Membentuk
Budaya Politik Kampus yang Murni
Azwiralbukhairi
Ab Aziz
11:50am
20 Ogos 2005
Belajar sambil mencabar
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin
Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar
- Prof. Ungku A. Aziz (1973)
Setiap tahun akan berlaku pilihanraya
kampus di seluruh negara terutama sekali
yang membabitkan institusi pengajian tinggi
dan kolej universiti. Reaksi bercampur-campur
pelajar mengenai pilihanraya kampus juga
memberi kesan yang pelbagai kepada institusi
pengajian yang terlibat. Ada pelajar yang
melihat pilihanraya kampus sebagai acara
rutin memilih pelajar dan tidak memiliki
hubungan langsung dengan kehidupan pelajar
itu sendiri sekaligus tidak mempedulikan
apa yang berlaku. Terdapat juga pelajar
yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada
pilihanraya kampus dan melihatnya sebagai
medan perebutan golongan oportunis menonjol
diri dan membina nama. Namun walau apapun
alasannya, sudah pasti, pihak universiti
sepatutnya mengadakan pilihanraya peringkat
pelajar memiliki tujuan yang sepatutnya
memberi keuntungan untuk pelajar di dalam
pelbagai bentuk baik dalam jangka masa
pendek mahupun jangka masa yang panjang.
Masakan tidak, majoriti besar kakitangan
universiti terlibat dan perbelanjaan yang
besar dikeluarkan untuk melaksanakan salah
satu rutin proses demokrasi diperingkat
pelajar. Sudah pasti antara tujuan utama
diadakan pilihanraya peringkat pelajar
ini untuk melatih generasi muda melalui
proses untuk dipilih serta memilih. Secara
tidak langsung juga mendidik generasi
muda berhadapan dengan proses memilih
pemimpin peringkat umur mereka. Pelajar
diminta untuk membuat keputusan baik keputusan
menawarkan diri atau diminta bertanding,
ataupun membuat keputusan untuk memilih
calon yang terbaik.
Tetapi alangkah malangnya jika masa, tenaga
dan tumpuan kerja untuk melaksanakan perjalanan
pilihanraya kampus diakhiri dengan sentimen
benci membenci, tuduh menuduh dan penuh
dengan manipulasi seperti politik kepartian
di luar kampus. Kita realistik, pemilihan
pemimpin peringkat pelajar ini tidak akan
menyelesaikan semua masalah yang ada diperingkat
pelajar. Adalah tidak adil kepada bakal
pemimpin pelajar diletakkan harapan yang
tinggi untuk mengubah segala-galanya,
menyelesaikan segala kemelut dan kebajikan
pelajar yang menjadi tanggungjawab universiti.
Di samping kewujudan program rutin pelajar
dan universiti seperti pesta konvokesyen,
pemimpin pelajar yang terpilih juga perlu
menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi
rakan sebayanya mengenai potensi generasi
muda dari seorang pelajar biasa kepada
pelajar yang miliki idealisme tentang
cita-cita hidup merentasi pembinaan moral
dan akhlak seseorang individu, keluarga,
masyarakat, negara dan dunia. Kita juga
melihat pemimpin pelajar yang dipilih
perlu menjadi pemimpin pembina budaya
(culture builder).
Memimpin para pelajar untuk membina budaya
tinggi yang berkait rapat dengan budaya
ilmu dan segala ciri-ciri yang perlu ada
dalam pembinaan sebuah tamadun unggul.
Kita juga optimis agar pemimpin pelajar
yang akan dipilih nanti mampu menjadi
model kecemerlangan akademik dan memiliki
keyakinan diri dalam memimpin. Di samping
kepimpinan pentadbir universiti dan pemimpin
negara, umat juga idamkan kelahiran pemimpin
pelajar yang mampu merungkai dan membawa
keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat
yang membimbangi masalah sosial dan jenayah
yang sudah menular dikalangan pelajar.
Oleh itu, pertimbangan memilih pelajar
tidak wajar disandarkan kepada dari kumpulan
atau parti tertentu. Melabelkan pelajar
sebagai pro kepada kumpulan tertentu hanya
mengelirukan pelajar dan memerangkap pelajar
berfikir dalam kerangka berparti sama
seperti pilihanraya di luar kampus. Pemikiran
pelajar perlu dibebaskan dari diwarnai
dengan partisan politik luar. Biarkan
pelajar menentukan siapa yang dirasakan
punya kredibiliti dan akhlak yang baik.
Pemilihan yang paling releven diperingkat
kampus ialah memilih berdasarkan keupayaan
dan potensi yang ada pada calon terbabit
dalam rangka peraturan yang telah ditetapkan.
Bukannya disandarkan sebab emosi, kumpulan
sendiri atau sebab pilihan sesiapa pun
yang meminta untuk memilih calon tertentu.
Kekuatan calon terutama sekali pelajar
Islam perlu ditandai dengan ciri al-mu’minu`l-qawiyy
(mu`min yang kuat) dan keunggulan peribadi
al-qawiyyu `l’-amin (watak yang
gagah dan amanah).
Pilihanraya kampus perlu menjauhi elemen
manipulasi dan penyelewengan urusan pilihanraya
baik melalui surat layang, media elektronik
ataupun apa bentuk manipulasi sekalipun.
