Aliran-aliran
pemikiran Islam di Malaysia
Mohd Rumaizuddin Ghazali,
Exco Dakwah ABIM
04:30pm 08 Jun 2005
Muhammad
'Imarah menyebutkan bahawa aliran yang
menghidupkan pembaharuan Islam, mereka
ini berada dalam madrasah Asolah al-Fikriyyah
Fi Shari‘atina wa Tasri‘atina
(aliran pemikiran asli dalam syariah dan
perundangan). Antara mereka yang berada
dalam aliran ini ialah Muhammad al-Ghazali,
Yusuf al-Qaradawi, Muhammad ‘Abduh,
Rashid Rida, Mahmud Shaltut, Abdullah
Darraz, Muhammad al-Khudari dan Abu Zahrah.
Muhammad ‘Imarah membahagikan kepada
empat aliran terpenting iaitu:
-
Madrasah
al-Ra’yu – Fuqaha yang
lebih mirip melihat kepada sausana dan
keadaan dalam menafsirkan sesuatu nas.
Mereka menafsir berdasarkan keadaan
sekeliling. Aliran ini bukan aliran
yang menafikan nas tetapi ia hanya manhaj
berinteraksi semasa berijtihad bagi
menghasilkan hukum.
-
Madrasah
al-Ashar – Mereka tidak mengingkari
aliran al-Ra’yu secara
mutlak tetapi lebih kepada zahir nas
dan pendekatan harfiah.
-
Madrasah
Muwazanah wa Tarjih bayn Madrasah al-Ra’yu
wa al-Ashar (aliran pertimbangan
dan tarjih antara aliran akal dan nas)
Antara perintis aliran ini ialah Ibn
Taimiyyah dan Ibn Qayyim.
-
Madrasah
Asalah al-Fikriyyah fi Syari‘atina
wa Tasri‘atina (aliran pemikiran
asli dalam syariah dan perundangan).
Mereka ini termasuk dalam golongan yang
mahu menghidupkan pembaharuan pemikiran
Islam. Mereka bergantung kepada aliran
Ashar dan akal, mengikut manhaj
mawazanat (pertimbangan) dan tarjih
tetapi berbeza dari madrasah Ibn Taimiyyah
tadi. Mereka membuat tarjih lebih kepada
akal beserta dalil, meniktibarkan dalil-dalil
akal merupakan asal bagi nas, lebih
mengutamakan al-Qur’an dari al-Sunnah,
bergantung kepada nas-nas kitab lebih
dari hadith ahad, mengingkari nasakh
yang membatalkan ayat-ayat terdahulu,
mengambil fikrah-fikrah mazhab yang
bersesuaian, mengingkari taqlid dan
sentiasa menghormati ilmu ulama muktabar
dan tidak bersandarkan kepada mana-mana
aliran lama dan baru.
Di
samping itu terdapat satu lagi aliran
yang lebih kepada aliran pemilihan individu
(aliran talfiq di antara berbagai pandangan).
Mereka ini muncul pada abad 13 dan 14
hijrah yang mahu keluar dari jumud pemikiran
dan yang sentiasa terikat dengan matan-matan
feqah semata-mata. Mereka ini seperti
al-San‘ani, al-Shawkani, Sayyid
Sabiq, Siddiq Khan dan al-Bani. Di dunia
Islam, lahir pelbagai aliran pemikiran
berdasarkan faktor persekitaran, budaya
dan bangsa tersebut. Di benua India, nama-nama
seperti Sir Ahmad Khan, Sabli al-Nu'mani,
Maududi, Muhamad Iqbal dan Ali Hassan
al-Nadwi, Di Mesir, Jamaluddin al-Afghani,
Muhamad Abduh, Rashid Rida, Hassan al-Banna,
Sayyid Qutb, Muhammad al-Ghazali dan al-Qaradawi,
di Afrika Utara lahirnya Abdul Hamid Badis,
Malik bin Nabi, Muhamad Tahir Asyhur dan
di Turki, Badi'iuzzaman al-Nursi. Di rantau
ini, lahirnya Syeikh Tahir Jalaluddin,
Agus Salim dan Syeikh al-Hadi dan lain-lain.
Namun pemikiran Islam pada abad ke 20
itu diwarnai dengan istilah-istilah dan
penyelesaian kepada masalah secara simplistik.
Dalam
satu kajian bertajuk "Civil Democratic
Islam: Patners, Resources and Strategis"
(2003) telah diterbitkan oleh RAND Corporation
sebuah badan penyelidikan dan penasihat
yang berpengaruh di Washington. Dalam
kajian ini, umat Islam di nilai dari segi
kecenderungan pemikiran mereka sama ada
tradisionalis, fundamentalis, modernis
atau sekularis. Kajian ini memperlihatkan
bagaimana cara untuk mengadu-dombakan
umat Islam melalui pengelompokan ini.
Kajian itu menegaskan bahawa golongan
modernis dan sekularis (spt. aliran Kamal
Atartuk) perlu didokong secara halus dengan
lambakan dana penajaan, ruang media dan
penonjolan idola untuk dipuja. Golongan
tradisional (Salafi dan Wahabi) pula disaran
agar didokong manakala golongan fundamentalis
(spt Ikhwan al-Muslimun) hendaklah dipinggirkan.
Berlaku perbalahan antara golongan tradisional
dan fundamentalis dalam isu-isu remeh
dan persoalan furu'. Perbalahan dan pertelingkahan
perlu disuburkan agar sumber kekuatan
umat Islam dilelahkan tanpa sebarang manfaat
yang jelas. Oleh itu umat Islam tidak
perlu terperangkap dengan pengelompokan
tersebut. Pada masa yang sama umat Islam
harus mempunyai kajian-kajian untuk menangani
strategi-strategi dalam menghadapi globalisai
dunia Barat.
Fazlur
Rahman menegaskan dalam bukunya Islam,
bahawa pembaharuan Islam mestilah dimulai
dengan pendidikan. Menurut Rahman, pembaharuan
pendidikan adalah satu-satunya pendekatan
untuk suatu penyelesaian jangka panjang
atas masalah yang menimpa umat Islam kini
iaitu berupa dikotomi mental dan kehidupan
peribadi maupun sosial yang berpecah belah
yang mengakibatkan kekacauan dalan segala
usaha serta krisis yang melumpuhkan kehidupan.Walaupun
demikian ia mengakui pendidikan memerlukan
jangka masa yang panjang paling kurang
dua generasi. Kerana iu, beliau menawarkan
program jangka pendek iaitu pertama; menciptakan
orientasi politik Islam yang asli dan
kedua menciptakan iklim intelektualisme
sebagai langkah awal pengislaman seluruh
segi kehidupan. Kedangkalan dan kekakuan
dalam pendidikan adalah penyebab terjadinya
kelemahan intelektualisme Islam. Keadaan
yang tidak menguntungkan ini, terutama
sikap ulama tradisi terhadap ilmu pengetahuan
sekular yang nampaknya ingin memadamkan
semangat penelitian yang besar dan keseluruhan
pertumbuhan ilmu pengetahuan positif.
Oleh itu, beliau mengkritik golongan tradisional
dan moden yang seringkali bercakaran.
