|
TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah
|
|
نحمده
ونصلى على
رسوله الكريم
RAHSIA-RAHSIA PEMBINAAN
PERIBADI DALAM SASTERA IQBAL
OLEH MUHAMMAD
‘UTHMAN EL-MUHAMMADY Almarhum Muhammad Iqbal rh sebagai penyaer Muslim terunggul di abad ke 20 ini (kita belum tahu tentang perkembangan yang akan berlaku dalam alaf ini) merupakan pemikir dan pemberi amanat tentang kehidupan dan dasar-dasarnya yang perlu diingati kembali relevannya dalam menghadapi alaf ini. Apa lagi dalam menghadapi cabaran globalisasi dan aliran pasca-modenisme yang menafikan kisah-kisah agung dan nilai-nilai universal yang unggul. Persajakan beliau tentang pembentukan peribadi berupa mesej yang trerlalu amat relevan bahkan diperlukan secara darurat dari segi intellektuil dan keseniannya. Nota
ringkas ini akan berbicara berkenaan dengan rahsia-rahsia pembinaan peribadi
yang dituangkan dengan indahnya dalam persajakannya. Ianya menjadi tajuk utama
sajaknya yang terkenal “Asrar-I-Khudi” atau “Rahsia-rahsia Peribadi”
yang diterjemahkan dan dihuraikan oleh Bahrum Rangkuti dengan baiknya dalam
tahun 50an lalu. Dalam Bahasa Inggeris ianya diusahakan terjemahannya oleh R. A.
Nicholson, bertajuk “The Secrets of the Self”. (edisi 1955, Lahore). Sewaktu
beliau berada di Barat Iqbal mempelajari falsafah moden yang hasilnya ialah
beliau memegang ijazah dari Universiti Cambridge and Munich. Disertasinya
berjudul “The Development of Metaphysics of Persia” diterbitkan tahun 1908.
Semenjak itu ia mempunyai falsafah hidupnya sendiri. Huraian
sastera dan pemikiran Iqbal mengambil ruang lingkup yang sangat luas dengan
huraian metafisika dan falsafah dalam “The
Reconstruction of Religious Thought in Islam” nya, “The Development of
Metaphysics in Persia”, dengan masalah seni sastera danb rahasia kehidupan dan
masyarakat serta dan budaya dalam “Asrar-I-Khudi”, “Rumuz-I-Bekhudi”,
“Javid Namah”, “Nala-I-Yatim”, “Syikwa wa Jawabi-Syikwa”, “Zabur-I-‘Ajam”,
dan banyak lagi dengan sajak-sajaknya dalam bahasa Urdu kemudian dalam bahasa
Parsi dan karya prosanya dalam Bahasa Inggeris. Mesej
Iqbal dalam “Asrar-I-Khudi” yang akan dibicarakan ini bukannya untuk
Muslimin dibenua kecil Indo-Pakistan sahaja, - Pakistan bermula sebagai ide
untuk negara Muslimin dari pemikirannya - bahkan ianya untuk Muslim di mana
mereka berada. Ianya mesej universal untuk mereka, termasuk untuk kita di Dunia
Melayu abad ini. Iqbal
muncul bukannya untuk zamannya sahaja, tetapi katanya “Aku tidak memerlukan
telinga Hari ini; Aku adalah suara penyaer Hari Esok” dan ia meminta Saqi atau
penuang anggur memenuhkan pialanya - bahasa tamsil yang terkenal dari sastera
sufi—dan memenuhkan sinaran bulan ke dalam kegelapan permikirannya; Supaya
aku boleh memandu pulang pengembara itu Dan
memberansangkan para penyaksi nan malas itu dengan keghairahan yang
menggelisahkan Dan
mara dengan kerasnya untuk mendapat penemuan baru Dan
menjadi terkenal sebagai johan satu semangat baru (Dari
Nicholson, “The Secrets of the Self”). Sebagaimana
yang disarankan oleh penterjemahnya yang terkenal itu iaitu Nicholson, kita
boleh bermula dengan matlamatnya yang menjadi arah tujuan pemikirannya. Selepas
daripada memahami Quran, Sunnah, dan punca-punca ilmu-ilmu Islam dan sejarah
serta budayanya, beliau mendalami falsafah Barat dan sasteranya; nampaknya dari
tulisan-tulisannya beliau terpengaruh dengan Nietzsche, Bergson, dan dari segi
