Islam dan
modeniti
Mohamad Ridhwan Bin Alias
01:01am
08 Jun 2005
Kemaraan aliran modenisme ke dalam pemikiran
dan gaya hidup masyarakat Islam kini mula
mengancam Islam sebagai ad din yang syumul
dan sahih. Menurut Wan Mohd Wan Ali, aliran
modenisme mementingkan pandangan hidup
keduniaan yang mempertahankan kemodenan.
Ia boleh dianggap satu gerakan, aliran
dan fahaman yang berusaha untuk merubah
elemen tradisi supaya bersesuaian dengan
suasana baru yang ditimbulkan oleh kemajuan
dalam bidang ilmu dan teknologi. Menurut
Roger Garaudy, modenisme tidak lain daripada
proses pemBaratan iaitu penerimaan kebudayaan
dan pemikiran yang berasalkan daripada
pengalaman sejarah Barat terutamanya yang
berasal daripada Renaissance. Modenisme
berjaya mengukuhkan kedudukan di Barat
dan menolak peranan agama dalam kehidupan
dunia. Maryam Jameelah berpendapat modenisme
terhasil daripada pemberontakan secara
militan terhadap agama dan nilai-nilai
rohani bawaan agama.
Golongan modenis cuba menunduk tradisi
kepada kemodenan sehingga mereka menganjur
pentafsiran semula ajaran Islam berdasarkan
pemikiran moden. Menurut Shaikh Mohd Asraf,
mereka cuba mengkaji dan mentafsir al
Quran berdasarkan kebudayaan Barat yang
mereka anuti. Kekaguman kaum modenis terhadap
Barat menyebabkan mereka memandang rendah
akan kelebihan al Quran. Kaum modenis
tidak mempunyai asas ajaran agama Islam
yang kukuh telah belajar tanpa pengawasan
ulama menyebabkan mereka hanyut dengan
pemikiran logik. Kebanyakan daripada mereka
mempelajari ilmu agama di universiti Barat
dan diajar oleh pengajar non-muslim yang
tidak berpegang kepada akidah Islam. Natijahnya,
pemikiran mereka telah terjajah dan diseleweng
oleh orientalis Barat yang ingin menghancurkan
akidah Islam.
Sebelum penjajah berundur daripada tanah
jajahan, mereka telah memberi kuasa politik
kepada golongan nasionalis-sekular yang
terdidik dengan pendidikan Barat. Golongan
ini dilatih dan diterapkan tentang keunggulan
bangsa Barat. ‘Waris Barat’
ini cuba meluaskan aliran modenisme ke
dalam masyarakat Islam dengan memaksa
sistem politik, ekonomi, pendidikan dan
segalanya berorientasikan pemodenan Barat.
Generasi yang terdidik dalam kerangka
pemodenan ini telah menerima pemikiran
dan kebudayaan Barat sehingga semua perkara
yang bukan Barat adalah tidak bertamadun
dan mundur. Masyarakat Islam telah terpedaya
dengan kebudayaan Barat yang dianggap
moden sedangkan kebanyakan elemen kebudayaan
Barat diambil daripada tengah Afrika melalui
hamba abdi, orang kulit hitam seperti
muzik rap dan hip hop.
Penjajah tidak secara mudah memberi
kemerdekaan kepada golongan Islam yang
memperjuangkan kemerdekaan. Mereka telah
melantik elitis politik yang pro Barat
untuk negara yang baru merdeka. Menurut
Lord Cromer, mereka hanya sudi memberi
kemerdekaan sebaik-baik tersedianya intelek
dan ahli politik yang dibentuk melalui
pendidikan Barat bagi mendukung nilai-nilai
Barat. Maka lahir tokoh seperti Mustapha
Kamal Ataturk, Muhamad Ali Jinnah dan
Zia Gokalp bagi melaksanakan agenda Barat
dalam pemerintahan. Golongan yang ingin
melihat Islam memerintah seperti Hizbul
Muslimin dan Jamaati Islami telah dicantas
terlebih dahulu.
Aliran modenisme telah melahirkan intelectual
havoc di kalangan masyarakat Islam yang
telah mendapat pendidikan di sekolah beraliran
Barat dan pernah menuntut di universiti
Barat. Paling malang terdapat ulama dan
pemikir Islam yang berhati duniawi yang
sanggup menyebelahi Barat dengan menyokong
penerapan modenisme ke dalam masyarakat
Islam. Antaranya ialah Sir Ahmad Khan,
Muhammad Arkoun, Fazlur Rahman dan Sheikh
Muhammad Abduh. Mereka cuba mengharamkan
poligami, persamaratakan pembahagian harta
pusaka dan penghapusan hukuman syariat
secara evolusi. Itjihad yang dilakukan
oleh golongan modenis kononnya bagi menyesuaikan
agama Islam dalam kontek tamadun moden
dengan bersifat toleransi dan ke arah
kepluralan beragama.
