Tasawuf
dalam mengislah massa
Mohamad Ridhwan Bin Alias
11:50am
20 Ogos 2005
Bayangkan 10 tahun akan datang, apakah
nasib manusia yang semakin diselimuti
trajedi kemanusiaan yang paling dahsyat
iaitu keruntuhan sosial masyarakat. Kes
rogol, pecah amanah, ragut dan penganutan
budaya hiburan oleh anak muda secara melampau
antara drama tragik yang semakin menjadi-jadi.
Pembangunan yang diingini telah membawa
bunga-bunga gejala sosial yang mematikan
roh insani. Oleh sebab itu, pembangunan
fizikal harus diseimbangi dengan pembangunan
insani agar kita memperolehi pembangunan
fizikal tetapi mengekali akal-budi masyarakat
Timur dan Islam yang hakiki dan asali.
Persoalan yang timbul, bagaimana kita
boleh menggapai keseimbangan pembangunan
fizikal dan insani yang kita ingini?.
Kelakuan manusia adalah cerminan hatinya.
Kita boleh mengetahui jenis air di dalam
teko setelah kita menuangkannya. Bagi
mengatasi permasalahan sosial, kita seharusnya
mendidik jiwa seseorang agar tunduk kepada
Tuhan melalui nilai-nilai murni terutamanya
penghayatan ilmu tasawuf. Pembersihan
hati hanya dapat dilakukan dengan suntikan
ilmu tasawuf. Definisi ilmu tasawuf ialah
satu ilmu yang membincangkan dan mempelajari
tentang cara-cara seseorang untuk memdekatkan
dan menghampirkan diri kepada Allah dengan
menekan perkara berkaitan dengan akhlak
terpuji, beramal soleh dengan istiqamah,
mendidik hati dan menundukkan nafsu sehingga
tujuan hidup yang sebenar yakni memperolehi
keredhaan Allah dalam seluruh aspek kehidupannya.
Hubungan baik dalam urusan agama dengan
urusan keduniaan perlu diketemukan bagi
melahirkan generasi yang sihat akhlaknya.
Kebanyakan ahli masyarakat kita tidak
memahami tasawuf sehingga menganggap amalan
bersufi ini sebagai bidaah, antipembangunan
dan ajaran sesat. Anggapan ini boleh dijernihkan
jika masyarakat memahami dengan lumat
ajaran tasawuf. Menurut Abbas al Akkad,
kaum sufi ialah kumpulan benar-benar mencintai
Allah selepas membersihkan diri dan hidup
dalam masyarakat yang berhubungan serta
tidak jemu-jemu berbakti kepada agama.
Bukanlah ahli sufi jika hanya bertakwa
dan memutuskan hubungan dengan ahli masyarakat.
Ahli tasawuf tetap mengauli masyarakat
dengan uzlah hati dimana pengaulan dengan
masyarakat awam hanya berbentuk zahir
sahaja tetapi hati mereka terus mengingati
Allah.
Menurut Syed Naquib al Attas, ketidakfahaman
masyarakat terhadap tasawuf kerana kuman
kemunduran terkandung dalam akal-pengertian
yang jahil, menyalah-fahami serta menyalah-kenakan
dan menyalah-amalkannya sehingga membawa
kepada pelbagai penyelewengan dan kekeliruan.
Kekarutan akal-pengertian dan amalan si
jahil menyebabkan berlakunya ajaran sesat
dalam tasawuf bertareqat. Pembawaan syeikh
tareqat banyak menyeleweng dan tidak menepati
disiplin kerohanian. Tasawuf tidak semestinya
bertareqat, bukannya pada zikir, suluk,
mujahadah, salasilah dan ibadah yang banyak
tetapi kefahaman terhadap hakikat tasawuf
sangat penting. Hakikat tasawuf ialah
hidupnya jarum hati memandang hakikat
ketuhanan dalam setiap masa. Pandanglah
segalanya daripada Allah, dengan Allah
dan kepada Allah, berpegang teguh dengan
syariat dan hakikat serta memelihara diri
daripada yang haram, syubhat dan makruh.
