Masyarakat,
negara dan makna undang-Undang
Shamsul Iskandar Mohd. Akin
06:50pm
28 Mei 2005
Mendiang Robert M. Cover, pejuang hak
asasi manusia dan bekas professor undang-undang
dan sejarah perundangan di Universiti
Yale, Amerika Syarikat dalam karyanya
bertajuk “Nomos and Narrative”
(dalam naskhah yang diedit bertajuk “Narrative,
Violence and the Law” terbitan percetakan
Universiti Michigan, tahun 1992) memperkatakan
tentang hakikat kebenaran dan kebatilan
yang ditentukan oleh anutan makna undang-undang
(legal meaning) seseorang.
Makna undang-undang ini pula adakalanya
ditafsir oleh negara (melalui cabang kehakiman)
dan adakalanya pula terbit dari fahaman
dan keyakinan individu sendiri terhadap
naratif samawi (iaitu apa yang dianjurkan
oleh kitab-kitab suci Injil, Taurat, Zabur
dan al-Qur’an).
Sementara kepatuhan kepada makna undang-undang
yang ditafsir oleh negara itu seringkali
bergantung kepada kuasa paksaan (mahkamah,
polis, penjara), ketaatan kepada makna
undang-undang yang bersusur-galur dari
naratif samawi tidak memerlukan paksaan.
Kuasa naratif yang dianggap benar itulah
yang menjadi tunjang kepatuhan. Manusia
akan patuh kepada makna itu, berjuang
habis-habisan untuk mengamalkannya dan
bersusah-payah pula untuk merubah masyarakat
sekeliling agar turut patuh kepadanya.
Seringkali pula naratif samawi anutan
individu ini berbeza dengan undang-undang
negara. Ini menyebabkan konflik berpanjangan
antara individu atau masyarakat dengan
negara dalam hal siapa yang lebih berhak
untuk menafsirkan makna undang-undang,
iaitu menentukan apa yang benar dan apa
yang batil. Dalam negara dan masyarakat
yang majmuk budaya dan agama, tentu sekali
wujud kerencaman makna undang-undang (multiplicity
of legal meanings) yang bertentangan antara
satu sama lain. Aktor-aktor masyarakat
akan bersaing sesama sendiri untuk menegakkan
fahaman masing-masing mengenai maksud
kebenaran.
Dinamika inilah yang sedang berlaku dalam
konteks debat pelaksanaan undang-undang
moral di Malaysia. Bagi (kebanyakan) masyarakat
Islam, melaksanakan da’wah, yakni
menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran,
adalah satu tanggungjawab suci yang dianjurkan
oleh al-Qur’an. Tanggungjawab ini
jelas terpahat dalam kitab suci al-Qur’an
yang kebenarannya tidak dipertikaikan,
walaupun kebenaran mutlak al-Qur’an
sebagai “teks” seringkali
dipertikaikan oleh para pengikut Jaque
Derrida, seorang tokoh pascamoden, yang
asyik-masyuk dengan teknik “dekonstruksinisme”
– satu jalur fahaman yang percaya
bahawa segala-galanya boleh dicarik-carik,
dirobek-robek dan diruntuh-runtuhkan justeru
ingin menafikan kewujudan kebenaran yang
mutlak. Golongan ini tidak percaya wujud
satu meta-naratif yang menakrifkan kebenaran
yang mutlak. Kebenaran itu terlalu relatif
sifatnya.
Segolongan masyarakat Islam pula percaya
dan yakin bahawa al-Qur’an itulah
penakrif kebenaran. Apatah lagi jika teks
itu sifatnya “qat’i”
– jelas dan pemutus. Begitulah halnya
dengan tugas da’wah. Disebut dalam
al-Qur’an bahawa tugas da’wah
- menyeru kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran - itu harus dipikul oleh satu
umat manusia. Ianya bukan tugas individu.
Tugas ini bersifat “ummatik”,
yakni kolektif dan bukan persendirian.
Justeru, mereka tentu sekali tersentak,
naik berang dan hampir-hampir amok, apabila
ada pengikut faham Derrida, atas nama
pemerkasaan ruang individu dan pengekangan
kuasa represif negara, mempertolol dan
mempersetantkan hakikat makna undang-undang
yang dianggap benar itu. Meraka tersentak,
naik berang dan hampir amok bilamana dikatakan
bahawa hal-hal mungkar itu hak peribadi.
