Mahasiswa
progresif
Mohamad Ridhwan Bin Alias
04:30pm
08 Jun 2005
Dunia
mahasiswa adalah dunia yang penuh disaluti
dengan sifat romantis dan konflik. Disebalik
tugas mahasiswa menelaah pelajaran, aktiviti
luar kampus mahasiswa akan membuktikan
tahap kematangan dan kedewasaan mahasiswa
dalam wacana intelektual, nasib dan isu
kemasyarakatan, politik, kesenian, kebudayaan,
keagamaan, bermuamalat dan berekonomi.
Atau pun mahasiswa lebih selesa dengan
dunia remaja yang khayali pro negatif
sementara menunggu dunia kiamat.
Mahasiswa
progresif (MP) adalah mahasiswa yang aktif,
penggerak dan peneraju panji-panji tenaga-idea
aktiviti kampus, dan prihatin terhadap
persekitaran masyarakat dalam aspek politik,
ekonomi dan sosial sama ada peringkat
nasional atau internasional. Ujaran daripada
Dato Seri [dulunya saudara] Anwar Ibrahim
yang dianggap idola gerakan pelajar di
atas memberi satu gambaran betapa besar
risikonya menjadi mahasiswa progresif
yang ‘radikal’ dalam politik.
Risiko inilah yang diambil oleh MP dan
sukar untuk diterima oleh mahasiswa pasif.
MP adalah golongan minoriti di kalangan
ribuan mahasiswa yang terlena sebagai
ulat buku sepenuh masa yang bertapa di
library dan rumah sewa serta kolej, pemabuk
hedonisme, pejiwang terlampau, perayau
malam dan ‘anjing-anjing’
kemalasan yang lepak, tidur, bervideo
games, makan, berak, bersikap pasif dan
berbudaya ‘bersenangan’ di
rumah sewa atau kolej. Itulah kelainan
MP dengan mahasiswa lain yang selesa dengan
hidup mencari ilmu tanpa roh dan praktikal,
ingin cari kerja atau impiana khayali
yang negatif dan ianya jelas berbeda dengan
MP yang berteras gerak kerja yang amali,
berketrampilan, motivasi kendiri, dan
keluasan jaringan pengaruh.
Cabaran mahasiswa progresif
Aktiviti Mahasiswa Progresif
(MP) lebih terserlah dalam bidang politik
nasional atau kampus berbanding aktiviti
perekonomian atau sosial mereka. Pembicaraan
mahasiswa dan politik sengaja diperbesarkan
sehingga menenggelami isu lain kerana
isu politik ini melibatkan pemilik kuasa
yang bimbang dicabar atau digugat oleh
anak seluang yang baru belajar berenang
di kancah politik. Pemilik kuasa iaitu
kerajaan dan penguasa varsiti sangat membimbangi
pengaruh anak seluang ini mempengaruhi
atau membangkitkan kesedaran rakyat dan
mahasiswa atas pengalaman pemilik kuasa
pada tahun 1970an dan rakan-rakan pemilik
kuasa di luar negara yang tumbang dek
kelantangan suara mahasiswa progresif
seperti yang berlaku di Indonesia. Tradisi
mencabar ini dibimbangi akan menjejaskan
periuk nasi politik dan ditakuti juga
mengempiskan kebuncitan ekonomi kaum pemodal.
Kewujudan
MP disebabkan tekanan dalaman dan luaran
kampus, kesedaran dan peka terhadap nasib
bangsa, keinginan mengunakan keupayaan,
potensi diri dan peluang di varsiti untuk
berpolitik, berekonomi dan bersosial dengan
masyarakat atau sesama pelajar (inter-kampus).
Maka muncul mahasiswa progresif dalam
politik dan ekonomi melalui kewujudan
usahawan kampus, solidariti mahasiswa
memperjuangkan hak asasi dan sasterawan
kampus, contoh. MP juga adalah manifestasi
sikap anak muda yang memberontak, terburu-buru,
emosi dan romantis. Ruang istimewa di
varsiti dan desakan persekitaran masyarakat
membolehkan peneluran sifat kreatif, inovatif
dan berdaya saing dalam sesuatu lapangan.
MP sanggup merubah zaman, MP bersemangat
‘lawan tetap lawan’, MP sanggup
menongkah arus dan berani gagal. Begitulah
azam dan semangat golongan MP.
