Yahudi
anti Zionis: Penyelesaian konflik Palestin-Israel?
Maszlee Malik
10:30am
17 Oktober 2005
Firman Allah S.W.T. di dalam surah Aal
Imran: ayat 75 berbunyi: “Dan
di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalauengkau
amanahkan dia menyimpan sejumlah harta
yang banyak sekalipun, dia akan mengembalikannya
(dengan sempurna) kepadamu. Dan ada pula
di antara mereka yang kalau kau amanahkan
menyimpan sedinar pun, dia tidak akan
mengembalikannya kepadamu kecuali kalau
engkau selalu menuntutnya...”
Lewat persidangan “Peace in Palestine”
yang berlansung di Putrajaya hujung Mac
2005, rakyat Malaysia bagai disentak dari
lamunan mereka dengan munculnya seorang
Yahudi di muka bumi Malaysia yang lengkap
dengan pakaian ortodoksnya. Bukan hanya
sekadar kostum yang berwarna hitam, topinya,
rambutnya yang bergulung-gulung dan juga
janggutnya sudah cukup untuk sesiapa yang
melihatnya pasti akan mengenali keYahudiannya
itu. Kejutan itu tidak cukup sekadar itu,
di dadanya terpampang bendera Palestin
dan tertulis “Ana Yahudi wa
Laisa Israeli” (Saya adalah
Yahudi dan bukan orang Israel). Kemuncak
kejutan pula ialah ucapan yang diberikan
oleh beliau dalam kesempatan lebih kurang
10 minit yang telah diberikan kepadanya.
Katanya: “Israel adalah negara haram
dan bertentangan dengan aqidah agama Yahudi
dan juga kitab Taurat!”. Yahudi
spesis apakah ini?
Itulah Rabbi Yisroel, David Weiss dari
kumpulan Yahudi Ortodoks yang menggelarkan
diri mereka sebagai Naturei Karta (yang
bermaksud: Penjaga kota atau The Guardians
of the city). Ianya merupakan sebuah kelompok
Yahudi Ortodoks yang menentang kewujudan
negara Israel dan juga gerakan Zionis
sedunia. Menurut mereka, penubuhan gerakan
Zionis dan juga negara Israel merupakan
satu konspirasi untuk merosakkan agama
Yahudi dan sekaligus menghancurkannya.
Mereka juga mendakwa bahawa rejim Zionis
dan juga negara haram Israel tidak sekali-kali
mewakili agama Yahudi, malah mereka merupakan
golongan kafir menurut aqidah Yahudi yang
sebenar!
Faham Anti-Zionis
Penolakan kumpulan ini terhadap ideologi
Zionis dan juga negara haram Israel adalah
berpunca dari pentafsiran agama Yahudi
itu sendiri. Bagi mereka, Yahudi adalah
agama yang telah wujud semenjak 3000 tahun
yang lalu dan bukannya nama khusus bagi
bangsa tertentu. Oleh yang demikian dengan
sendirinya mereka menolak faham perkauman
yang menjadi syiar utama semua kelompok
Yahudi di serata dunia, dan juga teras
kepada ajaran Zionisme.
Menurut mereka juga, penganut agama Yahudi
adalah “bangsa pilihan Tuhan”
bukan kerana bangsa mereka dan juga kehebatan
mereka. Mereka dipilih Tuhan adalah kerana
mereka adalah manusia yang penyayang dan
juga mengasihani manusia lain. Pilihan
tersebut juga bukanlah bermaksud dipilih
untuk menguasai dunia dan memperhambakan
bangsa-bangsa lain, tetapi ianya bermaksud
mereka dipilih untuk hidup dengan mentaati
Tuhan dan membantu manusia di seluruh
dunia tanpa mengira bangsa.
Kumpulan Naturei Karta juga menegaskan
bahawa ajaran Yahudi yang sebenar melarang
penganutnya dari menumpahkan darah dan
membenci bangsa lain. Mereka juga percaya
bahawa mendapatkan kekuasaan dan membina
negara di atas dasar kezaliman dan kekerasan
adalah dikutuk oleh Tuhan. Bagi mereka,
Yahudi adalah agama dan bukannya sebuah
gerakan politik bersifat kebangsaan yang
bersikap jahat terhadap bangsa yang lain.
