Menyemarak
intelektualisme mahasiswa
Mohamad Ridhwan Bin Alias
09:35am 2 Jun 2005
Kepimpinan dan komuniti mahasiswa merupakan
satu ikatan yang tidak dapat dirungkai.
Dalam sejarah mahasiswa sendiri, kemunculan
pemimpin mahasiswa tertentu begitu kuat
mencorak perjuangan para mahasiswa di
kampus. Menurut Mohamad Abu Bakar dalam
artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa,
pemimpin adalah individu yang berprinsip,
berinisiatif dan berfikiran tentang keperluan
hidup berorganisasi sama ada dalam keadaan
mencabar atau tidak mencabar. Sebenarnya,
kekuatan gerakan mahasiswa bergantung
kepada kekuatan pimpinan yang berkarisma
dalam mengembleng tenaga-idea mahasiswa
untuk memperjuangkan sesuatu isu. Perjuangan
seseorang pemimpin dilatari dengan pengalaman
dan pendidikan yang diperolehi oleh pemimpin
tersebut. Universiti sendiri adalah gudang
untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pada
masa depan. Di universiti, bakat dan potensi
diri diasuh agar diri mahasiswa tersebut
lebih berprestatif dalam kepimpinan organisasi.
Kepimpinan mahasiswa dikatakan lesu sejak
kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) pada tahun 1971. Sebenarnya, kita
tidak boleh menafikan AUKU telah memberikan
impak negatif ke atas gerakan mahasiswa
termasuk ke atas proses kepimpinan mahasiswa.
AUKU telah menumpulkan sifat keberanian
pimpinan mahasiswa dan menelurkan kesan
psikologi yang negatif seperti pengantungan
kepada pihak atasan dan bermentaliti subsidi.
Keadaan bertambah teruk apabila pemimpin
mahasiswa yang aktif selalu dilabelkan
sebagai anti establishment. Oleh sebab
itu, kebanyakan mahasiswa lebih selesa
menjadi ulat buku atau menceburi aktiviti
berfoya-foya di luar kampus.
Kepimpinan mahasiswa sewajarnya tidak
melihat AUKU sebagai alasan kelesuan gerakan
mahasiswa pada masa kini. AUKU sendiri
memberi ruang untuk mahasiswa aktif dalam
aktiviti berpersatuan dan bermasyarakat.
Mahasiswa perlu rasional bahawa suasana
pada hari berbeda dengan suasana pada
tahun 1970an dimana pada masa itu isu
kemiskinan, kedaulatan Bahasa Melayu dan
isu antarabangsa berada pada suhu yang
hangat. Kini, interprestasi gerakan mahasiswa
memerlukan satu anjakan paradigma. Mohamad
Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan
dan Komuniti Mahasiswa memberi contoh
yang amat menarik dimana para pemimpin
mahasiswa Universiti Oxford melakukan
satu demonstrasi bersifat intelektual
dan rekreasi dengan mengadakan debat dan
perlumbaan perahu secara tradisi dengan
pemimpin mahasiswa Universiti Cambridge.
Disinilah para pemimpin mahasiswa diuji
dengan kemahiran berhujah, ketahanan mental,
fizikal dan ketinggian ilmu pengetahuan.
Dalam konteks Malaysia, penganjuran seminar
atau program lawatan sambil belajar boleh
dikatakan menguji potensi diri pimpinan
mahasiswa. Para pimpinan mahasiswa perlu
mengetahui kos kewangan, pemilihan tempat,
publisiti dan sebagainya. Tanpa persediaan
yang cukup dari segi mental, emosi dan
fizikal, perjalanan program mungkin akan
gagal. Dalam program seumpama ini, pembahagian
tugas, kemahiran berkomunikasi dan kerjasama
berkumpulan merupakan nadi kejayaan program.
Untuk menguruskannya, para pemimpin mahasiswa
perlu mempunyai ilmu-ilmu bantu yang bukan
subjek pelajarannya di universiti dan
pemimpin mahasiswa perlu merancang dengan
teliti untuk menambahkan keberkesanan
program.
