TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah

 

Pemikiran Politik Di Kalangan Aktivis Muslim

 

Akhir-akhir ini pengamat-pengamat barat membahagi kecenderungan pegangan, fahaman dan amalan ummat ini kepada 4 aliran induk:[1]

 

Aliran  fundamentalis: aliran salaf, yang  mengaku berpegang kepada al-Quran dan sunnah secara langsung. Mereka mengikut manhaj Imam Ibnu Taimiyyah, Imam Ibnu Qayyim , Imam Muhammad Abdul Wahab, Syaikh Nasaruddin al-Bani, Syaikh Umar Abdul Rahman dan ulama semasa yang sewarna, walaupun ‘kepekatan warna’ mereka berbeza-beza .

Pihak barat menganggap inilah golongan yang paling banyak terlibat dengan operasi jihad di serata dunia pada waktu ini. Banyak daripada mereka menolak penglibatan di dalam system demokrasi  kerana pada mereka ianya adalah system jahili serta boleh menjerumuskan kepada kekufuran.

 

Aliran Tradisional: aliran yang memahami al-Quran dan Sunnah dengan mengikut huraian yang diberi oleh ulama mazhab. Di dalam feqah, mereka mengikut huraian ulama daripada salah satu daripada mazhab empat, dalam usuluddin mereka mengikut huraian Ulama Asya’irah dan Maturidiiyah atau Hanbaliyah. Di dalam akhlak mereka mengikut Imam Junaid, al-Ghazali, Habib Abdullah al-Haddad  dan mereka menerima keabsahan tariqah sufiyyah yang muktabarah, malah mereka beramal dengan amalan tariqah.

Mereka biasanya ‘sibuk’ dalam ilmu dan kegiatan harian mereka, sehingga tiada nampak aliran politik yang dominan di kalangan ini. 

Mereka tidak mempunyai fahaman politik yang seragam, kebanyakan mereka melibatkan diri di dalam arus-arus utama politik di negara masing-masing. Ada juga yang mempunyai prinsip yang tertentu dan tidak melibatkan diri di dalam politik kepartian.

Di antara pemuka aliran ini ialah ulama pusat-pusat pengajian tradisional , Maulana Ilyas, Maulana Zakaria, Syaikh Said Badiuzzaman dan Maulana Abu Hasan an-Nadwi.

 

Aliran Modenis: mereka beranggapan yang mereka mengikut gerakan pembaharuan yang dimulai oleh Syaikh Muhammad Abduh, Jamaluddin Afghani dan  Ali Shari’ati. Mereka memberi tafsiran semasa dan nafas baru kepada pengajaran al-Quran dan sunnah. Mereka mengkagumi perkembangan dan kemajuan yang berlaku di barat, dan menyesuaikan segala itu kepada ‘ruh atau maqasid’ ajaran Islam. Mereka tidak memberi keutamaan kepada  ‘ritual’dan rupa luaran kerana mementingkan  ruh dan maqasid. Mereka memahami agama berpaksikan konteks dan bukannya teks. Mereka menekankan keperluan ijtihad  dan tajdid berdasarkan keadaan semasa dan bermatlamatkan kemajuan dan suasana semasa. Sebahagian mereka tidak berapa menyukai golongan ulama.

Mereka menerima demokrasi sebagai praktis politik Islam, ada yang menerima persamaan hak rakyat tanpa mengira agama dan jantina. Golongan ini hampir terdapat di segenap pelusuk dunia dan bergerak di bawah belbagai organisasi dan nama.

 

Aliran sekularis: mereka mahu meminggirkan agama semada daripada institusi kemasyarakatan atau sehingga kepada kefahaman serta amalan individu. Mereka beranggapan Islam sudah tidak sesuai untuk berdepan dengan kemajuan zaman serta terdapat kelemahan-kelemahan yang ‘intrinsic’ di dalam ajaran agama ini.

Aliran ini mendapat dokongan daripada segelintir pemimpin tentera dan intelektual di negara Islam atau intelektual muslim yang bergiat di negara-negara barat.

 

 

Dua Aliran Yang Dominan Di Dalam Fahaman Politik Kenegaraan.

 

Di dalam kesempatan yang terbatas ini,  agaknya bermanafaat kiranya kita cuba menyusur dua aliran fahaman yang dominan  berkenaan penglibatan di dalam politik kenegaraan dan kepartian yang dibincangkan oleh ulama dan pemikir Islam semasa.

Terdapat golongan yang berpandangan yang tumpuan asas dan teratas bagi kedatangan Risalah Islam ialah menyucikan jiwa daripada syirik dan sifat-sifat yang tercela, serta menjayakan kehidupan beribadat pada peringkat diri, keluarga dan masyarakat sehingga tercapailah nikmat kemanisan berdampingan dengan Allah, lahirlah keikhlasan yang jilah, sehingga kekuatan dalaman itu menjadi saluran kepada turunnya rahmat yang  melimpah keluar ke atas masyarakat luas. Bagi tujuan perbincangan , golongan ini dari aspek ini, kita sebutkan golongan konservatif.

 

Sedangkan satu golongan lagi melihat matlamat teratas bagi kedatangan Risalah Islam ialah untuk mewujudkan sistem-sistem  masyarakat Islam, atau ringkasnya pembentukan ‘Islamic State’. Persiapan peribadi-peribadi yang kuat aqidah mereka serta taat melakukan ibadat  diumpamakan penyediaan anggota-anggota tentera bagi peperangan demi mencapai matalamat teratas itu. Golongan ini pula dari aspek ini kita sebutkan golongan progresif.

 

Kedua-dua golongan ini menerima asas-asas dan huraian pengajaran agama yang berpaksikan aqidah, ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan akhlak. Kedua golongan ini menerima kewajiban melaksanakan dan menjalankan hukum-hukum agama pada peringkat masyarakat dan pemerentahan.Mereka mempunyai persamaan yang lebih banyak daripada berbezaan,  Mereka hanya berbeza dari beberapa segi:

 

            1-tujuan teratas kegiatan keagamaan

            2-unsur-unsur utama yang menyebabkan berlakunya islah di dalam masyarakat

            3-wasilah yang di, gunakan  serta maksud daripada penggunaan wasilah tersebut.

