|
TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah
|
بسم
الله الرحمن
الرحيم
نحمده
ونصلى على
رسوله الكريم
PENDIDIKAN
DAN DA’WAH OLEH
SYAIKH
MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI (RAHIMAHU’LLAH
TA’ALA)* OLEH: MUHAMMAD
‘UTHMAN EL-MUHAMMADY Bila kita cuba melihat tokoh-tokoh yang banyak menabur jasa dalam pembangunan Islam di rantau ini, maka tidak syak lagi antara tokohnya yang mesti diambil kira dan diteliti hayat dan ilmu serta pengaruhnya ialah Syaikh Muihammad Arsyad al-Banjari rahimahu’Llah taa’la. Beliau bukan hanya milik Banjar atau Indonesia, bahkan beliau adalah milik Dunia Melayu; namanya dan teksnya, terutama Sabil al-Muhtadin masih menjadi bahan rujukan sampai ke hari ini di Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, apa lagi Indonesia, terutama Kalimantan ini, dan bahkan di mana-mana “kitab jawi” dipelajari teksnya akan menjadi bahan pengajian untuk fiqh Syafi’i. Maka nota ini-insya’ Allah akan melihat kembali aspek-aspek hayatnya, pendidikannya serta ide-idenya yang pokok dan penting dalam hubungan dengan da’wah dan pendidikan umat. Penulis ini terhutang budi kepada para penulis hayatnya dan juga para pengumpul bahan yang menyebabkan hasil-hasil penulisan beliau boleh kita dapati sampai sekarang ini. Riwayat
hidup beliau: Kita
boleh bermula berkenaan dengan riwayat hidup beliau dan sejarah pendidikan serta
jasa-jasanya. (1) Namanya
ialah Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari dilahirkan di Lok Gabang, Martapura, pada
15 Safar 1122 Hijrah/19 Mac 1710 dan meninggal di Kalampayan, Astambul, Banjar,
Kalimantan Selatan, pada 6 Syawal 1227 H/13 Oktober 1912. Beliau
ternyata “seorang ulama besar yang sangat berpengaruh dan memegang peranan
penting dalam sejarah dan perkembangan Islam, khususnya di Kalimantan; ahli
dalam bidang fikih atau syariat dan tasawuf …”(2) Anak
tertua dari lima bersaudara ini memulakan pendidikan asas dengan ayahandanya
sendiri dan guru-guru setempat, dan sewaktu berumur tujuh tahun sudah boleh
membaca Qur’an dengan baik. Kerana tertarik kepada kecerdasannya maka beliau
diambil sebagai anak angkat oleh Sultan Banjar waktu itu, Sultan Tahlilullah
(1112H/1700M-1158H/1745M) dan ia mendapat pendidikan dari guru-guru di istana.
Sewaktu berumur 30 tahun ia dikahwinkan oleh Sultan Banjar dengan seorang wanita
bernama Bajut; kemudian dihantar meneruskan pengajian ke Mekah, selama tiga
puluh tahun; yang dipelajarinya selain daripada ilmu-ilmu agama termasuk
geografi, biologi, matematik, geometri dan astronomi. Dengan
izin seorang gurunya bernama Syaikh ‘Ata’illah bin Ahmad (men. 1161 H/1748
M) beliau mengajar di Masjidilharam dan memberi fatwa-fatwanya. Selepas 30 tahun
di Mekah beliau pergi belajar di Madinah selama 5 tahun. Antara
para guru al-Banjari yang terkenal termasuklah: Syaikhul-Islam Muhammad bin
Sulaiman al-Kurdi, Syaikh Muhammad bin ‘Abdul-Karim as-Samman al-Madani (ini
guru Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani), al-Damanhuri, dan Ibrahim ar-Rais
az-Zamzami, dari yang terakhir ini beliau mempelajari ilmu falak atau astronomi.
Ini menjadikan beliau menonjol di kalangan ulama Melayu-Indonesia. Sewaktu
di sana beliau bertemu dengan ulama terkenal Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani
(1116H/1704M-1203H/1788 M), ‘Abdul Wahab Bugis dan Syaikh ‘Abd al-Rahman
Masri, masing-masingnya dari Pelembang, Sumatera Selatan, Ujungpandang (Sulawesi
Selatan) dan Jakarta. Empat orang ini terkenal sebagai “Empat Serangkai dari
Jawa”. Selepas
melawat Kahirah (tidak diberi izin oleh guru untuk belajar di sana), al-Banjari
bersama tiga sahabat itu pulang ke Kalimantan pada tahun 1186 H/1773 M. Sebelum
itu, al-Banjari berada di Jakarta selama dua bulan, kerana permintaan Syaikh
‘Abdul Rahman Masri; lepas itu baharu kembali ke Martapura, ibu kota
Kesultanan Banjar, pada bulan
Ramadan 1186H/1773M. Kepulangannya disambut dengan meriah oleh Sultan
Tamjidillah (yang menjadi Sultan waktu itu) dan rakyat Banjar; semenjak itu
bermulalah usaha pembangunan umat di sana, dengan bantuan Syaikh ‘Abdul Wahab
Bugis, yang menjadi menantunya. Kegiatan
Pendidikan dan Dakwahnya: Dilihat
dari kegiatan-kegiatan pendidikan dan dakwahnya, jelas Syaikh al-Banjari adalah
seorang fakih yang mengambil berat tentang syariat Islam dan amalannya. Tetapi
perlu dijelkaskan bahawa akidahnya, sebagaimana yang jelas daripada
tulisan-tulisannya sendiri adalah akidah Sunni, dan kefahamannya yang dalam
tentang tasawwuf pula jelas daripada terjemahannya ke atas kitab Fath
ar-Rahman, yang berjudul Risalah Fath al-Rahman bi Syarah Risalah al-Wali
al-Ruslan (3) Tentang akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang diberi pembelaan
sehabis-habisnya, ini jelas daripada kitabnya Tuhfah ar-Raghibin yang
penulis ini gunakan sebagai teks utama dalam persidangan tentang persuratan
Nusantara di Brunei tahun lalu. Dalam Fath al-Raghibin (4) beliau membuat
kenyataan yang tegas: “(Hubaya-hubaya)
hai saudaraku, yang beriman wajib atasmu beriktikad dengan i’tikad
Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah (kerana) iaitulah jalan Nabi Allah dan Sahabat-nya
dan segala mereka yang mengikut akan mereka itu dan yang mengikut akan yang
mengikut mereka itu hingga hari kiamat, dan wajib atasmu menjauhi sekelian
I’tikad bid’ah yang sesat. Ini
akan dibicarakan kemudian, insya’ Allah. Untuk meneruskan pembicaraan tentang
sejarahnya, kita boleh perhatikan bagaimana beliau melibatkan diri dalam
beberapa kegiatan yang menyentuh soal syariat. Peristiwa-peristiwa itu adalah
seperti berikut. (5) Dalam
hubungan dengan kegiatan dakwah dan pendikannya dalam membina umat sarjana
memberi penekanan kepada bidang syariat atau fiqh. Antaranya ialah dalam
hubungan dengan masalah syara’ yang menyentuh kiblat. Dicatitkan
bahawa bila al-Banjari pulang dari al-haramain dan berada di Jakarta sebelum
pulang ke Banjar, beliau membetulkan arah kiblat beberapa masjid di sana,
seperti di Jembatan Lima, dan Pekojan Batavia. Ini berlaku bila ada kekecohan
sehingga Gobernor Jeneral Belanda memanggil beliau untuk memberi maklumat, dan
wakil pemerintah Belanda berpuas hati dengan kiraan matematik al-Banjari, dan
