Bahana
kecelaruan berfikir
Hizbut-Tahrir Malaysia
02:30pm
04 Julai 2005
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jakim,
Datuk Mustafa Abdul Rahman mengatakan
bahawa 24 kumpulan ajaran sesat masih
bergerak diseluruh negara. Ia adalah baki
daripada 124 kumpulan yang telah dikenalpasti
yang mana 100 daripadanya telah berjaya
dihapuskan. Beliau menyebut bahawa 24
kumpulan terbabit dikesan masih aktif
dan beroperasi di sekitar Lembah Klang.
Antaranya ialah kumpulan Tarikat Muhammadiah,
Al-Arqam, Ajaran Haji Kahar, Ajaran Qadiani
dan Ahmadiah [BH 21/5/05].
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri
juga dilaporkan telah mengesan satu kumpulan
militan seperti Kumpulan Militan Malaysia
(KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) sedang
bergerak cergas di negara ini. Timbalan
Menterinya, Datuk Noh Omar berkata setakat
ini anggota kumpulan itu telah dikenal
pasti, sedang diperhati dan diteliti sama
ada perlu dikenakan ISA (Akta Keselamatan
Dalam Negeri) atau tidak. Sementara itu,
pihak polis dilaporkan akan bekerjasama
dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) serta majlis agama negeri bagi
memantau kegiatan kumpulan Al-Arqam yang
dilapor antara 24 kumpulan ajaran sesat
yang bergerak aktif di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Dr Abdullah Md Zin berkata, kegiatan kumpulan
ajaran sesat di negara ini adalah terkawal.
Katanya, yang masih aktif sekarang hanyalah
kelompok kecil dan jika ada yang paling
besar pun, mungkin kumpulan Ayah Pin di
Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu
[BH 21/5/05]. Datuk Noh Omar, kemudiannya
menafikan kenyataan akhbar diatas yang
menyebut kenyataannya bahawa kumpulan
tersebut ada kaitan dengan aktiviti militan
atau pengganas.
Beliau menegaskan bahawa kumpulan tersebut
berasaskan agama dan ia dipantau kerana
ajarannya boleh memesongkan akidah umat
Islam dan jika dibiarkan ia boleh menjejaskan
perpaduan ummah. “Sebab itu kita
mengkaji sama ada sesuai atau tidak jika
kerajaan menggunakan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) untuk melenyapkan pengaruh
kumpulan berkenaan,” katanya lagi
[BH 23/5/05].
Sautun Nahdhah ingin mengajak para pembaca
yang budiman untuk menelurusi dan menjelaskan
pandangan berkaitan melabelkan sesuatu
gerakan itu membawa ajaran sesat atau
tidak. Untuk tujuan ini, kita perlulah
mengunakan prosedur tertentu yang hanya
didasarkan kepada pemikiran Islam yang
bersumberkan Al-Quran dan Hadis Rasulullah
SAW. Syariah Islam akan memastikan bahawa
sebarang keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi
oleh mana-mana kepentingan atau motif
tertentu. Penentuan sesat keatas seseorang
atau sesebuah gerakan perlulah dilihat
berdasarkan aspek aqidah semata-mata dan
tidak dipengaruhi, seperti yang disebutkan,
oleh motif-motif dan kepentingan tertentu.
Aqidah dan hukum syarak'
Aqidah adalah pemikiran yang menyeluruh
tentang manusia, alam dan kehidupan, hubungan
di antara ketiga-tiga unsur ini dengan
apa yang datang sebelum dan selepas kehidupan.
Dari aqidah akan muncul berbagai peraturan,
undang-undang, norma dan tata nilai masyarakat.
Aqidah juga menentukan arah pandang, cita-cita
dan tujuan yang dianut oleh para pemeluknya,
diyakini kebenarannya, diperjuang dan
dipertahankan.
Aqidah seseorang adalah asas kepada segala-galanya.
Ia merupakan asas berfikir dan asas bertindak
seseorang. Salah atau rosak aqidah, maka
rosaklah pemikiran dan tingkah lakunya
dan rosaklah individu tersebut. Jika dinisbahkan
kepada sebuah bangunan aqidah merupakan
bahagian asas kepada struktur bangunan.