persajakannya beliau nampaknya mengingatkan kita kepada penyaer-penyaer Romantik
seperti Shelley.walau apa pun yang boleh dikatakan tentang unsur-unsur pengaruh
yang ada padanya beliau berfikir dan berperasaan seperti Muslim tulin. Inilah
kehebatan peribadi insan yang berakal dan berjiwa tinggi tidak larut
keperibadiannya dalam ia mendalami alam intellektuil dan budaya lain. Beliau
menggarap falsafahnya tentang pembentukan diri dalam “Asrar-I-Khudi” dan
falsafahnya tentang pembinaan masyarakat pula dalam “Rumuz-e-Bekhudi” iaitu
“Rahsia-rahsia Sikap Tidak mementingkan Diri” dalam Bahasa Inggerisnya
“The Mysteries of Selflessness”. “Asrar-I-Khudi”
digubahkan mengikut bait yang digunakan dalam Kitab “Masnawi Ma’nawi”
karangan Jalaluddin Rumi yang terkenal itu. Dalam bahagian awalnya beliau
menyatakan bagaimana Jalaluddin Rumi, yang kepada beliau adalah seperti hubungan
Virgil dengan Dante penyaer Itali terkenal itu, muncul dalam pemandangan
rohaniah, dan memintanya supaya bangun dan berlagu. Falsafahnya Iqbal
menyatakan dalam notanya kepada Nicholson asas falsafah “Asrar-I-Khudi” itu
ialah seperti berikut. Pengelaman berlaku pada pusat-pusatnya yang terhad dan
tertentu dan ianya bersifat “ini”, “begini”. Ini datang dari Prof.
Bradley. Bermula dengan pusat-pusat pengelaman yang tidak boleh dihuraikan lagi
permasalahannya, ia berakhir dengan Zat Yang Mutlak, yang di dalam yang mutlak
itu pusat yang tertentu dan terhad itu hilang keadaan terhad dan terbatasnya.
Maka pada beloiau pusat yang terhad dan tertentu itu hanya rupa lahir. Ujian
tentang realiti itu ialah sifat merangkumi segala. Dari sini Iqbal mara lagi dan
menyatakan bahawa seluruh kehidupan adalah individu; Tuhan Sendiri adalah
sebagai Individu (tapi bukan seperti makhluk-penulis) Ia Individu Yang Paling
Unik, tanpa tara. Secara ringkasnya, dari situ Iqbal mara lagi dalam huraiannya
dan menyatakan bahawa ideal insan dari segi moral dan keagamaannya ialah bukan
penafian diri (self-negation) tetapi penegasan diri (self-affirmation). Seseorang
individu itu menjadi lebih sempurna dirinya dengan menjadikan dirinya semakin
unik, dengan menrealisasikan dalam dirinya sifat-sifat yang diambil
pengajarannya daripada sifat-sifat Tuhan. Dalam hubungan dengan ini Iqbal
menukil hadith nabi saw yang bermaksud “Celupilah dirimu dengan sifat-sifat
(yang diambil pengajarannya daripada Sifat-Sifat) Tuhan”. Maka semakin hampir
manusia kepada sifat-sifat yang sempurna yanmg diambil pengajarannya daripada
sifat-sifat Tuhan semakin hampirlah ia kepada Tuhan. Semakin jauh ianya daripada
sifat-sifat yang semprrna demikian semakin jauh ianya daripada Tuhan. Orang yang
paling hampir kepada Tuhan itulah orang yang paling sempurna. Beliau
bersinandung tentang diri ini, “Titik
berpancar kemilau yang namanya peribadi ialah nyala hidup di bawah debu kita
oleh ‘isyq peribadi kian abadi lebih hidup, lebih menyala dan lebih kemilau
Dari ‘isyq menjelmalah pancaran wujudnya dan perkembangan kemungkinan tak
diketahui semula Fitrahnya mengumpul api dari cinta ‘isyq mengajarnya
menerangi dunia semesta ‘isyq tak takut kepada pedang dan pisau ‘isyq tidak
berasal dari air dan bumi ‘isyq menjadikan perang dan damai di dunia Sumber
hidup ialah kilau pedang cinta Tebing batu yang paling keras gementar oleh
tinjauan cinta Cinta Ilahi akhirnya mewujudkan Tuhan (dalam kesedaran si
mu’min) Belajarlah bercinta dan berusaha supaya kau dicintai” Yang