Pendapat mereka ini jelas bertentangan
dengan ideologi Zionisme yang didokong
oleh pelbagai kumpulan Yahudi yang bertanggung
jawab membina negara haram Israel di atas
tanah rakyat Palestin di atas nama perkauman
dan gerakan kebangsaan. Bagi faham Zionisme
juga, Yahudi adalah semata-mata perkauman
dan untuk menegakkan negara bagi kaum
Yahudi mereka bebas menggunakan apa-apa
cara samada kezaliman mahupun kekerasan.
Zionisme juga percaya bahawa hanya dengan
ideologi sekular sahaja mereka dapat memastikan
survival bangsa Yahudi dan juga kesinambungan
negara haram Israel yang mereka bina.
Bagi mereka, kitab Taurat hanyalah satu
kitab suci yang menjadi adat resam bangsa
Yahudi sahaja tanpa membawa apa-apa erti
dalam kehidupan duniawi mereka.
Faham Zionis juga menterjemahkan “Bangsa
Pilihan Tuhan” sebagai satu lesen
bagi mereka untuk mempergunakan bangsa-bangsa
lain di muka bumi ini. Ianya juga merupakan
lesen besar untuk mereka jadikan alasan
kepada kewujudan mereka di bumi Palestin
dan menafikan hak kaum Arab (Muslim dan
Kristian) di bumi tersebut. Walaupun berbekalkan
semangat keYahudian, namun faham Zionis
menolak ajaran-ajaran Taurat yang menghalang
kaum Yahudi dari pulang ke Palestin dan
menzalimi sesama manusia. Jelas bahawa
faham Zionis hanyalah sebuah doktrin fahaman
sekular yang diwarnai perkauman yang radikal.
Di atas dasar inilah faham Zionis berpendapat
bahawa selagimana seseorang manusia berketurunan
Yahudi, maka dia adalah bangsa “Yahudi”,
walaupun dia tidak mempercayai tuhan,
tidak beragama dan juga tidak mempercayai
Taurat serta ajaran-ajarannya. Sebab itulah
kita mendapati pengasas gerakan Zionisme
sendiri pun merupakan seorang Atheis yang
tidak mempercayai tuhan sama sekali. Yang
menarik lagi, beliau (Theodore Herzl)
pernah memakan sandwic berintikan daging
babi (yang diharamkan oleh agama Yahudi)
dengan menggunakan tangan kirinya di hadapan
rabbi-rabbi Yahudi untuk menunjukkan beliau
adalah seorang Yahudi yang liberal. Atas
sebab ini jugalah kita dapat melihat banyak
sekali larangan-larangan dalam Taurat
dilanggar oleh penduduk negara haram Israel
yang merupakan masyarakat faham Zionis.
Antaranya, (sekadar menyebutkan sahaja)
bekerja hari Sabtu, perzinaan, membunuh
orang-orang Palestin, menjual babi dan
1001 lagi pantang larang yang dilanggar
di dalam negara Israel Zionis yang sekular.
Kumpulan Naturei Karta juga tidak mengiktiraf
fahaman yang membezakan di antara kaum
Yahudi dengan bangsa-bangsa lain. Bagi
mereka, intipati ajaran Talmud (Meshna
Tora, iaitu sumber rujukan kedua Yahudi
seumpama Sahih al-Bukhari orang Islam)
menegaskan perkara tersebut. Sayangnya,
menurut mereka, pentafsiran Talmud sering
melupakan perkara ini dan hanya menumpukan
kepada pentafsiran yang membawa kepada
kelebihan kaum Yahudi berbanding dengan
bangsa lain sahaja. Menurut meeka juga,
kepercayaan yang berteraskan aqidah Monotheism
ini telah menjadikan mereka tidak sombong
dan bongkak lantas menjadi sesat seperti
para pendokong Zionis yang pada pandangan
mereka telah menjadi kufur dan musyrik.
