Mahasiswa Islam Mencabar (Bab 3)
Agus Salim
10:30
04 Jan 2006
GMI
Menangani Cabaran
“sila bertindak dan berbuat seperti
yang pernah saya buat ketika menjadi
mahasiswa. Tapi bersedialah seperti saya
dulu untuk masuk penjara” - Anwar
Ibrahim
Gerakan Mahasiswa Islam [GMI] terpaksa
menangani pelbagai cabaran bagi meneruskan
survival mereka di kampus nasional.
Di sini, penulis membicarakan secara
ringkas peranan pihak tertentu yang
berkospirasi menjatuhkan GMI di kampus.
GMI perlu berwaspada terhadap perancangan
musuh yang licik dan bijaksana. Jika
GMI terperangkap dengan muslihat musuh,
tidak hairanlah GMI akan dimusnahkan
oleh pihak musuh. Wahai Sahabat Mahasiswa!
Rancang dan berwaspadalah dalam setiap
langkahan agar GMI tidak terperangkap
dengan helah musuh.
Peranan HEP
Kini, kebanyakan aktiviti persatuan
dibelenggu belitan besi panas oleh HEP
sehingga kelihatan aktiviti berpersatuan
di universiti begitu lesu. Banyak sekatan
dan syarat baru dikenakan boleh memandulkan
budaya berpersatuan yang selama ini memang
semakin menurun minatnya di kalangan
pelajar. Pelajar tidak diberikan kebebasan
untuk merencanakan program mereka menyebabkan
kekreatifan dan budaya berfikir mahasiswa
boleh terbantut. Bahkan HEP mengadakan
program tertentu secara terang ingin
menjatuhkan aspirasi mahasiswa. Pelajar
tahun satu mula dibasuh minda mereka,
diugut, ditawar habuan bagi menyokong
calon aspirasi universiti. Sekali imbas,
HEP telah melakukan ketidakadilan dan
mengalakkan politik wang dalam pilihanraya
kampus.
HEP juga diperalat oleh UMNO sebagaimana
berlaku di UKM, UM dan kampus lain. Di
UKM, GMI dihalang melakukan pertarbiyahan
dan aktiviti peringkat kolej. Begitu
juga di UM, Puteri Umno diberi peluang
berkempen dalam pilihan raya kampus,
aktiviti GMI disekat dan dilakukan grand
design iaitu UM is One sebuah rancangan
khas untuk menjatuhkan GMI. Apabila pihak
HEP sendiri menjadi seteru dengan GMI,
segala aktiviti GMI disekat oleh HEP.
HEP cuba melambatkan program, menghalang
dan mengenakan pelbagai syarat yang ketat
bagi sesuatu program.
Dalam pilihanraya kampus, HEP menyokong
secara terang-terang pada pihak aspirasi
universiti dari segi kewangan, program
menjatuhkan GMI dan turut sama berkempen
untuk memburukkan imej GMI. Lihatlah
kain rentang berbunyi ‘bersihkan
unversiti daripada imej pembangkang’ inilah
satu kempen jahat. Pada malam pengundian,
bilik pelajar GMI dicerobohi dan keesokan
harinya pendokong GMI dilibatkan dengan
gerakan bawah tanah. Pelbagai cara HEP
lakukan untuk memusnahkan GMI. Tindakan
agresif HEP boleh mengekang pergerakan
GMI tetapi HEP haruslah ingat cahaya
kebenaran dan keadilan akan berjaya menerobos
kabus kemungkaran dan korupsi walapun
beribu lapisan kabus. Kita mahasiswa
adalah insan yang berfikir akan menyedari
tentang kebenaran pada akhirnya kecuali
para pembodek yang cintakan habuan material
dan pengamal maksiat.