Beliau menawarkan kepada umat Islam satu
pendekatan yang terbaik untuk mengkaji
ajaran Islam yang disebut sebagai neomodernisme
Islam.
Menurut
Greg Barton, Fazlur Rahman merupakan orang
yang pertama kali mengunakan istilah neomodernisme
dalam sebuah model yang sistematik. Menurut
Rahman, neomodernisme bererti pemikiran
Islam yang progresif yang muncul dari
modernisme Islam namun mencakup juga aspek-aspek
kesarjanaan tradisional. Neomodernisme
lebih mengusulkan penggunaan ijtihad secara
terus menerus dalam konteks berusaha untuk
menemukan lingkungan tapak jalan pesan
dari al-Quran daripada pendekatan ad
hoc kaum modernis.
Neomodernisme
merupakan suatu sistem penjelasan tentang
kondisi umat Islam yang lain dari modernisme,
tradisiolisme, fundamentalisme dan lain-lain.
Ini kerana ketiga-tiga aliran tersebut
mengalami krisis. Fazlur Rahman menginginkan
bagaimana Islam ini boleh berubah dalam
masyarakat yang sedang mengalami perubahan
luar biasa.
Fazlur
Rahman menjelaskan bahawa sejarah pergerakan
reformasi Islam yang telah berjalan lebih
dua abad yang lampau dapat dijelaskan
dalam empat aliran gerakan refomasi yang
berbeda. Empat gerakan tersebut adalah:
(i) Gerakan revivalis (salafi) pada akhir
abad 18 dan awal abad 19 (misalnya Wahabiyah
di Arab Saudi, Sanusiyah di Afrika Utara
dan Fulaniyah di Afrika Barat). (ii) Gerakan
Modernis (Sayyid Ahmad Khan di India,
Jamaluddin al-Afghani di Timur Tengah
dan Muhammad Abduh di Mesir) (iii) neorevivalis
(kelompok modern, namun lebih reaksioner
seperti Mawdudi dan Jama’at Islami)
(iv) neomodernisme yang Fazlur Rahman
adalah pelopornya yang merupakan sintesis
progresif dari rasionaliti modernis dan
ijtihad serta ajaran klasik. Beliau memandang
neomodernisme merupakan pra-syarat bagi
kebangkitan Islam.
Salah
satu dari ciri khas neomodernisme Fazlur
Rahman ini adalah memiliki akses yang
kuat pada akar tradisi klasik Islam. Ertinya,
pengembangan pemikiran Islam yang tidak
berakar pada kekayaan pemikiran Islam
klasik adalah tidak otentik. Selain itu,
aksesnya yang kuat terhadap pemikiran
Barat. Dengan begitu, kaum neomodernisme
mampu mengembangkan sikap kritisnya terhadap
Barat dan warisan-warisannya. Jadi, neomodernisme
dibentuk oleh pola pemikiran yang berusaha
menggabungkan dan menyatupadukan dua aliran
pemikiran modernisme dan tradisionalism.
Perbedaan pokok antara neomodernisme dengan
kedua pola pemikiran di atas adalah kesediaannya
untuk menyatukan ide-ide modernis yang
paling maju sekalipun dengan ide-ide tradisionali
sekaligus. Kemunculan neomodernisme ini
muncul akibat kegagalan modernisme membawa
diri sebagai mempertahankan kesegaran
pemikiran Islam ketika gerakan ini semakin
membesar. Apa yang terjadi adalah kerutinan
kerja mengolah dan menyelenggara lembaga-lembaga
pembaharuan secara amat praktikal. Kerutinan
ini menyebabkan kesempatan untuk membina
intelektual relatif semakin menghilang.
Sementara golongan tradisional yang kaya
dengan khazanah klasik terlalu berorientasikan
masa lampau dan sangat selektif menerima
gagasan-gagasan modernisme. Berlatar belakang
seperti inilah pola pemikiran neomodernisme
muncul menjembatani kedua pola pemikiran
tersebut.
Antara
ciri-cirinya yang lain ialah (i) penafsiran
al-Quran secara sistematik dan komprehensif
(ii) Penggunaan metod hermeneutika yang
digunakan untuk memahami teks-teks kuno
seperti teks kitab suci, sejarah, hukum,
falsafah dan kritik sejarah yang merupakan
sebuah pendekatan sejarah yang pada prinsipnya
bertujuan menemukan fakta-fakta objektif
secara utuh dan mencari nilai-nilai tertentu
yang terkandung di dalamnya. (iii) Pembedaan
secara jelas antara Islam normatif dan
Islam historis (iv) penggabungan paradigma
tradisionalisme dan modernisme. Fazlur
Rahman mengemukakan bahawa al-Quran menjadi
landasan etika moral bagi pendidikan Islam.
Di samping ia menjadi rujukan utama dalam
membentuk intelektualisme Islam.
Di
Indonesia, istilah neomodernisme mengandungi
makna ‘Pembaharuan Pemikiran Islam’
dan banyak diperkatakan oleh Nurcholish
Madjid, Abdurrahman Wahid dan Djohan Effendi.
Kebanyakan mereka yang tergolong dalam
golongan ini ialah orang yang mendapat
didikan tradisional dan modern. Nurcholis
Madjid mengalami pendidikan pondok di
masa kanak-kanak dalam kubu tradisionalis
dan semasa remaja mendapat pendidikan
modern dari Pesantren Gontor. Fachry Ali
dan Bahtiar Effendi dalam bukunya Merambah
Jalan Baru Islam Rekontrukasi Pemikiran
Islam Indonesia Masa Orde Baru (Bandung:
Mizan, 1992) menganggap kedua-dua tokoh
tersebut merupakan pengasas kepada pola
pemikiran neomodernisme di Indonesia.
Beliau menyebutkan asas-asas penting pembaharuan
pemikiran yang berlaku di Indonesia sekarang
adalah bersifat neomodernisme yang mana
tokoh generasi pertama gerakan ini adalah
Nurcholish Madjid, Abdurrahman Wahid,
Djohan Effendi dan Ahmad Wahib.
Sementara
Rusli Karim dalam karyanya Dinamika
Islam di Indonesia: Suatu tinjauan
Sosial dan Politik (Penerbit Pt. Hanindita,
Jogyakarta, 1985) mencatat dengan penuh
optimis tentang kebangkitan sebuah bentuk
baru intelektual Islam yang maju dan modern
di masyarakat Indonesia yang diwakili
oleh tokoh-tokoh tersebut. Beg Barton
menyebutkan bahawa jelas sekali Pembaharuan
Pemikiran Islam Nurcholish Madjid, Djohan
Effendi, Ahmad Wahibi dan kemudian Abdurrahman
Wahid adalah sama dengan neomodernisme
Fazlur Rahman. Oleh kerana itu, ketika
mereka mulai mempelajari aliran Fazlur
Rahman, mereka menanggapi dengan sangat
teliti pemikiran Fazlur Rahman tersebut
dan dengan sendirinya mereka juga menganggap
neomodernisme sebagai penganti yang cukup
tepat untuk istilah Pembaharuan Pemikiran
Islam.
Fundamentalisme
Fundamentalis
ialah berpegang kepada ajaran Islam yang
sebenar. Selama ini, bagi masyarakat Barat
memahami fundamentalis sebagai orang yang
ganas, yang membuat bermacam-macam perkara
tidak baik.
