Aktivisma
mahasiswa: Antara dilema dan idealisma
Amin Idris
02:30pm 04 Julai 2005
Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan
di dalam bukunya ‘Nasr Jail al-Mansyud’
bahawa generasi muda perlulah mempunyai
ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti
dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina
masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh
keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya
dan bukan melalui keturunan atau suasana,
berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan
dan rasa ‘izzah serta bersifat fleksibel
dan sederhana. Beliau juga di dalam kitabnya,
‘Kritikan dan Saranan untuk Para
Da’ie’ iaitu berpandangan
jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang
disenangi umum, berfikiran strategik,
berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai
ketahanan diri yang tinggi.
Isu remaja aktif berpolitik atau lebih
khusus kepada mahasiswai hangat diperkatakan
oleh banyak pihak. Ramai yang berpendapat
mahasiswa dan mahasiswi Malaysia sepatutnya
menumpukan perhatian terhadap pelajaran,
bukan aktiviti berpolitik. Namun, ramai
juga yang menyokong penglibatan pelajar
IPTA tempatan dalam politik tanahair;
suatu petanda positif ke arah menghasilkan
barisan pelajar yang kritis dan prihatin.
Kemampuan mereka menggegarkan dunia politik
tanahair telah lama terbukti apabila Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
1971 dimaktubkan di dalam perlembagaan
negara.
Perjuangan menentang kezaliman politik
negara telah menjadi agenda utama kebangkitan
"Anti-Establishment" di kalangan
mahasiswa tempatan; satu fenomena yang
telah mula menjadi norma masyarakat Malaysia
semenjak tahun 70-an lagi. Antara isu
lain yang turut didebatkan oleh golongan
aktivis mahasiswa adalah kepincangan institusi
mahkamah negara. Sistem keadilan negara
hangat dikecam semasa skandal Anwar Ibrahim
yang telah mencetuskan gerakan Reformasi
dan akan kekal dalam sejarah sebagai salah
sebuah milestone dunia politik tanahair.
Persoalannya, mampukah golongan mahasiswa
tanahair hari ini bertindak cemerlang
untuk memperbetulkan kesalahan keputusan
pengadilan mahkamah negara?
Dunia Siber Menjadi Alternatif
Dahulu, aktivisme politik mahasiswa negara
berorientasikan perjuangan fizikal yang
memerlukan usaha gigih berkempen dan berdemonstrasi.
Tunjuk perasaan umum diadakan secara meluas
dan disertai oleh ribuan pelajar IPTA
tempatan. Perubahan method aktivisme ini
jelas terpancar selepas termaktubnya AUKU
pada tahun 1971. Mahasiswa kini lebih
cenderung ke arah meluahkan perasaan mereka
menerusi tulisan yang dipaparkan menerusi
media cetak. Namun, evolusi dunia ke arah
masyarakat global yang celik siber telah
menjana kebangkitan aktivisme politik
di Internet. Pelbagai laman web dapat
dilayari sebagai bukti evolusi teknik
aktivisme politik negara. Antara lain
adalah seperti Kampus Negara.com, Pkpim.net,
Idealis-Mahasiswa.net dan sebangainya.
Persoalan bentuk pemikiran dan di manakah
kecenderungan politik mereka adalah perkara
kedua lain. Fokusnya ialah wujud pelbagai
laman web yang menjadi wadah ekspresi
idea bagi siswa-siswi.
Oleh kerana AUKU mengenakan pelbagai
larangan dan sekatan ke atas mahasiswa
dan mahasiswi negara, perubahan method
aktivisme ini seolah-olah tidak dapat
dihindarkan. Apa yang mengagumkan adalah
kehebatan mahasiswa negara menyampaikan
pendapat politik mereka menerusi tulisan-tulisan
penuh semangat dan berfakta melalui laman-laman
web ini. Perkembangan mentaliti aktivis-aktivis
muda ini jelas terpancar apabila aktivisme
politik tanahair mula mempamerkan konsep
perjuangan intelek, sesuai dengan citarasa
maysrakat kontemporari Malaysia.
