Mahasiswa
Islam Mencabar (Bab 1)
Agus Salim
10:30am 07 September 2005
“Bagi kita, zaman tolak ansur
sudah mati! Sudah kita kuburkan bersama
sama keranda jingga yang berbalut dengan
segala janji dan kepalsuan manusia”
- Noordin Razak
Sejarah
Gerakan Mahasiswa Islam Di Malaysia
Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan
negara dan masyarakat. Sejarah membuktikan
keperkasaan, keaktifan dan sifat progresif
gerakan mahasiswa telah membuahkan hasil
yang cukup lumayan bagi sesebuah negara
pada masa depan. Mahasiswa dilihat pendokong
utama ke arah reformasi masyarakat melalui
revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan
dalam pentadbiran negara. Sebagai anak
muda yang mempunyai sifat kreatif, jiwa
memberontak dan bersifat tergesa-gesa
akan membentuk keperibadian mahasiswa
yang menongkah arus dan mempunyai keinginan
yang tinggi untuk mengubah sistem yang
bobrak dan korup. Mahasiswa pengubah sistem.
Itulah mitos mahasiswa dalam perjuangan
mereka dan khayalan ini akan disedarkan
selepas mereka keluar dari alam kampus.
Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah
wadah pinggiran dalam perjuangan sosial,
politik dan dakwah seantero dunia. Di
Afghanistan, mahasiswa Islam telah menewaskan
golongan Sosialis dalam pilihanraya kampus
dan mempelopori penubuhan pasukan pejuang
Mujahidin melawan Rusia. Ketua Ikhwanul
Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan
mahasiswa Islam Universiti Kabul mula
mengerakkan kelompok pelajar Islam yang
dikenali Juanan Muslim (kemudian dikenali
Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969.
Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam
berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa
Universiti Kabul dan ia telah menakutkan
pendokong Komunis dan Sosialis di Afghanistan.
Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan
Ahmad Niazi dan tindakan kejam rejim ini
menyebabkan ramai pemimpin pelajar termasuk
Rabbani dan dan Sayyaf melarikan diri
ke Pakistan. Di Mesir pula, mahasiswa
Ikhwanul Muslimin telah berjaya mengalahkan
golongan nasionalis di Universiti Fuad
I.
Di Malaysia, kebangkitan mahasiswa Islamis
berputik pada awal tahun 1970an tetapi
mula mengancam survival politik golongan
nasionalis pada awal 1980an. Bermula awal
tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik
kampus di hampir setiap universiti di
Malaysia. Walaupun disekat dengan pelbagai
formula, GMI di Malaysia terus meredah
ranjau perjuangan semampu yang terdaya.
Di sini, penulis menukilkan sejarah awal
perjuangan mahasiswa Islamis di kampus
untuk memasyarakatkan masyarakat kampus
dengan suluhan Islam. Penulis juga memaparkan
pengolakkan antara proksi GMI dan kebangkitan
dinasti kepimpinan ulama dalam politik
kampus.
Sejarah Penubuhan Gerakan Mahasiswa
Islam
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti
Malaya (PMIUM) diwujudkan pada pertengahan
tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad
Naquib al Attas, seorang pelajar Islam
di Universiti Malaya, Singapura. Walau
bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol
dan rancak apabila Universti Malaya berpindah
dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun
1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein
Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid
Ar-Rahman yang telah dibina pada tahun
1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung
di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan
al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan
Islam SeMalaysia. Sebelum terlaksananya
AUKU, PMIUM adalah badan pelajar berautonomi
dan tidak bernaung dibawah PMUM. Justeru,
ia bergerak bebas tanpa terikat dengan
dasar PMUM yang dikuasai oleh mahasiswa
sosialis.
Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke
Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan
Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib
merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila
beliau cuba menyerap idea ‘faham
Islam’ ke dalam pemikiran pelajar.
Beliau telah berjaya menangkis hujah yang
dikemukakan oleh golongan Sosialis dan
Nasionalis dalam beberapa perdebatan ilmiah.
