Pluralisme
Agama: Perspektif Qur'ani
Dr
Siddiq Fadzil, Kolej Dar al-Hikmah
07:00pm
17 Mei 2005
Pluralisme
(agama) dalam konteks pembicaraan ini merujuk
faham menyamakan semua agama dalam erti:
a.
Kebenaran ada dalam semua agama, dan
b. Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana
agama.
Pluralisme
dalam pengertian ini harus dibezakan daripada
toleransi antara agama dalam sebuah masyarakat
majmuk. Selain itu ia juga harus dibezakan
daripada sinkritisme yang selalu diertikan
sebagai faham campur-aduk pelbagai agama.
Faham
yang disebut juga dengan istilah transcendent
unity of religions ini dipelopori oleh tokoh-tokoh
seperti Rene Guenon, Titus Burckhardt, Fritjhof
Schuon, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr
dan lain-lain lagi.
Kebelakangan
ini faham pluralis tersebut tampaknya mulai
di disambut dan dianut oleh kelompok tertentu
di rantau ini khususnya mereka yang tergabung
dalam warga PARAMADINA di Indonesia.
Usaha
pemasarannya ketika ini dikaitkan dengan
era globalisasi dengan segala dampak bawaannya,
termasuk fenomena “plural” yang
secara konsekuansial menuntut sikap terbuka,
toleran, akomodatif dan inklusif.
Dalam
situasi sekarang, menurut mereka, sikap
tertutup dan eksklusif sudah tidak relevan
lagi. Dengan semangat zaman yang sedemikian
itulah mereka tampil sebagai kaum pluralis-inklusif.
Keinginan
menyenangkan Amerika
Pembentukan
sikap dan pola fikir model (pluralis-inklusif)
tersebut tampaknya lebih didorong oleh keinginan
untuk menyenangkan kuasa besar dunia (khususnya
Amerika) yang saat ini sedang menggila memburu
mereka yang mereka labelkan sebagai kaum
fanatik, fundamentalis, ekstrimis dan teroris
Muslim.
Seperti
yang telah lama kita sedari bahawa dalam
situasi sekarang ini memang ada usaha menggubah
“Islam” versi Amerika atau “Islam”
yang direstui Amerika, iaitu Islam yang
hilang keunggulannya, jati dirinya dan dinamika
daya juangnya.
Kaum
pluralis begitu resah dengan citra Islam
yang unik dan berbeza daripada yang lain-lain.
Perbezaan mereka dirasakan sebagai pertentangan,
konflik dan konfrontasi.
Kerana
itu mereka amat tidak senang dengan hal-hal
yang tampak kontras: hak-batil, Mukmin-kafir,
Muslim-non-Muslim, dosa-pahala, syurga-neraka
dan seumpamanya. Dalam perspektif pluralis-inklusif
tidak ada lagi perbezaan-perbezaan seperti
itu.
Dengan
menyamakan semua agama bererti semua agama
adalah benar, penganut agama mana pun adalah
muslim dan semuanya boleh masuk syurga.
Yang berbeza hanya jalannya, tetapi yang
dituju adalah sama, iaitu Tuhan, dan semuanya
(melalui jalan mana pun) akan sampai ke
matlamat.
Pluralisme
dalam pengertian di atas dikatakan telah
menjadi semacam `aqidah. Di kalangan kaum
pluralis sendiri memang telah ada yang mengatakan
demikian. `Aqidah pluralis-inklusif yang
secara konsekuensial menghasilkan pula fiqh
pluralis (lihat buku Fiqh Lintas Agama)
yang dibezakan daripada `aqidah eksklusif
dengan fiqh eksklusifnya pula.
Untuk
mengesahkan faham pluralisme tersebut para
pendukungnya merujuk al-Qur’an dan
membuat tafsiran-tafsiran “sekena-kenanya”
yang sejalan dengan pola fikir pluralis.
Antara ayat-ayat yang dirujuk termasuklah:
"Hai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu
dari seorang laki-laki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara
kamu disisi Allah ialah orang yang paling
taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
(Al-Hujurat:13)
"Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah
menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan
bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya
pada yang demikan itu benar-benar terdapat
tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui."
(Al-Rum:22)
Ayat
tentang perbezaan-perbezaan tersebut dipersepsikan
sebagai dasar pluralisme. Perbezaan adalah
suatu kenyataan yang positif dan harus disikapi
secara positif -- saling mengenal dan saling
menghargai.
