Gagalnya
Ikhwanul Muslimin
Mohamad Ridhwan Bin Alias
02:00pm
09 Jun 2005
Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Ismaliyya
oleh as Shahid Iman Hasan al Banna pada
tahun 1928 telah memberi sinar baru kepada
kebangkitan semula Islam setelah tumbangnya
kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki. Kemunculan
al Banna sebagai tokoh gerakan Islam banyak
memberi kelebihan kepada al-Ikhwan. Beliau
dikurniakan kefahaman yang jitu tentang
pelaksanaan Islam sebagai satu cara hidup
telah berjaya menyebar-luaskan pengaruh
amal Islami ke seluruh dunia Islam. Walaubagaimanapun
kebangkitan semula Islam kurang disenangi
oleh juak kuffar dan proksi mereka di
negara umat Islam. Akibatnya al Banna
sendiri telah dibunuh pada malam 12 Februari
1949.
Kematian al Banna memberi dampak negatif
kepada al-Ikhwan. Selama tiga tahun Ikhwan
ketiadaan pemimpin utama sehingga berlaku
perebutan kuasa di kalangan pimpinan al-Ikhwan.
Dalam tempoh tiga tahun ini, pentadbiran
al-Ikhwan diletakkan di bawah pengendalian
bersama oleh beberapa orang pimpinan al-Ikhwan
iaitu Abdul Rahman al Banna, Salah Ashmawi
dan Ahmad Hasan al Baquri. Pada bulan
Oktober 1951, majlis syura telah melantik
Hasan al Hudaybi, bekas hakim sebagai
Mursyidul Aam al-Ikhwan yang kedua.
Pelantikan al Hudaybi ditentang hebat
oleh pimpinan al-Ikhwan. Pengeseran ini
dikatakan berpunca daripada personaliti
al Hudaybi dimana beliau berasal dari
keluarga yang berada berbanding al Banna
dan beliau juga seorang bersifat lembut,
mempunyai hubungan baik dengan istana
dan bukanlah seorang orator dan pengasas
al-Ikhwan. Krisis mula memjadi barah apabila
majlis syura memecat Hasan al Baquri iaitu
pemimpin yang disebut-sebut sebagai calon
utama penganti Hasan al Banna sebagai
Mursyidul Aam al-Ikhwan kerana mengingkari
keputusan majlis syura agar berundur daripada
kabinet Mohamad Naquib, ketua kerajaan
revolusi.
Krisis kepimpinan al-Ikhwan bertambah
parah semasa pemilihan pucuk pimpinan
al-Ikhwan pada 8 Oktober 1953 dimana Hasan
al Hudaybi disahkan sebagai Mursyidul
Aam Ikhwanul Muslimin yang baru. Dalam
pemilihan ini kumpulan yang bertentangan
dengan al Hudaybi di bawah pimpinan Salah
Mustapha Ashmawi telah tersingkir daripada
majlis syura. Kumpulan ini bertindak merampas
ibupejabat al-Ikhwan dan memaksa al Hudaybi
meletakkan jawatan. Rampasan kuasa ini
berjaya ditumpaskan oleh al-Hudaybi. Akibat
perebutan pucuk pimpinan ini, beberapa
pemimpin utama al-Ikhwan seperti Salah
Ashmawi, Muhammad Ghazali, Sayyid Sabiq
dan Abdul Aziz Jalah dipecat pada 9 Disember
1953. Pemecatan ini mengoncangkan perpaduan
al-Ikhwan.
Sementara itu, pemerintah Mesir pimpinan
Abdul Nasser, seorang sosialis mula merencanakan
pembantaian terhadap al-Ikhwan pada tahun
1954 dengan mengharamkan al-Ikhwan pada
13 Januari 1954 ekoran pertempuran para
mahasiswa al Ikhwan dengan pendukung pemerintah
di Universiti al Azhar. Pada tahun 1954,
Abdul Nasser telah menjatuhkan hukuman
mati terhadap as shahid Abdul Qadir Audah,
Timbalan Mursyidul Aam al-Ikhwan dan ulama
al Azhar merangkap pejuang dalam perang
dengan Inggeris, Sheikh Muhammad Farghali.
