Akar pemikiran
Islam Liberal
Khalif Muammar A. Harris,
Kolej Dar al-Hikmah
07:00pm
17 Mei 2005
Di
akhir abad keduapuluh Masehi, Umat Islam
dikejutkan dengan fenomena baru dalam
pemikiran Islam. Golongan yang memperkenalkan
diri dengan nama Islam Liberal telah menggemparkan
dunia Islam dengan isu-isu yang kontroversial
dan ide-ide yang berani. Gerakan Islam
Liberal cukup popular di Indonesia, namun
begitu tidak ramai yang menyedari sebenarnya
gerakan ini mempunyai jaringan yang luas
bukan sahaja di dunia Islam bahkan juga
hampir di serata dunia: Mesir, India,
Pakistan, Bangladesh, Amerika, Perancis,
Malaysia, Turki, Jordan, Sudan, Syria,
Moroko, Tunisia, Lebanon, Algeria, Nigeria
dll.
Pada dasarnya, Islam Liberal merupakan
‘produk’ baru untuk menjelmakan
kembali modenisme di Abad ke-21. Modenisme
Islam telah lama muncul di kalangan intelektual
Muslim dan menjadi satu tren pemikiran
yang berpengaruh dalam dunia Islam sejak
Abad ke-19M. Tulisan ini bertujuan untuk
melacak dan mencari penjelasan tentang
akar ideologis gerakan Islam Liberal sekaligus
menyorot perkembangan terbaru yang berlaku
kepada tren pemikiran ini yang cukup banyak
diperdebatkan dalam perbahasan ilmiah
dewasa ini. Hipotesis kajian ini adalah
bahawa adanya kesinambungan dan pengaruh
yang kuat antara sekularisme, orientalisme,
modenisme Islam dengan Islam Liberal.
Kemunculan Modenisme Islam adalah akibat
dari pertemuan yang tidak seimbang daripada
dua dunia: Islam dan Barat. Penjajahan
yang berlaku lebih 400 tahun terhadap
umat Islam sedikit sebanyak menyebabkan
sikap rendah diri atau inferiority-complex
apabila berhadapan dengan peradaban yang
canggih dan hebat. Perlu digarisbawahi
di sini bahawa modenisme Islam bukanlah
aliran pemikiran yang tunggal dan jelas,
tetapi ia mencakupi beberapa aliran pemikiran
sesuai dengan istilah modenisme itu sendiri
yang kabur. Gerakan modenisme telah mengalami
banyak perubahan setelah kemunculan Fazlur
Rahman (1919-1988) yang telah merangka
framework pemikiran neomodenisme pada
awal 80an. Usaha beliau walaubagaimanapun
telah ‘dimanfaatkan’ oleh
orang-orang yang berkepentingan, untuk
menjustifikasikan lahirnya pemikiran yang
lebih radikal, liberal dan berani. Golongan
ini kemudian diberi nama Islam Liberal.
Modenisme Islam mengambil semangat pembaharuan
dan reformasi. Dengan melihat model pembaharuan
(modenisasi) yang telah berjaya merubah
masyarakat di Barat. Modenisme di Barat
telah menghasilkan apa yang dinamakan
enlightenment, revolusi industri dan akhirnya
telah meletakkan Barat sebagai negara
yang maju dan pemimpin dunia. Menyedari
kemunduran dan keterbelakangan Umat Islam,
dan setelah mereka mengkaji faktor kemajuan
Barat maka golongan modenis mengambil
kesimpulan bahawa Umat Islam perlu bersikap
terbuka terhadap tamadun Barat untuk menguasai
sains Barat dan seterusnya mengikuti rentak
kemajuan. Sikap keterbukaan ini didasari
oleh pendirian bahawa ilmu itu bersifat
bebas nilai atau neutral tidak diwarnai
oleh ideologi pembawanya dan terserah
sepenuhnya kepada pengguna sains tersebut
untuk dapat digunakan sesuai kehendaknya.
Apabila telah terbukti bahawa sains yang
sama telah berjaya memberi kemajuan kepada
masyarakat Barat, maka tentunya apabila
digunakan oleh Umat Islam ianya juga akan
dapat menjanjikan kemajuan.
Modenisme Islam dan Modenisme
Barat
Oleh kerana modenisme Islam sangat berkait
rapat dengan modenisme Barat, maka sebelum
membicarakan tentang modenisme Islam,
sangat penting sekali untuk memahami konsep
modenisme dan modenisasi dan kemunculannya
di Barat. Perlu digaris bawahi di sini
bahawa kemunculan modenisme Islam hanya
berlaku sebagai satu konsekuensi daripada
interaksi dunia Islam dengan tamadun Barat.
Satu fakta yang perlu diingat adalah bahawa
Umat Islam sejak abad ke 16/17M telah
dijajah dan diinfiltrasi oleh pemikiran
dan budaya yang asing daripada pemikiran,
budaya dan agama mereka. Reaksi dari diri
Umat pada ketika itu adalah di antara
penolakan dan penerimaan. Golongan tradisionalis
lebih cenderung untuk menentang dan mengasingkan
diri dari segala bentuk pembaratan (Westernization).
