Aliran
Islam Liberal: Cabaran baru umat Islam
Muhamad
Razak Idris
07:00pm 17 Mei 2005
`Islam
liberal’ ialah istilah baru dalam
dunia pemikiran Islam semasa. Kemunculannya
dilihat sebagai sebahagian dari produk
pemikiran yang diasaskan dari kerangka
modenisme. Islam sebagai satu tema pemikiran
diperdebatkan menerusi perspektif moden
berasaskan dasar dan kerangka berfikir
modenisme yang tersendiri. Natijahnya
ialah, kelahiran satu citra berfikir
baru yang berusaha untuk menyesuaikan
Islam dengan realiti kehidupan moden
yang sedang berkembang hari ini.
Untuk
memahami `Islam liberal’, masyarakat
harus memahami latar dan dasar modernisme
terlebih dahulu. Aliran modenisme sebagai
satu kerangka berfikir muncul dari latar
sejarah yang kompleks dan tersendiri
yang dialami oleh masyarakat Barat sekitar
abad ke 16 hingga I8 masihi. Ia adalah
natijah dari reaksi penentangan sekelompok
manusia di Barat terhadap sistem budaya
dan struktur berfikir masyarakatnya
yang dianggap mengongkong.
Institusi
gereja yang mewakili kelompok penguasa
dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan
hidup dan kebejatan masyarakat. Tafsiran
– tafsiran sempit penguasa agama
tentang realiti, hukum dan kebenaran mengekang
perkembangan ilmu dan kreativiti manusia.
Untuk itu, masyarakat perlu dibebaskan
dari tradisi ini iaitu monopoli satu kelompok
masyarakat (penguasa agama dari institusi
gereja) dalam menentukan kebenaran.
Di
sinilah bermulanya idea dan gerakan modenisme.
Ia adalah satu kepercayaan bahawa untuk
mencapai kemajuan hidup, masyarakat harus
dibebaskan dari tradisinya. Dari asas
kepercayaan ini, ia berkembang sebagai
satu gerakan intelektual dan kebudayaan
berusaha merombak segala sistem kepercayaan
dan struktur sosial yang dianuti dan diamalkan
oleh tradisi. Secara khusus, aliran modenisme
ialah gerakan protes yang berasa kecewa
dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi
kelompok agama terhadap kebebasan dan
hak-hak asasi individu dan masyarakat.
Apakah
bentuk kepercayaan baru yang cuba untuk
digantikan oleh aliran modenisme setelah
mereka menolak tradisinya ? Kepercayaan
baru itu dikenali sebagai `sekularisme’.
Bagi golongan modenis, sekularisme dianggap
sebagai `agama’nya. Antara ajaran
utama `agama’ ini ialah bahawa `kebenaran
bukan suatu yang mutlak’. Dalam
kata lain, kebenaran bersifat relatif
atau nisbi iaitu boleh berubah-ubah mengikut
keperluan dan tuntutan.
Apakah
alat yang akan menentukan `keperluan’
dan `tuntutan’ tentang makna kebenaran
tersebut?. Alat tersebut menurut faham
sekularisme ialah `rasional’. Ia
beerti, sesuatu realiti, hukum atau kepercayaan
yang wujud dalam persekitaran manusia
adalah benar apabila ia boleh dibuktikan
oleh rasional atau akal manusia. Dalam
maksud lain, akal ialah sumber kebenaran
mutlak menurut kepercayaan aliran modenisme.
Gerakan
modenisme ini sepanjang sejarahnya telah
berjaya merombak sistem tradisi masyarakat
Barat dalam segenap aspek kehidupannya
meliputi bidang pemerintahan, keilmuan,
perundanngan, seni, hiburan dan tatacara
moral. Menerusi faham sekularisme, gerakan
modenisme menentukan tafsiran baru terhadap
dimensi-dimensi ini menerusi kerangka
rasionalisme. Peranan ajaran agama tidak
lagi menjadi faktor penentu terhadap makna
sesuatu kebenaran.