Bagi
pihak Barat sering menafsirkan istilah
ini dalam konteks politik Islam dengan
gerakan radikal dan ekstrem yang dilakukan
oleh aktivis dan kumpulan Islam tertentu.
Golongan yang memperjuangkan sesuatu matlamat
dengan mengambil jalan kekerasan dan keganasan,
terutama yang berlaku di kalangan umat
Islam sering dilabelkan sebagai fundamentalis.
Bagi sarjana Islam, fundamentalis ialah
orang yang berpegang dan mengamalkan ajaran
Islam dengan penuh komited. Fundamentalis
agama bukanlah golongan pelampau dan pengganas
atau puak radikal dan ektrem seperti yang
dianggap oleh Barat atau yang difahami
dalam konteks agama Kristian. Bagi umat
Islam, istilah dan persepsi serta petafsiran
begini seharusnya dilihat dari perspektif
agama Islam sendiri. Mengikut perspektif
Islam, fundamentalis sebagai golongan
yang berilmu, toleran dan beretika dan
golongan fundamentalis islam inilah yang
telah mengharmonikan integrasi rakyat
Malaysia dsaripada pelbagai kaum dan agama.
Mereka ingin melahirkan masyarakat yang
seimbang dari segi sosial, pendidikan,
ekonomi dan politik negara. Mereka merupakan
golongan yang cintakan perdamaian dan
keamanan seperti nama Islam itu sendiri
yang membawa makna perdamiaan dan keamanan.
Golongan umat yang fundamentalis ini mempunyai
hikmah dan kebijaksanaan untuk memenangi
hati dan jiwa orang lain dengan mengikuti
adab dan nilai agama yang murni dan universal,
bukan secara kekerasan dan bersikap konfrontasi
dengan golongan yang dianggap sebagai
musuh.
Pihak
Barat terutama yang diwakili oleh kuasa
besar Amerika Syarikat sering memandang
gerakan Islam dan aktivitinya sebagai
gerakan radikal dan ganas. Segala label
keganasan itu akan dihubungkan dengan
agama.Sedangkan perbuatan kejam dan ganas
yang dilakukan oleh mereka terhadap dunia
Islam tidak kira sebagai ganas dan radikal.
Sebahagian sarjana menyebutkan fundamental
Islam adalah baik. Umat Islam terdahulu
yang berjaya membina keagungan tamadun
Islam semestinya fundamentalis kerana
tidak banyak tafsiran bercanggah yang
mengelirukan ummah ketika itu. Oleh itu,
umat Islam kini perlu menilai semula amalan
Islam yang diamalkan kini adakah ia bersamaan
dengan kehendak Islam yang sebenar. Oleh
itu, mereka hendaklah memahami ajaran
Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah
dan melihat sama ada wujud sebarang perbezaan
antara Islam yang dibawanya dengan Islam
yang kita percaya dan amalkan hari ini.
Al-Qaradawi
mempunyai pandangan tersendiri mengenai
istilah fundamentalisme atau dalam bahasa
Arab dikenali sebagai "usuli".
Menurutnya, kalimat tersebut adalah berbeza
dengan tanggapan orang Barat terhadap
kalimah tersebut. Bagi orang Barat, golongan
fundamentalis adalah golongan penganas,
penjenayah dan seumpamanya. Perkara ini
dinyatakan oleh al-Qaradawi bagi menjawab
persoalan yang ditimbulkan oleh rakanya,
Saudara Thabit bin Id, rakannya dari Zurich.
Al-Qaradawi menyebutkan bahawa beliau
lebih menyukai kalimah 'kebangkitan Islam'
daripada kalimah fundamentalisme. Walaupun
begitu, kalimah fundamentalisme dalam
warisan Islam adalah kata-kata yang baik
. Perkara ini disebabkan kita adalah umat
yang menyeru manusia untuk kembali kepada
dasar dan asas yng mengandungi satu pengertian
untuk mengaitkan diri dengan asas dan
intipati. Kalimah fundamentalis adalah
satu perkataan yang murni dalam semua
agama termasuk agama Kristian. Muhamad
Imarah pula menyatakan bahawa umat Islam
terlalu terjebak dengan termonologi yang
merugikan dan menjadi kewajipan kita untuk
membebaskan terminologi-terminologi dengan
makna yang sebenar dan menyelamatkan pemikiran
Islam dari bahaya yang ditimbulkan. Menurut
Muhamad Imarah, terminologi fundamentalisme
yang beredar di kalangan sarjana, kebudayaan
dan tokoh politik sekarang adalah terminology
yang tumbuh di Barat dan memuatkan kandungan
pengertian Barat. Sedangkan terjemahan
ke dalam bahasa Arab dengan al-Usuliyyat
yang bererti mempunyai akar Islam dan
mengandungi makna islami yang terkandung
dalam makna. Percampuran makna dan istilah-istilah
ini menyebabkan ia mempunyai pengertian,
latar belakang dan isyarat yang berbagai-bagai.
Hujah Imarah lagi, kalimat al-yasar dalam
dunia Barat adalah untuk para pekerja,
golongan miskin dan orang-orang memerlukan
bantuan.
Sedangkan
dalam pengertian Islam terminologi Islam
ini memberi pengertian sebaliknya iaitu
golongan kaya, yang mendapat kemudahan
material dan makmur. Fundamentalis pada
pandangan Barat pada dasarnya sebuah gerakan
Protestan yang tumbuh di Amerika dan muncul
pada abad 19 masehi dari kalangan gerakan
yang lebih luas iaitu golongan Mesianik
yang menyakini kembalinya al-Masih secara
jasad ke dunia sekali lagi. Mereka juga
mmpunyai lembaga-lembaga yang berperanan
memelihara kitab suci Injil.
Muhamad
Imarah menyebutkan bahawa perlukah kita
memahami fundamentalisme Islam dengan
pengertian Barat iaitu sikap aliran fundamentalis
Kristian terhadap agama mereka. Menurutnya
lagi, trend pemikiran fundamentalis yang
difahami oleh Barat tidak tidak ada dalam
bidang pemikiran Islam kerana perbezaan
dan keragaman antara aliran-aliran Islam
ini telah mengambil jalan tengah terhadap
ta'wil dan tidak ada satu mazhabpun yang
menolak teks-teks secara ta'wil. Menurutnya,
fundamentalisme dalam Islam adalah golongan
para ulamak usul fiqh yang mewakili salah
satu bidang kontribusi umat Islam dalam
kajian-kajian ilmu-ilmu akal. Iaitu bahawa
mereka adalah para pakar dalam bidang
pengambilan kesimpulan hukum (intinbat),
menggunakan dalil melalui isyarat teks
agama, ijtihad dan pembaharuan (tajdid).
Muhamad
Natsir pula berpendapat bahawa istilah
ini ialah orang yang berpegang pada dasar
Islam iaitu apa yang dipesankan oleh nabi
iaitu berpegang teguh kepada al-Quran
dan al-Sunnah. Oleh itu, menurutnya fundamentalis
Islam mengandungi ajaran yang mendorong
manusia untuk menuju kemajuan. Namun dalam
kenyataannya, fundamentalisme Islam diberi
erti lain iaitu dengan memutarbelitkan
istilah yang baik dengan menjadikannya
sebagai istilah untuk meraih apa yang
tidak disukai. Fundamentalis dinyatakan
dengan orang yang kolot dan beku serta
ganas. Oleh itu, beliau menyarankan istilah
yang datang dari Barat ini perlu ditinjau
penggunaannya dan diletakkan pada tempatnya
yang betul apabila dikaitkan dengan Islam.