dimaksudkan cinta di sini ialah - ‘isyq-o-mahabbat’ - bukanlah ianya yang
ada dalam pengertian biasa tetapi ketaatan yang sehabis mesra kepada Tuhan
sehingga sifat-sifat sempurna wujud dalam diri dan masyarakat. Dalam
syairnya yang sangat terkenal, “Masjid Qurtubah” ia berlagu tentang cinta
dalam pengertian yang luas, selain daripada rujukannya kepada faktor pembinaan
peribadi: “Namun
dalam alamat ini ada) se(suatu yang kekal, hidup abadi Diukir oleh insan penaka
Tuhan menjadi juita sempurna Seorang peribadi ulung memancarkan ciptaannya
dengan sinar cinta Cinta asal kehidupan dan haram baginya kematian Cinta
menyingkirkan banjir datang
melandai Sebab cinta ialah air pasang mengalun tundukkan topan dan badai
Dilembaran penanggalan cinta jauh dari jam mengalir kini Berdirilah abad yang
lain, abad belum bernama Cinta
nafas Jibril, Cinta hati al-Mustafa Cinta utusan Ilahi, cinta kalam Tuhan Oleh
kemilau cinta marak menyala tanah lempung ini Cinta anggur hampir matang, cinta
piala bagi sang budiman Cinta hamba beribadat, cinta panglima pasukan Cinta ibnu
sabil tiada terkira tempatnya singgah Cinta jari pemetik lagu kehidupan kau
Masjid Qurtubah menjelma oleh sinar cinta Berpantang mati dalam seluruh wujudmu,
ajaib bagi dulu dan kini … ” Muslim
yang beroleh cinta sejati digambarkan oleh beliau dalam syair yang sama; beliau
bersenandung: Di
sini dalam batumu kemilau terpendam rahsia orang mu’min Nyala
api hari gemilangf, pesona malam berpendar Di
sini menjelma martabat Muslim tinggi, di sini nyata citanya luhur Asyik,
giat dan ghairah menyala, tunduk tadharru’
bagi Ilahi Rabbi Namun
megah selalu Penaka
tangan Tuhan, tangan orang yang beriman Sakti
dituntun seni, kuat mencipta dan menata negara Dibentuk
dari debu dan cahaya, khadim bagi roh Tuhan Tak
peduli kepada kedua dunia, mendenyut hatinya penuh ‘urfan Hemat
ugahari dalam benda duniawi, tinggi tujuannya, Muslim bergerak maju Hormat
adab dalam sikapnya, menundukkan hati sekejap mata Kasih
sayang pengfampun bagi yang bersalah, dahsyat dalam memburu Baik
dalam perang dan pesta raya, murni fikiran dan perbuatan Dalam
iman hambaNya rahman dan rahim Tuhan Cinta
dalam pengertian yang luas dan mendalam itu menimbulkan kesan yang sedemikian
agung dan hebatnya. Beliau
berlagu tentangnya: Dasarmu
kuat menyendi, tiada terkira tiangmu agung juita Tinggi
menjulang bagai pohon palma di luasan pasir Syria Cahaya
bagai dilihat Nabi Musa, bersinar di dinding dan atapmu Atas
menaramu tinggi berdiri Jibril syahdu -menggaya Tak
kunjung padam dan kalah roh Muslim Selama
azan menggema rahasia Ibrahim dan Musa Tak
berbatas dunia, tak bertepi ufuknya panjangf Tigris
dan Danube dan an-Nil sedenyut gelombang dalam lautnya ‘Lah
dilihatnya hari demi hari gemilang Ajaib
kisah diketahuinya Muslim
sampai abad usang berdebu mengendalikan komando “Maqju”! Dia
pemancar cinta, berkuda diarena cita Murni
dan tak bercampur pialanya, bernilai tinggi Perajurit
berjubah besi: la ilaha illa’Llah Di
bawah bayangan: Tiada Tuhan melainkan Allah! Peribadi
yang paling berjaya mengrealisasikan ‘isyq
(cinta) dan faqr (kefakiran dalam erti luas) ialah rasulullah saw. Beliau
bersenandung: Dalam
hati Muslim bermukimlah al-Mustafa Dan
seluruh kurnia kita berasal dari nama al-Mustafa Gunung
Sinai hanyalah sejemput titik debu dari rumahnya Ka’bah
rabiyatul-harm tempatnya berkediaman Keabadian
kian meluas oleh wujudnya, Dia
tidur di atas tikar lalang Tetapi