Adapun golongan modenis yang pada masa
itu mempunyai latarbelakang pendidikan
Barat, melihat segala kebaikan berada
dalam tamadun Barat, dan adalah satu kerugian
besar bahkan dianggap kekolotan berfikir
apabila umat Islam tidak tampil untuk
memperolehinya.
Modenisme di Barat digerakkan oleh falsafah
enlightenment-humanism yang berhasil
mempengaruhi pemikiran sebagian masyarakat
Barat dan majoriti intelektual mereka.
Kemunculan ahli-ahli falsafah seperti
Immanuel Kant, David Hume, Nietzsche dan
lain-lain telah memberikan penekanan terhadap
rasionalisme dan kebebasan (liberalisme)
atau pembebasan manusia daripada tradisi
dan dogma. Gerakan keintelektualan ini
semakin kuat dengan munculnya falsafah
eksistensialisme oleh Sartre dan logical-positivism
oleh kelompok yang dikenali dengan Vienna
Circle.
Pada hari ini gerakan humanisme dipelopori
oleh Council for Secular Humanism.
Menurut mereka secular humanism bermaksud
“cara berfikir dan cara hidup yang
bertujuan untuk memberikan yang terbaik
bagi manusia dengan menolak segala kepercayaan
agama dan kuasa di luar tabi’i.
Humanisme sekular menekankan rasio manusia
dan pengkajian saintifik, kebebasan individu
dan pertanggung-jawaban, nilai-nilai kemanusiaan
dan kasih sayang dan keperluan terhadap
toleransi dan kerjasama”.
Penjelasan tentang humanisme sekular
di atas memperlihatkan wujudnya dikotomi
antara agama dan sains, antara moralitas
dan kebebasan individu, antara Tuhan dan
nilai-nilai kemanusiaan. Terlepas daripada
elemen-elemen yang tampak baik yang terdapat
dalam pemikiran ini, penumpuan kepada
kerasionalan, penolakan terhadap agama,
dan kebebasan individu dalam menentukan
segala sesuatu, pastinya memberi kesan
negatif khususnya bagi seorang Muslim.
Oleh kerana itu, penilaian perlu dilakukan
secara menyeluruh dan sebaiknya penjelasan
tentang modenisme dilakukan dari dua sudut
pandang yang berbeza: Barat dan Islam.
Seorang penulis Muslim berasal dari Perancis
dan menetap di Mesir, Rene Guenon, menjelaskan
bahawa modenisme pada intinya adalah penolakan
terhadap segala apa yang berbentuk divine,
transcendent dan supernatural. Ia adalah
penolakan yang dilakukan oleh enlightment-humanist
terhadap tradisi dan otoriti, demi
kepentingan akal dan sains tabi'i. Ia
dicipta atas dasar perkiraan bahawa kuasa
individu yang menjadi satu-satunya sumber
bagi makna dan kebenaran.
Demikianlah dapat disimpulkan bahawa
pengaruh humanisme Barat sangat kuat dalam
kerangka pemikiran modenisme Islam. Dalam
menjelaskan hakikat liberalisme Islam,
Leonard Binder menegaskan bahawa perbahasan
rasional menjadi tonggak utama golongan
Islam Liberal ini. Rasionalisme, dalam
erti mendewakan akal fikiran dan menjadikannya
kayu ukur dalam menilai segala sesuatu,
yang menjadi asas peradaban Barat juga
dianut oleh golongan modenis dan liberal
Muslim. Dalam mendefinisikan modenisme
Islam Charles Kurzman, seorang lagi ideolog
Islam Liberal, dalam bukunya Modernist
Islam mengatakan bahawa seorang modenis
bukan sahaja menerima nilai-nilai moden
dari Barat sebagai sesuatu yang benar
melainkan juga usaha untuk memperjuangkan
modenisme Barat (proponent of modernity)
yang termasuk di dalamnya rasionaliti,
sains, kedaulatan perlembagaan (constitutionalism),
dan persamaan manusia.
Bahkan peranan seorang modenis menurut
beliau bukan sahaja dalam mencari persamaan
di antara nilai-nilai moden dengan nilai-nilai
atau ajaran Islam. Lebih dari itu, seorang
modenis mesti berusaha untuk memperkasakan
dan membangunkan teori yang kukuh yang
dapat membuktikan adanya persamaan dan
kesesuaian tersebut. Dari sini tampak
jelas bahwa gerakan ini mempunyai prakonsepsi
dalam memahami Islam. Penyatuan di antara
modern values dan ajaran Islam pada realitinya
dilakukan dengan tidak adil iaitu dengan
memilih sebahagian tradisi dan teks-teks
agama yang mampu menyokong nilai-nilai
Barat. Sedangkan kajian terhadap tradisi
Barat sendiri dilakukan dengan penuh apresiasi
dan tidak kritis.