Apabila asas kepada struktur bangunan
itu rosak, ia boleh menyebabkan bangunan
retak atau membawa kepada runtuhnya keseluruhan
bangunan. Oleh yang demikian aqidah merupakan
bahagian yang terpenting dari pemikiran
seseorang kerana aqidah adalah asas pemikiran
(usul) dan yang lainnya adalah pemikiran
cabang (furu’) yang muncul dari
asas tadi.
Aqidah menurut bahasa adalah sesuatu
yang diikat didalam hati, iaitu sesuatu
yang diyakini. Sesuatu yang diyakini adalah
sesuatu yang diputuskan atau dibenarkan
secara pasti - tashdiqul jazim. Ia akan
membawa kepada pembenaran atau pendustaan
terhadap sesuatu informasi. Perkara-perkara
yang termasuk didalam aqidah adalah seluruh
perkara yang ghaib seperti iman kepada
Allah, para malaikatNya, kitabNya, para
rasulNya, hari Kiamat serta qadha dan
qadar baik dan buruknya dari Allah SWT.
Termasuk di dalam aqidah adalah semua
perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau
oleh aqal seperti syaitan, syurga dan
neraka. Perkara aqidah mesti diambil berdasarkan
tashdiqul jazim (pembenaran yang bersifat
pasti) bukan secara dzanni (dugaan kuat)
atau sangkaan sahaja kerana Allah menegaskan
di dalam Al-Quran dengan firmanNya:
“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti
kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya
persangkaan itu tidak sedikitpun berguna
untuk mencapai kebenaran.” (TMQ
Yunus:36)
“Dan jika mereka menuruti kebanyakan
orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya
mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.
Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan
belaka, dan mereka tidak lain hanyalah
berdusta(terhadap Allah).” (TMQ
Al-An’am:116)
Manakala hukum syarak adalah khitab as-Syari’
(seruan pembuat syariat) berkenaan dengan
perbuatan hamba. Misalnya ijarah (kontrak
upah), bay’ (jual beli), riba, nikah,
solat, iqamatul khilafah (menegakkan khilafah),
larangan mengumpat, ghanimah, fai’,
bay’ah dan jihad termasuk didalam
hukum syarak.
Piawaian Islam dalam Aqidah
Aqidah adalah seluruh pemikiran yang
dibenarkan (mesti sampai kepada peringkat
tashdiqul jazim) sementara hukum syarak
adalah seruan Allah yang berkenaan dengan
perbuatan manusia yang bertujuan untuk
menyelesaikan seluruh permasalahan manusia
(pemerintahan, penghukuman, sistem sosial,
pendidikan dan ekonomi) [Syeikh Taqiyuddin
An-Nabhani, Nizhamul Islam, Al-Quds, 1953].
Dalam mengambil perkara-perkara hukum
syara’ adalah memadai dengan pengambilan
secara ghalabatuz dzanni (dugaan kuat)
dan tidak perlu sampai kepada peringkat
yakin.
Misalnya dua rakaat solat subuh dilihat
dari aspek perlaksanaan solatnya adalah
hukum syarak. Sedangkan pembenaran bahawa
hukum dua rakaat solat subuh adalah dari
Allah merupakan aspek aqidah. Ingkar dalam
melaksanakan solat subuh dua rakaat akan
merosakkan solat sama seperti meninggalkan
solat dan ia adalah maksiat (derhaka)
kepada Allah yang membawa kepada pelakunya
mendapat dosa. Ingkar untuk membenarkan
kaifiyat solat subuh dua rakaat adalah
dari Allah akan merosakkan aqidah yang
membawa kepada pelakunya dianggap kafir
kerana hukum tersebut adalah berdasarkan
kepada riwayat yang mutawatir dan jelas
maknanya.
Riwayat mutawatir akan menutup kemungkinan
bahawa berita yang dibawa adalah salah
kerana ia dibawa oleh banyak jalur perawi
(lima jalur berlainan sebagai contoh)
yang membawa kepada keadaan qat’i
tsubut (kepastian datangnya berita). Kejelasan
makna akan menutup kebarangkalian ia membawa
lebih dari satu makna dan ini membawa
kepada keadaan qat’i dilalah (kepastian
makna). Apabila makna dan cara datang
berita bersifat pasti ia akan menerbitkan
tashdiqul jazim (pembenaran yang pasti)
– dan ini adalah bahagian dari aqidah.
