|
TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah
|
|
بسم
الله الرحمن
الرحيم نحمده
ونصلى على
رسوله الكريم TRADISI
KEILMUAN MELAYU-SATU RENUNGAN
OLEH: MUHAMMAD
‘UTHMAN EL-MUHAMMADY Insya’ Allah apa yang
berikutnya berupa suatu renungan kembali
terhadap tradisi keilmuan Melayu dengan aspek-aspeknya yang tertentu dan
ciri-cirinya, serta kekuatan-kekuatannya dan juga apa juga yang sebaliknya
dengan matlamat untuk menjayakan langkah-langkah keilmuan yang sahih, benar,
serta mempunyai nilai kesinambungan dalam peradaban umat ini, di rantau ini.Ini
berdasarkan kepada teks-teks yang representative dalam bidang-bidangnya
yang berkenaan; juga ianya berupa percubaan untuk melihat bagaimana tradisi
keilmuan ini memberi kekuatan untuk menghadapi pemikiran dan pengetahuan
masakini.Penulis ini tidak melihat dirinya
sebagai pakar yang arif tentang bidang yang
dibicarakan ini bahkan ia melihat dirinya hanya sebagai penuntut dalam
perkembangan pemikiran Islam di rantau ini, yang ingin melihat kesahihan
tradisi keilmuan Melayu-Muslim terpandu, sahih, menghimpunkan, menguatkan,
serta menyelamatkan.Allahumma amin. Tradisi keilmuan: Maksud “tradisi” di sini
ialah sebagaimana yang digunakan oleh mereka yang mengikut huraian falsafah dan
metafisika ‘Abd al-Wahid Yahya atau
Rene Guenon ialah tradisi keilmuan dalam peradaban atau tamadun yang dipandukan
oleh kebenaran-kebenaran dari alam tinggi yang menimbulkan kegiatan-kegiatan
spiritual, intellektuil atau kesenian serta kegiatan-kegiatan yang bertalian
dengan budaya dari segi kebendaannya berdasarkan
kepada kebenaran-kebenaran tersebut.Dilihat dari perspektif ini maka tradisi
keilmuan Melayu yang menentukan wajahnya dengan cara yang paling menentukan (dicisive)
ialah kebenaran-kebenaran Islam, yang mematangkan bahasanya serta pemikirannya
yang tidak pernah muncul sebelumnya, sebagaimana yang tergambar dalam persuratan
Islamnya dan juga pegangan dan amalan keagamaannya.Dengan ini berlakulah apa
yang disebutkan oleh seorang pemikir yang menyatakan bahawa agama memberikan
kepada suatu tamadun itu apa yang paling baik dan mulia dalam budayanya dan
budaya itu pula memberi kepada agama itu bahasanya.Ertinya dalam konteks tamadun
Melayu, Islam memberi kepada tamadun Melayu apa –apa yang paling mulia dan
tinggi dari segi intelektualitinya serta nilai-nilainya
dan tamadun Melayu memberi kepada Islam bahasa Melayunya yang menjadi
pengucap bagi peradaban Islam di rantau ini.Ini tergambar pula dalam kata-kata
yang tepat dean indah itu, iaitu “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan
Syara’ dan Syara’ bersendikan Kitab”.Dan adat
itu difahamkan dalam pengertian yang multi-functional dengan
aspek-aspeknya yang menyentuh
budaya intelektuil, moral social, serta keseniannya. Tradisi Keilmuan Melayu Tradisi keilmuan Melayu boleh dilihat terbayang
dalam kitab “Sejarah Melayu” yang menunjukkan iltizam umat Melayu
kepada agama Islam aliran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, dengan penghayatan hukum
Syara’nya tergambar dalam “Hukum Kanun Melaka.”Kehidupan umat di dalamnya
merupakan kehidupan yang terdiri daripada kerjasama rakyat, raja dengan para
pembesar hulubalangnya, serta dengan alim ulama memainkan peranan mereka dan
rakyat jelata dalam kehidupan itu. Dan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa
zaman itu dengan kerancakan
perdagangan dan
juga perhubungan pelbagai bangsa di dalamnya serta dengan kegiatan
dakwahnya. Dalam tamadun Islam di sana itu minat terhadap agama sangat
tertonjol, dan tersebut bagaimana “Kitab Dur al-Manzum”
dijadikan perbincangan dan
sebutan. Pada zaman-zaman selepas kejatuhan Melaka kerana rancangan
Portugis dan kemunculan kesultanan-kesultanan Islam di Dunia Melayu ini seperti
di Aceh, dan Johor termasuk Riau dan Petani menunjukkan kegiatan-kegiatan
keilmuan Islam yang menghasilkan teks-teks Islam dalam Bahasa Melayu Jawi dalam
beberapa cawangan ilmu-ilmu Islam yang terkenal. Dengan itu maka muncullah
teks-teks yang representative bagi Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang merupakan
Islam mainstream yang asal dan benar (“orthodox”
dalam pengertian asal dalam Bahasa Yunani)
dalam persuratan Melayu dalam
bidang-bidang yang berkenaan termasuk dalam penafsiran Qur’an, huraian
hadith-hadith, aqidah Ahlis-Sunnah, pemahaman tentang Syari’at
berdasarkan kepada mazhab Syafi’I serta ajaran kerohanian seperti yang
terdapat dalam teks-teks al-Ghazali, ibn ‘Ata’illlah as-Sakandari dan Abu
Madyan al-Maghribi, Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya.Inilah ilmu
pengetahuan yang memberi rangka kepada epistemologi Sunni di Dunia Melayu
ini.Dan diskusi ilmiah inilah yang memberi
