Islam Liberal:
Waktu untuk muhasabah diri!
Maszlee Malik
06:50pm
28 Mei 2005
Lewat seminar “Wacana Islam Liberal”
yang pada asalnya diuar-uarkan tajuknya
“Bahaya Islam Liberal” (Hanya
pihak penganjur sahaja yang tahu sebab
tajuknya berubah di saat-saat akhir) anjuran
DBP, Karangkraf, Majalah i dan majalah
Nur, salah seorang pembentang kertas kerja
pada hari tersebut (Adian dari ISTAC)
telah membuat satu kejutan. Bukanlah kejutan
tersebut kerana beliau membawakan penyelesaian
muktamad terhadap polemik Islam Liberal
ini ataupun beliau mengeluarkan fatwa-fatwa
tertentu berkaitan isu tersebut. Kejutan
tersebut ialah ketika beliau membongkarkan
bahawa istilah “Islam Liberal”itu
adalah bersifat relatif. Hatta mereka-mereka
yang menjadi penganut aqidah baru (Islam
Liberal) ini pun tidak bersepakat di dalam
memberikan definisi yang konkrit terhadap
istilah yang semakin popular di Malaysia
selepas alaf kedua Masihi kini. Perkataan
“Liberal” yang disandarkan
kepada Islam itu membawa konotasi yang
pelbagai. Ianya terbuka untuk setiap pihak
mentafsirkannya, sama seperti tanggapan
sesetengah pihak dari aliran Liberal ketika
mendefinisikan “al-Haq” (kebenaran).
Bagi mereka kebenaran itu sifatnya relatif,
maka belum pasti Islam itu sahaja yang
benar dan yang lain itu salah.
Kenyataan beliau amat benar dan amat
objektif. Berdasarkan premis tersebut,
maka barangsiapa yang cuba mendefinisikan
“Islam Liberal”(Islib) sebagai
satu “Jamaah”, kumpulan, atau
parti, atau fikrah tertentu, mahupun satu
aliran pemikiran yang khusus, maka mereka
telah melakukan satu kesilapan yang besar
di dalam mengklafikasikan sesuatu definisi.
Islib di Malaysia bukanlah satu kumpulan
yang khusus yang berpegang kepada ide-ide
atau doktrin-doktrin tertentu sepertimana
gerakan-gerakan Islam yang wujud. Jika
di Indonesia mungkin mereka mempunyai
jamaah mereka yang khusus yang dinamakan
sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL),
di Malaysia ianya tidak berlaku sedemikian
rupa, atau mungkin belum berlaku lagi
dalam corak yang sedemikian. Di Malaysia
istilah “Islam Liberal” lebih
merupakan satu “trend” pemikiran
yang dianuti oleh pelbagai individu dan
kumpulan dengan objektif masing-masing.
Ada yang berakidahkan “feminisme”,
ada yang berakidahkan “Anti-Sunnah”,
ada yang berakidahkan “Gruchoisme”,
ada yang berakidahkan “kebebasan
berfikir”, ada yang berakidahkan
“Human Rights”, ada yang berakidahkan
“Orwellianisme”, ada yang
berakidahkan “Illuminati @ Tanwiri”
ala protestanisme Eropah, ada yang semata-mata
ditugaskan untuk menjilat penguasa dan
bermacam-macam lagi aliran pemikiran.
Yang menyatukan mereka adalah keimanan
mereka kepada kebebasan untuk berfikir
menjangkaui sempadan “aqidah”
yang dianuti golongan Islam arus perdana,
kerelatifan kebenaran yang membuahkan
kepada kebenaran agama-agama lain, menentang
segala yang tradisional dan juga seruan
mereka untuk menghapuskan “ekslusifme”
bagi usaha ijtihad dan pentafsiran al-Quran.
Mereka juga disatukan dengan corak pemikiran
dan gaya penulisan mereka yang anti-Islam
arus perdana dan sering kali bersifat
“melawan arus”, hatta yang
dilawan itu adalah perkara-perkara yang
telah “qat’i” (tetap
dan tidak berubah) di dalam agama, seumpama
isu kebenaran Islam, pengharaman zina,
kewajipan menutup aurat, kehalalan poligami
dan bermacam-macam lagi.