Pewarnaan Semula Gerak Kerja GMI
Pelbagai mehnah yang diterima menyebabkan
GMI kelihatan tidak bermaya, sepi tanpa
berita dan bagaikan menjadi sebuah kisah
mitos yang diceritakan oleh ibu kepada
anaknya. GMI perlu mengemas kini dan
menyemak kembali idealis dan metode perjuangan
agar ia sesuai dengan mehnah yang semakin
ekstrem daripada HEP dan kerajaan. Pertama,
tarbiyah perlu diperkasakan terutamanya
di kolej-kolej. Metode tarbiyah Ikhwanul
Muslimin perlu disuntik dengan segera
agar roh perjuangan GMI dikentalkan kembali.
Program halaqah ilmu umum secara mingguan
boleh dilakukan diluar kampus dengan
menjemput ustaz haraki dan ia diadakan
di rumah sewa pelajar [markaz GMI]. Program
ini amat penting bagi GMI untuk mempertingkatkan
pengetahuan asas-asas Islam setelah program
halaqah ilmu seperti Raudhah [di UM]
telah dikasikan. Selain menuntut ilmu,
pihak pimpinan GMI dapat merapatkan hubungan
ukhwah sesama ahli GMI.
Amalan wirid khusus perlu dijadikan
amalan kerohanian seharian bagi pendokong
GMI. Santapan kerohanian ini amat penting
bagi menguatkan roh insani pendokong
GMI. Disini saya sarankan agar pihak
GMI mewajibkan wirid Manzil [amalan Jemaah
Tabligh] dan Mathurat kepada setiap ahli
GMI. Pengamalan wirid khusus mengambarkan
istiqamahnya insan dalam perjuangan Islam
dan mendekatkan diri dengan Allah. Ini
bermakna GMI mempunyai agenda al Taghyir
al ruhiy atau perubahan kejiwaan kerana
kekuatan rohani merupakan tonggak generasi
nabawi yang mampu mencipta pelbagai keajaiban
yang mengagumkan.
Ketiga, integrasi antara kaum. GMI
tidak harus meremehkan sokongan rakan-rakan
non muslim dalam memperjuangkan isu-isu
kampus dan nasional. Kita wajar mengambil
iktibar daripada kegagalan GMI di UKM
mengikat hubungan yang kukuh dengan non
muslim. Pihak IPU atau MAMPU di UKM perlu
melakukan perubahan segera untuk menjalinkan
hubungan rapat dengan non muslim. Formula
integrasi kaum dalam politik kampus sangat
berkesan di USM dan UM. Di USM, PMIUSM
berkerjasama dengan erat dengan Persatuan
Bahasa Cina USM. Penulis amat tertarik
dengan konsep tahaluf siyasi yang dilakukan
oleh Persatuan Bahasa Tamil UM, PMIUM
dan UMANY [Cina] dengan pembentukan GMUM.
GMUM inilah yang menentang pihak MGMUM
yang pro HEP. Dengan sokongan non-Muslim,
GMI akan lebih bermaya meredah ranjau
perjuangan yang semakin mencabar dan
ganas.
GM Pro Pembangkang?
Tohmahan terbesar yang dihadapi oleh
GMI adalah pro pembangkang. Imej pembangkang
yang tercalit kepada GMI tidak boleh
dinafikan sama sekali. Kita mengakui
kebanyakan pendokong GMI adalah pro pembangkang
tetapi sebetulnya mereka pro keadilan,
etos kemanusiaan, kebenaran dan Islam.
Apabila GMI memperjuangkan isu seperti
ISA, hudud, AUKU dan kebebasan pilihan
raya serta media, secara automatiknya
kerajaan, HEP dan masyarakat melabelkan
GMI sebagai pro pembangkang. Tahukah
kita, GMI boleh hidup di kampus nasional
kerana sifat kebersamaan GMI dengan sebahagian
besar pelajar yang aktif dan berpengaruh
daripada pelbagai bangsa.
Kita perlu tahu, kebanyakan pelajar
kini adalah pasif, tidak peka dengan
masalah semasa, berbudaya seronok-seronok
dan tidak menghiraukan politik atau aktiviti
berpersatuan. Semasa pilihanraya, pelajar
aktif dan berpengaruh [biasanya, pelajar
ini aktif dalam berpersatuan] yang mendokong
GMI dan sekutu non-muslim GMI, akan memujuk
rakan-rakan mereka supaya turun mengundi
dan memangkah proksi GMI. Pelajar ini
hanyalah segelintir daripada keseluruhan
mahasiswa di kampus [sekitar 2000 orang].