keseragaman dalam faham ilmu Sunni di rantau ini, walaupun ada terdapat sedikit
sebanyak perbezaan pendapat dalam perbincangan ilmiah di sini, serta dengan
mengambil ingatan pula terhadap
keberadaan discourse dalam ilmu kebatinan Jawa
dengan tradisinya yang tersendiri.Bagaimanapun boleh dikatakan bahawa
oleh kerana jasa para ahli ilmu Islam Sunni yang berusaha dengan
gigihnya dalam abad-abad ke 17, 18, 19 termasuk abad ke-20, terdapat apa yang
boleh disebut sebagai “semantic continuity and homogeneity” –satu
kesinambungan semantic dan keseragaman dalam wacana Dunia Melayu Sunni ini.Ini
terdapat buktinya dalam penulisan mereka yang terlibat dalam wacana agung yang
mengungkapkan wacana agung Sunni berdasarkan teks-teks agung umat ini. Sekadar menyebut beberapa
nama, maka kita boleh nyatakan nama-nama Syaikh Nurddin al-Raniri, Syaikh ‘Abd
al-Rauf al-Fansuri, Syaikh Arsyad al-Banjari,
Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani,
Syaikh Yusuf al-Khalawati, Syaikh
Nawawi al-Bantani, Syaikh Daud al-Fatani,
Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani, dan Swyaikh Ihsan
al-Jampsi dan lain-lainnya yang merupakan pembawa ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah
yang merupakan ajaran yang
mendominasi Dunia Islam.Pada penulis ini maka aliran inilah yang perlu
diteruskan, diperkuatkan, dipertahankan serta dijayakan di Nusantara dalam
menghadapi suasana dan keadaan
budaya dan cabaran pemikiran zaman
globalisasi ini. Saya tertarik kepada pemikiran ahli akademik di Cambridge, yang dahulunya mengambil bidang
falsafah, kemudian menceburi dunia ilmiah Islam dengan teliti, ‘Abdal
Hakam Murad; kata beliau dalam wawancaranya di hadapan menteri pendidikan
Bosnia tidak lama sebelum ini: “Imam
Ghazali’s significance is manifold. He not only understood philosophy, but he
showed the dangerously speculative nature of its basic premises in a way which
anticipates much of modern positivism.This awareness led him to develop a Muslim
epistemology rooted in ‘tasting’ (dhauq) i.e. the
illuminative fruits of systematic and divinely assisted introspection ,
as the only sure path to knowledge. This makes him a figure of profound and
immediate relevance to Westerners of my generation who often feel that
post-modernism and the notion of ‘equality of all discourse’ have thrown
humanity into what is in effect, despite all the information cascading from the
universities and science laboratories , as a state of ideologically rigorous
ignorance .We are now grasping what Ghazali and his school were explaining nine
hundred years ago: no universal statements about the world and the human
condition can be reached by purely ratiocinative or inductive methods , because
these cannot transcend the material context of the world in which they are
framed.Ghazali, in short, through his manifesto the ‘Ihya’’ offers the
only intellectually rigorous escape from the trap of post-modernity” (http://www.sunnah.org/audio/onghazal/htm) Yaitu “Kepentingan Imam al-Ghazali ada banyak seginya.
Beliau bukan sahaja memahami falsafah, bahkan beliau menunjukkan sifat bahaya
segi spekulatifnya pada hakikat premis-premis falsafah yang asasi, dengan secara
beliau itu mengantisipasikan banyak dari falsafah positivisme moden. Kesedaran
ini membawa beliau membentuk satu faham ilmu Islam yang mengakar dalam
‘rasa’ (pengelaman intellektuil yang sahih-p) (‘dhauq’) yaitu yang
merupakan buah-buah hasil
introspeksi dalaman secara sistematis dan dengan bantuan ilahiah , sebagai
satu-satunya sahaja jalan untuk mencapai ilmu. Ini menjadikan beliau sebagai
suatu peribadi yang relevan secara mendalamnya serta segera masa ini juga bagi
Orang-Orang Barat dari generasi saya yang kerapkali merasakan bahawa faham
pascamodenisme dan tanggapan tentang ‘persamaan bagi semua jenis wacana’
sudah melemparkan umat manusia, secara amalinya,
walaupun banyaknya maklumat yang mencurah-curah keluar dari
universiti-universiti dan makmal-makmal sains, ke dalam suatu keadaan, secara
ideologinya yang berupa kejahilan dengan cara sedemikian
bersungguh-sungguhnya.Kita sekarang ini mula menangkap memahami apa yang Ghazali
dan alirannya bicarakan sembilan ratus tahun lalu: tidak ada kenyataan yang
bersifat sarwajagat tentang alam dan situasi manusia
boleh dicapai hanya secara pemikiran
rasional atau induktif (ratiocinative or inductive methods) , kerana ini
semua tidak mampu mengatasi konteks alam kebendaan
yang di dalamnya
kenyataan-kenyataan itu diciptakan.Ringkasnya, Imam Ghazali melalui manifestonya
Ihya’ membentangkan jalan keselamatan yang satu-satunya dari perangkap
pascamodenisme.”(http://www.sunnah.org/audio/onghazal.htm).
