Formula
'Islam Kiri' Hassan Hanafi
Mohd
Rumaizuddin Ghazali
03:25pm 29 Julai 2005
Hassan
Hanafi merupakan seorang pemikir Islam
yang sangat kontroversial. Ini kerana
pandangan dan ide-idenya sering bertentangan
dengan pandangan umum masyarakat Islam.
Walaupun begitu, beliau mengakui bahawa
apa yang dilakukannya adalah untuk melihat
Islam maju dan berkembang dengan pesat.
Oleh sebab itu, buku-buku yang ditulisnya
merupakan reaksi terhadap fenomena yang
berlaku dalam masyarakat terutama masyarakat
di Mesir.
Beliau
juga terdidik dalam kumpulan Ikhwan Muslimun
dan menyanjungi ide-ide Sayyid Qutb, Hassan
al-Banna dan Abd Qadir Audah pada usia
mudanya. Menurutnya, beliau amat terkesan
dengan buku Sayyid Qutb yang bertajuk
Keadilan Sosial (al-‘Adalah
al- ‘Ijtima’iyyah) dan Pertembungan
Islam dan Kapatalis (Ma’rakah
al-Islam wa al-Ra’samaliyyah).
Sejak
tahun 1952 hingga tahun 1956, Hanafi belajar
di Universiti Kaherah untuk mendalami
bidang falsafah. Pada period ini beliau
merasakan situasi yang paling buruk berlaku
di Mesir. Misalnya, pada tahun 1954 terjadi
pertentangan hebat antara Ikhwan dengan
gerakan revolusi. Peristiwa-peristiwa
ini menyebabkan beliau mula berfikir mengapa
umat Islam sering dikalahkan dan konflik
dalaman terus terjadi.
Beliau
merasa kecewa dan segera menyedari bahawa
di Mesir saat itu telah terjadi masalah
perpecahan dan kesatuan. Pada tahun 1956
hingga tahun 1966, Hanafi belajar di Universiti
Sorborne. Di sinilah beliau mendapat pendedahan
yang meluas mengenai masalah-masalah yang
melanda umat Islam dan cara mengatasinya.
Beliau belajar dari reformis Katolik Jean
Gitton, Paul Ricouer dan Profesor Masnion
tentang pembaharuan Usul Fiqh.
Sejak
tahun 1967, beliau menjadi pensyarah di
Universiti Kaherah dan mula menulis tentang
aliran-aliran pemikiran Islam dan Barat.
Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat
di Perancis pada tahun 1969 dan Universiti
Temple, Amerika Syarikat pada tahun 1971-1975.
Pada waktu ini, beliau mengarang buku
yang berjudul Min al-Aqidah ila Thawrat
dan mendalami falsafah-falsafah Yahudi
dan Inggeris.
Sementara
itu, dari tahun 1981 hingga tahun 1983,
Hanafi menjadi profesor tamu di Universiti
Tokyo dan tahun 1985 di Emirat Arab Bersatu.
Pengalamannya ini dan pertemuan dengan
pemikir Islam seluruh dunia telah menambahkan
wawasannya dalam memahami persoalan-persoalan
yang dihadapi oleh umat Islam.
Hassan
Hanafi terkenal sebagai seorang pelopor
kepada Turath wa Tajdid ( Tradisi
dan Pembaharuan). Oleh itu, dalam kegiatan
ini beliau menjelaskan 3 peringkat iaitu;
Pertama
pendirian tentang Tradisi Islam yang lama
dan membina semula bersesuaian dengan
keadaan masa kini. Dalam konteks ini,
beliau telah mengarang buku seperti Manahij
al-Ta’wil fi Ilmi Usul Fiqh
(Method Takwil dalam Ilmu Usul Fiqh) dalam
membina semula ilmu Usul Fiqh, Min
Aqidah ila Thawrat (Dari Akidah kepada
Revolusi) dalam membina ilmu Usuluddin,
Min al-Fana ila al-Baqa’
(Dari alam Fana ke alam Baqa) dalam membina
semula ilmu tasauf, Min al-Naqli ila
al-Aql (dari Naqal kepada Akal) dalam
membina semula ilmu-ilmu naqal.
Kedua
pendirian tentang Tradisi Silam Barat.
Dalam hal ini, Hassan mula mengarang buku-buku
yang berbentuk falsafah barat dan menterjemahkan
karya-karya klasik barat ke bahasa Arab.
Sebagai contohnya buku yang berjudul al-Qadhaya
Mu’asarat fi al-Fikr al-Gharb
(Isu-Isu Semasa dalam pemikiran Barat)
yang membicarakan pemikiran para sarjana
Barat dalam memahami realiti masyarakatnya.
Ketiga
pendirian dari realiti masa kini dengan
melihat secara terus penyakit-penyakit
yang melanda masyarakat kini. Dalam aspek
ini, beliau mula membina pemikiran Islam
yang baru yang diperlukan oleh umat Islam.
Menurutnya, kegiatan Turast wa Tajdid
ini bermaksud meletakkan pemikiran Islam
dalam realiti semasa dan dalam perjalanan
sejarah sehingga ia dapat bergerak membentuk
sesuatu yang baru. Beliau menafikan bahawa
kegiatan Turath wa Tajdid merupakan
agenda orientalis malah beliau mengaku
masih berpegang kepada Islam serta bertanggungjawab
sepenuhnya terhadap hukum-hukumnya.
Menurut
Hassan, Turath wa Tajdid ini
mengabungkan aliran yang telah dibina
oleh Muhammad Abduh, Rashid Rida, Sayyid
Qutb, Muhamamd Baqir Sadir, Shawkani,
Ilal al-Fasi dari golongan pengislah Islam
dengan golongan Liberal Islam seperti
Tahtawi, Taha Husein, Aqqad, Qassim Amin,
Ali Abd Raziq dan golongan kapitalis seperti
Salamah Musa dan Farah Anton.
Oleh
yang demikian, kegiatan ini mengabungkan
kesemuanya dalam satu bentuk yang baru
yang berteraskan kepada asas-asas pokok
dan mengeluarkan ijtihad dalam bidang-bidang
yang dibolehkan untuk kemajuan umat Islam.
Ia merupakan teori-teori yang memuatkan
dasar-dasar ide pembaharuan dan langkah-langkahnya.
Pada
tahun 1970an, Hanafi juga menganalisa
sebab-sebab ketegangan antara berbagai
kelompok di Mesir terutama antara puak
Islam dengan pemerintah. Pada masa yang
sama keadaan politik Mesir mengalami keadaan
yang tidak stabil akibat sikap Anwar Sadat
yang pro-Barat. Keadaan itu membawa Hanafi
pada pemikiran bahawa seorang ilmuan juga
mempunyai tanggungjawab politik terhadap
nasib bangsanya. Untuk itulah beliau mengarang
al-Din wa Thawrat fi Misr 1952-1981.
Karya ini mempunyai lapan jilid yang merupakan
himpunan artikel yang ditulis antara tahun
1976 hingga tahun 1981 dan diterbitkan
pada tahun 1987. Dalam pengamatannya,
beliau mengatakan antara sebab utama konflik
berpanjangan yang berlaku di Mesir adalah
pertembungan dan tarik menarik antara
ideologi Islam dan Barat dan ideologi
sosialisme. Natijahnya munculnya golongan
radikal Islam.
Hassan
juga menulis buku yang menjadi kontroversial
iaitu al-Yassar al-Islami (Islam
Kiri) pada dekad 90an. Menurutnya, Islam
kiri menekankan pada perbedaan dalam suatu
komuniti Islam antara si kaya dan si miskin,
yang kuat dan yang lemah, para penindas
dan yang tertindas. Islam kiri membela
majoriti yang tertindas di dalam masyarakat
muslim, membantu yang lemah melawan yang
kuat, memandang semua orang sama seperti
gigi sisir, kerana tidak ada perbedaan
antara Arab dan Parsi kecuali dalam kesalehan
dan pelaksanaan amal kebaikan.
Inilah
kandungan misi yang diperjuangkan oleh
Hassan dalam masyarakat muslim sekarang
terutama di Mesir.
Pengaruh
pemikirannya ini begitu berkembang di
Indonesia melalui Abdul Rahman Wahid (Gus
Dur). Semasa beliau menjadi Presiden Indonesia,
beliau telah menjemput Hassan ke Indonesia.
Walaupun begitu, Daud Rasyid, seorang
pensyarah di IAIN Syarif Hidayatullah
menyangkal dakwaan tersebut. Menurutnya,
pemikiran Hassan Hanafi tidak mendapat
tempat di Mesir, kenapakah rakyat di sebelah
sini mahukan pemikirannya yang tidak jelas
matlamatnya. Malahan di Mesir beliau dituduh
membawa aliran Marxisme. Prof. Ali Jummah,
Prof. Tariq al-Basyri dan Muhammad Imarah
pernah mengkritik aliran pemikirannya.
Jabhah Ulamak al-Azhar pernah menghukumnya
terkeluar dari agama Islam kerana pemikiran
dan pengkagum kepada Karl Marx. Sdr Astora
Jabat yang menghadiri pertemuan dengan
para sarjana dan ulamak di Jordan baru-baru
ini menyebutkan bahawa para sarjana Timur
Tengah mengatakan Hassan Hanafi telah
kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.
- Ehsan Minda Madani Online, 31
Dis 2003