Apa
itu 'Era
Kebangkitan'?
Dr.
Ali al-Kurani
09:30am
05 Ogos 2005
Al-Quran
merupakan mukjizat Nabi kita Muhammad
SAW yang kekal lagi sentiasa bersifat
tajdid (membawa pembaharuan) pada setiap
waktu dan generasi manusia. Antara mukjizatnya
yang sentiasa membawa pembaharuan ialah
perkhabaran yang dibawa oleh Junjungan
Rasulullah SAW tentang masa depan kehidupan
manusia,masa depan Islam dan era yang
dinanti-nantikan mengenai kebangkitan
Islam. Pada masa itu Allah akan mengurniakan
kemenangan Islam dengan tertegaknya seluruh
aspek kehidupan Islam, sungguhpun menerima
tentangan hebat dari golongan musyrikin
dan kafir.
Era
kebangkitan Islam merupakan topik perbahasan
kita. Ia merupakan era kebangkitan atau
zuhur Imam al-Mahdi yang ditunggu-tunggu
itu. Pada hakikatnya tidak wujud perbezaan
sama sekali tentang ratusan hadis Rasulullah
SAW yang membawa perkhabaran gembira ini,
sepertimana yang diriwayatkan oleh para
sahabatnya, para tabi’in dan para
pengumpul koleksi hadis-hadis sahih dari
berbagai mazhab dan aliran fahaman mereka.
Malahan hadis-hadis di bawah topik ini
bertambah menjangkau seribu hadis apabila
disandarkan kepada para Imam dari kalangan
ahl al-Bayt Rasulullah SAW. Hujahan
para Imam itu sebenarnya merupakan bahasan
dan kupasan dari bapa-bapa mereka yang
suci dan akhirnya kembali kepada datuk
mereka Nabi Muhammad SAW juga.
Hadis-hadis
yang suci itu merakamkan gambaran yang
menyeluruh tentang senario dunia global
pada era kebangkitan khususnya mengenai
lokasi atau persekitaran utama era kebangkitan
yang merangkumi wilayah Yaman, Hijaz (Semenanjung
Arabia), Iran, Iraq, Syria, Palestin,
Mesir dan Maghribi (Algeria). Dalam penggambaran
tersebut penekanan ditumpukan kepada peristiwa-peristiwa
besar, nama-nama tempat, peribadi-peribadi
penting dan huraian-huraiannya. Sehubungan
ini saya berusaha memaparkan nas-nas yang
terang untuk memperkukuhkan huraian. Bab
ini merupakan gambaran umum tentang era
kebangkitan sebelum memasuki bab-bab yang
lebih terperinci.
Menurut
keterangan hadis-hadis Rasulullah SAW
dan para Imam bahawa pergerakan zuhur
Imam al-Mahdi bermula di kota suci Makkah
selepas berlakunya gerakan pendahuluan
secara global. Senario dunia yang terpenting
ialah tercetusnya pertarungan yang hebat
di antara pihak Rome atau Barat (Blok
Kapitalis) dengan pihak Turki dan para
penyokongnya (Pihak Rusia atau Blok Komunis).
Pertarungan itu berlarutan sehingga tercetus
pula Perang Dunia Ketiga.
Dalam
masa yang sama di dunia Islam muncul pula
dua buah pemerintahan yang mendokong kebangkitan
al-Mahdi di Iran dan Yaman. Kerajaan yang
mendokong al-Mahdi di Iran telah wujud
beberapa waktu lamanya. Pemerintahan ini
bertahan lama dalam menghadapi pergolakan
yang panjang serta berupaya memenanginya.
Sejurus sebelum zuhurnya Imam Zaman tampil
dua tokoh utama pendokongnya iaitu Sayyid
al-Khurasani sebagai pemimpin politik
dan Syu’aib bin Sholeh selaku pemimpin
tentera. Tegasnya bangsa Iran di bawah
kedua-dua tokoh ini memainkan peranan
yang amat penting dalam pergerakan zuhur
al-Mahdi.