Aliran
ini kini bertapak kukuh tidak sahaja dalam
konteks masyarakat Barat malah juga di
kalangan masyarakat Timur. Ia telah dikembangkan
oleh penjajah-penjajah menerusi sistem
pendidikan yang ditubuhkan ditanah-tanah
jajahan. Aliran modenisme ini juga berkembang
menerusi intekasi kebudayaan terutama
apabila negara – negara bekas jajahan
– setelah memperoleh kemerdekaan,
telah menghantar sejumlah besar anak warganya
ke negara Barat bagi mendapatkan latihan
dan pendidikan.
Di
negara ini secara khusus tidak terkecuali
dari mendapat pengaruh aliran modenisme
ini. Salah satu dari kesan pengaruh modenisme
ialah perspektif dan kefahaman terhadap
agama Islam. Perspektif ini pada hari
ini dikenal sebagai `Islam liberal’
di mana pandangan atau tasawwurnya terhadap
agama bercorak liberal atau tidak terikat
dengan dasar-dasar tradisi yang diamalkan
atau dianuti oleh masyarakat terbanyak.
Ini dapat dilihat menerusi beberapa isu
agama yang sedang rancak dibahaskan semenjak
akhir-akhir ini yang meliputi perundangan,
gender, poligami dan amalan sosial agama
seperti aurat.
Sejak
beberapa bulan yang lalu, dua isu dibahaskan
aliran ini yang dianggap agak `kontroversi’
oleh masyarakat terbanyak. Pertama ialah
cadangan bagi penubuhan `Suruhanjaya Antara
Agama’ atau Interfaith Comission
of Malaysia (ICM) Kedua ialah memorandum
oleh 50 badan bukan kerajaan serta sejumlah
individu-individu supaya kerajaan tidak
mencampuri urusan atau tatacara moral
penganutnya terutama orang-orang Islam
memandangkan isu moral ialah hak peribadi
individu.
Dari
satu sudut, kedua-dua tuntutan ini dilihat
suatu yang mempunyai `tarikan’nya
yang tersendiri. Ini kerana cadangan-cadangan
tersebut dikatakan bagi `memberikan hak
asasi individu dan menegakkan prinsip
kesamarataan untuk seluruh warga negara’.
Namun,
sekiranya di nilai dari satu sudut yang
lain, usaha ini adalah satu `protes’
terhadap monopoli kerajaan (dalam konteks
khusus ialah pemimpin agama ) yang menyekat
kebebasan individu menerusi saluran perundangan.
Dalam
dua isu ini, wujud pertembungan yang jelas
tentang makna dan pengertian `agama’
pada pandangan kelompok modenis dengan
kepercayaan tradisi. Bagi kelompok Islam
liberal, agama seolah dilihat sebagai
natijah dari himpunan konsep-konsep yang
terhasil dari perkembangan pemikiran manusia.
Oleh kerana itu, urusannya boleh dicampuri
oleh semua peringkat golongan walaupun
oleh orang tersebut bukan ahlinya atau
sehinggakan oleh orang yang bukan menganut
ajaran agama tersebut. Dalam kata lain,
agama ialah suatu bahan yang boleh dirasionalkan
mengikut keperluan dan tuntutan kehidupan
manusia.
Inilah
yang boleh difahami apabila dicadangkan
satu suruhanjaya khusus ditubuhkan bagi
mentadbir hal ehwal agama-agama di negara
ini. Secara jangka panjang, ia dilihat
satu bentuk mekanisme alternatif terhadap
struktur pentadbiran agama di negara ini
di mana ia ditadbir oleh ahli-ahlinya
yang berautoriti.
Bagi
aliran Islam liberal, tidak ada autoriti
dalam beragama kerana agama suatu yang
bersifat rasional. Kebenaran agama bukan
suatu yang mutlak. Untuk merasionalkan
agama, maka langkah pertama ialah membentuk
mekanisme baru bagi menghilangkan autoriti
ahli agama yang selama ini dianggap memonopoli
tafisran tentang kebenaran ajaran agama.
Begitu
juga apabila dipersoalkan tentang hak
negara dalam mengawal moral warganya.
Ia dengan jelas menghuraikan ciri aliran
Islam liberal yang menganut fahaman tentang
kenisbian moral. Dalam kata lain, aliran
ini menganggap bahawa moral bersifat relatif
serta milik mutlak individu. Secara langsung
ia menafikan hak agama dalam mengawal
moral penganutnya atau dalam maksud lain,
agama dan moral adalah suatu yang berlainan
sama sekali.