Perjuangan MP adalah perjuangan
anak muda yang ingin mengubah dan mencabar
sesuatu sistem. Sistem yang teguh ingin
ditelusi oleh MP yang hingusan agak khayali
untuk dicapai di alam realiti. Reformasi
yang diingini sungguh ‘mustahil
tetapi tidak mustahil’ ini perlukan
kerjasama rakyat untuk menjayakannya.
Hayatilah serangkap sajak Rendra bagi
sesiapa yang ingin mencabar sistem yang
berkuasa membuat segalanya kecuali menjadi
tuhan ini.
"apa
disangka kentut bisa mengganti rasa keadilan
?
di negeri ini hak asasi dikurangi
justru untuk membela yang mapan dan kaya
buruh, tani, nelayan, wartawan dan mahasiswa
dibikin tidak berdaya" - Rendra
Justeru,
bagi merealisasikan impiana yang khayali
ini, MP perlukan satu proses pengkaderan
yang mantap dan berterusan. Kader-kader
ini perlu bertebaran segenap ceruk masyarakat
dan organisasi termasuk kerajaan, seterusnya
menyerap dan mengubah dari dalaman dengan
penjernihan akhlak dan tauhid secara evolusi
dan ketika itu juga rakan-rakan diluar
secara berterusan melawan sistem yang
korup itu. Sabar dalam perjuangan, itulah
ungkapan bagi sesiapa yang ingin mengubah
sistem.
Mahasiswa
Progresif: Satu Perjuangan
Dalam
konteks Malaysia, perjuangan Mahasiswa
Progresif(MP) dibahagikan beberapa pendekatan
dan aliran. Dimulai dengan isu kebajikan
dan kebudayaan pada era 1960an, aliran
sosialis, nasionalis dan nasionalis Islamis
pada era 1970an, Islamis tulen pada tahun
1980an dan 1990an dan kini ‘Islam
bersama hadhari’ pada tahun 2000an.
Walapun perjuangan MP adalah perjuangan
sekelompok mahasiswa tetapi perjuangan
ini boleh merebak pengaruhnya di kalangan
mahasiswa lain kerana mereka adalah golongan
berpengaruh dan aktif di varsiti. Perjuangan
yang dilihat sebagai plural ini mempunyai
persamaan yang paling ketara kerana digerakkan
oleh golongan yang sama tetapi berbeda
aliran dan pendekatan iaitu Mahasiswa
Progresif.
Peralihan ke arah mahasiswa
bersama masyarakat mula memutik pada akhir
1960. Pada ketika inilah golongan sosialis
melalui Kelab Sosialis Universiti Malaya
telah berperanan sebagai jurubicara masyarakat.
Watak utama perjuangan rakyat ini adalah
Syed Hamid Ali dan Sanusi Osman. Merekalah
yang mengoncangkan negara dengan berdemonstrasi
di Teluk Gong setelah penangkapan wira
pejuang tanah untuk rakyat, Hamid Tuah.
Syed Hamid Ali sekali lagi mengetarkan
lutut pemilik kuasa apabila terlibat dalam
demonstrasi rapat umum pilihan raya 1969.
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM)
telah memberi bantuan berbentuk tenaga
kerja dan peralatan seperti bas PMUM untuk
gerak kerja parti pembangkang. Apabila
Tunku Abdul Rahman menuduh mahasiswa terlibat
membantu pembangkang dan tuduhan disambut
dengan ajakan berdebat oleh Syed Hamid
Ali mewakili pelajar dengan Tunku. Ajakan
ini menyebabkan Tunku mengubah kenyataannya
di dada akhbar. Begitulah perkasanya suara
mahasiswa pada masa silam.
Butir permata gerakan
pelajar terus bergemerlapan apabila munculnya
tokoh idola paling berpengaruh dalam gerakan
pelajar dan politik negara ini iaitu Saudara
Anwar Ibrahim, seorang jurubicara ummat
melalui suara hati nurani rakyat. Tokoh
nasionalis-Islamis ini telah bekerjasama
dengan ultranasionalis Melayu, Dr. Mahathir
Mohammad yang berideakan ‘dilema
Melayu’ telah mengoncang kestabilan
kerajaan Tunku. Desakan kedua-dua ‘kekasih’
ini menyebabkan Tunku ‘mati pucuk’
untuk mentadbir dan menyerahkan kuasa
kepada rejim Tun Razak. Anwar Ibrahim
melalui Persatuan Bahasa Melayu Universiti
Malaya (PBMUM) berterusan menyerang kerajaan
dan penguasa universiti di bawah pimpinan
Ungku Aziz terutamanya isu bahasa dan
isu nasib pelajar Melayu. Kebangkitan
pelajar Islam mulai berputik pada awal
tahun 1970an semasa PKPIM memimpin demonstrasi
rakyat Pathani sempena lawatan Perdana
Menteri Thai, pada ketika inilah Aziz
Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) sekarang telah ditahan polis.
Sementara itu, Kelab Sosialis
Universiti Malaya dan PMUM juga aktif
memperjuangkan isu rakyat marhaen dan
antarabangsa. Tokoh sosialis yang bersuara
lantang dan tidak peka agama adalah Hishamuddin
Rais dan Kamarazaman Yaacob. Hishamuddin
Rais yang berjiwa romantis dan tergesa-gesa
ini telah berjuang bersama rakyat di Tasik
Utara. Kesepaduan pelajar nasionalis-Islamis
dengan pelajar Sosialis terjelma apabila
mahasiswa bersatu dalam isu kemiskinan
rakyat Baling. Demontrasi raksasa ini
dipimpin oleh Anwar Ibrahim selaku Presiden
Majlis Belia Malaysia menyebabkan AUKU
telah dipertegaskan oleh ‘kekasih’
Anwar, Dr. Mahathir di Dewan Rakyat. AUKU
1975 yang dipertegaskan ini dikatakan
punca kemandulan gerakan pelajar pada
masa kini. Pada masa ini juga munculnya
Ibrahim Ali (wakil PKPIM dan YDP Kesatuan
Siswa ITM [KSITM]) yang turut membantu
Anwar memanaskan suasana demonstrasi.
Selepas peristiwa Baling,
dunia mahasiswa bagaikan tidak beraliran.
Sebenarnya, gerakan pelajar mula dikuasai
oleh pelajar nasionalis yang pro HEP dan
pembodek kerajaan. Aktiviti lebih kepada
kebudayaan, hiburan, kebajikan dan kemasyarakatan
sehingga muncul istilah Bakti Siswa dan
OPKIM yang begitu popular. Dalam masa
inilah PMIUM dibawah pengaruh ABIM-PKPIM
mula dianaktirikan menyebabkan mereka
ini bercita-cita menguasai PMUM [golongan
Islamis cuba menguasai kampus kerana hak
autonomi persatuan seperti kebebasan melaksanakan
program dan hak pemilikan harta benda
termasuk dana kewangan telah diletak di
bawah HEP dan HEP hanya mengiktiraf PMUM
sebagai satu-satunya kuasa yang boleh
mentadbir aktiviti pelajar secara umum].
Syed Dawilah al Edrus yang memimpin PMIUM
memulakan langkah tetapi hanya menang
dua kerusi. PMIUM hanya boleh berkuasa
pada tahun 1979 dengan mendapat kerusi
sama jumlahnya dengan pelajar nasionalis.
Kebertuahan pelajar nasionalis-Islamis,
apabila seorang pelajar neutral telah
menarik balik sokongan terhadap pelajar
nasionalis. PMUM buat pertama kali dipimpin
boleh cahaya Islamis dengan pengaruh ABIM-PKPIM
di bawah pimpinan Anual Bakri Haron (kini
S.U Menteri Besar Kelantan).
Cahaya Islam terus gemilang
di kampus-kampus di tanah air apabila
proksi ABIM-PKPIM mula berkuasa di UKM
dan UPM. Cahaya ini juga menyinari UTM,
ITM (dibawah tokoh kecerahan IKD dan ketua
Penerangan Parti Keadilan) dan USM. Walaupun
pelajar nasionalis-Islamis berjaya ditumbang
pada tahun 1980, pelajar Islam ala ABIM-PKPIM
ini bangkit kembali menguasai kampus.