Selanjutnya
para pendokong al-Mahdi di kalangan bangsa
Yaman hanya muncul beberapa bulan sebelum
kebangkitan al-Mahdi. Mereka berperanan
mengisi kejatuhan politik golongan pemerintah
di Hijaz atau Semenanjung Arabia. Dalam
masa yang sama mereka mendokong pergerakan
kebangkitan al-Mahdi di Hijaz.
Alasan
utama berlakunya kelemahan aspek pemerintahan
di Hijaz adalah akibat terbunuhnya raja
yang dungu dari regim mereka yang bernama
Abdullah. Malah beliau merupakan raja
atau pemerintah yang terakhir regim tersebut.
Berikutnya berlaku konflik politik yang
sengit di kalangan anggota regim tersebut
sehingga munculnya Imam al-Mahdi.
Maksudnya:
"Adapun apabila matinya Abdullah,
orang ramai tidak pernah dapat bersatu
selepasnya. Keadaan ini tidak dapat diredakan
sehingga kemunculan Imam kamu dengan izin
Allah. Berlalu masa yang singkat yang
hanya memunculkan pemimpin untuk beberapa
bulan dan hari". Abu Bashir
berkata: "Adakah masa itu lebih
panjang lagi". Lalu dikatakan:
"Sekali-kali tidak. Selepas kematian
Raja Abdullah berlaku pertarungan sengit
antara kabilah di Hijaz".
Maksudnya:
"Di antara tanda-tanda berlakunya
kiamat ialah berlakunya peristiwa besar
di antara al-Haramain (Kota suci
Makkah dan Madinah)". Aku bertanya,
"apakah peristiwa besar itu"?
Katanya: "Wujudnya rusuhan Asobiyyah
(perkauman) di antara al-Haramain, Fulan
anak Fulan telah membunuh lima belas orang
pemimpin".
Bermulanya
alamat terpenting zuhur al-Mahdi ialah
kedengaran seruan daripada langit pada
23 Ramadhan. Sayf bin ‘Umairah berkata:
Saya duduk di sisi Abu Ja’afar al-Mansur.
Beliau berkata: "Wahai Sayf bin
‘Umairah semestinya akan kedengaran
seruan daripada langit yang menyeru nama
seorang laki-laki dari keturunan Abu Talib".
Kataku: "Benarlah kata-kata mu
itu wahai Amir al-Mu`minin".
Berkata al-Mansur: "Riwayatkanlah
kepadaku tentang hal itu". Saya
menegaskan: "Bahawa peristiwa
tersebut akan berlaku selepas zaman kita
ini". Al-Mansur berkata: "Wahai
Sayf! Sesungguhnya ia adalah peristiwa
yang benar. Apabila ia benar-benar berlaku
maka golongan kamilah yang terawal menyahut
seruan itu, kerana seruan itu datangnya
daripada seorang laki-laki dari keturunan
bapa saudara kami". Aku menyatakan:
"Beliau adalah seorang laki-laki
dari keturunan Fatimah?" Al-Mansur
berkata: "Benar wahai Sayf ,
beliau adalah Muhammad bin Ali".
Selepas
kedengaran seruan daripada langit itu
al-Mahdi mula menghubungi para pengikut
dan penyokongnya secara sulit. Namun demikian
musuh-musuh al-Mahdi merasa amat bimbang
dengan berita kemunculannya lantas mereka
sibuk memperkatakannya. Orang ramai percaya
bahawa Imam al-Mahdi berada di kota Madinah
al-Munawwarah. Pihak pemerintah Hijaz
dengan dibantu oleh tentera Sufyani daripada
Hijaz menjalankan gerakan pembenterasan
ke atas pengikut dan penyokong al-Mahdi.
Di samping mereka berusaha menghentikan
perbalahan kabilah di Hijaz mereka juga
menumpukan perhatian di Madinah. Setiap
keturunan Hasyimi ditindas, membunuh para
pengikutnya serta memenjarakan yang lainnya.
Sufyani
menuju ke Madinah membunuh para pengikut
al-Mahdi. Setiap keluarga keturunan Nabi
Muhammad dibunuh dan dipenjarakan tanpa
meninggalkan seorang pun daripada mereka.
