Tips Pelajar Utk Berhasil Dalam Ujian

Tip 1
“Saya amalkan sifat rajin bertanya kepada guru, rekan dan juga ibu bapa. Proses belajar yang saya lalui menjadi begitu selesa apabila saya tidak segan silu untuk bertanya mahupun meminta pertolongan sekiranya menghadapi sesuatu masalah”.

Tip 2
“Saya tahu ibu bapa tidak mampu untuk membantu saya memberi jawapan kepada masalah belajar kerana mereka kurang arif. Jadi, saya bertanya kepada guru yang mengajar mata pelajaran yang saya lemah sebagai jalan untuk mendapatkan penjelasan lanjut sehingga saya benar-benar memahami apa yang diajar oleh guru”.

Tip 3
“Ibu bapa saya adalah orang yang paling saya sayangi dan paling kenal diri saya yang sebenar. Segala kebimbangan, rasa takut, panik, risau, bosan atau masalah lain, saya ceritakan kepada mereka. Mereka bukan sahaja memberi sokongan moral malah menjadi semakin rapat dengan saya selepas mendengar masalah yang saya hadapi.”

Tip 4
“Rakan sebaya perlu saling memberi pertolongan dengan kata-kata semangat sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Kata-kata semangat amat penting pada saat-saat akhir kerana membantu menambahkan keyakinan diri. Oleh itu, calon-calon peperiksaan mestilah sama-sama saling memberi sokongan dan motivasi agar kejayaan itu dapat dikecapi bersama.”

Tip 5
“Saya tanamkan dalam diri daya saing dengan melihat kejayaan pelajar-pelajar di bandar. Daya saing perlu dimiliki oleh setiap pelajar bukan atas dasar cemburu atau untuk menjatuhkan orang lain tetapi sebagai tiupan api semangat untuk terus mara ke hadapan bagi mencapai cita-cita. Dengan adanya daya saing juga, saya tidak kenal erti letih mahupun bosan untuk belajar.”

Tip 6
“ Saya dampingi sebarang aktiviti dan pengalaman yang boleh mempertingkatkan ilmu saya. Ini termasuklah mendengar radio, membaca akhbar dan menonton televisyen. Walau bagaimanapun, saya mendengar nasihat ibu bapa di dalam memilih bahan-bahan yang patut dibaca.”

Tip 7
“Pesanan arwah ayah terpahat di jiwa dan itu sudah cukup untuk memberi semangat kepada saya agar menjadi pendorong kepada adik-adik dengan belajar bersungguh-sungguh. Saya mahu buktikan bahawa saya juga boleh berjaya seperti orang lain walaupun tidak mempunyai ayah untuk memberi dorongan.”

Tip 8
“Saya peruntukkan masa dua jam setiap hari untuk membuat ulang kaji membabitkan mata pelajaran yang mudah dikuasai tetapi mengambil masa yang lebih panjang untuk mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik. Itulah sebaik-baik cara, tidak mudah mengaku kalah atau berputus asa.”

Tip 9
“Saya lebih selesa belajar pada waktu malam. Suasana sejuk dan tenang membuatkan saya lebih segar dan dapat tumpukan kepada apa yang saya baca.”

Tip 10
“Pencapaian saya tidak begitu baik tetapi dua bulan sebelum peperiksaan, saya banyak membuat latihan. Saya tidak buang masa melayani perasaan kerana pada saya, semua orang risau dan takut menghadapi peperiksaan. Kalau difikirkan sangat, bingung jadinya.”

Sebagai ringkasan, jika tip di atas bersesuaian dengan cara dan gaya belajar masing-masing, teruskan tanpa jemu. Sebaliknya jika terdapat mana-mana kaedah yang dirasakan tidak sesuai atau kurang menyelesaikan, buat sedikit penyesuaian agar ia tidak menjadi satu bebanan pula. Apa yang paling penting ialah peruntukkan masa belajar secara konsisten dan usaha secara bersungguh-sungguh. Kejayaan pasti dalam genggaman anda.

Oleh Puan Noraini Ahmad 

:: Home ::