Refleksi
Star Wars III & Yahya Ayyash
Maszlee Malik
11:50am
20 Ogos 2005
Star Wars muncul lagi!, kali ini kemunculannya
merupakan penamat bagi saga enam siri
filem arahan George Lucas tersebut. Seperti
kata-kata yang terdapat di dalam majalah
TIME yang menjadikan cerita Star Wars
sebagai isu utamanya, “Penghujung
Star Wars”. Kedatangan semula siri
ketiga (walaupun menurut turutan penerbitan,
ianya adalah siri yang keenam) ini bagaikan
hujan yang turun membasahi kegersangan
di hati para peminat saga enam siri tersebut
yang menanti-nantikan jawapan muktamad
apakah yang menyebabkan munculnya Darth
Vader (watak paling jahat dalam saga ini).
Beliau yang pada asalnya seorang Padawan
(pelatih) Jedi bernama Anakin Skywalker
(menurut periwayatan NST, STAR dan lain-lain
akhabr hiburan) telah bertukar menjadi
pembunuh para pahlawan Jedi yang lain.
Yang utamanya, kedatangan semula Star
Wars ini telah menyaksikan demam Star
Wars merebak ke seluruh dunia, malah negara
kita, Malaysia juga tidak terlepas dari
diserang wabak demam Star Wars ini.
Kedatangan Star Wars ini telah mengingatkan
penulis kepada kenangan silam lebih 20
tahun yang lalu. Sebagai anak JB, kebanyakan
budaya yang kami amalkan agak lebih kurang
dengan budaya orang Melayu Singapura.
Malah, jika ditanyakan saluran TV manakah
yang kerap ditonton oleh masyarakat JB,
nescaya lebih ramai menonton SBC (sekarang
TCS) berbanding RTM 1 dan RTM 2 pada waktu
itu. Tidak hairanlah di waktu itu, ramai
anak-anak JB yang akan ke Singapura semata-mata
untuk membeli figurin-figurin Star Wars
yang tidak mereka temukan di Malaysia
pada ketika itu. Penulis sendiri tidak
ketinggalan, tahun-tahun 1983 menyaksikan
koleksi figurin-figurin Darth Vader, Boba
Fet, Chew Bacca, Luke Skywalker dan lain-lain
watak menghiasi kotak permainan di rumah
penulis. Kini demam Star Wars menyerang
kembali dunia, dan penulis mengalaminya
dengan keadaan yang berbeza. Jika dulu,
diri sendiri telah menjadi mangsa demam
tersebut, kini penulis hanya menjadi penyaksi
kepada kegilaan demam itu sahaja.
Agama Jedi
Demam yang melanda dunia sewaktu pelancaran
filem Star Wars di pawagam-pawagam di
seluruh Malaysia menyaksikan bagaimana
anak-anak muda Malaysia meniru bulat-bulat
gelagat peminat-peminat fanatik saga enam
siri ini di barat. Ada yang pergi menontonnya
dengan memakai sut lengkap Darth Vader,
ada yang berpakaian ala pahlawan Jedi,
ada yang mengendung patung Yoda di belakangnya,
malah ada yang menyaksikan filem tersebut
lebih daripada enam kali semata-mata ingin
mengecap kepuasan menonton filem yang
dianggap sebagai keramat itu. Walau bagaimanapun,
rakyat Malaysia agak bernasib baik kerana
tidak terpengaruh dengan kemunculan agama
"Jedi" yang diilhamkan dari
filem Star Wars, dan kini sedang menular
aktif di UK dan juga Australia. Agama
"Jedi" berinspirasikan ide "The
Force" yang mengawal kehidupan ciptaan
George Lucas ini telah menarik ramai anak-anak
muda untuk beriman kononnya merekalah
pahlawan-pahlawan Jedi yang bertanggung
jawab menjaga keamanan dunia. Di Australia
sahaja, menurut kajian yang dijalankan
oleh BBC pada tahun 2002 telah menunjukkan
bahawa 70,000 daripada rakyat Australia
mempercayai agama tersebut, manakala 5,000
yang lain pula beriman bahawa mereka adalah
pahlawan Jedi yang dikuasai oleh "The
Force".
