, bukan kepada hawa dan napsunya. Dengan
demikian tegaklah rasa kemerdekaan pada diri suatu umat, suatu bangsa, suatu
tanah air. Dalam
hubungan dengan ciri kebebesan berfikir – dalam rangka keimanan, ketaqwaan dan
akhlak yang telah dibicarakan oleh beliau --- terdapat kenyataan: Beri
anak itu kebebasan berfikir dan tuntunlah dia di dalam kebebasan itu.jangan
diperkosa perjalanan pikirannya, baik oleh gurunya atau oleh ayah bundanya,
supaya jangan dia sebagai kayu yang layu pucuknya, kerana tengah hari tepat
disiram juga dengan air. Pendidikan yang bersipat pimpinan, yang bersipat
membukakan jalan, adalah seumpama udara dan cahaya matahari, biarkan dia kena
udara dan kena cahaya matahari, dia akan sanggup hidup sendirinya. Beberapa
Ciri Peribadi Yang Dikehendaki Ini
diikuti dengan pembentukan jiwa merdeka dalam anak-anak dan juga keperluan
pendidikan hidup secara sederhana supaya jiwa merdeka itu boleh diteruskan,
tidak tercekik kerana hidup mewah yang memenjarakan peribadi. Kesederhanaan
yang beliau anjurkan itu menyentuh semua bidang hidup manusia- sederhana dalam
perbelanjaan, makan minum, kediaman dan pakaian, bahkan dalam perkataan dan
dalam melaksanakan pekerjaan. Beliau
berbicara tentang sifat berani dengan huaraian-huraian cawangannya seperti
keberanian dengan kesopanan, keberanian dengan buah hasilnya, keberanian dan
hubungannya dengan mencapai kemerdekaan, kemuliaan, maruah, tinggi cita-cita,
serta sifat percaya kepada diri sendiri. Beliau
berbicara tentang keadilan dengan perbincangan lanjutan berkenaan dengan agama
dan negara serta hubungan keduanya, kemerdekaan hak milik, agama dan bagaimana
menghadapi kesakitan dalam hidup, hikmah kebijaksanaan dan keadilan, keadilan
dan mereka yang berotoritas dalam pemerintahan, dan persoalan bagaimana kita
boleh terus menghayati kemerdekaan sebenarnya. Beliau
berbicara berkenaan dengan Persahabatan, dan pencerakinan tentangnya yang
menyentuh persoalan bagaimana mencari sahabat, dan persahabatan dan hubunmgan
dengan para wanita dalam masyarakat dan kehidupan. Akhirnya
dalam buku “Falsafah Hidup” beliau berbicara berkenaan dengan kedudukan
agama Islam sebagai pembentuk hidup manusia. Jelas sekali buku ini memberi
kandungan dan erti serta nilai bagi pembentukan peribadi manusia dalam
pendidikan baik secara formal dan juga bukan formal. Wallahu
a’lam.
|
|
Dikemaskini pada : 24-Jan-04 11:26 PM
|