Memahami
Islam progresif
Muhamad Faisal Ashaari
06:20pm 24 Mei 2005
Pendahuluan
Tarikh
18 Mac 2005 merupakan tarikh yang bersejarah
bagi umat Islam sedunia kerana pada tarikh
ini, terdapat seorang wanita yang menganjurkan
Solat Jumaat di sebuah gereja yang diimami
sendiri oleh beliau setelah permintaannya
untuk diadakan di masjid ditolak. Beliau
yang merupakan seorang penolong profesor
di Virginia Commonwealth University, USA
turut menyampaikan khutbah sebelum solat
Jumaat itu. Dalam sejarah Islam, tiada
seorang pun wanita yang menjadi imam kepada
lelaki dalam solat Jumaat dan tiada pula
yang menuntut hak sebagai imam kepada
orang lelaki. Ini kerana umum menyedari
bahawa imam bukanlah suatu hak tetapi
merupakan tanggungjawab kepada lelaki.
Namun bagi Wadud, ia merupakan suatu hak
yang tidak pernah dituntut oleh wanita
sebelum ini dan tiada pula nas yang melarang
wanita menjadi imam. Para ulama seperti
Dr. Yusuf al-Qaradawi telah mengutuk tindakan
beliau dan telah mengeluarkan berbagai
hujah menolak pandangan Wadud yang songsang
itu. Peristiwa bersejarah yang memalukan
ini merupakan salah satu daripada pemikiran
Islam Progresif yang sangat bercelaru
pada masa ini.
Islam
Progresif merupakan produk baru kepada
Modernisme abad ke 21 dan saudara kembar
kepada Islam Liberal yang terkenal di
Indonesia. Sebagai mana Islam Liberal
di Indonesia berani mengeluarkan idea
yang sangat bercanggah dengan prinsip
Islam, begitulah juga dengan Islam Progresif
atas nama hak asasi manusia, demokrasi
dan kesamarataan gender. Kemunculan Islam
Progresif ini sungguh berbahaya kerana
gerakan ini bersifat rasional dan mampu
menarik mereka yang tidak mempunyai asas
agama yang kuat. Tambahan pula ia berkonsepkan
pendekatan lebih mesra kepada kemajuan
dan kemodenan yang sangat diidamkan pada
masa kini. Penulis tidak menolak keperluan
kita kepada kemajuan, tetapi apa yang
penting ialah kemajuan yang tidak bercanggah
dengan thawabit (prinsip yang tidak boleh
berubah) yang terdapat dalam Islam.
Asal
usul Islam Progresif
Dari
sudut literalnya, Islam progresif bermaksud
Islam maju dan Wikipedia Free Ensiklopedia
menterjemahkannya kepada al-Islam al-Mutaqaddimah
dan al-Islam al-ijtihadiyyah. [1] Dari
sudut literal ini, kita dapati gerakan
ini merupakan gerakan yang cuba memberi
tafsiran baru kepada Islam agar ia lebih
sesuai dan selesa dengan tuntutan kemajuan
dan kemodenan zaman kini.
Penggunaan
perkataan Islam yang dikaitkan dengan
progresif ini dikatakan bermula pada 1983
apabila Suroosh Irfani cuba mempopularkannya
dalam tulisannya yang berjudul Revolutionary
Islam in Iran – Popular Liberation
or Religious Dictatorship ?. [2] Beliau
mengatakan bahawa perkataan progresif
telah digunakan oleh aliran puak kiri
seperti Sir Sayyid Ahmad Khan dan Jamaludin
al-Afghani. Beliau telah menyebut
…
[the] progressive Islamic movement is
anti-imperialist, and in the economic
domain, its opposition to capitalism and
the exploitative system on which capitalism
rests is unequivocal. It believes that
Islam as an ideology can mobilize the
Muslim masses by its appeal to social
justice and the challenge it poses to
the status quo. [3]
Idea-idea
ini telah dikembangkan dan dibangunkan
pada lewat 1980an bermula di Southern
California melalui perbincangan dan diskusi
melibatkan ahli akademik dari pelbagai
disiplin bermula dari mereka yang mendapat
didikan agama dan yang mendapat pendidikan
sekular. [4] Penyertaan dalam perbincangan
ini mula mendapat sambutan di kalangan
aktivis sosial terutamanya yang tidak
mendapat tempat dalam negaranya sendiri.
Mereka berusaha mewujudkan jaringan sesama
mereka dan saling memberi input dan idea
antara satu sama lain. Perbincangan ini
bergerak atas tema menentang ketidakadilan
dan memperjuangkan demokrasi dan kebebasan
hak asasi manusia. Pembenihan idea ini
akhirnya mewujudkan gerakan secara organisasi
seperti Sister in Islam (SIS) di Malaysia
pada 1988.
Jaringan
ini dilebarkan dalam satu jaringan utama
yang dinamakan Progressive Muslim Network
(PMN) yang berjaya dibentuk secara rasmi
pada 1 Januari 1999. Progressive Muslim
Network melalui webnya menyatakan :
“Progressive
Muslims Network was born on January 1st
of 1999 as an e-mail discussion group.
