Imperialisme
dan Tamadun Islam: Satu interpretasi bersepadu
Mohd
Zaidi Abdullah
04:30pm 08 Jun 2005
Kita
sering didedahkan dengan Jamaluddin al-Afghani,
Muhammad Abduh, Rasyid Rida, Muhammad
Abdul Wahhab (1703-1792) dan seumpamanya.
Sebagai orang Islam, tidak wajar hanya
dirujuk ilmu keislaman hanya pada orang
atau tokoh tertentu. Ketidakwajaran adalah
waras jika mereka tidak berada dalam kelompok
yang berpegang pada ijma'. Tanpa ijma',
sesiapa boleh menafsir Islam sesuka hati
seperti isu Amina Wadud. Tulisan ini mendukung
prinsip yang berteraskan al-Quran, al-Hadith,
Ijma' dan Qiyas seperti yang dikemukakan
oleh al-Imam al-Shafiei (w.204H) dalam
al-Risalahnya. Kebenaran mesti
ditinjau dari sudut keilmuan bukan pentas
politik atau apa yang bersifat sementara.
Umat
Islam masih berada di persimpangan jalan,
ini boleh dikatakan bermula pada tahun
1213/1798 apabila Perancis menduduki bumi
Mesir. Pendudukan ini sebenarnya telah
memberi kesan yang mendalam terhadap umat
Islam dan dengannya, bermula secara berperingkat
penjajahan ke atas wilayah utama dunia
Islam. Lebih mendukacitakan dengan kelemahan
yang telah dimiliki umat, satu perkara
yang dilarang Nabi Muhammad s.a.w. yakni
peperangan sesama sendiri telah berlaku
atas nama agama di Semenanjung Tanah Arab
pada 1217/1803 oleh golongan Wahhabi.
Pendekatan golongan Wahhabi perlu dikaji
semula kerana Imam Ahmad, seorang tokoh
zaman salaf sebenar, tidak menggunakan
kekerasan sekalipun beliau terpaksa berdepan
dengan pemerintah yang menganut ajaran
sesat dan kuku besi sehingga dipenjarakan.
Pendudukan serta peperangan saudara ini
boleh dikatakan sebagai punca keruntuhan
kekuatan umat Islam. Paling mendukacitakan,
pertahanan Uthmaniyyah yang dicuba-pecahkan
oleh negara-negara Eropah tidak dibantu
oleh umat Islam sendiri. Tetapi, yang
nyata, umat mengambil jalan berperang
sesama sendiri atas pelbagai alasan. Tiga
realiti sejarah ini perlu disedari dengan
keinsafan. Jika tidak, umat Islam tidak
akan ke mana-mana. Yakni hanya berlegar-legar
dalam kesilapan demi kesilapan yang dilakukan.
Dengan
mengambil kira realiti sebenar umat Islam,
Hasan al-Attar (kemudiannya dilantik sebagai
Syeikhul Azhar) berusaha mengukuhkan tamadun
Islam. Ilmu yang bersepadu merupakan matlamatnya.
Ini kerana wahyu diturunkan sesuai dengan
sabda Nabi Muhammad s.a.w., aku diutuskan
dengan bentuk kata yang ringkas tetapi
padat makna (jawami‘ kalim). (Hasyiah
al-'Attar ‘ala Syarh al-Khabisi,
hlm. 9, Mesir: Dar Ihya al-Kutub al-'Arabiyyah)
Inilah junjungan ilmiahnya bukan kajian
bidang-bidang ilmu yang tertentu sahaja
kerana kecenderungan yang tidak bersepadu
dan terjalin masih tidak menepati pengajian
Islam tulen.
Sesuai
dengan citra kesepaduan dan keterjalinan,
Hasan al-Attar mengkaji pelbagai bidang
ilmu daripada para guru yang dijumpai
di Mesir, Syria dan Turki. Inilah latar
belakang ilmunya. Jika Imam Syafiei berjaya
memandu umat terutama tokoh hadith bagaimana
berinteraksi dengan al-Quran dan al-Sunnah
melalui karya agungnya, al-Risalah,
yang merupakan kitab usul fiqh pertama
di dunia maka beliau turut mengkaji usul
fiqh dengan analisis kritis dan disiplin
yang halus dan mendalam melalui karyanya,
Hasyiah al-Attar ‘ala Jam‘
al-Jawami‘. Sekalipun berupa
hasyiah (komentar tambahan) namun
isi kandungannya mencabar fikiran pengkajinya.
Dalam
karya-karya beliau, jelas tidak dilakukan
pemisahan antara ilmu dunia dan ilmu akhirat
tetapi memberikan kedudukan yang sesuai
menurut keutamaan masing-masing. Ilmu
tasawwuf dianggap 'buah' atau hasil dari
pengamalan syariat. Pendekatan ini tidak
akan merugikan umat kerana sesiapa yang
berusaha bersungguh-sungguh hasil berbeza
dengan mereka yang hanya 'berpada' atau
'malas'.
Dengan
kesedaran skop pengetahuan itu luas, beliau
sanggup berdialog dengan sarjana-sarjana
Perancis yang berada di Mesir. Di sini,
bertukar-tukar ilmu telah dilakukan. Namun,
beliau tidak sekali-kali terpesona dengan
pendekatan orang Perancis, yang baik diterima
manakala yang buruk diketepikannya. Pembaharuan
yang dilakukannya sesuai dengan keupayaan
umat pada ketika itu tidak seperti al-Afghani,
Abduh, Muhammad Abdul Wahhab dan seumpamanya
yang terang-terang mengkritik umat.