Trajedi 1954 ini hampir meragut nyawa
Mursyidul Aam al-Ikhwan, Hasan Hudaybi
di tali gantung tetapi beliau diserang
penyakit jantung dan dijangka akan meninggal
dunia dalam masa beberapa jam. Abdul Nasser
telah mengeluarkan surat pengampunan agar
al Hudaybi mati di rumah bukannya di penjara
tetapi Allah Maha Bijaksana dengan mengagalkan
perencanaan jahat Nasser dengan melanjutkan
umur al Hudaybi.
Pembantaian selanjutnya dilakukan pada
tahun 1965. Sekelompok pimpinan al-Ikhwan
mula mrencanakan kebangkitan semula al-Ikhwan
secara sulit setelah diranapkan oleh Nasser.
Mursyidul Aam telah menyerahkan obor perjuangan
kepada pimpinan Syed Qutb Ibrahim dan
dibantu oleh Hajjah Zainab Ghazali al
Jabili, Ketua Umum Jamaah Muslimat dan
Abdul Fattah Ismail. Usaha ini mengalami
kesukaran kerana Syed Qutb terpaksa menyampai
arahan dari penjara dan ia bertambah sukar
apabila pergerakan pimpinan al-Ikhwan
ini telah dihidu oleh cawangan khas Mesir.
Akibatnya gerakan pemutihan dilakukan
dengan menangkap sebahagian besar pengikut
al-Ikhwan. Ramai tokoh al-Ikhwan dihukum
jantung termasuklah Syed Qutb dan Abdul
Fattah Ismail manakala Hajjah Zainab dihukum
penjara seumur hidup.
Secara ringkasnya, kita telah menyelusuri
krisis dan cabaran yang dialami oleh Ikhwanul
Muslimin setelah kematian al Banna. Sekarang
penulis mengoreksi kegagalan kepimpinan
al Ikhwan dengan membuat perbandingan
antara kelemahan gerakan Islam di Malaysia.
Kepimpinan intitusional
Kehebatan al Banna sendiri merupakan
kelemahan Ikhwanul Muslimin. Al Banna
bertanggungjawab menjadikan kepimpinan
al Ikhwan lebih bersifat personal berbanding
institusional. Akibatnya, selepas kematian
beliau al-Ikhwan bagaikan kehilangan arah.
Bayangkan selama 3 tahun al Ikhwan tiada
kepimpinan utama sehingga menyebabkan
organisasi al-Ikhwan tiada pengarahan
pusat yang berwibawa.
Kita tidak menafikan kepentingan kewujudan
figure gerakan Islam yang menjadi suri
tauladan dan pembimbing kepada gerakan
Islam. Walau bagaimanapun fungsi kepimpinan
institusi gerakan Islam perlulah paling
diutamakan. Kepimpinan institusi harus
berteraskan musyawarah dan bersifat multidisiplin
keilmuan agar gagasan bersama institusi
dapat dijayakan. Pengantungan berlebihan
kepada kepimpinan personal akan melemahkan
proses pengkaderan gerakan Islam. Perkara
ini telah terbukti dalam gerakan Islam
seperti ABIM dan PAS. Kemasukkan Anwar
Ibrahim ke dalam UMNO telah menyebabkan
perpecahan kepada ABIM manakala kematian
tokoh dalam PAS bakal melemahkan kekuatan
pimpinan pelapis PAS pada masa depan.