Solat dua rakaat solat sebelum maghrib
adalah termasuk ibadat sunat (dianjurkan);
ia termasuk hukum syara’ yang tidak
berdosa jika ditinggalkan. Pengingkaran
terhadap hukum solat tersebut tidak dianggap
kafir kerana hukum itu ditetapkan berdasarkan
dalil dzanni - bukan hadis mutawatir.
Hukuman potong tangan terhadap pencuri
adalah hukum syara’ yang wajib dilakukan,
meninggalkannya adalah berdosa dan mempercayai
bahawa ia datang dari Allah adalah termasuk
aqidah kerana hukum ini termasuk tashdiqul
jazim - ia ditetapkan secara qat’i
tsubut dan qat’i dilalah. Pengharaman
riba adalah hukum syara’, mengambilnya
adalah haram dan berdosa dan mempercayai
bahawa ia datang dari Allah adalah termasuk
aqidah kerana penetapan hukum ini juga
termasuk tashdiqul jazim. Inilah perbezaan
diantara aspek aqidah dan aspek hukum
syara’.
Aqidah adalah keimanan, dan keimanan
menuntut adanya pembenaran yang bersifat
pasti (tashdiqul jazim). Hukum syara’
adalah khitab as-Syari’ (seruan
Allah) yang berkaitan dengan perbuatan
hamba. Pengambilan hukumnya boleh qat’i
atau ghalabatuz dzann (dugaan kuat yang
tidak sampai kepada yakin atau pasti).
Menolak hukum syara’ yang qat’i
adalah termasuk perkara aqidah dan boleh
menjadikan seseorang itu kafir atau sesat
tetapi menolak hukum syara’ yang
dzanni bukanlah termasuk didalam masalah
aqidah dan tidak membawa kepada kekafiran
atau kesesatan secara langsung.
Piawai ini boleh diaplikasikan kepada
satu contoh yang biasa kita dengarkan.
Ada pendapat yang diketengahkan oleh golongan
tertentu yang menyatakan bahawa sembahyang
hanya perlu ditunaikan dengan niat. Mereka
menggunakan dalil:
“Sesungguhnya amal-amal itu dengan
niat. Dan setiap orang dinilai dari niatnya”
[HR Bukhari, Muslim]
Hadis ini menerangkan bahawa setiap amalan
itu dinilai dengan niatnya dan didalam
ibadat niat itu termasuk rukun. Untuk
melihat samada pendapat ini benar atau
tidak, perlu diperhatikan hukum berkaitan
dengan solat. Kewajipan solat telah ditegaskan
oleh Allah di dalam firmanNya:
“…maka dirikanlah solat kerana
solat itu adalah ketetapan ke atas orang-orang
beriman” [TMQ An-Nisaa: 103]
Para fuqahaa telah bersepakat bahawa
makna ayat ini menunjukkan wajibnya mendirikan
solat. Kaifiyat mendirikan solat pula
telah diterangkan oleh hadis “Solatlah
kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”
dan hadis-hadis lain yang menerangkan
bahawa solat itu adalah meliputi gerakan
anggota badan dimulai dengan takbir dan
disudahi dengan salam. Pendapat yang mengatakan
bahawa solat boleh dilakukan dengan niat
adalah jelas bertentangan dengan hadis
mutawatir mengenai perlakuan Rasulullah
SAW dalam menerangkan kaifiyat menunaikan
perintah solat. Atas alasan ini, mereka
yang berpegang kepada pendapat bahawa
solat boleh dilakukan hanya dengan niat
telah menolak hukum yang bersifat qat’i
dan boleh rosak aqidahnya. Oleh sebab
itu, perlulah diluruskan semula aqidah
mereka agar kembali kepada aqidah Islam
yang sebenarnya.