Its creation was the result of months,
even years of discussion and debate among
some of the activists of different Muslim
communities in Toronto (Canada) regarding
the issues of their communities and the
need for a forum to discuss, decide and
eventually act upon such obstacles.”
[5]
Kini
(Mei 2005) kita mendapati jaringan ini
telah berjaya mengumpulkan 143 kumpulan
yang melibatkan ahli seramai 1,349 orang
dari 22 negara yang kebanyakannya dari
AS dan UK. [6] Kumpulan yang teramai ialah
dari New York iaitu 259 ahli dan penyertaan
mendapat sambutan hangat sejak peristiwa
11 September 2001.
Peristiwa
11 September dan Islam Progresif
Peristiwa
11 September 2001 telah memberikan kesan
yang besar kepada umat Islam khususnya
yang berada di barat. Pihak kerajaan khususnya
AS telah melaksanakan pelbagai polisi
dan dasar yang menyempitkan aktiviti orang
Islam yang akhirnya menyusahkan mereka.
Pihak media pula berperanan membentuk
mentaliti masyarakat dunia agar menerima
sinonim orang Islam dengan keganasan.
Selepas peristiwa itu, gerakan orang Islam
khususnya di negara barat dikawal kerana
kerajaan AS secara terang menuduh tanpa
bukti yang sah bahawa orang Islam terlibat
merancang serangan itu.
Dari
sudut dasar luar pula, AS telah menjalankan
dasar masuk campur hal ehwal dalaman negara
luar dengan alasan menentang keganasan.
Mereka telah melakukan pelbagai tekanan
terutamanya kepada negara Islam agar menghapuskan
mana-mana gerakan yang hanya disyaki ada
hubungan dengan al-Qaeda sungguh pun tiada
bukti yang sah. Lebih malang apa yang
berlaku di Afghanistan apabila AS bertindak
menyerangnya dan akhirnya negara Afghanistan
hancur. Begitu juga yang berlaku di Iraq,
dengan alasan yang sama AS bertindak menjatuhkan
kerajaan Saddam Hussain dan akhirnya menghancurkan
negara itu. Sehingga kini (Mei 2005) pembunuhan
masih lagi berlaku dan kerajaan yang stabil
masih lagi gagal dibentuk.
Pelbagai
ulasan dan pandangan bagaimana peristiwa
ini berlaku. Salah satunya ialah pendapat
yang tidak menolak kemungkinan peristiwa
ini berlaku hasil dari perancangan teliti
yang dilakukan oleh orang Yahudi untuk
menghancurkan Islam. Ini kerana sehingga
kini (Mei 2005), Osama bin Laden masih
tidak lagi ditemui dan mengaitkan peristiwa
ini dengan umat Islam tanpa bukti yang
kukuh. Terdapat juga berita yang mengatakan
bahawa orang Yahudi yang berurusan di
World Trade Center itu semuanya selamat
apabila mereka tidak berada dalam kejadian
itu. Walau apa pun, tiada suatu jawapan
yang tuntas yang boleh disahkan oleh semua
pihak.
Apa
pun, 11 September merupakan pengesahan
terhadap tesis yang dikemukakan oleh P
Samuel Huntington yang mengatakan bahawa
selepas kejatuhan blok komunis pada 1992,
terdapat ancaman baru kepada tamadun barat
iaitu tamadun Islam. Menurutnya pertembungan
antara kedua tamadun ini tidak dapat dielakkan
kerana pertembungannya adalah mendasar
sama sekali. [7] Tamadun lain seperti
Cina, India dan Jepun tidak diramalkan
oleh beliau akan berlaku pertembungan
kerana perbezaan antara tamadun tersebut
tidak mendasar. Ramai yang kurang selesa
dengan kenyataan ini dan berpandangan
bahawa itu hanyalah silang budaya sahaja.
Mereka telah mengambil tindakan berhati-hati
agar pertembungan ini tidak menjadi kenyataan.
Bagi
Islam, perkara ini jelas kerana firman
Allah Maksudnya :
Orang-orang
Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan
bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad)
sehingga engkau menurut agama mereka (yang
telah terpesong itu). [8]
Dalam
ayat yang lain Allah berfirman maksudnya:
Demi
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan
dapati manusia yang keras sekali permusuhannya
kepada orang-orang yang beriman ialah
orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.
Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati
orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya
kepada orang-orang yang beriman ialah
orang-orang yang berkata: "Bahawa
kami ini ialah orang-orang Nasrani"
yang demikian itu, disebabkan ada di antara
mereka pendta-pendita dan ahli-ahli ibadat,
dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
[9]
Tulisan
Huntington ini yang berjudul The Clash
of Civilization pada 1994 telah menyebabkan
orang Islam mewar-warkan prinsip kesederhanaan
Islam (wasatiyyah) atau moderation. Namun,
perkataan moderate atau wasatiah itu sendiri
mempunyai kepelbagaian dalam pentafsirannya
dan tiada kesatuan dalam definisinya terutamanya
antara barat dan Islam. Bagi media barat
seorang yang moderate itu ialah orang
yang sama ada memiliki kecenderungan politik
ala barat atau bersifat kritikal terhadap
dirinya sendiri. Ia turut menggambarkan
bentuk Islam yang lembut dan kesediaan
untuk hidup secara bersama dengan masyarakat
bukan Islam yang lain. [10]
Bagi
AS dan sekutunya, perkataan moderate digunakan
untuk orang Islam yang pro mereka dan
bagi yang bersifat ekstrem digambarkan
dengan fundamentalis. Mereka meminjam
istilah yang digunakan dalam agama Kristian.
Umat Islam sangat tidak puas hati dengan
petunjuk ini kerana seorang Islam yang
sebenarnya ialah seorang yang moderate
dan sekali gus fundamentalis. Ini berasaskan
kepada firman Allah:
Maksudnya:
"Dan
tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu akan pahala
dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah
engkau melupakan bahagianmu (keperluan
dan bekalanmu) dari dunia. [11]
Ayat
ini menjelaskan matlamat hidup kita ialah
kejayaan hidup di akhirat dan dunia ini
sekadar bekalan. Dengan kata lain “cari
akhirat jangan sampai lupa dunia”
bukan “cari dunia jangan sampai
lupa akhirat”. Dalam masa yang sama,
kita perlu menunjukkan kecemerlangan dan
kualiti hidup di atas dunia ini agar semua
umat selesa dengan Islam kerana Islam
itu merupakan agama yang membawa rahmat
ke sekalian alam.
Konsep
Islam yang sederhana terus diperkenalkan
berdasarkan kepada ayat dalam Surah al-Baqarah.
Di Malaysia sendiri, ia telah dimasukkan
dalam silibus Pengajian Islam di Institut
Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) [12] .
Di Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
mereka menggunakan pendekatan silibus
subjek umum bagi menjelaskan konsep ini.
Pernah pada tahun 1998, Dr. Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia (kini bekas Perdana
Menteri dan diberi gelaran Tun Dr. Mahathir)
memberikan ucapan khas tentang kesederhanaan
menurut Islam. [13]
Apabila
11 September berlaku, umat Islam dicop
sebagai pengganas dan AS sebagai polis
dunia telah menjadikannya sebagai pasport
untuk melakukan apa sahaja kepada umat
Islam khususnya yang berada di AS. Umat
Islam telah menafikan sekeras-kerasnya
kaitan Islam dengan keganasan. Akhirnya,
keadaan ini telah melahirkan kecenderungan
untuk mentafsirkan Islam yang lebih mesra
dengan barat. Kalau dahulu, perkataan
moderate sangat popular namun kini perkataan
progresif menjadi sebutan kerana spektrumnya
lebih luas daripada moderate. Ini kerana
konotasi perkataan progresif meliputi
usaha menjadi sebuah negara maju dan bersifat
terbuka dengan mana-mana peradaban dan
tamadun. Justeru, 11 September membantu
mempopularkan lagi gagasan Islam progresif.
- ehsan terasmelayu.org
Catatan
Kaki:
[1]
http://en.wikipedia.org
(16 May 2005)
[2]
Farid Esack, In Search of Progressive
Islam Beyond 9/11, dlm. Omid Safi (Pnyt.).
Progressive Muslims: On Justice, Gender,
and Pluralism, One Wolrd Publication,
Oxford, 2005, hlm. 79-82. Sila lihat juga
http://ihsan-net.blogspot.com
(17
May 2005)
[3]
Sorush Irfani, Revolutionary Islam in
Iran – Popular Liberation or Religious
Dictatorship, Zed, London, 1983, hlm.
[4]
http://www.muslimwakeup.com
(17 May 2005)
[5]
http://progressivemuslims.8m.com
(16 May 2005)
[6]
http://progmuslim.meetup.com
(17 May 2005)
[7]
P. Samuel Huntington, The Clash of Civilization,
The World Affair,
[8]
Surah al-Baqarah, 2 : 120.
[9]
Surah al-Maidah, 5 : 82.
[10]
Muqtedar Khan, Who are moderate Muslim?
http://www.ijtihad.org
(17 May 2005)
[11]
Surah al-Qasas 28 : 77.
[12]
Silibus Pengajian Tinggi LAN.
[13]
Sila lihat teks penuh ucapannya dalam
http://eppublic1.pmo.gov.my
(17 May 2005)
Nota
1: Bagi berhadapan dengan
wajah-wajah dunia selepas 11 September
dan membentuk profile baru umat Islam
Progressive Muslim Network (PMN) telah
berbincang dan berdiskusi tentang perkara
ini. Akhirnya mereka berjaya menghasilkan
dokumen yang dinamakan dengan Progressive
Muslim – A Definition and Declaration.
Nota
2: Penulis dapat dihubungi
melalui: ibnu_ashaari@yahoo.com