Pilihanraya Umum dan generasi muda

Azwiralbukhairi Ab Aziz
03:40pm 22 Julai 2005

Kehadiran pilihanraya umum yang lalu telah menggerakkan seluruh jentera pilihanraya parti politik kepada gerak kerja meraih undi, memasang poster, menerangkan manifesto dan sikap parti. Gendang yang dipalu menuntut pengorbanan masa, wang dan tenaga yang bukan kepalang. Seluruh tumpuan diberikan semata-mata dengan niat untuk berkhidmat kepada rakyat dan Negara serta menawarkan ramuan atau formula kepada isu-isu berbangkit. Ahli fikir dan penyelidik telah menyediakan urutan manifesto untuk menjadi gambaran kepada rakyat mengenai hala tuju ke mana kemenangan pilihanraya ingin dibawa.

Jika kita mengambil contoh yang begitu ideal. Sebagai contoh, alangkah baik jika tenaga dan gerak kerja seperti menghadapi pilihanraya digerakkan untuk menghadapi masalah utama Negara seperti menghapuskan musuh utama Negara seperti penagihan dadah. Selepas pilihanraya seluruh kumpulan parti-parti politik bersama seluruh jenteranya bersama pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai segmen masyarakat yang lain berkerjasama dalam menghapuskan gejala penagihan atau kadar buta huruf masyarakat.

Sebagai contoh mudah, dalam masa lapan hari mengadakan kempen pencegahan, menguatkuasa, menghentikan transaksi dadah seperti berada dalam suasana pilihanraya. Kerjasama dalam perkara asas yang dilihat sebagai isu yang menjadi milik bersama adalah permulaan yang baik sebelum pergi kepada perkara yang lebih besar.

Pertemuan kedua bekas Presiden UMNO dan PAS di Dewan Tun Syed Nasir anjuran DBP dan ABIM sebelum ini sudah memberi indikasi bahawa ruang untuk bersama dalam perkara tertentu boleh menjadi realiti. Bermula dari dalam negara sendiri, moga-moga sikap kedua parti politik ini akan menjadikan Malaysia lebih berperanan untuk menyatukan negara Islam didalam OIC untuk bersatu dalam kepelbagaian ragam yang dipakai oleh negara-negara Islam. Signifikasi peristiwa ini harus dilihat sebagai gambaran awal tentang kematangan berpolitik yang mendahulukan nasib serta untung ummah sebagai agenda terpenting dengan menolak tepikan dahulu pemahaman politik serta kepentingan parti yang pelbagai.

Tragedi Palestin yang menjadi cerminan prestasi serta wajah umat Islam telah menjadi faktor asas kepada kebersamaan kedua pemimpin berpengaruh ini untuk bersama seia sekata menyatakan pendirian dan pandangan bahawa tragedi ini adalah menjadi tanggungjawab bersama dan bukan milik pihak atau golongan tertentu sahaja. Perhimpunan Agenda Melayu sebelum ini oleh Kumpulan Prihatin yang diketuai oleh Datuk Dr. Zainal Abidin Wahid juga telah mensyorkan agar berlaku persefahaman bersama melalui kaedah yang parti-parti politik persetujui dan difahami dengan cara yang tersendiri.

Selaku orang muda dan mahasiswa, usaha baik antara kedua parti politik utama negara yang banyak mewarnai suhu politik Malaysia cukup besar maknanya. Sudah pasti generasi muda tidak mahu mewarisi mana-mana konflik yang tidak banyak membantu ummah. Perbezaan yang tidak menyumbang kepada sebarang pembaikan dan pembinaan negara harus dielakkan. Persaingan politik yang menguntungkan sebagaimana yang berlaku dikalangan parti politik Cina baik diperingkat parti pemerintah dan pembangkang perlu dilihat sebagai satu model yang perlu diberi perhatian.

Generasi muda tidak apologetik dengan rencam politik yang ada. Walaupun rata-rata tidak berminat mengambil tahu mengenai peranan sistem politik negara ke atas majoriti penduduk di Malaysia. Tetapi dasar dan polisi negara merujuk mengenai sistem berpolitik Malaysia sangat mempengaruhi bakal generasi pewaris nanti. Banyak perkara yang boleh dipersetujui terutama sekali mengenai untung nasib generasi mendatang yang telah diwarnai dengan pelbagai kes yang cukup menyedihkan kita seperti dadah, rogol dan samseng Pengalaman Bangladesh National Party (BNP) dan Jamaati Bangladesh mendokong isu-isu fundamental seperti kemiskinan dan pencemaran sudah berlaku.

Sikap toleran dan ingin bekerjasama semenjak peristiwa 11 September telah banyak merubah pendekatan gerakan Islam terutama yang terlibat secara langsung dalam politik Negara masing-masing. Tanpa mengorbankan prinsip dan pandangan masing-masing pada Islam ramai tokoh seperti Sheikh Abbasi Madani (FIS), Racheed Ganoushi (Nahdah Tunisia), Azzam Tamimi menyatakan keperluan untuk umat Islam memberi keutamaan kepada pembinaan asas sesebuah negara daripada terus berkonflik dalam keadaan umat Islam sedang ditekan hebat.