Syed Naquib semasa menjadi pensyarah di
UM dilihat sebagai mentor kepada pelajar
Islamis dimana setelah kuliah ramai pelajar
Islamis berkumpul di pejabat atau rumah
beliau. Beliau juga merupakan antara tokoh
utama mempengaruhi ABIM-PKPIM dan tokoh
lagenda gerakan mahasiswa-belia, Anwar
Ibrahim. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa
yang memahami al Quran dan Sunnah yang
melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan
persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar
melalui makalah seperti Suara PMIUM dan
Jurnal Sejahtera.
PMIUM adalah pertubuhan pelajar pertama
beraliran Islamis di negara ini yang ditubuhkan
dengan kaedah yang teratur dan diakui
mewakili masyarakat pelajar Islam di kampus
terulung negara, Universiti Malaya. Pada
27 Jun 1961, ditubuhkan pula Persekutuan
Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah
Melayu dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan
Pelajar Islam (PKPIM) pada tahun 1963.
Sebelum terjelmanya AUKU, PKPIM memayungi
persatuan-persatuan pelajar Islam di setiap
institusi pendidikan tetapi peranan ini
mula terhakis selepas AUKU 1975 mewajibkan
persatuan berbentuk gabungan nasional
dan dianggotai persatuan mahasiswa universiti
tempatan perlu dibubarkan. Semua persatuan
mahasiswa perlu berada dibawah kawalan
universiti yang dikenali sebagai Hal Ehwal
Pelajar [HEP]. PKPIM bernasib baik diberi
peluang untuk bernafas berbanding rakan-rakan
gabungan peringkat nasional seperti Persatuan
Kebangsaan Pelajar Malaysia [PKPM, ditubuh
pada 15 Mac 1958] dan Persatuan Pelajar
Asia (ASA) yang telah dimansuh. Aspirasi
PKPIM dilanjutkan ke luar kampus dengan
penubuhan ABIM pada Muktamar PKPIM ke
10 pada tahun 1971.
Kebangkitan Gerakan Mahasiswa
Islam Di Malaysia
Kemenangan kumpulan Islamis dalam Revolusi
Iran mencetus fobia kepada masyarakat
sekular terhadap kebangkitan semula Islam.
Gerakan Mahasiswa Islam yang digelar orang
dakwah dilihat satu elemen yang menakutkan
kerana ia cuba menggugat ideologi sekular
yang dianuti oleh pemerintah, penguasa
universiti dan sebahagian mahasiswa sendiri.
Kerajaan sendiri mengkritik kegiatan dakwah
di kalangan mahasiswa Islam yang dilihat
berlaku ketidakfahaman para pendakwah
terhadap kemurnian Islam itu sendiri.
Kezahiran Islam dalam cara hidup mahasiswa
seperti berpurdah dan berjanggut melahirkan
kegelisahan kepada pihak pentadbir varsiti.
Di Universiti Teknologi Malaysia, Anuiddin
Wahid tidak menggalakkan pelajar memakai
purdah. Bahkan pelajar Universiti Malaya
pula terpaksa menandatangani perjanjian
larangan pemakaian purdah oleh Ungku Aziz.
[Lihat Utusan Malaysia, 24.6.1986.] Namun,
gaya hidup Islam berasaskan sunnah Rasulullah
S.A.W. terus subur, bahkan GMI cuba membentuk
kuasa politik di kampus.
Peningkatan kesedaran Islam pada awal
tahun 1970an telah meletakkan PMIUM sebagai
wadah penting dalam perjuangan Islam di
kampus. Walau bagaimanapun, PMIUM bukanlah
satu kuasa politik yang mendominasi politik
kampus sebagaimana Kelab Sosialis semasa
zaman keagungan gerakan mahasiswa pada
awal dan pertengahan tahun 1970an. PMIUM
pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis
yang berjuang untuk kepentingan Islam
dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa
dan kemiskinan. Siddiq Fadil Presiden
PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya mengikis
semangat nasionalisme sempit dan mengarahkan
semangat tersebut mengikut perspektif
Islam. Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis
ini mestilah dibuktikan dengan komitmen
yang tegas termasuk pelaksanaan Islam
sepenuhnya serta mengamalkan amal Islami
secara bersungguh-sungguh. Oleh sebab
itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan
di Universiti Malaya seperti majlis ball
night dan unsur judi dalam pestaria. Galangan
bersifat anti-maksiat ini mengakibatkan
PMIUM ditohmah dengan pelbagai gelaran
termasuk fanatik, antisosial, perkauman,
jumud dan taklid buta.
Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi
dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan
dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang
dingin’ antara PMIUM dengan PMUM..
Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada
AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima
semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi
1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan.
Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak
perjuangan dengan memasuki politik kampus
agar mereka lebih progresif untuk mengambil
alih tampuk pimpinan PMUM. Cubaan pertama
PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah
dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan
raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM meletakkan
calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah
UIA, orang kuat ABIM], Syed Muhamad Dawilah
al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul
Jalil dan Naharuddin Abdullah. Namun,
hanya Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah
yang berjaya memenangi kerusi MPP.
Pada pilihan raya sesi 1979/80, PMIUM
memenangi 10 kerusi tetapi gagal memperolehi
majoriti 2/3. Antara calon PMIUM adalah
Redzuan Othman di fakulti Sastera dan
Yazid Othman bagi kerusi umum. Kumpulan
Islam membentuk Barisan Mahasiswa bagi
menentang Gabungan Mahasiswa yang disertai
oleh golongan nasionalis. Pilihan raya
sesi 1979/1980 telah menelurkan budaya
berparti secara terbuka dalam politik
kampus. Barisan Mahasiswa yang ‘menang
tipis’ telah memilih Anual Bakri
Haron [kini, S.U. MB Kelantan] sebagai
Presiden PMUM dan Yazid Othman [kini,
aktif dalam persatuan wartawan di KL]
sebagai Naib Presiden. Kerajaan pelajar
Islam mula mencegah aktiviti mungkar seperti
jamuan arak dan budaya makan malam tahunan
yang dihiasi program mungkar. Aktiviti
persatuan perlu terbatas kepada aktiviti
tidak bercorak ‘Yahudi’.
Penubuhan kerajaan pelajar Islam yang
pertama ditentang hebat oleh proksi Nasionalis.
Barisan Mahasiswa tidak dapat membentuk
kabinet PMUM yang mantap kerana Gabungan
Mahasiswa mendapat 11 kerusi daripada
21 kerusi [tetapi pihak neutral mengalih
sokongan kepada Barisan Mahasiswa menyebabkan
Barisan Mahasiswa berjaya membentuk kabinet
PMUM]. Kesilapan Barisan Mahasiswa adalah
memperuntukkan tiga kerusi untuk orang
bukan Melayu tetapi tiada orang bukan
Melayu mahu bertanding untuk Barisan Mahasiswa
menyebabkan Gabungan Mahasiswa menang
mudah.
Pada 4 Ogos 1979, Barisan Mahasiswa
cuba menubuhkan kabinet PMUM tetapi Ketua
Gabungan Mahasiswa, Yusuf Abdul Rahman
cuba melakukan undi tidak percaya. Kelompok
Islamis mengambil tindakan bijaksana dengan
keluar mesyuarat agar korum 2/3 tidak
mencukupi untuk mengundi. Yusuf Abdul
Rahman menyifatkan tindakan 10 anggota
Barisan Mahasiswa tidak demokrat. Barisan
Mahasiswa mencabar Gabungan Mahasiswa
agar meletak jawatan supaya pilihan raya
kampus dapat diadakan semula. Kekecohan
ini menyebabkan pendaftar HEP Yunus Nawal
dan Puan Chua campurtangan. Akhirnya,
Gabungan Mahasiswa bersetuju bekerjasama
walaupun cuba dihalang oleh ketuanya,
Yusuf Abdul Rahman. Barisan kabinet PMUM
diketuai oleh Anual Bakri Haron (Presiden),
Yazid Othman (Timbalan), Redzuan Othman
(Setiausaha Agung), Zaidan Ali (Bendahari),
Amir Hamzah Abdul, Anuar Yusof, Yahya
Husin, Mohd Nor Anuar, Abdul Ghani Ghulam
Din, Abdullah Rahman, Fong Seng Wah, Cheng
Huck Joo, Rosli Ahmad dan Yusuf Abdul
Rahman.