memberi hadiah kepada beliau. Maka dibetulkanlah arah kiblat beberapa masjid,
seperti Masjid Jembatan Lima, Masjid Luar Batang, dan Masjid Pekojan. (6) Beliau
juga mengambil langkah memperbaharu dan memperkemas pentadbiran mahkamah
Syari’at Kesultanan Banjar. Ini berlaku dengan dokongan Sultan Banjar waktu itu,
iaitu Sultan Tahmidullah (1167H/1773M-1223H/1808M). Untuk
membantu beliau menjalankan usaha pendidikan dan dakwah, Sultan memberi
kepadanya tanah di luar kota kesultanan, di mana dibinakan pusat pengajian,
perpustakaan, dan asrama untuk para penuntut. Dengan itu ramailah para penuntut
yang datang dari pelbagai pelusuk negeri, dan lahirlah dari institusi itu
ulama-ulama yang berjasa besar. Dilaporkan bahawa sampai sekarang tempat
tersebut dikenali sebagai “dalam pagar”. Dalam
hubungan dengan perlaksanaan hukum Syar’at, maka kerana mengikut anjuran al-Banjari
Kesultanan Banjar mengamalkan bukan sahaja hukum berkenaan dengan kekeluargaan
dan muamalah tetapi juga hukum berkenaan dengan jenayah seperti hukuman-hukuman
Syariat berkenaan dengan jenayah berat menyentuh zina, mencuri, murtad, dan
hukum ta’zir. Dengan itu maka diadakan mahkamah Syara’ untuk membuat
keputusan tentang hukuman-hukuman yang diperlukan. Dan untuk memberi pimpinan
dalam hal itu diadakan mufti
yang mengeluarkan fatwa-fatwa. Syekh Muhammad As’ad diangkat oleh Sultan
sebagai mufti pertama dan Abu Zu’ud diangkat sebagai kadhi pertama. Al-Banjari
sendiri menjadi penasihat dalam semua bidang demikian. Dalam
hubungan dengan hukum “fara’id” atau pembahagian pesaka, al-Banjari
membuat keputusan iaitu bila di Banjar isteri juga berkerja, maka diadakan
konsep yang disebut sebagai “berpantangan”, ertinya “timbangan
perbandingan yang sama bobotnya dalam pembahagian harta suami-isteri” (7). Bila
berlaku kematian maka harta dibahagi dua dahulu sebagai usaha bersama antara
suami-isteri (tidak termasuk harta asal milik suami atau isteri masing-masing),
kemudian baharulah berlaku pembahagian harta mengikut fara’id. Dengan ini si
isteri mendapat dua kali peluangnya, satu daripada pembahagian mula-mula,
kemudian pembahagian mengikut fara’id. Kalau di negeri-negeri di Malaysia ini
termasuk di bawah apa yang disebut sebagai “harta sepencarian” (8) Kalau
kita hendak sebutkan kepentingan teksnya dalam pendidikan dan dakwah, maka teks
fikh yang paling menonjol dalam ibadat tidak syak lagi ialah Sabil al-Muhtadin.
(9) Fikh dalam aspek ibadat tidak ada lagi yang boleh menandingi teks ini
dari segi mendetail hukumnya serta dengan teguh tempat sandarannya dari segi
wacana hukum dalam mazhab Syafi’i. Yang boleh disebut mempunyai kedudukan yang
tidak kurang daripadanya ialah kitab Bughyatu’t-Tullab karangan Syaikh
Daud al-Fatani rahimahu’Llahu ta’ala. Dalam
teks fikh ini kita tertarik dengan kata-kata al-Banjari yang menyebut tentang
bagaimana fikh harmonis dengan tuntutan fitri manusiawi. Katanya (10): (Ketahui
olehmu) bahawasa(nya) tatkala adalah hukum Syara’ itu ta’aluk ia dengan yang
empat perkara, iaitu ibadat dan mu’amalat dan munakahat dan jinayat, maka
berlakulah ibadat segala imam Syafi’iah pada menjadikan kitab fikh mereka itu
atas empat rubu’ (maka) rubu’ yang pertama kitab al-ibadat (dan) rubu’
yang kedua kitab al-mu’amalat (dan) rubu’ yang ketiga kitab al-munakahat, (dan)
rubu’ yang keempat kitab al-jinayat Tentang
“hikmah” keadaan itu demikian ialah seperti berikut, katanya: (Bermula) hikmat yang demikian itu (pembahagian kitab syara’ kepada empat) kerana bahawasanya Allah taala menjadikan ia akan segala manusia itu empat quwwah (iaitu naluri kekuatan dalam dirinya-pen) (pertama) quwwah nutqiyyah, yakni quwwah idrak dan akal (yakni kemampuan untuk mencapai faham dan ilmu serta kesedaran dengan ada akal dan pengamatan pancaindera-pen) (kedua) quwwah syahwiyyah batniyyah yakni quwwah keinginan perut kepada makan dan minum (ketiga) quwwah syahwiyyah farjiyyah yakni quwwah keinginan farj kepada wati dan barang sebagainya (keempat) quwwah ghadabiyyah quwwah marah yang jadi daripadanya perbantahan dan berbunuh-bunuhan dan dan barang sebagainya (dan adalah) faedah menyuruhkan segala pesuruh kepada segala manusia itu memperbaiki hal mereka itu pada pekerjaan dunia dan akhirat dan tiadalah diperoleh baik hal mereka itu melainkan dengan menyempurnakan segala quwwah mereka itu yang empat perkara. (11) Katanya
lagi dalam memberi penerangan bagaimana “hakikat manusiawi” itu mencapai
kepenuhannya dalam kehidupan dilihat dari segi menunaikan tuntutan Syara’,
yang memang tuntutan dirinya sendiri pada asalnya. Katanya: Maka dengan semata-mata kurnia Allah taala bagi mereka itu dijadikanNya yang menyempurnakan quwwah nutqiyyah itu ibadat, dan yang menyempurnakan quwwah syahwiyyah batniyyah itu mu’amalat dan yang menyempurnakan quwwah farjiyyah itu munakahat dan yang menyempurnakan quwwah ghada-biyyah itu jinayat kerana barang yang dibahath daripadanya pada ilmu fokh jika taaluk in dengan menyempurnakan quwwah nutqiyyah maka iaitu ibadat dan jika taaluk dengan menyempurnakan quwwah syahwiyyah batniyyah maka iaitu mu’amalat dan jika taaluk ia dengan menyempurnakan quwwah syahwiyyah farjiyyah maka iaitu munakahat dan jika ta’aluk ia dengan menyempurnakan quwwah ghadabiyyah maka iaitu jinayat. (12) Katanya
lagi memberi sebab tentang susunan dalam penghuraian ilmu fiqh Imam Syafi’I
yang menjadi ikutannya: (Dan) didahulukan oleh segala Imam kita Syafi’iyyah akan rubu’ ibadat kerana mulianya sebab mu’allaknya kepada Allah ta’ala (dan) diiringi oleh mereka itu akan rubu’ ibadat dengan rubu’ mu’amalat kerana hajat segala manusia kepadanya (dan) diiringi oleh mereka itu akan rubu’ mu’amalat dengan rubu’ munakahat kerana terkurang hajat segala manusia kepadanya daripada barang yang dahulunya (dan) diiringi oleh mereka itu akan rubu’ munakahat dengan rubu’ jinayat kerana kurang sedikit wuqu’nya (yakni berlakunya-pen) dengan nisbah dengan barang yang dahulunya (dan) didahulukan oleh mereka-itu pada rubu’ ibadat akan kitab al-solah kemudian maka kitab al-zakat kemudian maka kitab al-saum kemudian maka kitab al-hajj kerana mengamalkan peraturan hadith yang sahih lagi masyhur (“buniyal-Islam ‘ala khamsin” (13). Kenyataan-kenyataan
