Kemaraan
Islam Liberal di Malaysia
Mohamad Ridhwan Bin Alias
03:40pm
22 Julai 2005
Sejak
akhir tahun 1990an, Dunia Islam mula disemarakkan
dengan pemikiran moden yang dikenali sebagai
gagasan Islam Liberal. Gerakan pemikiran
ini semakin membiak pesat sehingga berjaya
mempengaruhi cerdik pandai, ulama dan
pemimpin negara umat Islam. Jika gagasan
pemikiran Islam Liberal tidak dikawal,
kemungkinan besar ketulenan agama Islam
yang sebenar akan tercabar sehingga menjejaskan
kemurnian agama Islam. Antara tokoh Islam
yang terpengaruh dengan gagasan Islam
Liberal adalah Muhamad Arkoun, Nurcholish
Majid, Hasan Hanafi, Aminah Wadud dan
Abdullah al Naim.
Gerakan Islam Liberal mula terbit pada
era tahun 1980an yang dipopularkan oleh
Leonard Binder, seorang sarjana berketurunan
Yahudi melalui bukunya yang bertajuk Islamic
Liberalism: A Critique of Development
Ideologies. Menurut Khalif Mu’ammar,
seorang sarjana lepasan ISTAC, buku ini
memfokuskan tentang rational discourse
dan penciptaan pemerintahan liberal. Kini,
gagasan Islam Liberal ini semakin popular
dan cuba menguasai persekitaran sosial-politik
masyarakat Islam seantero dunia termasuk
di negara kita.
Dari segi sejarah, Islam Liberal telah
ditunaskan daripada pengaruh eksternal
yang berasal dari pemikiran liberal Barat
dan ‘pemberontakan’ dalaman
oleh golongan reformis Kristian yang mencabar
tradisi agama Kristian. Kemenangan golongan
reformis Kristian bersama golongan pro-falsafah
dan sains dalam pertarungan tersebut membolehkan
terbitnya suasana reformasi politik, ekonomi
dan sosial di Dunia Barat. Antara dampak
kemenangan ini adalah meliberalisasikan
agama. Menurut Greg Barton, seorang pendukung
gagasan Islam Liberal, prinsip utama Islam
Liberal adalah pentingnya kontekstualisasi
ijtihad, komitmen terhadap rasionaliti
dan reformasi agama, penerimaan terhadap
pluralisme sosial dan agama, dan pemisahan
agama daripada parti politik dan kedudukan
negara yang non-sektarian. Prinsip-prinsip
ini secara halus mencabar tradisi kesyumulan
ajaran Islam melalui tema-tema tertentu
seperti Islam Inklusif, Islam Plural dan
Islam Sederhana.
Pengistilahan Islam Liberal itu sendiri
menunjukkan kedangkalan pendukung Islam
Liberal, dimana Islam sendiri cuba diklasifikasikan
sehingga mewujudkan suasana dwi-Islam
iaitu Islam Liberal dan Islam Tidak Liberal.
Pengistilahan secara salah akan menyebabkan
kesucian Islam dinodai kerana terdapat
unsur-unsur negatif dalam ajaran Islam
sedangkan suasana negatif yang wujud dalam
masyarakat Islam dilakukan oleh umat Islam
yang ‘tohor’ ilmu agamanya
bukannya berpunca daripada ajaran Islam
sendiri. Kedapatan juga tokoh ilmuan Islam
yang terpengaruh dengan gagasan ini cuba
memurnikan kembali ajaran Islam dengan
menghentam pemikiran ulama Islam silam
yang didakwa terlalu eksklusif. Mereka
mahu Islam bersifat inklusif dan progresif
bagi menangani perubahan zaman. Kesanggupan
golongan berilmu menyokong gagasan Islam
Liberal semata-mata mahu memperolehi status
gelaran intelek muslim sederhana.
Tema Islam Plural pula cuba diterapkan
ke dalam pemikiran masyarakat Islam oleh
llmuan dan penulis berideakan Islam Liberal.
Sifat Plural dalam ajaran Islam cuba diterap
dengan menerima ajaran-ajaran agama atau
fahaman yang lain. Menurut Hamid Algar,
golongan Islam Liberal tidak sedar mereka
melakukan kesalahan apabila berkompromi
begitu banyak dengan agama dan fahaman
lain sehingga kepada persoalan dasar (akidah)
di dalam agama Islam. Kompromi secara
berlebihan akan mengancam tunjang akidah
umat Islam kerana setiap amalan perlu
dinilai melalui perspektif Islam bukannya
ajaran atau fahaman agama lain.
Tema Islam Inklusif mengakui kebenaran
agama lain selain daripada Islam. Golongan
Islam Liberal menggunakan tema ini untuk
menyamakan agama lain dengan agama Islam
kerana agama lain turut menganjurkan amalan
yang baik dan benar.Tema Inklusif ini
menyamai konsep pragmatisme akhlak yang
telah dipopularkan oleh John Dewey di
Amerika Syarikat. Dalam konsep pragmatisme,
kebenaran mutlak tidak ada menyebabkan
setiap sesuatu tidak bersifat eksklusif.
