Cinta Allah
Fitrah Insan
Mohd Razlan Abdul Razak
10:30am
17 Oktober 2005
Hati yang hidup ialah hati yang mencintai
Allah. Sesiapa yang mencintai Allah, dia
mencintai Islam kerana kehidupan Islam
ialah kehidupan yang ditunjuki oleh Allah.
Barangsiapa mencintai kehidupan Islam
maka dia mencintai kehidupan Rasulullah
SAW dan para sahabat radiaLlahu anhum.
Kehidupan mereka merupakan tafsiran ajaran
Islam secara praktikal. Mereka merupakan
lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan
sejati yang pernah dilahirkan di dunia
ini. Mereka juga adalah generasi yang
membangunkan dunia dengan kecintaan kepada
Allah SWT dan membawa kebahagaian kepada
kehidupan manusia dan alam.
Apabila kita menyebut tentang cinta Allah,
ianya mestilah bertempat di hati sebab
hati dicipta untuk merasai dzauqi atau
kelazatan menghayatinya. Hati juga tempat
makrifat, tempat iman, tempat rindu. Hati
ini dikategorikan oleh Ulama Sufi kepada
4 peringkat, iaitu (1) Hati yang lalai
kepada Allah, (2) Hati yang ingat kepada
Allah, (3) Hati yang asyik dengan Allah,
dan (4) Hati yang makrifat kepada Allah.
Pada hari ini, kebanyakan ulama, para
pendakwah atau orang awam memiliki hati
yang berada pada tahap pertama, iaitu
hati yang lalai dengan Allah SWT. Ini
dapat dilihat dalam kehidupan mereka yang
tidak menunjukkan mereka cinta kepada
Allah, bersungguh dalam ibadah dan mujahadah
serta sentiasa memelihara diri daripada
perkara-perkara yang haram, syubhah dan
makruh. Mereka juga tidak berhati-hati
dalam perkataan, penglihatan serta pendengaran
yang akibatnya hati mereka bertambah keras
dan rosak.
Berapa ramai ulama yang bercakap tentang
takut kepada Allah tetapi sanggup menyembunyikan
kebenaran kerana takutkan manusia. Mereka
juga dunukilkan oleh Allah sebagai orang
yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan
duniawi. Ada juga di kalangan para pendakwah
yang bercakap tentang ayat-ayat Allah
tetapi kadang-kala mereka “menjual”
ayat-ayat Allah demi mendapatkan keuntungan,
kemasyhuran, pengikut yang ramai serta
pujian dari manusia lain. Mereka sebenarnya
orang-orang yang mati hatinya daripada
perasaan cintakan Allah. Manakala orang
awam, kehidupan mereka dibelenggu oleh
kesibukan mencari harta, pangkat dan mencintai
kaum keluarga diatas hawa nafsu sehingga
melalaikan mereka daripada Allah SWT.
Manusia wajib mencintai Allah. Ia adalah
perkara fitrah kerana asal roh manusia
datang dari Allah. Ketika di alam arwah,
manusia telah mengaku bahawa Allah adalah
tuhan mereka dan tiada yang lain dalam
cintanya, zikirnya, ingatannya, pujaannya,
semuanya adalah untuk Allah SWT semata-mata.
Mereka sudah berilmu dan mengenal Allah
dengan pengenalan yang hakiki. Apabila
manusia itu lari dari fitrah dan tidak
menghalakan roh dan hati mereka untuk
mencintai Allah, mereka sebenarnya meronta-ronta
untuk kembali kepada Allah, untuk mengenal
Allah, mencintai Allah atau Rabbnya kerana
itulah fitrahnya.
Namun kehidupan dunia yang hanya membawa
halangan dan rintangan kepada diri seseorang
untuk terbang ke hadrat Ilahi telah menyebabkannya
menderita kerana mencintai dunia yang
bukan fitrahnya. Ketahuilah, sesiapa yang
cuba menentang fitrah dengan tidak mencintai
Allah, sebaliknya mencintai dunia atau
yang lain, ia akan menderita.
Ramai manusia yang mempunyai atau memiliki
kekayaan tetapi sedikit yang memiliki
kebahagiaan. Kebahagiaan itu hanyalah
apabila roh atau hati kembali kepada Allah.