Berkenaan dengan tema-tema Islam Liberal,
mengikut tulisan mereka sendiri, dapat
dilihat sebenarnya tidak jauh berbeda
dengan modernist Islam. Di antaranya adalah
demokrasi, pembelaan hak-hak perempuan,
kebebasan bersuara, dan masa depan kemajuan
manusia. Tema-tema yang diangkat memberikan
impresi bahwa siapapun yang rasional tidak
mungkin menolak perjuangan mereka. Di
sebalik itu ada keinginan untuk memonopoli
perjuangan untuk kemanusiaan, sedangkan
agama Islam sejak mula telah memperjuangkan
kepentingan manusia. Tema-tema di atas
tampak menarik dan segar, tetapi ini berbeda
dengan tema-tema yang selalu menjadi perdebatan
hangat di kalangan umat Islam. Isu-isu
seperti penolakan Syari'at, pluralisme
agama, kebebasan berijtihad, penolakan
otoriti agama dan hermeneutik sebenarya
yang menjadi perbahasan utama gerakan
ini.
Pandangan bahawa perlunya penyesuaian
di antara Islam dan nilai-nilai Barat,
di antara wahyu dan kemodenan, adalah
dengan andaian bahawa keduanya tidak bertentangan
dan sesuai (compatible). Atas andaian
inilah maka peranan menyesuaikan di antara
keduanya bukan perkara yang rumit. Persoalannya
adalah adakah andaian ini betul? Apakah
tidak ada pertembungan nilai/prinsip di
antara worldview Islam dan worldview
Barat. Pemikir Islam seperti Syed Muhammad
Naquib al-Attas menyatakan bahawa Islam
mempunyai pandangan hidup yang jauh berbeza
dengan pandangan hidup Barat. Pandangan
hidup Barat meletakkan falsafah humanisme,
rasionalisme, sekularisme sebagai asas
peradaban mereka. Sedangkan falsafah-falsafah
ini amat asing dan tidak perlu dalam konteks
umat yang beragama Islam. Isma'il al-Faruqi
mengatakan bahawa humanisme Barat sekarang
banyak dipengaruhi oleh humanisme Greco-Roman,
yang terlalu mendewakan manusia dan sebagai
reaksi kepada tradisi Kristian yang sebenarnya
merendahkan nilai-nilai kemanusiaan. sebaliknya
Islam telah dengan secara tidak langsung
meninggikan martabat manusia, maka dari
itu, al-Faruqi> menyimpulkan bahawa
humanisme dalam Islam adalah satu-satunya
yang asli dan terbaik. Dengan alasan kuatnya
pengaruh sekularisme dan humanisme dalam
tamadun Barat, al-Attas menekankan perlunya
ilmu-ilmu Barat diIslamisasikan terlebih
dahulu sebelum ianya diterima oleh umat
Islam untuk mengelakkan berlakunya dikotomi
dalam diri umat Islam dan wujudnya dilema
atau krisis minda yang menjadikan umat
Islam keliru, lemah dan berpecah belah.
Untuk melihat sejauh manakah kesan dan
pengaruh secular humanisme dan postmodenisme
terhadap pemikiran Islam Liberal kita
dapat lihat dalam tema-tema yang dibangkitkan
oleh ideolog-ideolog Islam Liberal seperti
Nasr Hamid Abu Zayd (lahir 1943), Muhammad
Said al-Ashmawi (l. 1932), Muhammed Arkoun
(l. 1928), Abdullahi Ahmed al-Nai'im (l.
1946) dan Asghar 'Ali Engineer (l. 1939).
Abu Zayd misalnya mengatakan bahawa Islam
adalah agama sekular (al-din al-ilmani)
dan hanya diskursus sekularisme ('ilmaniyyah),
yang menurut beliau berasal dari perkataan
ilmu ('ilm), yang dapat membawa Umat Islam
kepada pemodenan dan kemajuan dan menyelamatkan
mereka daripada kekolotan berfikir.
Adapun Muhammad Arkoun, beliau banyak
terpengaruh dengan pemikiran postmodenisme
khususnya Jacques Derrida. Amat jelas
terlihat metode deconstruct dan
no truth-claim dalam pemikiran
Arkoun. Robert D. Lee dalam kata pengantarnya
terhadap buku Arkoun, Rethinking Islam,
mengatakan: "In the world Arkoun
proposes, there would be no margins and
no center, no marginalized groups and
no dominant ones, no inferior beliefs
and no superior, truth-producing logic."
Muhammad Said Ashmawi seperti pendahulunya
'Ali Abd al-Raziq, Wahid Ra'fat dan Faraj
Fawdah menentang konsep Islam syumul (way
of life), baginya permasalahan politik
terpisah daripada agama. Beliau juga menolak
keras pelaksanaan Syari'at Islam dengan
alasan bahawa ia akan memberikan kuasa
politik kepada golongan agama dan mengakibatkan
lahirnya negara teokrasi. Dalam bukunya
The Islamic State, Bagi Asghar Ali Engineer
Hukum Islam adalah ciptaan fuqaha, pelaksanaan
Shari'at Islam bermakna pemerintahan teokrasi.
