Menangani ‘moral policing’

Khalif Muammar A. Harris, Kolej Dar al-Hikmah
02:00pm 09 Jun 2005

Dalam isu penguatkuasaan undang-undang moral baru-baru ini, Kerajaan sebenarnya mempunyai kesempatan besar untuk menunjukkan pendirian dan komitmennya dalam hal berkaitan dengan moraliti bangsa dan pembangunan insan. Pada saat ini tampak wujudnya kekeliruan masyarakat dalam memahami isu penguatkuasaan undang-undang moral atau oleh pihak tertentu dinamakan dengan ‘moral policing’. Persoalan yang dipertikaikan adalah sama ada pihak berkuasa berhak campur tangan terhadap moraliti individu? Apakah moraliti urusan peribadi yang terpisah daripada publik? dsb.

Isu tersebut timbul akibat bantahan sebahagian NGO yang ingin agar kerajaan tempatan tidak lagi mengamalkan ‘moral policing’. Golongan ini berpendapat bahawa isu moral adalah hal individu oleh itu tidak perlu campurtangan negara untuk menentukan apa yang baik dan buruk terhadap individu terbabit. Analisis ke atas pemikiran NGO terbabit menunjukkan bahawa golongan ini berpegang kepada dualisme dan dikotomi antara agama dengan keduniaan, individu dengan publik, moral dengan politik. Jika ditelusuri pandangan yang memisahkan antara dua aspek-aspek ini, sebenarnya ia diambil daripada paradigma pemikiran Barat yang sekular. Persoalannya adalah mengapakah masyarakat Islam perlu tunduk kepada cara berfikir Barat tersebut? Ini kerana pada hakikatnya ia tidak menjanjikan apa-apa kebaikan kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Masyarakat Islam mempunyai pegangan yang berlainan dengan masyarakat Barat, tentunya kelainan ini perlu dibiarkan bahkan dipertahankan. Kerana itu masyarakat Islam tidak perlu dipaksa untuk mengikuti cara hidup dan cara berfikir yang asing. Bahkan masyarakat pada hari ini sedar akan kesan negatif budaya hedonistik dan materialistik yang dieksport Barat melalui media massa. Masyarakat pada umumnya juga mengharapkan adanya kekangan dan sekatan dilakukan agar budaya hidup bebas tidak meresap ke dalam diri generasi muda bangsa.

Politik dan moral sememangnya dua perkara yang berbeza. Namun demikian, keduanya tidak harus dipisahkan. Ini kerana pemisahan hanya akan mengakibatkan kepincangan dalam politik dan pemerintahan itu sendiri. Kalau dalam masyarakat bukan Islam moraliti hanya dikaitkan dengan agama dan agama difahami sebagai urusan individu yang hanya melibatkan aspek spiritual dan ritual, tidak demikian dalam ajaran Islam. Islam mengajarkan agar penganutnya mentaati segala perintah Allah S.W.T. dalam segala aspek kehidupan manusia. Ini bertujuan agar adanya kesinambungan antara kehidupan peribadi, kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Adalah perkara yang asasi untuk difahami bahawa untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang memerlukan suasana yang kondusif dan bersih dari segala keruntuhan akhlak dan budaya yang tidak sihat.

Ketika arak diharamkan dalam Islam, baik dikonsumsi secara bersendirian mahupun dalam tempat umum, baik sedikit yang tidak dikhawatirkan akan mencederakan orang lain ataupun banyak yang pastinya akan menimbulkan masalah. Masalah ketagihan tidak mungkin ditangani dengan menyerahkan kepada masing-masing individu untuk mengawal diri sendiri. Walaupun al-Qur’an telah lama mengakui adanya sedikit faedah dari meminum arak dalam keadaan-keadaan tertentu, tetapi demi menjaga kepentingan bersama (masyarakat) Islam mengambil langkah mengharamkannya secara mutlak. Pengharaman ini memerlukan sokongan daripada penguasa Muslim, demi merealisasikan masyarakat yang sihat dalaman dan luaran. Demikian juga ketika Islam mengharamkan zina, ia diharamkan samada dilakukan secara sukarela mahupun paksaan (rogol). Walaupun yang pertama (suka sama suka) pada zahirnya tidak memberi masalah kepada masyarakat, akan tetapi ia mempunyai kesan yang besar kepada ikatan kekeluargaan (suami-isteri), keturunan (anak luar nikah), masyarakat (pengguguran dan pembunuhan bayi), risiko penyakit dan lain-lain lagi.