Aliran pemikiran seumpama ini bukanlah
baru. Mungkin di persada tanah air, ianya
masih dara, tetapi di peringkat antarabangsa,
terutamanya di Timur Tengah ianya telah
lama berlaku. Qassim Amin, Lutfi Said,
Ali Abdul Raziq, Taha Hussain dan pelbagai
nama lagi yang menjadi pelopor aliran
sekularisme di Timur Tengah telah mendahului
para pendokong Islib moden di dalam melontarkan
ide-ide untuk mentafsirkan semula al-Quran,
menolak hadis, merubah syariat Islam yang
disifatkan sebagai anti wanita, menafikan
sistem politik di dalam Islam dan lain-lain
lagi. Setelah pendapat-pendapat mereka
yang tidak laku tersebut hampir pupus,
kini muncul kembali di serata dunia arus
pemikiran seumpama ini sekaligus menghidupkan
kembali usaha-usaha liberalisasi Islam
dalam bentuk yang baru. Di Amerika Syarikat,
di Mesir, di Pakistan, di Indonesia dan
di Malaysia sendiri aliran pemikiran yang
hampir pupus ini telah disenyawakan dengan
ruh globalisasi untuk kembali mengembangkan
pegaruhnya. Yang menarik, di sebalik berkembangnya
aliran Islib ini di serata dunia, pasti
adanya unsur bukan Islam yang menaja penerusan
dakwah mereka. Jika di zaman dahulu, Universiti
Osborn, Lipzieg, Lieden, American University
di Lubnan dan lain-lain pusat pengajian
orientalisme menjadi penaja utama, kini
yayasan-yayasan dari luar negara samada
dari AS mahupun dari Jerman pula menjadi
pembekal dana untuk kelangsungan “crusade”
penjuang-pejuang aliran ini.
Lebih menarik lagi perjuangan Islib ini
diberikan layanan yang teramat istimewa
oleh banyak pihak. Tidak kiralah, samada
media milik penguasa mahupun media alternatif,
masing-masing berlumba untuk memberikan
ruang kepada pejuang-pejuang Islib untuk
memasarkan fikrah mereka, terutamanya
media-media berbahasa Inggeris. Jika di
lapangan ilmiah mereka punya suara, di
lapangan hiburan juga tidak kurangnya.
Kelahiran program-program hiburan yang
mempromosikan fikrah liberalisme juga
tidak kurang rancaknya. Penulis tidak
maksudkan Sure Heboh, Akademi Fantasia
dan Malaysia Idol sebagai media Islib,
tetapi yang penulis maksudkan adalah rancangan-rancangan
yang lebih bercorak indoktrinisasi. Filem
“Spin Gasing”, “Mimpi
Moon” dan yang terakhir sekali filem
“Sepet”, samada secara lagsung
atau tidak langsung, samada dengan sengaja
ataupun tidak sengaja, merupakan ruang
yang amat berkesan untuk memberikan ruang
yang subur kepada pendoktrinan generasi
muda agar bersikap liberal dan bersedia
menerima suntikan fikrah Islib. Rancangan
“infotainment” (sekadar meminjam
bahasa rosak RTM) seperti 3R, Puteri,
Pillow Talk dan macam-macam lagi juga
secara tidak langsung berupaya memberikan
kesan awal kepada usaha membuka hati para
generasi muda Melayu Islam di Malaysia
untuk mengalu-alukan kedatangan pemikiran
Islib. Yang pasti, isu “perpaduan”,“nasionalisasi”,
modernisme dan feminisme menjadi satu
ruang yang paling berkesan untuk menyebarkan
doktrin Islib.
Suasana politik yang tidak begitu stabil
dari erti kata detmokrasinya juga banyak
menyumbangkan ruang kepada arus Islib
unuk berkembang. Jika ada sesiapa yang
menyangkakan bahawa Islib adalah produk
sesuatu pihak sahaja, mereka tersilap.
Aliran Islib wujud di dalam kedua-dua
arus politik kerajaan dan juga pembangkang.
Dengan mengambil platform kerajaan serta
ruang-ruang di dalam kerajaan sebagai
kenderaan, sesetengah golongan Islib berjaya
melaksanakan tugas mereka. Di sudut pembangkang
pula, kebobrokan kerajaan di dalam isu
hak asasi manusia, kebebasan berpolitik,
penguat kuasaan moral dan juga isu wanita
telah memberikan mereka peluang untuk
menyebarkan faham Islib mereka dari sudut
golongan yang ati-establishment. Yang
pastinya di kedua-dua ruang mereka dapat
mengasak rakyat dengan doktrin Liberalisasi
yang dianggap “kudus”.