di bawah tapak kaki umatnya terhampar mahkota Kisra Dan
tempatnya berkhalwat ialah gua Hira Diwujudkannya
negara hukum dan pemerintahan banyak
dialaminya malam tidak tidur lena Supaya
umatnya dapat bermukim di singgahsana Persia Dalam
detik perjuangan besi hancur oleh pedangnya Dalam
saat sembahyang waspa jatuh bagaikan hujan dari matanya. Jelas
Iqbal memnyatakan bahawa sifat ‘isyq
dan faqr silih berganti menguatkan peribadi insan menjadi mulia dan sempurna. Dalam
pengertian biasa orang yang faqir ialah orang yang meminta dan yang dimaksudkan
di sini ialah sikap tidak mempedulikan harta dan nilai duniawi dan tidak terikat
hati dan jiwanya kepada harta benda oleh kerana cita-citanya mengatasi alam
benda dan harta benda. Sikapnya suka menolong yang baik dan yang jahat mengikut
perspektifnya, juga berbuat baik kepada yang tinggi dan yang rendah, manusia dan
haiwan. Inilah sikap faqir yang berupa “pakaian”
bagi semua makhluk yang disebutkan dalam Quran dalam ayat yang bermaksud”
Allah Maha kaya dan kamu “sekelian makhluk adalah faqir”
(Surah Muhammad: Ayat 38). Dengan
itu maka para sufiah menganjurkan sifat faqr dalam diri manusia; selain daripada
pertimbangan tentang benda ianya merujuk kepada keseluruhan sikap manusia itu
sendiri terhadap Tuhan dan para makhlukNya. Dalam
sebuah surat kepada anakandanya Javid beliau bersajak (terjemahan Bahrum
Rangkuti): Bina
di kerajaan cinta tempatmu bersemayam Ciptakan
zaman baru, fajar nan malam kemilau Tenunkanlah
katamu, jika Tuhan melimpahi kau sahabat alam Dari
kesenyapan mawar dan teratai mengimbau Janganlah
pinta kurnia situkang gelas maghribi pintar Bikin
piala dan gendimu dari tanah lempungmu berpendar Laguku
penaka buah anggur ditangkai pohonnya Buat
minumanmu merah mengalir dari kumpulannya jalan
hidupku bagai fakir tiada syahdu menggaya jangan
jual peribadimu seraya berpakaian peminta-minta Dengan
itu maka si faqir maksudnya ialah peribadi yang berusaha bagi menjayakan
cita-cita luhur bukan kerana berkehendakkan kebendaan atau kelebihan duniawi,
tetapi kerana mencari keredhaan Tuhan dan kerana hendak melahirkan ciri-ciri
mulia dan unggul dalam masyarakat berdasarkan kepada maksud dan pengajaran
nama-nama dan sifat-sifat Tuhan. Selain
itu sifat-sifat lain yang menguatkan peribadi pada mesej Iqbal ialah sifat
berani, berlapang dada, berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal (kasb-o-halal),
dan mengerjakan ussaha yang asli dan kreatif. Berani
yang dipuji itu ialah berani dari segi fisikal dan moral yang ada pada seseorang
yang menyebabkan ianya boleh melakukan sesuatu yang baik dan penting dalam hidup
ini. Orang yang berani dalam memperjuangkan kebaikan dan kebenaran memandang
aral melintang dalam perjalanan hidupnya sebagai peluang untuk memperkembangkan
watak dan tabiat dirinya supaya timbullah dalam dirinya sifat-sifat yang mulia
dan utama supaya ia menjadi peribadi yang hampir kepada tuhan melalui
sfat-sifat-nya. Beliau
melagukan: Biarlah
cinta membakar semua keraguan dan syak wa sangka Hanyalah
kepada Yang Esa kau tunduk, agar kau menjadi singa. (Bahrum
Rangkuti). Sifat
berlapang dada atau toleransi yang mulia dalam peribadi yang kuat itu ialah
sifat berlapang dada terhadap perbuatan atau pendapat orang lain walaupun ianya
berlainan daripada perbuatan atau pendapat yang kita harap-harapkan; dan ini
datang daripada kebesaran jiwa dan sifat pemurah dalam kalbu orang yang utama.