Oleh itu, Islam melihat bahawa moraliti bukan hal individu yang terpisah dari perhatian dan peranan publik. Justeru dalam pandangan Islam baik publik mahupun penguasa perlu memastikan agar moraliti dapat dijaga oleh semua pihak. Di sinilah Islam meletakkan prinsip amar ma’ruf nahy munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar) untuk dipegang oleh masyarakat Islam. Dengan berpegang kepada prinsip ini Allah menjamin umat Islam akan menjadi sebaik-baik umat. Namun demikian mencegah kemungkaran tidak bermakna akan mengorbankan privacy seseorang, ia masih boleh memastikan hak-hak peribadinya dihormati. Apa yang dituntut adalah agar masyarakat dan kerajaan bertanggung jawab terhadap segala kegiatan yang bersifat publik yang dapat menjejaskan moraliti masyarakat. Yang menyedihkan, apabila ada kecenderungan masyarakat yang acuh tak acuh terhadap gejala keruntuhan akhlak walaupun ianya menjolok mata, ini tentunya akan memberi lesen kepada budaya yang lebih tidak bermoral. Pembangunan sesebuah negara pada hari ini biasanya dikaitkan dengan tingkat public awareness dan civil society. Sebenarnya Islam telah meletakkan asas kepedulian publik ini dalam bentuk amar ma’ruf nahy munkar sebagai kaedah menciptakan masyarakat yang cemerlang.

Islam menolak pemikiran dualistik dan dikotomis kerana manusia dan segala apa yang wujud di alam ini adalah makhluk Allah yang mesti tunduk kepada perintah Allah S.W.T sebagai Pencipta dan Pengatur alam. Sedangkan dikotomi antara agama dengan sains, politik dengan moral hanya boleh diterima dalam masyarakat Barat yang sekular. Tuhan, dalam pemikiran sekular, hanya berada dalam ruang lingkup agama yang sempit, dan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hal-hal keduniaan. Pemisahan dan sekularisasi di Barat pada akhirnya memaksa masyarakat Barat menanggung akibat yang besar dari segi krisis moral dan kerohanian: keruntuhan akhlak, kekeliruan dan kebingungan dalam menentukan jalan hidup dan nilai-nilai moral. Tiba saatnya para pendukung sekularisme menyedari bahawa sekularisme bukan satu pendekatan yang objektif dalam memahami dan mengatur kehidupan akan tetapi ia membawa mesej dogmatik yang berakar pada immanentisme dan berakhir dengan dunia tanpa nilai-nilai luhur.

Kelemahan yang ada pada tamadun Barat perlu dijadikan pengajaran agar tidak menjadi kelemahan masyarakat Islam pada hari ini mahupun akan datang. Ramai penulis Barat sendiri seperti John L. Esposito dan Peter L. Berger mengatakan bahawa sejak dua dekad terakhir abad 20 telah wujud apa yang dikatakan sebagai the global resurgence of religion (kebangkitan agama secara global), ini kerana agama telah kembali untuk mempersoalkan kebenaran dogma-dogma yang ditanamkan oleh para nabi modeniti (the prophets of modernity). Apabila masyarakat dunia sendiri diramalkan akan kembali kepada agama untuk mencari jawaban bagi permasalahan-permasalahan yang tidak dapat diselesaikan oleh falsafah Barat, bukankah lebih utama masyarakat Islam yang sememangnya beragama untuk menghidupkan kembali keyakinannya terhadap agama?

Kajian juga menunjukkan bahawa adanya ancaman liberalisasi dalam hal berkaitan dengan agama dan dalam hal ini termasuk juga moraliti masyarakat banyak diwarnai oleh agama Islam. Oleh itu kita tidak boleh menerima pendapat yang mengatakan biarlah individu menentukan sendiri apa yang baik dan apa yang buruk, masyarakat dan negara tidak perlu masuk campur. Walaupun ini adalah inti kebebasan berpendapat dan bersuara (freedom of _expression and opinion) ia tidak sepatutnya diikuti dengan membabi buta. Jalan yang lebih baik adalah dengan menilai terlebih dahulu segala nilai-nilai asing yang ingin diambil. Kalau kita semua menginginkan masyarakat yang sihat dan cemerlang maka kita perlu berfikir bagaimana ia dapat dihasilkan mengikut acuan kita sendiri dan tidak perlu berkiblat ke mana-mana. Yang jelas, Islam memberikan perhatian yang sama kepada individu, masyarakat dan negara. Kerana hanya dengan mendidik individu, mengatur masyarakat dan memandu negara maka akan muncul kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Sebaliknya jika individu rusak maka masyarakat akan rusak. Rusak akhlak rusaklah bangsa, baik akhlak majulah negara.

____________
Penulis boleh dihubungi melalui emel: muammar_km@yahoo.com