Yang menarik hati saya ialah pemikir semasa dari alam
falsafah Barat ini boleh melihat bagaimana dalam wacana klasik dari seorang
hakim Ahlis-Sunnah umat ini ada panduan intelektuil dan rohani serta moral yang
relevan, untuk Orang Barat generasinya, tanpa
keperluan memilih jalan yang disebut sebagai ‘.liberal’ sebagai jalan yang
dituntut oleh intelektualiti manusia. Bertolak dari pegangan dan kefahaman bahawa idea-idea dan
teori-teori bila sampai kepada tahap tertentu yang parasnya universal bagi
sesuatu umat, di sini umat Islam, dan umat Melayunya yang memiliki Islam Sunni,
maka ia menjadi baku, sebagai penghabluran intellektuil dan rohani dalam
tamaddun yang sedemikian itu, dan mendapat kebakuannya.Dengan itu ia terjalin
dengan apa “yang asal” dan
apa “yang menengah”nya. Persoalan-persoalan Maka melalui cara memahami persoalan dalam rangkaian
makna-makna sedemikian, kita
dituntut untuk berpegang kepada kebenaran keyakinan Sunni ini berkenaan dengan
Tuhan, dan bagaimana huraian tentangNya (sifat-sifatNya, Perbuatan-Perbuatan Nya,
nama-namaNya, hubunganNya dengan alam
dan manusia) mengikut ajaran asal ini, tanpa keprluan untuk mengubahnya
melainkan anak-anak kuncinya boleh berubah; mungkin ada keperluan untuk menyebut
teori quantum dalam hubungan dengannya, atau teori tentang “big bang”, atau
“black holes” atau apa sahaja yang difikirkan sesuai dengan perimeter
intelektuilnya; tetapi soal-soal pokok akidahnya kekal sama, dengan kebenaran
asalnya dan kesinambungannya dengan wacana teologi Sunni itu.Tidak ada keperluan
untuk menyemaknya dengan alasan tuntutan intelektuil, menganggapnya sebagai
separuh benar, atau benar apa yang
bercanggah dengannya. Tidak perlu kita kepada pluralisme dalam aspek
demikian.Kalau tidak maka hilang maknanya semantik Sunni tentang Tuhan dan yang
berkaitan dengannya. Tikdak perlu pula disebut yang berlawanan dengannya adalah
benar, kalau tidak semantic Qur’an tentang konsep tauhid dengan cirri-cirinya
tidak ada makna lagi; juga konsep yang batil juga tidak ada maknanya lagi.Ini
menimbulkan kekacauan intelektuil dan
rohani. Ia menimbulkan fragmentasi intelektuil, moral dan tindak laku manusia;
dan akhirnya memecahkan dan meleburkan tamadun manusia sebenarnya. Tentang nabi seperti nabi s.a.w. juga tidak ada keperluan
untuk kita mengubahnya dalam system ilmu Dunia Melayu Sunni ini dengan konsep
yang lain daripada yang sudah ada dalam teks-teks teologi yang baku baik dalam
Bahasa Melayu atau lainya di kalangan
Muslimin; semantiknya sudah baku, sahih, diakui ijma’; ianya insan
kamil, yang perjalan hidupnya sunnah contoh dan tauladan dalam panduan-panduan
agama dan kehidupannya; tidak perlu kita kepada aliran
menolak Sunnah dengan alasan ia dari banyak abad yang
lalu; ia bersifat normative
sebab ia datang dari insan yang berupa norm. Ringkasnya apa yang baku dan sahih dalam pegangan Sunni
ialah antaranya yang disenaraikan dalam Alfarq
bainal-Firaq oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam bahagian akhir
kitabnya itu.Dan ini disebut-sebut dalam teks-teks Sunni di Nusantara
dengan pelbagai cara dan hujahnya mengikut teks-teks baku Sunni lainnya.. Dalam hubungan dengan Kalam Tuhan iaitu Qur’an, ini sudah
selesai kaedah-kaedahnya disenaraikan oleh para ulama mengikut bahasa Arabnya,
sasteranya, riwayat hadithnya, akidahnya, hukum-hakamnya, nilai-nilai moralnya,
ta’wilannya serta tafsirnya, juga
sejarahnya. Sifat tunduk kepada tradoisi ilmiah Sunni dalam tafsir moden boleh
dilihat pada Qur’an, Text, Translation and Commentary karangan almarhum
‘Abdullah Yusuf ‘Ali yang masih klasik sampai sekarang selepas lebih
setengah abad.Itu perlu diteruskan mengikut kaedah-kaedahnya, dengan
tambahan-tambahan berkenaan dengan maklumat-maklumat baharu dan
penemuan-penemuan baharu, dengan terus menerus berpegang kepada apa yang baku
dalam, methodologinya itu.Kalau di Dunia Melayu ia dihuraikan oleh mufasir
seperti ‘Abd al-Rauf Fansuri dengan Baidawi Jawinya sampai kepada Al-Qur’an
dan Terjemahannya oleh Departmen
Agama di Jakarta dan Pimpinan Ar-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia. Dalam hubungan dengan Syari’at, maka ini berlaku
penghablurannya mengikut ijma’ dalam empat mazhab Sunni, dan keperluannya itu
tertunai dalam umat kerana diijma’kan bahawa mujtahid (dengan darjah-darjah
kemampumannya serta bidang-bidangnya) yang melakukan yang demikian, kerana
suruhan Qur’an supaya orang bertanya kepada ahli ilmu jika seseorang itu tidak
mempunyai pengetahuan.Orang yang mampu berijtihad sebenarnya haram hukumnya
mengikut orang lain. Pintu ijtihad sentiasa terbuka untuk mujtahid, bukan
untuk orang lain; kalau dalam pengertian mengadakan hukum-hukum dengan
fatwa-fatwa, maka itu sentiasa berlaku.Hanya sekarang timbul keperluan bergabung
tenaga – kerana keadaan dan sejarah- antara ilmiawan dan faqih supaya boleh diadakan hukum-hukum yang tepat dengan
keperluan zaman. Itupun tidak
melepaskan orang awam daripada kewajipan mengikut mujtahid atau ahli fatwa yang
ada kredibiliti keilmuan dan peribadi.Dan ini bukan hanya ditandai dengan ijazah
sahaja. Tentang seruan hendak merobah seluruh system Syariat supaya
sesuai dengan zaman- sebagaimana yang biasa terdengar dari kalangan “yang
liberal”, dari segi tuntutan intelektuil itu sukar dipertahankan, sebab hukum-hukum itu dari segi yang
terbanyaknya tidak memerlukan perubahan; tentangt ibadat, hidup kekeluargaan,
muamalah, pesaka, itu relevan
kedudukannya; mungkin yang perlu
diberi pertimbangan lagi ialah tentang jenayah kerana tiada kemampuan Muslimin
menjayakannya kerana kurang persediaan dan kerana siasah antarabangsa dan
gangguan-gangguannya.Banyak aspek-aspek muamalah yang boleh dijayakan.