Menurut Yusuf Abdul Rahman, Barisan
Mahasiswa adalah golongan radikal dan
perkauman. Gabungan Mahasiswa berjuang
berdasarkan untuk perpaduan dan kebajikan
pelajar. Gabungan Mahasiswa menawarkan
dasar kompromi dimana jika pihak menjawat
jawatan presiden tidak boleh memegang
jawatan setiausaha agung tetapi Barisan
Mahasiswa membolot kesemua jawatan utama.
PMUM tidak berfungsi dengan baik menyebabkan
Anual Bakri mahu berbincang dengan Yusuf
di Dataran Ekonomi. Pada mulanya Yusuf
menolak pelawaan tersebut tetapi setelah
diugut oleh Roselan Abdul Rahman untuk
menarik balik sokongan terhadap Gabungan
Mahasiswa, beliau bersetuju berbincang.
Krisis PMUM selesai apabila Presiden,
Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung
meletakkan jawatan iaitu Anual Bakri Haron
[kini, S.U. Menteri Besar Kelantan], Yazid
Othman dan Redzuan Othman [kini pensyarah
Jabatan Sejarah UM, bekas Naib Presiden
ABIM]. Kebuntuan kepimpinan PMUM sejak
23 Julai 1979 dapat diselesai dengan kompromi
iaitu Yazid Othman sebagai Presiden, Yap
Ching Kiat (Timbalan), Rosli Ahmad (Setiausaha
Agung), Zaidin Ali (Bendahari) dan Redzuan
Othman (Penolong Setiausaha Agung). Tekanan
HEP, kospirasi media massa dan masalah
pemilihan personaliti menyebabkan golongan
Islamis tewas dalam pilihan raya kampus
1980/81 pada 18 Julai 1980 kepada golongan
Nasionalis.
Selain itu, kemenangan Gabungan Mahasiswa
disebabkan kegagalan Barisan Mahasiswa
menangani kes kepincangan perasmian TIG
(aktiviti sukan), kegagalan baktisiswa
di Sabah dan kegagalan program ke Indonesia.
Calon ternama golongan pelajar Islam yang
tewas adalah Zaidan Ali, Yazid Othman,
Abdul Ghani Golamadin dan Che Yazid Che
Seman. Roselan Abdul Rahman dilantik sebagai
Presiden PMUM manakala Rosley Ahmad dilantik
sebagai Naib Presiden. Kekalahan kumpulan
Islamis dalam pilihan raya kampus di Universiti
Malaya wajar ditelusuri daripada aspek
tekanan psikologi yang dicanang oleh akhbar
tempatan terutamanya Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia memberi gambaran kotor
dengan mewujudkan polemik ‘Regim
KAMI’ di kampus-kampus universiti
tempatan. Kekalahan kumpulan Islamis yang
disifatkan sebagai pelampau agama di UKM
disebar secara meluas di muka hadapan
akhbar tersebut. Secara terancang, isu
perjudian semasa Pestaria 1980 dihangatkan
kembali dengan tuduhan sempitnya pemikiran
pimpinan PMUM terutamanya Yazid Othman.
Tekanan psikologi ini menyebabkan pelajar
terpaksa menolak kumpulan pelajar Islamis.
Pada pilihan raya sesi 1981/82 yang
diadakan pada 24 Julai 1981, Islamic Group
yang dipimpin oleh Ahmad Shabery Cheek
telah berjaya menguasai MPP. Kumpulan
Islam dikenali sebagai ‘Kepimpinan
Dinamis Mahasiswa Progresif’ berjaya
memenangi pilihan raya kampus dan Ahmad
Shabery Cheek dilantik sebagai Presiden
PMUM. Kemenangan ini meningkat imej kumpulan
Islamis yang tercalar pada pilihan raya
sesi yang lepas. Di bawah pimpinan Ahmad
Shabery, kekuatan mahasiswa Islamis mula
terserlah dengan penyertaan dalam demonstrasi
anti Amerika.