Penerangan di atas adalah merupakan prosedur
syariah dalam menentukan, termasuk menangani
perkara-perkara yang terkait dengan masalah
aqidah dan hukum syara’. Penentuan
samada telah berlaku kesalahan dalam kedua
aspek ini perlulah terikat kepada prosedur
dan piawaian yang tetap ini.
Piawaian pragmitisme yang keliru
Ada golongan atau aliran yang tidak mempunyai
piawaian dalam membuat keputusan; secara
umumnya mereka ini dikenali sebagai golongan
atau aliran pragmatisme. Pragmatisme berasal
dari bahasa Yunani iaitu pragma berarti
perbuatan (action) atau tindakan (practice)
dan Isme berarti ajaran, aliran atau fahaman.
Dengan demikian, pragmatisme berarti ajaran/fahaman
yang menekankan bahawa pemikiran itu berjalan
mengikut tindakan. Didalam Kamus Oxford,
sifat pragmatik adalah suatu sifat yang
berjalan sesuai menurut kewajaran atau
suasana realistik ketika itu – ia
diasaskan kepada suasana praktikal dan
tidak didasarkan kepada pertimbangan teoretis.
Ini berarti, bagi seseorang yang pragmatik,
kebenaraan atau nilai suatu ajaran (fahaman
/ doktrin) bergantung hanya kepada penerapannya
samada sesuai dengan kepentingan manusia
ketika itu atau tidak. Pragmatisme memandang
bahwa kriteria kebenaran ajaran adalah
berdasarkan faedah atau manfaat. Suatu
teori atau hipotesis dianggap oleh mereka
yang pragmatik sebagai benar jika ia membawa
kepada suatu hasil yang mendatangkan manfaat.
Dengan kata lain, suatu teori itu benar
hanya jika ia berfungsi (mendatangkan
manfaat) selepas ia dilaksanakan.
Gerakan Pragmatisme, secara falsafah,
mula dirintis di Amerika oleh Charles
S. Pierce (1839-1942) yang kemudiannya
dikembangkan oleh William James (1842-1910)
dan John Dewey (1859-1952). Walaubagaimanapun,
dari segi sejarah, ia telahpun muncul
sejak zaman Renaissance, iaitu ketika
terjadi pertembungan diantara gereja dan
kaum intelektual di Eropah. Pertentangan
ini akhirnya menghasilkan suatu kompromi
- pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme),
sebagai asas kepada ideologi kapitalisme.
Pragmatisme merupakan pemikiran cabang
kapitalisme. Landasan pemikirannya pun
sama, yakni pemisahan agama dari kehidupan
(sekularisme). Dari konteks ideologi,
pragmatisme berarti menolak agama sebagai
sumber ilmu pengetahuan dan sumber penyelesai
masalah manusia.
Kebenaran, menurut James didalam bukunya,
The Meaning of Truth, adalah sesuatu yang
terjadi pada idea, yang sifatnya tidak
pasti. Sebelum seseorang menemukan satu
teori berfungsi maka kebenaran teori itu
tidak akan diketahui. Kebenaran, bagi
golongan pragmatis ini akan selalu berubah
sejalan dengan perkembangan pengalaman.
Sebab, sesuatu yang dikatakan benar akan
dapat perbetul dan diperbaiki oleh pengalaman
berikutnya. Oleh karena itu, fahaman pragmatisme
ini tidak mengenal adanya kebenaran yang
mutlak. Kebenaran hanya ditentukan oleh
manfaat.
Idea pragmatisme ini keliru atas tiga
sebab. Pertama, pragmatisme mencampuradukkan
kriteria kebenaran idea dan kegunaan praktikalnya.
Sedangkan kegunaan praktikal idea tidak
menunjukkan kebenaran idea, tetapi hanya
menunjukkan samada perlaksanaan idea ini
memuaskan keperluan pelakunya atau tidak.
Kedua, pragmatisme menafikan peranan
akal manusia. Menetapkan kebenaran suatu
idea adalah aktiviti intelektual dengan
menggunakan ukuran atau piawaian tertentu
- sedangkan kepuasan manusia dalam pemenuhan
keperluannya tidak boleh menjadi ukuran
kebenaran idea tersebut.