Tema ini mengarahkan umat Islam mengakui
kebenaran agama lain sehingga boleh menyebabkan
umat Islam berada pada tahap murtad.
Di Malaysia, usaha golongan Islam Liberal
dapat dilihat dari segi ideal, penulisan,
percakapan dan kelakuan seseorang atau
sesebuah organisasi. Mereka menampakkan
diri mereka terpisah tetapi mereka adalah
satu jaringan yang menunggu masa untuk
mempamerkan diri mereka. Mereka bagaikan
gumpulan awan kecil yang bertaburan cuba
berkumpul dan turun membanjiri bumi. Selain
tulisan di akhbar tempatan, golongan Islam
Liberal mula menonjol diri dengan menyokong
penubuhan Suruhanjaya Antara Agama [IRC]
yang diseminarkan pada 24 Februari 2005.
IRC cuba ditubuhkan oleh Majlis Peguam
Malaysia dan disokong oleh Majlis Perundingan
Malaysia bagi Ajaran Buddha, Kristian,
Hindu dan Sikh [MCCBCCH] dan Yayasan Konrad
Adenauer. Kehadiran Yayasan Konrad Adenauer
dalam usaha menubuhkan IRC boleh disangsikan
kerana yayasan yang berpusat di Jerman
ini cuba mencampuri urusan dalaman negara
ini. IRC berperanan penyiasat, pengantara,
perunding dan pendamai terhadap dakwaan
perbuatan yang menjejaskan keharmonian
agama. Penubuhan IRC ditentang hebat oleh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah
Md. Zin kerana bercanggah dengan Perlembagaan
Negara manakala pertubuhan Islam seperti
ABIM, Persatuan Ulama Kedah dan Persatuan
Peguam-Peguam Muslim Malaysia [PPMM] turut
menentang kerana IRC akan cuba memcampuri
urusan agama yang sudah ditentukan oleh
al Quran dan hadis, dan cubaan IRC mencampuri
urusan agama Islam boleh mengeruhkan suasana
beragama di Malaysia.
Paling menarik terdapat 2 pertubuhan berasaskan
Islam turut menyokong penubuhan IRC iaitu
Forum Iqra dan Sister in Islam (SIS).
Forum Iqra dipimpin oleh Dr. Kassim Ahmad
pernah mengemparkan negara dengan isu
antihadis melalui Jemaah al Quran dan
SIS dipimpin oleh sekumpulan wanita Islam
yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan
agama. Dibimbangi keberanian golongan
ini tanpa tahap keilmuan yang cukup dan
terlalu taksub dengan pemikiran Barat,
golongan ini akan sesat dalam mencari
cahaya hidayah Ilahi. Pertubuhan Islam
yang menyokong idea penubuhan IRC perlu
mendapat nasihat daripada para ulama sebelum
membuat keputusan dan mereka juga seharusnya
menerima kemutlakan ajaran al Quran tanpa
prejudis.
Penolakan 50 NGO terhadap undang-undang
bersifat kawalan moral adalah satu contoh
penularan idea Islam Liberal di kalangan
masyarakat Malaysia. Kebanyakan pertubuhan
ini terjajah dengan idea hak asasi Barat
tanpa melihat nilai kemoralan sosial masyarakat
Islam dan Timur. Kawalan moral dalam masyarakat
Islam dan Timur bukan sahaja tertakluk
pada hak peribadi tetapi meliputi hak
masyarakat dan negara. Peribahasa Cina
ada mengatakan ‘Jia you jia gui,
guo you guo fa’ yang bermaksud sesebuah
keluarga mempunyai peraturan dan sebuah
negara mempunyai undang-undang. Hasil
gabungan usaha diri, keluarga, masyarakat
dan negara dalam kawalan sosial akan menghasilkan
satu kekuatan yang jitu untuk membanteras
kemerosotan nilai sosial dalam masyarakat
sekarang. Adalah dangkal jika menolak
perundangan bersifat kawalan sosial sedangkan
ia boleh memupuk disiplin dan akhlak individu
dan masyarakat.
Pemikiran Islam Liberal perlu ditolak
disebabkan ia boleh merbahayakan akidah
umat Islam. Walaupun idea Islam Liberal
dilihat bersifat reformasi untuk umat
Islam tetapi ia adalah satu pembohongan
terhadap Allah SWT kerana mencampur-adukkan
kebenaran dengan kebathilan. Idea Islam
Liberal membohongi kebenaran selepas datangnya
kebenaran. Jangan sampai ilmu jahat menguasai
pemikiran dan gaya hidup umat Islam. Berhati-hatilah.