Malah beliau lebih cenderung menganjurkan
agar jangan memakai atau mempopularkan
istilah fundamentalisme Islam. Bagi Barat
khususnya pentadbiran Amerika mempunyai
sikap yang berbeza terhadap golongan fundamental.
Bagi pihak pentadbiran kerajaan, mereka
mahukan bekerjasama dengan golongan fundamentalisme
Islam manakala bagi Kementerian Pertahanan
Amerika, golongan fundamentalis ini perlu
dihapuskan. Golongan fundamentalis ini
merujuk kepada golongan radikal di Mesir,
Algeria, Tunisia dan Sudan. Mereka melihat
ia merupakan bahaya baru kepada dunia
Barat selepas tamatnya perang dingin.
Al-Qaradawi
berkeyakinan bahawa yang harus menjadi
pertimbangan adalah apa yang ada disebalik
nama dan kandungannya, bukan terletak
pada nama dan judulnya. Perkara yang penting
adalah membatasi pengertian yang ada secara
jelas mengikut perspektif kita sehingga
Barat memahami bahawa fundamentalisme
yang kita fahami bukan sepertimana yang
mereka ertikan.
Oleh
itu, penggunaan istilah itu bukanlah sesuatu
perkara asas yang hendak menjadikan kita
bertengkar. Kita boleh menerima istilah
tersebut dengn penafsiran yang selaras
dengan pendirian kita. Fundamentalisme
pada pandangan ajaran Islam adalah membawa
maksud kembali kepada asas, pokok dan
inti dalam memahami ajaran Islam, pengamalannya
dan dakwah kepadanya. Ada tiga asas dalam
ajaran Islam iaitu;
-
al-Quran
yang merupakan asas dari segalanya.
Al-Quran merupakan kitab yang jelas,
mudah dan terpelihara.
-
Sunnah
nabi iaitu hadith-hadith sahih yang
merupakan perundangan kepada umat Islam.
-
Ijmak ulamak dengan keyakinan yang teguh
dalam masalah agama.
Ini
merupakan asas dari segi sumber rujukan.
Jika kita melihat dasar dari segi asas
agama, maka ia dapat dilihat dalam empat
bidang iaitu :
-
Akidah
seperti beriman kepada Allah, malaikat,
rasul, kitab-kitab dan hari akhirat.
-
Rukun-rukun dalam ibadat seperti solat,
zakat, puasa dan haji.
-
Perundangan Syariat yang pasti yang
telah dibawa oleh Islam seperti hukum
halal dan haram
-
Nilai-nilai akhlak dan peradaban sebagaimana
yang dibawa oleh Islam dengan nilai-nilai
ini, keadilan ditegakkan, kebaikan disuburkan
dan kemakmuran diluaskan.
Fundamentalisme
yang sebenar adalah orang yang berpegang
teguh kepada dasar-dasar agama yang sebenar
seperti di atas dari segi kefahaman, keyakinan,
pengamalan mahupun dakwah walaupun di
sana ada tingkatan dan tahap-tahap keutaman
dalam dasar-dasar tersebut. Fundamentalisme
menurut kefahaman ini memiliki nilai tersendiri,
bukan merupakan keganasan dan kejahatan.
Sekiranya kita berpegang kepada ajaran
Islam secara benar, baik dalam bidang
akidah, ibadat dan dakwah dianggap sebagai
fundamentalisme, maka biarlah orang-orang
itu mengecapnya.
Al-Qaradawi
juga membahagikan fundamentalisme kepada
empat bahagain utama iaitu:
-
golongan
takfir iaitu golongan yang mudah mengkafirkan
orang. Kumpulan ini mulanya muncul di
Mesir dengan persepsi pemikiran untuk
mengkafirkan masyarakat atau orang ramai
secara keseluruhan kecuali orang-orang
yang percaya kepada prinsip-prinsip
mereka dan bergabung dengan jamaah mereka.
-
golongan
yang mengunakan kekerasan dan senjata
untuk menghadapi kebatilan dan merubah
apa yang dilihatnya sebagai mungkar.
Pada dasarnya, kekerasan kelompok ini
lebih ditujukan kepada para penguasa
yang tidak menjalankan syariat tuhan.
-
Golongan
jumud dalam pemikiran dan literal dalam
fiqh, mencari yang sulit dalam fatwa,
keras dalam berdakwah dan kasar dalam
berinteraksi. Mereka mengingkari tajdid
atau pembaharuan dalam agama , ijthad
dalam fiqh, kemudahan dalam berfatwa,
khabar gembira dalam berdakwah, tidak
membuat keseimbangan antara teks dan
tujuan syariat, lalu akhirnya bersikap
keras terhadap orang lain. Mereka seringkali
mengeluarkan kata-kata haram mahupun
bid'ah. Masalah-maasalah yang ditimbulkan
oleh kumpulan ini bukanlah perkara yang
asas tetapi perkara remeh, memperhatikan
rupa dan mengabaikan hakikat, memperhatikan
perkara-perkara yang diperselisihkan
dan mengabaikan perkara-perkara yang
telah disepakati.
-
Kelompok
keempat adalah kelompok yang terbesar,
banyak pengikutnya dan panjAng umurnya
adalah kelompok pertengahan. (Wasatiyyah).
Aliran ini yang diperjuangkan oleh al-Qaradawi
dan beliau yakin aliran inilah yang
dapt mengambarkan Islam yang sebenarnya
sama ada dari sudut ilmu mahupun amalan.
Aliran ini berdasarkan kepada tiga dasar
terpenting iaitu: mudah, pembaharuan
dan pertengahan.
Ciri-ciri
fundmentalis yang diidamkan ialah:
-
Mempunyai
metode yang mudah dalam berfatwa dan
memberi khabar gembira dalam berdakwah.
Ini adalah manhaj yang telah digariskan
oleh Nabi dengn sabdanya bermaksud:
"buatlah yang lebih mudah dan janganlah
mempersulitkan, buatlah mereka gembira
dan jangan buat mereka lari" (muttafaq
alaihi). Termasuk dalam perkara ini
adalah bebas dari fanatik terhadap kelompok
atau mazhab tertentu dan melaksanakan
kaedah perubahan fatwa berdasarkan perubahan
zaman, tempat, tradisi dan adat. Sementara
khabar gembira dalam bedakwah adalah
menunjukkan manifestasi kecintaan kepada
Allah, menanamkan dalam hati mereka
harapan dan bukan putus asa, membangkitkan
semangat untuk hal yang lebih baik dan
banyak menyampaikan berita-berita kemenangan.
-
Tajdid
dan Ijtihad. Ciri pemikiran fundamentalisme
ialah mereka brerdakwah kepad pembaharuan
agama. Dengan pembaharuan agama, akal
pun menjadi baru dengan diisi makrifat,
hati menjadi baru kerana diisi iman
dan segala aspek kehidupan menjadi baru
kerana diisi dengan pergerakan dan maju
ke hadapan. Di antara fenomena pembaharuan
agama ialah ijtihad iaitu mengeluarkan
hukum-hukum yang baru berdasarkan teks
al-Quran dan al-sunnah. Ijtihad merupakan
keperluan umat Islam dan tuntutan agama.