Tasawuf tidak membawa masyarakat ke
arah kemunduran seperti momokkan pihak
orientalis dan ulama modenis bahkan tasawuf
boleh membangun masyarakat yang maju dalam
bidang ilmu dan teknologi tetapi mengekali
akhlak mulia-bestari mereka. Sayyed Hossein
Nasr menyatakan sufisme tidak pernah menidurkan
jiwa umat Islam. Mereka yang mengamalkan
sufi tidak sahaja tunduk kepada Allah
tetapi mestilah bersedia untuk bekerja
dengan mentauladani sunnah para rasul.
Kehidupan para rasul meliputi dalam pemerintahan,
perniagaan, pertukangan dan pertanian.
Tasawuf memainkan peranan penting bagi
menggerakkan jiwa untuk bekerja memenuhi
tuntutan pengisian sesebuah tamadun.
Tamadun selalu sahaja difahami daripada
kacamata Barat yang lebih menumpukan kepada
pembangunan kebendaan berasaskan sains,
teknologi dan ekonomi. Islam pula melihat
ketamadunan berasaskan pembangunan insani
yang berakal-budi akidah Islam. Oleh sebab
itu, Rasulullah SAW berjaya melahirkan
masyarakat Quranik di Madinah dengan tahap
ketamadunan insani paling mantap berbanding
ketinggian tamadun ciptaan Firaun yang
maju dalam aspek kebendaan tetapi ‘tohor’
dalam akal-budi berasaskan akidah dan
buruk akhlak. Maka lahirlah penyalahgunaan
elemen-elemen ketamadunan. Teknologi yang
dihasilkan oleh manusia tidak mempunyai
jiwa agama yang mantap akan menyebabkan
teknologi yang disangka baik akan disalahgunakan.
Contoh, penggunaan internet sebagai jaringan
untuk mencari ilmu pengetahuan dan komunikasi
telah disalahgunakan dengan pembiakan
amalan pornografi.
Menurut Seyyed Hossein Nasr, tasawuf
ialah sains jiwa menjadi punca terciptanya
revolusi sains dan teknologi. Sains jiwa
adalah hasil latihan-latihan jiwa untuk
meningkatkan nilai akhlak supaya dapat
melahirkan tenaga daya kreatif yang tinggi.
Sains jiwa akan mencipta sains material.
Oleh sebab itu, sains jiwa perlu dicapai
terlebih dahulu sebelum penciptaan sesuatu
objek berbentuk material. Jika tidak,
sains dan teknologi akan membawa kemusnahan
kepada dunia. Keseimbangan sains jiwa
dengan sains material amat penting bagi
menyelaras proses ketamadunan. Tasawuflah
yang mengajar agar kedua-duanya harus
berjalan sejajar untuk menjadi tamadun
yang dipenuhi nilai kemanusiaan.
Ketiadaan hakikat tasawuf dalam kehidupan
moden menyebabkan manusia tertarik dengan
graviti nafsu. Kejadian rasuah dan pecah
amanah menunjukkan kepada kita perlunya
hati kita dididik dengan amalan tasawuf.
Rasuah dan pecah amanah bukan hanya dilakukan
oleh golongan bawahan tetapi paling malang
dilakukan oleh golongan terpelajar. Walaupun
mereka berakal dan memahami tentang kemungkaran
tetapi mereka tidak dikawal oleh kejernihan
hati-nurani sehingga sanggup melakukan
perbuatan terkutuk. Jika kita mengamalkan
ajaran tasawuf, kebarangkalian untuk melakukan
rasuah dan pecah amanah adalah tiada kerana
jarum hati kita selalu mengingatkan kita
berada di bawah pemerhatian Allah yang
Maha Melihat dan kepercayaan pembalasan
syurga dan neraka sudah cukup menjadi
wadah kawalan jiwa daripada melakukan
kemungkaran.
Secara umumnya, masyarakat muslim menganggap
ahli sufi sangat dangkal dan pasif terhadap
politik. Kebanyakan ahli sufi tidak mencampuri
amalan politik kepartaian dan perebutan
kuasa bukan bererti mereka antipolitik
dan antipemerintahan. Tasawuf bukannya
pengamalan budaya Gautama Buddha yang
hidup bermeditasi dan bertapa untuk melarikan
diri daripada perihal keduniaan. Dale
F. Eickelman dalam Muslim Politic menyatakan
jaringan sufi sebagai gerakan politik
yang penting pada zaman kolonialisme.