Penguasaan golongan Islamis atau PMIUM
terhadap politik kampus tidak berterusan
kerana PMIUM memboikot pilihan raya kampus
sesi 1983/84 kerana masih terdapat unsur
judi dalam Pestaria sesi tersebut. Kemantapan
PMIUM membolehkan calon-calon mereka menguasai
pilihan raya kampus 1985/86. Kemenangan
ini menelurkan aspirasi baru kepada pelajar
Islam kerana kumpulan Islam mula memdominasi
kampus-kampus di seluruh negara. PMUM
mengorak langkah menubuhkan Barisan Bertindak
Mahasiswa Negara (BBMN) yang menyelaras
aktiviti pelajar Islam di bawah pimpinan
Zulkifli Yusof (Presiden PMUM).
GMI: Di Bawah Kepimpinan Ulama
Revolusi Iran jelas mempengaruhi aktivis
gerakan Islam di seluruh dunia. Kewujudan
negara Republik Islam Iran menandakan
kemunculan satu eksperimen satu pemerintahan
moden yang diperintah oleh kepimpinan
ulama. Di Malaysia, kebetulan PAS mengalami
krisis kepimpinan paling kritikal dalam
sejarah penubuhannya apabila presidennya
Dato Asri Muda yang mengimani aliran nasionalis-Islamis
cuba ditumbangkan oleh Dewan Pemuda dan
puak ulama PAS pada bulan Oktober 1982.
Kaum muda dalam PAS yang dipelopori oleh
tokoh-tokoh ABIM seperti Fadzil Mohd.
Nor, Abdul Hadi Awang dan Nakhaie Ahmad
telah bergandingan dengan tokoh muda Islam
lepasan universiti di Barat seperti Khalid
Samad dan Ishak Ali dari Suara Islam telah
mengegarkan pimpinan PAS agar melakukan
pemurnian semula ke arah Islam yang syumul.
PAS dibawah pimpinan ulama mula mendekati
gerakan mahasiswa setelah ‘sayap
muda’nya ABIM dilanda krisis idealis
selepas kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam
UMNO.
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO
pada bulan Mac 1982 telah melanggari keputusan
syura dan memungkiri mandat Pak Natsir,
Ketua Parti Masyumi Indonesia yang mengarah
ABIM menghantar tokohnya ke dalam PAS
bagi menyegar semula PAS. ABIM hanya sempat
menghantar tokohnya pada gelombang pertama
ke dalam PAS melalui Ustaz Fadzil Nor,
Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie
Ahmad, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman
dan beberapa tokoh muda ABIM. GMI di kampus
Malaysia mula bergolak antara pihak yang
pro dan kontra keputusan Anwar yang memasuki
UMNO. Perpecahan GMI amat terasa di Universiti
Malaya dimana proksi ABIM-PKPIM telah
gagal mempertahankan pengaruhnya dalam
kepimpinan PMIUM. Proksi PAS mula menonjol
apabila berjaya merebut jawatan tertinggi
dalam pimpinan PMIUM dengan mengalahkan
proksi ABIM-PKPIM yang hanya memperolehi
35 undi.
Sebelum pemilihan pimpinan PMIUM 1983/84,
Azami Zaharim mencadangkan nama Takiyuddin
Hasan sebagai Presiden PMIUM kepada majlis
syura, manakala nama Mohammad Hussein
sebagai Timbalan Presiden. Tetapi majlis
syura telah memutuskan dengan sebulat
hati bersetuju dengan jawatan Presiden
PMIUM dipegang oleh Mohammad Hussein dan
Takiyuddin Hasan bagi jawatan Timbalan
Presiden. Keputusan ini diterima oleh
Azami Zaharim yang ditugas sebagai Pemangku
Presiden PMIUM yang pro ABIM. Dalam mesyuarat
itu berlaku, suasana agak tegang kerana
ada golongan yang mahu pimpinan PMIUM
dikuasai oleh golongan ulama atau agamawan.
Golongan ini mahu Ustaz Mohd Taib Ahmad
dilantik sebagai Timbalan Presiden PMIUM
bukannya Takiyuddin seperti yang diputus
oleh syura.
