Antara Islam Amerika dan Islam Taliban

Mohamad Ridhwan Bin Alias
10:30am 25 Jun 2005

Sekarang menjadi satu trend agar agama Islam perlu lebih liberal dan progresif. Akal digunakan tanpa batasan. Saya tertarik dengan pendapat seorang peserta idea liberal dan progresif di dalam majalah al Islam. Peserta ini menyatakan ulama selalu memetik hujah al Quran sebagai landasan hukum. Contoh bab bertudung, beliau menyatakan aktivis dakwah dan ulama cenderung berpegang kepada ayat hukum sahaja dalam mengupas isu semasa tanpa merujuk idea atau fahaman lain. Secara konklusi, beliau mahu perubahan dalam pemikiran ulama secara yang diingini oleh beliau agar ulama lebih berakal dan bermain dengan falsafah.

Pertama, kita harus lebih mengenali dan memahami Islam. Menganut Islam bermakna kita menyerah diri kepada agama Islam. Kita menjadi hamba agama Islam. Dalam solat kita, kita selalu menyatakan kita menyerah wajah kita kepada Allah SWT. Dalam doa iftitah kita selalu membaca ‘aku hadapkan mukaku kepada Allah yang menjadikan langit dan bumi patuh dan berserah diri dan bukanlah aku dari golongan musyrikin....’. Penyerahan wajah, sesuatu yang kita sayangi, dijaga dan dibelai kepada Allah menandakan kerdilnya kita yang wajib menyerah kehidupan kita [wajah cukup disayangi oleh manusia, tanpa wajah orang tidak dapat mengenali diri seseorang] kepada yang Maha Esa. Apabila kita menganut Islam, kita tidak harus mempersoalkan kemutlakan arahan Allah yang dicerminkan melalui ajaran Al Quran dan Hadis. Jika kita bekerja di sebuah syarikat milik si A, bos kita si A selalu datang lewat. Adalah tolol jika mempersoalkan kenapa bos datang lewat. Sepatutnya bos A yang mempersoalkan si pekerja. Kenapa engkau wahai manusia tidak taat dan melakukan hukum Aku (Allah)?.

Hukum Allah yang bersifat mutlak tidak perlu dipersoalkan. Kenapa lelaki dibenarkan menjadi iman Jumaat, berpoligami dan mendapat lebih bahagian dalam pembahagian harta pusaka. Ini kebijaksanaan Allah SWT. Sepatutnya kita bertanya kepada diri sendiri sejauhmana aku melakukan perintah Allah. Kita sebagai manusia beriman perlu taat dan ‘menurut perintah’ Allah tanpa menghirau suara sumbang orang kafir dan munafik. Amalan ini untuk diri kita bukan orang lain. Amalan ajaran Islam dalam gaya hidup kita membuktikan tahap ketaqwaan seseorang insan.

Golongan seperti penulis tersebut mabuk dalam dunia falsafah yang bertunjangkan akal itu. Golongan penulis dan pemikir Islam seperti ini digelar jalur Islam Amerika. Aliran Islam Amerika ialah Islam berbentuk ilmiah tetapi tidak sampai kepada pelaksanaan hukum. Islam di depan komputer, berteori dan ditulis pada kepingan kertas bisu. Dan mereka ini bukan Islam tulen tetapi lebih kepada pengamalan Islam secara selektif dan bertema. Istilah lebih tepat lagi ‘mulut manis, jubur masam’ dan ‘besar tahi daripada dubur’. Penulisan dan bicara ilmiah mereka sungguh memukau dengan kekinian, kecanggihan dan integrasi antara tamadun tetapi mereka sesat dalam kecerahan. Mereka ini gagal dari segi pengamalan Islam yang murni.

Kebebalan golongan peserta idea progresif dan liberal ini kerana mereka beranggapan sejarah negara ini umpama sejarah Eropah zaman pertengahan. Mereka mengagungkan Revolusi Perancis dan zaman kecerahan di Eropah yang membawa kepada kebangunan falsafah dan kejatuhan teokrasi. Ini impian bebal mereka. Mereka harus faham evolusi sejarah negara kita cukup berbeda. Teras sejarah kita adalah Melayu-Islam bukan teokrasi Kristian [teokrasi dan konsep ad-din adalah berbeda] yang ekstrem itu. Jangan kita membohong diri dengan mengautkan idea Barat yang dikatakan hebat itu.

Idea Islam Taliban cukup menggugat kekuatan ummat Islam pada hari ini. Islam Taliban ialah tauladan yang memudahkan Barat menghancurkan ummat Islam terutamanya gerakan Islam. Kenapa Barat (Kristian-Yahudi) ingin melihat kehancuran gerakan Islam?. Gerakan Islam adalah wadah menggugat kedaulatan kuasa besar Barat. Status negara umat Islam dan gerakan Islam ala Tabligh tidak membimbangkan Barat. Paling ditakuti adalah wahana politik Islam yang membina kedaulatan Islam yang memerintah melalui khalifah secara alami. Kekuatan dan pengaruh Hizbullah, Ikhwanul Muslimin, HAMAS dan Hizbut Tahrir membuatkan kaki kuasa besar tergoyang. Inilah yang berjaya mengerunkan kuasa Barat dan balaci anak watan mereka di negara umat Islam.

Idea Islam Taliban dipelopori oleh golongan yang mahukan kemenangan secara tergesa-gesa tanpa pemeringkatan strategi. Kemenangan Islam adalah kemenangan bertahap seperti tahap pertama Rasulullah di Mekah dan kedua di Madinah. Ketergesaan akan membuatkan umat Islam rugi dan musuh akan mengalahkan Islam dengan mudah. Golongan yang kedua adalah ejen musuh dalam perjuangan Islam. Watak seperti Osama Laden yang tercipta oleh Barat cukup merbahayakan umat Islam. Mereka ini boleh dipersoalkan pengamalan Islam mereka kerana mereka pernah menjadi balaci Barat dan berkemungkinan ditugaskan menghancurkan Islam dari dalam bagi merealisasikan fasa terakhir penguasaan Kristian-Yahudi untuk menghancurkan Islam dan menguasai dunia.

Kembali kepada al Quran dan hadis tanpa mempersoalkannya. Itulah penyelesaian kepada berbilang aliran. Al Quran adalah hakim kepada permasalahan umat. Jangan kita hanyut dalam lautan fantasia akal dan ilmu yang dalam dan tidak kesudahan itu, nanti kita akan lemas, berakal dan berilmu tanpa amalan. Al Quran adalah batasan dan bersifat muktamad. Ikutlah apa yang diputuskan oleh al Quran, hadis dan ulama muktabar yang cemerlang dan terbilang ibadat, akhlak dan ilmunya. Marilah kita memulakan tugas paling besar iaitu melukis manusia Quranik dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan alami tanpa membuang masa berdebat yang tiada kesudahannya. Bebaslah manusia Islam dari pemikiran, faham, sikap dan perilaku mempersekutukan Allah (syirik).