Mahasiswa harus matang dan mampu membezakan
nilai surat layang ataupun harga sebuah
berita palsu yang tersebar berbanding
dengan maklumat yang memiliki autoriti
atau kebenarannya. Di sini latihan yang
paling baik untuk mahasiswa melatih diri
menapis dan menilai sebarang manipulasi
sebelum sampai ke peringkat menjadi pemimpin
sesebuah institusi atau negara yang sudah
pasti berhadapan dengan rencam politik
serantau dan antarabangsa yang serba kompleks
dan lebih mencabar. Kita perlu bijak menilai
pilihannya yang baik, walaupun kita sedar
bahawa risiko membuat keputusan dalam
acara seperti pilihanraya kampus tidak
seberat membuat keputusan besar yang dilakukan
oleh pemimpin diperingkat negara. Budaya
politik peringkat pelajar universiti perlu
miliki kecenderungan murni atas asas budaya
ilmu yang dipandu oleh nilai agama dan
budaya sopan bangsa kita. Kerjasama dan
persefahaman antara pelajar dan pentadbir
universiti penting sangat penting untuk
membentuk warna pilihanraya kampus. Suasana
dalam institusi pendidikan sangat bergantung
kepada komitmen terutama peringkat pelajar
dan pentadbir untuk memastikan kemurnian
dan kelancaran acara tahunan ini memberi
kesan budaya yang baik dan bukan sebaliknya.
Pilihanraya peringkat mahasiswa bukan
medan merebut kuasa seperti mendapatkan
kerusi dewan undangan negeri atau parlimen.
Pemilihan peringkat kampus bukannya medan
membalas dendam atau menunjuk siapa yang
lebih gagah dan lebih kuat. Tetapi kawasan
universiti adalah tempat yang subur untuk
menyemai hikmah dan adab sebagai mana
yang tergambar melalui tema Taman Ilmu
dan Budi yang diperkenalkan oleh Prof.
Dr. Kamal Hassan di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM).
Universiti perlu menjadi taman yang subur
membina lebih ramai rakan yang membina,
mengangkat martabat dan akhlak insan serta
mendorong seluruh penghuni universiti
menjadi agen pendidik masyarakat dan bukannya
menjadi liabiliti kepada masyarakat. Mahasiswa
wajar menentukan sendiri iklim politik
bagaimana yang kita inginkan. Mahasiswa
punya pilihan untuk berbuat demikian.
Tetapi jika kita memilih untuk menjadi
wakil suara mana-mana kumpulan atau parti
politik, maka yang akan menang bukanlah
pelajar tetapi pendana atau penyumbang
kepada kumpulan tersebut. Kita perlu mandiri
dan bebas memilih jalan membina kepimpinan
pelajar tanpa mengorbankan rasa hormat
dan kagum sebilangan besar pelajar kepada
beberapa parti politik diperingkat nasional
yang sememangnya punyai pengaruh besar
dan peranan yang menyumbang kepada perjalanan
politik negara ini. Mahasiswa perlu mengembalikan
keyakinan masyarakat kepada kemurniaan
dan kemuliaan universiti melalui budaya
politik yang akan menjadi cerminan kepada
kematangan kepimpinan pelajar di institusi
pengajian tinggi. Kta sedar cita-cita
masyarakat yang ingin melihat mahasiswa
terdidik dan terbina dengan segala pengalaman
berguna baik terlibat dengan kepimpinan
pelajar peringkat majlis perwakilan mahupun
kelab yang kecil. Semua mahasiswa baik
menjadi pemimpin peringkat universiti
atau tidak adalah sama dan tidak pula
meletakkan mereka yang terpilih itu menjadi
lebih dalam segala hal. Kita semua punyai
amanah ilmu dan pengalaman menjadi mahasiswa
yang perlu disalurkan kedalam gelojak
masyarakat yang dahagakan pimpinan dan
dorongan graduan universiti yang akan
menjadi hati nurani umat kita kelak. Mahasiswa
perlu menterjemahkan idea dan cita-cita
murni kita melalui pendekatan yang lebih
operatif dan praktis diperingkat masyarakat
dan bukannya berlegar disekitar dewan
kuliah. Lanskap gerakan pelajar telah
berubah seiring dengan usia kemerdekaan
negara dan usia sesebuah institusi pendidikan
itu. Keperluan, cabaran dan masalah masyarakat
berubah seiring dengan usia perjalanan
sebuah negara seperti Malaysia. Tetapi
prinsip kebenaran dan keadilan akan terus
subur zaman berzaman seiring dengan semangat
kemanusiaan sejagat yang kita dukung.
Suasana yang ada kini perlukan pelajar
yang lebih matang dan terhadapan dengan
ruang dan batasan yag ada. Perubahan politik
konfrantasi kepada politik dialog (Mina
‘l-muwajahah ila l-hiwar) untuk
menyampaikan pandangan pelajar perlu diraikan.
Pandangan pelajar yang mungkin betul dan
mungkin silap ini akan mematangkan mahasiswa
menyonsong masa hadapan negara. Segala
ruang dan peluang (seperti pilihanraya
kampus) yang ada untuk menyampaikan pandangan
digunakan sebaiknya oleh semua pihak demi
kebaikan bersama. Jangan perjudikan masa
dan peluang mahasiswa untuk tujuan politik
sementara. Kita bina atas semangat melihat
masa depan Malaysia yang lebih baik daripada
apa yang kita ada kini. Dalam satu kata-kata
Almarhum bapak Mohammad Natsir, bahawa
“pemimpin tidak lahir dibilik kuliah
tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas
di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan
masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan
seangkatannya, lalu diterima dan didukung
oleh umat”.