Di kawasan pengaruh tasawuf yang kuat
seperti di Tenggara Eropah, Afrika Utara
dan Asia Tengah, kepimpinan politik tasawuf
cukup berpengaruh. Di Sudan, tareqat Mahdiyyah
telah bangkit menentang penjajah dan membentuk
kekuatan politik dalam pemerintahan Sudan.
Di Terengganu, Tokku Paloh telah mendidik
jiwa tasawuf Sultan Zainal Abidin III
telah bersama baginda menentang penjajah
British dan memerintah Terengganu. Inilah
adalah contoh kemampuan tasawuf memotori
kuasa pemerintahan negara.
Kesenian dan kesusasteraan juga pernah
menerima suntikan tasawuf. Tasawuf tidak
menghalangi kegiatan kesenian dan sastera.
Dunia Islam sendiri telah melahirkan ahli
tasawuf yang berjiwa seni dan sastera
seperti Hamzah Fansuri, Jamaluddin al
rumi dan Muhammad Iqbal. Hamzah Fansuri
sebagai contoh telah memajukan puisi kesufian
dan falsafah Islam berasaskan faham wujudiah.
Kesenian dan sastera hasil suntikan tasawuf
mengarahkan jiwa menghayati keindahan
ciptaan Allah dan mengikat-kuatkan lagi
akidah umat Islam sama ada di kalangan
sasterawan, seniman atau audien yang menghayatinya.
Nasyid sebagai contoh adalah wasilah paling
mudah menarik anak muda agar kembali menghayati
ajaran Allah dan menjentik jiwa pendengar
agar menginsafi diri seperti yang pernah
digemilangkan oleh kumpulan The Zikr dan
Nada Murni.
Tasawuf adalah jatidiri manusia muslim
untuk mendepani cabaran dunia yang dipenuhi
dengan fahaman keduniaan yang mengarahkan
kepada kehancuran kerohanian ummat Islam.
John R. Mott, mengakui mukmin yang kuat
ialah mereka yang memiliki sifat-sifat
tasawuf, kebal dan tidak dapat ditembusi
oleh sebarang kekufuran. Mereka yang mengamal
tasawuf sukar digugat keimanan mereka.
Pengamalan ilmu tasawuf boleh dirujuk
melalui kitab seperti Minhajul Abidin,
Matan al Hikam dan Ihya’ ‘Ulumiddin
dengan kaedah pengajian kitab. Kaedah
pengajian kitab melalui guru musyid dan
mengamal wirid selepas solat sudah memadai
daripada mengikuti tareqat yang banyak
diseleweng oleh ulama berhati duniawi.
Mutiara tasawuf perlu dicari dengan
menggunakan akal. Menurut Hamka, barang
siapa yang memilih hidup bersufi, mestilah
menggunakan akal. Tanpa akal tidak ada
sufi. Pengunaan akal adalah satu tanda
berusaha untuk hidup. Ahli sufi yang berakal
dapat menghadapi dugaan dalam bermasyarakat
dan bersabar lebih baik daripada muslim
yang mengurungi diri untuk menggelak diri
daripada bergaul dengan masyarakat. Oleh
sebab itu, muslim yang bersufi dan mendepani
permasalahan masyarakat adalah muslim
superman yang dapat menyesuaikan dirinya
untuk dunia dan akhirat dengan memiliki
sahsiah yang mulia-bestari.
Kemampuan tasawuf dalam masyarakat moden
tidak boleh dipersoalkan lagi. Tasawuf
telah membuktikan kebolehannya serasi
dalam kehidupan moden. Pengamalan tasawuf
dengan kefahaman sahih akan dapat mengislah
masyarakat ke arah lebih maju dalam pembangunan
material dan insani. Ketamadunan yang
terhasil bukan sahaja berwawasan di dunia
sahaja tetapi meliputi wawasan akhirat
yang tidak mampu difikirkan oleh imiginasi
minda manusia. Tanpa tasawuf, manusia
muslim hanya rangka yang bergerak tanpa
roh. Kalau manusia dianggap sebagai buah-buahan,
bagai ‘kulit tanpa isi’. Apa
gunanya buah berkulit tanpa isi. Fikir-fikirkanlah.