Dan beliau juga menyokong sepenuhnya pemerintahan
sekular:
"Secularism is highly necessary
if India has to survive as a nation. But
apart from survival of Indian nationalism
and Indian unity, secularism is necessary
for modern democratic polity. And this
need for secular polity becomes much greater
if the country happens to be as diverse
and plural as India. Secularism is a great
need for democratic pluralism….
The most Orthodox Muslim 'Ulama of Deobandi
school preferred secular India to Muslim
homeland or theocratic Pakistan. They
outright rejected the idea of Pakistan
when mooted by Jinnah. They denounced
two nation theory on the basis of religion".
Radwan Masmoudi, seorang presiden Center
for the Study of Islam and Democracy (CSID)
yang merupakan sebuah pertubuhan yang
berpengaruh di Amerika dan baru-baru ini
menjelaskan pendiriannya terhadap Islam
Liberal. Beliau menjelaskan bahawa Liberal
Islam memperjuangkan kerajaan yang bertanggungjawab,
kebebasan individu, dan hak-hak asasi
manusia. Oleh karena itu menurut beliau
golongan ini merupakan Muslim majority
di dunia Islam. Tentunya anggapan bahawa
golongan Islam Liberal adalah golongan
majoriti umat Islam tidak berasas dan
boleh dipertikaikan. Ini kerana imej liberal
yang mereka ketengahkan berbesa dengan
apa yang mereka maksudkan. Dalam hal ini
istilah yang tepat bagi golongan yang
mereka sebutkan adalah progressif, bukan
liberal. Jelas sekali istilah Islam Liberal
itu sendiri sangat kabur dan kontradiktif.
Bahkan tokoh-tokoh yang disebutkan oleh
Masmoudi, yang mengikut kategorisasi Kurzman,
seperti Muhammad Salim al-'Awwa, Anwar
Ibrahim dan Fathi Osman tidak pernah dikategorikan
sebagai Islam Liberal, tidak ada indikasi
yang dapat mengaitkan pemikiran mereka
dengan pemikiran Islam Liberal. Tokoh-tokoh
yang lain yang juga disebutkan seperti
Tariq al-Bishri, Abdul Karim Soroush,
Abdulaziz Sachedina lebih dikenal sebagai
modenis. Mungkin ada yang bertanya mengapa
tokoh-tokoh seperti Muhammad Iqbal, Yusuf
al-Qaradawi, Muhammad Natsir, Rashid Ghannouchi,
Anwar Ibrahim disebut sebagai tokoh-tokoh
dan pendukung Islam Liberal? Terlepas
daripada samada ia adalah satu kesilapan
yang disengajakan ataupun tidak, tentunya
ia bertujuan untuk menarik perhatian umat
Islam agar mudah terpengaruh. Ironisnya,
kenyataan Kurzman tersebut disangkal oleh
kalangan Barat sendiri yang majoritinya
mengkategorikan al-Qaradawi sebagai fundamentalis.
Agama dan Akal
Islam Liberal beranggapan bahawa gerakan
yang mereka lakukan adalah satu-satunya
alternatif yang melakukan usaha penyatuan
di antara agama (faith) dan akal fikiran
(reason). Mereka melihat majoriti umat
Islam mengikut aliran tradisionalis konservatif
yang jumud dan tidak memberi ruang kepada
akal fikiran untuk berperanan dan berijtihad.
Lebih dari itu, golongan fundamentalis
dikatakan telah berusaha untuk memonopoli
pemahaman Islam, sehingga apa sahaja pandangan
yang tidak sesuai dengan kerangka berfikir
mereka akan dicap sebagai tidak Islamik.
Kalau dilihat daripada sejarah pemikiran
dan perundangan Islam, penyatuan agama
dan akal bukan perkara yang baru, ia sememangnya
telah ada dalam tradisi Islam. Terlalu
banyak ayat al-Qur'an dan Hadith yang
memberikan perhatian kepada penggunaan
akal fikiran. Bahkan melihat kepada pelaksanaan
Rasulullah s.a.w. terhadap text, dan pemahaman
dan pelaksanaan para Sahabat tidak pernah
membelakangi akal fikiran. Akal berfungsi
dengan baik sebagai penterjemah dan memikirkan
cara terbaik dalam melaksanakan tuntutan
agama. Imam-imam mazhab mengenal dan mencipta
istilah-istilah seperti qiyas, istihsan,
masalih al-mursalah dan maqasid al-shari‘ah
yang merupakan sumber perundangan Islam
yang diakui dalam tradisi Islam.
Apabila adanya kecenderungan ulama’
masa kini yang kolot dan jumud dalam berfikir,
ia tidak bermakna tradisi atau Islam sendiri
yang menyebabkan perkara tersebut terjadi.
Justeru, ajaran Islam menggalakkan penggunaan
optimum akal fikiran dalam kerangka yang
dibenarkan oleh syari’ah itu sendiri.