Jangan tersilap anggap, bukanlah tujuan
penulis melontarkan hipotesis ini untuk
memaksa pihak berwajib untuk men“GAM”kan
pihak-pihak tertentu mahupun memberikan
tindakan undang-undang seperti yang dilaungkan
oleh sesetengah pihak. Itu tidak akan
memberikan kesan yang positif. Penulis
lebih beriman dengan konsep “hujah”
dan juga “Hiwar” (perbincangan)
bertamadun. Isu Islib adalah isu pemikiran,
dan pemikiran hanya akan dapat berlawan
dengan pemikiran juga. Yakinlah Islam
(tulen atau arus perdana) mempunyai kekuatan
hujah dan logik untuk berhadapan dengan
doktrin Islib, cuma yang diperlukan ialah
ruang yang adil dari pihak media dan juga
ruang-ruang forum umum dari pihak berkuasa.
Usai seminar “Wacana Islam Liberal”
anjuran DBP itu otak penulis ligat befikir,
mengapa pihak yang memperjuangkan Islam
sebenar tidak bersungguh-sungguh memerangi
Islib jika mereka benar-benar meyakini
bahawa Islib adalah satu aliran yang bercanggah
dengan kebenaran Islam yang dibawa oleh
Rasulullah S.A.W.?. Jika hanya diharapkan
pada wacana ini sahaja, ianya tidak akan
mencukupi. Adakah dengan memberikan tanggung
jawab untuk memberikan penerangan tentang
kesesatan Islib ini pada bahu dua tiga
orang ustaz sahaja sudah cukup, dan orang
lain yang menyangkakan diri mereka pendokong
Islam yang sebenar boleh berpeluk tubuh
sahaja?, ini tidak benar dan merupakan
pemikiran yang jauh lebih sesat daripada
Islib.
Ruang berforum dan berbincang sepeti
yang pernah dilakukan di antara wakil-wakil
fikrah Islib dengan Dr Siti Mariah, Ustaz
Nasharudin dan juga Ust Mujahid merupakan
di antara usaha yang elok diteruskan.
Perbincangan intelektual inilah yang sepatutnya
menjadi medan pertempuran arus-arus pemikiran.
Sayangnya ianya tidak dapat dikongsi oleh
majoriti rakyat. Ruang media yang lebih
umum tidak langsung memberikan peluang
kepada wacana seumpama ini dikeudarakan.
Entah apa sebabnya, hanya Menteri Penerangan
sahaja yang ada jawapannya. Sayang juga,
mereka yang muncul mempertahankan Islam
sebenar adalah wakil-wakil PAS, ini mungkin
dilihat sebagai usaha mereka mempertahankan
PAS sahaja. Kemanakah wakil-wakil JAKIM
yang menjadi “guardian” kepada
Islam di bumi Malaysia ini?, kemanakah
juga para cerdik pandai dari fakulti-fakulti
pengajian agama Islam untuk berhadapan
dengan golongan-golongan Islib?, adakah
dengan mencapai makam Prof ataupun Prof
Madya sudah cukup buat mereka untuk berehat
dan hanya menjadi jaguh di dewan-dewan
kuliah dan seminar-seminar untuk membentangkan
kertas kerja sahaja?. Mungkin alasan yang
diberikan, wakil-wakil Islib ini adalah
golongan yang jahil dan tidak perlu dibawa
berbincang. Memang agak betul juga, lihatlah
pejuang-pejuang Islib, siapakah yang memegang
Phd di bidang Islam ?(kecuali Dr Patricia
Martinez, namun sayangnya beliau bukanlah
seorang Muslim , walaupun sering menjadi
rakan golongan Islib). Walaupun yang demikian,
itu bukanlah alasannya. Maka peranan para
doktor-doktor agamalah untuk “mengajar”
mereka dan membetulkan corak pemikiran
mereka yang dianggao tersasar ini.