di atas menunjukkan cakupan faham agama yang dalam dari ulama Nusantara ini;
walaupun ia menulis kitab fiqh tetapi apa yang disebalik fikh yang mencakupi
kehidupan manusia dan hubungannya dengan fitrah kejadian manusia disedari dengan
mendalamnya. Ini bukan fakih sebarang fakih, sebagaimana yang akan kita dapat
dalam wacana-wacananya berkanaan dengan masalah akidah dan juga persoalan
kerohanian. Kitab
Sabil al-Muhtadin itu
merupakan teks standard fikh ibadat yang terlalu unggul sampai sekarang, yang
digunakan sebagai rujukan bersekali dengan teks seperti Bughyah al-Tullab
karangan Syaikh Daud al-Fatani dan yang lainnya seperti Furu’ al-Masa’il
juga oleh Syaikh Daud. Kandungan Sabil
al-Muhtadin huraian terperinci tentang ibadat mencakupi soal-soal bersuci,
bab najis, wudhu’, mandi wajib, tayammum, haidh dan nifas, juga istihadah,
sembahyang, waktunya, qadhanya, syarat-syaratnya, sifat-sifatnya, yang wajib
padanya, yang sunatnya, yang membatalkannya, yang makruh padanya. Ini kandungan
jilid I (dalam 242 halaman, tanpa daftar isinya) teks yang penting ini, yang
menghuraikan masalah ibadat dengan sedemikian terperincinya, yang sukar dicari
tandingannya sampai sekarang. Sebagaimana yang dinyatakan yang setanding
dengannya ialah kitab Syaikh Daud al-Fatani Bughyah al-Tullab. Jilid
II nya menghuraikan soal-soal sujud sahwi, sujud syukur, sembahyang-sembahyang
sunat, sembahyang berjemaah, sembahyang dalam masa musafir, jama’ dan kasarnya,
sembahyang Jumua’at, yang wajib padanya dan yang sunatnya, khutbahnya,
syarat-syarat rukunnya, sembahyang dalam ketakutan, sembahyang dua hari raya,
sembahyang gerhana, sembahyang jenazah, hal zakat, zakat haiwaan, zakat
tumbuh-tumbuhan dan biji-bijian, zakat emas perak, zakat galian dan harta purba
yang tertanam, zakat perniagaan dan zakat fitrah. Termasuk ke dalamnya
perbincangan berkenaan dengan sedekah sunat atau pemberian semata-mata. Kemudian
perbincangan berkenaan dengan puasa, yang wajibnya dan yang sunatnya,
syarat-syaratnya dan rukun-rukunnya. Kemudian perbincangan berkenaan dengan
puasa sunat. Ini
diikuti dengan perbincangan berkenaan dengan I’tikaf, syarat-syarat rukunnya
dan perkara-perkara yang membatalkannya. Kemudian pembicaraan yang mendetail
berkenaan dengan haji dan umrah, dengan syarat-syarat rukunnya, dan yang
membatalkannya. Perkara-perkara yang mendecerakan haji dan umrah dan yang
menyempurnakannya satu persatu. Kemudian ini diikuti dengan perbincangan
berkenaan dengan ‘akikah, perburuan, dan penyembelihan binatang. Ini diikuti
dengan pembicaraan berkenaan dengan apa yang halal dan haram dalam perkara
makanan dan minuman. Jilid II terdiri daripada 253 halaman tanpa mengira daftar
isi kandungannya. Inilah
teks yang kekal menjadi rujukan sampai sekarang bila fikh dipelajari orang di
negeri-negeri di Malaysia juga di Singapura dan di Brunei serta Indonesia dan
Selatan Thailand. Sebagaimana yang beliau sendiri nyatakan pada halaman 3-4 kitab itu, sebab penulisannya dan caranya serta punca-puncanya, adalah seperti berikut: Menuntut daripada aku pada tahun 1193 tahun daripada Hijrah Nabi, atas yang empunya dia daripada Tuhannya rahmat Allah yang amat lebih dan haluannya yang amat suci (“al-tahiyyah” di terjemahnya “haluan”) seorang raja yang amat besar himahnya lagi yang mempunyai cerdik dan bicara yang sempurna lagi yang suci dhihin (iaitu pemikiran) lagi yang namuak faham ialah yang mempunyai tadbir atas sekelian isi daerah segala negeri Banjar lagi yang berdiri dengan memperbaiki segala pekerjaan agama dan pekerjaan dunia iaitu persandaran kita yang dibesarkan (“persandaran” itu terjemahan bagi “sayyiduna”) dan ikutan kita yang dimuliakan (“ikutan” terjemahan bagi “qudwatuna”) Maulana al-Sultan Tahmidullah ibn al-Sultan TamjiduLlah, mudah-mudahan diampuni Allah Taala kiranya akan dia dengan rahmatNya dan dikekalkanNya kiranya akan kerajaannya dan kerajaan zuriatnya dan sentiasa falak daulat kerajaannya yang tiggi beredar ia pada tempat peredaran zuriatnya dan sentiasa awan kebajikannya dan murahnya menghujani atas sekelian rakyatnya (kemudian disebut tentang sebab kitab itu dikarang-pen) bahawa ku perbuatkan baginya suatu kitab pada menyatakan ilmu fikh atas mazhab Imam Syafi’I radiya’Llahu ‘anhu pada hal dibahasakan ia dengan bahasa Jawi yang ma’ruf bagi sekelian isi negerinya yang dipeliharakan dan bahawa aku ambil akan sekelian mas’alahnya daripada beberapa kitab bagi segala Imam Syafi’iyyah kutub yang muta’akhkhirin seperti “Syarah Minhaj”, bagi Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari, dan “Mughni…” Syaikh Khatib Syarbini, dan “Tuhfah” Syaikh Ibn Hajar al-Haitami, yang dikeredhai, dan “Nihayah” Syaikh al-Ujamal al-Ramli, dan yang lain daripada segala matan (teks asal - pen) Dan syarah dan hasyiah (syarah atas syarahnya - pen) yang mulia-mulia…” (14) Di
sini jelas pendirian ulama besar ini sangat teratur dan berdisiplin dalam
menghuraikan hukum agama. Pendirian yang demikian adalah pendirian Ahlis-Sunnah
dari segi hukum fikh; disiplin yang sedemikian cermat dan beradab ini menjadi
contoh tauladan bagi generasi yang sekarang nampaknya tidak secermat itu dalam
memberi huraian berkenaan dengan hukum agama. Sifat cermatnya dalam menghuraikan
hukum agama boleh dilihat bagaimana beliau menyebut tentang hukum wajibya
sembahyang, katanya (15): (Bermula
asal) wajib sembahyang dahulu daripada ijma’ beberapa ayat Qur’an seperti
firman Allah (ayat…) ertinya
‘dan dirikan olehmu akan sembahyang’, dan beberapa hadith seperti sabda Nabi
salla’Llahu ‘alaihi wa sallam (hadith…) ertinya telah memfardhukan Allah
Taala atas umatku pada malam Isra’ lima puluh sembahyang maka sentiasalah aku
kembali berulang-ulang kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan ku pohonkan akan
Dia meringankan dia hingga DijadikanNya akan dia lima sembahyang di dalam
tiap-tiap sehari dan semalam Riwayat Bukhari dan Muslim; dan lagi sabda Nabi… Di
sini kita melihat ketelitian Syaikh ini membicarakan asal usul hukum agama
dengan menyebut “sebelum ijma’” ia berdasarkan ayat Qur’an dan Sunnah.
