Merombak
pemikiran
lapuk
Maszlee Malik
10:30
04 Jan 2006
Ketika saya pernah ditanyakan oleh
salah seorang siswa, "Ustaz ni
jemaah JIM ke?". Saya segera membalas, "Tidak,
saya ahli jemaah Muslimin". Dia
bertanya, "Jemaah baru ke tu?".
Saya katakan kepadanya, "Tidak,
ia telah wujud semenjak zaman Rasulullah
S.A.W lagi". Beliau tidak berpuas
hati, "Itu saya tahu, tapi kan
ustaz ahli JIM". Saya membalas
sambil tersenyum, "Ya, saya ahli
JIM, ahli Darul Fitrah, ahli Persatuan
Ulama Malaysia, ahli Muslim Profesional
Forum, ahli Pertubuhan al-Nidaa, rakan
kepada ABIM, Ricoi, Hunafa, Accin,
US, PAS, keADILan, UMNO dan macam-macam
lagi "jemaah".
Siswa tersebut menggaru kepalanya kebingungan,
terus dia bertanya lagi, "Jadi ustaz
tidak berpendirianlah...atas pagar lah
ye?". Soalannya kali ini benar-benar
membuatkan saya tergelak besar. Saya
sekali lagi mengatakan kepadanya, "Anda
masih lagi hidup di zaman 70'an, 80'an
dan 90'an...masih lagi di takuk pemikiran
Jemaah Centrid"
Jemaah Centric
Ya, sememangnya pemikiran jemaah centric yang mendominasi pemikiran pencinta dakwah
dan juga pejuang gerakan Islam di Malaysia
selama lebih tiga dekad lalu. Impaknya
amat ketara, selain daripada kesan positif
yang mendorong kepada banyak perubahan
di Malaysia, pemikiran jemaah centric
juga menimbulkan banyak kesan negatif.
Perbalahan, perpecahan, pergeseran hati,
malah di sesetengah tempat membawa kepada
pergaduhan.
'Jemaah ana lebih tua!', 'jemaah ana
lebih tarbiah', 'jemaah ana lebih memperjuangkan
sunnah', 'jemaah aku lebih agresif",
'jemaah saya lebih memperjuangkan khilafah',
'jemaah saya ada Imam Mahdi!' . Itulah
di antara slogan-slogan yang sering berkumandang
selama lebih tiga dekad di Malaysia di
kalangan ahli pelbagai pertubuhan Islam.
Akhirnya masing-masing tenggelam di dalam
menegakkan jemaah masing-masing yang
dianggap lebih utama, lebih awla, lebih "asalah" (tulen),
lebih hebat dan lebih segala-galanya
daripada jemaah-jemaah yang lain. Kesimpulannya,
jemaah centric adalah satu pola pemikiran
yang lebih banyak membawa kepada perpecahan
daripada penyatuan!
Lebih menyayat hati lagi ialah apabila
para pendukung jemaah-jemaah yang berjuang
demi nama jemaah masing-masing ini menggunakan
dalil-dalil yang dipengaruhi oleh tafsiran
nafsu mereka untuk menegakkan kebenaran "yang
mereka dakwa". Contohnya dalil-dalil
yang menyeru supaya umat Islam bersatu
ditafsirkan agar bersatu di bawah satu
jemaah, iaitu jemaah yang mereka perjuangkan
sahaja. Begitu juga hadis-hadis yang
menyeru agar umat Islam melazimi jemaah
(iaitu kaum Muslimin) sering ditafsirkan
sebagai bersatu di bawah "jemaahnya" sahaja
dan bukannya jemaah lain. Hadis yang
menghalalkan darah golongan yang meninggalkan
jemaah Muslimin (meninggalkan agama Islam)
juga ditafsirkan oleh sesetengah golongan
yang taasub jemaah sebagai dalil untuk
menghalalkan darah mereka yang bukan
dari jemaah mereka.
Tidak hairanlah di zaman 90'an, antara
buku-buku "Haraki" yang timbul
adalah berkaitan usaha menonjolkan "kebenaran" jemaah
masing-masing. 'Haram ta'adud jamaah'
(haram wujudnya lebih dari satu jemaah)
dan 'wajib hanya ada satu jemaah di bumi
Malaysia' menjadi slogan yang suci bagi
sesetengah golongan seolah-olah menafikan
kebaikan jemaah lain. Gejala takfir,
menyesatkan, memulaukan dan juga memperkecil-kecilkan
kumpulan lain juga menjadi satu "sunnah" sesetengah
golongan pelampau pendukung pemikiran
jemaah centric. Keadaan yang lebih parah
dapat disaksikan di IPT yang menjadi
gelanggang tarik menarik pelajar-pelajar
baru oleh jemaah-jemaah ini. Di luar
Timur Tengah keadaan semakin serius sehingga
ada insiden tumbuk menumbuk dan juga
pergaduhan demi mempertahankan jemaah
masing-masing. Begitulah impak buruk
pemikiran jemaah centric ini yang telah
menjadi satu fitnah yang melanda umat
Islam.
Kebangkitan Tahun 1998
Jika tidak kerana reformasi 1998, nescaya
pemikiran jemaah centric akan terus kekal.
Di sebalik kepahitan ada rahmat, itulah
hikmah yang boleh diambil daripada peristiwa
reformasi 1998. Kebanyakan pendukung
jemaah centric telah mula bersatu dan
boleh menerima kewujudan jemaah yang
berbeza. Mereka mula sedar bahawa jemaah
mereka sahaja tidak akan dapat membawa
perubahan kepada masyarakat Malaysia.
Antara impak yang paling ketara terhadap
perubahan ini ialah terbentuknya "Barisan
Alternatif" yang digagaskan oleh
unsur-unsur jemaah centric. Sayangnya,
selepas perubahan tersebut tidak kekal.
Bukan hanya sekadar perpecahan berlaku
dalaman "Barisan Alternatif",
malah kejayaan menawan negeri Terengganu
menggelap mata sesetengah golongan untuk
memonopoli kejayaan walaupun hakikatnya
usaha itu hasil kolektif pelbagai pihak.
Terbukti pemikiran jemaah centric masih
mempengaruhi sesetengah pihak sehingga
membawa kepada perpecahan.
Maka, apakah penyelesaiannya? Apakah
jemaah-jemaah yang wujud perlu dileburkan
menjadi satu jemaah yang unggul sahaja?
Dengan itu umat Islam semua akan bersatu
di bawah satu panji "ummah" sahaja
tanpa khilaf dan perpecahan!
Bunyinya begitu indah, hakikatnya slogan-slogan
tersebutlah yang akhirnya membawa kepada
perpecahan yang lebih teruk. Slogan "kembali
kepada satu jemaahlah yang telah menyebabkan
krisis di antara jemaah berterusan, dari
dulu, kini dan selamanya. Mengapa? Ini
kerana tabiat manusia itu berbeza, gaya
pemikirannya berlainan, tahap pemikiran
tidak sama, dan manusia itu sendiri secara
fizikalnya berbeza-beza. Perkara inilah
yang telah disentuh oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
di dalam bukunya "al-Sahwah al-lslamiyyah
baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa tafarruq
al-mazmum"
Pemikiran "Ummah Centric"
Tiada salahnya kewujudan jemaah-jemaah
selagi mereka berpaksikan pemikiran "Ummah
Centric" dan bukannya "Jemaah
Centric". Tidak salah wujudnya jemaah-jemaah
selagi ia wujud sebagai organisasi untuk
melaksanakan kerja-kerja dakwah dan perubahan
secara kolektif, dan tidak lebih daripada
organisasi yang menghimpunkan ahli-ahli
yang mempunyai persamaan dan keserasian
untuk mencapai objektif yang sama. Tiada
salah juga berjemaah selagi ia membawa
kepada penyatuan tenaga untuk melakukan
kerja-kerja Islam di bawah satu organisasi
yang tersusun kemas selaras dengan seruan
Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyukai
mereka yang berperang di jalan-Nya di
dalam satu barisan, seolah-olah mereka
sebuah bangunan yang kukuh"(al-Saff:
ayat 3).
Jangan lebih daripada itu hendaknya.
Jika adanya unsur 'jemaah saya yang utama',
'Jemaah saya yang paling hebat', 'jemaah
saya yang paling hebat tarbiah', 'jemaah
saya yang paling sunnah", 'jemaah
saya yang paling ulama' dan lain-lain
kredibiliti yang mengatasi kesatuan ummah,
maka perpecahan akan segera timbul.
Pemikiran 'Ummah Centric' perlu dihayati
oleh seniua umat Islam seperti mana ia
dihayati oleh umat terdahulu. Bukankah
Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya
umat ini adalah umat yang satu, dan Aku
adalah Tuhanmu, maka sembahlah aku." (al-Anbiya:
ayat 92), dan juga firman Allah SWT, "Sesungguhnya
mukmin tu bersaudara, maka damaikanlah
dua saudaramu (yang bertelagah)." (al-Hujuraat:
ayat 10).
