Anak
kita dan anak mereka
Maszlee
Malik
03:40pm 22 Julai 2005
Anak-anak
anda, adik-adik anda ataupun anak-anak
murid anda malas belajar? Ponteng sekolah?
Suka cabut kelas?
Berikut
adalah paparan-paparan cerita anak-anak
Palestin yang boleh diceritakan kepada
mereka untuk dijadikan pengajaran....
Mahmoud
(9 tahun) dari Beit Hanun, Gaza
Ketika
tentera rejim menyerang dan merobohkan
rumah-rumah di Beit Hanun, Gaza di atas
alasan mencari pejuang-pejuang Palestin,
sekolah Mahmoud turut dirobohkan. Bukan
hanya sekadar jentolak yang meruntuhkan
bangunan sekolahnya, kereta-kereta perisai
juga turut melepaskan tembakan ke arah
sekolahnya. Mujurlah murid-murid sekolah
telah terlebih awal dikeluarkan daripada
bangunan tersebut, jika tidak, ramai yang
akan menjadi mangsa kekejaman tentera
Zionis. Persoalannya, sekolah telah hancur
musnah, adakah ini bermakna Mahmoud dan
rakan-rakannya tidak perlu bersekolah
lagi? Jika mereka ingin bersekolah, ke
mana mereka hendak pergi?, sekolah UNRWA
yang terdekat, letaknya adalah lebih kurang
20 km daripada kawasan kem pelarian mereka.
Adakah ini bermakna mahmoud dan rakan-rakan
terpaksa melupakan masa depan mereka?
Alhamdulillah,
cikgu-cikgu Mahmoud merupakan para pendidik
yang sebenar. Walaupun tiada bagunan sekolah
yang boleh menampung murid-murid, mereka
semua telah menjadikan rumah-rumah mereka
sebagai kelas. Jika mereka mahu belajar
Matematik, rumah cikgu Sa'id merupakan
tempat untuk belajar matematik. Jika mereka
hendak belajar bahasa Inggeris, mereka
akan ke rumah cikgu Hannan, jika mereka
ingin belajar sejarah dan geografi, jika
mereka ingin belajar sains, mata pelajaran
yang amat diminati oleh anak-anak Palestin
di kem tersebut, mereka akan ke rumah
cikgu Abdul Karim, rumah cikgu Hannadi
adalah tempatnya dan jika mereka ingin
belajar mata pelajaran-mata pelajaran
agama, masjid di dalam kem itu merupakan
pusat pengajiannya. Syeikh 'Ata merupakan
guru agama bagi kebanyakan anak-anak di
kem tersebut.
Bagi
Mahmoud, suasana belajar seumpama ini
amat menyeronokkan. Apa yang dilakukan
oleh rejim Zionis terhadap sekolah mereka
mungkin berjaya meruntuhkan fizikal bangunan
sekolah, tetapi tidak sekali-kali akan
dapat meruntuhkan semangat perjuangan
di dalam jiwa mereka. Seperti pesan mudir
(guru besar) sekolah mereka usai sekolah
tersebut dirobohkan: "Kita sudah
hilang segala-galanya, rumah , sekolah,
kampung, tanah air dan juga harta, tetapi
kita tidak sekali-kali akan hilang jiwa
dan akal kita. Mereka boleh menghancurkan
segala-galanya, tetapi semangat jihad
dan juga semangat juang dalam diri kamu
semua sekali-akli tidak akan dapat mereka
rampas!, lengkapkan diri kamu dengan pelajaran,
insha Allah masa depan yang lebih cerah
akan menjadi milik kita...itu adalah janji
Allah!".
***Bagaimanakah
sikap kita sebagai rakyat Malaysia pula?
Hind
(12 tahun) dari Tebing Barat
Tembok
pemisah yang dibina oleh rejim Israel
telah menyukarkan kehidupan rakyat Palestin
di Tebing Barat. Ada yang sukar untuk
pergi kerja, kerana rumah mereka dipisahkan
daripada tempat kerja oleh tembok tersebut.