Keadilan dan mahkamah
Sudah banyak kes-kes mahkamah negara
yang diragui kesahihan dan ketelusan pengadilannya
di Malaysia ini. Bermula dari kes pemecatan
Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas hinggalah
kes bekas Timbalan Perdana Menteri kita
Dato Seri Anwar Ibrahim, telah terdapat
banyak kes pengadilan yang menimbulkan
keraguan terhadap sistem mahkamah negara.
Ini masih belum disertai oleh ratusan
malah mungkin ribuan individu yang mejadi
mangsa ketidakadilan sistem "pengadilan"
negara. Hal ini turut berkait rapat dengan
skandal keganasan polis yang didakwa sebagai
dalang di sebalik kenyataan-kenyataan
palsu oleh saksi-saksi boneka. Masalah
ini bukannya unik untuk Malaysia, malah
turut menjadi kontroversi sosial di negara-negara
asing yang kononnya "pemelihara kebebasan"
dan "pelindung keadilan" contohnya
Amerika Syarikat (AS) sendiri. Namun,
bukan semua kes-kes ini merupakan mangsa-mangsa
korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Di AS
pun terdapat beberapa kes-kes jenayah
berat yang disabitkan kerana kemantapan
hujah-hujah pendakwaraya dan kekurangan
bukti yang menyokong defenden.
Apakah mampu kita menyiasat kembali kes-kes
ini dan seterusnya boleh membuktikan bahawa
defenden itu sebenarnya tidak bersalah?
Adakah logik dan mampu bagi pelajar-pelajar
universiti menjayakan usaha yang sebegitu
sukar?
Mahasiswa; Budaya Mengkaji dan
Menyiasat
Hakikatnya, kes-kes yang menjadi kontroversi
nasional berhak disiasat kembali dengan
menggunakan teknologi sisatan moden khususnya
dalam bidang forensik. Kemampuan mahasiswa
Malaysia untuk melaksanakan tugas bermagnitud
sebegini tinggi tidak perlu diragui. IPTA
tempatan telah banyak menghasilkan graduan
yang berkaliber dalam jurusan undang-undang
dan kewartawanan. Di AS, sebuah universiti
di Evanston, Illinois berhak menjadi role-model
terbaik untuk mendorong mahasiswa tempatan
untuk menggunakan kehebatan mereka melaksanakan
tugasan-tugasan seperti ini. Northwestern
University merupakan universiti terbaik
di AS dalam bidang kewartawanan. Di sini,
telah ditubuhkan Center on Wrongful Convictions
hasil usahasama fakulti kewartawanan dan
fakulti undang-undang universiti ini.
Tenaga kerja organisasi ini membariskan
pelajar-pelajar kewartawanan dan perundangan
dan dibantu oleh beberapa orang staf penuh-masa
yang merupakan pakar dalam pelbagai bidang
perundangan sivil khususnya perundangan
homisid. Organisasi ini turut disertai
oleh sukarelawan dari seluruh pelusuk
AS di samping menawarkan latihan kepada
pelajar-pelajar kewartawanan atau undang-undang
yang mempamerkan kecemerlangan akademik
untuk membantu kelancaran program organisasi
ini. Dengan bantuan kewangan yang mantap
daripada syarikat-syarikat swasta dan
derma ikhlas tahunan, organisasi ini telah
berjaya menyelamatkan puluhan individu
daripada menjalani hukuman mati atau penjara
untuk jenayah yang tidak pernah mereka
lakukan. Kejayaan paling cemerlang organisasi
ini adalah apabila mereka berjaya membuktikan
Anthony Porter tidak bersalah atas dakwaan
membunuh. Anthony Porter hanya 50 jam
sebelum dihukum mati dan dalam tempoh
sebegitu singkat, usaha kolektif organisasi
ini telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti
kukuh untuk membebaskan beliau dari semua
tuduhan. Kejayaan ini telah membuka peluang
untuk siasatan lanjut yang akhirnya membuktikan
korupsi polis Chicago yang telah memaksa
pengakuan palsu seorang saksi palsu. Berkat
usaha gigih mereka juga telah berjaya
menemui pesalah sebenar yang berselindung
di sebalik dakwaan palsu terhadap Anthony
Porter disamping membantu beliau memfailkan
saman terhadap polis Chicago atas dakwaan
pemalsuan bukti dan korupsi.