Naturei Karta dan bumi Palestin
Antara perbezaan besar di antara Naturei
Karta dengan golongan Zionis dan Israeli
juga adalah sikap mereka terhadap bumi
Palestin dan juga janji Tuhan kepada mereka
berkenaan bumi tersebut. Menurut mereka,
kaum Yahudi telah dikeluarkan dari bumi
tersebut adalah kerana dosa-dosa mereka.
Ianya merupakan siksaan dari Tuhan kepada
bangsa Yahudi, dan sewajarnya kaum Yahudi
mengambil pengajaran dan tidak mengulangi
kesilapan silam. Proses pembuangan Yahudi
dari bumi Palestin semenjak tahun 70 A.D.
lgi adalah peluang bagi kaum Yahudi untuk
mendekatkan diri mereka kembali kepada
Tuhan dan memperbaiki diri mereka. Walaupun
kaum Yahudi sentiasa berdoa siang dan
malam agar mereka dikembalikan ke bumi
Palestin yang dijanjikan Tuhan kepada
mereka, menurut kumpulan ini, ianya hanya
hak Tuhan untuk mengembalikan mereka dan
bukannya dengan usaha mereka sendiri,
apatah lagi dengan mengambilnya dari orang
lain serta menumpahkan darah. Mereka juga
yakin, apabila sampai waktunya nanti,
mereka akan pulang ke Palestin bersama
Messiah yang telah dijanjikan oleh Tuhan,
dan mereka akan hidup harmoni dengan penduduk
lain di Palestin dalam keadaan beriman
kepada Tuhan.
Maka, sewajarnyalah mereka menentang
propaganda Zionis dan juga usaha-usaha
kejam gerakan tersebut. Bagi kumpulan
ini, apa yang dilakukan olrh Zionis dan
juga Israelis sekarang ini hanya akan
mengundang kemurkaan Tuhan terhadap mereka
dan juga merupakan persiapan untuk mengundang
azab dari Tuhan. Erez Yizrael yang mereka
idamkan itu, menurut Naturei Karta adalah
berbeza dengan negara Israel sekarang
ini yang lebih kepada negara ketenteraan
dan zalim. Erez Yizrael yang akan dibina
oleh Messiah nanti adalah negara kerahiban,
tanpa peperangan dan juga tanpa keganasan.
Semua rakyat Yahudi akan tunduk dan beribadat
kepada Tuhan untuk mendapatkan keredhaannya
bersama-sama penduduk negara tersebut
secara aman dan damai. Oleh yang demikian,
sehingga kini, Naturei Karta tidak pernah
mengiktiraf kewujudan negara Israel, malah
tidak pernah pun pergi ke Kotel (tembok
meratap) mereka yang pada pandangan mereka
telah dirampas dengan kekerasan dan kekejaman.
Kekerasan dan kekejaman bukanlah intipati
ajaran agama Yahudi pada pendirian kumpulan
ini.
Zionis dan Nazi
Di dalam bahan-bahan terbitan mereka,
kumpulan Naturei Karta juga sering membidas
golongan Zionis dan golongan Yahudi yang
mempunyai dua kerakyatan (kerakyatan di
negara yang mereka tinggal dan satu lagi
kerakyatan Israel yang terbuka untuk semua
Yahudi). Mereka mengumpamakan golongan
seperti ini sebagai penderhaka dan tidak
boleh dipercayai. Mereka menyeru agar
penganut agama Yahudi yang sebenar menjadi
rakyat yang baik, setia dan bekerjasama
dengan penduduk negara yang mereka diami.
Mereka beriman bahawa agama Yahudi menyuruh
penganutnya menjadi warga yang baik dan
juga rakan yang boleh dipercayai. Naturei
Karta juga giat berkempen menyedarkan
dunia terhadap konspirasi yang berlaku
di antar pihak Zionis dan juga rejim Nazi
Hitler lewat peristiwa “Holocaust”.