Oleh sebab itu sebenarnya tidak timbul
istilah literal Islam versus liberal Islam
dalam memahami agama.
Di sini dapat dikesan kecenderungan Islam
Liberal dalam melihat agama dan akal sebagai
dua entiti yang otonom dan independen.
Agama ataupun shari’ah, kerana dilihat
amat terbatas jumlah teksnya, bergerak
dalam ruanglingkupnya yang tersendiri
dan akal mempunyai peranan dalam kerangka
yang lebih luas yang dapat memastikan
kerelevanan agama dalam dunia masa kini.
Oleh kerana itu kontradiksi berlaku di
antara dua aliran pemikiran modenis atau
Islam Liberal dan ramai ulama’ dan
pemikir Islam yang meletakkan syarat penggunaan
akal fikiran agar tidak bertentangan dengan
mana-mana teks al-Qur’an dan al-Sunnah.
Bagi Islam Liberal apabila pertentangan
di antara keduanya berlaku, maka teks
al-Qur’an ini perlu ditafsirkan
melalui kaedah hermeneutik ataupun melalui
pemahaman substantif agar tidak lagi terpaku
kepada pemahaman literal terhadap shari’ah,
akan tetapi pemahaman yang Liberal. Berangkat
dari metodologi dan cara berfikir inilah,
tidak sedikit daripada mereka yang hanya
melihat daripada shari’ah itu nilai-nilai
universal yang juga ada dalam tamadun
Barat bahkan juga dikongsi bersama oleh
mana-mana agama di dunia ini.
Penolakan Terhadap Otoriti Agama
Liberalisme dan modernisme Islam menolak
otoriti agama. Dalam wacana Islam Liberal
banyak penekanan diberikan kepada kebebasan
berpendapat oleh siapa saja tentang apapun
permasalahan agama. Metodologi yang digunakan
adalah relativisme, iaitu dengan mengatakan
bahwa kebenaran itu relatif tidak boleh
didakwa oleh mana-mana pihak. Penolakan
otoriti agama ini penting agar kebebasan
berpendapat/ ijtihad dapat dilakukan dan
hanya dengan inilah liberalisasi Islam
akan berhasil. Atas dasar kebebasan berpendapat
dan berijtihad inilah maka Islam Liberal
banyak merujuk kepada karya-karya orientalis-kristian
kerana melihat mereka adalah otoriti yang
cukup kritis dan telah dapat mengemukakan
pendekatan yang lebih rasional dan berlainan.
Islam menetapkan bahawa otoriti dalam
ilmu pengetahuan sangat penting. Cukup
banyak ayat dan hadis yang menuntut umatnya
menghormati ilmuwan dan berpegang kepada
disiplin ilmu. Disiplin ilmu apapun memerlukan
otoriti. Islam adalah subjek ilmu yang
cukup ketat dalam menentukan siapa yang
layak dijadikan guru. Tanpa adanya kriteria-kriteria
tertentu dalam pemilihan guru maka penyelewengan
terhadap agama sangat mudah sekali berlaku.
Setiap disiplin ilmu ada otoriti masing-masing.
Kalau dalam bidang perubatan, kejuruteraan
dsb. seseorang itu perlu merujuk kepada
otoriti dan pakar-pakarnya maka sebenarnya
tidak ada bezanya dengan agama Islam:
shari'ah, aqidah, tafsir, hadith, masing-masing
cabang ilmu ini memerlukan kepakaran yang
juga memakan energi dan masa yang tidak
kurang daripada keperluan seseorang menguasai
bidang perubatan dan sains. Bahkan dari
ribuan orang yang berusaha menguasai cabang
keilmuan Islam hanya segelintir saja yang
diakui sebagai pakar dan otoriti yang
menjadi rujukan.
Golongan Islam Liberal melihat bahawa
otoriti agama hanya akan memberi kesan
negatif. Ini kerana ulama’ akan
memonopoli kebenaran dan menghukum pandangan
selain daripada ulama’ sebagai tidak
islami, sesat dan sebagainya. Kekeliruan
ini timbul akibat salah faham atau distorsi
yang disengajakan. Wujudnya otoriti ilmu
ini tidak mengisyaratkan wujudnya hirarki
dalam Islam. Islam sama sekali tidak pernah
meletakkan ulama’ sebagai wakil
Tuhan atau pemegang kuasa menggantikan
Tuhan sepertimana berlaku dalam tradisi
Nasrani dan pemerintahan gereja di zaman
kegelapan (Dark Ages). Dalam Islam ijtihad
ulama’ tidak mutlak kebenarannya.
Oleh itu pandangan ulama’ tidak
semestinya benar. Pandangan ulama’
hanya boleh diterima sekiranya terbukti
sesuai dengan kehendak syari’ah
dan dipersetujui kebenarannya. Di sinilah
dalam tradisi Islam kita mengenal konsep
qawl al-jumhur (pandangan majoriti),
dan ijma' (kesepakatan ilmuwan) dan konsep
ini sangat penting dalam tradisi keilmuan
Islam.