Ada yang sukar untuk berhubung dengan
keluarga dan anak-pinak, kerana rumah
mereka yang jauhnya hanya 10 sehingga
20 meter telah dipisahkan oleh tembok
tersebut. Malah ada yang sukar untuk pergi
ke ladang-ladang zaitun dan juga buah-buahan
milik mereka, kerana tembok telah memisahkan
di anata rumah-rumah petani-petani tersebut
dari ladang-ladang mereka. Tembok pemisah
itu merupakan puaka yang telah merubah
samasekali gaya idup rakyat palestin.
Kini kehidupan mereka tidak seperti dahulu
lagi, kehidupan mereka menjadi serba sulit,
payah dan hanya Tuhan yang tahu bilakah
semuanya akan berakhir. Mungkin rakyat
Palestin boleh bergembira mendengar resolusi
Majlis Umum PBB yang telah mengharamkan
pembinaan tembok tersebut dan mendesak
agar rejim Zionis merobohkannya, namun
sehingga kini pembinannya masih diteruskan,
dan tiada apa-apa tindakan pun yang dikenakan
ke atas pihak rejim!
Hind,
sebagai seorang murid sekolah rendah di
Tebing Barat tidak terlepas daripada kesulitan
hidup disebabkan oleh tembok pemisah tersebut.
Sekolahnya terletak di sebelah dalam tembok,
manakal rumahnya di luar kawasan tembok.
Dahulunya, sebelum tembok ini dibina,
Hind akan berjalan kaki selama 20 minit
untuk sampai ke sekolah bersama rakan-rakannya.
Dia tidak pernah lambat ke sekolah, begitu
juga dengan rakan-rakannya. Memang tabiat
murid-murid Palestin, kelewatan masuk
kelas adalah merupakan sesuatu yang mengaibkan
dan memalukan bukan hanya sekadar diri
mereka, malah keluarga mereka. Cikgu Jumanah
pernah mengatakan, "Jika kamu sengaja
lambat hadir ke kelas, bermakna kamu melambatkan
usaha kemerdekaan negara kita!".
Pernah ada rakan Hind yang terlambat ke
kelas kerana ditahan dan diperiksa oelh
tentera Zionis yang berkawal di jalanraya,
telah menangis sepanjang hari, walaupun
tidak dimarahi oleh guru kelasnya. Apabila
dipujuk oelh gurunya, dia mengatakan:
"Saya tidak mahu kerana saya lambat,
rakyat Palestin akan terus hidup merana
dan dibunuh oleh Yahudi!".
Sekarang
kehidupan mereka telah berubah. Unutk
melepasi tembok pemisah, mereka perlu
melalui masuk yang saiznya amat kecil
untuk ribuan penduduk keluar masuk menggunakannya.
Mereka terpaksa berbaris berjam-jam untuk
melepasi tembok tersebut. Bukan hanya
sekadar beratur, malah para tentera yang
berkawal membuka pintu tersebut mengikut
kehendak hati mereka. Kadang-kadang mereka
membukanya pada pukul sebelas, kadang-kadang
mereka membukanya pada pukul sembilan,
kadang-kadang mereka membukanya hanya
untuk seketika dan kemudian menutupnya
kembali tanpa sebarang alasan. Yang pasti
ini menjejaskan kehidupan para pelajar-pelajar
Palestin yang terpaksa menggunakan pintu
tersebut untuk ke sekolah. Ada waktunya
Hind sampi ke kelas pada pukul sepuluh,
ada kalanya pada pukul sebelas, dan ada
kalanya apabila di asampai ke kelas, loceng
tamat tempoh persekolahan sessi pagi telah
pun berbunyi. Hidup mereka benar-benar
tertekan...
Mujurlah
guru-guru di sekolah tersebut memahami
dan ikhlas di dalam mendidik anak-anak
bangsa mereka. Kebiasaannya, bagi murid-murid
yang lambat ke kelas, para guru akan mengadakan
kelas tambahan dan tiusyen percuma bagi
mereka. Walaupun tanpa sebarang bayaran
"over time", mereka tetap gigih
melakukan itu semua demi mendidik anak-anak
umat mereka yang dahagakan ilmu dan bimbingan.
Yang menariknya, walaupun tembok pemisah
yang besar itu menghalang, anak-anak Palestin
ini tidak pernah putus asa untuk pergi
ke sekolah untuk menimba ilmu.
