Muthahhari, terima kasih!

Abu Muhammad
10:30am 07 September 2005

As-Syahid Murtadha Muthahhari adalah antara kalangan kecil ulama’ yang berjaya memadukan ciri-ciri keulamaan dan keintelektualan dalam satu keperibadian – di mana beliau bukan sekadar mendalami ilmu-ilmu Islam tradisional, malah turut fasih berbicara tentang mazhab-mazhab pemikiran Barat, lebih-lebih lagi tentang Bertrand Russell.

Memang, ini satu kelebihan yang mengagumkan. Tidak ramai tokoh yang boleh berjuang, tetapi dalam masa yang sama menekuni pelbagai displin ilmu, dan Muthahhari adalah salah seorang darinya. Dan, hampir sebahagian besar waktu hidup dihabiskan demi merealisasikan sebuah negara yang bercitrakan Islam.

Muthahhari, dilahirkan pada tanggal 2 Februari 1919 dari kelompok keluarga alim di daearah Khurassan. Ayahnya, Hujjatul Islam Muhammad Husayn Muthahhari adalah seorang ulama’ yang dihormati lagi disegani oleh masyarakat setempat. Sejak menjadi siswa di Qum, Muthahhari sudah menunjukkan minatnya pada falsafah dan ilmu pengetahuan moden. Di Qum, Muthahhari menuntut di bawah bimbingan Ayatullah Boroujerdi dan Ayatullah Khomeini.

Dalam falsafah, beliau amat terpengaruh dengan pemikiran Allamah Thabathaba’i. Muthahhari begitu tekun dan pantas menguasai - dalam mempelajari ilmu-ilmu falsafah. Buku-Buku yang ditulis oleh William Durant, Sigmund Freud, Bertrand Russell, Albert Einstein, Erich Fromm dan para pemikir Barat yang lainnya telah ditelaahnya dengan serius.

Keseriusan Muthahhari dalam menelaah pemikiran Barat bukan kerananya malu-malu untuk menonjolkan pemikiran Islam, sebaliknya, Muthahhari cuba melakukan studi perbandingan antara pemikiran Islam dan Barat. Lihat, banyak terminologi Islam telah dikupas olehnya, sehingga menyerlahkan lagi keupayaan Islam bagi menawarkan pemikiran alternatif.

Muthahhari, pada usia relatif yang masih muda, sudah mampu menurunkan ilmu logik, falsafah dan fiqh di Fakulti Teologi, Universiti Teheran. Dan, dalam waktu yang sama, beliau turut menjawat sebagai Ketua Jurusan Falsafah. Disamping itu, beliau tidak kekok untuk menyampaikan kuliah dalam bidang yang berbeza seperti kuliah al-Ushul, kuliah Ilmu Kalam dan kuliah al-Irfan.

Dengan ufuk ilmu ini, Muthahhari langsung tidak memilih keselesaan hidup, meskipun beliau ada pilihan. Baginya, badai (perjuangan) lebih bermakna daripada damai (keselesaan hidup). Justeru, beliau menterjemahkan gagasan-gagasannya melalui gerak kerja aktivis dan menulis buku-buku.

Keaktifan beliau telah berjaya membentuk kombinasi ampuh bersama-sama dengan Ruhollah Khomeini - dalam kerangka menentang regim Shah Pahlevi yang zalim. Ekoran dari itu, Muthahhari telah ditahan pada 1963 ekoran implikasi langsung dari peristiwa Khordad.

Manakala, ketika Imam Khomeini diasingkan ke Turki, Muthahhari di amanahkan untuk memangku kepimpinan gerakan rakyat Iran serta memobilisasikan para ulama’ dalam melanjutkan semangat perjuangan Islam yang dirintis oleh Ruhollah Khomeini.

Langkah-langkah politiknya jelas sekali sangat tersusun dan mengugat. Muthahhari (bersama-sama Ali Shariati) turut mendirikan Husainiyyah-I-Irsyad yang menjadi pangkalan kebangkitan intelektual Islam sebelum revolusi. Di samping itu, Muthahhari yang juga Imam Masjid al-Jawad, konsisten menggalang dukungan rakyat Iran bagi menyuarakan simpati pada perjuangan Palestin.

Pasca kemenangan Revolusi Iran 1979, Muthahhari telah dilantik menjadi anggota Dewan Revolusi. Karekteristik yang menonjol pada diri Muthahhari telah menjadinya sebagai seorang ulama yang dinamik - bersandarkan penguasaan ilmu-ilmu Islam, moden serta menatijahkannya dalam dunia aktivisme.

Akhirnya pada 2 Mei 1979, Muthahhari dipanggil pulang dengan percikan darah sebagai seorang syuhada, angkara tangan-tangan ghaib kelompok ‘Munafiqqin Khalq’. Hari ini, tanpa Muthahhari sekalipun, ilmu-ilmunya masih tetap memancar mengukuhkan lagi khazanah keilmuan Islam. Muthahhari, terima kasih!