Penolakan terhadap otoriti agama memberi
ruang yang luas kepada golongan Islam
Liberal untuk berijtihad dengan bebas.
Kurzman menggunakan istilah yang berlainan
agar tampak sophisticated iaitu “freedom
of thought” dan “freedom of
religious interpretation”. Bertolak
dari premis inilah golongan ini melihat
perlunya umat Islam mempertimbangkan hermeneutika
al-Qur’an di samping tafsir al-Qur’an
yang dianggap tidak sesuai lagi pada zaman
modern ini. Nasr Hamid Abu Zaid disebut
sebagai tokoh hermeneutik Islam Liberal
saat ini. Walaubagaimanapun buku beliau,
Mafhum al-Nas mendapat tentangan
yang keras dari para sarjana Muslim.
Konsep Pluralisme Agama
Perdebatan tentang pluralime agama baru-baru
ini cukup hangat di Indonesia. Aliran
modenisme dan Islam Liberal mendukung
kuat ide ini dan promosi besar-besaran
telah dilakukan. Banyak buku-buku telah
diterbitkan dan diseminarkan. Di antara
tokoh utama dalam hal ini adalah Alwi
Shihab yang telah menulis buku yang bertajuk:
Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka dalam
Beragama. Alwi mengatakan bahawa pluralisme
agama adalah tuntutan penting untuk mencapai
kerukunan hidup beragama. Atas dasar ini
seorang pluralis berusaha untuk tidak
bersikap eksklusif dan tidak mengklaim
kebenaran hanya terletak pada agama yang
dianutnya. Setelah itu barulah dialog
dan toleransi beragama dapat dilaksanakan
dengan jayanya. Penulis melihat adanya
pra-asumsi bahawa yang menyebabkan permusuhan
antara agama berlaku adalah semata-mata
kerana wujudnya sikap ekslusif dalam beragama.
Alwi menafikan bahawa syari'at yang diturunkan
kepada nabi Muhammad s.a.w. adalah penghapus
bagi syari'at-syari'at yang telah diturunkan
sebelumnya. Alwi juga mengatakan bahwa
ayat al-Qur’an yang selalu digunakan
untuk mengklaim eksklusivisme Islam yang
bermaksud: “Barangsiapa yang mencari
selain daripada Islam sebagai agama (dinan)
mereka maka tidak akan diterima (oleh
Allah) daripadanya” dalam penjelasan
terhadap ayat ini beliau mengatakan bahawa:
hal itu (Islam) tidak hanya diperuntukkan
bagi Muslim sahaja, tetapi bagi segenap
mereka yang percaya kepada Tuhan sepanjang
sejarah umat manusia. Alasan Alwi adalah
bahawa Islam bermakna berserah diri, maka
sesiapa sahaja yang dapat melaksanakan
tuntutan iman ini dengan menyerahkan diri
terhadap kehendak Tuhan adalah termasuk
orang yang berserah diri.
Kekeliruan timbul akibat daripada pemikiran
bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak,
kebenaran tidak boleh dimiliki oleh mana-mana
pihak lalu menafikan hak orang lain. Pemikiran
relativisme ini yang menjadi dasar falsafah
pluralisme beragama. Terdapat beberapa
tokoh falsafah Barat dan Islam yang bertanggungjawab
memperkenalkan ide ini antaranya adalah
Frithjof Schuon dan Syed Husein Nasr.
Apa yang mereka ketengahkan adalah lebih
kepada ide kesatuan agama pada hakikatnya
(the transcendent unity of religions)
dan penekanan kepada agama Ibrahimiyyah.
Akan tetapi, pendekatan yang digunakan
oleh Alwi Shihab cukup berani dan radikal.
Kerana beliau bukan sahaja bercakap dari
segi pemikiran dan falsafah akan tetapi
cuba untuk mengambil pendekatan dari dalam,
dengan mempergunakan tradisi Islam khususnya
teks-teks al-Qur’an dan mentafsirkannya
dengan sewenang-wenang.