Ijtihad hendaklah dilakukan oleh orang
yng selayaknya dan tidak boleh berijtihad
dalam perkara-perkara yang pintunya
memang tertutup
-
Pemikiran
yang seimbang dan saling lengkap melengkapi
antara satu sama lain, suatu pandangan
yang menggambarkan jalan pertengahan
bagi umat pilihan, jauh dari sikap berlebih-lebihan
dan pengabaian. Pemikiran ini seimbang
anata penyeruan kepada pemikiran mazhab
yang sempit dan penyeruan tanpa mazhab,
pertengahan antara orang yang mengangungkan
akal walaupun bertentangan dengan teks
dengan golongan yang mengabaikan akal
walaupun dalam memahami teks, pertengahan
antara keras dalam masalah cabangan
dengan golongan yang mengabaikan dalam
masalah asas dan pokok.
Masa
depan fundamentalisme ini dalah bergantung
kepada sejauh mana terikatannya dengan
dasar-dasar Islam dengan kefahaman yang
jelas, kesanggupan memenuhi keperluan
masyarakat moden dan berbagai-bagai tuntutannya
sama ada material mahupun spiritual, memiliki
pengaruh yang kuat dalam masyarakat dan
berkembang secara meluas dalam masyarakat.
Kita tidak boleh lagi mengecilkan diri.
Kita harus menjalinkan hubungan dengan
semua lapisan masyarakat.
Al-Qaradawi
berkeyakinan penuh bahawa kekuatan umat
ini adalah Islam. Umat ini tidak boleh
hidup tanpa Islam, tidak boleh bangun
kecuali dari Islam, tidak boleh mengorbankan
harta dan jiwanya kecuali untuk Islam,
tidak boleh berhimpun kalimatnya kecuali
atas Islam. Islam adalah satu-satunya
pintu kemenangan umat. Kemengangan tidak
akan muncul sepanjang sejarah umat ini
kecuali bernaung dibawah benderanya. Umat
ini akan mencipta kegemilangan apabila
kita bersama al-Quran dan keimanan. Oleh
itu al-Qaradawi berharap kebangkitan Islam
mestilah menyeluruh tanpa mengira kelompok
atau golongan tertentu atau berlakunya
pemisahan antara sesama umat Islam kerana
berbeza pendekatan. Di samping itu, kita
harus memberi iklim yang bebas dan aman
bagi perkembangan kebangkitan Islam untuk
mempratikkannya tanpa merasai ketakutan,
Al-Qaradawi menggariskan kewajipan umat
Islam terhadap kebangkitan Islam iaitu:
-
Setiap
orang perlu melibatkan diri dengan kebangkitan
Islam.
-
Meluruskan
kefahaman yang salah tentang ajaran
Islam.
-
Menjadikan kebangkitan Islam sebagai
hasratnya yang paling besar.
-
Harus menjadikan kebangkitan Islam untuk
membangun, bukan untuk merosakkannya.
-
Membuka dialog dengan semua golongan
yang berbeza pandangan.
-
Jangan menyibukkan diri dalam masalah-masalah
cabang dan melalaikan masalah yang mendasar.
-
Memperhatikan sunnatullah terhadap alam
dan manusia. Apabila kita berbuat sesuai
dengan sunnatullah, nescaya akan mencapai
kebahagian hakiki di dunia dan akhirat.
Namun
al-Qaradawi khuatir, gelombang kebangkitan
Islam ini dicemari oleh unsur-unsur seperti
berikut:
-
Aliran
jumud yang menolak pembaharuan dan ijtihad.
-
Aliran
fanatik dan keras iaitu mempersempitkan
apa yang dilapangkan Allah, bersikap
keras di tempat yang seharusnya lembut.
-
Aliran yng terburu-buru dan bertempur
dengan penguasa sebelum tiba waktunya
tanpa ada keperluan yang sebenarnya.
-
Aliran merasa hebat di tengah masyarakat
dan tidak mahu bercampur dengan masyarakat
dalam proses perubahan.
-
Fanatik kepada individu dan organisasinya
sendiri tanpa melihat kebaikan organisasi
lain.
-
Tenggelam dalam politik tempatan yang
keterlaluan dan membatasi dalam bidang
politik sahaja dan tidak peduli mengenai
bidang-bidang yang lain.
Al-Qaradawi
juga berkeyakinan bahawa kebangkitan Islam
yang sederhana ini akan terus subur.Ketakutan-ketakutan
terhadap unsur-unsur di atas tidaklah
menyebabkan kita berputus asa. Perkara
yang pasti bahawa gelombang jalan tengah
yang bertindak, secara hati-hati dan penuh
kesabaran, secara berimbang dan mengambil
jalan tengah, dengan penuh kesedaran dan
perencanaan akan memperoleh kemenangan
dan kekuatan dalam menghadapi setiap gelombang
yang menakutkan itu.
Kebangkitan
aliran sederhana ini merupakan gelombang
hari besok, yang diharap dan yang didampakan
oleh kita. Gelombang ini harus menjadi
dominan dalam masyarakat dan melakukan
perubahan dari dalam diri dan masyarakat.
Islam adalah kekuatan umat ini. Tidak
ada jalan keluar bagi umat ini kecuali
dengan Islam, tidak ada kemuliaan dan
kebangkitan kecuali dengan Islam. John
L. Esposito melihat bahawa Barat menggunakan
istilah fundementalisme Islam sebagai
ancaman baru kepada mereka.
Akibatnya,
banyak kerajaan Islam menggunakan bahaya
fahaman radikal atau keganasan Islam sebagai
alasan untuk mengawal atau menghapuskan
gerakan Islam. Menyamakan Islam dengan
gerakan ekstremis yang mengancam Barat
sudah menjadi kebiasaan dalam media Barat.
Islam
Liberal
Ungkapan
'Islam Liberal" merupakan satu istilah
yang digunakan untuk menjelaskan agama
Islam yang bersikap toleransi, tidak mengunakan
kekerasan, lawan bagi unsur fanatisme
yang difahami oleh Barat. Bagi sesetengah
pengkaji Barat, kekuasaan politik Islam
disamakan dengan kezaliman, tradisi Islam
disamakan dengan kemunduran dan keganasan.
Oleh itu, ungkapan "Islam Liberal'
adalah untuk menyanggah pendapat tersebut.
Secara literal 'liberal' bererti mempunyai
luas pandangan. Secara khusus merujuk
kepada fahaman yang mementingkan kebebasan
individu untuk bertindak dan melahirkan
pendapat mengikut cara dan pilihannya
sendiri. Liberalisme ialah aliran pemikiran
yang didasarkan kepada pandangan yang
luas dan terbuka terutama dalam urusan
masyarakat dan politik kenegaraan. Yang
diutamakan dalam aliran liberalisme ialah
kebebasan individu.
Charles
Kurzman membahagikan kepada tiga tradisi
interpretasi sosia-religios di dalam wilayah
dunia Islam sejak dua abad yang lalu.