Orang lain jangan masuk campur. Ummat
jangan masuk campur. Apatah lagi negara
yang sedia represif sifatnya itu. Nyah
saja kalian semua!
Maka di sisi segolongan masyarakat Islam,
yang ingin diperjuangkan oleh para penganut
faham “dekonstruksinisme”
ini ialah kebebasan individu yang mutlak
(agak aneh kerana faham ini menolak segala
apa yang mutlak). Jangan ada tangan-tangan
agama dan negara yang menyingkap tirai-tirai
ruang individu. Mereka percaya bahawa
dengan cara ini sahajalah persaingan yang
adil akan muncul. Kreativiti individu
bercambah dan masyarakat akan maju. Mereka
juga percaya bahawa semua individu mempunyai
sifat-sifat yang murni, yang jika dilepas
bebas akan menghasilkan kehidupan yang
baik. Manusia, pada tanggapan kelompok
ini, diangkat hampir sama atau setaraf
dengan malaikat. Pandangan ini dihamburkan
sebagai satu “kebenaran”.
Memang ada benarnya faham kebebasan individu
ini. Dalam hal kebebebasan berfikir dan
bersuara umpamanya. Kreativiti akan bercambah
sekiranya manusia diberikan ruang untuk
menyuarakan buah fikiran mereka. Sekiranya
kebebasan bersuara dikekang, maka manusia
akan menganggap berfikir itu sebagai suatu
perbuatan yang sia-sia. Apa gunanya berfikir
jika tidak boleh menyuarakan apa yang
difikirkan? Akhirnya manusia malas berfikir
dan lebih senang menjadi pak turut dan
pak pacak sahaja. Pengekangan terhadap
kebebasan bersuara melemahkan upaya berfikir
individu. Daya kreativiti hilang dan kemunduran
bertandang.
Tetapi agak aneh untuk mengatakan bahawa
seseorang itu mempunyai kebebasan untuk
melakukan “kemungkaran” –
yang difahami dalam konteks naratif samawi.
Ianya seolah-olah mengatakan bahawa seseorang
itu berhak untuk melakukan sesuatu yang
tidak hak. Satu jenis oxymoron. Ianya
bertentangan sekali dengan maksud undang-undang
bahawa perbuatan mungkar itu tiada siapapun
yang berhak untuk melakukannya. Kecualilah
yang dipertikaikan itu ialah takrif “kemungkaran”
dan bukannya kebebasan untuk melakukan
kemungkaran. Sekiranya takrif kemungkaran
yang dipertikaikan, maka lereng-lereng
debat harus berkisar sekitar persoalan
fekah amalan dan bukannya kebebasan individu.
Wacana anti undang-undang moral yang dipakejkan
secara pukal dengan debat ruang individu
ternyata mengabaikan sudut penting jurisprudens
ini.
Di bandar suci Jerusalem pada bulan Ogos
nanti akan berlangsung satu pesta Lesbian,
Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT)
bertemakan “Cinta Tanpa Sempadan”.
Para pengikut gerakan ini akan bertandang
di Jerusalem dalam upaya mereka untuk
mendapat pengiktirafan dunia (dan agama)
terhadap kebebasan mereka menentukan jantina
dan menjalani kehidupan seks mengikut
pilihan sendiri – tanpa ada tangan-tangan
agama dan negara yang memaksa dan meleter
apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
Jerussalem dipilih kerana bandar itu dianggap
sebagai kota suci ketiga-tiga agama samawi
Islam, Kristian dan Judaisme. Pesta ini
diibaratkan sebagai kemuncak manifestasi
penentangan kelompok pejuang kebebasan
individu ini terhadap tirani otoriti agama.
Para pemimpin ketiga-tiga agama ini menentang
keras rancangan tersebut kerana bimbang
kesannya terhadap moral individu dan masyarakat.
Apatah lagi tindakan ini jelas mempersendakan
makna undang-undang yang tersirat dalam
naratif samawi yang mereka yakini. Bagi
pemimpin-pemimpin agama ini, gerakan kebebasan
individu telah bertukar menjadi gerakan
anti-agama. Maka wajarlah kesucian agama
terlebih dahulu dipertahankan daripada
kebebasan individu.
Wacana anti undang-undang moral di Malaysia
pada ketika ini, jika kita tidak berhati-hati,
dibimbangi akan menjurus ke arah yang
sama. Perjuangan kebebasan individu ditanggapi
sebagai gerakan anti-agama. Apa yang bermula
dengan cetusan rasa tidak puas hati dengan
layanan para penguatkasa undang-undang
terhadap si pesalah membawa kepada kebencian
membuak-buak terhadap segala bentuk halangan
keagamaan. Agama dan otoriti agama dianggap
sebagai kuasa represif yang lebih jahat
daripada pemerintahan seorang diktator.