Husam Musa selaku Setiausaha Agung PBMUM
turut berperanan mendesak dan mengutuk
kerajaan dalam isu penghinaan terhadap
Islam [dikemuka oleh Tunku dalam kolum
mingguannya dan Ketua Pemuda UMNO] manakala
Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen UMNO
Kemaman) telah memimpin pelajar dalam
demonstrasi anti Amerika. Di ITM, ‘Ustaz
cerah’ Khalid Jaafar, tokoh pencerah
yang elitis pula memimpin demonstrasi
di Shah Alam. Pada era 1980an, UKM telah
muncul sebagai kem ABIM-PKPIM dibawah
kelolaan Mustapha Kamil Ayub. Saudara
Mus yang berintelek ini berjaya memimpin
beberapa demonstrasi yang mewakili proksi
ABIM-PKPIM. Begitulah cerita ringkas gerakan
pelajar 1980an yang dianggap zaman kebangkitan
semula gerakan pelajar tetapi berteras
Islam.
Cahaya Islamis terus mantap
apabila pelajar Islam tulen di bawah pengaruh
PAS mula mendapat tempat di kampus-kampus
terutamanya di Universiti Malaya, UPM
dan UKM. Idealis PAS mula digerakkan sejak
Anwar Ibrahim memasuki UMNO dibawah kelolaan
Tuan Guru Abdul Hadi Awang [beliau merupakan
pemidato hebat sama macam Anwar tetapi
Anwar lebih popular kerana memdampingi
pelajar dan masyarakat sejak akhir 1960an
lagi dan Anwar menpunyai jaringan pengaruh
yang luwes di arena nasional dan internasional].
Ustaz Zulkifli Yusof buat pertama kali
membentuk sebuah forum yang dinamakan
Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN)
pada tahun 1986 untuk mengumpul wakil
MPP setiap kampus yang terasnya Islamik.
Tokoh BBMN yang utama adalah Zulkifli
Yusof daripada PMUM (kini pensyarah di
APIUM). Saifuddin Nasution daripada PMUPM
(naib presiden Parti Keadilan Nasional)
dan Idris Ahmad (Timbalan Ketua Pemuda
PAS). Perjuangan pelajar Islam tulen sampai
kepada klimak apabila ramai pemimpin PMIUM
ditahan termasuk dikenakan tahanan ISA
pada demontrasi antikonsert Sheila Majid
pada tahun 1989.
Era
1990-an, bagaikan tiada penentuan kuasa
yang tetap dalam politik kampus. Golongan
Islamis dan nasionalis bersaing hebat
dan saling jatuh menjatuhkan. Sejak kemasukan
Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, sebahagian
besar pelajar nasionalis Islamis turut
terjun ke dalam dunia nasionalisme yang
dirasionalisasi oleh Anwar Ibrahim dan
kroni inteklektualnya seperti Ustaz Siddiq
Fadil. Walaupun perjuangan pelajar Islam
kelihatan sepi, terdapat juga isu panas
yang diperjuangkan oleh mereka seperti
pengambilan tanah di Pulau Kundor, Melaka.
Sejak Anwar Ibrahim disingkirkan
daripada jawatan kerajaan, gerakan pelajar
kembali bertaut. PKPIM mula bertaut kembali
dengan bekerjasama dengan wakil Persatuan
Mahasiswa Islam (PMI) yang pro PAS. Maka
gagahlah pertubuhan pelajar bawah tanah
di kampus masing seperti MAMPU di UKM
dan GMUM di UM. Peringkat nasional pula,
BBMN dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia
(GAMIS) mula melakukan kemunculan semula
setelah sepi di pertengahan 1990an. Suara
GAMIS kelihatan lantang dibawah pimpinan
Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Isu Kerinci
Link telah membuatkan mahasiswa menghidupkan
kembali demonstrasi secara terbuka. Natijahnya,
cukup positif apabila Masjid al Rahman
masih kelihatan megah pada hari ini [terima
kasih Pak Amjal dan rakan-rakannya]. Selain
itu, juak yang dianggap luput dan terkubur
iaitu juak sosialis mula muncul kembali
dengan nama Universiti Bangsar Utama (UBU)
pimpinan Jonah . Bebudak ini diasuh dengan
amalan diskusi ideologi dan aksi jalanan
oleh mahaguru mereka yang romantis, saudara
Hishamuddin Rais. Walau bagaimanapun,
aliran ini tidak mendapat tempat di kalangan
mahasiswa massa kecuali kaki seni picisan
di kampus-kampus .