Tradisi-tradisi ini saling melengkapi
dan jalin menjalin dan semestinya tidak
dianggap berbeda satu sama lain atau homogen
secara internal tetapi sebagai alat bantu,
ketiga jenis tradisi itu memberikan sudut
pandang yang singnifikan bagi sejarah
wacana Islam masa kini. Tradisi-tradisi
itu ialah;
i.
Islam adat (customary Islam) iaitu yang
ditandai oleh kombinasi kebiasaan-kebiasaan
kedaerahan dan kebiasaan-kebiasaan yang
juga dilakukan oleh dunia Islam termasuk
penghormatan terhadap tokoh-tokoh yang
berlebihan, pertunjukan-prtunjukan ritual
agama dan kekuatan yang mengekpresikan
tradisi daerah, amalan-amalan pendewaan
dan pemujaan.
ii.
Islam revivalis (revivalist Islam ) iaitu
tradisi kedua dan alternatif terpenting
dari Islam adat. Mereka juga mengenalinya
sebagai islamisme, fundamentalisme atau
wahabisme. Namun, mengelarkan revivalis
dengan menyamakan dengan fundamentalisme
atau wahabisme adalah kurang tepat kerana
fundamentalis dan wahabisme juga mempunyai
ciri-ciri yang berbeza dalam setiap aliran
tersebut. Menurut tradisi ini, mereka
menyerang interpretasi adat yang kurang
memberi perhatian terhadap inti pati doktrin
Islam. Menghadapi penyimpangan-penyimpangan
lokal. Tradisi revivalis ini menginginkan
penekanan kepada bahasa Arab sebagai bahasa
wahyu, menegaskan kepalsuan institusi-institusi
politik lokal, ororitas kaum revivalis
sebagai satu-satunya kelompok penafsir
Islam yang memenuhi syarat Menurut Charles
Kurzman, antara tokoh dalam kelompok ini
ialah Syah Waliyullah (India, 1703-1762)
dan Aqa Muhammad Baqir Bihbihani (Iran,
1790).
iii.
Islam liberal mendefinisikan dirinya secara
kontras dengan Islam adat menyerukan keutamaan
periode Islam yang paling awal untuk menegaskan
ketidakabsahan praktik-pratik keagamaan
masa kini. Islam liberal menghadirkan
kembali masa lalu itu untuk kepentingan
kemodenan sedangkan Islam revivalis menegaskan
kemodenan atas nama masa lalu. Salah satu
ciri terpenting bagi golongan ini ialah
mengkritik kemunduran yang melanda dunia
Islam yang pada pandangan mereka menghalangi
dunia Islam untuk menikmati buah kemodenan,
kemajuan ekonomi, demokrasi, hak-hak hukum
dan sebagainya. Kelompok ini muncul pada
abad ke 19 sama ada secara individu mahupun
institusi dengan melaaungkan tema kembali
kepada ijtihad dan m penggunaan akal.
Antara
tokoh dalam kategori ini seperti Jamaluddin
al-Afghani ( 1838-1897), Sayyid Ahmad
Khan (India, 1817-1898), Muhamad Abduh
(Mesir1849-1905). Islam liberal ini muncul
dengan membawa tema memerangi taklid,
melakukan ijtihad dan mendirikan institusi-institusi
pendidikan. Termasuk dalam kumpulan ini
seperti Rifa'at al-Tahtawi, (1801-1873),
Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1851-1957),
K.H Ahmad Dahlan (1869-1923).
Ciri
khas dari gerakan ini adalah pengenalan
pelajaran-pelajaran Barat dan mengunakan
media sebagai media baru untuk mempengaruhi
orang awam. Di samping itu, pada dua dekad
pertama abad ke 20, golongan liberal ini
mendapat dukungan dari pemerintah yang
berpandangan moden seperti Muhammad Ali
di Mesir dan Mahmud II di kerajaan Uthmani.
Namun, kelompok liberal ini digolongkan
oleh kaum revivalis sebagai kelompok yang
ingkar agama dan murtad dan juga sebagai
sekularisme.
Namun
bagi Charles Kurzman, tidak diragukan
lagi bahawa beberapa pemikir liberal pada
zaman ini memang salah, mengadopsi perspektif
orientalis dan menyebut Islam sebagai
sesuatu yang terbelakang dan mundur seperti
pandangan Ali Abdul Raziq (Mesir 1888-1966)
Namun
sejak tahun 1970an, Islam liberal memperolehi
populariti baru apabila perdebatan-perdebatan
Islam semasa dibincangkan scara terbuka,
lahirnya tokoh-tokoh kaum liberal yang
mendapat pendidikan Barat melakukan pembaharuan
pendisiplin keilmuan dan perlu kontribusi
Islam terhadap masalah-masalah moden dan
kritis terhadap Barat.
Kelompok
ini mengalami berbagai-bagi tekanan termasuk
dibunuh dan dihukum murtad seperti Mahmoud
Muhamaed Taha (sudan, 1910-1985), Subhi
Salih (Lebnon m.1986), Farag Fuda (Mesir,
1945-1992). Kelompok ini juga mendapat
kecaman yang hebat seperti Muhamamd Khalaf
– Allah yang dipaksa untuk menegaskan
kembali keimananya kepada Islam dan Abdul
Karim Soroush dilarang berbicara di depan
rakyat Iran serta diancam pembunuhan.
Islam
Liberal ini mempunyai masa depan disebabkan
peningkatan taraf pendidikan di dunia
Islam dan lahirnya tokoh-tokoh Islam yang
bukan berlatar belakang pendidikan tradisi
Islam seperti Rachid Ghannouchi sebagai
filosuf, dan Syari'ati sebagai ilmuan
sosial. Di samping kemunculan inrastruktur
organisasi bagi Islam liberal. Charles
Kurzman menyifatkan organisasi "aliran"
pimpinan Chandra Muzaffar sebagai aliran
Islam liberal. Termasuk yang dikategorikan
dalam kelompok ini ialah Institut Pemikiran
Islam Antarabangsa (IIIT) di Herndon,
Virginia, Institut Penelitian dan Kajian
Islam di Houston, Texas dan Masyarakat
Ibn Khaldun (Ibn khaldun society) di London
dan Washington D.C. Kegiatan-kegiatan
organisasi ini ditujukan bagi orang-orang
Barat dengan menunjukkan sisi Islam yang
tidak fanatik dan juga kepada orang-orang
Islam dalam supaya menyebarkan perspektif
liberal dalam dunia Islam.
Islam
Liberal terbentuk dalam tiga aspek utama
iaitu:
-
Hubungan
liberalisme dengan sumber-sumber primer
Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang
secara bersamaan menetapkan dasar hukum
islam (liberal Shari'a).
-
Kaum
Muslimin bebas mengadopsi sikap liberal
dalam hal-hal yang oleh syariat dibiarkan
terbuka untuk difahami oleh akal budi
dan kecerdasan manusia. Syariah tidak
memberi jawapan jelas mengenai topik-topik
tertentu dan terpulang kepada akal untuk
menafsirkannya (silent Shari'a).
-
Memberi
kesan bahawa syariat yang bersifat ilahiah,
ditujukan bagi berbagai penafsiran manusia
yang beragam. Penafsiran yang berbagai-bagai
itu menimbulkan konflik dan kekeliruan.