Kepercayaan
ini jelas bertentangan dengan kepercayaan
tradisi iaitu walaupun individu berhak
dan bebas melakukan apa sahaja tindak
tanduk moral, namun agama juga memberi
hak kepada individu, kumpulan penganut
atau penguasa (kerajaan dan pemerintah)
mengawal tindak laku moral penganutnya.
Ini adalah perintah agama dan ia bersifat
mutlak. Ini kerana agama mengutamakan
kepentingan awam dan kesejahteraan penganutnya
dari didorong dan dirosakkan oleh dorongan
diri yang tidak terbatas.
Begitu
juga dalam hal memberi tafsiran terhadap
ajaran agama. Dalam konteks Islam, tradisi
yang ketat bersumberkan pedoman wahyu
dan pandangan ahli agama yang terdahulu
diambilkira dalam menentukan sesuatu bentuk
ajaran dan tafsiran. Ia bertujuan bagi
memastikan ajaran agama tidak diselewengkan
oleh individu atau kelompok tertentu yang
mentafsirkan agama begi tujuan dan kepentingan
dirinya. Dengan demikiran, keaslian ajaran
agama dapat dipertahankan.
Kedua-dua
isu yang dikemukakan oleh sebahagian ahli
masyarakat di negara ini memperlihat secara
jelas bagaimana pengaruh faham modenisme
dalam membentuk perspektif mereka terhadap
fungsi dan peranan agama, dalam konteks
ini agama Islam.
Usaha-usaha
ini adalah antara manifestasi pengaruh
fahaman tersebut yang kini telah terbentuk
dalam satu perencanaan yang tersusun.
Ia menjelaskan tentang langkah gerakan
aliran Islam liberal bagi menstrukturkan
semula cara berfikir masyarakat negara
ini terutama orang Islam menerusi kerangka
berfikir yang dianutinya. Aliran Islam
liberal mempercayai bahawa kerukunan hidup
masyarakat negara ini yang berbilang bangsa
dan budaya hanya boleh dijelmakan menerusi
asas sekularisme. Asas agama yang menjadi
tunjang pembentukan negara ini dilihat
sebagai penghalang kepada kerukukan dan
kemajuan hidup warganegaranya. Untuk itu,
agenda pensekularan masyarakat harus menjadi
rancangan utama dalam rangka membina sebuah
bangsa Malaysia yang harmoni.
Alliran
ini yang kini sedang mendapat tempat dan
dokongan dari pertubuhan bukan kerajaan
dan individu-individu yang sebahagiaanya
agak berpengaruh merupakan satu cabaran
baru kepada umat Islam negara ini secara
khusus. Cabaran ini, sekiranya tidak ditangani
secara berhemat akan menjadi ancaman kepada
kerukunan dan keharmonian hidup beragama
di kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Dengan
tindakan yang cuba mencabar institusi
pemerintah dan kepimpinan agama dalam
sebuah negara yang menjadikan agama Islam
sebagai agama rasmi dan majoriti penduduknya
komited dengan ajaran agama yang diasaskan
berdasarkan tradisi ajarannya yang tersendiri,
ia adalah suatu langkah yang tidak begitu
bijak walaupun atas alasan dan cita-cita
yang sungguh murni kerana bakal mengundang
`ketidaktentuan’.
Adalah
suatu kesilapan besar bagi aliran Islam
liberal menyamakan suasana kehidupan beragama
di negara ini kini seperti keadaan kehidupan
agama masyarakat Barat dalam abad ke 16
hingga 18 masihi yang lalu. Penyamaan
latar sejarah ini merupakan kesalahan
perspektif yang paling tragis sekiranya
ia diteruskan dengan protes-protes lain
di masa hadapan.
Ini
kerana, dalam konteks negara ini, faktor
ajaran Islamlah, terutama prinsip toleransi,
keterbukaan sikap, semangat ukhwah keinsanan
dan kecintaan kepada keamanan dan perdamaian
yang terhayat dengan cukup mendalam di
dalam sanubari orang-orang Islam yang
memungkinkan penganut-penganut agama lain
dapat hidup dengan bebas mengamalkan ajaran
agama dan kebudayaan tradisi yang diwarisi
dari negara asal masing-masing.
Nota:
Penulis boleh dihubungi melalui mrazak@portal.ukm.my