Begitu juga dengan hadis-hadis yang
menekankan kepentingan ukhuwah dan kesatuan
umat. Pemikiran ummatik inilah yang semestinya
mencorakkan cara berfikir, cara berukhuwah,
cara bertindak dan juga cara menilai
sesuatu. Janganlah ada pilih bulu dalam
berukhuwah, jika seseorang itu satu jemaah,
maka itulah "sahabat", "ikhwah", "puak" atau
golongan kita. Orang dari jemaah lain
pula diberikan layanan kelas kedua, hanya
kerana mereka bukan "ahli jemaah" kita.
Dalam menuntut ilmu juga begitu juga
hendaknya, dan bukannya sikap mengikuti
atau mendengar atau menghadiri hanya
kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian "oghe-oghe
kito" sahaja dan menutup telinga
dan pintu hati pada orang-orang dari
jemaah lain. Dalam membaca begitu juga,
Janganlah hanya membaca literasi "harakah" yang
versi "fikrah kita" sahaja
dan memandang sepi literasi hasil tulisan
orang-orang dari kumpulan lain, walhal
kemungkinan apa yang ada pada orang lain
itu lebih bermanfaat dan lebih baik.
Pemikiran ummatik ini perlu disemadikan
di dalam hati para pencinta Islam dan
pejuang-pejuang syariat Islam agar segala
usaha dirasakan sebagai tanggungjawab
bersama.
Jika beroleh kemenangan, ia tidak akan
dimonopoli oleh golongan-golongan tertentu
sahaja, tetapi dirasakan sebagai milik
semua. Jika ada kelemahan terhadap usaha
orang lain, pihak yang nampak kelemahan
tersebut, walaupun dari jemaah lain,
akan segera membantu untuk memperbaikinya
dan bukan menghentam atau menjadikannya
sebagai hujah untuk menjatuhkannya. Pemikiran
ummatik juga akan membuatkan semua jemaah
melihat jemaah-jemaah lain sebagai rakan
setugas, rakan sepasukan dan juga rakan
seperjuangan, yang walaupun lain gaya
bekerja, tetapi tetap di bawah satu majikan
yang sama.
Pemikiran ummatik juga akan menguatkan
lagi usaha-usaha untuk tajdid, islah
dan dakwah. Sinergi di antara jemaah
di atas usaha-usaha bersama akan lebih
banyak dan lebih memberikan impak. Tanpa
prejudis, tanpa kebencian, tanpa hasad,tanpa
fitnah memfitnah, tanpa jatuh menjatuhkan,
tanpa hentam menghentam, dan yang penting
lagi tanpa merasakan orang di luar jemaah
kita adalah "orang lain". Jika
semua pendukung jemaah-jemaah yang wujud
dapat merasakan bahawa semua jemaah-jemaah
dan juga orang-orang lain yang mungkin
tidak berjemaah sebagai saudara seummah
mereka, di waktu itu, insya-Allah keberkatan
dan bantuan Allah akan turun. Hal ini
perlu dimulakan segera, bermula dengan
pemikiran dan juga hati!
Fiqh Ikhtilaf
Selain daripada berfikiran ummah centric,
para pencinta Islam juga wajib menghayati
flqh dan juga adab berikhtilaf. Kata-kata
Imam al-Syafi'i yang berbunyi: "Pandanganku
adalah benar menurut pendapatku, tetapi
berkemungkinan silap, dan pendapat lawanku
adalah silap pada pandanganku, tetapi
berkemungkinan mengandungi kebenaran".
Kata-kata al-Marhum Rashid Redha yang
kemudiannya dipopularkan oleh Hassan
al-Banna juga merupakan satu kaedah emas
yang boleh dijadikan penawar di dalam
menangani masalah perpecahan disebabkan
pemikiran jemaah centric.
Beliau berkata: "Kita bekerjasama
di dalam perkara yang kita sepakati dan
kita berlapang dada di dalam apa yang
kita perselisihkan"
Di dalam berikhtilaf semua pihak perlulah
ikhlas dan benar-benar meletakkan Islam
sebagai matlamat mereka dan bukannya
jemaah atau fikrah. Bunyinya seperti
mudah, namun pelaksanaannya tidak semudah
diucapkan. Sekali lagi ia perlu bermula
dari hati, dari pemikiran dan juga dari
roh" ummah centric".
Nota: Centric membawa maksud:
paksi, jemaah centric membawa maksud
pemikiran
berpaksikan
jemaah, manakala ummah centric pula
membawa maksud, pemikiran berpaksikan
konsep
satu ummah.