Alasan yang dianggap oleh pluralis cukup
kuat dan dapat menyokong pandangannya
bahawa al-Qur’an mengakui keimanan
komunitas beragama selain daripada umat
Islam bahkan amalan mereka juga akan diterima
sebagaimana umat Islam. Dengan bersandarkan
kepada ayat al-Qur’an (al-Baqarah:
62 dan al-Ma’idah: 69), Alwi menterjemahkan
ayat tersebut sebagai berikut: “Sesungguhnya
mereka telah beriman, Yahudi, Kristen,
dan Kaum Shabiin; Mereka yang percaya
pada tuhan dan hari akhir dan berbuat
kebaikan, akan menerima pahala dari Tuhan
mereka. Mereka tidak akan merugi dan tidak
akan berduka cita”. Sekilas
pandang ayat ini seolah menjustifikasikan
pandangan beliau, akan tetapi sesiapa
yang faham bahasa Arab akan sedar adanya
kalimat yang sengaja ditambah dan tidak
sesuai dengan kehendak ayat. Ayat tersebut
bermula dengan Innallazina amanu wallazina
hadu wannasara wassabi’ina man amana
billah, jelas sekali ayat ini tidak mengatakan
bahawa semua golongan yang dinyatakan
adalah dianggap beriman, ayat tersebut
hanya menyatakan bahawa ada kemungkinan
di antara penganut agama tersebut ada
orang-orang yang mempunyai keimanan (yang
belum tercemari oleh kesesatan) terhadap
Allah dan hari akhirat. Al-Qurtubi menjelaskan
bahawa pendapat yang kuat berdasarkan
pendapat Ibn Abbas mengatakan bahawa ayat
ini telah dimansuhkan dengan ayat waman
yabtaghi ghayr al-Islami dinan…Adapun
pendapat yang mengatakan ia tidak dimansuhkan
mengatakan bahawa terdapat syarat implisit
bagi ayat tersebut iaitu beriman kepada
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan
ulama’ dan ramai mufassir mengatakan
bahawa ayat ini perlu difahami sebagai
satu seruan agar ahlul Kitab yang masih
mempunyai secebis keimanan tersebut hendaklah
menyempurnakannya dengan beriman kepada
nabi Muhammad s.a.w. kerana keimanan terhadap
Allah tidak sempurna dan tidak akan diterima
tanpa keimanan terhadap Rasulullah begitu
juga amalan mereka tidak akan diterima
sebagai amal saleh apabila mereka enggan
mengikuti syari’at Rasulullah s.a.w.
Pentafsiran seperti inilah yang sesuai
dengan mesej keseluruhan dan objektif
al-Qur’an. Ini kerana seorang mufassir
dikehendaki melihat satu-satu ayat selari
dengan ayat-ayat yang lain bukan mengasingkannya
dan menutup mata dari melihat kepada nas-nas
(teks) yang justeru bertentangan dengan
pemahamannya. Mengenai kedudukan orang
kafir baik Ahlul Kitab maupun Musyrikin
terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an
yang menjelaskan tentang kesesatan dan
kekufuran mereka.
Konsep pluralisme agama adalah selari
dengan misi sekularisasi dan liberalisasi.
Di Barat, masyarakat pada umumnya sudah
hilang kepercayaan pada agama. Agama Kristian
tidak lagi menjadi rujukan dalam masalah
kemoralan apalagi masalah politik, dan
sosial. Falsafah eksistensialisme dan
pragmatisme telah mengambil alih peranan
dalam menentukan nilai-nilai moral masyarakat
Barat. Ini kerana agama secara umum telah
disepakati merupakan produk manusia tidak
luput daripada silap dan salah. Bahkan
banyak ajaran Injil hanya dianggap mitos
yang tidak rasional dan perlu ditinggalkan
oleh orang yang telah bertamadun dan maju.
Apabila telah menjadi kesepakatan umum
bahawa 'all religions are human inventions'
maka tidak ada lagi kebenaran mutlak,
yang ada adalah kebenaran yang relatif,
terserah kepada masing-masing individu
untuk memilih sesuai dengan 'selera'nya.
Penolakan terhadap Shari'at Islam
Islam Liberal menolak pelaksanaan syari’at
Islam, di Amerika al-Na’im pengikut
setia tokoh kontroversial Mahmud Muhammad
Taha dari Sudan, menulis buku beliau pada
tahun 1990 berjudul Toward an Islamic
Reformation yang intinya adalah merombak
pemahaman orang Islam terhadap syari’at
Islam. Menurut beliau syari’at Islam
itu tidak suci (divine). Beliau menyuarakan
perlunya syari’at Islam khususnya
Islamic public law dirubah karena teks
agama tidak perlu diikuti secara literal.
Bahkan beliau mengatakan bahwa pelaksanaan
hukum Islam pada saat ini hanya akan memberi
kesan counter-productive. Karena pelaksanaannya
sangat bertentangan dengan hak-hak asasi
manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan
zaman. Al-Na'im menjelaskan:
"I have shown that Shari'a was
in fact constructed by Muslim jurists
over the first three centuries of Islam.
Although derived from the fundamental
divine sources of Islam, the Qur'an and
Sunna, Shari'a is not divine because it
is the product of human interpretation
of those sources. Moreover, this process
of construction through human interpretation
took place within a specific historical
context which is drastically different
from our own. It should therefore be possible
for contemporary Muslims to undertake
a similar process of interpretation and
application of the Qur'an and Sunna in
the present historical context to develop
an alternative public law of Islam which
is appropriate for implementation today".
Di sini dapat dilihat pengaruh kajian
Orientalist terhadap al-Na'im. Berasaskan
kepada kajian orientalis seperti Goldziher,
Schacht dan Coulson yang mengatakan bahawa
Syari’at Islam adalah hasil ciptaan
ulama’ dan fuqaha selama tiga ratus
tahun. Malangnya amat kurang sekali tulisan-tulisan
ilmiah yang dapat mendongkrak idea-idea
seperti ini, kecuali beberapa tulisan
yang masih perlu dilanjutkan seperti M.