Pihak Zionis yang mempunyai kepentingan
untuk memaksa orang-orang Yahudi berhijrah
ke Palestin telah menggunakan peluang
tersebut untuk membunuh mereka yang enggan
berhijrah dan menjadikannya sebagai alat
untuk menakut-nakutkan bangsa Yahudi lain
di seluruh dunia, agar segera berhijrah
ke Palestin. Ramai di antara kaum Yahudi
yang terkorban lewat peristiwa tersebut
merupakan golongan ortodoks Yahudi dan
juga mereka yang anti-Zionis. Bagi pihak
Zionis, pakatan dengan Nazi itu telah
membuahkan hasil yang lumayan sehingga
ke hari ini. Bukan hanya sekadar simpati
dunia yang mereka berjaya perolehi untuk
menjustifikasikan kewujudan mereka di
bumi Palestin, malah mereka juga berjaya
untuk menipu majoriti kaum Yahudi, terutamanya
golongan hartawan dan ortodoks yang enggan
berhijrah kerana sebab agama dan juga
keselesaan di negara yang mereka diami.
Jenayah ini menurut Naturei Karta, merupakan
jenayah terbesar gerakan Zionis terhadap
kaum Yahudi dan juga agama Yahudi.
Asal usul gerakan ini
Gerakan yang mempunyai cawangannya di
seluruh dunia, terutamanya di Amerika
Syarikat ini berasal dari gerakan Yahudi
Ortodoks yang bernama Agudat Israel. Gerakan
Agudat Israel ini telah ditubuhkan oleh
golongan ortodoks Yahudi yang ingin menjaga
kesucian agama mereka dari dirosakkan
oleh gerakan-gerakan sekular Yahudi, terutamanya
gerakan Zionis sedunia (World Zionis Organization)
yang telah mula mendapat sokongan banyak
pertubuhan Yahudi dari serata pelusuk
dunia. Sejurus diisytiharkan deklarasi
Belfour, kumpulan Agudat Israel ini telah
mengemukakan bantahan mereka terhadap
League of Nations (Liga Bangsa-Bangsa,
iaitu sebuah kesatuan negara-negara sedunia
sebelum United Nations / Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu). Mereka membantah terhadap pengiktirafan
kerajaan British terhadap gerakan Zionis
yang kononnya dianggap sebagai wakil bangsa
Yahudi. Ketika gerakan Zionis menubuhkan
Vaad Leumi, sebuah badan koordinasi Yahudi-Yahudi
yang mendiami bumi Palestin, mereka telah
menolak pelawaan Zionis untuk menyertai
badan tersebut. Pergeseran ini telah membawa
sedikit demi sedikit peperangan dan perbalahan
di antara Agudat Israel dan juga gerakan
Zionis sehingga tahun 1927. Di bawah mandat
British, mereka telah berjaya mendapatkan
hak untuk tidak menyertai National Council
yang merupakan badan sah untuk bangsa
Yahudi di Palestin berurusan dengan pihak
British.
Pertelingkahan ini walau bagaimanapun
semakin lemah, apabila ramai di antara
pengikut Agudat Israel mula menyertai
faham Zionis, terutamanya dari kalangan
mereka yang telah berputus asa dengan
idealisme gerakan itu. Melihatkan kepada
perkembangan gerakan Zionis dan juga kejayaan
mereka untuk menubuhkan sebuah negara
bagi kaum Yahudi (Erez Yizrael), ramai
di antara ahli-ahli Agudat Israel, yang
terdiri dari golongan ortodoks mula mengubah
haluan untuk menyertai arus perdana kaum
Yahudi di bumi Palestin dengan menyokong
faham Zionis. Lebih menarik lagi, Agudat
sendiri sebagai sebuah organisasi telah
mendokong faham Zionis secara rasmi dan
mengatakan bahawa Deklarasi Belfour itulah
merupakan “Janji Tuhan” kepada
bangsa Yahudi. Keadaan menjadi lebih parah
apabila Rabbi Cook the Elder telah mengeluarkan
fatwa wajib bagi bangsa Yahudi di seluruh
dunia untuk menyokong gerakan Zionis berdasarkan
pentafsiran semula Talmud. Sebagai seorang
yang berautoriti di kalangan golongan
Ortodoks, fatwanya itu telah memberikan
inspirasi kepada ramai dari kalangan Yahudi
ortodoks yang lain untuk berhijrah dan
mengiktiraf hegemoni faham Zionis terhadap
survival bangsa Yahudi.
Kesan daripada perkembangan ini, golongan
Yahudi Ortodoks yang telah berhijrah daripada
Poland dan juga Jerman telah menubuhkan
Naturei Karta (terjemahan: Penjaga Kota).
Mereka bukan hanya tidak mengiktiraf gerakan
dan faham Zionis, malah memisahkan diri
mereka dari pertubuhan tersebut. Mereka
mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang
menyatakan kerelaan mereka untuk bernaung
di bawah kerajaan Islam berbanding hidup
di bawah pemerintahan Zionis di dalam
akhbar-akhbar milik mereka sendiri sejak
dari tahun 1944 lagi. Apabila penubuhan
negara Israel diisytiharkan pada tahun
1948, mereka telah menghantarkan surat
bantahan terhadap Leagues of Nation. Menurut
mereka, penubuhan tersebut adalah tidak
sah, dan mereka memilih untuk berhijrah
ke Jordan dan tidak menetap di Palestin.
Sehingga beberapa waktu, gerakan ini sentiasa
mengeluarkan kenyataan mereka mengutuk
kerajaan Israel, dan sering mengantungkan
bendera Israel separa tiang setiap kali
acara hari kebangsaan penubuhan negara
Israel disambut pada setiap tahun. Mereka
juga menyokong segala usaha pembebasan
bumi Palestin oleh orang-orang Arab dan
kaum Muslimin. Lebih menyakitkan hati
kaum Zionis lagi, apabila mereka sentiasa
menyeuarakan kesediaan mereka untuk bersama-sama
kaum Muslimin untuk hidup di dalam sebuah
negara Islam Palestin, di mana mereka
tinggal di sana sebagai kaum minoriti
yang baik. Hal ini telah membuatkan mereka
menerima tindak balas yang kejam dari
kerajaan rejim Zionis. Seperti orang Arab
yang lain, merekatelah didiskriminasi,
malah penempatan mereka seperti di Mea
Sherim telah dikacau dan dihuru-harakan
oleh pihak rejim Zionis. Usaha jahat rejim
Zionis ini telah menyebabkan ramai di
antara pendokong Naturei Karta mengambil
keputusan untuk berhijrah meninggalkan
Palestin, dan pengikut mereka serta simpatisan
perjuangan mereka semakin berkurangan
dari hari ke hari.
Naturei Karta di waktu ini
Kini, gerakan Naturei Karta telah cuba
membina kekuatan mereka kembali di luar
Palestin. Di New York dan juga bandar-bandar
lain di Eropah, mereka telah menyusun
gerakerja yang lebih strategik. Di dalam
setiap demonstrasi anti-Zionis dan anti-Israel,
pasti wajah-wajah mereka akan muncul dengan
plakad-plakad yang tercatat slogan-slogan
anti-Israel dan Zionis. Mereka juga tidak
ketinggalan membakar bendera Israel sambil
menjulang bendera Palestin. Mereka juga
sering berhubung dengan PBB dan menyuarakan
pandangan-pandangan mereka terhadap isu
Palestin dan menggesa agar PBB tidak mengiktiraf
negara haram Israel. Mereka juga sering
melakukan kempen di serata dunia menggesa
agar masyarakat dunia tidak mengiktiraf
Israel dan juga menyeru agar negara haram
Israel dihapuskan dan digantikan dengan
negara Palestin berdaulat dengan bandar
Baitul Maqdis diletakkan di bawah pengawasan
antarabangsa. Gerakan ini kini mempunyai
hampir 60,000 ahli di serata dunia yang
berpusat di Brooklyn, Amerika Syarikat.
Mereka mempunyai tujuh orang ahli majlis
tertinggi yang menetapkan hala tuju perjalanan
gerakan tersebut dan juga merupakan tempat
rujuk bagi ahli-ahli gerakan itu di serata
dunia. Mungkinkah mereka bakal menjadi
penyelesaian kepada isu Palestin yang
sedang mencari titik perhentiannya kini?
Rujukan:
Dr.
Abdul Wahab el-Masiri, The
Encyclopedia of Jews, Judaism and Zionism
, jilid ke-6.