(interpreted shari'a). Mereka berpendapat
bahawa penafsiran-penafsiran manusia
seharusya tidak disamakan derajatnya
dengan wahyu yang bersifat ilahiah,
kerana penafsiran-penafsiran manusia
dapat keliru dan terbuka untuk diperdebatkan.
Antara
tema-tema perjuangan Islam liberal ialah
:
-
Menentang
teokrasi seperti menerapkan bentuk 'silent
shari'a': wahyu ilahi menyerahkan bentuk
pemerintahan pada konstruksi pemikiran
manusia seperti pandangan Ali Abd Raziq
dan Khalaf–Allaf.
-
Demokrasi
secara meluas diperdebatkan dalam model
"liberal shari'a" dengan penekanan
khusus pada konsep syura atau musyawarah.
-
Hak-hak
kaum wanita tentang poligami, perceraian
dan harta pusaka.
-
Hak-hak
orang bukan Islam dan hubungan antara
agama.
-
Kebebasan
berfikir agar dapat memberikan dasar
kebenaran terhadap pengungkapan pemikiran-pemikiran
mereka yang lain. Termasuk dalam aspek
ini ialah ijtihad.
-
Gagasan-gagasan
tentang kemajuan, memandang kemodenan
dan perlunya perubahan.
Namun,
bagi sesetengah pihak mereka menanggap
Islam liberal sebagai satu kelompok yang
tidak suka kepada pelaksanaan syariat,
memperjuangkan sekularisasi, menyamakan
agama Islam dengan agama-agama lain dan
memperjuangkan demokrasi Barat. Di Indonesia,
kelompok ini diketuai oleh Nurcholish
Majdjid dan di Malaysia nama-nama seperti
Zainah Anwar, Kassim Ahmad, Farish A.
Noor dan Akbar Ali dikaitkan dengan Islam
Liberal. Di Indonesia, Islam liberal ini
lebih dikenali dengan Jaringan Islam Liberal.
Mereka juga menamakan Syafii Maarif sebagai
pendokong Islam Liberal. Persatuan Ulamak
Malaysia (PUM) telah membantah beberapa
penulis dan tokoh politik yang dikatakan
mencabar Islam dan penghinaan kepada Rasulullah
dan ulamak. Antaranya ialah Farish A.Noor,
Akbar Ali, Zainah Anwar dan Malik Imtiaz
Sarwar.
Akar
Umbi Islam Liberal
Islam
liberal melihat majoriti umat Islam mengikut
aliran tradisional konservatif yang jumud
dan tidak memberi ruang kepada akal untuk
berperanan dan berijtihad.Oleh itu, mereka
lebih menggunakan akal dan apabila berlakunya
pertentangan antara nas dan akal maka
didahulukan akal. Mereka berhujahkan pandangan
al-Tusi yang yang mengharuskan taqdim
maslahah ala nas. (Mendahulukan kepentingan
umum atas teks). Sebenarnya, ajaran Islam
memandang mulia kedudukan akal dan meletakkannya
di tempat yang tinggi. Akal digunakan
dalam semua disiplin ilmu Islam seperti
ilmu kalam, fiqh, mantiq dan usul fiqh.
Kaedah qiyas, istihsan, masalih al-Mursalah
yang merupakan sumber perundangan Islam
adalah bersumberkan akal.Namun akal harus
dipimpin oleh wahyu.
-
Penolakan
terhadap otoriti agama. Mereka menekankan
tentang kebebasan berpendapat dan sesiapa
sahaja berhak bercakap tentang agama
dan hukum. Islam menetapkan bahawa otoriti
dalam ilmu pengetahuan amat penting.
Banyak ayat dan hadith yang menyarankan
agar menghormati ilmuwan dan berpegang
kepada disiplin ilmu dan adab-adab belajar
dan mengajar.Termasuk dalam seruan ini
ialah penafsiran semula al-Quran yang
dikatakan tidak sesuai untuk zaman sekarang
dan penganayaian terhadap wanita.
-
Islam
Liberal menyeru kepada pluralisme agama
dan menanggap semua agama menuju ke
arah kebenaran. Mereka berdalilkan bahawa
kedatangan nabi Muhamamd itu tidak memansuhkan
syariat yang terdahulu dan Islam adalah
menyempurnakan agama yang terdahulu.
Hakikatnya, agama yang diakui oleh Allah
adalah Islam yang jelas disebut dalam
al-Quran dan banyak ayat-ayat al-quran
yang menjelaskan orang beriman dan orang
fasik adalah tidak sama (al-Sajadah,
ayat 18), (al-Hasyr, ayat 20), (ali
Imran, ayat 19).
-
Penolakan
terhadap syariat Islam dan beranggapan
bahawa syariat adalah ciptaan ulamak
dan fuqaha selama 300 tahun pertama
hijrah. Menurut mereka, syariat Islam
tidak suci (divine) dan menyimpulkan
bahawa syariah adalah produk ulamak
dan pemerintah yang tertentu untuk terus
berkuasa. Di sini jelas kekeliruan mereka
kerana tidak membezakan antara syariah
dan fiqh, di antara thabit
dan mutaghayyirrat diantara
perkara yang disepakati atau qat'iyyat
dan perkara-perkara ijtihadi. Tanpa
melihat kepada perkara-perkara tersebut
sudah tentu kekeliruan akan timbul.
Penelitian
penulis mendapati, bahawa pendapat sekiranya
keinginan Islam liberal bermaksud kepada
kemajuan Islam menurut perspektif al-Quran
dan al-Sunnah dengan mengambil kira pelbagai
pandangan tokoh-tokoh dan sarjana muslim
dan meraikan realiti dan keadaan, maka
tiadalah salah penggunaan tersebut. Dengan
mengambil kira juga, tema-tema yang enam
yang disebutkan oleh Charles Kurzman tersebut.
Maka kekelomokan ini termasuk tokoh-tokoh
yang disebut oleh Charles Kurzman seperti
al-Qaradawi dan M.Natsir yang mana mereka
adalah orang yang tidak suka kepada bentuk
keganasan dan kekerasan, menyokong yang
baik dari sistem demokrasi dan yakin kepada
syariat Islam sesuatu yang terbaik. Kemasukan
nama-nama seperti al-Qaradawi dan M. Natsir
sama ada disengajakan atau untuk menarik
perhatian umat Islam agar mudah terpengaruh
dengan dakyah mereka. Ironisnya, kenyataan
Kurzman tersebut disangkal oleh kalangan
orang Barat yang melihat al-Qaradawi sebagai
fundamentalis.
Sekiranya
yang dimaksudkan dengan Islam liberal
dengan penolakan terhadap al-Quran dan
al-Hadith secara terang-terangan, maka
ia adalah sesuatu yang perlu diperjelaskan
dengan betul seperti pendapat Ali Abdul
Raziq. Di Malaysia, Abdul Rahman Abdullah
membahagikan kepada tiga aliran sebagai
mewakili pemikiran Islam iaitu tradisionalisme,
modernisme dan reformisme. Tradisional
difahamkan dengan sifat konservatif atau
mempertahankan yang lama. Ia hanya melihat
sejarah yang lama atau masa yang lalu
sebagai sumber inspirasi atau sesuatu
yang harus dipertahankan. Tradisionalisme
konversatif ini ialah golongan ulamak
yang berpegang kepada bertaqlid kepada
mazhab ahli sunnah wal jamaah dalam ilmu
tauhid, kepada mazhab Syafi'i dalam feqah.