Agama adalah tirani dan tirani adalah
agama. Debat dan wacana menjadi tidak
objektif lantaran perbahasan diselimuti
emosi yang tak tertanggung.Yang penting
ialah menang debat bukannya mencari kebenaran
dan penyelesaian.
Wacana ini menjadi bertambah rumit bilamana
ianya juga mempalitkan kuasa negara yang
represif. Justeru, dengan mudahlah mereka
yang mendesak agar negara dan masyarakat
mengambil tanggungjawab kolektif membendung
gejala salah laku moral melalui pelaksanaan
undang-undang negara dilabel sebagai menyokong
pemerkasaan kuasa negara dan pengecilan
ruang individu. Sementalahan pula wacana
ini berlangsung dalam iklim politik dunia
yang menyaksikan kebangkitan demokrasi
dan penjadahan Islam politik gaya Taliban.
Maka kelompok penyokong undang-undang
moral ini dicap sebagai jumud, konservatif
dan “verzealous religious bigot”
(pelampau agama yang degil dan berkepercayaan
tidak munasabah) yang tidak lain dan tidak
bukan berniat mewujudkan pemerintahan
ala-Taliban. Walhal, kelompok sama jugalah
yang pada masa yang sama menentang keras
kezaliman dan korupsi pemerintah serta
meraikan demokrasi politik.
Kacau bilau dan haru biru jadinya bilamana
perjuangan menentang “autoritarianisme
politik” bertukar wajah menjadi
penentangan terhadap “autoritarianisme
agama”. Kelompok yang dahulunya
bersatu dalam saf “reformis”
kini terbelah dua kepada “sekularis”
dan “Islamis”. Nampaknya,
kecenderungan ke arah de-Islamisasi (atau
sekularisasi) juga mempunyai unsur pecah-belah.
Aneh, suatu ketika dahulu perlumbaan ke
arah Islamisasi sahaja dianggap memecah-belah.
Apa yang sebanarnya sedang berlaku? Suka
saya kembali kepada pandangan mendiang
Profesor Bob Cover yang saya sebutkan
di permulaan rencana ini. Dalam masyarakat
majmuk ini wujud kerencaman makna undang-undang
(multiplicity of legal meanings). Suatu
makna yang mentakrifkan kebenaran dan
kebatilan. Makna ini tidak boleh dipaksa-paksa
pemakaiannya. Ia sedia berada dalam benak
fikiran dan hati nurani individu. Manusia
akan bersusah-payah dan bermati-matian
mempertahankannya dan memperluaskan pemakaiannya.
Namun tidaklah bermakna makna undang-undang
ini beku dan tidak berubah.
Menurut Joel S. Migdal, seorang profesor
pengajian antarabangsa di Universiti Washington
dalam bukunya “State in Society:
Studying How States and Societies Transform
and Constitute One Another” terbitan
Percetakan Universiti Cambridge, tahun
2001, perubahan sosial, ekonomi dan politik
masyarakat akan membawa kepada perubahan
makna undang-undang. Masyarakat desa yang
berpindah ke bandar, masyarakat buta huruf
yang terdidik dengan ilmu-ilmu moden dan
masyarakat yang semakin terdedah dengan
wacana-wacana baru tentunya akan mengalami
perubahan gaya hidup dan pemikiran. Di
celah-celah pertemuan dan pertembungan
ini lahirlah makna undang-undang baru
yang berubah menjadi teks-teks penentangan.
Makna undang-undang baru ini mungkin bertentangan
dengan undang-undang negara atau amalan-amalan
tradisi. Yang penting, bagi Profesor Migdal,
ialah usaha ke arah mewujudkan makna undang-undang
yang dikongsi bersama yang boleh mewujudkan
satu bentuk solidariti sosial. Inilah
cabaran bagi masyarakat dan negara Malaysia
yang majmuk pada hari ini. Bagaimana untuk
membentuk solidariti sosial di tengah-tengah
kemelut kerencaman makna undang-undang
dan keributan berwacana?
___________________
Penulis ialah Naib Ketua Angkatan
Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau
juga seorang pengamal undang-undang sivil,
jenayah dan samawi di Kg Kesang Tua, Jasin,
Melaka.