Episod
terakhir keperkasaan mahasiswa adalah
penangkapan Fuad Ikhwan, isu majalah Varsity
palsu dan pembakaran DTC di UM. Selepas
episod ini, satu episod baru yang dinamakan
pelajar ‘Islam bersama hadhari’.
Suara Mahasiswa Progresif aliran Islamis
telah dikasi secara halus menyebabkan
pelajar lebih selesa dengan kegiatan Islam
bersama hadhari iaitu berdiskusi dengan
tajuk yang menyejukkan HEP, aktiviti bertamadun
yang sama dengan aktiviti persatuan pelajar
yang lain [karnival, riadah dan kauseling
pelajar, main masak-masak di ESKUM, contoh].
Manakala pelajar nasionalis pula sudah
luntur nasionalisnya. Mereka juga ingin
memeriahkan Islam bersama hadhari dengan
aktiviti kebudayaan dan kesenian. Mereka
bukan lagi pelajar nasionalis tulen tetapi
pelajar geli (baca; lemah) gemalai dengan
seni dan kebudayaan.
Hala
Tuju Mahasiswa Progresif: Kini dan Masa
Depan
Pada masa kini, mahasiswa
didakwa lembik, ‘mati pucuk’,
lesu, pasif dan pelbagai lagi tohmahan
yang dilontarkan terhadap mahasiswa. Kita
tidak menafikan gejala ini turut membiak
dan merebak di kalangan mahasiswa tetapi
kita perlulah lebih adil dalam menilai
perjuangan pelajar generasi kini dan masa
depan berasaskan konteks semasa. Isu kemiskinan
orang Melayu, Bahasa Melayu dan pendidikan
sebagai contoh telah dicakna [tapi tidak
sepenuhnya] oleh kerajaan menyebabkan
mahasiswa progresif kekurangan isu untuk
ditangani (secara relatifnya, banyak lagi
isu yang boleh dihangat selain isu politik.
Contoh, isu kemiskinan masyarakat pinggir
bandar). Keterlibatan secara aktif dan
berlebihan mahasiswa progresif di dalam
ranjang politik menyebabkan pihak kerajaan,
universiti dan media massa melabel mereka
sebagai pro pembangkang. Justeru, satu
proses pencambahan minda perlu diadakan
untuk menilai dan berdiskusi tentang hala
tuju mahasiswa progresif pada masa depan.
Mahasiswa Progresif haruslah menyediakan
satu pelan induk alternatif agar perjuangan
mahasiswa progresif masih lagi relevan
dan konsisten dalam menghadapi kedinamikan
zaman. Oleh itu beberapa aspek perlu dibahaskan
adalah;
a.
Mahasiswa Progresif Dan Ideologi
Aliran Islamis dijangka
meneruskan keteguhan pengaruhnya di kalangan
mahasiswa massa walaupun pelajar Islamis
mungkin tidak lagi berkuasa dalam MPP.
Gerak kerja golongan pelajar Islamis lebih
kepada kerja kendiri dan berkesedaran
tinggi serta nekad dan setia terhadap
perjuangan Islam berbanding aliran lain
yang berhabuan material dan nafsu, dan
menyalahi akidah Islam. Walaupun pertempuran
ideologi di kalangan mahasiswa kelihatan
semakin luntur, ideologi [Islam bukan
ideologi tetapi satu ad din, lihat buku
karangan Syed Naquib al Attas, Risalah
Untuk Kaum Muslimin] masih lagi menjadi
elemen penting dalam dasar mahasiswa progresif
terutamanya Islam. Kelantangan mahasiswa
progresif aliran Islamis lebih berfokus
kepada menghidupkan kebenaran, keadilan
dan kemurnian Islam. Isu-isu rakyat terutamanya
kemiskinan bukan lagi menjadi agenda penting
kerana dianggap tugas kerajaan, cuma mahasiswa
progresif boleh menjadi pendesak untuk
memurnikan dasar-dasar kerajaan agar komitmen
kerajaan terus berlangsung. Manakala mahasiswa
progresif aliran sosialis dan nasionalis
dijangka akan luput kerana mereka kelihatan
kebutaan dan tidak ketahuan terhadap ideologi
mereka sendiri. Mereka kini semacam melakukan
satu proses tranformasi ideologi iaitu
ke arah kepentingan material, pangkat
dan nama. Perjuangan mereka lebih kepada
memenuhi ketiga-tiga unsur tersebut dan
menjadi regalia [ini bermakna mereka menjadi
alat pihak berkepentingan yang ingin mengekal
kuasa bukan pihak memperjuangkan nilai-nilai
murni seperti Islam dan kemanusiaan] untuk
HEP mendapat keuntungan daripada pemerintah.