Kita wajar menghormati peranan kedua-dua parti politik UMNO-PAS dan parti politik lain yang menyumbang besar kepada kewujudan negara kita hingga ke hari ini. Sebagai rakyat Malaysia, sumbangan parti politik Malaysia samada pembangkang dan pemerintah saling perlu memerlukan untuk menjamin kelangsungan survival negara kelak. Tetapi, persaingan politik yang merugikan perlu dielakkan agar kita tidak menjadi faktor kepada kehancuran sesebuah negara.

Jose Rizal ketika disaat akhir kehidupannya sebelum digantung oleh penjajah Filipina sempat menyatakan bahawa, hukuman bunuh ke atas beliau adalah satu permulaan perjuangan yang lebih besar. Walaupun disaat yang paling kritikal pada dirinya, namun ia tetap positif tentang masa depan perjuangannya. Begitu juga dengan kita, walaupun ianya mungkin tidak begitu kritikal sebagaimana contoh ini, tetapi ianya harus dilihat dari pandangan yang positif walaupun boleh diberi beribu pandangan negatif yang tidak punya kenyakinan pada perkembangan ini. Keterbukaan dan sikap menghormati antara parti politik akan menjadi satu perjuangan yang lebih besar dan lebih sukar.

Adalah mudah untuk meruntuhkan antara satu sama lain. Tetapi untuk membina kepercayaan, rasa kasih dan hormat disamping persaingan kuasa yang berlaku adalah sukar. Perjuangan ini mungkin lebih sukar berbanding dari perjuangan berdarah kerana ianya menuntut kesabaran, keterbukaan, objektif dalam penilaian dan luar dari kebiasaan persaingan politik biasa. Tindakan bersama mampu memberi keuntungan kepada ummah dan seterusnya menjadi rahmat dan kebaikan kepada seluruh warganegara Malaysia merentasi batas kaum dan bangsa yang sama-sama berkongsi semangat persaudaraan ini.

Sesungguhnya, kejayaan menyatukan hati manusia masih tetap terletak kepada Allah swt. Kita semua akan terus berusaha dan berdoa, tetapi tetap realistik bahawa semua ini tidak mudah dan cepat menghasilkan kesan positif.

Kita tidak mahu sejarah pahit umat Islam diulang kembali. Kita juga tidak mahu penderitaan saudara bukan seagama dan kerosakan dunia bertitik tolak akibat kegagalan umat Islam menghayati budaya Islami
sebenar yang perlu dihayati sebagaimana persoalan yang diutarakan oleh Sayyid Abul Hassan Ali an-Nadwi suatu ketika dahulu. Moga-moga sejarah murni Islam di Andalusia, Baghdad dan keunggulan masyarakat di Madinah al-Munawwarah memberi dan mampu menjamin keadilan dan kebenaran kepada semua golongan akan kembali lagi. Bertambah kuat budaya ummat Islam serta jiwanya maka lebih besar manafaat yang bakal diterima oleh seluruh alam.

Keindahan dan kebaikan yang lahir dari keperibadian ummat Islam yang kuat tidak mengenal batas warna kulit, agama ,bangsa dann negara. Bertambah hebatnya umat Islam menghayati dan mengamalkan Islam yang benar didasari cara fikir yang bersih dan jernih pertimbangan maka meningkatkan lagi kualiti hidup penganut agama-agama lain sebagai mana yang telah dilalui oleh penduduk di Madinah al-Munawwarah, Granada, Seville dan dan Cordova. Peribahasa sepanyol Haz bien , y no mires a quien, (berbuat baik kepada semua orang ) mungkin releven kepada bakal kelahiran umat Islam yang bertamadun tinggi serta mampu meratakan kebaikannya kepada seluruh alam.

Malahan keracauan politik tidak beretika samada ia akan menjauhkan generasi muda dengan krisis yang ada atau menjerumuskan generasi muda didalam konflik politik yang menghasilkan perpecahan yang tidak perlu. Kepentingan mengangkat generasi muda umpama rebung yang sedang menjadi buluh amat penting. Mengangkat martabat dalam ertikata peningkatan nilai kesatuan antara kaum dan peningkatan mutu setiap individu generasi muda dengan suntikan ilmu pengetahuan yang berguna serta nilai kesejagatan yang mulia.

Perkembangan mental generasi muda perlu diberi ruang untuk dalam kita membina unsur perpaduan nasional disamping meningkat kemampuan berfikir yang akan merubah dan menentukan sendiri untung nasib generasi muda kelak. Ketelusan dan keikhlasan semua pihak tanpa ada prejudis dikalangan pihak-pihak yang mengimpikan masa depan generasi muda hari ini perlu bagi kelangsungan masa depan negara terjamin.

Kematangan dan kebijaksanaan selaku generasi pemimpin dalam segala bidang dan kumpulan hari ini amat diperlukan bagi menyelesaikan kemelut yang ada dengan segera. Penyelesaian yang baik, mampu meletakkan keutamaan pada tempat akan mecernakan tindakan yang akan dikenang sebagai jasa yang sangat bererti kepada generasi-generasi selepas ini.