Tentang soal budaya, maka banyak perkembangan-perkembangan
yang boleh difikirkan, tanpa tunduk kepada budaya sensate Barat yang
nampaknya sangat kurang batasannya itu, yang banyak memihak kepada kelemahan
psikologi manusiawi. Berhubung dengan kedudukan wanita dalam Syariat, maka tanpa
tunduk melulu kepada feminisme Barat, kedudukan mereka perlu diberi penegasan
kembali dengan kedudukan mereka yang “complementary” dengan lelaki,
dengan peranan-peranan yang menasabah dengan kewanitaan mereka. Perlu
juga dibezakan antara apa yang bersifat kebiasaan-kebiasaan masyarakat dengan
apa yang dituntut oleh Qur’an, Sunnah dan ijma’ tentang kedudukan dan fungsi
mereka dalam keluarga dan masyarakat. Hak-hak mereka dalam pendidikan, dalam
masyarakat, dan kepimpinan dalam kadar keharusannya, ada
tempatrnnya.Pemingitannya secara total sudah tentu tidak ada tempatnya dalam
Syariat Islam. Syariat tidak boleh terpisah daripada hidup kerohanian
dan moral sebagaimana yang jelas dalam Qur’an dan Sunnah serta ijma’.
Usaha untuk memisahkan “legality” kesahihan dari segi undang-undang
dengan hidup kerohanian dan moral, itu
tidak boleh dipertahankan dari segi Islam. Serangan-serangan terhadap hidup kerohanian dalam Islam,
termasuk serangan-serangan terhadap tasawwuf dan tarikat adalah seruan-seruan
yang tidak ada hujahnya yang teguh.
Kalau dikatakan hidup kerohanian dan tasawwuf tidak daripada Islam, maka bukti
Qur’an, Sunnah dan ijma’
serta sejarah kerohanian dan teks-teks muktabar oleh ahlinya
menunjukkan bahawa ianya
authentik daripada Islam. Persamaan-persamaan dengan tradisi –tradisi lain
dalam perkara-perkara tertentu tidak membuktikan peminjaman , sebagaimana
persamaan wajah matahari dalam sastera dunia tidak menjadi dalil bahawa berlaku
peminjaman dalam sastera dunia dalam perkara berkenaan itu.Soalnya ialah
“coincidence of perspective”, perspektif yang berkebetulan sama.Dalam
zaman ketandusan spiritual seperti sekarang semakin manusia memerlukan
perjalan rohani dalam agama dan
bukannya penapian hidup kerohanian.Penapian itu akan membawa manusia
mencari-cari apa yang bersifat “pseudo-spiritual” atau kerohanian palsu yang
mencelakakan.Dijauhkan Allah. Serangan terhadap peribadi-peribadi kerohanian oleh
setengah pihak sebagai sesat atau terkeluar dari agama dan iman, dijauhkan
Allah, adalah fenomena yang timbul bertalian dengan beberapa perkara: sikap
tidak mahu tunduk kepada epistemology kerohanian yang ada otoritasnya dengan
mengangkat diri sendiri sebagai otoritas, sikap tidak mahu memahami peristilahan
mengikut apa yang disepakati oleh pihak yang berwenang di dalamnya (bertalian
dengan hal mula-mula), sikap tidak mahu meneliti teks-teks secara menyeluruh dan
melihat maksud secara menyeluruh dalam aliran-aliran tertentu, katakanlah dalam
hubungan dengan ibn ‘Arabi rd dan mereka yang sepertinya.Juga ini bertalian
dengan sikap mahu menggunakan methodology dalam satu disiplin ilmu kepada ilmu
lain, misalnya metodologi hadith untuk berbicara berkenaan dengan pengelaman
dhauqiah dalam perkara kerohanian dan
menolak mereka yang dianggap otoritas di dalamnya.Juga ini bertalian dengan
sifat fanatik dengan pendapat beberapa orang tertentu yang doifikirkan otoritas
yang boleh menghukum semua orang, tanpa
mengambil kira eptstemologi Sunni secara total dan integrated.Misalnya orang
yang terpengaruh dengan ibn ‘Abd al-Wahhab yang memukul ratakan para ulama dan
fuqaha serta pengikut mereka sebagai berada dalam kesesatan atau kekufuran,
dijauhkan Allah, dengan menggunakan ayat yang bermaksud “Mereka mengambil
rahib-rahib dan ahli-ahli hukum agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah”( al-Taubah:31), walhal ayat itu
ditujukan oleh al-Qur’an kepada pihak Ahli-Kitab yang menyeleweng.Yang
menyelamatkan ialah sikap menerima epistemology Sunni secara total dan
integrated mengikut teks-teks yang representative dalam bidang-bidang
berkenaan sebagaimana yang ada dalam sejarah keilmuan umat ini, dengan
kewaspadaan intelektuil tentang perkara-perkara yang sahih yang baharu muncul
dalam perkembangan budaya ilmu. Seruan untuk menolak Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, mungkin
kerana sikap hendak menjayakan sains dan teknologi, itupun satu sikap yang sukar
dipertahankan, sebab faham ilmu Sunni tidak menolak sains dan teknologi yang
bermenafaat, bahkan menerimanya. Wacana Sunni yang mengambil kira semua ilmu
yang berfaedah dalam sejarah intelektuil Sunni ialah misalnya al-Muqaddimah karangan
klasik oleh ibn Khaldun itu.Dan Islam dalam sejarahnya yang paling lama adalah
bersifat Sunni bukan Mu’tazilah
misalnya. Keperluan untuk menolak Ahlis-Sunnah dengan hujah demi bagi menjayakan
pengetahuan adalah hujah yang sukar dipertahankan. Dalam hubungan dengan pengetahuan-pengetahuan yang selain
daripada bidang keagamaan maka sikap Sunni ialah menerima mana-mana ilmu
pengetahuan yang berfaedahh termasuk sains dan teknologi, termasuklah kalau
sekarang, teknologi maklumat dan komunikasi,