            4-penerimaan sistem  politik yang terdapat di negara masing-masing

 

 

Golongan Konservatif

 

Di antara ulama yang paling tertonjol dan kerap membincangkan kefahaman golongan ini ialah Maulana Abu Hasan Ali an-Nadwi.. Maulana ini telah mengemukan kefahaman ini di dalam majlis yang dianjurkan oleh pemimpin dan pengikut Ikhwan al-Muslimin di Kaherah tidak berapa lama selepas Imam Hasan al-Banna terkorban. Maulana telah menyenaraikan 7 tabiat dakwah para anbiya yang berbeza daripada tabiat dakwah dan muslihin manusia lain, 3 daripadanya[2]:

 

1-     Sentiasa bergantung kepada Allah pada segala peringkat dakwah dan jihad, bahkan pada setiap peringkat kehidupan. Mereka tunduk  di dalam kehidupan ubudiyyah mereka,  kekecewaan di atas kekurangan ibadat mereka seumpama kekecewaan seorang faqir yang ditimpa malang, bergantung kepada belaian rahmat Allah seumpama bayi yang mengharapkan belaian ibunya. Dia mempunyai iman yang kuat bahawa Allah sahaja yang dapat memberi manafaat, yang dapat memberi mudarat, yang memberi pertolongan, yang dapat menghina, dan tiada yang dapat menegah apa yang dianugerahi-Nya, dan tiada yang dapat menganugerahi apa yang ditegah-Nya, Dialah yang menolong golongan yang daif ke atas golongan yang kuat, golongan sedikit ke atas golongan yang ramai. Golongan yang lemah dengan pertolongan-Nya menjadi kuat, golongan yang sedikit dengan rahmat-Nya menjadi ramai. Perkara inilah yang menjadi sebutan didalam doa mereka kepada Allah, di dalam munajat yang panjang mereka di depan pintu Allah dengan lafaz yang lafaz yang menakjubkan. Lihatlah doa Rasulullah SAW yang menggambarkan contoh yang jelas  bagi imannya, syu‘urnya dengan kefakiran, kedaifan, kebergantungan  kepada rahmat Allah: “Allahumma, sesungguhnya Engkau mendengar perkataanku, melihat kedudukanku, mengetahui batinku dan zahirku,tiada yang tersembunyi ke atas Engkau apapun daripada urusanku, aku adalah hamba yang faqir hina, yang bermohon,……………

Atau lihatlah doa baginda  ketika di usir dari Taif dan juga doa baginda SAW ketika peperangan Badar[3].

Inilah kekuatan para anbiya, mereka  mendahului doa dan  mengambil berat tentangnya, mereka merayu-rayu kepada Allah di dalamnya. Tidaklah doa itu kecuali lambang inabah mereka kepada Allah,  ‘itimad mereka atasnya dan mengambil kuat daripadanya. Keistimewaan dakwah mereka  dan jihad mereka dengan  penghayatan tabiat secara ruhi dan imani. Diriwayatkan yang Rasulullah SAW apabila berdepan dengan   kesulitan akan besegera kepada sembahyang, sebagaimana firman Allah : “Minta pertolonganlah dengan sabar dan sembahyang”.

 

Tiada syak sesungguhnya pergantungan kepada doa sepatutnya lebih besar daripada  pergantungan kepada kekuatan jasad dan harta-benda, atau persiapan ilmiyyah dan aqaliyyah. Segala kekuatan lain tidak dapat berdiri sendiri tanpa kekuatan kerohanian serta tanpa pertolongan dan anugerah Allah.

 

2-     Keistimewaan dakwah para anbiya dan juhud mereka ialah sifat  tajrid (kosong) daripada pertimbangan manafaat harta-benda atau hasil segera (duniawi), tiada yang dicari dengan dakwah dan juhud mereka kecuali keredaan Allah, mereka patuh kepada perentah-Nya dan menunaikan risalah-Nya. Tajrid aqal dan pemikiran mereka daripada amalan untuk kepentingan dunia, atau kecenderungan kepada kedudukan, atau mencari kekuatan bagi keluarga atau pengikut mereka atau mendapat pemerentahan.

Sehingga keinginan lain itu tidak pernah terlintas di jiwa sahabat-sahabat dan pengikut mereka. Adapun pemerentahan  yang telah ditegakkan  oleh mereka  pada ketika mereka memiliki kekuatan yang terhasil bagi mereka itu tatkala sampai masanya itu tiada lain kecuali anugerah daripada Allah dan wasilah untuk sampai kepada tujuan agama, melaksanakan hukum-hukum-Nya, mengubah masyarakat dan menghadapkan kehidupan sebagaimana firman-Nya: “Orang-orang yang kukuhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar”. Bukanlah kuasa pemerentahan itu merupakan suatu cita-cita  daripada cita-cita mereka, ghayah (tujuan) dari tujuan-tujuan mereka, hadaf (matlamat) daripada matlamat-matlamat mereka , atau impian daripada impian mereka. Ianya merupakan natijah yang tabie (natural result)  seumpama buah-buahan yang terhasil sebagai natijah suburnya pokok dan lebatnya bunganya.

 

Golongan yang menyahut seruan Rasulullah SAW pada awal zaman kenabian tersedia berdepan dengan bala dan azab kerana mereka telah didatangi wahyu: “Apakah manusia mengira yang mereka akan ditinggalkan untuk berkata ‘ kami orang sebelum mereka, supaya jelas kepada Allah orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta”. Mereka menjadi teguh pendirian umpama gunung walaupun apa yang berlaku ke atas mereka seraya mereka berkata “ inilah apa yang dijanjikan kepada kami oleh Allah dan Rasul-Nya, benarlah janji Allah dan rasul-Nya”, sehinggalah mereka dibenarkan berhijrah, berkekalan dakwah itu tanpa dipermudahkan  jalannya dan belum mengeluarkan buah-hasilnya sehingga Allah tentukan yang  pendukung dakwah tersebut memerentah di dunia ini dan mendirikan keadilan, mengeluarkan manusia  daripada kegelapan kepada cahaya, dari penyembahan hamba kepada hamba  kepada ibadat kepada Allah semata-mata, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Mereka menyedari yang tugas mereka apabila mereka mejadi penguasa dan pemimpin “ Dirikan sembahyang, tunaikan zakat, menyuruh dengan yang makruf dan mencegah yang mungkar

Demikianlah dakwah membawa kuasa pemerentahan, sebagaimana hujan membawa tumbuhnya rumput dan tumbuhan, sebagaimana pokok menghasilkan buah-buahan, tiada pemerentahan Islam itu kecuali buah daripada buah-buah  hasil dakwah Islam ini. Tiadalah kemulian  dan kekuatan ini kecuali natijah daripada azab yang ditanggung daripada penyiksaan Quraish dan selain mereka.