Dalam konteks masyarakat kampus pada hari,
isu politik menjadi dominan padahal isu
politik ada pasang surutnya bergantung
pada sesuatu isu. Kita harus sedar, budaya
intelektual lebih kekal dan serasi dengan
suasana di kampus yang dianggap lembah
keilmuan bahkan budaya intelektual boleh
mempengaruhi suasana politik kampus dan
nasional. Para pimpinan mahasiswa seharusnya
mengambil peluang membangun dan memupuk
sebuah aliran pemikiran atau School of
Thought yang tersendiri. Menurut Mohamad
Abu Bakar, para pemimpin mahasiswa boleh
menjalankan aktiviti keilmuan yang membabitkan
sebahagian mahasiswa dalam rancangan berfikir,
berdiskusi, berdialog dan berseminar secara
berkumpulan, kemudian mereka membentang
dan menyebarkan fahaman mereka.
Aliran pemikiran mahasiswa ini membolehkan
mahasiswa berinteraksi dalam kerangka
tersendiri walaupun membahaskan isu-isu
luar kampus. Kekuatan aliran pemikiran
yang tersendiri begitu terserlah semasa
kewujudan Kelab Sosialis Universiti Malaya
[KSUM]. KSUM mempunyai ideologi yang tersendiri
begitu aktif memdiskusikan persoalan masyarakat,
kampus, nasional dan internasional dalam
ruang pemikiran sosialisme. Keberkesanan
aliran pemikiran KSUM cukup mengkagumkan
apabila kader-kadernya berjaya menguasai
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya
dengan penerapan idea sosialisme bahkan
KSUM merupakan pembekal utama pimpinan
untuk Parti Rakyat Sosialis Malaya (PRSM)
dengan kehadiran Syed Hamid Ali dan Dr.
Sanusi Osman.
Sebenarnya, secara sedar atau tidak golongan
mahasiswa Islamis juga mempunyai kumpulan
pemikir tertentu semasa awal tahun 1980an.
Kumpulan Islamis tersebut dikenali Kumpulan
Republik Islam [RI] yang berpengaruh di
Universiti Malaya. Pada peringkat awal,
kumpulan ini dikenali kumpulan Enam Kerinchi
yang terdiri daripada Mohamad Hussein,
Mohd Taib Ahmad, Syed Putra Syed Ahmad,
Mohd Fuad Zakarshi, Takiyuddin Hasan dan
Azmi Ali telah mengagaskan idea kepimpinan
ulama. Kumpulan RI berjaya menumpaskan
proksi ABIM-PKPIM untuk memenangi kerusi
kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti
Malaya [PMIUM] pada tahun 1983. Kumpulan
RI atau Kumpulan Universiti Malaya merupakan
pembekal pemimpin-pemikir kepada Parti
Islam SeMalaysia (PAS) dengan menguasai
kepimpinan PAS dengan kehadiran Husam
Musa, Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan
dan Mohd Taib Ahmad.
Kekuatan pemikiran kumpulan Republik Islam
begitu mantap dilakarkan dalam artikel
Aliran Modenisme Dalam Islam oleh Azmi
Ali, mahasiswa Fakulti Undang-Undang,
Universiti Malaya. Kumpulan Republik Islam
mengagaskan aliran pemikiran Islam yang
syumul dan murni yang mengkritik keras
pemikiran modernisme yang begitu berbahaya
dan mengancam akidah Islam. Azmi Ali mengarahkan
aliran pemikiran Islam Kumpulan RI iaitu
‘kembali kepada prinsip-prinsip
asali Islam’ yang murni.
Kini, trend pemikiran Islam menjadi dominan
di kampus-kampus nasional selaras proses
kebangkitan semula Islam pada awal tahun
1970an. Jika dulu, trend pemikiran di
kampus dihayati oleh organisasi luar tetapi
sekarang idealis organisasi luar menjadi
ikutan para pemimpin mahasiswa. Oleh sebab
itu, masyarakat, media massa dan kerajaan
seringkali melabel pemimpin mahasiswa
sebagai agen parti oposisi. Dari trend
pemikiran berubah kepada ikutan penghayatan
ideal politik parti oposisi menyebabkan
para pemimpin mahasiswa diikat dan dibelenggu
dengan isu-isu perjuangan parti oposisi.