Di ketika al-Mahdi keluar daripada buruan
mereka mengikut sunnah Nabi Musa a.s.
iaitu secara bersembunyi dan mengintai-intai,
sehinggalah beliau berjaya tiba ke Makkah.
Di
Makkah, al-Mahdi menghubungi para pengikutnya
sehingga bermulanya pergerakan pentingnya
di BaytuLlah al-Haram pada malam kesepuluh
bulan Muharram selepas solat ‘Isya`.
Sejurus selepas itu beliau menyampaikan
ucapan pertamanya kepada penduduk Makkah.
Musuh-musuhnya berusaha membunuhnya. Akan
tetapi para pengikutnya mengelilinginya
dan mempertahankannya. Selanjutnya mereka
berjaya menguasai Masjid al-Haram dan
kemudiannya menguasai seluruh kota Makkah.
Pada
waktu awal pagi hari kesepuluh Muharram
Imam al-Mahdi menyampaikan ucapannya kepada
seluruh penduduk dunia melalui berbagai
bahasa supaya mereka memberikan sokongan
kepadanya. Beliau mengisytiharkan akan
tinggal di Makkah sehingga tibanya datangnya
pertolongan Allah yang dijanjikan oleh
datuknya Rasulullah SAW. Pertolongan Allah
itu dalam bentuk bencana yang menimpa
tentera-tentera musuhnya yang sedang menuju
ke Makkah untuk memusnahkan pergerakannya.
Berikutnya
berlakulah bencana yang menimpa tentera
Sufyani yang sedang menuju ke Makkah.
Sehubungan ini Allah SWT berfirman:
Maksudnya:
"Dan (alangkah hebatnya) jikalau
kamu melihat ketika mereka (orang-orang
kafir) terperanjat ketakutan , maka mereka
tidak dapat melepaskan diri dan mereka
ditangkap dari tempat yang dekat"
- (Surah Saba`, 34 ayat 51).
Selepas
pertolongan Allah yang telah membenamkan
musuhnya Imam al-Mahdi menuju ke Madinah
dari Makkah bersama sepuluh ribu tenteranya
dan berjaya membebaskan Madinah. Dengan
pembebasan al-Haramain bermakna
sempurnalah pembebasan Hijaz.
Berikutnya
al-Mahdi dan tenteranya menuju ke Selatan
Iran serta bergabung dengan tentera Iran
di bawah pimpinan al-Khurasani dan Syu’aib
bin Soleh. Semua tentera itu memberikan
bay’ah kepada Imam. Mereka
menuju ke Basrah. Setelah berlaku pertempuran
hebat Basrah dibebaskan.
Imam
masuk ke Iraq dan menewaskan kekuatan
Sufyani serta kekuatan Khawarij. Imam
mengisytiharkan Iraq sebagai pusat pemerintahannya
dan Kufah menjadi ibu negaranya. Ketika
itu Yaman, Hijaz, Iran, Iraq dan negara-negara
Teluk menjadi wilayah pemerintahannya.
Selepas pembukaan Iraq, kerajaan Imam
berjaya menguasai Turki atau Rusia dengan
mudah kerana pihak Russia telah menjadi
lemah selepas Perang Dunia Ketiga.
Pergerakan
tentera besar al-Mahdi selanjutnya ialah
menuju ke Baitul Maqdis untuk membebaskannya.
Dalam perjalanan itu mereka bertempur
dengan tentera Sufyani di Marja ‘Azra
berhampiran dengan Damsyik, Syria. Tentera
Sufyani amat lemah berhadapan dengan tentera
al-Mahdi akan tetapi di belakang mereka
terdapat pihak Yahudi dan kuasa-kuasa
Barat melindungi mereka. Berlakulah pertempuran
yang hebat di antara tentera al-Mahdi
dengan tentera Sufyani yang dibantu oleh
tentera Yahudi dan tentera-tentera bersekutu
Barat. Medan pertempuran itu meliputi
Aka di Palestin, Baytul Maqdis, Damsyik
hingga ke Antioch, Turki.