Ibarat seekor ikan yang dilepaskan kembali
ke lautan atau nseekor burung yang tinggal
di dalam sangkar emas kemudian dibukakan
sangkar hingga ia kembali mendapat kebebasan.
Walaupun tinggal di dalam sangkar emas,
hakikatnya burung itu tidak mendapat kebebasan.
Begitu juga dengan roh. Jangan biarkan
roh kamu terkurung di dalam sangkar emas
(dunia dan hawa nafsu), walaupun ia kelihatan
cantik tetapi ia bukan kebahagiaan hakiki.
Ramai manusia menyangka apabila mereka
kembali kepada Allah, mereka akan terpenjara
dan hidup terkongkong kerana dikawal oleh
peraturan-peraturan Allah. Sedangkan ianya
merupakan satu kunci untuk roh bebas terbang
kepada Allah SWT. Apabila mereka menjauhkan
diri atau melanggar peraturan-peraturan
Allah dan menurut akal mereka, sebenarnya
mereka menguncikan diri mereka di dalam
sangkar. Inilah hakikat kehidupan manusia.
Sehinggalah mereka dapat melihat ketika
menghadapi sakaratul maut, baru mereka
akan sedar. Ketika itu, ia sudah tidak
berguna lagi.
Apabila seseorang itu mencintai harta,
maka dia akan menjadi hamba kepada harta.
Kalau dia mencintai pangkat, dia akan
menjadi hamba kepada pangkat itu. Begitu
juga, mencintai kaum keluarga, sanak saudara
atau lain-lainnya, maka jadilah dirinya
hamba kepada apa yang dicintainya. Sebaliknya,
sesiapa yang mencintai Allah, dia akan
bermujahadah dengan hawa nafsunya dan
membebaskan diri dari belenggu yang mengikat
rohaninya untuk mencintai Allah. Hanya
kekasih Allah-lah memiliki hati yang mencintai-Nya,
sentiasa mengingati-Nya, mencintai akhirat
dan menangis kerana takut kepada-Nya.
Pecah tumit kakinya kerana berdiri di
malam hari menghadap Allah dengan rasa
kehambaan. Perasaan kecintaan dan kehambaan
yang tinggi kepada Allah menyebabkannya
mengambil kehidupan dunia dengan amat
sederhana.
Islam telah berjaya menguasai dunia dan
menjadi model kepada kehidupan manusia.
Islam telah menjadi kuasa yang amat ditakuti
dan disegani kerana bukan sahaja menjadi
contoh dalam aspek kerohanian tetapi juga
dari segi akhlak peribadi dan pendidikan
anak-anak. Rumahtangga orang Mukmin tertumpu
kepada tujuan mencari cinta Allah. Suami
menjadi pemimpin isteri, manakala isteri
menjadi penasihat kepada suami dan mendidik
anak-anak. Malah Islam telah berjaya melahirkan
generasi contoh dalam pengurusan kehidupan
manusia seperti dalam urusan ekonomi,
politik, pentadbiran negara, intelektual,
sosial dan sebagainya. Generasi ini menterjemahkan
Islam yang syumul secara praktikal dan
membincarakan permasalahan kehidupan manusia
seperti kesucian diri dari hadas kecil
hingga kepada kesucian pentadbiran negara
dan dunia.
Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk
melahirkan kembali generasi contoh yang
hebat ini melainkan mengikuti kembali
jalan-jalan mereka, peribadi, akhlak,
ibadah, mujahadah dan pengorbanan jihad
mereka. Mereka telah dididik oleh Rasulullah
SAW dengan keimanan makrifatullah, keimanan
yang hakiki. Diwajibkan ke atas mereka
melakukan Qiamullail untuk melahirkan
kecintaan kepada Allah, hati yang hidup
dengan Allah. Mereka ditarbiyah dengan
sentiasa membaca Al-Quran dan menghadiri
majlis-majlis tazkirah untuk melahirkan
dan menguatkan perasaan cinta kepada Allah.
Kecintaan mereka ialah kecintaan kepada
hati yang dzauq dan tubuh badan yang sihat.
Segalanya berpunca dari hati sebab itu
hati mestilah diutamakan dalam pendidikan
manusia.