serta bahkan bioteknologi bila ianya sangat berfaedah untuk umat.Sikap
ini terbentuk oleh sejarah dan ajaran yang timbul daripada kenyataan hadith
misalnya yang bermaksud “Hikmah kebijaksanaan itu barang hilang orang mukmin,
dan di mana ia bertemu dengannya ia berhak terhadapnya”. Dan dalam Faid al-Qadir
syarah al-Jami’ al-Saghir, Imam al-Munawi rh menyebutkan bahaimana mantik
digunakan oleh Muslimin walhal ianya berasal dari cabang falsafah Yunani Purba. Dalam hubungan dengan
ilmu-ilmu yang selain daripada bidang agama kita boleh camkan pandangan
seorang ulama tradisional dalam abad ke 19 yang meninggal di awal abad ke-20,
kata beliau dalam teksnya Hadiqatul-Aqzhar (hlm.19 dst. Edisi Wan Mohd
Saghir Abdullah, Kuala Lumpur, 1992): “Ketahui
olehmu bahawa ahli negeri yang besar-besar yang lain daripada bangsa kita sangat
me(ng)amat-amati dengan sya’n (kepentingan perkara-p) ilmu dan
bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan anak-anak mereka itu hingga
yang perempuan mereka itu sekalipun; dan me(ng)usaha mereka itu sehabis-habis
usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala-gala orang yang gemar (ke)padanya
dengan sekelian jalan dan tipu (iaitu helah dan ikhtiar-p) hingga meringkah (iaitu
membuat rekaan-p) mereka itu pada mengecapkan segala kitab yang boleh keluar
beberapa ribu-ribu naskhah dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau disurat
dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum sudah satu naskhah dan membina
mereka itu akan beberapa banyak madrasah yaitu rumah tempat mengajar dan mengaji
segala ilmu dan (ber)bagai-bagai hikmat dan kepandaian yang bergantung dengan
dunia dan akhirat mereka itu.” Kemudian beliau menyebut tentang apa yang berlaku di Mesir
, Turki dean lainnya berkenaan dengan kemajuan pengetahuan: “Maka kasih hamba bahawa memperikan kepada kamu akan
setengah (daripada) barang yang berlaku pada negeri Istanbul dan Mesir dan lain
daripada keduanya pada me(ng)amat-amati dengan ilmu >Adalah raja-raja mereka
itu membinakan bagi mereka itu beberapa madrasah yang besar-besar dan dihiasikan
dengan segala (per)hiasan yang sangat indah pada segala mata dan cenderung
kepadanya oleh segala hati lagi jadi bersih dengan dia cerdiknya dan gemar oleh
segala akal pada menuntuti segala ilmunya.Demikian lagi orang yang kaya-kaya
membina mereka itu pada tiap-tiap kampung mereka itu satu-satu madrasah atau
lebih dan dihiaskan dia dengan segala (per) hiasan yang elok dan diwakafkan
baginya beberapa daripada bumi atau rumah atau lainnya dan diambilkan sewanya
dan dibelanjakan dia pada maslahat segala madrasah itu dan digaji dengan dia
akan segala guru-guru yang mengajar dengan kadar yang mencukupi akan mereka itu
dan disukakan dengan dia akan segala mereka yang menuntuti ilmu kecil dan
besarnya dan dalam tiap-tiap Jumuaat itu satu hari dicuba padanya akan tiap-tiap
tilmidh (yaitu murid-p) daripada mereka itu pada barang yang ia hafazkan dia dan
barang yang difahamnya dan barang yang didapatnya daripadea segala masalah dan
kepandaian dan kebijakan (yaitu sifat bijak dan pandainya-p) di dalam
perhimpunan segala taulannya ; maka jika dapat dijawabnya dapatlah ia kepujian
daripada guru-gurunya dan orang ramai-ramainya, dan suka dengan dia segala hati
ibu bapanya dan dapat ia perbalasan gaji yang lebih dan jika tiada dapat
dijawabnya bersungguh-sungguh ia
hingga dapat supaya tiada jadi malu ia antara segala kawan-kawannya dan supaya
dapat gaji yang lebih seperti mereka itu.Maka bermegah-megah mereka itu setengah
atas setengah(nya) dengan elok khat (atau tulisan-p) dan banyak lagu dan pandai
menulis dan cempat (iaitu “cepat”) ber(h)itung dan elok aturan surat kiriman
dan peteh (yaitu petah-p) membuat syair dan fasih percakapan dan pandai bertutur
dengan beberapa bahasa yang lain daripada bahasa negerinya dan banyak hafaz dan
bijaksana pada segala ilmu dan kepandaian pada hal ia belum baligh umurnya
barang yang tiada dapat seorang kita pada hal umurnya sudah tuha (iaitu tua).” Dan beliau menyebut tentang adab dan kehebatan para
penuntut dan ahli ilmu dalam
perhatian beliau itu.Katanya: “Dan adalah mereka itu di dalam tempat mengaji mereka
itu zahir pada mereka itu baik perangai waqar (hebat, tenangt-p) dan haibat dan
sakinah (tenang-p) dan sangat beradab antara mereka itu dan dengan guru mereka
itu;apabila masuk seorang daripada mereka itu memberi salam ia serta dengan
hening dan lemah lembut ti(ng)kah lakunya dan apabila dating guru-guru dan yang
lebih-lebih (yaitu yan g mempunyaiu sifat-sifat utama dan kelebihan peribadinya-p)
daripada mereka itu berdiri sekelian mereka itu memuliakan baginya…” Beliau menyebut tentang bagaimana pada akhir tiap-tiap
musim dalam setahun itu diadakan beberapa majlis dan diuji para pelajar
tiap-tiap madrasah oleh para ulama yang terkenal dan hukama serta mereka yangt
mempunyai kelebihan, dalam tiap-tiap
Jumuaat.Ini melibatkan pembesar-pembesar negeri , wazir-wazir dengan
majlis-majlis pula haibat dan indah , dengan itu terujilah kepandaian,