Dalam suasana demikian maka perkembangan peribadi manusia berlaku dengan baiknya
dalam masyarakat yang mengamalkan nilai utama ini. Iqbal
menyatakan dalam “The Reconstruction of Religious Thought in Islam”,
asas memupuk dan memelihara keakuan (ego) itu ialah menghormati keakuan (ego)
dalam diri sendiri dan keakuan dalam diri orang lain. (Ego di sini dimaksudkan
ego dalam pengertian yang positif). Beliau melagukan hakikat ini (terjemahan
Bahrum Rangkuti dengan sedikit penyesuaian): Amatlah
salah menyatakan kata yang buruk Kafir
dan Mu’min
sama-sama ciptaan Tuhan Kemanusiaan
bereerti menghormati manusia Maka
tumbuhkanlah dalam dirimu kejayaan insan hamba
yang mempunyai cinta mencari taufiuk dari Tuhan Dia
ramah kepada orang kafir dan yang beriman” Yang
dimaksudkan Iqbal ialah sikap toleransi yang datang dari keyakinan teguh tentang
kebenaran Islam dan sikap taat kepada Quran yang menyatakan ayat yang bermaksud
“Tidak ada paksaan dalam agama” (Surah Al-Baqarah: Ayat 256). Berusaha
mencari rezeki yang halal merupakan satu ciri yang menguatkan peribadi. Dari
segi fiqh maksudnya ialah mencari rezeki dengan cara yang sah tanpa melibatkan
penipuan, pengkhianagtan, rasuah dan seterusnya. Iqbal memperluaskan maksudnya
selain daripada yang tersebut itu ialah memperoleh cita dan fikiran denga nusaha
dan tenaga sendiri; atau memahami masalah-masalah mengikut suluhan cahaya kitab
Ilahi dan dengan pemerasan pemikiran yang sematang-matangnya. Dengan konsep yang
sedemikian seseorang itu akan menjadi matang dalam mencari ilmu dan kefahaman
mengikut ajaran Ilahi dan dengan itu peribadinya menjadi semakin sempurna dan
hampir kepada Tuhan; pada pendiriannya apa-apa yang didapati bukan dengan usaha
sendiri melemahkan peribadi. Beliau bersenandung (Dari Bahrum Rangkuti dengan
sedikit penyesuaian): Haruslah
kau malu mewarisi intan berlian dari leluhurmu Bagaimana
mungkin ini memberi ni’mat
kepadamu dalam usaha memburunya. Katanya
lagi: Nyalakanlah
dari dalam debumu sendiri kilauan api tak kentara selama ini. Apakah gunanya
beroleh sinar cemerlang orang lain? Berusaha
secara kreatif dan asli merupakan satu daripada sifat-sifat yang menguatkan
peribadi. Perbuatan meniru-niru orang lain dan menyatakan itu usaha sendiri
melemahkan peribadi.Seorang mu’min
hendaklah mempunyai kuasa cipta pada paras manusiawinya sendiri.Dengan itu ia
hampir kepada Tuhan Maha Pencipta. Dalam
perjalanan menyempurnakan diri manusia mesti melalui tiga peringkat; peringkat
taat kepada Tuhan; menguasai diri sendiri yang berupa kesedaran tertinggi dari
segi keakuannya; dan akhirnya niayabat Ilahiah. Taat
kepada Tuhan berlaku dengan jalan manusia mengenal Tuhan dan KehendakNya dan
Syariatnya dan ia taat kepada KehendakNya. Kemudian bila ianya matang dengan
demikian ia menguasai dirinya dengan sebaik-baiknya. Kemudian ia bertindak
sebagai khalifah Tuhan di bumi. Insan
sempurna demikian dilukiskan oleh beliau dengan indahnya: Menjelmalah
kau, wahai pengendali takdir Menjelmalah
kau, wahai sinar cerah gelita perkisaran Diamkanlah
bising dan gelisah negara demi negara Ni’mati
telinga kami dengan lagumu Bangkitlah
kau dan canangkan gema persaudaraan Berilah
kepada kami piala kecintaan Kesankan
kepada kami sekali lagi perdamaian di dunia ini Berilah
pesan perdamaian kepada mereka yang suka berjuang Umat
manusia ialah padang gandum dan kau panennya Kaulah
tujuan kafilah kehidupan. Sudah
tentunya ini adalah bersemaan dengan ciri-ciri yang ada pada Nabi Muhammad saw
dan mereka yang terpilih sebagai manusia yang sempurna dalam kehidupannya. Jalan
kehidupan yang sedemikian adalah jalan kehidupan yang unggul yang sepatutnya
dijalani oleh semua orang-orang yang bercita-cita tinggi lagi mulia. Satu
idealisme hakiki yang menjadi aspirasi manusia yang jernih pemikiran dan jiwanya. Beberapa
pengajaran boleh diambil daripada perbincangan di atas. Antaranya:
Sebagai kesimpulannya, persajakan Iqbal berupa persajakan yang menggabungkan antara kebenaran, keindahan, serta kemuliaan yang mengangkat martabat manusia kepada martabat yang sewajarnya sebagai khalifah Tuhan dan hambaNya serta memberansangkannya untuk membina kehidupan, budaya dan peradaban di atas dasar-dasar kebenaran, keadilan, persaudaraan dan keindahan sejagat - dengan menyedari pula reality semasa - sebagaimana yang dimanifestasikan dalam ajaran Islam dan sejarahnya.
|
|