Pengolakkan ini bertambah hangat apabila
Takiyuddin Hasan [kini, EXCO kerajaan
Kelantan] menarik diri daripada pertandingan
jawatan Timbalan Presiden PMIUM untuk
memberi ruang kepada Mohd Taib Ahmad memenangi
kerusi Timbalan Presiden PMIUM tanpa bertanding.
Kumpulan pro PAS yang dikenali kumpulan
Enam Kerinchi dikutuk habis-habisan oleh
Pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim
sebagai pengkhianat. Kumpulan Enam Kerinchi
terdiri daripada Muhamad Hussein [telah
dilantik sebagai Presiden PMIUM pada sesi
tersebut], Takiyuddin Hasan, Syed Putra
Syed Ahmad [kini, wartawan kanan Harakah],
Azmi Ali, Fuad Zarkhashi [orang kuat UMNO
Johor, Presiden PBMUM 1981/82] dan Mohd
Taib Ahmad bersetuju memenangkan Mohd
Taib Ahmad sebagai Timbalan Presiden PMIUM.
Trajedi ini perlu dikisah kerana ia merupakan
kebangkitan pertama pengaruh kepimpinan
ulama oleh proksi PAS di kampus-kampus
nasional. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam
lubuk nasionalis-sekular menyebabkan ‘keributan’
di kampus di antara sesama golongan Islamis
iaitu mahasiswa proksi ABIM-PKPIM dibantu
oleh golongan sekular-nasionalis [diperkuatkan
setelah Anwar berjaya menjadi Ketua Pemuda
UMNO] dengan mahasiswa proksi PAS yang
diasuh oleh Mustapha Ali, Nakhaie Ahmad
dan Abdul Hadi Awang.
Kumpulan Enam Kerinci yang dikatakan
proksi PAS berazam menaikkan Mohd Taib
Ahmad sebagai Timbalan Presiden PMIUM
kerana beliau adalah orang kuat Persatuan
Mahasiswa Akademik Pengajian Islam Universiti
Malaya (PMAPIUM) yang diharap dapat membantu
Muhammad Hussein menegakkan kepimpinan
ulama di kampus Universiti Malaya. Dalam
perebutan pucuk pimpinan itu, Takiyuddin
Hasan dari Fakulti Undang-Undang telah
menarik diri pada saat-saat akhir sehingga
proksi ABIM gagal mencari calon alternatif.
Azami cuba menolak penarikkan diri Takiyuddin
tetapi gagal. Kemenangan ini membolehkan
PMIUM dikuasai oleh Dinasti Kepimpinan
Ulama sehingga ke hari ini.
Tokoh-tokoh Kumpulan 6 Kerinchi ini
merupakan pengasas kumpulan Republik Islam
[turut dikenali Kumpulan Universiti Malaya]
yang telah bersaing hebat dengan Islamic
Represantative Council (IRC, mula berputik
di Britain) digiatkan oleh Fauzi Shafie
untuk menguasai Dewan Pemuda PAS pada
akhir 1980an. Kumpulan Republik Islam
terdiri Mohamad Hussein, Husam Musa, Ishak
Ismail, Mohd Taib Ahmad, Baharin Mohamad,
Syed Putra Syed Ahmad dan Mazlan telah
berjaya membina pengaruh yang kuat dalam
Dewan Pemuda PAS.
Penyingkiran proksi ABIM daripada PMIUM
menyebabkan pimpinan PKPIM-UM melakukan
pewarnaan semula dalam PBMUM. Di kampus
lain seperti di UKM, proksi ABIM yang
mengunakan metode Islamisasi masih memegang
tampuk pimpinan PMI dan MPP. PMIUM merupakan
wadah pertama penguasaan proksi PAS dalam
gerakan Mahasiswa Islam selepas selama
ini bergantung harap kepada pengkaderan
ABIM.
GMI Dan Akta Keselamatan Dalam
Negeri [ISA]
ISA dan AUKU merupakan kaedah kerajaan
mengekangkan pergerakan gerakan mahasiswa
di Malaysia. Kebiasaannya ISA dikaitkan
dengan mahasiswa sosialis terutamanya
dalam peristiwa kebangkitan mahasiswa
pada tahun 1974. Dalam era 1980an, GMI
turut dinodai oleh AUKU dan ISA yang zalim
dan melanggari hak asasi seseorang insan.