Center on Wrongful Convictions ini merupakan
satu insiatif mahasiswa Chicago ke arah
menjamin keadilan sistem perundangan negeri
Illinois. Jika mahasiswa di AS boleh melakukannya,
apakah mustahil bagi pelajar-pelajar IPTA
tempatan turut memiliki kaliber untuk
melaksanakan program sebegini rupa di
Malaysia. Usaha-usaha sebegini ini amat
diperlukan bagi memulihkan imej mahasiswa
tempatan yang dikatakan sudah terpesong
dari matlamat asal untuk menuntut ilmu
supaya boleh berbakti kepada masyarakat.
Selain itu, dengan bergiat aktif dalam
organisasi-organisasi sebegini juga boleh
mendatangkan pengalaman berharga sebagai
bekalan untuk menempuhi alam perkerjaan
professional kelak. Secara peribadi, penulis
menyarankan agar penglibatan aktif mahasiswa
Malaysia dalam usaha membuktikan kepincangan
sistem pengadilan termasuk tatkala menulis
atau berbicara. Berilah keutamaan kepada
kajian dan siasatan mendedahkan kepincangan
dan kegagalan mereka yang berkuasa di
dalam tulisan daripada tulisan-tulisan
berbentuk ‘jiwang’, terlalu
puitis. Dengan kelantangan suara generasi
muda Malaysia, dapat kita saksikan nanti
arus perubahan yang sudah lama diharapkan
untuk kembali membersihkan sistem perundangan
negara yang didakwa "tercemar"
dengan korupsi dan skandal.
Idealisma Mahasiswa ke arah Pembangunan
Umat
Allahyarham Malek ben Nabi mengingatkan
betapa masyarakat tanpa idealisma adalah
masyarakat yang beku. Dengan menggunakan
ungkapan idea pendorong (guiding ideas),
beliau menyeru agar penggilapan idealisma
ini segera dilakukan. Idealisma ini pula
perlu didokong oleh sikap yang betul bagi
merangkul kejayaan sepertimana yang pernah
digagaskan oleh Lewis Fever sebagai, “the
highest degree of selflessness, generosity,
compassion and readiness for sacrifice.”
Ungkapan tersebut menggambarkan betapa
pentingnya ‘senjata’ dan ‘kuasa’
pengorbanan. Soalnya, mahasiswa kini di
dalam antara idealisma atau membisu kerana
hanyut di dalam 2 suasana; ketakutan (culture
of fear) dan keselesaan (culture of complacent).
Dari premis inilah, mahasiswa mesti gagah
dan berani; pertama menghadapi dan membayar
harga sebagai pejuang idealisma mahasiswa,
kedua mencari dan memanfaatkan alternative
agar idealisma perjuangan mahasiswa tidak
terkubur begitu sahaja.
Kaliber tinggi di kalangan aktivis muda
negara perlu dihalakan ke arah pembangunan
umat Malaysia. Memang benar usaha sebegini
amat sukar untuk dilaksanakan, tetapi
jika semua pihak sedia berusaha gigih
usaha ini boleh dijayakan. Sehingga kini,
usaha menuntut keadilan hanya bertumpu
kepada keadilan politik (propaganda Reformasi
yang terus mara menuntut keadilan bagi
pihak bekas Timbalan PM kita). Jika keseriusan
ini ditumpukan pula ke arah usaha mengkaji
kepincangan sistem perundangan negara
dengan teliti dan mengemukakan bukti-bukti
kukuh untuk membebaskan tahanan penjara
daripada dakwaan palsu, martabat dan imej
mahasiswa akan dapat dipulihkan dan mahasiswa
akan mula dihormati dan dihargai. Mungkin,
usaha sebegini akan menyedarkan masyarakat
umum tentang kematangan intelek mahasiswa
Malaysia dan seterusnya membuka peluang
untuk mahasiswa untuk bergiat aktif dalam
senario politik, kebudayaan, dan pendidikan
kebangsaan. Mungkin juga, usaha ini akan
menjadi pemangkin ke arah aktivisme mahasiswa
yang positif dan membina. Malah bidang
lain yang turut memainkan peranan penting
di dalam pembangunan negara wajar diberi
perhatian iaitu pada sudut ekonomi.