Modenisme menyebabkan manusia memuja
sains dan teknologi secara terlampau.
Sains dan teknologi dianggap tuhan kerana
ia dianggap sebagai panacae [penyelesaian]
bagi setiap masalah. Oleh kerana sains
dan teknologi terhasil daripada kecerdasan
akal manusia, secara automatiknya manusia
sendiri menganggap mereka mampu menyelesaikan
masalah tanpa mengharapkan bantuan daripada
Allah SWT. Pemikir Barat seperti Francis
Bacon cuba menerapkan semangat sains dapat
mengatasi agama menyebabkan ramai intelek
Islam terpengaruh dengan elemen modenisme
ini. Syeikh Muhammad Abduh sendiri menyarankan
agar ajaran Islam tentang jin ditafsir
semula kerana menganggap jin sebagai microbes.
Golongan modenis mengaku Islam tetapi
fahaman dan pegangan mereka melanggari
nilai-nilai kesempurnaan ajaran Islam.
Mereka mentafsir ajaran Islam dengan berpandu
nilai-nilai Barat. Mereka teramat marah
jika ada orang menyoal status keIslaman
mereka dan menuduh penghalang pembaharuan
sebagai jumud, taklid dan antikemajuan.
Golongan modenis menganggap mereka adalah
pengislah agama yang ingin memaju dan
membangunkan Islam. Hakikatnya, pembaharuan
yang dicitakan oleh mereka telah menggugat
dasar-dasar Islam dengan hujah teori berkiblat
logik akal semata-mata. Pembaharuan yang
diingini hanyalah manifestasi daripada
kehendak dan kecintaan golongan modenis
terhadap tamadun material sahaja.
Gerakan modenis ini menggunakan pelbagai
istilah dan slogan bagi menarik rakyat
mengikuti saranan mereka. Maka muncul
istilah Sosialisme Islam, Islam Plural,
Islam Inklusif, Islam Liberal, Islam Bertamadun
bahkan terdapat faham Marxisme Islam yang
pernah dikemukakan oleh Khalid Muhiyiddin.
Kepelbagaian istilah ini untuk menyedapkan
mata yang memandang dan telinga yang mendengar
sahaja. Walaupun istilah ini berbeda dan
nampak bertentangan di antara satu sama
lain tetapi semua lahir daripada pohon
yang sama bersifat anti-tauhid dan digerakkan
oleh modenis. Pada hakikatnya, ia cuba
mempermainkan ajaran Islam dengan budaya
munafik dan memyamakan Islam sebaris dengan
ideologi-ideologi ciptaan manusia seolah-olah
Islam itu hanya cita-cita, idea dan buah
pemikiran yang boleh didiskusikan dan
diubahsuai untuk kepentingan kehendak
manusia yang logik.
Golongan modenis telah mengecam tasawuf
sebagai penghalang bagi kemajuan. Ketiadaan
tasawuf dalam Islam seumpama buah yang
mempunyai kulit tanpa isi. Islam adalah
agama yang dijalani secara holistik bukannya
dipecahkan mengikut tema yang diperlukan
oleh manusia. Tasawuf merupakan benteng
meransang akhlak manusia agar lebih keinsanan
sifatnya. Menurut John R. Mott, seorang
orientalis mengakui mukmin yang kuat ialah
mereka yang memiliki sifat-sifat tasawuf,
kebal dan tidak dapat ditembusi oleh sebarang
kekufuran. Golongan modenis menyalahkan
tasawuf kerana melihat tasawuf menerusi
kekarutan akal-pengertian dan amalan si
jahil yang cuba menghidupkan tasawuf.
Maka, mereka cuba memurnikan tasawuf daripada
noda-noda kekotoran padahal pemurnian
mereka sendiri merupakan penodaan bagi
amalan tasawuf.
Aliran modenisme juga telah memisahkan
agama daripada urusan dunia dan memisahkan
urusan negara daripada Islam. Mereka menuduhkan
negara yang mengamal Islam secara sahih
akan mundur kerana dikuasai oleh agamawan
yang jumud dan anti-pembangunan. Golongan
modenis memahami negara yang diasaskan
dengan ikatan agama Islam mempunyai persamaan
konsep dengan negara teokrasi yang pernah
didominasi oleh paderi-paderi Kristian
di Eropah. Mereka memperlekeh keupayaan
Islam dan syariat untuk bernegara dalam
zaman moden. Maka lahirlah ‘nusia-nusia’[pelupa]
seperti Ali Abdul Raziq dan Asaf Ali Fyzee
yang tidak mempercayai kesyumulan Islam.