Turunlah
pertolongan Ilahi sehingga tentera-tentera
al-Mahdi berjaya mengalahkan tentera-tentera
bersekutu. Akhirnya mereka berjaya membebaskan
Baytul Maqdis. Pihak Barat Kristian amat
terkejut dengan kemenangan dan kemaraan
tentera-tentera al-Mahdi yang berjaya
mengalahkan tentera-tentera Yahudi lalu
mereka mengisytiharkan perang ke atas
al-Mahdi. Ketika itu mereka dikejutkan
pula dengan turunnya Isa al-Masih dari
langit ke Baytul Maqdis. Sehubungan ini
al-Masih mengisytiharkan kepada seluruh
dunia khususnya pengikut Kristian bahawa
turunnya beliau adalah suatu berita gembira
kepada umat Islam dan pengikut agama Masihi.
Al-Masih
juga mengisytiharkan bahawa beliau adalah
penghubung di antara al-Mahdi dengan pihak
Barat. Dalam tempoh dua tahun selepas
peristiwa itu ramai di kalangan orang-orang
Kristian Barat memeluk Islam dan menjadi
penyokong Imam al-Mahdi. Pada ketika itu
tentera al-Mahdi telah menjangkau sejuta
orang jumlahnya. Al-Masih mengisytiharkan
dirinya sebagai penyokong dan pengikut
al-Mahdi malah beliau solat di belakang
Imam al-Mahdi di Baytul Maqdis.
Selepas
pembebasan al-Quds pergerakan tentera
al-Mahdi menuju ke Barat untuk membebaskan
Eropah dan dunia Barat. Dengan kejatuhan
Barat ke tangan tentera al-Mahdi dan al-Masih
maka tertegaklah daulah sejagat di bawah
pimpinan al-Mahdi.
Setelah
tertegaknya pemerintahan Islam di seluruh
alam dan umat manusia memeluk Islam beramai-ramai,
al-Masih wafat lalu Imam al-Mahdi menyembahyangkan
jenazahnya dan dikebumikan disisi makam
bondanya Maryam di Baytul Maqdis.
Berikutan
tertegaknya pemerintahan Islam sejagat
Imam al-Mahdi melaksanakan agenda-agenda
ketuhanan ke atas seluruh penduduk bumi
dalam berbagai lapangan kehidupan. Dunia
global menikmati kemajuan dan kemakmuran.
Kebudayaan dan peradaban manusia menyerlah
dalam lapangan kerohanian dan kebendaan,
lebih-lebih lagi berbagai bidang ilmu
baru diterokai dan dikembangkan.Penduduk
bumi mula berhubung dan meneroka planet-planet
yang lain. Malahan terbuka pintu alam
ghaib dengan alam syahadah ini. Sebilangan
para Anbiya` dan para Imam dikembalikan
ke bumi pada era ini. Berlakulah tanda-tanda
terakhir kiamat dan permulaannya.
Pada
ketika itu bermula pula gerakan Dajjal
yang terlaknat dengan segala fitnahnya.
Justeru itu berlaku pula gerakan untuk
menyelewengkan perkembangan ilmu dan sains
di ketika dunia menikmati kecemerlangan
peradabannya. Dajjal mengeksploitasi kemajuan
sains dan teknologi dan memperalatkan
kaum cendekiawan dan kaum wanita dalam
gerakan penentangannya itu. Dengan izin
Allah, Imam al-Mahdi dan kerajaannya berjaya
menghapuskan Dajjal dan para pengikutnya.
Inilah
gambaran umum tentang pergerakan al-Mahdi
yang dijanjikan itu serta revolusi globalnya.
Justeru itu fitnah besar yang terpaksa
diharungi oleh umat Islam dewasa ini adalah
fasa permulaan era kebangkitan al-Mahdi
yang dijanjikan.
_______________
Nota: Artikel Dr.
Ali al-Kurani ini merupakan muqadimmah
dalam karya fenomenalnya 'Asr Dzuhur'.
Ia pernah diterbitkan oleh UmmahOnline
pada 03 Nov 2003. Namun, atas beberapa
permintaan, kami kembali menyiarkan semula.