Mahasiswa wajar menggiatkan kajian yang
menyeluruh dan siasatan yang mendalam
untuk mendedahkan salah urus khazanah
negara yang merupakan amanah besar dari
rakyat kepada pemerintah. Begitu juga
dalam hal kondom dan suntikan dadah percuma.
Dalam hal ini, rakan-rakan siswa-siswi
yang beraliran agama secara khusus seharusnya
mempunyai pendirian berkenaan isu ini.
Pak Lah yang merupakan perintis Islam
Hadhari tiba-tiba bangkit menyokong tanpa
berbelah bahagi dalam hal ini. Persoalannya,
apakah ia selaras dengan kehendak dan
prinsip Islam? Masih belum terbaca sebarang
hasil atau tulisan akademik dan tuntas
dari kacamata syara’ dalam menyokong
atau mengkritik polisi terbaru Kerajaan
Hadhari ini. Persoalan hukum-hakam tidak
boleh dibicarakan sesuka hati kerana ia
melibatkan disiplin-disiplin ilmu wahyu
(hal ini dibantah oleh pembawa doktrinisasi
Islam Liberal). Justeru, selagimana seseorang
itu menguasai disiplin yang sepatutnya
dimiliki, maka mereka berhak berbicara
dalam perkara menghasilkan atau menta’wilkan
sesuatu hukum. Justeru tidak timbul isu
pencabulan hak asasi khususnya kebebasan
bersuara di sini. Namun yang lebih penting
ialah mahasiswa yang berada dalam persekitaran
ilmu agama secara khusus mesti duduk semeja
mengkaji, menyiasat dan menghasilkan satu
pendirian untuk dinyatakan dengan lantang
dan terbuka.
Gerakan Kesatuan Mahasiswa Indonesia
(KAMI) yang dikaitkan dengan CIA berjaya
menumbangkan Regim Sukamo. Suhu pelajar
Universiti Chulalongkom dan Thammasat
tidak dapat diturunkan dengan amaran asap
gas pemedih mata melainkan oleh peluru.
Ratusan pelajar terkorban dan tercedera.
Itulah tahap dan erti kekuasaan pelajar
di negara jiran. Apakah Malaysia mempunyai
landskap yang sama? Penulis berpandangan
bahawa memang terdapat perbezaan khususnya
pada tahap kesedaran sivil. Namun, walaupun
terdapat sedikit perbezaan sedemikian
pada mahasiswa Malaysia, akan tetapi satu
persamaan yang tidak dapat dinafikan ialah
masing-masing adalah mahasiswa yang mendokong
prinsip intelektual dan budi. Penguasaan
ilmu mesti disaluti dengan kebaikan dan
kemuliaan budi agar masyarakat dapat menikmati
kewujudan kelompok mahasiswa. Bukannya
seperti “hadir tidak disedari, pergi
tidak dirasai.”
Saranan
Sehubungan dengan apa yang telah disebutkan,
maka penulis menyarankan 3 perkara uatam
untuk diteliti oleh mahasiswa Malaysia
iaitu;
1. Mahasiswa mesti sedaya upaya menguasai
bidang masing-masing agar dapat menggunakannya
sebagai senjata ampuh ke arah menjana
perubahan.
2. Setiap pendirian samada berupa sokongan
atau bantahan mesti dikemukakan dalam
bentuk yang diyakini melalui sokongan
hujah dan fakta. Elakkanlah dari mengamalkan
budaya “ampuisma” ataupun
budaya “bebalisma”.
3. Mahasiswa mesti mempertingkat daya
responsif. Jangan hanya menjadi robot
yang menerima apa saja di dalam kelas
atau dewan kuliah tanpa mengetahui apa
yang berlaku di serata dunia. Akhirnya
apabila berhadapan dengan realiti masyarakat,
maka lahirlah pemimpin masyarakat yang
kaku, tiada prinsip, kosong visi, korup
dan penuh dengan skandal salah laku.