Terdapat perbezaan yang besar  di antara ghayah yang dimaksudkan dengan natijah yang terlahir. Demikian itu juga zahirnya perbezaan  tersebut pada diri-diri pendukung dua aliran yang berbeza ini. Orang-orang yang bermaksud ingin memperolehi pemerentahan  akan sedih dan terduduk apabila  cita-cita mereka tiada kecapaian atau cita-cita mereka terputus di sekarat jalan, mereka akan sibuk dengan aktiviti untuk mendapat pemerentahan sehingga terabai kerja dakwah dan akan melampaui batas apabila tercapai cita-cita mereka. Adalah merbahaya untuk mana-mana jamaah  yang mengasaskan  aktivitinya  bagi tujuan mendapat pemerentahan dan berusaha ke arah itu disebabkan mereka akan menghalang mereka daripada jihad pada jalan dakwah atau terseleweng daripada tujuan sebenar dakwah. Kerana sesungguhnya jalan-jalan mencapai kepada pemerentahan berbeza daripada jalan-jalan dakwah..

 

Tiadalah sepatutnya yang mengerakkan kita bagi berusaha, berjihad kecuali menjunjung perentah allah dan untuk mencapai kebahagian di akhirat daripada apa yang dijanjikan oleh Allah bagi hamba-Nya daripada pahala dan ganjaran, kemudian kita berkasih-sayang ke atas makhluk, menyebarkan rahmat ke atas manusia dan berusaha untuk kejayaan manusia. Sekiranya perkara terebut tidak dapat dilaksanakan  pada mana-mana marhalah daripada marhalah-marhalah dakwah, atau di dalam sesuatu masa dari masa-masa - selepas meresap asas-asas dakwah di dalam jiwa pendakwah dan teguh aqidah mereka padanya- kecuali dengan memperolehi pemerentahan, kami akan menuju kepadanya bagi tujuan kepentingan dakwah dan kepentingan agama, sebaimana kami menuju kepada air untuk mengambil wudu, kami bersungguh bagi memperolehi sebab ini dengan perkiraan yang sama, dengan cara yang sama, dengan sikap beringat-ingat yang sama, dengan kesucian perasaan nyang sama, dengan kejujuran,amanah, khusyu dan tajrid , kita bersungguh-sungguh padanya kerana ianya adalah kewajiban agama, rukunnya dan seperti juga ibadat yang lainnya. Tiada perbezaan bagi mukmin di antara pemerentahan dan di antara ibata apabila diperolehi ikhlas dan sah niatnya, semuanya padea mencari reda Allah, semuanya pada Sabilillah. Semuanyaini merupakan  ibadat yang menghampirkan hamba kepada Allah.

 

3-  Keistimewaan  yang terdapat pada penghidupan para anbiya dan di dalam sirah an-Nabawi ialah  keteguhan mereka di dalam melaksanakan dakwah dan sabar di dalamnya, mereka tidak melangkahi marhalah ini yang merupakan  asas dengan  segera dan  cepat. Mereka tidak melompat  daripadanya jangkahan kepada marhalah yang lain, bahkan mereka melaksanakan tugas ini mengambil tahun-tahun yang panjang, mereka tidak sibuk selain daripada tugasan ini. Mereka tidak berpuas-hati (matmain) walaupun masyarakat telah dapat menerima dakwah mereka, para pendakwah telah menyampaikan dakwah mereka, mereka telah melaksanakan  apa yang mustahak berkenaannya, jiwa-jiwa manusia telah menerima risalah ini dengan cernaan yang baik, manusia telah mengikut hukum-hakam, mereka tidak berpuas hati sehingga segala ini sehingga tertahkik dan terbukti dari masa ke semasa yang mereka tidak lagi mendusta jiwa mereka, mereka tidak terseleweng dengan kelancaran ucapan . Maka inilah natijah daripada tarbiyyah yang padu dan dakwah yang berpanjangan, yang telah membuahkan hasilnya yang mekar dan segar. Maka apabila terdirinya poemerentahan ianya terdiri di atas asas akhlak yang sepadu, di atas bahu-bahu lelaki yang perkasa: perkasa aqidah mereka, perkasa perjalanan hidup mereka, perkasa  jasad mereka, perkasa ibadat mereka, perkasa siyasah mereka. Mereka tidak cenderung bersama mana-mana  pihak berkepentingan, tidak dihanyutkan oleh pembangunan, pemikiran mereka tidak dipermainan kekayaan selepas kefakiran, kesenangan selepas kesulitan, kekuatan selepas kedaifan . mereka tidak diterpedaya oleh penyokong, keluarga dan sahabat handai, Inilah peri-hal para khalifah ar-rasyidin, inilah juga perjalanan hidup khalifah ar-rasyidin.

Kemenangan tentera Islam ke atas Rum dan Parsi tidak menyebabkan mereka lalai daripada menjalankan kehidupan sebagaimana sepatutnya  serta melaksanakan tugasan dakwah. Mereka beriman kepada : “Negeri Akhirat itu Kami jadikannya bagi mereka yang tidak menginginkan ketinggian di dunia, dan tidak kefasadan, Dan akibat yang baik itu bagi orang-orang yang bertaqwa”. Para sahabat beriman dengan sabdaan Rasulullah SAW menjelang kewafatan baginda : “ Bukanlah kefakiran yang aku takut ke atas kamu, tetapi aku takut diluaskan ke atas kamu dunia sebagaimana diluaskan ke atas orang sebelum kamu. Maka keluasan itu akan memusnahkan kamu sebagaimana ianya memusnahkan orang sebelum kamu”. Mereka mendengar degungan alunan : “Allahumma, tiadalah kehidupann yang sebenar kecuali kehidupan akhirat, maka ampunilah bagi golongan ansar dan muhajirah”.