Keterlibatan GMI dalam politik adalah
satu kebiasaan bagi gerakan Islam. Islam
dan politik tidak dapat dipisahkan bahkan
ia saling berkait antara satu sama lain.
Politik atau siasah ini adalah warisan
para rasul. Lihatlah sirah para rasul
menghadapi cabaran berdepan dengan kerajaan
dan pemimpin zaman masing-masing. Nabi
Musa menghadapi Firaun dan Nabi Ibrahim
menghadapi Namrud, pemerintah Babylon.
Bukan setakat menghadapi pemerintah bahkan
ada para rasul merupakan pemimpin kerajaan
seperti nabi Daud, Sulaiman dan Muhammad
SAW. Jadi bukan menghairankan jika GMI
terlibat dalam politik. Dalam konteks
zaman moden, penguasaan politik bermakna
menguasai kehidupan di sesebuah negara.
Dengan politik kita dapat menguasai pendidikan,
ketenteraan, dasar ekonomi dan segalanya.
Justeru, adalah kewajiban GMI memasuki
kancah politik berdasarkan kemampuannya.
Peranan Kerajaan
Dasar kerajaan juga mempengaruhi potensi
GMI untuk meneruskan keteguhan kuasa
mereka di kampus nasional. Dasar meritokrasi
sebagai contoh telah membawa
kemasukan secara beramai-ramai pelajar Cina ke kampus-kampus IPTA. Jumlah
pelajar yang hampir sama di antara Melayu dengan Cina akan membawa ketidakstabilan
politik kampus dan ia sendiri bakal menghancurkan pakatan GMI dengan non
muslim. Kehancuran ini boleh berlaku apabila pelajar Cina meminta jawatan
pentadbir MPP dan jumlah calon lebih ramai daripada Melayu-Islam.
Kerajaan juga terlalu meracuni pemikiran
pelajar dengan kepentingan material terutamanya
berkaitan peluang pekerjaan. Sifat material
ini secara halusnya berjaya menjadi ugutan
ghaib yang membimbangi pelajar untuk
aktif dalam GMI. Kita tidak boleh menafikan
kepentingan kerja tetapi berikanlah mahasiswa
untuk berjuang dalam isu-isu masyarakat.
Zaman mahasiswa bukanlah penentu hala
tuju seseorang kerana mereka masih bereksperimen
dalam menentukan jalur perjuangan, mereka
masih berjalur bebas dan bersifat anak
muda yang membara semangatnya. Berilah
mahasiswa untuk memarakkan perjuangan
mereka dalam tempoh 3 atau 4 tahun semasa
dalam pengajian. Selepas tempoh pantang
tamat, mereka sendiri akan menentukan
jalur mereka sama ada bersama kerajaan
atau pro pembangkang.
Lihatlah betapa baiknya pengurusan
DBP yang ditadbir oleh Aziz Deraman,
seorang tokoh pelajar yang ditahan polis
dalam demonstrasi awal 1970an, lihat
juga Ahmad Shabery Cheek yang mengetuai
demontrasi anti-Amerika telah menjadi
Ahli Palimen Kemaman daripada UMNO. Lihatlah
ramai tokoh pelajar yang ekstrem dan
menongkah arus semasa zaman mahasiswa
berduyung-duyung memasuki kerajaan dan
UMNO yang diludahinya dahulu. Demi sesuap
nasi, mereka mengadaikan cita-cita GMI.
Inilah keberkesanan racun pentingnya ‘kerja’ yang
disuntik ke dalam pemikiran mahasiswa.
Apa nak dirisaukan pada gelombang mahasiswa
yang bersifat sementara ini. Ayuh kerajaan!
Ayuh HEP! Benarkan GMI bergerak tanpa
provokasi dan sekatan.