Putera UMNO Signifikan kepada Kebebasan
Mahasiswa Berpolitik
Mahasiswa Malaysia kini sedang berhadapan
dengan dunia yang pelik dan ajaib. Suatu
ketika mahasiswa diindoktrinkan, digertak
dan diugut supaya tidak melibatkan diri
dengan sebarang aktiviti atau parti politik.
Lebih ngeri ialah wujud kes mahasiswa
digantung universiti hanya kerana terlibat
dengan aktiviti “haram”. Pernah
juga berlaku apabila akhbar perdana melaporkan
10 pertubuhan haram mahasiswa Malaysia
di muka depan. Tiba-tiba, wujud Puteri
UMNO. Selang beberapa tahun kemudian,
tertubuh pula Putera UMNO. Keahliannya
adalah rakyat Malaysia yang berumur dalam
lingkungan antara 18 hingga 25 tahun.
Khairy Jamaludin di dalam salah satu kenyataannya
menyebut bahawa Putera UMNO bukan sebuah
parti politik sebaliknya hanya sebuah
badan kebajikan. Hisyamudin Tun Hussin
pula berkata melalui Putera UMNO, para
ahli akan diterapkan dengan apakah yang
diertikan dengan “perjuangan sebenar”
(maknanya hanya UMNO layak memerintah
Malaysia). Apakah dunia sudah terbalik?
Seolah-oleh AUKU ini merupakan undang-undang
di suatu negara yang bukan bernama Malaysia?
Oleh itu, penulis suka membuat kesimpulan
dalam isu ini dengan hanya menyatakan
adalah wajar UMNO menubuhkan Putera UMNO
kerana ia menjadi indicator positif bahawa
mereka sedar terhadap kepentingan generasi
muda sebagai aset negara. Maka wajarlah
juga parti-parti lain seperti MCA, MIC,
Gerakan, DAP, PAS dan PKR melakukan perkara
yang sama. Bukan sebagai parti politik,
tapi badan kebajikan. Ayuh siswa-siswi
kita masuk ramai-ramai. Di kala ini, dilema
dan idealisma bukan lagi satu tribulasi
bagi perjuangan mahasiswa.
Pada suatu dimensi yang berbeza, selain
dari dari faktor kebobrokan parti yang
memerintah sehingga sanggup menjilat ludah
mereka sendiri, besar kemungkinan ini
adalah satu signifikan kepada kebebasan
mahasiswa berpolitik. Mahasiswa kini bebas
untuk melibatkan diri dalam sebarang kegiatan
luar kampus walaupun mempunyai hubungkait
dengan parti politik. Mungkin hari ini
UMNO, minggu depan PAS!
Konklusi
Namun demikian, pokoknya ialah mahasiswa
mesti menggembeling seluruh tulang empat
kerat agar amanah ilmu diperlihara dengan
menterjemahkan secara praktikel ke arah
Malaysia sebagai negara yang lebih adil,
saksama dan tidak menggunakan demokrasi
untuk membunuh demokrasi. Sekali gagal
tidak bereti gagal selamanya. Perjuangan
mesti diteruskan. Martabatkan kembali
amanah mahasiswa sebagai “Jurubicara
masyarakat”, “Nadi dan jantung
rakyat”, “Agen perubahan”.
Dilema hanyalah bisikan syaitan ke arah
mematikan idealisma. Jangan kita biarkan
ia berlaku. Hidup mahasiswa!!!
"Most of the important things in
the world have been accomplished by people
who have kept on trying when there seemed
to be no hope at all." - Dale Carnegie
______________
Amin Idris merupakan
seorang aktivis mahasiswa. Sedang menuntut
di salah sebuah universiti awam tempatan
di dalam jurusan undang-undang. Pernah
digantung pengajian kerana didapati bersalah
oleh mahkamah universiti kerana menyerahkan
memorandum kepada Pengerusi SPR Selangor
menjelang Pilihanraya Umum ke-11.