Ijma’ diiktirafi beliau sebagai satu daripada punca Syariat dan termasuk ke
dalam methodologi faham ilmu Ahlis-Sunnah yang beliau hendak sampaikan kepada
umat. Ini dasar yang menyeluruh di Nusantara buat beberapa lamanya, yang
menentukan keseragaman faham dan sikstem peristilahan hukum di rantau ini. Sifat cermat dalam perbincangan masalah fikh Syaikh ini boleh dilihat dalam perbincangannya berkenaan dengan memberi zakat kepada “asnaf”nya, dan kelonggaran yang timbul berkenaan dengannya katanya (16): Telah terdahulu perkataan bahawasanya wajib memberikan zakat pada segala bagai yang maujud di dalam negeri dan jikala zakat fitrah sekalipun. Maka wajib membahagi fitrah seorang yang segantang kepada sekelian mereka itu maka tiada harus menyimpankan (yakni menghadkan) kepada seorang atau tiga orang, demikianlah kaul yang muktamad, atas mazhab Imam kita Syafi’I radiya’Llahu ‘anhu; maka diketahui daripada yang demikian itu bahawasanya barang yang telah beradat daripada memberikan zakat harta atau zakat fitrah kepada sesorang atau tiga orang, maka iaitu tiada sah, dan tiada memadai akan zakat kerana bersalahan dengan Imam Syafi’I yang empunya mazhab; tetapi jika dikerjakan yang demikian itu dengan taklid kepada mazhab ulama (dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah-pen) yang mengharuskan dia, dan jikalau kemudian daripada amal sekali pun, maka yaitu memadai akan zakat; dan tersebut di dalam Tuhfah bahawasanya telah memilih jemaah daripada ‘ulama akan harus memberikan zakat bagi seorang dan telah melanjutkan setengah mereka itu akan perkataan pada menolong bagi kaul itu hingga menakal Imam al-Ruyani daripada Imam yang tiga dan yang lain daripada mereka itu bahawasanya harus memberikan zakat harta pula kepada tiga orang daripada mustahik (orang yang berhak-pen) serta katanya: yaitulah kaul yang dipilih kerana sukar mengamalkan dengan mazhab kita Syafi’I dan jikalau ada kiranya Imam Syafi’I hidup nescaya difatwakannya akan kita dengan yang demikian itu. Intaha. Sikap cermat sedemikian menjadikan teks ini sampai sekarangt dihormati dan dijadikan rujukan, selain daripada teks-teks asal dalam Bahasa Arab. Dalam Hubungan Dengan Akidah Ahlis-Sunnah wa al-Jamaah: Dalam hubungan dengan pembelaan beliau ke atas akidah Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah, kita boleh perhatikan beliau melakukan penyaringan dan panduan yang sedemikian jelas dan strik dalam teksnya yang terkenal, iaitu Tuhfatu’r-Raghibin. Dalam hubungan dengan ini kita boleh perhatikan beberapa perkara yang pokok, sebagaimana yang ada dalam perenggan-perenggan berikutnya: Ianya
mengandungi huraian tentang:
Berkenaan
dengan hakikat keimanan barangkali tidak sangat diperlukan untuk memaparkannya.
Pada penulis ini, yang perlu dipaparkan ialah fasal kedua dan ketiga, yang boleh
dianggap sebagai aspek-aspek yang menyentuh pemurnian akidah dan oleh itu juga
pegangan tasawwuf dan amalannya. Secara ringkasnya isinya ialah yang
membinasakan iman, iaitu “riddah”
atau kemurtadan iaitu:
Kemudian disebut tentang hadith berkenaan dengan perpecahan umat kepada 73, satu sahaja yang selamat, dan mereka itu Ahlis-Sunnah wal-Jamaah. (hlm 8-9). Kemudian digesa supaya berpegang kepada Ahlis-Sunnah, jangan Qadariyyah, Jabariyyah, mazhab tasybih, dan ta’til, Khariji dan Rafidhi. Ini diikuti dengan huraian-huraian berkenaan dengan golongan-golongan Rafidhiyyah, Kharijiyyah, Jabariyyah, Qadariyyah, Jahmiyyah, dan Murji’ah. Kemudian ini disusuli dengan ciri-ciri yang berkemungkinan menyentuh tasawwuf pada pegangann atau amalannya sahaja. Antaranya ialah: Dalam
golongan Rafidhah-yang dinyatakan ianya terdiri daripada dua belas golongan -
antara akidah-akidah mereka yang banyak itu ialah:
Berkenaan dengan golongan ini pengarang kitab ini menukilkan hadith yang bermaksud: “Akan ada pada akhir zaman kaum yang dinamakan Rafidhah yang membuang Islam, hendaklah kamu membunuh mereka, sesungguhnya mereka itu golongan syirik”. (hlm. 9-10). Berkenaan
dengan kaum Kharijiah atau Khawarij: Disebutkan mereka itu dua belas golongan. Antara akidah mereka:
Kemudian dibicarakan golongan Jabariyyah. Dinyatakan mereka itu ada dua belas golongan.
Kemudian
diikuti dengan huraian tentang kaum Qadariyyah.