"Tidak
ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam);
sesungguhnya telah jelas jalan yang benar
daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa
yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada
Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang
kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak
akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi
Maha Mengetahui. Thaghut, ialah syaitan
dan apa saja yang disembah selain dari Allah
s.w.t." Al-Baqarah:256)
Ayat
tersebut dipakai untuk menjustifikasikan
pluralisme dengan memberinya pengertian
bahawa tidak ada paksaan dalam memilih satu
agama. Pengertian seperti itu membawa implikasi
bahawa manusia boleh memilih mana-mana agama
kerana pada hakikatnya semuanya sama.
"Sesungguhnya
orang-orang mu'min, orang-orang Yahudi,
orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin
, siapa saja diantara mereka yang benar-benar
beriman kepada Allah , hari kemudian dan
beramal saleh , mereka akan menerima pahala
dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran
kepada mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih
hati. Shabiin ialah orang-orang yang mengikuti
syari'at Nabi-nabi zaman dahulu atau orang-orang
yang menyembah bintang atau dewa-dewa. Orang-orang
mu'min begitu pula orang Yahudi, Nasrani
dan Shabiin yang beriman kepada Allah termasuk
iman kepada Muhammad s.a.w., percaya kepada
hari akhirat dan mengerjakan amalan yang
saleh, mereka mendapat pahala dari Allah.
Ialah perbuatan yang baik yang diperintahkan
oleh agama Islam, baik yang berhubungan
dengan agama atau tidak. "(Al-Baqarah:62)
Ayat
di atas merupakan sandaran utama kaum pluralis
untuk menjustifikasikan pendirian inklusif
bahawa semua agama -- asal menyerah kepada
Tuhan -- adalah benar dan dapat mencapai
keselamatan abadi.
Ternyata
mereka memahami ayat tersebut secara harfi,
terlepas dari kaitannya dengan zaman keabsahan
agama-agama berkenaan, dan terlepas dari
syarat menganut Islam (setelah pengutusan
Muhammad s.`a.w.) sebagaimana yang biasa
ditafsirkan oleh para ulama muktabar.
Untuk
membuktikan keabsahan fahamnya kaum pluralis
harus mampu melaksanakan suatu projek besar:
mendobrak dan membongkar konsep-konsep dasar
yang telah mapan dan mantap termasuk konsep
Islam dan konsep Ahl al-Kitab. Tampaknya
mereka mengeksploitasi dengan leluasa sekali
pendekatan deconstruction (pembongkaran)
tajaan kaum pascamodenis untuk mempersoalkan
pemikiran dan faham yang telah mapan.
Konsep
Islam di tangan kaum pluralis telah mengalami
pelonggaran makna sehingga meliputi siapa
sahaja asalkan menganut agama “Islam”
dalam erti agama yang tunduk dan menyerah
kepada Tuhan. Tentang bagaimana cara tunduk
dan menyerahnya tidak menjadi persoalan.
Dengan demikian “Islam” menjadi
begitu inklusif setelah dilonggarkan menjadi
sekadar kata kerja dan kata terbitan yang
bermakna tunduk dan menyerah.
Al-Islam
sebenarnya bukan sekadar nama terbitan dari
kata kerja aslama dengan makna tunduk dan
menyerah, tetapi ia adalah nama agama yang
diturunkan Allah kepada Rasul terakhirnya
Muhammad (s.`a.w.).
Al-Islam
dalam pengertian inilah yang mengandungi
cara tunduk dan menyerah sebagaimana yang
diperkenan dan diredhai oleh Allah (s.w.t.).
Hanya -- Al-Islam: `aqidah dan syari `at
Muhammadiyah -- itulah satu-satunya cara
tunduk dan menyerah yang sah dan diterima
Allah. Demikianlah makna al-Islam apabila
ia disebut dalam al-Qur’an.
Ahl
al-Kitab memang telah ditentukan pola hubungan
khususnya dengan Islam: makanan mereka halal
dan wanita-wanita mereka boleh dinikahi
oleh orang Islam.
Sesuai
dengan orientasi inklusifnya, kaum pluralis
telah mengeksploitasi tafsiran-tafsiran
longgar tentang ahl al-Kitab yang tidak
lagi terbatas pada kaum Yahudi dan Nasrani,
tetapi meliputi penganut-penganut agama
lain seperti Buddha, Shinto, Konghuchu dan
lain-lain lagi.
Selain
itu ahl al-kitab yang umumnya dipersepsikan
sebagai pelaku kesalahan serius - tahrif
al-kalim (merubah kalimat-kalimat Allah),
bagi kaum pluralis, apa yang mereka lakukan
(bukanlah kesalahan yang sangat serius)
samalah dengan pelaku-pelaku amalan bid`ah
dalam Islam.
