Debat
manusia tidak percaya Tuhan
Mazlan Nordin
08:30pm
12 Mei 2005
Tidak semua pejuang kemerdekaan dicatatkan
nama mereka dengan tinta emas. Ada yang
hanya menjadi catatan kaki dan ada yang
dianggap sebagai serpihan sejarah sahaja.
Salah seorang daripada mereka ialah Mokhtaruddin
Lasso, bekas pejuang anti-Jepun dalam
masa perang dulu dan kemudian salah seorang
pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya
PKMM (Malay Nationalist Party).
Sebuah cerita mengenainya dicatat oleh
Ahmad Boestamam dalam bukunya Putera Setia
Melayu Raya mengenai Dr. Burhanuddin Al-Hilmy
(penerbitan Pustaka Kejora 1972).
Peristiwa yang diceritakan ialah mengenai
perdebatan hangat mengenai agama di antara
Mokhtaruddin dan Dr. Burhanuddin pada
malam selepas kongres pertama PKMM di
Ipoh pada bulan November 1945. Berikut
sedutan laporan Boestamam mengenainya.
``Dr. Burhanuddin, Mokhtaruddin Lasso
dan saya berbual-bual di pejabat harian
Suara Rakyat, lidah rasmi PKMM yang saya
ditugaskan menjadi pengarangnya, di Jalan
Brewster.
Secara tiba-tiba saya dengar Mokhtaruddin
bertanya kepada Dr. Burhanuddin. Apakah
benar Tuhan itu ada, tuan doktor?
Pertanyaan ini dikeluarkannya sambil
tersenyum. Saya terperanjat juga mendengarkan
pertanyaan itu. Tidak saya duga. Mungkin,
hati saya segera menduga, Mokhtaruddin
hendak menguji keteguhan Dr. Burhanuddin
beragama.
Sudah tentu saja Tuhan ada, Dr. Burhanuddin
menjawab pendek. Benarkah Dia berkuasa?
Mokhtaruddin bertanya lagi. Benar, jawab
Dr. Burhanuddin.
Kalau benar Dia berkuasa suruhlah Dia
membuat sepasang terompah kayu sekarang
dan kalau Dia boleh membuatnya saya akan
percaya Tuhan itu ada dan Dia berkuasa,
tetapi tidak sebaliknya, berkata Mokhtaruddin
kepada Dr. Burhanuddin.
Saya melihat tepat ke muka Dr. Burhanuddin.
Saya mahu memastikan apakah reaksinya
kepada pertanyaan ini. Apakah dia akan
menjawabnya atau apa? Tidak syak lagi
pertanyaan Mokhtaruddin itu pertanyaan
yang hanya boleh datang daripada seorang
free thinker, seorang yang tidak
percaya adanya Tuhan, seorang komunis,
seorang yang bersandar bulat kepada dialectical
materialism.
Dan ini tidak pula memeranjatkan saya.
Sebagai seorang bekas pejuang yang menentang
Jepun yang berpangkalan dalam hutan, Mokhtaruddin
tak syak lagi telah bergaul dan seterusnya
mengikuti kursus politik komunis yang
menjadi pelopor melawan Jepun itu.
Saya cemas. Hati kecil saya menyesali
Mokhtaruddin kerana membuat pertanyaan
itu. Masakan patut Tuhan diminta membuat
pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah
kayu itu? Dr. Burhanuddin memberikan jawapannya
dengan tenang. Tidak ada tanda marah dalam
suaranya sewaktu memberikan jawapan ini.
Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat
terompah kayu itu, dia meneruskan kata-katanya.
Dia boleh. Kalau alam ini dapat dicipta-Nya
kenapa pula perkara mudah dan kecil seperti
membuat terompah kayu itu tidak boleh?
Kalau banyak orang, banyak manusia yang
menjadi makhluk Tuhan sudah boleh membuat
terompah kayu belaka kenapakah harus diperlukan
juga tenaga Tuhan bagi perkara yang remeh
ini? Tidakkah sama saja seperti menyuruh
seorang ayah mengesat hingus atau menghisap
puting sedangkan bayi kecil pun sudah
tahu membuatnya?
Mokhtaruddin saya lihat tertegun. Tetapi
dia belum puas hati lagi. Dia menimbulkan
pula masalah lain yang berhubung dengan
soal Tuhan juga.
Orang Islam menyembah Tuhan yang mereka
panggil Allah katanya. Tetapi ada juga
orang yang menyembah bulan, matahari dan
banyak yang lain lagi. Mereka kata benda-benda
itu dikatakan esa, tidak dua dan tidak
tiga?
Dr. Burhanuddin tersenyum dulu sebelum
menjawab. Ada orang yang memanggil kasut
itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya
sepatu, dia menjawab.
Tetapi bukankah kasut dan sepatu itu
benda yang satu itu juga?