Mereka kelihatan pro hiburan dan kesenian.
b.
Mahasiswa Progresif Dan Ilmu
Mahasiswa dengan ilmu
tidak boleh dipisahkan kerana ilmulah
tujuan asasi mahasiswa berada di universiti.
Iman Ghazali dalam Bidayatul Hidayah menyifatkan
tujuan mencari ilmu adalah mencari keredhaan
Allah dan mencari hidayah. Ilmu yang dicari
adalah ilmu yang bermanfaat dengan suluhan
Al Quran dan Hadis yang akan mencetuskan
ketakutan dan pengabdian diri kepada Allah.
Orang yang berilmu juga adalah orang yang
faham, taat kepada Allah dan beramal dengan
ilmu yang di pelajari [Tuan Guru Abdul
Hadi Awang]. Oleh sebab itu, sistem ilmu
perlu diterbitkan daripada kegiatan akliah
yang memerlukan imaginasi untuk menyusun
maklumat dalam satu kerangka yang bermakna
dan difahami [Anwar Ibrahim]. Sebagai
mahasiswa yang berada di lembah keilmuan,
peluang mencungkil ilmu di kampus tidak
harus dilepaskan. Ilmu bukan sahaja untuk
digunakan dalam pekerjaan tetapi dipraktikal
dalam kehidupan sehari-harian. Ilmu yang
didapati harus menjernihkan minda dengan
suluhan dan bimbingan wahyu. Selaku mahasiswa
yang berilmu, janganlah mahasiswa mencontohi
perangai profesor kangkung yang begitu
ramai di kampus dengan sifat mereka yang
giat membodek untuk mendapat jawatan pentadbiran
[akhirnya mereka berjaya mendapat jawatan
TNC dan NC]. Profesor kangkung ini diakui
bijak ini sanggup menjual kejujuran intelektual
demi kebuncitan perut mereka [walapun
mereka sudah boroi]. Mereka sombong dan
riak dengan ilmu yang mereka ada, mereka
inilah seperti yang dilukiskan oleh Allah
sebagai orang berilmu tetapi tidak beramal
dengan suluhan wahyu kerana tiada hidayah
dan bongkak demi secangkir habuan dunia.
Mahasiswa progresif seharusnya berani
dengan hujahan ilmu bagi menentang kebathilan
dan korupsi. Pembelajaran setiap ilmu
hendaklah disuntik dengan roh Islam walaupun
ilmu itu adalah fizik, kejuteraan, ekonomi
atau sejarah. Serapkan ilmu-ilmu ini dengan
suluhan roh Islam dan praktikalkan dalam
kehidupan. Barulah mahasiswa progresif
dalam merealisasikan apa yang diingini
oleh Malek Bennabi, quwwat al ruh wa al-‘aql
[kekuatan jiwa dan minda] terjelma kembali
di dalam masyarakat kini. Mahasiswa progresif
seperti ini akan mempunyai minda qur’ani-rabbani,
mereka adalah generasi rabbaniyyin yang
terbina tradisi pengajaran dan pemelajaran
al kitab [Siddiq Fadil].
c.
Mahasiswa Progresif Dan Masyarakat
Mahasiswa progresif perlu
mengekalkan mereka sebagai jurubicara
masyarakat di kalangan rakyat Malaysia.
MP terutamanya beraliran Islamis perlu
lebih aktif berperanan dalam isu kemasyarakatan.
