|

Adat Membina Rumah Panjang
(in Bahasa Melayu)
Apabila sebuah rumah panjang sudah usang adalah
menjadi tanggungjawab tuai rumah untuk mengadakan perjumpaan dengan
pengikutnya bagi membincangkan pembinaan sebuah rumah panjang baru.
Sekiranya ketua setiap keluarga setuju, semua lelaki dan setiap
keluarga diminta untuk mengumpulkan bahan-bahan pembinaan (ramu)
yang diperlukan dengan secukupnya seperti tiang kayu, alang, kasau,
papan-papan dan lain-lain. Sekiranya semua keluarga melaporkan
mereka telah habis mengumpulkan semua ramu, tuai rumah dengan
bantuan tuai Burung atau tukang ramal akan menentukan tarikh bertuah
untuk membersihkan tapak (ngerembang) rumah panjang baru itu.
Beberapa hari sebelum tarikh itu, tuai rumah akan masuk ke dalam
hutan untuk mencari alamat atau petanda baik. Sekiranya rumah
panjang baru itu akan dibina di hilir sungai dan tapak rumah
sebelumnnya, dia akan cuba mencari bunyi burung Nendak di,
sebelah kanannya. Apabila dia terdengar bunyi burung itu., dia akan
mencabut sebatang anak pokok di kawasan itu untuk menandakan
kejadian itu, dikenali sebagai tambak burung, dan dia akan
membawa balik anak pokok itu untuk disimpan.
Pada keesokan harinya,
tuai rumah masuk lagi ke hutan untuk tujuan yang sama. Apabila dia
terdengar bunyi burung dan sebelah kanannya dan mencabut anak pokok
itu menandakan kejadian itu, dia pun pulang ke rumah bersama-sama
tambak burung. Pada awal pagi hari ketiga, dia masuk ke hutan lagi.
Kali ini untuk mencari bunyi burung dan arah sebelah kirinya.
Apabila dia terdengar bunyi burung itu, dia akan mencabut sebatang
anak pokok di situ dan pulang dengan tambak burung yang terakhir.
Pada awal pagi ngerembang, tuai rumah akan membakar tambak
burung di tengah-tengah tapak baru itu sebelum memimpin
ahli-ahli rumah panjang memulakan kerja membersihkan tapak itu.
Setelah ngerembang tamat, ahli-ahli keluarga diminta
mengumpulkan semua bahan-bahan binaan yang telah dikumpulkan pada
tapak rumah baru masing-masing.
Tiga bulan selepas ngerembang,
adat mendirikan tiang permun (tiang utama rumah) dan diikuti
oleh tiang rumah lain dilakukan. Sebelum itu, tuai rumah akan
merenjis darah babi betina dewasa sambil membaca doa ringkas untuk
memohon tuhan (Bunsu Petara) dan roh-roh, terutamanya roh-roh
nenek moyang bagi merahmatkan rumah baru mereka supaya semua
penghuninya akan mencapai kejayaan dalam segala yang mereka lakukan
pada masa depan. Selepas doa dibaca, tiang rumah dimasukkan ke dalam
lubang dengan garam, seketul kecil emas, kulit-kulit buah langgir
dan seranting mumban (pohon rendah yang tumbuh di sepanjang
dasar sungai) diselitkan bersama-sama. Setelah peringkat ini siap,
bumbung rumah didirikan. Sebaik sahaja rumah panjang itu telah siap
dibina, tuai rumah dan tuai burung akan memimpin keluarga-keluarga
masuk ke dalam bangunan baru itu. Sebelum mereka berpindah tetap ke
bilik baru, setiap keluarga mesti membina dapurnya di rumah baru itu.
|