13. Kaum Qadariyyah itu seperti Majusi, seperti hadith Nabi saw (yang bermaksud): ”Apabila kamu lihat kaum Qadariyyah, maka kamu bunuh mereka, mereka itu majusi umat ini.”
Kemudian ini disusuli dengan golongan Jahmiyyah. Mereka itu dua belas golongan.
Ini
disusuli dengan menyebut kaum Murji’ah.
Mereka itu ada dua belas golongan.
Dikatakan
bahawa kaum Murji’ah itu dimurkai Allah,
dan disebut dalam hadith Nabi s.a.w. bahawa mereka itu dilaknati oleh tujuh
puluh anbiya. Selepas
menyebut kaum yang tujuh puluh dua itu, penulis ini memberi pesanan:"(Sayugianya)
kau ketahui akan dia (yaitu 72 golongan sesat itu) supaya kau jauhi akan dia (dan)
jangan sekali-kali kau iktikad akan dia…”(hlm14). Lepas itu penulis menyatakan: “(Apabila
kau ketahuilah ) segala iktikad dan mazhab yang sesat yang telah tersebut itu,
sekarang (maka ku nyatakan) pula iktikad kaum mulhid yang bersaufi dirinya
seperti yang telah dinyatakan Imam Ghazali (dan Syaikh Abun-Najib Suhrawardi) (dan)
Imam Najmu’d-Din ‘Umar
al-Nasafi dan lainnya…”(hlm 14).
Kemudian diteruskan kenyataan:
Adapun kaum yang bersaufi-saufi dirinya itu amat sesat mereka itu tiada patut dinamaikan dia dengan nama saufi, hanya terutama dinamai akan dia dengan kafir atau fasiq. (Kata ulama) adalah banyak mereka itu tiga belas kaum. (Pertama) kaum Murji’ah namanya (kedua) kaum auliya’iyyah namanya (ketiga) kaum sikhr akhih namanya, (keempat) kaum ibahiyyah namanya, (kelima) kaum haliyah namanya, (keenam) kaum hauriyah namanya, (ketujuh) kaum waqi’iyyah namanya, (kedelapan) kaum mutajahiliyah namanya, (kesembilan) kaum mutakasiliyah namanya (kesepuluh) kaum ilhamiyah namanya, (kesebelas) kaum hululiyah namanya, (kedua belas) kaum wujudiyah namanya (ketiga belas) kaum mujassimah namanya. (hlm 15).
Ini
disusuli dengan kenyataan tentang akidah golongan yang tiga belas itu, yang
dikatakan mereka yang bersufi-sufi dirinya. Kaum Murji’ah, iktikadnya:
Kaum
Ibahiyah:
Kaum
Haliyah: Antara iktikad mereka: dikatakan mereka harus menari dan bertepuk tangan tatkala menyanyi, lagi pengsan; kata segala muridnya bahawa syaikh mereka itu dalam hal itu bersalahan dengan perjalanan Rasul; itu bid’ah lagi dhalalah. Kaum
Hurriyah:
Kaum
Waqi’iyah: Mereka meninggalkan ma’rifat terhadap Allah kata mereka hak Allah tiada dikenal akan dia. Hamba itu lemah daripada mengenalNya. Iktikad itu kufur. Disebutkan ini berlawanan dengan beberapa nas Qur’an dan Sunnah.
Kaum
Mutajahiliyah:
1.
Mereka memakai pakaian dan mengerjakan
amalan fasik. 2. Kata mereka: tiada dapat kami menjauhi diri daripada zina. Ini dhalalah. Kaum
Mutakasiliyah: 1.
Mereka meninggalkan berbuat usaha dan ikhtiar. 2. Mereka pergi memintan sedekah pada tiap-tiap rumah dan kedai orang untuk
mendapat makanan. 3. Mereka mengambil zakat dan sedekah daripada orang ramai. Ini cara hidup bid’ah bersalahan dengan amalan Nabi s.a.w.
Kaum
Ilhamiyah:
Itu semua bid’ah dhalalah. Kaum
Hululiyah:
Ini semua kufur dan dhalalah. (3) Kata Syaikh Abun-Najib dalam ‘Awariful-Ma’arif: Adalah setengah daripada kaum Hululiyah itu bernama Qalandariyah, mereka itu mengharuskan semua pekerjaan. Katanya: Apabila kamu suci daripada hawa nafsu lagi ikhlas kepada Allah, itulah kesudahan segala yang dimaksudkan. Adapun amalan Syariat, itu martabat sekelian orang awam sahaja yang kurang darjahnya, dan itu turut-turutan sahaja. Itu sekeliannya kufur, mulhid, lagi zindik. Sepatutnya dibunuh kalau ia tidak bertaubat. (hlm.16). Golongan
Batini:
Kaum
Wujudiyah:
Kaum
Mujassimah:
Kata
Imam Ahmad: sesiapa yang mentasybihkan Allah dengan makhluk menjadi kafir. Ini diikuti dengan larangan mengikut kaum yang bid’ah dengan dibawa beberapa maksud hadith. Kemudian dibahagikan bid’ah itu kepada pembahagian mengikut hukum yang lima mengikut huraian Syaikh ‘Izzuddin Ibn ‘Abdus-Salam.Juga diikuti dengan contoh-contoh bid’ah. Kemudian dibicarakan juga masalah-masalah berhubungan dengan jin dan hukum tentang murtad dan taubat serta jenis-jenis dosa anak Adam. (hlm 19-28).
Kepentingan Ajaran dan Amalannya:
Antara beberapa pengamatan yang boleh dibuat dalam hubungan dengan beberapa aspek isi teks Syaikh Muhammad Arsyad ini dan apa yang timbul daripadanya ialah seperti di bawah ini:
Antara
Perkara-Perkara Yang Perlu Diberi Penyelesaian:
Wallahu
a’lam. Teks Nahj al-Raghibin oleh Syaikh al-Banjari adalah satu karya yang mempunyai kepentingan yang amat tinggi dari segi panduan intelektuil dan spiritual yang diberi kepada rantau ini; ia perlu diberi perhatian yang serius melebihi setakat sebutan yang dibuat sekarang ini; ia menjadi “jambatan kememasan” antara Dunia Melayu dan kehidupan intelektuil dan rohani Sunninya dengan lautan warisan intelektuil dan rohani Islam yang baku zaman lampau. Dan ia teks yang mesejnya relevan sekarrang bukan hanya relevan dalam beberapa abad dahulu sahaja.
Hanya kita perlu mencari kunci-kunci baharu untuk mempertahankan “world-view” yang dikemukakannya serta epistemologi itu demi untuk pendidikan dan dakwah kita, yang ia menjadi “substance”nya. Kita masih memerlukan syaikh kita ini sekarang dan seterusnya; dia bukan hanya sejarah, tetapi panduan yang berterusan. Dalam
Tasawwuf: Dalam hubungan dengan tasawwuf lagi secara khususnya, untuk dakwah dan pandidikan kita ia ada menterjemahkan teks sufi yang penting. Teks itu ialah Fathu’r-rahman bi-Syarh Risalah al-waliy al-Ruslan. (17) Teks itu diberi terjemahan antara baris-baris teksnya (“interliner”) dalam bahasa yang jelas. Ia ditulis oleh Haji Muhammad Sa’id bin al-marhum Mufti Ahmad bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Allah memberi rahmat kepada mereka itu. Amin. Yang
dibicarakan dalam teks itu, yang belikau terjemahkan kata-kata demi kata itu
berbicara tentang tasawwuf taraf yang melintasi fardhu ‘ain. Misalnya dalam
hubungan dengan tauhid beliau terjemahkan begini (18): Dan
sesungguhnya engkau dahulukan bahawa tauhid itu tauhid pada af’al dan tauhid
pada sifat dan tauhid pada zat; dan yang pertamja itu tauhid segala awam dan
yang kedua t auhid segala khawwas dan yang ketiga tauhid khawwas al-khawwas.
Yang makhluk itu serta terhentimu serta mereka itu dinding daripada memandang
hak ta’ala dan engkau serta demikian itu dinding daripadanya pula. Bermula hak taala itu tiada terdinding daripadamu kerana tiada kuasa atas
mendindingi Dia dan Hak taala itu terdinding Ia daripadamu dengan dirimu kerana
tilikmu kepada wujudmu dan amalmu, dan engkau mendindingi daripadamu dengan
dirimu bagi demikian itu.
Di
tepi teks itu ada syarahnya, katanya: Yakni salik itu (orang yang berjalan dalam perjalanan rohani dengan Amalan-amalannya dan sifat-sifatnya) manakala ia memandang dirinya Berwujud, maka iaitu jadi dinding kepada Allah ta’ala, dan jika dipandangnya pula akan … (kurang terang) … berwujud iaitu dinding pula Kepada Hak taa’la, kerana iaitu jadi syirik khafi. Seterusnya
katanya lagi: … dan inilah wujudku dan ilmuku –gugur daripada satu
naskhah- dan engkau terdinding daripadamu dengan Hak taala kerana bahawasanya
engkau apabila engkau lihat kepada wujud Hak taala nescaya terdindinglah engkau
dengan Dia daripadamu-dan pada suatu naskhah digantikan ‘bihi’ itu
dengan ‘bihim’ ertinya dengan makhluk , makia ceraikan olehmu engkau
daripadamu, ertinya fanakan olehmu daripada wujudmu dan upayamu dan kuatmu
nescdaya engkau musyahadahkan barang yang di(a)nugerahkan Allah dengan dia
atasmu (“yang salik”-kata syarah di tepinya-pen) daripada kerunia dan murah
dan sejahtera atasmu dan rahmat
Allah dan berkatNya.(19) Sebagai contoh, ia menyebut bagaimana manusia menuju kepada tauhid darjah yang demikian ini menemui halangan-halangannya yang sesuai dengan halnya pula. Katanya (20) …
jika damping engkau dengan Dia kepadamu seperti bahawa tiada engkau lihat bagimu
berwujud dan berilmu serta wujudNya
dan ilmuNya nescaya didampingkanNya engkau kepadaNya dengan KurniaNya dan
(a)nugerahNya; dan jika damping engkau dengan
engkau kepadaNya dengan bahawa engkau lihat bagimu yang demikian itu
nescaya dijauhkanNya engkau ertinya didindingiNya engkau dan
masyghulkanNya engkau dengan dia; jika engkau tuntut Ia bagimu seperti bahawa
engkau tuntut daripadaNya segala derjat dan karamat dan maqamat, nescaya
diberati engkau dengan amal dan dilelahkanNya engkau dari kerana bahawasanya
barang siapa menuntut upah nescaya dituntutnya dengan amal, dan jika engkau
tuntut Ia bagi hak taala nescaya ditunjukiNya engkau, ertinya dijadikanNya en
gkau daripada orang yang mengambil dallal (yang menunjukkan jalan yang
betul-pen) dengan semata-mata
kiemurahan dan KurniaNya, seperti telah lalu keterangannya (?) hampirmu kepada
Hak Taala ; keluarmu dengan fana’mu daripadamu dan jauhmu daripadaNya itu
terhentimu sertamu.Dan pada mereka itu bahawasanya kebajikan segala yang berbuat
kebajikan itu kejahatan oleh segala yang muqarrabin seperti yang telah lalu;
danh inilah yang hampir daridpada katanya:jika datang engkau dengan tiada engkau
diterimaNya engkau, dan dikasihiNya engkau, dengan Kurnia Allah taala; dan jika
engkau datang dengan dirimu seperti bahawa engkau lihat bagimu berwujud dan
beramal nescaya didindinginya engkau dengan hadhrat berjinak-jinakan dengan Dia
yang berbuat; ertinya yang berbuat amal pada ibadatnya itu tiada jauh selesai ia
daripada melihat amalnya kerana tuntutnya akan
upah atasnya; maka jadikan olehmu akan dirimu daripada pihak kurnia
ertinya kurnia Allah dan (a)nugerahNya atasmu tiada daripada pihak amal supaya
sejahtera engkau daripada melihat Dia dengan musyahadahkan bahawa sesungguhnya
ia tiada fa’il dan tiada yang maujud melainkan Allah taala, maka adalah engkau
setengah daripada orang yang arif…
Dalam
hubungan dengan tasawuf kita dapati penilaian tentang beliau sebagai berikut: … mempunyai pemikiran di bidang tasawuf dalam menentang paham wahdatul-wujud (Tuhan sebagai satu-satunya wujud hakikat)…Ajaran tersebut di bawa ke Nusantara oleh Syamsud-Din as-Sumatrani (w.1041 H/1630 M) dan Hamzah Fansuri (w.1016H/1607M) dan disebarkan di Banjarmasin oleh Abdul Hamid. Inti ajaran wahdatul-wujud tersebut berbunyi: ’Tiada wujud melainkan hanya Dia (Tuhan), tiada wujud yang lainnya. Tiada ada aku melainkan Dia dan aku adalah Dia.’Al-Banjari menganggapnya sebagai ajaran sesat. Ia sangat prihatin menyaksikan kondisi masyarakatnya yang telah dirasuki ajaran tersebut sehingga mereka melalaikan amalan-amalan lahir sehari-hari , seperti salat, puasa, zakat, dan beberapa aktivitas serta kewajipannya terhadap keluarganya dan masyarakat tersebut. Ia berusaha dengan berbagai upaya untuk mewujudkan adanya keseimbangan antara tasawuf dan syari’at. Ajaran tasawwuf yang berkembang di tengah-tengah masyarakat beransur-ansur dihapuskan dan diganti dengan ajaran Tasawuf Tarekat Samman (inti ajarannya adalah harminisasi antara aspek fikih atau hukum dan tasawuf)…(21) Mungkin kita boleh menoleh kembali dalam hubungan dengan yang demikian kepada formulasinya dalam Tuhfatu’s-Raghibin (22) Beliau menyatakan bahawa golongan “wujudiyyah” atau golongan “wahdatul-wujud” itu ialah: (Adapun kaum wujudiyyah) (atau “kaum wahdatul-wujud”-pen) maka adalah I’tikadnya dan katanya ‘la ilaha illa’Llah’ yakni tiada wujudku hanya wujud Allah taala (yakni) bahawa aku wujud Allah(demikianlah ) dii’tikad mereka itu Pada makna kalimah yang mulia itu; dan lagi pula kata mereka itu :(ayat bahasa Arab, bermaksud) yakni bahawasanya Hak ta’ala tiada maujud melainkan di Dalam kandungan segala makhluk (maka) sekelian makhluk pada I’tikad Mereka itu wujud Hak ta’ala dan wujud Hak ta’ala wujud segala makhluk (maka) adalah mereka itu men(g)ithbatkan keesaan hak ta’ala di dalam waujud makhluk yang banyak serta kata mereka itu ‘tiada maujud hanya Allah ta’ala…dan lagi kata mereka itu ‘kami dengan Allah ta’ala sebangsa dan suatu w segala ujud’…(maka )sekelian I’tikad itu kufur; inilah I’tikad wujudiyyah yang mulhid….(syahadan) adalah wujudiyyah itu dua kaum (suatu) wujudiyyah yang muwahhid (kedua) wujudiyyah yang mulhid (maka) wujudiyyah yang muwahhid itu iaitu segala ahli sufi yang sebenarnya (dan) dinamai mereka itu (wujudiyyah) kerana adalah bahath dan perkataan dan I’tikad mereka itu pada wujud Allah ta’ala… Dengan ini jelas bahawa wahdatul-wujud difahamkan oleh beliau dengan mengakui ada yang sebenarnya dan ada yang palsunya; maka nampaknya yang palsulah itu yang beliau perangi habis-habisan. Wallahu a’lam. Secara ringkasnya, jasa Syaikh Muhammad Arsyad rahimahu’Llah ta’ala boleh dilihat dari beberapa sudut. Boleh dilihat pertamanya beliau menapis ‘akidah Ahlis-Sunnah di rantau ini dengan mengemukakan ciri-ciri pelbagai pegangan yang sesat, bid’ah, dan bahkan yang membawa kepada kekufuran, dari paradigma Islam Sunni klasik, dengan juga mengambil kira perkembangan di sini, seperti kesilapan setengah pihak berkenaan dengan wahdatul-wujud, antara lainnya. Beliau menegaskan dengan nyatanya bahawa yang hak adalah akidah Ahlis-Sunnah wal-jama’ah. Beliau keduanya mendaulatkan Shari’at dalam faham Sunni dengan berpandukan mazhab Syafi’I radiya”Llahu a’nhu, tetapi dengan mempunyai keluasan faham sehingga membuka ruang untuk mendapatkan manafaat daripada unsur-unsur hukum yang boleh diterima. Antaranya dalam hubungan dengan harta pesaka dan juga zakat. Implikasi daripada sikap intelektuil ini adalah meluas dan mendalam bagi perkembangan hukum kita di sini. Beliau ketiganya mengemaskinikan pentadbiran soal keagamaan dan kehakiman, sampai terbinanya institusi-institusi dalam hubungan dengan hal ini; dan ini sungguh besar jasanya dalam menjayakan Syari’at dan kehakiman Islam di rantau ini, dengan contohnya di Banjar. Keempatnya beliau menjayakan pendidikan Islam secara membina institusi dan menjalankan dakwah sekaligus dengan usahanya itu, dengan ditambah pula seruan dakwah secara popular untuk rakyat jelata; gerak kerjanya bukan bersifat elitis semata, tetapi mengakar dalam masyarakat biasa rakyat. Allah memberi rahmatlah kepada ullama yang sedemikian ini sikapnya, yang kata orang tua-tua “ke tengah ke tepi”. Kelimanya beliau memberi contoh dalam diri dan amalannya berserta dengan penulisannya juga bagaimana mengembalikan tasawuf dalam islam ke pangkuan Syari’at sebagaimana yang ada dalam wacana intelektuil Sunni yang baku, yang memberi legitimasi seutuhnya kepada perjalanan rohaniah yang asli itu dalam rangka epistemologi Sunni yang sepadu dan total. Keenamnya, dalam iklim kekeliruan rohaniah dan intelektuil, semenjak dulu sehingga sekarang, kenyataann ya membezakan “wujudiyyah yang muwahhid” dengan wujudiyyah yang mulhid”- “wahdatul-wujud” yang zindik dan kafir dibezakan daripada yang “muwahhid” yang ada pada golongan sufi sebenarnya, bukan pseodo-sufi yang mendakwa dengan kepalsuan dan membuat pengakuan yang palsu. Ini jelas daripada syarah tauhid dalam “Fath ar-Rahman” yang diterjemahkannya dengan nyata sekali. “Wahdatu-wujud” yang palsu dilawannya dan yang sebenarnya diberi pembelaannya dalam syarahnya tentang teks “Fath ar-Rahman” itu. Ketujuhnya beliau menentang khurafat, seperti amalan “menyangkar” dan mengadakan “pasilah” yang melibatkan pemujaan jin, sebagaimana yang banyak dihuraikannya di akhir “Tuhfatu’r-Raghibin” dan ini terlalu amat besar jasanya dalam pengembangan akidah umat yang semurninya. Kelapannya beliau dalam sosok peribadinya sebagai ahli ilmu Islam, jelas mewujudkan dalam dirinya kesepaduan ilmu-ilmu Islam, bukan terpecah-pecah, berlainan daripada apa yang berlaku sekarang ini. Maka peribadi yang sedemikian inilah yang menjadi contoh kita di rantau ini, selain daripada imam-imam utama di kawasan tengah umat Islam sana. Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya. Inilah yang mesti menjadi inspirasi kita. Bukan kita maksudkan seseorang itu perlu menjadi pakar dalam semua bidang, itu baik kalau boleh dicapai, tetapi yang kita maksudkan ialah orang yang memiliki “paradigma intellektuil Sunni yang sepadu dan total” yang membolehkannya mengambil pertimbangan yang benar dalam bidang ilmu dan pegangan. Kalau tidak kita hanyut dalam maklumat-maklumat yang bersimpang siur, apa lagi dalam zaman “information over-load” ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh Abdal–Hakim Murad dari Cambridge, walaupun maklumat mencurah-curah seperti air dari gunung turun dari universiti-universiti dan maklam-makmal saintifik, manusia hidup dalam hubungan dengan perkara asasi dalam “ignorant learnedness” atau kejahilan dalam banyak mempunyai maklumat-maklumat. Kesembilannya, beliau memberi kepada kita contoh hidup (“living example”) ulama Nusantara yang sedemikian unggul mengadakan hubungan yang sedemikian “synergistic”, yang sedemikian penuh dengan prinsip “ta’awun” dengan wali al-amri di Banjar, sebagaimana yang dikehendaki dalam wacana Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dalam rangka menjayakan budaya “al-din al-nasihah”, “agama ialah keceriaan murni yang sungguh-sungguh dalam hubungan dengan imam-imam Muslimin”, antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Nawawi dan al-khattabi serta qadhi ‘Iyad, Allah memberi rahmat kepada mereka. Kesepuluhnya beliau memberi contoh membuat jasa dalam perkembangan bahasa dan persuratan Islam yang melibatkan wacana hukum dan pemikiran serta hidup spiritual Islam. Bahkan sampai beliau terlibat dalam penterjemahan, seperti terjemahan “interliner”nya ke atas “Fath ar-Rahman” yang penting itu. Seolah-olah kita boleh melihat bahaimana proses menterjemah itu berjalan dalam diri beliau melalui buku ini. Ma sya’a Allah. Kesimpulannya, sebagaimana yang kita lihat Syaikh al-Banjari rahimahu”Llah ta’ala, mulai daripada amalan lahiriahnya yang tertakluk dengan sistem fiqh yang sangat berdisiplin, kemudian kita pergi sedikit lagi jauh ke dalam pegangannya yang berupa pegangan Ahlis-Sunnah, kemudian kita pergi lebih jauh lagi ke dalam tanggapan dan pandangan tauhidnya yang menjangkau sampai kepada pengalaman para auliya’, Allah meredhai mereka, kita dapati ia ulama yang intelektualitinya sangat integrated atau sepadu, yang mendapat kekuatan daripada tradisi intelektual Sunni yang baku dengan fiqhnya, akidahnya, dan hidup rohaninya. Tokoh sedemikian inilah yang menimbulkan kegiatan pendidikan dan dakwah di Dunia Melayu, yang menyebab ia boleh bertahan sampai sekarang, dan insya’ Allah sampai seterusnya, amin, dengan generasi sekarang mengambil pengertian yang sedalamnya dari kefahaman mereka ini dan keyakinannya, serta membina kekuatan di atas asas inteketuil, akhlak, dan rohani yang seteguhnya.
Wallahu a’lam.
------------------------------------------------------------------------------------- *
Kertas dibentangkan dalam Seminar Serantau Sheikh
Muhammad Arsyah al Banjari –rahimahu’Llahu ta’ala - di Banjarmasin,
Kalimantan Selatan, dari 4 Oktober 2003 atas anjuran bersama ABIM, DBP Malaysia,
IAIN Antasari Banjarmasin, Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Selatan dan badan
Pengelola masjid Raya Sabil al-Muhtadin dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden
dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Akademi Kajian Ketamadunan dan
Persatuan Ulama Kedah. Bahan-bahan yang penting antaranya banyak saya dapati
dari rakan kita yang mulia Tuan Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah, penghimpun
bahan-bahan yang tidak kenal penat lelah itu. Kaththara’Llahu amthalah.
Amin. (1)
Antara bahan-bahan yang senang dirujuk ialah yang ada dalam Ensiklopedi
Hukum Islam, jld I, halaman
191-194, di bawah tajuk “Syekh Muhammad Arsyad al-banjari”, terbitan Pt
Ichtiar Baru Van Hoeve, Jakarta, 1996 (semuanya dalam 6 jilid), dan Ensiklopedi
Islam,di bawah tajuk
“Al-Banjari, Syekh Muhammad Arsyad”, jilid
I, halam 229-231, penerbit yang sama, Jakarta,
1994. (2)
Dalam Ensiklopedi Hukum
Islam, hlm..191. (3)
Diterbitkan di Tokobuku “Hasano”, Jalan Hasanudin, Banjarmasin, tanpa
tarikh. Diucapkan “jazakumu’Llahu khairan kathiran” kepada rakan kita Tuan
Haji Wan Mohd Shaghir yang membekalkan bahan ini kepada penulis, bersekali
dengan buku-buku lain. (4)
Tuhfatu’r-Raghibin fi
Bayani Haqiqati Imani’l-Mu’minina wa ma Yufsiduhu min Riddatil-Murtaddin,
terbitan Sulaiman Mar’I, Singapura, tanpa tarikh, hal.9. daripada hukum (5)
Lihat dalam Ensiklopedi
Islam jld.I hal 230-231; dan Ensiklopedi
Hukum Islam, jld.I, hal 192-194. (6)
Ensiklopedi Hukum Islam, jld.I,
hlm.192.Ensikplopedi
Islam,jld.I, hlm.230. (7)
Ensiklopedi Hukum Islam, jld.I,
hlm.193. (8)
Lihat alm. Prof Ahmad Ibrahim,
The
Administration of Muslim Law in Malaysia.terbitan
IKIM, Kuala Lumpur, berkenaan dengan “harta sepencarian”.Ini asalnya
pengajaran fiqh Hanafi yang menyebut “wa kasbuhuma bainahuma”:”dan usaha
kedua suami isteri itu antara keduanya”. (9)
Teks yang ada di tangan penulis ini terbitan Maktabah wa Matba’ah Dar
al-Ma’arif ,Pulau Pinang, Malaysia, tanpa tarikh, terdiri daripada dua jilid. (10)
Sabil al-Muhtadin, jld.I,
hlm.5-6. (11)
ibid.hlm.5-6. (12)
ibid.hlm.6. (13)
ibid.hlm.6. (14)
ibid. I.hlm.3-4. (15)
ibid.I.140-141. (16)
ibid.II.hlm. 116-117. (17)
Diterbitkan oleh Tokobuku
“Hasano”, Jalan Hasanudin, Banjarmasin, tanpa tarikh. Ucapan
“jazakumullahu khairan kathiran” kepada saudara kita yang bujdiman Haji Wan
Mohd Shaghir Abdullah yang membuat dokumentasi tanpa penat lelah itu. Selain
dari itu saya dapati dari beliau Beberapa
Khutbah Syaikh Muhammad Arsyad
himpunan ‘Abd al-Rahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif, terbitan Matba’ah
al-Ahmadiyyah, Singapura, tanpa tarikh; Perhimpunan
Tiga Risalah-Pertama Risalah Syajarah al-Arsyadiyyah; kedua Risalah Takmilah
qaul al-Mukhtasar terjemahan hamba; ketiga Risalah Qaul al-Mukhtasar fi
‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar terjemahan jaddi (Datukku) Syaikh Muhammad
Arsayad bin ‘Abdullah al-Banjari, Matba’ah al-Ahmadiyyah Singapura,
tahun1356. Dalam
Ensiklopedi Hukum Islam jld
I disebutkan hasil penulisan Syaikh al-Banjari (selain daripada Sabil
al-Muhtadin) adalah: Kitab
al-Nikah, Kitab al-fara’id, Usul al-Din, Tufah al-Raghibin, kanz
al-Ma’rifah, dan
al-qaul al-Mukhtasar. (hlm.194).
(18)
hlm.88-89. (19)
ibid. hlm.90-91. (20)
ibid. hlm.82 dst. (21)
Ensiklopedi Hukum Islam,jld
I, hlm.194. (22)
hlm.16-17. Lampiran: Para
ulama yang disebut pendapat mereka:
|
|