Fenomena agama Jedi, walaupun tidak melanda
Malaysia dan juga negara-negara majoriti
umat Islam yang lain, namun demam Star
Wars tetap dirasai. Lihat sahajalah makanan-makanan
ringan, syarikat-syarikat telefon mudah
alih, syrakiat telekomunikasi dan juga
syarikat-syarikat perniagaan yang mengambil
peluang meraih pelanggan mereka melalui
iklan-iklan yang menampilkan ikon-ikon
Star Wars. Pendekata, filem futuristik
yang menampilkan hero-hero khayalan ini
telah mendapat tempat yang amat istimewa
di hati sebilangan besar penduduk dunia
di milenneum ini. Malangnya, nasib bertuah
dan sambutan yang istimewa ini tidak dapat
dikecapi oleh drama dua belas (12) siri
mengenai pahlawan dunia sebenar yang memperjuangkan
kemerdekaan negaranya. Drama mengenai
Yahya Ayyash hasil produser yang baru
naik di dunia perfileman di Timur Tengah,
Basil al-Khalid ini bukan hanya tidak
berjaya menmbuatkan penonton di serta
dunia demam, malah di kalangan negara-negara
Arab dan umat Islam pun, drama dua belas
siri yang memaparkan perjuangan umat Islam
di Palestin membebaskan negara mereka
ini tidak langsung dikenali. Siapakah
Yahya Ayyash hero drama 12 siri arahan
Basil ini?
Yahya Ayyash
Beliau merupakan salah seorang daripada
pemimpin muda briged komando al-Qassam,
sayap ketenteraan gerakan HAMAS di Paelstin.
Beliau telah lulus dengan cemerlang dari
Universiti Beir Zeit, pada tahun 1988
di dalam bidang "Kejuruteraan eletrik".
Menjadi pakar membuat bom dan pakar strategi
serangan-serangan ke atas konvoi-konvoi
tentera rejim Zionis. Beliau telah melatih
200 orang komando di bawahnya untuk membuat
bom, hatta daripada ubat batuk yang boleh
didapati dari farmasi-farmasi. Digelar
sebagai "al-Muhandis" yang bermaksud
"Jurutera"(The engineer). Selepas
peristiwa masjid al-Khalil yang mengorbankan
50 orang awam Palestin di tangan pengganas
Zionis Baruch Goldstein pada tahun 1994,
banyak serangan-serangan ke atas tentera
rejim telah diaturkan dan dirancang oleh
beliau. Semenjak dari tarikh itu beliau
telah menjadi buruan Shin Bet, badan perisikan
rejim Zionis yang bertanggung jawab membunuh
pemimpin-pemimpin Palestin. Beliau pernah
hidup selama dua tahun menyamar sebagai
rabbi Yahudi ortodoks sehingga tidak dapat
ditangkap oleh pihak perisikan rejim.
Di bawah perancangannya sahaja, ratusan
tentera rejim telah terkorban di tangan
para komando al-Qassam. Bukan sekadar
itu sahaja, beliau juga telah menjadi
sifu bagi para komando lain untuk mencipta
bahan letupan dari bahan-bahan mudah seperti
gula, ubat batuk dan bahan-bahan kimia
yang boleh didapati dari farmasi. Di bawah
pimpinannya sahaja, lebih 200 komando
terlatih al-Qassam telah dilatih untuk
menghadapi tentera-tentera Zionis yang
lengkap dengan persenjataan moden. Kewujudan
beliau jelas merupakan mimpi buruk kepada
para tentera rejim Zionis.
Kejayaan-kejayaan operasi yang dirancang
oleh Ayyash juga telah memberikan inspirasi
kepada para pemuda Palestin bahawa mereka
sebenarnya masih mempunyai harapan untuk
menentang rejim Zionis yang menjajah bumi
tercinta mereka. Bagaikan peperangan di
antara Daud yang kecil dengan Jalut si
gergasi, rakyat Palestin, terutamanya
kaum muda mereka mula kembali ke lapangan
perjuangan untuk menentang pihak tentera
Zionis demi kemerdekaan negara mereka.
Semuanya adalah hasil tiupan semangat
dan keberanian pelajar terbaik fakulti
kejuruteraan Universiti Beir Zeit yang
bernama Yahya Ayyash. Beliau telah mendapat
jolokan "The Engineer" kerana
kepakarannya di dalam mencipta bom dan
juga kepakarannya merancang strategi untuk
menyerang pihak tentera-tentera rejim.
Pendekata beliau telah menjadi ikon perjuangan
rakyat Palestin samada di dlaam mahupun
di luar Palestin.