Tradisionalisme reformatif ditujukan kepada
gerakan Jamaat Tabligh. Neo-tradisiolisme
ditujukan sebagai gerakan al-Arqam. UMNO
pula digolongkan dalam gerakan modernis
sementara ABIM digolongan dalam reformis
intelektual. Menurutnya, Modernisme merupakan
aliran yang berasaskan kebudayaan dan
pemikiran Barat moden. Antara cirinya
yang terpenting adalah nasionalisme dan
sekularisme. Sementara reformisme iaitu
penekanan kepada ajaran Islam yang tulen,
islah dan tajdid.
Soedjatmoko
mendefinisikan modernisasi dengan "menambahkan
kemampuan suatu sistem sosial untuk mengulangi
tantangan-tantangan serta persoalan-persaoalan
baru yang dihadapinya, dengan pengguanan
secara rasional daripada ilmu dan teknologi
atas segala sumber kemamapuannya. Sementara
Mukti Ali menamakan modernisasi sebagai
" suatu proses dimana rakyat dalam
suasananya sendiri menyelesaikan dirinya
terhadap keperluan-keperluan waktu di
mana mereka hidup." Rasionalisme
adalah penerimaan bahawa fikiran sebagai
prinsip yang tertinggi yang merupakan
organ ilmu yang menghakimkan segala dan
penolakan segala yang mengatasinya seperti
wahyu, nubuwwah. Makna modenisasi dan
prinsip seperti ini adalah berlawanan
dengan tradisi yang ditimbulkan oleh Islam.
Golongan
Islam liberal sering mengkritik ulamak
yang dikatakan kurang memberi sumbangan
kepada pemodenan umat. Namun begitu, dalam
konteks Malaysia pada hari ini kekuatan
ulamak harus diperkasakan. Ulamak harus
sedar bahawa banyak pertubuhan Islam yang
memberi sokongan padu kepada mereka. Oleh
itu, mereka harus menyedari apakah sumbangan
mereka terhadap kebangkitan Islam umat
itu sendiri. Islam tidak tertegak atas
'penceramah bebas' tetapi atas kekuatan
dan kerjasama jamaah. Kita lihat gerakan
Islam banyak dipelopori oleh golongan
intelektual yang bukan dari aliran agama..
Malah kesedaran Islam pada awal tahun
1970an dan 80an juga dipelopori oleh bukan
beraliran agama. Sedangkan secara khususnya
ABIM sebagai sebuah gerakan Islam turut
berperanan mengangkat martabat golongan
ustaz-ustaz dan ulamak-ulamak serta mufti-mufti
sehingga mereka mendapat kedudukan yang
baik dalam kerajaan dan masyarakat. Namun,
apa pula sumbangan mereka terhadap umat?
Apakah dakwah Islamiah tidak tersahut
dengan usaha saling mengukuhi antara sesama
kita? Sumbangan mereka terhadap umat harus
lebih agresif dan menyeluruh, bukan sekadar
apabila dikritik dan dihina oleh golongan
Islam liberal barulah mengajak umat bangun
membela mereka. Sepatutnya kita perlu
bersama-sama turun ke medan umat dalam
kapasiti masing-masing, bukan hanya duduk
menunggu umat untuk bertandang ke pejabat
mereka seolah-olah seperti menagih simpati.
Kesimpulan
ABIM
memainkan peranan yang penting dalam mencorak
pemikiran masyarakat dengan ciri kesederhanaannya.
Ini diakui oleh oleh Mahmud Zuhdi baru-baru
ini dengan mengiktirafkan peranan ABIM
sebagai pemangkin kepada wacana pemikiran
umat Islam di Malaysia. Kebangkitan umat
harus bermula dengan keilmuan dan keimanan
kepada Allah. Dari format dan simbol kepada
hakikat dan substansi, dari retorika dan
perdebatan menuju penerapan dan tindakan,
dari sikap sentimental dan emosional menuju
sikap rasional dan ilmiah, dari orientasi
masalah cabang dan remeh menuju masalah
pokok dan utama, dari menyulitkan dan
ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira,
dari sikap kejumudan dan taklid menuju
ijtihad dan pembaruan. Umat Islam sama
ada generasi muda atau dewasa, tidak mungkin
dapat survive sebagai muslim
secara individu atau sebahagian dari sebuah
tamadun gemilang dan umat nabi Muhammad
s.a.w. sekiranya tidak dapat menangani
cabaran yang dihadapkan oleh dunia moden
kepada mereka. Mereka perlu memahami dunia
moden kini dengan mendalam dan secara
bijak, dan menangani perubahan dan cabaran
tanpa pengaruh emosi, tetapi di atas asas
ilmu yang sahih dan benar tentang dunia
moden ini bersandarkan tradisi keilmuan
Islam secara menyeluruh. - Ehsan Minda
Madani Online
_______________
Nota: Penulis di
lahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun
1971. Beliau mendapat pendidikan menengah
di Maktab Mahmud, Alor Setar (1984-1990).
Setelah itu mendapat tawaran melanjutkan
pelajaran di Pusat Makrikulasi Universiti
Islam Antarabangsa, Lembah Pantai (1990-1991).
Namun kerana minat yang mendalam di bidang
pengajian Bahasa Arab, beliau kemudiannya
melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar,
Mesir dan memperelohi ijazah dalam Kuliah
Bahasa Arab pada tahun 1996. Seterusnya,
pada tahun 1998 beliau melanjutkan pengajian
di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
dan memperolehi ijazah Sarjana pada tahun
2000 di samping memperolehi Diploma KPLI
dari Maktab Perguruan Islam, Bangi pada
tahun yang sama dengan keputusan cemerlang.
Kini, sedang meneruskan pengajian di peringkat
Ph.D juga di Universiti Malaya.
Beliau
banyak menulis artikel-artikel di dalam
akhbar dan majalah tempatan sejak di alam
universiti lagi. Sehingga kini beliau
menyumbang lebih dari 50 artikel di ruangan
agama dalam akhbar Berita Harian. Juga,
telah menerbitkan buku antaranya ialah
Syeikh Muhammad al-Ghazali : Sejarah Hidup
dan Pemikiran Jabatan Agama Islam Johor,(1999)
Teks STPM Tamadun Islam, Longman (2003),
ABIM dan Isu Palestin, ABIM (2003), Panduan
Berdakwah Kontemporari, PTS Publications
(2003), Tokoh Islam Kontemporari, Tradisi
Ilmu (2005) dan Minda Hadhari, Tradisi
Ilmu (2005).
Semasa
menuntut di Mesir, beliau merupakan YDP
ABIM Mesir (1994-1996). Sekembalinya ke
tanahair, beliau merupakan Setiausaha
Sekretariat Dakwah dan Tarbiah ABIM (1996-1998),
Ketua Biro Dakwah ABIM Wilayah Persekutuan
(1998/1999), Exco Dakwah ABIM Pusat (2001-kini).
Selain itu, beliau juga merupakan AJK
Nadwah Persuratan Islam (NAFIS)
|