Begitu juga dengan Tuhan, ada yang memanggilnya
Allah, ada yang memanggilnya God,
ada yang memanggilnya tok pekong, ada
yang memanggilnya sami, ada yang bertuhankan
bulan, matahari dan entah apa lagi. Panggilannya
saja yang berbeza tetapi bendanya tetap
yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu
memang Esa.
Dan kalau saudara masih meragukan adanya
Tuhan, tambah Dr. Burhanuddin lagi (dan
kini seperti hendak mengajar Mokhtaruddin
pula), maka hujah saudara tadi dapat saya
kembalikan untuk menikam saudara kembali.
Bagaimana? Mokhtaruddin bertanya.
Bukankah saudara mengatakan tadi ada
orang yang mengatakan bulan itu Tuhan,
matahari itu Tuhan, Allah itu Tuhan dan
seterusnya?
Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya.
Dan komunis pun percayakan naturekan?
Mokhtaruddin menganggukkan kepala lagi.
Tidakkah itu menunjukkan setiap orang
percayakan adanya Tuhan kerana tidak ada
orang yang mengatakan tidak ada?
Ya, Tuhan itu ada dan Esa. Mokhtaruddin
mengangkat kedua-dua belah tangannya ke
atas dan berkata: Cukuplah ini saja tuan
doktor dan kita kira seri – tak
kalah, tak menang.'' Demikian cetusan
hati cerita Boestamam. Baginya yang menang
ialah Dr. Burhanuddin.
Saya mengagumi kebesaran Dr. Burhanuddin
sebagai seorang pembela Islam yang tenang
- paling tenang. Dan apakah yang menguatkan
kekaguman saya itu?
Sepanjang perdebatan itu Dr. Burhanuddin
tidak sekali pun mengeluarkan hadis dan
firman bagi menguatkan hujah-hujahnya...
berhadis dan berfirman dengan seorang
yang tidak memandang hadis dan firman
itun berhikmat sama saja dengan menjiruskan
air di atas daun keladi, tentu tidak akan
memberi kesan.
Sebelum ini disebut mengenai Mokhtaruddin
dijadual mempengerusikan kongres tetapi
beliau begitu lewat sekali tiba dan tugasnya
terpaksa diambil alih oleh Dr. Burhanuddin.
Hanya selepas kongres bersurai Mokhtaruddin
tiba lalu meminta maaf dan memberitahu
kononnya beliau diculik oleh ejen-ejen
NICA (ejen Belanda yang menentang pejuang
kemedekaan Indonesia). Beberapa hari setelah
tamat kongres Mokhtaruddin ``Menghilang
lagi... khabarnya dia telah berhijrah
ke Indonesia,'' Boestamam menulis.
Nama Mokhtaruddin juga disebut oleh wartawan
veteran Tan Sri Samad Ismail dalam kata
pengantar Memoir Ahmad Boestamam. Merdeka
dengan darah dalam api (penerbit Universiti
Kebangsaan Malaya 2004).
Beliau menulis: ``Mokhtaruddin atau nama
julukannya Lang-Lang Buana ialah presiden
pertama Parti Kebangsaan Melayu sebelum
PKMM dipimpin oleh Dr. Burhanuddin. Dalam
masa pendudukan Jepun, Mokhtaruddin Lasso
bergerak di hutan bersama Malayan Peoples
Anti Jepun Amy (MPAJA).
Boestamam dalam bukunya menceritakan
pada suatu hari dia menerima seorang tamu
di pejabat Suara Rakyat. Tamu itu kemudian
menawarkan untuk menanggung ongkos menerbitkan
Suara Rakyat.
Tawaran itu diterima oleh Boestamam dan
teman-temannya. Boestamam tidak menceritakan
mengenai kegiatan Mokhtaruddin untuk mempengaruhi
beberapa orang tertentu dalam Suara Rakyat
untuk menjadi kader parti komunis.''
Antara yang bertugas waktu itu ialah
seorang bernama Dahari Ali. Beliau kemudian
meninggalkan akhbar Suara Rakyat untuk
berkhidmat dengan Tentera Nasional Indonesia
di Sumatera Barat.
Samad mencatatkan: ``Dahari Ali menceritakan
bahawa satu sebab dia pergi ke Sumatera
kerana hendak mengelakkan diri daripada
pengaruh Mokhtaruddin Lasso.''
Tiada sambungan pada cerita Mokhtaruddin
Lasso. Ke mana gerangan beliau pergi dan
nasib kemudiannya? Betapa orang-orang
yang cuba dipengaruhinya? Kalau dia tergamak
meminta Tuhan membuat terompah betapa
pula mereka?
Fahaman komunis akhirnya lebur setelah
berkuasa selama 74 tahun selepas revolusi
di Rusia tahun 1917. Tiada lagi ajaran
Karl Marx disebarkan. Tiada lagi kata-kata
sakti Lenin menjadi panduan hidup komunis.
Tiada lagi dialectical materialism.
Apakah Lang-Lang Buana akhirnya kembali
ke jalan benar yang diberkati Allah? Wallahualam
bisawab. – ehsan Utusan Melayu,
1 Mei 2005