Golongan modenis cuba menafsir semula
al Quran telah menyerang hadis-hadis yang
dianggap bukan sumber sahih bagi Islam.
Mereka hanya berpegang kepada al Quran.
Hadis merupakan tafsiran al Quran melalui
perlakuan dan percakapan Rasulullah SAW
yang diajari secara bersanad oleh ulama-ulama
muktabar. Penghinaan terhadap hadis bertujuan
memudahkan mereka menafsir al Quran berdasarkan
kehendak akal-logik mereka sendiri. Golongan
modenis yang terpengaruh dengan idea Ignace
Goldzieher ini telah mempelopori gerakan
antihadis seperti yang dilakukan oleh
Rasyid Khalifa dan Kassim Ahmad. Mereka
juga mengutuk ulama-ulama rabani silam
yang disifat jumud dan pendokong amalan
bida’ah padahal ulama rabani silam
mempunyai kepelbagaian disiplin ilmu Islam
dan beramal dengan Islam. Orang yang mengutuk
ulama rabani silam dianggap perosak-perosak
agama oleh Wan Mohd. Shaghir, seorang
penterjemah kitab agama.
Pembebasan kaum wanita daripada cengkaman
Islam selalu dimomokan. Islam dianggap
penindas wanita melalui pelbagai diskriminasi.
Mereka mahu bebas berpakaian, keluar bekerja
dan antipoligami. Pembebasan yang disangka
baik ini merupakan satu kecelakaan yang
menimpa kaum wanita kerana mereka sendiri
berjauhan dengan institusi kekeluargaan
Islam. Islam menyarankan wanita Islam
keluar dengan lelaki muhrim tetapi kaum
wanita tidak menghiraukannya, akibatnya
berlaku perogolan dan kes ragut. Islam
menganjurkan kaum wanita menutup aurat
bagi menjaga maruah tetapi atas nama pemodenan,
kaum wanita membenarkan tubuh mereka dieksplotasi
oleh pemodal yang menjatuhkan maruah kewanitaan.
Semua ini bukanlah proses pembebasan tetapi
penghambaan moden bagi kaum wanita.
Jelas golongan modenis cuba mendewakan
peranan akal sehingga dapat menunduk kehendak
wahyu. Akal bersifat nisbi yang terbatas
oleh ruang dan waktu manakala wahyu membawa
kebenaran yang mutlak tidak dapat dijangkau
oleh pemikiran dan pancaindera manusia.
Oleh sebab itu, ketundukan wahyu kepada
kehendak akal merupakan satu pengkhianatan
terbesar manusia munafik terhadap keEsaan
Allah SWT. Akhirnya Islam dibentuk oleh
masyarakat manusia munafik yang mengetepikan
syariat Islam sedangkan hanya syariat
Islam yang boleh membentuk masyarakat
manusia.
Keunggulan aliran modenisme di dalam
masyarakat Islam kerana pemerintahan negara
umat Islam didukungi oleh golongan berfikiran
modenisme. Mereka cuba memodenkan negara
mengikut kehendak semasa dan zaman telah
ditenggelami dengan faham material. Sebenarnya,
kuasa politik berupaya memainkan peranan
penting bagi mengekang aliran modenisme
daripada merebak ke dalam pemikiran dan
gaya hidup masyarakat secara tuntas. Oleh
sebab itu, penulis yakin bahawa pendidikan
dan kuasa politik adalah tunjang kepada
proses pematahan merebaknya virus-virus
modenisme ke dalam masyarakat.
Aliran modenisme hanya terikat dengan
pengukuran berdasarkan material sahaja
yang bersifat relatif bukan seperti prinsip
agama Islam yang mutlak tentang kebenaran
dan nilai akhlak. Kesahihan modenisme
terbatas berdasarkan peranan masa, tempat
dan keadaan. Pembebasan yang diingini
daripada golongan modenis adalah bersifat
khayali bahkan menjurus penyembahan kepada
peranan akal. Penyembahan terhadap peranan
akal bermakna golongan modenis menyembah
berhala diikonkan kepada manusia sendiri.
Perkara ini merupakan amalan syirik di
bawah sedar manusia yang menganuti modenisme.
Pembebasan dalam Islam adalah membebaskan
diri daripada makhluk dan tunduk kepada
Allah SWT. Oleh sebab itu, kemerdekaan
sebenar adalah membebas akal-pemikiran
daripada terjajah daripada aliran modenisme
yang menyesatkan.
_______________
Penulis boleh dihubungi melalui tokawang_sufi@hotmail.com