Selama ini PAS terlalu bergantung kepada
kekuatan kepimpinan personal yang dimiliki
oleh pimpinannya yang tiga serangkai iaitu
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru
Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Fadzil
Mohd Nor. Ketiadaan penganti figure yang
berwibawa menyebabkan gerakan Islam kehilangan
sinergi untuk mengembleng kekuatan masyarakat
massa. Oleh itu, kekuatan institusi perlu
diberikan suntikan dengan menampilkan
ramai tokoh-tokoh yang berautoriti dan
dihormati daripada bergantung harap kepada
kekuatan personal pemimpin.
Konsep kepimpinan ulama sendiri memerlukan
satu proses regenerasi agar ia difahami
oleh generasi muda. Selama ini pendukung
gerakan Islam terutamanya PAS selalu menyempitkan
pemikiran bahawa seorang pemimpin seharusnya
seorang ulama. Pendukung gerakan Islam
perlulah memahami seseorang pemimpin tidak
semestinya seorang ulama tetapi berjiwa
ulama yang faham dan mengamal agama berdasarkan
al Quran dan hadis secara syumul dan murni.
Pemimpin profesional seperti Husam Musa,
Takiyuddin Hasan, Syed Azman Syed Ahmad
Nawawi dan Saari Sungib boleh diangkat
menjadi pemimpin utama gerakan Islam dengan
dinaungi oleh institusi kepimpinan ulama.
Perebutan kuasa
Perebutan kuasa merupakan suatu kebiasaan
bagi sesuatu organisasi. Kita tidak dapat
menghalanginya tetapi dapat meminimakan
kewujudannya. Dalam kes al Ikhwan, perebutan
kuasa hanya berkaitan permasalahan pendekatan
dan bersifat peribadi. Para pimpinan al-Ikhwan
masih taat kepada baiah Ikhwanul Muslimin
dan menghormati antara satu sama lain.
Lihatlah hubungan mesra al Hudaybi, Yusuf
Qaradhawi dan Sayyid Qutb dengan Muhammad
al Ghazali dan Sayyid Sabiq. Mereka cuba
bersama dengan perkara yang mereka sepakati
dan berpendirian tersendiri dan bersikap
hormat-menghormati dengan perkara yang
bertentangan. Perkara ini juga turut dialami
oleh Zainab al Ghazali al Jabili dengan
Iman Hasan al Banna. Zainab berulangkali
menolak kemasukkan Jemaah Muslimat ke
dalam bahagian Muslimat al-Ikhwan tetapi
Zainab tetap menghormati al Banna dengan
melayani permintaan al Banna untuk berpidato
dalam perhimpunan al-Ikhwan.
Dalam gerakan Islam di Malaysia, krisis
paling teruk berlaku pada awal 1980an
sewaktu Anwar Ibrahim memasuki UMNO dan
kejatuhan kepimpinan Asri Muda dalam PAS.
Kedua-dua krisis kelihatan parah kerana
ia melibatkan kumpulan beridealis yang
berbeza. Krisis dalam ABIM melibatkan
pihak yang pro Anwar Ibrahim yang beraliran
nasionalisme-Islami dengan golongan anti
kemasukkan Anwar ke dalam UMNO yang masih
mematuhi janji ABIM kepada Bapak Natsir
agar tokoh-tokoh ABIM membantu PAS dan
menolak nasionalisme. Krisis idealis dalam
PAS pula dikaitankan dengan kumpulan pro
Asri yang beraliran nasionalisme-Islami
dengan kumpulan muda pro ulama yang didominasi
oleh tokoh-tokoh ABIM. Kedua-dua krisis
ini membawa dampak yang besar kepada suasana
gerakan Islam di Malaysia sehingga sekarang.
Menangani perubahan
Gerakan Islam di Malaysia bernasib baik
kerana realiti politik golongan sekular-nasionalis
di negara ini tidak seganas di Mesir.
Kita hanya bertentangan dalam permasalahan
idealis bukannya secara fizikal. Bagi
mengatasi perencanaan musuh, satu tindakan
bijaksana harus dirangka dan digagaskan.
Kepimpinan gerakan Islam perlu membersihkan
diri daripada gejala politik dendam dan
berusaha menanam kehidupan politik dakwah
yang berakhlak mulia di kalangan pendukung
gerakan Islam.
Peningkatan pendidikan sejak awal 1980an
menyebabkan kesedaran Islam kembali segar
walaupun rakyat tidak mendukung sepenuhnya
kesyumulan Islam. Orientasi dakwah perlulah
bercitrakan persaudaraan Islam iaitu berbaik
sangka dan saling maaf memaafkan. Kritikan
haruslah ditangani dengan beradab seboleh-bolehnya
hanya mengkritik polisi institusi dan
sifat umum manusia bukannya sifat peribadi
selagi tidak terpaksa. Iman Hasan al Banna
sendiri pernah menasihati Muhammad al
Ghazali apabila ditanya kenapa kita tidak
membenci si polan tertentu. Jawab al Banna‘
jangan sekali-kali ada unsur negatif di
hatimu terhadap seseorang. Anda membenci
perbuatannya tetapi jangan berhenti dari
mengharapkan petunjuk buatnya’.
Inilah nasihat seorang daie yang hebat
hati nuraninya kepada pengikutnya. Justeru,
kepimpinan Islam haruslah bersedia berbincang
bersama-sama dengan pihak bertentangan
dengan menjalinkan persefahaman.
Pemimpin yang berpendirian keras tidak
akan mendapat tempat dalam suasana politik
masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.
Gerakan Islam haruslah menonjolkan sifat
hikmah dalam menjalankan pelan tindakan
secara bertahap-tahap agar perubahan yang
dilakukan tidak menerima bantahan. Contohnya,
proses penubuhan negara Islam dan pelaksanaan
hukum hudud perlu dimulai dengan pendidikan
dan penerangan. Hajjah Zainab telah melaksanakan
satu program pendidikan selama 13 tahun
di Mesir bagi melaksanakan negara Islam
dan hukum Allah. Selepas itu dilakukan
survey, jika jumlah kelompok beriman kepada
ajaran Islam kurang 25% maka masa belajar
dan pendidikan akan dilanjutkan selama
13 tahun lagi. Begitulah seterusnya sehingga
jumlah tersebut meningkat menjadi 75%.
Barulah negara Islam dan hukum hudud dilaksanakan
pada saat itu juga.
Keterbukaan kepimpinan
Kepimpinan gerakan Islam perlu mempunyai
kebolehan menerima gagasan-gagasan bersifat
kontemporari dan diadunkan dengan hikmah-hikmah
dari al Quran dan hadis. Al Banna mempunyai
kefahaman yang jitu dengan menapis dan
menyerap nilai-nilai murni daripada gagasan
atau idealis Barat. Konsep nasionalisme
sebagai contoh diasimilasikan dengan konsep
nasionalisme ummatik dan nasionalisme
keagungan [Siddiq Fadzil]. Kebolehan menganalisis
gagasan ini membolehkan para pimpinan
gerakan Islam terus mara menerobos tembok-tembok
intelektual yang cukup mencabar pada masa
kini. Tembok-tembok intelektual yang bersifat
humanisme dan pro-material telah melingkari
masyarakat massa merupakan satu cabaran
hebat bagi pemimpin Islam untuk meruntuhnya
dengan aspirasi Islam. Pendekatan kepimpinan
mestilah menyediakan alternatif Islam
bukannya bersifat destruktif. Dengan itu
Islam akan dianggap sesuai sepanjang zaman.
Kesimpulan
Kegagalan kepimpinan Ikhwanul Muslimin
merupakan satu pengajaran kepada gerakan
Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Kegagalan ini bukanlah kelemahan hakiki
bagi gerakan Islam tetapi berorientasi
proses pendewasaan bagi gerakan Islam
dan Ikhwanul Muslimin sendiri. Bagi gerakan
Islam di Malaysia, sejarah perjuangan
Ikhwanul Muslimin harus diamat-amati dan
dihadami dengan penuh ketelitian.
Referensi