Pengkhianatan
Pada 5 Januari tahun 1996, melalui kerjasama
tali barut mereka dari kalangan rakyat
Palestin, pihak Shin Bet telah berjaya
membunuh Ayyash di rumah rakannya di Beit
Lahia, Gaza. Beliau telah menjadi mangsa
letupan bom yang telah dipasang di telefon
bimbitnya oleh tali barut tersebut. Menurut
sumber Palestin, tali barut yang bertanggung
jawab menyebabkan kematian Ayyash itu
telah diberikan ganjaran USD 4 juta dan
diterbangkan serta merta sebaik sahaja
kematian Ayyash. Yang menariknya, pihak
rejim langsung tidak memberikan respon
samada mengaku bertanggung jawab ataupun
menafikan keterlibatan mereka di dalam
peristiwa pembunuhan tersebut. Walau bagaimanapun,
tiga hari selepas peristiwa tersebut,
ketua Shin Bet pada waktu itu, Carmi Gillion
telah meletakkan jawatannya tanpa sebarang
sebab.
Kepahlawanan, keberanian dan juga kepandaian
Ayyash ini telah memikat hati penerbit
filem dari negara Arab yang baru menyinar,
Basil al-Khalid, anak kepada sasterawan
Syria yang terkenal Yusuf al-Khalid. Jika
sebelum ini, beliau telah menghasilkan
filem-filem dokumnetari dan juga juga
cerita filem kanak-kanak mengenai Palestin,
percubaan beliau kali ini amat berani.
Basil telah menghasilkan drama 12 siri
mengenai riwayat hidup Yahya Ayyash "The
Engineer". Dengan melakukan kajian
terhadap riwayat hidup Ayyash dan juga
gerakan HAMAS, beliau telah melakukan
tindakan nekad dengan pergi ke Palestin
untuk menemuramah keluarga Ayyash untuk
mendapatkan gambaran sebenar mengenai
Ayyash. Setelah selesai pengkajiannya
selama bertahun-tahun mengenai Ayyash,
beliau telah melakukan tindakan nekad
kedua dengan menukarkan ide-idenya ke
layar Televisyen.
Pelaburan yang merugikan!
Bila ditanyakan kepada Basil mengapakah
beliau sanggup menghasilkan drama bersiri
yang tidak akan memberikan keuntungan
kepadanya, beliau menjawab: "Ayyash
merupakan seorang yang unik, menarik dan
layak dijadikan satu ikon sepanjang zaman
kepada perjuangan membebaskan Palestin
dari jajahan rejim Zionis". Beliau
juga meluahkan hasrat hatinya untuk memberitahu
dunia melalui drama bersirinya itu tentang
jihad sebenar rakyat Palestin dan apakah
yang telah membuatkan para pemuda Palestin
begitu bersemangat untuk mengorbankan
waktu muda mereka semata-mata untuk kemerdekaan
bumi Palestin. Baginya juga, dunia wajib
mengetahui keadaan sebenar di Paelstin
dan psikologi para pejuang Palestin sebelum
menghukum mereka secara membuta tuli.
Mengenai kerugian yang ditanggungnya pula,
padanya ia berbaloi sebagai usaha kemasyarakatan
dan perjuangannya untuk bumi Palestin.
Beliau juga menerangkan perihal kepayahan
menghasilkan filem yang mana sebahagian
besar penggambaran drama tersebut dilakukan
di dalam bumi Palestin yang dijajah itu.
Drama 12 siri itu telah ditulis skripnya
oleh isteri Basil sendiri, Diana Jbour,
pengkritik filem dan juga pengarah urusan
saluran TV Syria.
Sayangnya, usaha beliau ini langsung
tidak mendapat perhaitan saluran-saluran
televisyen di negara-negara Arab, mahupun
di negara-negara Islam. Hanya saluran
televisyen satelit al-Manar milik Hizbullah
di Lubnan sahaja yang berminat membeli
drama tersebut dan menayangkannya kepada
penonton di seluruh tanah Arab. Sayangnya
saluran al-Manar tidak dapat dipancarkan
lebih jauh daripada itu. Mungkin TV3,
NTV 7, Astro Ria ataupun mana-mana saluran
televisyen di Malaysia ini boleh mempelopori
usaha memperkenalkan umat Islam di tanah
air ini kepada hero mereka di alam realiti
melalui drama 12 siri Yahya Ayyash. Jikalau
drama Yahya Ayyash tidak dapat menyebabkan
keseluruhan rakyat Malaysia demam seperti
demam "Star Wars III" pun, sekurang-kurangnya,
mereka dapat dididik untuk hidup di alam
realiti!