Dalam bidang seni dan sastera pula, tidak
nampak usaha golongan Islam tulen untuk
memperjelaskan perkara-perkara yang kabur
ini. Jika kumpulan-kumpulan yang bernaung
di bawah payung ideologi Islib boleh menggunakan
ruang-ruang seni, samada yang di atas
tanah mahupun yang di bawah tanah, selayaknya
golongan Islam tulen aka Islam sebenar
juga pro aktif di dalam hal ini. Sayang
seribu kali sayang, kumpulan-kumpulan
nasyid yang menjunjung Islam Perdana hanya
seronok berkhayal dengan isu cinta yang
tidak sudah-sudah. Lebih parah lagi mereka
hanya seronok untuk berebut memenangi
anugerah itu dan anigerah ini berbanding
berkorban untuk menegakkan agama suci
yang mereka anuti itu. Mungkin satu anjakan
paradigma dan revolusi mental golongan-golongan
yang mendakwa ingin berdakwah melalui
seni ini perlu dilakukan. Di bidang perfileman
pula, juga perlu ada ruang untuk para
produser filem “Islam tulen”
meluaskan sayap doktrin mereka demi melumpuhkan
penularan ideologi Islib “jika mereka
benar-benar merasakan Islam mereka adalah
yang lebih benar dari Islib”. Untuk
mengharapkan filem-filem jarak panjang
yang dihasilkan selayak filem-filem konvensional
agak keterlaluan. Mana ada dana!!!, yang
dimaksudkan di sini ialah filem “shorts”
yang bercorak memenuhi selera orang muda
tetapi masih menjaga batas syarak. Cerpen-cerpen
dan novel-novel untuk mematahkan kemaraan
Islib juga belum ada yang mucul di pasaran.
Jika ada cerpen-cerpen Islami pun hanya
bersifat tradisional dan lesu serta tidak
mengetuk pemikiran para pembaca. Cinta
sudah tentu menjadi MSG paling utama untuk
melariskan novel-novel yang dihasilkan.
Maknanya 101 ruang lagi belum benar-benar
diterokai oleh golongan Islam tulen untuk
mempertahankan kesucian Islam anutan mereka.
Majoriti pendokong Islam tulen hanya
mengharapkan agar adanya cop “HARAM”
dan “SESAT” ke atas fraksi-fraksi
Islib dikeluarkan oleh pihak JAKIM, tulisan-tulisan
dan penerbitan-penerbitan brbau Islib
diharamkan, upacara penangkapan pendokong-pendokong
Islib di bawah ISA, pendokong-pendokong
Islib dibawa ke layar TV untuk upacara
penghakiman dan keinsafan lagak mantan
pimpinan-pimpinan al-Aqrqam suatu waktu
dahulu, dan juga bermacam-macam penggunaan
kuasa autoriti dan juga “usage of
force” dikenakan oleh pihak berkuasa.
Ibarat bermimpi di siang hari, mereka
yang ramai ini terlupakan bahawa pihak
penganut Islib juga terdapat di dalam
jentera-jentera kerajaan yang akan memastikan
usaha-usaha yang sedemikian adalah “mustahil”
dikenakan ke atas saudara dan saudari
sefikrah mereka. Mereka tidaklah sedangkal
golongan al-Arqam yang amat mudah dititik
dan dipicit oleh pihak berkuasa kerana
kekurangan strategi dan juga bersikap
ekslusif. Mereka adalah promoter “fikiran”
dan bukannya kumpulan. Sekali lagi perlu
ditekankan, perjuangan mereka adalah perjuangan
pemikiran dan ianya perlu ditentang dengan
pemikiran juga. Penggunaan kuasa tidak
akan kemana, kerana tiada sesiapa yang
dapat menghalang manusia dari berfikir
dan mendapatkan maklumat di era globalisasi
ini.
Nampaknya, kemunculan fenomena Islib
di Malaysia ini di sebalik kepahitannya
ada hikmahnya juga. Apabila munculnya
golongan Islib, barulah ramai yang sedar
keadaan kejahilan masyarakat berada di
tahap yang membahayakan, Barulah ramai
yang sedar perlunya melipat gandakan penyebaran
doktrin Islam yang sebenar. Barulah ramai
yang sedar bahawa masyarakat terpelajar
sudah ramai yang celik dan berfikir. Barulah
ramai yang sedar bahawa Islam tulen yang
mereka anuti dan percayai selama ini berada
di dalam ancaman dari dalam dan bukannya
dari luar lagi. Seperti kata Fathi Aris
Omar di dalam salah satu artikelnya, “kemunculan
golongan Islib ini telah menjadikan orang-orang
PAS aktif, kreatif dan mula berfikir...”
(selepas diubah gaya bahasa asalnya).
Penulis pula ingin menambah, “Bukan
hanya sekadar PAS yang telah menjadi semakin
kreatif, aktif dan mula berfikir, malah
keseluruhan pejuang-pejuang Islam tulen...”.
Persoalannya adakah semua lapisan penganut
Islam tulen benar-benar celik, merasakan
ancaman dan bahaya Islib lantas bangun
untuk memberikan reaksi demi mempertahankan
Islam tulen mereka?, tanyalah jiran di
sebelah rumah anda, adakah mereka tahu
apa itu Islam Liberal dan Islam tulen?,
jika tidak, muhasabahlah kembali diri
kita sendiri!