 

Demikianlah mereka menjaga ruh dakwah Islam dan sirah para anbiya, mereka memegang tampuk pemerentahan sebagai pendukung dakwah, mereka hidup di dunia sebagai pengemar akhirat.

 

Maulana Ilyas al-Kandahlawi di dalam Malfuzat yang dihimpunkan oleh Maulana Manzoor Nu’mani telah menjelaskan kefahamannya terhadap tafsiran ayat 55 surah an-Nur:

 

Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu  bahawa Da sungguh-sungguh akan menjadikan  mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan berkuasa orang-orang sebelum mereka. Dan sungguh Dia akan  meneguhkan bagi mereka  agama mereka yang diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukarkan keadaan mereka  sesudah ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka tetap menyembah-Ku  tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, sesiapa yang kufur selepas demikian maka mereka itu adalah golongan fasiq.

 

Terdapat dua pertimbangan di sini, pertamanya Allah yang telah memberi janji dan keduanya janji-janji Allah itu sendiri. 

 

Diumpamakan seseorang lelaki telah melamar seorang perempuan untuk dijadikan isteri, dia berjanji sekiranya lamarannya diterima, dia akan menghadiahkan itu dan ini kepada perempuan tersebut, lelaki ini sememangnya akan mengkotakan janji-janjinya. Mungkin sahaja perempuan itu akan menerima lamaran tersebut kerana terpikat kepada janji-janji lelaki itu, atau dia telah terpikat kepada lelaki tersebut dan mahu menjadikannya sebagai suaminya. Penerimaan lamaran perempuan manakah lebih tulus dan suci, walaupun kedua mereka akan memperolihi hadiah-hadaih yang dijanjikan oleh lelaki tersebut?. Begitu jugalah adab kita dengan Allah, kita penuh yakin yang Allah akan memenuhi janji-janji-Nya tetapi kita kita selayaknya mencari reda-Nya dan yakin yang janji-janji-Nya akan datang jua.

 

Maulana Ilyas juga disebut telah memperingatkan bahawa perlaksaan syariat Allah sebenarnya merupakan rahmat kepada kita, sekiranya kita ditadbir di bawah syariat itu adalah nikmat yang besar, tetapi bagaimana nikmat itu dapat datang ke atas kita, apabila kita sendiri telah mengabaikan syariat-syariat yang menyentuh diri kita baik secara luaran mahupun secara dalaman. Bagaimana kita yang mengabaikan rahmat-rahmat yang mampu kita capai kerana mengejar impian yang belum lagi tercapai.

Maulana Zakariyya al-Kandahlawi menulis kitab khas tentang fahaman beliau terhadap penglibatan di dalam politik dan amalannya yang berbentuk semasa berdasarkan pertunjuk Islam, al-‘Itidalu fi Maratibi al-Rijal, ia merupakan suatu tulisan antara yang terbaik di dalam bidang ini. Maulana Zakariyya menjelaskan punca-punca keruntuhan kita, jalan-jalan membina semula serta pertimbangan-pertimbangan dan kebijaksanaan yang perlu ada bagi orang yang ingin mencebur ke dalam aktiviti politik .[4]

 

Syaikh Said Badiuzaman telah menulis risalah kecil al-Ikhlas wa al-ukhuwwah, yang membincangkan rasional penolakannya terhadap penglibatan politik kepartian yang terdapat di Turki pada zamannya. Penolakan beliau ini menyebabkan beliau memanggil diri beliau selapas itu sebagai  Said al-Jadid, dan menyebut “aku memohon dengan Allah daripada syaitan dan politik (kepartian)”. Dia melihat politik kepartian sebagai suatu elemen yang mampu memusnahkan integriti ummah., beliau juga menolak ajakan Syaikh Said al-Kurdi yang melancarkan pemberontakan terhadap pemerentahan Kamal Artartuk dengan berhujah yang pasti akan  terkorban di dalam pemberontakan itu ialah tentera kerajaan yang beragama Islam dan pengikut syaikh yang juga beragama Islam, kedudukan Kamal Artartuk belum tentu tergugat. Beliau memilih untuk meneruskan jalan dakwahnya walaupun beliau terpaksa menghabiskan lebih daripada separuh umurnya di dalam penjara kerana aktiviti tersebut.[5]

 

Imam Hasan al-Banna mempunyai pegangan yang tidak sangat berbeza daripada kelompok ini, beliau menegaskan secara jelas di dalam ucapannya ‘alfikratu al-iqtisadiyyatu fi kitabi lah’ yang termuat di dalam Hadith ath-Thulatha yang terkenal itu:

 

Sesungguhnya kedatangan kitab Allah (al-Quran)  mempunyai maksudnya yang pertama dan ghayah-nya yang asasi  adalah sebagai kitab hidayah badaripada al-Quran al-Karim  tertumpu kepada rawatan jiwa manusia sehingga menjadi bersih, suci, tegak dan memahami sesuatu di atas hakikatnya yang sebenar, sehingga jadilah ghayah bagi setiap insan itu adalah kebenaran, keindahan, keadilan dan kemuliaan.

 

Al-Quran al-Karim , ya akhi, datang pertamanya sebagai rawatan kepada jiwa.. untuk merawat jiwa insan, bukan untuk merawat nizam (system)  insan. Perkara ini bersama juga rawatan bagi nizam manusia juga kedapatan di dalam Kitab Allah – tetapi itu bukanlah tujuan utamanya, Ini adalah kerana pabila jiea manusia sejahtera, sejahteralah pandangan terhadap nizam. Dan apabila jiwanya fasad, fasadlah pandangannya terhadap nizam walaupun nizam itu baik secara intrinsic-nya.

 

Seorang qadi yang adil, ya akhi, yang di depannya kanun yang  curang, tetapi jiwanya yang baik dan keiklasannya terhadap keadilan dan kecintaannya kepada keadilan itu, akan membawanya  dalam keadaan yang sedemikian  untuk mengeluarkan  daripada kanun yang curang itu  keputusan yang adil.. dan apabila seorang qadi yang fasad jiwanya yang mengikut hawa nafsu mendapati kanun yang yang adil, tetapi kefasadan jiwanya akan menyebabkan dia mengeluarkan daripada kanun yang adil itu hukuman yang curang yang sepakat dengan nafsunya….

 

Kesejahteraan masyarakat  asasnya adalah kesejahteraan hati, kefasadan masyarakat asasnya kefasadan jiwa.[6]

 

Sehingga Imam Hasan al-Banna menyebut:

 

Terdapat perbezaan di antara peraturan  samawi dan peraturan sivil (wad‘ie) , yang pertama itu meresap di hati manusia dan tegak pada seluruh jiwanya dan  menjadi penjaga dirinya, sedangkan yang kedua itu tidak mengandungi elemen kerohanian, inilah juga yang menjadi penyebab kekurangan bagi yang kedua di dalam perlaksanaan hukuman jenayah.

 

Ucapan yang sama acap kali diulang-ulang oleh Imam ini:

 

Maka kesejahteraan jiwa adalah kesejahteraan ummah, perubahan jiwa adalah perubahan ummah, disebabkan inilah al-Quran menetapkan maksud ini. Terdapat hadith-hadith  yang menjelaskannya, menerangkan asas kesejahteraan dan kefasadan terletak di atas akhlak, sehingga Rasulullah SAW mengatakan sebaik-baik amalan pada akhlak yang baik.

 

Perkara yang sama disebut juga di dalam Muktamar kelima Ikhwan..Perkara ini juga akan didapati diulang berkali-kali oleh Mursyid kedua, Ustaz Hasan al-Hudaibi.. Syaikh hasan Hudaibi menungkapkan “dirikan Islam di dalam dada-dada kamu, niscaya ianya akan terdiri di bumi kamu”.

 

Golongan ini mempunyai kefahaman mereka terhadap unsur-unsur yang akan membawa perubahan ke atas masyarakat. Mereka memahami terdapat beberapa tugasan yang perlu dijayakan sebelum kerja-kerja Islam akan menatijahkan hasilnya. Maulana Abu Hasan an-Nadwi menulis perkara ini secara konsisten di dalam makalahnya, seperti The Saviours of Islamic Spirit,  As-Sira’ baina al-Imani wa al-Madiyyah, Islam min Jadid, Rabbaniyyah la Rahbaniyyah dan lainnya.

 

Maulana kerap memberi contoh dari catitan sejarah tentang bagaimana ketewasan ummat di tangan tentera Monggol ini akhirnya diatasi dengan raja daripada tentera yang menang itu akhirnya memeluk Islam. Pemelukan Islam itu terjadi apabila ketika baginda masih seorang putera mahkota, baginda telah dipintas dari hadapan ketika berburu oleh seorang sufi yang mengembara, Maulana Jamaluddin. Mengikut kepercayaan orang-orang monggol pemburuan akan menjadi sial sekiranya kita dipintas daripada hadapan. Baginda telah murka dan menangkap Maulana Jamaluddin lalu ditanyainya “siapakah yang lebih mulia, di antara anjing baginda atau maulana?”. Maulana itu diam tunduk sebentar kemudian mengangkat kepalanya dan menjawab yang beliau belum tentu siapakah di antara mereka yang lebih mulia. Lalu baginda bertanya sebabnya. Maulana menjawab sekiranya beliau mati di dalam Islam, beliau akan lebih mulia daripada anjing dan sekiranya beliau mati tidak di dalam agama Islam, anjing itu akan lebih mulia daripada beliau. Jawaban yang ringkas itu membuka hati baginda yang kemudiannya setelah baginda menjadi raja, bagindapun memeluk Islam. Lalu pengikut-pengikut baginda daripada kalangan monggol memeluk Islam beramai-ramai, yang diumpamakan  tasbih luruh akibat putus tali pengikatnya.[7]

 

Maulana Abu Hasan an-Nadwi juga mendatangkan latar-belakang bagi kejayaan dakwah Maulana Mujaddid Alif ath-Thani, Ahmad Sirhindi yang berjaya mengembalikan pengajaran Islam sebenar selepas ianya dirosak teruk oleh Maharaja Akbar, yang memaksa agama ciptaan baginda Din Ilahi. Ketika itu huruf-huruf arab dibuang daripada tulisan, nama Ahmad dan Muhammad diharamkan, lembu diharamkan sembelih dan sebagainya. Tetapi kerana dakwah Mujaddid alif ath-Thani yang jelas tidak bermatlamatkan kuasa atau tujuan duniawi, tetapi semata-mata bermatlamatkan islah sedaya mungkin, dakwah untuk kembali kepada Islam itu telah disahut oleh anak maharaja Akbar, iaitu Maharaja Jehangir.  Begitu juga kesan keikhlasan Maulana Nizamuddin Al-Chisti yang tidakpun menemui maharaja kecuali pada dua peristiwa, bahkan sentiasa lari daripada khalayak ramai kerana bersuluk kepada Allah, itu telah menyebabkan Raja yang memerentah telah berkelakuan baik kerana mengharapkan doa daripada beliau. Unsur-unsur kekuatan inilah yang menyebabkan Maulana Abu Hasan an-Nadwi mengatakan tidak pernah ada seorang mujaddid atau muslih daripada ummat ini kecuali mereka ini daripada ahli kerohanian. Mereka ini merupakan saluranbagi turunnya rahmat Allah sehingga nikmat-Nya itu dirasai oleh ummah seluruhnya.

 

Maulana Abu Hasan di dalam bukunya Rabbaniyyah la Rahbaniyyah telah memetik pengamatan Maulana Abdul Qadir ar-Raibury tentang kemerosotan ummat Islam di benua India pada kurun yang lalu. Zaman itu syarahan agama telah dihadiri oleh ratusan ribu manusia, buku-buku agama ditulis dengan demikian banyak, tetapi keadaan ummat semakin merosot. Maulana Abdul Qadir membuat kesimpulan dari kajian dan pemerhatiannya yang panjang:

 

Bahawa seluruh kerosakan di belabagi aspek kehidupan, bala bencana dan kesengsaraan ini diakibatkan oleh tiadanya keikhlasan dan rosaknya akhlak. Dia menyimpulkan bahawa kewajiban dan tugas terbesar pada zaman sekarang ini adalah bagi menghidupkan dan memperbaharui keikhlasan dan akhlak, dan jalan utama mencapai kedua nya adalah mahabbah, dan jalan menuju mahabbah itu ialah dengan berzikir, berteman dan bergaul dengan hamba-hamba Allah yang soleh dan arifin

 

Keikhlasan dan mahabbah ini menghidupkan amalan yang mati, meniupkan ruh ke dalam usaha islah dan perjuangan Islam, serta memenuhinya dengan kekuatan, harapan, semangat dan kemuliaan. Hasil yang diperolehi setelah itu ialah: kerohanian kembali kepada ibadat, cahaya kembali kepada ilmu, kekuatan dan barakah kembali kepada usaha mengajar, pengaruh kembali kepada ceramah dan nasihah, penerimaan dan kekuatan kembali kepada dakwah dan pengislahan,dakwat yang tertahan dan keindahan yang terhalang kembali kepada penulisan dan penyusunan, taufiq, keberhasilan serta penyudah yang baik kembali kepada belbagai usaha politik dan undang-undang, kesepakatan dan keakraban kembali kepada hubungan, kesatuan yang hilang kembali kepada belbagai golongan dan jamaah, kecintaan dan semngat mengutamakan orang lain kembali kepada individu dan masyarakat. Pendek kata umpama air kemabli kepada salirannya, busur memberi hasil kepada perautnya, setiap warna bebas kecelaanya, dan setiap corak lepas daripada kekacauannya. Inilah maksud hadith:

“ketahuilah, sesungguhnya pada tubuh terdapat seketul darah, apabila baik ia, baiklah jasad seluruhnya, dan apabila ia fasad, maka rosaklah seluruh jasadm ketahuilah yang demikian itu adalah hati”.

 

Demikian lah halnya dengan akhlak. Tanpa akhlak, kehidupan yang seimbang dan berhasil tidaka akan dapat dibayangkan. Tanpa akhlak usaha kemasyarakatan tidak akan membawa untung.

 

Ulama dan aktivis Islam yang mempunyai keyakinan sebegini menggunakan belbagai kesempatan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ini termasuklah penglibatan di dalam aktiviti politik kepartian sekiranya ianya dapat menyediakan ruang untuk dakwah, sebagimana yang dijelaskan oleh Imam Hasan al-Banna di dalam akhbar al-Ikhwan al-Muslimun keluarana 4 Nov. 1944, yang kemudiannya disiarkan semula oleh majalah Liwa al-Islam Jun 1989. Imam Hasan al-Banna menyatakan menyertakan Ikhwan di dalam pilihanraya ialah untuk menjadikan ianya sebagai saluran dakwah, Ikhwan telah menjalankan dakwah di masjid, sekolah, universiti, jalan raya dan di kelab-kelab. Seruan Islam juga dikira penting untuk didengar sama oleh pengubal dasar negara yang berada di parlimen. Penyerataan Ikwan di dalam pilihanraya juga untuk menunjukkan contoh akhlak yang baik di dalam aktiviti kepartian, mereka tidak mencemuh peribadi dan tidak bermotifkan rasa kedengkian. Mereka menyertai pilihanraya dengan semangat persahabatan dan mengakhiri pilihanraya dengan semangat yang sama.[8]

 

Terdapat pula kelompak daripada golongan ini yang tidak lansung ingin menceburkan diri di dalam proses politik negara masing-masing kerana bagi mereka system dan perjalanannya yang tidak Islami, kesan sampingannya memecah-belahkan ummah serta menimbulkan ketegangan  dan banyak tenaga, masa dan harta benda dihabiskan di tempat yang tidak utama untuk dihabiskan..[9]

 

 

Golongan Progresif

 

Agaknya peribadi yang banyak meninggalkan kesan bagi golongan ini ialah Maulana Abu ‘Ala Maududi, pengasas Jamiatu al-Islami India[10]. Maulana ini menyebut bahawa tujuan teratas bagi perjuangan Islam ialah untuk mewujudkan ‘Islamic State’[11]. Maulana menulis untuk membetulkan ‘fahaman salah’ masyarakat umum dan ulama sendiri terhadap beberapa istilah asas Islam yang telah disalah-ertikan . Kesilapan-faham terhadap empat istilah asas inilah mengikut Maulana Maududi telah menyebabkan masyarakat tidak mengutamakan  agenda mewujudkan Islamic state dan menganggap agama sebagai seolah-olah agenda peribadi.

Maulana ini telah menggunakan istilah-istilah semasa dan contoh-contoh semasa dengan penggunaan gaya bahasa yang sangat menyakinkan untuk menengahkan fahamannya. Ianya senang dihadam terutama oleh golongan muda yang terpelajar dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

 

Ramai dari kalangan aktivis Islam yang telah menerima pemikiran Maulana Maududi ini sehingga ianya hampir merupakan fahaman bersama bagi setiap harakah Islamiyyah yang kedapatan di negara-negara Islam.

 

Beberapa istilah khusus bagi harakah Islamiyyah telah terbentuk, seperti harakah[12] (movement), ‘amilin (workers), huriyyah (freedom), wehdahatu al-fikri, wehdatu al-amal, inqilabi (revolution) serta lain-lainnya.

 

Terdapat kecenderungan golongan ini kepada ijtihad di dalam belbagai bidang termasuk di dalam bidang feqah, mereka agak longgar dari mengikut mana-mana mazhab yang tertentu. Mereka sangat menekankan kepentingan organisasi dengan segala ciri-ciri movement-nya, termasuklahsangat mementingkan strategi sehingga ke peringkat yang agak sukar diterima oleh orang luar dari golongan mereka. 

 

Umpamanya di tanah air kita, Risalah Usrah yang digunakan sebagai teks usrah memberi pengertian kepada ayat 251 surah al-Baqarah sebagai berikut:

 

Ayat ini membawa pengertian bahawa selagi tidak wujud pemerentahan Islam, maka selagi itulah akan berterusan tindakan-tindakan kerosakan dilakukan oleh manusia. Oleh itu perlulah ada satu golongan mu’min yang menolak kerosakan yang dilakukan oleh manusia yang engkar kepada Allah sehingga tertegaknya Daulah Islamiyyah. Kemudian Daulah Islamiyyah ini pula akan menolak sahaja kerosakan yang dilakukan di muka bumi ini sehinggalah segala hukum tunduk kepada hukum Allah. Cara bergerak yang dituntut oleh al-Quran adalah satu cara bergerak yang mengarah kepada penolakan jahiliyyah dan kebatilan secara tegas dan tidak bertolak ansur[13]

 

Pemahaman Maulana Maududi kemudiannya diperluaskan ke negara Arab melalaui tulisan-tulisan yang bersemangat oleh Ustaz Sayed Qutb. Pemahaman ini agak keras untuk diterima oleh masyarakat luas, walaupun ianya diterima dengan baik oleh golongan muda yang terepelajar dan bersemangat tinggi. Di benua India, beberapa ulama telah menulis untuk mempertikaikan dan menolak fahaman Maulana Maududi ini. Antara tulisan yang masyhur ialah tulisan Maulana Zakaria al-Kandahlawi, al-Maududi ma lahu.. wa ma ‘alaihi[14], Maulana Abu Hasan an-Nadwi The Appreciation and the understanding of Religion by modern man[15],  Maulana Yusuf al-Banori[16] al-ustaz al-Maududi wa syaiun min hayatihi wa afkarihi 

 

Sementara di dunia arab, pimpinan Ikhwan telah mengeluarkan buku khusus untuk menyangah fahaman sebegini, Syaikh Hasan Hudaibi telah mengeluarkan Duah la Qudah untuk menjawab fahaman Maulana Maududi yang telah meresap ke dalam sebahagian Ikhwan melalui tulisan Ustaz Sayed Qutb. 

 

Ustaz Sayed Qutb dan Ustaz Muhammad Qutb menolak penglibatan di dalam system pilihanraya kerana system itu secara intrinsic-nya bukan Islami, penyertaan itu dipandangnya seakan-akan manifestasi penerimaan system tersebut dan patuh kepada perlembagaan negara yang tidak Islami.[17]

 

Sementara Maulana  Maududi menerima system demokrasi, hanya beliau mengatakan terdapat sedikit perbezaan asas di antara system demokrasi moden dan demokrasi Islam. Demokrasi barat meletakkan kedaulatan ditangan majority, sementara di dalam Islam kedaulatan kepunyaan Allah semata-mata. Dari segi amalinya kedua system tidak mempunyai perbezaan.[18]

 

Akhir kalam

 

Diharapkan perbincangan ini dapat membuka ruang perbincangan yang kita adakan ini, untuk melihat sudut yang jarang disentuh sebelum ini. Ianya jauh dari kesempurnaan serta disediakan di dalam keadan kegopohan dan di dalam serba kekurangan, bahkan tanpa sempat menyemaknya semula.

 

Biarpun kita tertarik dan terlibat dengan golongan yang mana antara dua aliran utama ini sekalipun , apa yang terpenting ialah penyertaan kita kita dilakukan secara ijabi:

 

1-     ikhlas semata-mata mencari reda Allah di Akhirat dengan mengutamakan balasan Akhirat

2-     bergerak mengikut pertunjuk syara, serta patuh serta mengutamakan nas daripada perkiraan strategi.

3-     Bersikap terbuka kepada orang yang berada di luar golongan kita

4-     Melihat golongan lain dengan kasih-sayang dan berusaha untuk sama-sama berada di atas keredaan Allah dan bukan untuk semata-mata bersama di dalam jamaah kita

5-     Menyedari kita sebagai manusia biasa tidak mungkin bersetuju di atas satu jamaah, satu manhaj, satu mazhab, satu faham tetapi kita mesti menghormati perbezaan-perbezaan  yang masih diraikan oleh Islam itu sendiri.

6-     Bersikap ijabi terhadap orang yang berada di tempat-tempat yang berlainan dengan kita, hanya kita perlu ingat-mengingati untuk menggunakan kedudukan masing-masing untuk berkhidmat kepada agama, walaupun mungkin sahaja tempat kita bertentangan dengan tempat mereka.

7-     Menghayati Islam secara luaran dan dalaman, secara perseorangan dan beramai-ramai. Kita berusaha untuk merasai kemanisan iman, kelazatan bermunajat kepada Allah  dan menzahirkan keindahan Islam di dalam kehidupan seharian, bukan setakat di dalam perbincangan, syarahan dan tulisan

 

Wallahu ‘alam

 

Abdullah Zaidi Hassan

Depan Masjid Salor

14 Muharam 1426

23hb.Feb, 2005

 


horizontal rule

[1] Lihat lapuran RAND Corporation CIVIL DEMOCRATIC ISLAM .Cheryl Bernard.

www.rand.org/publications/MR/MR1716/MR1716.pdf

[2] Ucapan yang berharga ini dibukukan di dalam risalah kecil ‘uridu an atuhadis ila al-Ikhwan’ .Kata penghantarnya ditulis oleh Syaikh Muhammad al-Ghazali. Diterbitkan oleh Daru al-Mukhtari al-Islami. T.T.

[3] Maulana menyebut tentang doa di dalam munajat rasulullah SAW di dalam Ghawah Badar ini secara lebih panjang di dalam kitabnya Islam min jadid ;  yang Rasulullah SAW tidak mengaitkan sekiranya ummat Islam terbinasa di dalam peperangan tersebut, musnahlah pemerentahan Madinah, masyarakatnya, ekonominya bahkan Rasulullah SAW mengaitkannya dengan ibadat. Maulana mengambil faham dari ssini yang kelangsungan ummat ini bergantung  rapat dengan kelangsungan ibadat penganutnya. Dan peribadatan itulah matlamat teratas bagi perjuangan Islam.