kehandalan, kepitahan serta kemahiran para ahli ilmu. Kemudian kata Syaikh Ahmad berkenaan negeri-negeri yang
kuat dan maju kerana pemupukan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kekuatan intelektuil dan pemikiran serta
teknologi dan pertahanan: “Maka demikianlah
me(ng)amat-amati ahli negeri orang (yaitu negeri selain daripada Dunia Melayu-p)
dengan sya’n (atau kepentingan kedudukan-p) ilmu pada negeri mereka itu hingga
masyhur bangsa mereka itu atas sekelian bangsa dengan kepandaian dan bijaksana
dan kepetehan dan banyak ilmu; maka dengan demikian itulah dapat mereka itu
meringkah (yaitu membuat rekaan-p) buatkan beberapa alat yang (ber)menfaat pada
segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri di dalam
masa yang sedikit dan datan g kiepada mereka itu sekelian khabar-khabar daripada
sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzah (atau saat-p) dan me(ng)indah-indah
mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak dan
bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa dan dengan sebab baik
percaraan (yaitu pengurusan-p) dan
muafakat antara mereka itu (kesepaduan social-p) serta besar hemah (yaitu
cita-citia mulia dan tinggi dengan tumpuan yang bulat-p) dan halus tipu daya (yaitu
siasah untuk mencapai matlamat-p) dan jauh helah dan dalam tilik mereka itu (yaitu
berfikir dengan teratur, jauh matlamat, focus yang jelas-p) yang jadi sekelian
itu daripada banyak pelajaran (dalam erti ilmu pengetahuan disiplin dan
pendidikan-p) mereka itu; maka
boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka
itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi
mereka itu mengambil akan negeri orang dan meliputi mereka itu dengan hal ehwal
dunia laut dan darat (yaitu pertahanan mereka meliputi semua; kalau sekarang
boleh disebut ruang angkasa, pengawasan elektronik dan seterusnya-p…) Kata beliau, berkenaan dengan kerisauannya
berhubungan dengan negeri-negeri Melayu serta budaya ilmunya yang banyak
kekurangan, dan kelemahannya dalam perkara demikian, serta cita-cita beliau yang
mahu melihat Dunia Melayu ini menjadi kuat, mulia, penuh dengan kemahiran dan
pengetahuan, supaya dengan itu agama menjadi mulia dan seteru memandang Islam
dengan perasaan gerun dan hormat.Yang menariknya ialah beliau menyebut ilmu
pengetahuan yang membawa kepada kekuatan siasah dan militari sebagai termasuk ke
dalam perkara-perkara-perkara yang berkaitan dengan soal-soal besar dalam agama,
bukan “secular”.Kata beliau: “Dan adalah pada hati hamba yang fakir sehabis-habis
risau dan dukacita dengan sebab ihmal (tidak mengambil berat-p) dan mensia-sia
bangsa kita ahli tanah Melayu dan ahli segala tanah yang di bawah angin
dan segala raja-raja mereka itu yang Muslimin yang dahulu-dahulu dan yang
sekarang ini dan segala mereka yang kaya-kaya dan kemudahan daripada mereka itu
tiada memperduli mereka itu akan umpama segala perkara yang tersebut itu hingga
jadi kemudian daripada kemuliaan kita sekurang-kurang bangsa dengan dinisbahkan
kepada segala bangsa yang lain dan
hilang segala tempat kediaman kita dan kemegahan kita ; maka sekelian itu dengan
sebab taksir(kecuaian-p) kita pada u(m)pama segala perkara itu dan sangka
kita bahawasa(nya) sekelian demikian itu bukan daripada pekerjaan yang
bergantung dengan agama kita; maka dengan sebab itulah kita biarkan dia pada hal
jikalau kita tilik halus-halus nescaya adalah (itu semua-p) berambing (yaitu
bersangkut paut –p) dengan segala perkara itu daripada sebesar-besar barang
yang bergantung ia dengan agama kita, kerana dengan demikian itulah dapat kuat
atas segala seteru dan kekerasan (maksudnya kekuatan-p) yang dengan dialah (ter)pelihara
akan kemegahan agama kita dan yang menjadikan dia elok pada segala mata mereka
itu, dan besar masyhur pada segala pendengaran mereka itu dan haibat pada segala
hati mereka itu “ (Huruf tebal oleh penulis-p). Kemudian beliau dengan harapan menggunung mahu melihat
Dunia Melayu ini menjadi dunia yang melimpah dengan ilmu pengetahuan, kepandaian,
dan kepakaran, sehinggakan bangsa Melayu ini, para penguasa, ilmiawan dan
ulamanya mengatasi yang lain di dunia. Dan mereka semua mendapat pahala yang
berkekalan dan negeri mereka terekenal dengan nama yang baik berserta dengan
para pemimpin dan ulama serta mereka yang berjasa.Ini dari seorang ulama
tradisional Sunni Dunia Melayu dalam abad ke-19.Kata Syaikh ini: “Dan adalah hamba yang hakir (yaitu rendah mertabatnya,
bahasa merendah diri dengan Tuhan dan manusia-p) bercita-cita di dalam hati
sudah beberapa lama bahawasanya Allah Taala lagi akan memperdengarkan (kepada-p)
hamba dan memperlihatkan (kepada-p) hamba di dalam masa hidup hamba ini bahawa
adalah segala raja-raja Melayu (sekarang baca serta dengan para pemimpin mereka-p)
yang besar-besar istimewa segala raja-raja di dalam Tanah Petani dan raja-raja
Kelantan dan Terengganu dan Kedah yang amat mulia dan mahya besar sekeliannya