Hasan
al-'Attar sedar kejayaan kebendaan Perancis
telah mengatasi apa yang dimiliki oleh
tamadun Islam seperti teknologi tertentu
yang disaksi dan diuji sendiri oleh beliau.
Tetapi, beliau masih tetap berpegang dengan
paradigma pemikiran tauhid dan segala
cabangannya yang telah memandu umat sepanjang
zaman. Ilmu perlu dituntut. Inilah yang
mendorongnya belajar dan mengajar. Muridnya
yang terpilih iaitu Rifaah Rafi‘
al-Tahtawi telah mengetuai rombongan ke
Perancis untuk mendalami ilmu di sana.
Setelah kembali, al-Tahtawi telah menulis
Talkhis al-Ibriz dan kitab ini telah
diberi kata aluan oleh gurunya, Syeikhul
Azhar Hasan al-Attar. Namun, al-Tahtawi
masih tidak terpesona dengan membabi buta.
Ilmu-ilmu dipelajarinya di Perancis perlu
disaring berdasarkan ajaran Islam. Jelas,
dalam tulisan al-Tahtawi sendiri, bermazhab
atau pemikiran ulama silam tidak dikritik
jika bertaraf ijma'. Ini jelas berbeza
dengan Muhammad Abduh yang lahir kemudian
dengan melaungkan reformasi yang tegas.
Dalam
buku Tawhid And Science, Prof.
Osman Bakar (seorang sarjana sains teori
dan tokoh sains Islam) telah mengkaji
menurut kacamata sains, kajian dan penampilan
yang dilakukan oleh al-Afghani dan kawan-kawannya
amat lemah kerana kurang memahami sains
sebenar sekalipun menguasai pemikiran
Islam. Ini berbeza dengan al-Attar yang
memahami tradisi pemikiran Islam dan,
bijak dalam sains dan teknologi Eropah
pada masa itu.
Al-Attar
yang memahami tradisi pemikiran Islam
berjaya menentukan keutamaan bidang ilmu.
Beliau turut mengkaji ilmu geometri (mungkin
non-Euclidian), astronomi pasca-Tusi,
dan lain-lain. Inilah cabaran yang disahut
bagi menandingi Eropah yang memanfaatkan
sumber yang sama pada zaman itu. Tetapi,
mungkin faktor politik serta perancangan
pihak tertentu maka pendekatan al-Attar
hampir terbiar langsung di dunia Islam.
Para penyelidik lebih berminat dengan
cara al-Afghani dan Muhammad Abdul Wahhab
yang agresif dan tergesa-gesa, cara Muhammad
Abduh yang mengenepikan warisan silam
dan cara-cara lain. Universiti Azhar hampir
dipengaruhi semua pendekatan Muhammad
Abduh. Menurut Dr. Sulaiman Nordin dalam
Sejarah Pemikiran, Muhammad Abduh
(1845-1905) dilantik ke jawatan tinggi
dalam bidang agama oleh Lord Cromer. Dalam
pada masa yang sama, golongan Muhammad
Abduh menganggap ulama selain mereka sebagai
jumud. Tanpa membuktikan apakah yang jumud
dalam tradisi pemikiran Islam sama ada
sainsnya atau agamanya secara bukti yang
terang dan jelas. Apakah piawai untuk
didakwa apa yang jumud atau apa yang tidak.
Adakah Muhammad Abduh mengkaji dengan
mendalam sains dan teknologi dengan menulis
karya dalam bidangnya dengan kritis ??!!
Maka, dalam hal ini, jelas beliau tidak
berjaya. Seruan untuk berjaya yang dilakukannya
lebih bersifat retorik atau cakap-cakap
sahaja.
Sebenarnya
Hasan al-'Attar jelas mampu menulis dalam
bidang ilmu yang sedang dimajukan oleh
Perancis yang merupakan negara utama dalam
kemajuan sains dan teknologi pada ketika
itu. Pemikiran al-'Attar amat diminati
oleh ulama Makkah. Demikian tertulis dalam
Imdad al-Fattah bi Asanid wa Marwiyyat
al-Syeikh Abd al-Fattah, hlm. 287,
susunan Muhammad Abdullah Alu Rasyid.
Ulama
Makkah memang mempengaruhi ulama Nusantara.
Hampir semua tokoh ulama Nusantara belajar
ilmu di Makkah. Jadi, sedikit sebanyak
cara pemikiran Hasan al-'Attar pasti mempengaruhi
alam Nusantara. Ini bertambah jelas apabila
Syeikh Ali al-Maliki al-Makki (w.1367/1948M)
sendiri yang merupakan ulama Makkah tersohor
pernah mentahqiq kitab Hasyiah a-Attar
‘ala Jam‘ al-Jawami‘.
Kesimpulannya,
fakta dan interpretasi yang dikemukakan
jelas memperlihatkan imperialisme sedikit
sebanyak mempengaruhi kedudukan tamadun
Islam serta potensinya. Dengan kehadiran
imperialis, umat yang berpegang pada empat
sumber utama Islam masih mampu bertahan.
Ketika umat teruji tidak sepatutnya jati
diri diketepikan semata-mata untuk jadi
'maju'. Umat perlu diajak mengutamakan
ilmu sepertimana zaman penjajahan di Nusantara,
para ulama kita telah menyelamatkan maruah
kita dengan khazanah keilmuan yang mengagumkan
sekalipun aspek politik agak lemah dan
bertahan.
_____________
Ini merupakan kajian tulen Mohd Zaidi
Abdullah sebagai Felo Utama Pusat Pencerahan
Tamadun KURNIA ILHAM. Juga, sebagai penyelidik
khas Pondok Lubok Tapah