Ahl
al-Kitab juga dianggap melakukan perbuatan
shirk atas alasan bahawa al-Qur’an
merujuk mereka dengan istilah ahl al-kitab
dan bukannya al-mushrikin. Demikianlah antara
modifikasi yang dilakukan oleh kaum pluralis
terhadap konsep ahl al-kitab untuk menjadikannya
lebih longgar dan inklusif meliputi golongan
yang lebih ramai lagi.
Menghormati
hak-hak Ahl al-Kitab memang menjadi kewajipan
setiap Muslim, tetapi Islam tidak menyuruh
kita menutup-nutupi kesalahan dan kebatilan
yang dilakukan oleh Ahl al-Kitab. Niat baik
untuk membina hubungan mesra dengan kaum
Ahl al-Kitab, bukan alasan untuk membela
dan mempertahankan kesalahan-kesalahan mereka.
Qur’an
dan Ahl al-Kitab
Pemerian
tentang Ahl al-Kitab memang cukup banyak
dalam al-Qur’an. Dengan sedikit kekecualian
(sebagai bukti objektifnya al-Qur’an)
Ahl al-Kitab umumnya bercitra negatif.
Sekadar
contoh hakikat tersebut dapat dilihat dalam
surah al-Tawbah (29-31). Ayat 29 memerintahkan
agar mereka diperangi sehingga mereka membayar
jizyah “dengan keadaan taat dan merendah
diri”. Ayat 30 menyebut kaum Yahudi
mengatakan `Uzayr anak Allah, sementara
orang Nasrani pula mengatakan al-Masih anak
Allah. Ayat 31 menyebut mereka menjadikan
pendita-pendita, ahli-ahli agama dan juga
al-Masih ibn Maryam sebagai tuhan. Ayat
tersebut berhujung dengan pernyataan, “maha
suci Allah dari apa yang mereka sekutukan”.
Dalam
ayat-ayat lain mereka yang beri`tiqad seperti
itu dinyatakan dengan tegas sebagai kafir
(laqad kafara…). Demikianlah sebagaimana
yang disebut dalam surah al-Ma’idah
ayat 72-73. Ayat 72 menyebut kafirnya mereka
yang mengatakan bahawa “Allah ialah
al-Masih ibn Maryam”. Ayat 73 pula
menyebut kafirnya mereka yang mengatakan
bahawa “Allah ialah salah satu daripada
tiga Tuhan” (thalithu thalathah).
Al-Qur’an
menyebut Ahl al-Kitab sebagai orang yang
kafir sesudah beriman (kafaru ba`da imanihim)
akibat menganut agama yang bukan lagi agama
Allah (al-Islam), menolak kerasulan Muhammad
s.`a.w. walhal sebelumnya mereka telah menyaksikannya
sebagai benar. Demikianlah pemerian tentang
mereka dalah surah Ali `Imran: 86.
Kekeliruan Pluralisme Agama
•
Anggapan bahawa manusia dapat sampai kepada
Tuhan yang sama lewat jalan-jalan (agama-agama)
yang berlainan adalah bertentangan dengan
penegasan al-Qur’an tentang jalan
Allah yang satu-satunya, jalan lurus (agama
Islam) yang haris diikuti, bukan jalan-jalan
lain yang menyimpang seperti yang dinyatakan
dalam ayat 153 surah al-An`am.
•
Andainya agama-agama lain juga benar dan
dapat membawa umat masing-masing mencapai
keselamatan hakiki dan abadi, lalu apa perlunya
Allah mengutus Muhammad s.`a.w. sebagai
Rasul terakhir?
• Andainya semua agama sama, semuanya
benar, lalu apa ertinya pernyataan Tuhan
bahawa “Bahawa Dialah yang mengutus
Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk
dan agama yang benar (al-Islam), untuk dimenangkan
dan ditinggikan atas segala agama yang lain,
walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”
sebagaimana yang disebut dalam surah al-Tawbah:33.
•
Andainya semua agama benar, lalu apa ertinya
kewajipan mendakwah atau mengislamkan orang
yang belum/tidak menganut Islam?
•
Kemajmuan (agama) bukan fenomena baru. Ia
telahpun wujud seawal zaman Nabi s.`a.w.
dan sejak itu pula telah diletakkan asas
formula menanganinya seperti yang terumus
pada ungkapan Qur’ani lakum dinukum
wa liya din (kamu dengan agama kamu, aku
dengan agamaku) tanpa saling menyembah tuhan
masing-masing, tanpa saling mengakui kebenaran
agama masing-masing. - ehsan www.abim.org.my