Mustafa al-Azami yang telahpun membatalkan
premis-premis Schacht tentang Shari'ah.
Kajian mendalam orientalis terhadap hukum
Islam membuahkan hasil dengan diterimanya
premis-premis mereka sebagai sandaran
untuk menolak hukum Islam.
Penolakan hukum Islam sebenarnya berakar
daripada keengganan meletakkan agama sebagai
dasar kehidupan masyarakat. Oleh kerana
itu penolakan syari'at Islam sebenarnya
merupakan kesinambungan daripada pemikiran
sekularisme dan bahkan juga diakui oleh
al-Naim sendiri. Di Indonesia mesej penolakan
Shari'at dikemukakan Jaringan Islam Liberal.
Anggapan bahawa syari’at Islam
tidak divine adalah disandarkan kepada
kajian-kajian orientalis yang mengatakan
bahwa formulasi syari’at Islam berlaku
selama 300 tahun setelah kewafatan Rasulullah
s.a.w. Oleh itu mereka menyimpulkan bahwa
syari’ah adalah produk ulama dan
pemerintah yang tentunya bernuansa politik
dan kekuasaan. Di sini sangat jelas kekeliruan
mereka karena tidak membezakan Syari’ah
dengan Fiqh, di antara thawabit dan mutaghayyirat,
di antara perkara-perkara yang disepakati
atau qat’iyyat dan perkara-perkara
ijtihadi. Tanpa melihat perkara-perkara
seperti ini maka tentunya kekeliruan tersebut
timbul.
Kesimpulan
Terdapat perbezaan yang ketara di antara
teori yang dikemukakan oleh Kurzman dan
Binder dengan kenyataan lapangan. Teori
Kurzman membawa mesej untuk mempopularkan
gerakan ini dan memberi justifikasi atas
setiap ide dan pemikiran Islam Liberal.
Untuk tujuan ini, Kurzman telah berjaya
mengelabui mata orang ramai dengan penggunaan
istilah dan terminologi yang diterima
ramai seperti: progress, freedom of
thought, democracy dsb.
Penumpuan pada hal-hal tersebut akan memberi
kesan ketidakrelevenan golongan yang menolak
Islam Liberal. Dan menutup mata orang
ramai terhadap banyak lagi ide-ide yang
justru menjadi ciri-ciri utama pemikiran
Islam Liberal seperti: penolakan otoriti
agama, pluralisme agama, penolakan Syari’ah
dll.
Hubungan dan pengaruh pemikiran Barat:
sekularisme, orientalisme dan postmodernisme,
terhadap pemikiran Islam Liberal adalah
berdasarkan bukti yang nyata dan tidak
dapat disangkal. Ini jelas dalam buku
Kurzman Liberal Islam yang menjadikan
tema-tema sekular sebagai elemen penting
dalam gerakan ini. Oleh yang demikian,
ada benarnya pernyataan Islamis bahwa
Islam Liberal sebenarnya merupakan ‘produk’
Barat, dilahirkan dan dibentuk bukan di
dalam paradigma Islam akan tetapi di dalam
paradigma pemikiran Barat. Walaupun para
ideolog dan promotor mereka mencoba untuk
memberikan legitimasi daripada teks-teks
agama untuk setiap ide yang dilontarkan,
ia hanyalah sebagai satu strategi dan
hanya digunakan dengan tujuan validasi.
Adalah tidak benar jika dikatakan bahwa
Islam Liberal tidak mempunyai metodologi
dalam pemikirannya. Hasil kajian ini menunjukkan
bahwa ideolog-ideolog Islam Liberal memakai
metodologi yang telah tersedia dan disadur
daripada pemikiran Barat. Sebuah framework
pemikiran adalah hasil paradigma yang
dibentuk oleh pemikir-pemikir yang berpengaruh
dan tentunya ia tidak kelihatan, dalam
bentuknya yang asli, pada gerakan ini.
Kalau dalam diskursus Islamis banyak menyebut
tentang serangan pemikiran (al-Ghazw al-Fikri)
dan menjadikan Orientalisme, sekularisme
dan modernisme sebagian darinya, tentunya
gerakan Islam Liberal ini merupakan satu
jelmaan baru serangan Barat terhadap Islam.
Pemikir-pemikir Islam seperti Syed Muhammad
Naquib al-Attas telah memberikan penjelasan
tentang worldview Islam dan worldview
Barat, dengan tujuan bahawa umat Islam
tidak keliru dan terpengaruh dengan pemikiran
Barat yang pada intinya tidak mesra agama
kalau bukan anti-agama. Anggapan bahawa
tidak adanya percanggahan di antara keduanya
memberikan isyarat bahawa Islam tidak
mempunyai identiti tersendiri dan tidak
memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan
manusia, dan anggapan ini tentunya tidak
benar sama sekali.
Nota: