Apakah
Islam Hadhari itu Islam Liberal?
Maszlee Malik
10:30am 25 Jun 2005
Pada seminar “Bahaya” Islam
Liberal anjuran bersama DBP, Karangkraf,
majalah i dan juga majalah Nur salah seorang
ahli panel sessi forum telah ditanyakan
dengan soalan yang dinanti-nantikan oleh
ramai peserta seminar itu. “Adakah
Islam Hadhari itu Islam Liberal?, ramai
yang ternanti-nantikan soalan tersebut
walaupun kebanyakan daripada mereka telah
pun ada di dalam kotak pemikiran masing-masing
jawapan mereka sendiri. Yakinlah, walau
apapun yang dikemukakan ahli panel pada
hari tersebut, ramai peserta yang telah
pun mempunyai teori mereka yang tersendiri
berkaitan hubungkait “Islam Liberal-Islam
Hadhari”. Mengapa?, tidak lain tidak
bukan persepsi yang berdasarkan fahaman
politik masing-masinglah yang mencorakkannya.
Bagi mereka yang bersikap “tidak
mesra” kepada Islam Hadhari yang
dipromosikan oleh Pak Lah sebaik sahaja
beliau menjawat jawatan Perdana Menteri,
sudah tentu Islam Hadhari dan Islam Liberal
itu adalah dua benda yang sama tetapi
berlainan jenama. Bak kata pepatah Inggeris
“coin with two faces”, samada
bunga atau kepala, kedua-duanya mempunyai
nilai yang sama. Jika sepuluh sen nilainya,
maka di muka mana pun ia ditunjukkan,
nilainya tetap sepuluh sen juga. Mungkin
tuduhan ataupun teori mereka nampak agak
“bias” dan berbau sentimen,
namun ianya agak berasas. Mengapa?, realiti
menunjukkan demikian. Lihatlah kepada
bermaharajalelanya individu-individu dan
juga kumpulan-kumpulan yang membawa fahaman
“Islam Liberal” sebaik sahaja
Pak Lah menjadi PM samada di media-media
cetak mahupun di dalam mempengaruhi sesetengah
daripada keputusan-keputusan parlimen.
Antaranya ialah dasar meng“haram”kan
poligami yang dilancarkan oleh Sisters
in Islam (SIS). Ianya merupakan “test
water” pertama oleh kumpulan yang
memang dikenali ramai sebagai promoter
fahaman feminisme bersadurkan Islam. Lihat
juga kepada bermaharajalelanya tulisan-tulisan
yang membawa doktrin “faham Liberal”
di dalam media-media cetak arus perdana
milik kerajaan, terutamanya yang berbahasa
Inggeris. Itu semua mula naik bagaikan
cendawan selepas hujan selari dengan pelancaran
“Islam Hadhari”. Marina Mahathir
dengan “Musings”nya di akhbar
The Star, SIS, Farish Noor, Karim Raslan
dan nama-nama lain menjadi jaguh di dalam
akhbar-akhbar berbahasa Inggeris untuk
mengkritik dan menghentam pengamalan Islam
yang sebenar di kalangan rakyat Malaysia.
Penulis-penulis murahan yang mempromosikan
faham Liberal Islam ini juga didapati
menjadi jaguh-jaguh parti pemerintah di
akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga diberikan
layanan yang amat istimewa. Sebagai contohnya
penulis warga asing yang amat dikenali
dengan kecenderungannya terhadap pendekatan
faham Liberal Jamal al-Banna yang berasal
dari negara jiran, Astora Jabat. Bukan
sekadar beliau menikmati tempat yang selesa
untuk menulis tentang faham liberalnya
di ruangan khas beliau setiap hari Ahad
di Utusan Minggu, malah Majalah al-Islam
yang suatu waktu dahulu menjadi minatan
majoriti umat Islam arus perdana di Malaysia
juga telah diserahkan kepadanya.
Teori golongan yang menyamakan Islam
Hadhari dengan Islam Liberal juga nampak
berasas apabila realiti hiburan yang terlampau-lampau
menjadi satu “trend” di Malaysia.
Bukan sekadar itu sahaja, konsert “Force
of Nature” yang dianjurkan bersama
oleh Scomi milik anak Pak Lah, Nori Abdullah
menjadi ahli SIS, kenyataan-kenyataan
dari para pimpinan UMNO dan kerajaan di
dalam membela Jeslina Hashim lewat penangkapannya
oleh pegawai-pegawai penguatkuasa JAWI,
bantahan terhadap penguatkuasaan undang-undang
kawalan moral dengan disokong oleh beberapa
tokoh-tokoh UMNO, termasuk menantu Pak
Lah sendiri, Khairy, konsert Inul, pemberian
percuma kondom dan jarum bagi penagih
dadah tanpa mengambil kira pendapat tokoh-tokoh
agama dan juga orang ramai, dan lain-lain
lagi, seolah-olah mengiyakan teori yang
pertama ini. Islam Hadhari adalah Islam
Liberal. Adakah benar teori ini?, ianya
perlu dilihat dengan teliti sebelum apa-apa
implikasi yang timbul dari keputusan yang
terlalu gopoh di dalam melabelkan sesuatu
bukan dengan label yang sepatutnya.
Di sudut yang lain pula, wujud pula golongan
yang benar-benar ingin melekatkan faham
Liberal kepada Islam Hadhari. Tujuan mereka
tidak lain dan tidak bukan agar faham
Liberal yang mereka anuti itu boleh mendapat
“baptis” dari Islam Hadhari
dan kemudiannya akan diberkati dan diredhai
oleh kerajaan yang berkuasa. Mereka-mereka
ini merupakan sesetengah kelompok dari
promoter faham liberal itu sendiri. Perlu
diingat di sini, faham “Islam Liberal”
di Malaysia bukanlah satu kumpulan yang
khusus yang berpegang kepada ide-ide atau
doktrin-doktrin tertentu sepertimana gerakan-gerakan
Islam yang wujud. Jika di Indonesia mungkin
mereka mempunyai jamaah mereka yang khusus
yang dinamakan sebagai Jaringan Islam
Liberal (JIL), di Malaysia ianya tidak
berlaku sedemikian rupa, atau mungkin
belum berlaku lagi dalam corak yang sedemikian.
Di Malaysia istilah “Islam Liberal”
lebih merupakan satu “trend”
pemikiran yang dianuti oleh pelbagai individu
dan kumpulan dengan objektif masing-masing.
Ada yang berakidahkan “feminisme”,
ada yang berakidahkan “Anti-Sunnah”,
ada yang berakidahkan “Gruchoisme”,
ada yang berakidahkan “kebebasan
berfikir”, ada yang berakidahkan
“Human Rights”, ada yang berakidahkan
“Orwellianisme”, ada yang
berakidahkan “Illuminati @ Tanwiri”
ala protestanisme Eropah, ada yang semata-mata
ditugaskan untuk menjilat penguasa dan
bermacam-macam lagi aliran pemikiran.
Yang menyatukan mereka adalah keimanan
mereka kepada kebebasan untuk berfikir
menjangkaui sempadan “aqidah”
yang dianuti golongan Islam tulen, kerelatifan
kebenaran yang membuahkan kepada kebenaran
agama-agama lain, menentang segala yang
tradisional dan juga seruan mereka untuk
menghapuskan “ekslusifme”
bagi usaha ijtihad dan pentafsiran al-Quran.
Mereka juga disatukan dengan corak pemikiran
dan gaya penulisan mereka yang anti-Islam
arus perdana dan sering kali bersifat
“melawan arus”, hatta yang
dilawan itu adalah perkara-perkara yang
telah “qat’i” (tetap
dan tidak berubah) di dalam agama, seumpama
isu kebenaran Islam, pengharaman zina,
kewajipan menutup aurat, kehalalan poligami
dan bermacam-macam lagi. Mereka juga bukan
hanya wujuddi dalam jasad kerajaan dan
badan-daban yang menyokong kerajaan, malah
golongan Islam Liberal ini ada di antara
mereka yang bersifat “anti-establishment”
dan berada di dalam kem pembangkang.
Yang pasti, segelintir (dan bukan semuanya)
dari pendokong Islam Liberal ini , terutamanya
yang berada di dalam kem penyokong kerajaan
beriya-iya menyokong Islam Hadhari dan
berusaha pula melekatkan faham Liberal
itu pada Islam Hadhari. Sebarang usaha
untuk menyamakan Islam Liberal dengan
Islam Hadhari akan memberikan kredit kepada
golongan yang kedua ini. Bagi mereka,
jika Islam Hadhari itu dapat ditafsirkan
sebagai Islam Liberal, maka lebih mudahkan
jarum mereka dimasukkan ke dalam dasar-dasar,
keputusan-keputusan dan juga polisi-polisi
kerajaan. Bak kata pepatah “Pucuk
dicita ulam mendatang”.
Di sudut yang ketiga pula, wujud golongan
yang begitu ingin memisahkan Islam Hadhari
dari Islam Liberal. Mereka ini adalah
golongan agamawan di dalam UMNO dan jentera-jentera
pemerintah. Tanyalah kepada Dato’
Nakhaie, Dato Dr. Abdullah Mohd Zin, Dato
Firdaus, Dato Dr Mashitah, Dato’
Dr. Ismail Ibrahim, Dato’ Brigeder
Jeneral Abdul Hamid Zainal Abidin, para
mufti dan lain-lain ulama di JAKIM dan
juga UMNO, pasti sekali-kali mereka tidak
akan redha dengan pelabelan Islam Liberal
kepada Islam Hadhari yang mereka perjuangkan
itu. Jika dilihat pada sepuluh (10) dasar
Islam Hadhari yang mereka promosikan itu
pun samasekali tidak berbau Islam Liberal.
Lihat sahajalah ucapan Dato’ Dr.
Abdullah Mohd. Zin yang dibacakan oleh
wakil beliau sewaktu pelancaran “Seminar
Wacana (Bahaya) Islam Liberal” anjuran
DBP itu. Dr. Abdullah dengan berani dan
lantangnya mengatakan bahawa faham Liberal
Islam adalah fahaman yang sesat dan tersimpang
dari ajaran Islam yang sebenarnya. Sayangnya
golongan tidak mempunyai pengaruh yang
kuat di dalam kerajaan, malah di dalam
UMNO sendiri. “Women’s Power”
SIS serta sekutu mereka di dalam Puteri
UMNO dan Wanita UMNO dan juga pengaruh
golongan muda yang pro-Islam Liberal lebih
tajam taringnya. Jelas dapat dilihat,
hatta oleh mereka yang tidak pandai menganalisa
politik pun, tekanan terhadap JAWI, JAKIM
dan institusi fatwa dan ulama oleh mereka
yang berpengaruh di dalam kerajaan, menunjukkan
bahawa golongan yang sepatutnya menjadi
jaguh di dalam mempromosikan “Islam
Hadhari yang sebenar” ini telah
kehilangan taringnya. Mereka hanya digunakan
untuk melawan parti pembangkang yang membawa
agenda “Islam” sebagai modal
politik sahaja, lebih daripada itu, mereka
tidak diberikan sengatnya.
Ini sesuatu yang sepatutnya disedari
oleh golongan ini, terutamanya Jabatan
Hal Ehwal Khas di Kementerian Penerangan
yang bertanggung jawab mempromosikan Islam
Hadhari kepada rakyat umum. Janganlah
samapi jutaan ringgit yang disalurkan
kepada mereka untuk mempromosikan “Islam
Hadhari yang sebenar” akhirnya dikotori
oleh tangan-tangan golongan “Islam
Liberal” yang tidak bertanggung
jawab. Mereka perlu ingat, musuh mereka
bukan lagi parti lawan yang disangkakan
ancaman, musuh mereka adalah golongan
pejuang faham Liberal di sekeliling mereka
sendiri. Usaha bersepadu dan intensif
golongan agamawan dari kem kerajaan yang
memperjuangkan Islam Hadhari yang sebenar
untuk menjelaskan tentang BAHAYA Islam
Liberal, kesesatan mereka, dan juga tiadanya
hubungkait di antara Islam Liberal dengan
Islam Hadhari adalah satu kewajipan yang
perlu mereka lakukan. Jika mereka tidak
melakukan sesuatu dan hanya bersifat pasif
di dalam usaha menangkis kemaraan pengaruh
Islam Liberal di dalam kerajaan hanya
akan memberikan kemenangan kepada golongan
yang mempromosikan Islam Liberal. Senyapnya
mereka, lembapnya mereka dan lambatnya
mereka di dalam menyaingi arus Islam Liberal
di dalam kem kerajaan hanya akan membukakan
seluas-luasnya ruang kepada para pejuang
Islam Liberal untuk menerapkan fahaman
mereka di dalam kerajaan dan merosakkan
projek Islam Hadhari yang diperjuangkan
oleh golongan agamawan kem kerajaan. Perlu
mereka ingat juga, golongan promoter Islam
Liberal amat anti golongan agamawan dan
juga dominasasi mereka terhadap tafsiran
agama. Bagi golongan Islam Libaral, golongan
agamawan merupakan autoritarian yang membawa
kelembapan dan kemunduran umat serta sering
bersifat “gender-bias”. Golongan
promoter Islam Liberal juga akan terus
memastikan golongan agamawan tidak akan
mempunyai pengaruh langsung di dalam kem
kerajaan dan akan terus dipinggirkan.
Amat besar cabaran kumpulan agamawan kem
kerajaan dan getir pula keadaan mereka!
Kesimpulannya, bagi mereka yang tidak
begitu “mesra” dengan projek
Islam Hadhari anjuran Pak Lah, Islam Liberal
adalah Islam Hadhari, dan mentaliti ini
amat sukar diubah. Lebih-lebih lagi apabila
realiti yang berlaku banyak menyokong
hipotesis mereka yang telah pun menjadi
teori. Walau bagaimanapun, teori mereka
ini perlulah dinilai semula, kerana hakikat
“Islam Liberal” yang ingin
dipromosikan oleh kerajaan dibawah pimpinan
Pak Lah bukanlah 100% bercorak faham Liberal.
Ditakuti teori yang salah akan membawa
implikasi yang salah di belakang hari.
Bagi sesetengah golongan berfahaman Islam
Liberal pula, mereka begitu bernafsu untuk
melekatkan diri mereka kepada projek Islam
Hadhari anjuran kerajaan demi kelangsungan
ideologi faham Liberal yang mereka anuti
itu. Mereka tidak jemu berjuang, dan mereka
amat berpengaruh. Bagi mereka, Islam Hadhari
sepatutnya dicorakkan oleh faham Islam
Liberal. Mereka inilah ancaman projek
“Islam Hadhari” sebenar anjuran
kerajaan Pak Lah. Golongan ketiga pula
adalah golongan pejuang Islam Hadhari
sebenar yang bersikap anti-Islam Liberal,
tetapi mereka ini lemah. Bagi mereka Islam
Hadhari bukanlah Islam Liberal, dan Islam
Liberal merupakan satu fahaman sesat yang
tiada kaitan dengan ajaran Islam. Golongan
ini terlalu lemah dan dikhuatiri akan
ditenggelami oleh arus Liberal yang lebih
dominan di keliling mereka. Jika mereka
ingin mengubah keadaan, satu anjakan paradigma
perlulah mereka lakukan sebelum segalanya
terlambat sepertimana lagu nyanyian Shidee
di tahun 80’an dahulu “Sayang
Semuanya Sudah Terlambat...”
Nota: Maszlee Malik
merupakan pensyarah di Universiti Antarbangsa
Malaysia yang juga merupakan kolumnis
Majalah i, Milenia Muslim, laman Malaysiakini
dan kontributor eramuslim.com di Malaysia.