dan raja Johor yang masyhur dengan besar himahnya danb raja Dali(Deli?-p)
yang masyhur dengan murahnya dan adilnya menaruh mereka itu akan cemburu
pada segala hati mereka itu dan membesarkan segala hemah (cita-cita tinggi dan
mulia dengan tumpuannya yang berkesan-p) dan menghadapkan inayah (pertolongan
dan jagaan-p) mereka itu dan menyungguh-nyungguh
akan usaha mereka itu pada bahawa dijadikan segala negeri mereka itu (per)bendahraan
ilmu danperladungan kepandaian dan
membukakan segala mata anak jenis mereka itu (iaitu mereka di Dunia Melayu-p)
kepada memandang cemerlang kebijakan dan handalan supaya ada kemegahan
bangsa Melayu antara segala alam dan tertinggi nama mereka itu antara
Bani Adam, dan bertambah-tambah kelebihan ‘ulama mereka itu atas
segala ‘ulama dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama, serta
dapat pula bagi segala hadrat raja-raja itu jikalau diperbuat demikian itu (yaitu
membesarkan hemah, menumpukan cita pada menjayakan budaya ilmu, kepandaian dan
kemahiran, menjadikan Dunia Melayu perbendahraan ilmu dan perladungan kepandaian-p)
keredhaan daripada Allah Taala dan rasulNya yang mulia dan pahala yang amat
besar berganda (?) kerana pahala tiap-tiap
mereka yang dapat menafaat dengan segala perbuatan itu dan pahala tiap-tiap
mereka yang mempunyai kekuasaan (yaitu kebolehan-p) yang menirukan kebolehan itu
terbahagi dengan mereka itu selama-lamanya, dan dapat pula bagi mereka itu
sebutan yang baik dan kepujian yang elok atas lidah segala makhluk dan tersurat
di dalam tarikh ‘ulama dan buku raja-raja yang ‘uzama’ (yaitu yang agung-p)
yang berkekalan daripada masa hidup hingga (ke-p) Hari Kiamat”.(ibid. hlm.
22-23. Huruf tebal oleh penulis). Dan kita boleh perhatikan
lagi kenyataannya berkenaan dengan ilmu perubatan dan herba. Katanya
dalam kitabnya Tayyibul-Ihsan fi Tibbi’l-Insan: ”(Ilmu Tibb) (atau Ilmu Perubatan-p) Menyerukan kami
kepada menghimpunkan dia oleh bersangatan hajat jenis (atau bangsa-p) Melayu
kepadanya ; dan banyak dharurat hal mereka itu kepada bicaranya
kerana mengubati itu berturut-turut soal mereka itu daripadanya, serta
tiada ada sekali-kali daripada mereka itu orang yang me(ng)amat-amati dengan dia;
atas kanun yang mudawwan (atau kitab undang-undang perubatan yang tersusun dalam
kitab-p) yang membawa kepada mengetahuinya yang mu’tabar yang boleh
diperpegang akan dia pada hal ilmu tabib itu daripada sebesar-besar barang yang
berhajat kepadanya tiap-tiap manusia sehingga jahil mereka itu akan barang yang
melengkapi ia atasnya daripada beberapa banyak rahasia; dan seolah-olah ilmu
ilmu tibb itu pada sisi mereka itu sesuatu yang sia-sia; maka meninggal mereka
itu akan dia nasyan mansiyya (seperti barang yang tidak terpandang kerana tidak
bergunanya-p); dan serta tiada ada pula bagi mereka itu sesuatu daripada kutub
(plural bagi kitab-p) pada ini sina’ah (kemahiran-p)
yang boleh diperpegang atasnya; dan dipercayakan dengan nakalnya (yaitu
ambilan ilmunya-p) dan diambilkan
dengan ibaratnya dan nasnya; …(kemudian kata beliau tentang kitabnya-p) Dan
telah kami harap bahawa membukakan Allah akan hati seorang yang mempunyai hemah
yang tinggi maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa pohon kayu dan
tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan
memeperiksakan yang demikian itu maka disuratkan beberapa faedahnya dan khasiatnya dan pangkat segala
tabiatnya dan kaifiat isti’malnya (cara menggunakannya-p) seperti barang yang
memperbuat demikian itu oleh hukama’ Yunani pada masa yang dahulu dengan
beribu-ribu tahun ; kemudian mengambil daripada mereka itu oleh hukama’ Arab
dengan hemah setengah daripada raja-raja anak Harun al-Rasyid , maka berkekalan
menta’lif (yaitu mengarang kitab-p) mereka itu beberapa banyak karangan ; maka
tercawang (yaitu menjadi banyak cawangan-cawangannya-p) daripada demikian itu
hingga sekarang (abad ke 19 dan awal abad ke-20) ini tibb segala tabib Furs (Orang
Parsi) dan Hind (yaitu India) kemudian beratus-ratus pada yang demikian itu oleh
segala tabib Afranj (yaitu Bangsa Barat amnya-p) maka menambah merengkah (atau
membuat rekaan-p)mereka itu beberapa banyak rengkahan (atau benda rekaan-p) yang
ajib pada hal kita jenis Melayu aula (atau lebih patut melakukan yang
demikian itu-p) dengan demikian itu dari kerana banyak
segala ubat-ubat itu pada bumi kita hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka
itu diambilkan daripada bumi kita (hutan tropika kita-p) dan kita terlebih aula
(atau terlebih berhak dan patut-p) pada
(me)merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita ; maka
bersangatanlah sayugia bagi raja-raja Melayu (sekarang dengtan para pemimpin
yang ada-p) bahawa memalingkan
hemah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut
dengan menyungguh-nyungguh men yuruh dan menggemarkan manusia pada
demikian itu dengan memudahkan jalan bagi demikian itu
dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu maka dapat baginya pahala
yang jazil (yang amat banyak-p) ; dan berkekalan baginya sebutan yang jamil (indah-p)…(Tayyibul-Ihsan