Kondisi ini menyebabkan gerakan mahasiswa
sukar menjalankan aktiviti-aktiviti keilmuan
di kampus.
Para pemimpin mahasiswa kini seharusnya
menghayati gagasan kepimpinan intelektual
dan mempraktikkan dalam kehidupan amali
di kampus dan luar kampus. Gagasan kepimpinan
intelektual adalah gagasan berterusan
dalam kehidupan kampus bukannya protes
politik. Walau bagaimanapun, tuntutan-tuntutan
sosial dan politik yang lain perlu juga
diambil perhatian dan diterjemahkan gagasan
kepimpinan intelektual dalam persoalan
tersebut. Contoh, dalam isu kemiskinan,
para pemimpin mahasiswa bergayakan gagasan
kepimpinan intelektual menyediakan penyelesaian
melalui kertas cadangan, debat, khidmat
masyarakat dan memorandum kepada pihak
berkenaan. Penyelesaian perlu dicari dengan
suasana kondusif dimana kaedah demonstrasi
jalanan dilihat kurang berkesan kerana
mahasiswa dan masyarakat Malaysia sekarang
berada dalam keadaan selesa sehingga sukar
untuk kebanyakan mahasiswa dan rakyat
turun ke jalanan untuk memprotes pihak
berkenaan.
Kepimpinan intelektual mahasiswa perlu
mengarap fahaman dan ideologi, mengolahnya
dan kemudiannya berusaha melaksanakan
objektif yang terkandung dalam ideologi
tersebut. Peringkat pencambahan minda
ini boleh dimulakan dengan pendiskusian
buku Risalah Untuk Kaum Muslimin, karangan
Syed Naquib al Attas yang cukup bernas
membicarakan persoalan aliran pemikiran
moden pada hari ini. Sebagai cadangan,
buku ini perlu dijadikan bahan bacaan
wajib bagi pemimpin mahasiswa. Asahan
minda cukup bermaya jika disuntik dengan
perdebatan ilmiah yang mencetuskan idea
baru atau menyelesaikan polemik yang sedia
ada.
Gagasan kepimpinan intelektual mahasiswa
yang dihangatkan oleh Mohamad Abu Bakar
ini perlu diambil cakna oleh para pemimpin
mahasiswa pada hari ini. Mandat besar
yang diperolehi oleh parti pemerintah
membuktikan rakyat Malaysia belum berkeyakinan
melakukan perubahan dan masih berkeinginan
berada dalam zon selesa. Oleh sebab itu,
kaedah demonstrasi bukanlah jalan terbaik
untuk menyelesaikan isu-isu kampus, nasional
atau internasional. Para pemimpin mahasiswa
perlu menterjemahkan suara intelektual
dalam seminar, forum atau penulisan dalam
akhbar dan majalah. Penulisan dalam media
massa sendiri merupakan kaedah alternatif
yang paling murah dan berkesan untuk mengerakkan
pemikiran mahasiswa dan masyarakat massa.
Keberkesanan ini terbukti apabila kaum
muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh
al Hadi berjaya menyebar-luaskan idea
Islah kaum muda melalui akhbar al Iman.
Sebagai konklusi, penulis memetik pendapat
Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Falsafah
Perjuangan Mahasiswa menyatakan pergerakan
mahasiswa seumpama air dari gunung yang
mengalir, kadangkala mengalir deras kadangkala
perlahan. Air yang mengalir diserap masuk
ke dalam tanah dan pada satu masa nanti
ia akan keluar dari tanah. Perumpamaan
ini mengambarkan perjuangan gerakan mahasiswa
terutamanya dalam isu politik ada pasang-surutnya.
Suasana dan isu semasa banyak mempengaruhi
hala tuju gerakan mahasiswa tetapi pembudayaan
intelektual merupakan hala tuju hakiki
dan berterusan bagi gerakan mahasiswa
di kampus selaras dengan peranan universiti
sebagai taman keilmuan.
______________
Penulis boleh dihubungi melalui tokawang_sufi@hotmail