Peranan Media Massa
Bagi sebahagian masyarakat Malaysia
terutamanya di pendalaman, media massa
terutamanya TV dianggap ‘tuhan’ secara
tidak sedar disamping Allah S.W.T yang
diakui oleh mulut, hati dan perbuatan.
Manakala akhbar dianggap ‘wahyu
suci’ yang benar, dan ia amat
dipercayai dan dibaca melebihi daripada
al Quran. Begitulah hebatnya pengaruh
media massa dalam masyarakat kita.
Jika gerakan Islam seperti PAS, ABIM,
JIM dan PUM berjaya diburukkan dengan
mudah apalagi GMI yang kurang berupaya
dari segi jentera dan kewangan. Media
massa akan memulakan kempen dengan
melabel yang mana pro pembangkang dan
aspirasi universiti. Seterusnya melakukan
serangan bertubi-tubi memburuk juak
yang pro pembangkang kononnya. Akibatnya,
GMI terkulai layu tanpa peluang membela
diri.
Kita perlu mendengar nasihat Tun Dr.
Mahathir supaya rakyat Malaysia tidak
melupai ilmu sains sosial dan ilmu kemanusiaan
terutamanya sejarah di kala semua orang
mengejar material yang diikonkan melalui
ilmu sains gunaan. Jika kita celik dan
mengambil cakna tentang sejarah, kita
dapat menyelinap di sebalik lembaran
akhbar, betapa besar peranan akhbar dalam
mempengaruhi fikiran rakyat. Contoh,
akhbar al Iman berjaya menyebarkan idea
kaum muda untuk mengislah masyarakat
Melayu. Kejatuhan kerajaan pelajar Islam
yang pertama di kampus-kampus nasional
juga dicanang dengan kerjasama antara
HEP, juak nasionalis dan akhbar pada
tahun 1980.
Ketika kejatuhan PMIUM [golongan Islamis pertama menguasai PMUM, dikenali Barisan
Mahasiswa) dari MPP pada tahun 1980, satu grand design dijalankan oleh HEP
dengan Utusan Malaysia untuk menjatuhkan GMI [pada masa ini GMI di bawah pengaruh
ABIM-PKPIM] di Malaysia. Utusan Malaysia secara terang berkempen untuk juak
nasionalis dengan menuduhkan GMI adalah pelampau.
Tajuk akhbar: ‘Gerakan
Rejim Kami di Kampus'
Begitulah lembaran depan akhbar Utusan
Malaysia yang bertarikh 8.7.1980 telah
menuduh satu gerakan bawah tanah pelajar
Islam yang berbahaya dengan sikap taksub,
antitoleransi dan pelampau telah bertapak
di kampus-kampus utama. Modus operandi
kewujudan nama Regim KAMI adalah sama
dengan kewujudan nama al Qaeda, Jemaah
Islamiyyah dan Kumpulan Militan Malaysia
(KMM) yang diselimuti dengan kekaburan.
Pada masa itu, UKM dituduh sebagai pusat
Rejim KAMI tetapi dinafikan oleh PMUKM.
Akibatnya golongan Islam tumbang dalam
pilihanraya kampus di UPM dan UKM [lihat
Utusan Malaysia, 12.7.1980]. Di UKM,
TSB memperolehi 24 kerusi daripada 30
kerusi mengalahkan ATMA [Islamis pro-ABIM]
dan di UPM, Angkatan [nasionalis] mendapat
memenangi 14 kerusi daripada 24 kerusi
mengalah GKM.