Ketiga, pragmatisme menimbulkan relativiti
dan kenisbian kebenaran sesuai dengan
perubahan subjek penilai idea - baik individu,
kelompok, mahupun masyarakat - serta perubahan
konteks waktu dan tempat. Dengan kata
lain, kebenaran hakiki pragmatisme hanya
dapat dibuktikan - menurut pragmatisme
itu sendiri - setelah melalui pengujian
kepada seluruh manusia dalam seluruh waktu
dan tempat, menjadikan alam ini sebagai
makmal gergasi untuk melakukan ujian tersebut.
Ini jelas mustahil dan tidak akan pernah
terjadi.
Pragmatisme jika digunakan oleh sesuatu
kelompok dari masyarakat untuk membuat
keputusan bagi masyarakat keseluruhannya
akan membuatkan keputusannya condong atau
bias kepada kepentingan kelompoknya sendiri
dan ini akan menyengsarakan orang lain.
Oleh itu, pragmatisme tidak boleh digunakan
untuk menilai seseorang atau sesuatu kelompok
itu salah atau sesat. Umat Islam hari
ini perlu menggunakan piawaian yang betul,
seperti yang telah dijelaskan diawal makalah
ini ketika menilai kesesatan seseorang
atau suatu kelompok manusia. Mengatakan
seseorang atau sesuatu kelompok itu sesat
sedangkan piawaian yang digunakan didalam
membuat keputusan ini tidak selaras dengan
piawaian Islam membawa akibat yang amat
buruk. Menentukan aqidah adalah isu yang
bersangkutan dengan dengan wahyu Allah
- maka menjatuhkan hukum sesat hendaklah
didasari dengan wahyu Illahi bersumber
Al-Quran dan Hadis. Janganlah pula ada
sandaran politik atau kepentingan tertentu
ketika menghukum sesuatu gerakan itu tersesat
atau terpesong aqidahnya.
Khatimah
Dari huraian di atas jelaslah kepada
kita bahawa untuk menghukum sesuatu golongan
itu sesat, perlulah mengikuti kaedah-kaedah
yang ditunjukkan oleh Islam seperti yang
telah dijelaskan oleh para ulama’
mu’tabar Islam yang ikhlas. Kita
mestilah mengikuti prosedur dan piawaian
syariah dalam membuat keputusan ini dan
janganlah sampai kita terjebak melakukan
kesalahan dalam penuduhan atas sebab-sebab
politik. Janganlah kita terlalu cepat
menuduh orang lain sesat hanya kerana
ia berpegang kepada fahaman politik yang
berlainan atau kita mengambil keputusan
berdasarkan hawa nafsu kita - kecuali
apabila telah jelas kesesatan mereka,
berdasarkan prosedur dan piawaian Islam
yang benar.
Wahai kaum muslimin, Perteguhkanlah diri
anda dengan pemahaman Islam yang secukupnya
supaya jelas bagi anda bahawa hukum syara’
yang anda ikuti adalah hukum yang benar-benar
dari Islam. Perkara-perkara yang anda
yakini atau imani juga mestilah yang sampai
kepada peringkat yakin atau tashdiqul
jazim. Berwaspadalah dari terjebak kedalam
kancah ajaran-ajaran sesat kerana ianya
boleh menjerumuskan kita kepada kekufuran
dan menyumbatkan pelakunya ke dalam neraka
- na’uzubillahi min zalik (semoga
kita dijauhkan darinya). Kita juga mestilah
berwaspada terhadap label-label ajaran
sesat yang dilontarkan kepada golongan-golongan
tertentu atas pengaruh politik dan terkait
dengan pemikiran pragmatik.
Marilah kita berdoa dan terus berusaha
agar Daulah Khilafah Islamiyah akan berdiri
dan menerapkan hukum syara’ yang
benar secara kaffah, menjaga aqidah kita
dari kesesatan dan berhukum hanya menurut
piawaian syara’. Khilafah juga akan
menasihati individu atau kelompok tertentu
yang sesat untuk kembali kepada ajaran
Islam yang lurus dengan cara dan niat
yang benar tanpa ada maksud politik yang
tidak Islami. Wallahua’lam.