fi Tibbil-Insan, edisi Wan Mohd Saghir Abdullah, Khazanah fattaniyyah, Kuala
Lumpur, hlm.3-4). Apa Yang Diperlukan: ·
Antaranya ialah pengembalian semula kepada epistemology
Sunni dalam hubungan dengan
soal-soal tentang keTuhanan, Kenabikan, alam abadi dan segala perkara yang
bertalian dengan “world-view” Islam Sunni yang baku, serta dengan pencarian
kunci-kunci baharu dari perkembangan budaya dan intelektualiti semasa secara
sahih dan tepat, bukan hanya
sebagai pengikut budaya Barat
secara “taklid” begitu sahaja; dengan itu berlakulah penegasan kembali
kebenaran-kebenaran itu yang akan
mengembalikan kebenaran itu kepada kedudukannya serta dengan penghayatannya
dalam hidup manusia yang mempunyai keyakinan yang tinggi, yang disebutkan oleh
alm Said Halim Pasha sebagai “deep hearted men of action”, insan intelektuil
yang mendalam keimanannya serta yang berupa manusia yang beramal bukan hanya
berbicara.Pengembalian semula kepada epistemology ini bukan sikap sectarian
tetapi sikap kembali kepada Islam asal. ·
Juga ini bermakna penegasan kembali iltizam intelektuil dan
kerohanian terhadap ajaran Syariat
dalam pembakuannya dalam aliran-aliran mazhab Sunni yang terkenal dengan fiqhnya
oleh para mujtahid yang berjasa itu, dengan mengambil kira keperluan
tambahan-tambahan dalam hubungan dengan masalah-masalah semasa tanpa terputus
kesinambungan intelektuil yang ada dalam umat ini.Dan dalam rantau kita ini
alirannya ialah mazhab Syafi’I dengan mengambil panduan dan menafaat dalam
fiqh mazhab-mazhab lainnya dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah. Sikap ini akan
menjamin kesahihan pegangan serta sifat homogen dalam memahami persoalan yang
mjenjadi asas bagi pembangunan tamadun dan budaya di rantau ini. ·
Dalam soal-soal spiritual dan moral panduan perlu diambil
daripada wacana agung Sunni di dalam bidangnya, dengan mengambil kira apa-apa
yang muktabar dalam bidangnya.Umpamanya panduan Imam al-Ghazali rd adalah
diperlukan dalam bidang ini. ·
Dalam soal ketamadunan, budaya, kemasyarakatan, falsafah
sejarah, budaya ilmu dan pemikiran serta kesepaduan social umat, maka wacana
baku Sunni yang memandu ialah al-Muqaddimah gubahan ibn Khaldun rh.Teks
seminal dan luar biasa ini- yang disebut oleh Arnold Toynbee sebagai buku
teragung dalam bidangnya, yang pernah diahasilkan oleh suatu akal manusia di
mana-mana dan di zaman mana pun—perlu memandu manusia Dunia Melayu dalam
pembinaan budaya, tamadun serta pemerkasaan budaya ilmu dan berfikir, disertakan
dengan kekentalan keyakinan dan rasa harga diri.Dan oleh Jude Wanniski ia
disifatkan sebagai kitab yang terletak dalam senarai lima buah kitab terpenting
dalam seluruh sejarah dunia.Antara terpentingnya teks ini mengandungi
teori tentang ‘asabiyah yang perlu digunakan bagi menjayakan perpaduan di
Dunia Melayu ini, sebagai inti atau teras kepada kesepaduan dalam membina
tamadun bersama dengan masyarakat madaninya di rantau ini. ·
Dalam hubungan dengan ahli-ahli tamadun lain dan agama
lainnya, maka umat Melayu Muslim perlu membuat persediaan untuk mengadakan
dialog mesra dan beradab, dengan memahami kelainan-kelainan yang ada, dan
persamaan-persamaan dalam nilai-nilai sarwajagat, demi untuk membina tamadun
bersama dalam menghadapi penghakisan nilai dalam arus “mono-culture”
dari Barat dalam zaman globalisasi yang sangat memprihatinkan.Dialog itu
bukanlah berlaku dengan sikap yang kepura-puraan “liberal” mendatar,
artificial, yang cetek, tetapi yang bersedia melihat adanya kelainan-kelainan
dan juga persamaan-persamaan yang sahih, tepat,
serta belajar hidup beradab dalam kelainan dan persamaan itu; ini berlaku
pada zaman Nabi s.a.w. dalam perjanjian Madinah sebagaimana yang direkodkan oleh
Ibn Ishaq rh. ·
Untuk membuktikan Islam agama rahmat dan kasih saying serta
persefahaman tidak perlu-dari segi intelektuilnya- diambil sikap “liberal”
sampai melemparkan asas-asas agama yang
sudah sepakat benarnya dalam umat, untuk menjayakan persamaan yang direka-reka
secara artificial.Bentuk yang demikian tidak boleh bertahan sebab ia bukan ada
asas yang teguh, dan bukan direstui oleh kerangka epistemology
yang terhormat dan sahih. Wallahu a’lam.
September 24, 2002 Bibliografi Ringkas Selain daripada yang dinukil dalam teks, antaranya: Adian Husaini M.A. dan Nuim Hidayat, Islam Liberal, Gema
Insani, Jakarta, 2002. Arnold, Thomas ,The Preaching of Islam, Lahore,
Pakistan. Hartono Ahmad jaiz,Bahaya Islam Liberal, Pustaka Al-Kautsar,
Jakarta, 2002. Mohd Taib Osman dan A.Aziz Deraman(eds), Tamadun Islam
di Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, 2000; Riddel, Peter, Islam and the Malay-Indonesian World, Horizon
Books, Sinpapore, 2001. Said, Edward W., Orientalism, Vintage Books, New
York, 1979. Steenbrink, Dr Karel A., Beberapa Aspek Tentang Islam di
Indonesia Abad ke-19,Bulan Bintang, Djakarta, 1984. Yaakob Haron (ed),Kosmologi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2001.
|
|