Kini tiba giliran pilihanraya kampus
di UM, golongan Islamis di UM mula terasa
bahang apabila akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 15.7.1980 mula menyerang PMUM
[yang dikuasai oleh PMIUM] dengan menyiarkan
dua surat pembaca iaitu ‘POLITIK
PONDOK DI UM’ oleh bekas siswa
dan ‘MAHASISWA MENOLAK GOLONGAN
PELAMPAU’ oleh Nasrul Elias Mohd
Ali. Kospirasi akhbar Utusan Malaysia
dengan juak nasionalis dan HEP telah
sampai kemuncak apabila Utusan Malaysia
[16.7.1980] menyiarkan tajuk depan ‘SEDERHANA
YAKIN BERKUASA’. Perkara ini menunjukkan
golongan nasionalis yang sederhana itu
mendapat publisiti percuma dan Utusan
Malaysia jelas berkempen untuk juak nasionalis
dan HEP. Akibatnya, asakan informasi
negatif ini telah berjaya menjatuhkan
imej PMIUM dan berjaya menpengaruhi psikologi
pelajar untuk menyokong golongan nasionalis ‘sederhana’ yang
mendokong aspirasi universiti dan kerajaan.
Sambutan kekalahan PMIUM disambut besar-besaran
bagaikan menyambut kemenangan tentera
Kristian Portugis yang menewaskan Kerajaan
Islam Melaka di Vatican City dengan penyiaran
berita pada muka hadapan akhbar Utusan
Malaysia bertarikh 19.7.1980 dengan tajuk ‘SEDERHANA
MENANG BESAR DI UM’. Dalam pilihanraya
kampus itu, Gabungan [nasionalis] memenangi
20 kerusi daripada 21 kerusi yang dipertandingkan
dengan mengalahkan Barisan. Begitulah
tragisnya kejatuhan kerajaan pelajar
Islam pertama di UM yang dikospirasikan
oleh HEP, nasionalis dan media massa.
Media massa memainkan peranan begitu
besar menjatuh GMI. Dengan media massa,
tohmahan yang bohong boleh dianggap benar
oleh masyarakat.
Menangani Musuh Politik
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO
menyebabkan GMI berpecah-belah sehingga
berlaku pertentangan diantara GMI pro-Anwar
yang berkerjasama dengan mahasiswa nasionalis
menentang GMI pro-PAS. Pertembungan pada
era 1990 boleh dilihat pertembungan sesama
Islam. Pilihan raya kampus telah menelurkan
penubuhan parti politik kampus yang berimejkan
pro kerajaan dan HEP yang bertentangan
dengan pendokong Aspirasi Mahasiswa yang
didakwa bebas daripada politik luar tetapi
diwar-warkan sebagai alat parti pembangkang
ekoran perbedaan pendapat dengan pihak
kerajaan dan HEP. Sebelum pertempuran
di gelanggang politik kampus, sewajarnya
kita mengenali parti politik kampus di
varsiti masing-masing.
Platform asas bagi GMI di kampus adalah
Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) seperti
PMIUM, PMIUPM, PMIUTM, PMIUSM dan ISIUKM.
Daripada persatuan inilah muncul parti
politik kampus. Selain PMI, PKPIM dan
KARISMA juga pendokong GMI tetapi berlainan
fikrah. Sebenarnya, pada peringkat awal
GMI tidak menyetujui sistem parti politik
di kampus kerana boleh membawa perpecahan
kepada masyarakat kampus. Ekoran daripada
sikap inilah PMIUM memulau pilihanraya
kampus yang dimenangi Barisan Mahasiswa
Bersatu [BMB] di bawah pimpinan Shamsuddin
Moner pada tahun 1990. Walau bagaimanapun
dasar ini berubah dengan penubuhan NADI
dan Kelab Penyokong NADI (PENA). Terkini
di UM, PMIUM berkerjasama dengan UMANY
[Cina] membentuk Gagasan Mahasiswa Universiti
Malaya [GMUM] menentang serpihan BMB
yang berpecah ekoran pemecatan Anwar
Ibrahim yang menubuhkan Majlis Gabungan
Mahasiswa Universiti Malaya [MGMUM].
Semasa Anwar Ibrahim bersama kerajaan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM) dimanupulasikan untuk membendung
pengaruh PMI di kampus. Di UKM, golongan
pro-ABIM, Angkatan Tindakan Mahasiswa
(ATMA) mula bersekutu dengan Tindakan
Siswa Bersatu (TSB) menentang proksi
PAS, Islam Penyelamat Ummah (IPU) atau
dikenali sebagai MAMPU. Kini, TSB diasimilasi
menjadi juak ASIPRASI HEP UKM serasi
dengan penubuhan Kelab Pepaduan dan Kelab
WAWASAN di kampus-kampus nasional. ASPIRASI
HEP UKM berjaya mengalahkan IPU pada
tahun 2003. Di UPM, Anwar Ibrahim sebelum
dijatuhkan telah menghantar Intelektual
Pendukung Kebajikan Mahasiswa (IPKM)
menentang Angkatan Mahasiswa Bersatu
(AMB) proksi PMIUPM. Dalam pilihanraya
kampus 2003/2004, ASPIRASI HEP UPM telah
mengalahkan AMB dengan perolehan kerusi
31 berbanding AMD, 14 kerusi. Kini, ASPIRASI
HEP UPM menguasai MPPUPM setelah mengalahkan
PMIUPM dan PKPIM.
Di UTM, GMI diwakili Hizbi Islami melawan
ASPIRASI HEP UTM manakala di USM, GMI
diwakili Kesatuan Mahasiswa (KM) yang
bekerjasama dengan Persatuan Bahasa Cina
USM menentang ASPIRASI HEP USM. DI UIA,
GMI diwakili We United For Islam (WUFI)
menentang proksi HEP-PKPIM-ABIM, Rest
of the World (ROW) dan SAHABAH yang pro
kerajaan. Medan perjuangan di UIA sangat
unik kerana ia melibatkan sesama Islam
dan HEP UIA mempunyai hubungan longgar
dengan kerajaan bahkan HEP UIA membawa
idealis ABIM melalui tokoh-tokoh ABIM
yang memegang tampuk pentadbiran UIA
seperti Sidek Baba, Mohd Nur Manuty dan
Muhd Kamal Hasan. Oleh sebab itu, UIA
merupakan kubu kuat PKPIM walaupun dikuasai
WUFI. Di UUM, proksi GMI, Ikatan Ikhwan
Utara [IIU] menentang ASPIRASI HEP UUM
yang dikenali IAU.
Pertembungan GMI dengan golongan aspirasi
universiti merupakan fitrah alam bagi
setiap perjuangan. Bukan GMI hendak mencari
permusuhan tetapi kefasikan dan kemungkaran
perlu dihapuskan. Adalah tanggungjawab
GMI mengingat dan menyeru HEP, pemerintah
dan rakan-rakan mahasiswa pengkagum material
dan maksiat kembali kepada ajaran Islam.
Bagi menegakkan yang hak dan menegah
yang bathil, wajib bagi GMI menentang
juak-juak pembodek ini tanpa kompromi.
GMI Bersaudara: Satu Matlamat, Lain
Fikrah
Matlamat utama GMI adalah melihat Islam
tertegak kampus dan negara ini sebagai
cara hidup secara murni. GMI yang berpengaruh
di Malaysia adalah PMI yang dilihat proksi
PAS, PKPIM dan platform di kampus mewakili
ABIM dan KARISMA mewakili JIM. Secara
umumnya GMI mempunyai matlamat yang sama
tetapi pendekatan yang berbeda. Pendekatan
yang berbeda ini adakalanya mencetuskan
pemusuhan sesama pendokong GMI. Dengarlah
wahai sahabat mahasiswa, pesan Hasan
al Banna supaya kita bersama dalam perkara
yang disepakati dan menghormati setiap
perbedaan pendapat. Jangan bermusuh kerana
ia akan merugikan masa.
PKPIM-ABIM telah meminggirkan PAS setelah
kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO
pada tahun 1982. Pada 27 Julai 1990,
secara rasmi IRC meninggal wadah perjuangan
PAS dengan penubuhan Jemaah Islah Malaysia
[JIM]. Ketiadaan institusi pengkaderan
mahasiswa di kampus menyebabkan PAS sendiri
menjalinkan kontrak antara Dewan Pemuda
PAS dengan PMI di kampus-kampus nasional.
Kontrak ini diperkemaskan lagi dengan
penubuhan Gagasan Mahasiswa Islam SeMalaysia
[GAMIS] pada tahun 1990 sebagai alternatif
PKPIM dan IRC. GAMIS membekalkan ramai
pemimpin pelapis kepada PAS. Kumpulan
alumni PMI yang terkenal sebagai kumpulan
Republik Islam [atau kumpulan Universiti
Malaya] adalah fikrah PAS yang asal terpaksa
bersaing dengan Suara Islam [pimpinan
Khalid Samad, adik Sharir Samad, orang
kuat UMNO Johor], IRC [pimpinan Fauzi
Shafie] dan bekas tokoh ABIM [pimpinan
Halim Arshat] dalam pemilihan kepimpinan
Dewan Pemuda PAS. Fenomena jemaah dalam
jemaah hanya mampu disifarkan semasa
Manfuz Omar menjadi Ketua Pemuda PAS.
Penubuhan GAMIS disebabkan forum pelajar
yang mewakili GMI, Barisan Bertindak
Mahasiswa Negara [BBMN] tidak berfungsi
apabila PMUM diambil alih oleh juak nasionalis.
BBMN ditubuh oleh Zukifli Yusof [kini
pensyarah APIUM] untuk menyatukan MPP
di seluruh negara pada tahun 1986. Hubungan
GMI dengan PAS tidak perlu dihairan kerana
kebanyakan pertubuhan luar mempunyai
proksi atau jaringan di kampus termasuk
GPMS, Puteri dan Pemuda UMNO, GAPENA,
DAP, PUM atau pertubuhan picisan seperti
UBU, DEMA dan kelab Jalan Telawi. Kebanyakan
jaringan ini bersifat bawah tanah. Jadi
tidak usah riuh seluruh negara jika kes-kes
pertubuhan bawah tanah [kes Wan Norhayati
yang menyalahkan orang lain] berada di
kampus selagi ia tidak mengancam agama
dan keselamatan negara.
Wahai sahabat mahasiswa! Berhati-hati
apabila mendengar seruan untuk memartabatkan
Islam. Ingatlah peristiwa tahkim semasa
perang antara Syaidina Ali R.A dengan
Muawiyah R.A. Semasa di ambang kekalahan
tentera Muawiyah telah menggunakan helah
dengan meletakkan al Quran di hujung
tombak sebagai tanda pendamaian. Berkatalah
Ali dengan ayat yang tidak difahami oleh
pengikutnya sehingga majlis syura bersetuju
untuk berdamai. Rumusan kata-kata Ali
adalah kalimah itu adalah hak tetapi
matlamatnya adalah bathil. Mereka menggunakan
kalimah Islam yang benar tetapi niat
mereka tidak baik. Ingat dan berwaspada
apabila dengan slogan ‘Islam Hadhari’,
jangan terus tergoda dan tergila-gila
tanpa fikir dan tanpa faham kerana ia
mungkin cantik pada kulit tetapi isinya
busuk dengan maksiat dan kejahilan.
Rumusan
GMI perlu tangani cabaran dengan kaedah
yang hikmah dan perancangan yang jitu
agar tidak terperangkap dengan muslihat
musuh yang licik. Musuh yang paling licik
dan bijaksana sanggup mengharamkan partinya
sendiri demi menumbangkan musuh politiknya
yang bersaing dalam perebutan kerusi
presiden. Musuh yang licik juga sanggup
dipenjara, diseksa dan dilebamkan matanya
sewaktu di ambang kemerdekaan negara
semata-mata mahu keluar sebagai wira
negara dan memimpin parti politik yang
ditubuh semasa hampir merdeka untuk mentadbir
negara. Awas, wahai sahabat mahasiswa,
jangan terleka walaupun sesaat. Kuasa
ditentang bukan sebarangan kuasa kerana
ia mempunyai jaringan luas, saling dukung
mendukung secara langsung atau tak langsung
dan mendapat dana yang besar untuk menjatuhkan
gerakan Islam termasuk GMI.