[4] Maulana Zakaria bersama Maulana Manzoor Nu’mani telah terlibat secara aktif di dalam gerakan politik pada tahun 1936-37. mereka berdua telah menganggotai Jamiat al-Ulama India, Mereka telah menemui Maulana Ashraf Ali Thanawi yang ingin menyertai All India Muslim League, sementara Maulana Husin Ahmad Madani yang mempengerusi jamiat al-Ulama menyokong parti Congress, sedangkan Maulana  Zafar Ahmad Thanawi menyatakan berdasarkan nas-nas mazhyab Hanafi mereka tidak patut campur tangan di dalam perselisihan ini. Kedua tokoh ulama muda di zaman itu begitu aktif mengadakan perunding-perundingan untuk menguatakn ummat dari segi perjuangan politik. – Lihat artikel ‘Mualana Manzoor Nu’mani-an institution, not institution man’Impact International  Vol 27. August 1997.

[5] Kami sempat bermesra dengan pengikut-pengikut Risalah an-Nur yang diasaskan oleh Badiuzaman di Ankara dan Istanbul pada awal tahun 1990an. Mereka menghadiahkan beberapa kitab yang menghimpunkan tulisan dan ucapan syaikh besar ini. Keyakinan kami bertambah yang Syaikh ini merupakan salah seorang daripada ulama muhaqiqin pada zaman ini.

[6]Imam Hasan al-Banna adalah seorang yang menitik-beratkan kehidupan kerohanian, latihan tariqah Hasafiyah Syadiliyyah yang diterimanya waktu remaja kekal sepanjang hayatnya. Di dalam muqadimmah  Muzakarat fi Manazili as-Siddiqin wa ar-Rabaniyyin yang merupakan syarah bagi Hikam Ibn Atallah as-Sakandari, Syaikh Said Hawwa menyebut yang Imam al-Banna  menggunakan kitab Hikam ini di dalam halaqah khas yang dipimpinnya di Maktab Irsyad. Lihat juga  tulisan cucunya, Dr. Tariq Ramadan “In the Middle of the Night- Remaining with the One, one night, One’s Life” yang mengambarkan kehidupan malam Imam al-Banna

[7] Di antara perkara yang kami  hargai di dalam hidup ini ialah kesempatan mendengar kisah yang ajaib ini dari mulut Maulana Abu Hasan sendiri, ketika kami meminta Maulana menceritakan semula kisah itu. Hal ini berlaku pada suatu pagi pada sekitar 1986 di sebuah rumah di Jalan Ampang. Alhamdulillah

[8] Kami sempat mendampingi Ustaz Muhammad Mahdi Akif ketika beliau menjadi ahli Parlimen Masir pada akhir 1980an. Beliau menyatakan penyertaan Ikhwan di dalam pilihanraya ketika itu bukan untuk memerentah, kerana undi yang diperolehi di dalam pilihanraya bukanlah semata-mata bermaksud sokongan kepada perjuangan Ikhwan, tetapi Ikhwan ingin memanfaatkan kesempatan itu untuk menemui rakyat secara terbuka dan mengikut lunas undang-undang Masir.

[9] Pandangan ini antara lain dipegang oleh guru kami, Ustaz Haji Musa Haji Yahya. Kami jumpai catitan yang dibuatnya di sekitar awal 50an tentang perbezaan Islam dari demokrasi, sosialis dan kominis.

[10] Kami telah sempat belajar di bawah dua guru yang merupakan  pemimpin Jamiat Islami dan kami sangat terhutang budi kepada keduanya, mereka adalah Prof. Ishaq Zafar Ansari dari Pakistan dan  Prof. Abdul Haq Ansari, Amir Jamaitu al-Islami India sekarang.

[11] Islamic State adalah suatu konsep yang agak janggal untuk dicari persamaan dengan istilah feqah klasik, adakah ianya sama dengan Dar al-Islam, Daulah Islamiyyah atau lebih mirip kepada konsep ‘nation-state’ moden. Konsep klasik bagi Dar al-Islam adalah mudah dan basic bentuknya.

[12] Francis Furukama mengatakan gerakan di Eropah telah benyak mempengaruhi fikrah dan perjalanan gerakan Islam di Timur Tengah di dalam artikel “Can Any Good Come Of Radical Islam?” Pendapat ini perlu dibahas secara halusi sebelum dapat di terima Lihat tulisanya di – file://A:\Good%20from%20Islam.htm

[13] M/s 17

[14] Buku yang diterjemahkan kepada bahasa arab diterbitkan oleh Dar al- ‘Itisam, 1979. Penerbitan ini banyak mengeluarkan buku-buku tulisan pemimpin  Ikhwan.

[15] Syaikh Yusuf Qardawi yang menulis muqaddimah bagi buku ini di dalam bahasa arab-nya tidak berapa setuju dengan tajuk di dalam bahasa arab ‘Tafsiru as-siyasi li al-Islam’ kerana katanya tajuk asal di dalam bahasa Urdu tidak bermaksud sedemikian. Di dalam terbitan kedua bagi buku ini, Maulana Abu Hasan memetik surat Maulana Maududi kepada beliau yang antara lain mengucap penghargaan di atas kritikan itu.

[16] Maulana Yusuf al-Banori,  yang bergiat di Karachi merupakan di antara tokoh Islam Pakistan yang rapat dengan Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, pemimpin Ikhwan Suria.

[17] Syeikh Rachid Al-Ghannouchi  yang dipemgaruhi oleh pemikiran Malik Ben nabi adalah di antara pemimpin Islam yang banyak memberi justifikasi kepada keperluan melibatkan diri dengan prosese demokrasi.

[18] Ada pengkaji barat yang melihat bahawa Gerakan Islam tidak mempunyai kesan jangka panjang kepada perjalanan sejarah dunia, ini kerana terdapat pertentangan nilai di antara ajaran Islam dan amalan-amalan politik semasa. Lihat The Double Death Of Islamic Fundamentalism’ oleh Philip Cunliffe. (file://A:\Islamic%20 Fundamentalism.htm.

 

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.oocities.org/traditionalislam/ or traditionalislam.tripod.com