Zalim disini bukanlah berdefinisi kezaliman
ala Barat seperti membunuh dan bersifat
diktaktor tetapi zalim dalam definisi
Islam. Dalam Islam, zalim adalah tidak
meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini
bermakna perbuatan zalim tidak semestinya
membunuh, menpenjarakan orang tetapi perbuatan
zalim juga boleh terpalit jika seseorang
meletakkan kopiah pada lututnya. Kerana
kopiah dipakai di kepala bukan di lutut.
Begitulah luasnya pendefinisian zalim
dalam Islam.
ISA selepas tahun 1974 julung kalinya
digunakan kepada pimpinan GMI selepas
demonstrasi anti konsert Sheila Majid.
Polis berjaya menangkap 2 EXCO PMIUM bersama
22 orang pelajar yang lain semasa mereka
bertahlil. Mereka telah diikat jamin dengan
3 penjamin dan bersyarat. Pada 15 September
1989, pelajar yang ditahan dipanggil untuk
disoal siasat di Balai Polis Jalan Pantai.
Dalam soal siasat ini, dua pimpinan PMIUM,
Jamali Adnan dan Jamaluddin Ramli telah
dikenakan tahanan ISA. Turut ditahan adalah
Pengarang Harakah, Ahmad Lufti Othman,
bekas Setiausaha Agung PMUTM. Pada 26
September 1989, PMIUM menghantar wakil
berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Anwar
Ibrahim dan Anwar sendiri berjanji akan
menyelesaikan masalah ini. Pada 27 September
1989, PMIUM menghantar wakil bertemu Dato
NC, Syed Hussein al Alatas atas alasan
hukuman yang dikenakan tidak relevan dengan
status mereka sebagai mahasiswa. Contoh,
Alias Sulaiman daripada Fakulti Ekonomi
dikenakan RM 1000 dan Jalal Busri disingkir
daripada kolej dan didenda RM 350.
Terkini, pimpinan pelajar dari PMUM
sesi 2001/2002 iaitu Mohd Fuad Mohd Ikhwan
dikenakan tahanan ISA setelah beberapa
hari makan tengah hari bersama Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Fuad
Ikhwan dikenakan tahanan ISA pada tahun
2001 kerana terlibat dalam beberapa demonstrasi
haram, penerbitan Majalah Varsiti palsu
dan pembakaran DTC. Semasa zaman reformasi,
pimpinan PKPIM turut terseret ke dalam
tahanan ISA adalah Ahmad Zaki Yamani,
penuntut UiTM yang memegang jawatan Setiausaha
Agung PKPIM. Pemimpin PKPIM yang lain
yang turut ditahan adalah Ahmad Sabrimi
Mohd. Sidek dan Ahmidi Dato Manan.
Begitulah dekatnya ISA, AUKU, Akta Polis
dan penjara dalam kamus GMI. Untuk siapakah
GMI mengorbankan masa dan diri mereka
dalam tahanan, dan mengadai masa depan
mereka. GMI hanya mahu kebenaran dan keadilan
menyinari kehidupan masyarakat negara
ini walaupun sebahagian besar masyarakat
tidak menghiraukan perjuangan mereka.
Rumusan
Bab satu merupakan satu nukilan tentang
muqaddimah kebangkitan GMI di bumi Malaysia.
Bab ini membolehkan pembaca memahami sejarah
awal kebangkitan GMI sebelum meneruskan
kajian lanjut tentang GMI. Bagi aktivis
GMI, bab ini amat penting bagi mengetahui
bagaimana generasi awal GMI mengadaikan
masa depan dalam perjuangan mereka. Wahai
sahabat mahasiswa! Sedarlah akan sejarah
awal GMI, jangan kita berjuang tanpa ilmu,
tanpa mengenali asali GMI. Jangan kita
asyik terkhayal akan kehebatan mahasiswa
terdahulu tanpa mengenali sejarah perjuangan
secara dekat. Wahai sahabat mahasiswa!
Marilah bersama perjuangan Islam untuk
melihat Islam memerintah, bukannya Islam
diperintah. Tak kenal, maka tak cinta.