Di Malaysia, satu kekurangan yang terdapat
dalam program Islamisasi ialah langkah-langkah
lebih sistematis dan berkesan bagi mengatasi
masalah dan penyakit sosial [Mohamad Abu
Bakar]. Masalah-masalah seperti pengangguran,
keciciran, penyalahgunaan dadah, pelacuran
dan seumpamanya lebih didominasi oleh
golongan non muslim. Alangkah indah jika
mahasiswa progresif terutamanya yang berjiwa
Islamis mengambil cakna tentang problem
masyarakat ini. Mahasiswa Progresif perlu
terjun ke dalam masyarakat tanpa memilih
isu-isu popular sahaja. Mahasiswa progresif
lebih selesa bermanjaan dengan isu seperti
keadilan pilihan raya, isu Anwar Ibrahim,
kebebasan media dan AUKU daripada isu-isu
terpinggir seperti tekanan jiwa orang
tua dan anak yatim, nasib orang Asli yang
masih membuang air besar di sebalik pohon
lalang dan kemiskinan rakyat di Sik. Ya,
memang benar isu nasional mesti diutamakan
tetapi isu-isu rakyat marhaen janganlah
dikesampingkan. Mungkin agak sukar untuk
kita mengatasi permasalahan rakyat marhaen
kerana ketiadaan jentera organisai yang
benar-benar mantap dan kekurangan dana
kewangan tetapi mereka akan berasa puas
hati setelah melihat kedatangan anak-anak
muda yang bergelar mahasiswa cuba memahami
suara hati nurani mereka dan mengambil
berat tentang nasib mereka.
d.
Mahasiswa Progresif Dalam Aktiviti Kebudayaan
Mahasiswa perlu menjadi
insan atau manusia yang memahami sifat
dan kehendak fitrah manusia itu sendiri.
Walaupun dunia sekarang mengejar kepentingan
material melalui peluang pekerjaan, pembangunan,
duit, sains dan bidang teknologi, jiwa
insani mereka pada suatu masa nanti akan
merasai begitu gersang sehingga berlakunya
tekanan psikologi. Akibatnya mereka, pemuja
material akan kembali kepada fitrah manusia
itu sendiri iaitu agama dan elemen humanisme
seperti seni dan budaya. Oleh sebab itu
amalan spiritual mula mendapat tempat
kembali di kalangan masyarakat Barat yang
telah tepu dan mencapai tahap klimak dalam
pembangunan material. Mahasiswa progresif
seharusnya menjadi manusia nahdah dengan
akal bukannya dengan jasad. Manusia nahdah
mempunyai kefahaman terhadap seni berhujah
dan falsafah, sastera dan muzik. Mereka
juga bersifat mutafannin atau renaissane
man [manusia pelbagai bidang] yang menjiwai
ilmu kemanusiaan dan studi humanitatis
[Anwar Ibrahim]. Bagi pelajar aliran Islam,
bidang kebudayaan perlu didampingi dan
perlu memahami asas pemikiran atau falsafah
dan amalan harian setiap aktiviti kebudayaan
berasaskan kemanusiaan serta mampu pula
mengemukakan perspektif Islam dengan cara
yang sebaik-baiknya [M. Salleh Yaapar].
Oleh sebab itu, dalam permasalahan cabang
[selagi tidak menyalahi prinsip Islam],
mahasiswa progresif terutamanya pelajar
Islamis perlu menyediakan alternatif bukan
menentang secara semberono aktiviti kebudayaan.
Bacaan puisi dan teater boleh dijadikan
medium utama untuk berdakwah. Dan bolehlah
kita melihat mahasiswa progresif aliran
Islamis akan bertempur dengan golongan
nasionalis atau sosialis bukannya dalam
pilihan raya kampus tetapi di atas ranjang
aktiviti kebudayaan.
Rumusan
1. Mahasiswa Progresif
akan terus wujud bagi memperjuangkan isu-isu
semasa dengan pendekatan berbeda.
2. Mahasiswa progresif
beraliran Islamis akan terus berpengaruh
di dalam kampus walaupun golongan Islamis
tidak lagi menguasai tampuk MPP.
3.
Hala tuju Mahasiswa Progresif memerlukan
pengarahan semula agar suara mahasiswa
progresif terus relevan disebalik dinamika
zaman.
_____________
Nota:
Penulis merupakan mantan
ahli PMIUM pasif, Eczo PBMUM dan AJK PSUM.
Beliau bleh di hubungi melalui
emel: tokawang_sufi@hotmail.com