***
Adakah anak-anak kita mempunyai semangat
segigih ini?
Lou
ay (10 tahun) Refah, Gaza.
Apabila
rejim Zionis menyerah Refah dengan membunuh
orang-orang awam dan merobohkan rumah-rumah
penduduk di kemp pelarian Palestin di
Refah, rumah Lou ay telah turut sama dirobohkan.
Lou ay masih ingat, siren yang dipasang
oleh para tentera rejim untuk memberi
amaran kepada para penduduk agar meninggalkan
rumah masing-masing. Pada waktu itu Lou
ay sedang menyiapkan kerja rumahnya, ibunya
sedang menyusukan adiknya, manakala bapa
Lou ay tiada di rumah menziarahi jiran
mereka, Abu Samir yang cedera ditembak
oleh tentera rejim ketika berdemonstrasi
di jalan raya sehari sebelum itu. Ketika
mereka sedang kelam kabut mencapai apa-apa
yang perlu, tentera rejim telah menendang
pintu rumahnya dan menjerit menyuruh mereka
keluar. Maki hamun dalam bahasa Arab dan
bahasa Ibrani menyulami jerkahan mereka.
Lou ay, ibunya Fatimah dan adiknya yang
masih bayi, Mais, bergegas meninggalkan
rumah mereka dengan mencapai apa sahaja
yang sempat dicapai oleh tangan mereka.
Lou ay masih teringat ibunya menjerit,
"beg sekolah kamu!, beg sekolah kamu!"
ketika mereka bergegas keluar sambil but
salah seorang tentera Zionis hinggap di
punggungnya dan juga di pinggang ibunya
yang hampir-hampir membuatkan ibunya tersungkur.
Di
malam itu, dengan mata kepalanya sendiri,
Lou ay menyaksikan rumahnya dan rumah-rumah
jirannya yang lain telah dirobohkan. Sesekali
terdengar bunyi berbalas tembakan di jalan
besar. Itu komando al-Qassam yang datang
untuk menghalau tentera-tentera Zionis,
getus hati Lou ay. Sayangnya, bunyi berbalas
tembakan itu hanya seketika dan tidak
dapat menghalang rumahnya daripada dirobohkan.
Malam tiu mereka semua terpaksa bermalam
di jalan raya. Suasana sejuk di musim
peralihan dari musim bunga ke musim sejuk
telah membuatkan kebanyakan mereka kesejukan.
Mujurlah badan-badan kebajikan rakyat
Palestin datang membantu mereka dan menempatkan
mereka di pejabat-pejabat dan juga markaz-markaz
mereka. Kata ibu Lou ay, 'mereka ini orang
HAMAS, sebab itu mereka membantu kita!".
Lou ay tahu tentang itu, memang HAMAS
di dalam hati setiap anak-anak Palestin
seperti dirinya adalah penyelamat mereka,
dan juga pelindung sebenar rakyat Palestin.
Walaupun bapanya bukan orang HAMAS, tetapi
Lou ay ingin menjadi orang-orang HAMAS
yang banyak membantu rakyat Palestin,
banyak mendidik anak-anak Palestin sepertinya,
dan yang lebih penting dapat membunuh
dan menentang para tentera rejim Zionis
yang kejam dan zalim.
Keesokan
harinya, ayah dan ibunya membawa Lou ay
pergi ke puing-puing rumah mereka yang
kini tidak seperti hari semalam. Pesan
ayah, urusan rumah serahkan kepada ayah,
nanti kita bina yang baru, tetapi kamu,
cari beg sekolah dan buku-buku kamu, hari
ini kamu akan ke sekolah!
Di
sekolah, tidak seorang pun dari jiran-jirannya
yang kehilangan tempat tinggal ponteng.
Kesemuanya hadir bersama-sama Lou ay demi
memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu,
walaupun rumah mereka telah tiada...pesan
Syeikh Maad, imam di salah sebuah masjid
di kem mereka, "Rumah di dunia ini
boleh dirobohkan, tetapi rumah kita di
syurga kekal selama-lamanya, oleh itu
carilah jalan untuk membina rumah di syurga,
bermula dengan mencari ilmu!"
***
Bagaimana anak-anak Malaysia kita?