Surat untuk Tok Guru

Aqil Fithri
08:01pm 11 Jan 2004

Tok Guru yang dikasihi,
Sepanjang sejarah Parti Islam SeMalaysia (PAS), ada lima tokoh yang kami sifatkan sebagai cukup signifikan terhadap proses kebangkitan Islam di Malaysia. Mereka bukan sahaja tangkas berpolitik malah corak pemikirannya juga tersangat progresif. Dan, kehadiran kelima-lima tokoh ini dalam pelbagai zaman adalah satu hal yang amat membantu ke arah menyerlahkan lagi era kegemilangan PAS. Dan, salah seorang dari yang yang kami maksudkan ialah Tok Guru sendiri.

Semenjak era dwitunggal Dr. Burhanuddin Helmy dan Zulkifli Muhammad, tidak pernah PAS dapat menonjolkan satu wawasan politik yang berprinsip dan pragmatik, yang sekaligus mengenepikan dialektika oposisi yang seringkali terlebel pada setiap gerakan pembangkang. Namun kehadiran langsung Tok Guru selama lebih satu dasawarsa dalam pentas politik eksekutif tanahair, sekurang-kurangnya berjaya mengubat rasa kerinduan kami terhadap kepimpinan gandingan dwitunggal tersebut. Apatah lagi Tok Guru dapat berganding baik dengan dua teman akrab yang telah pergi; Fadzil Noor dan Yusof Rawa.

Tok Guru yang dikasihi,
Gayamu yang bersahaja, tetapi cukup berseni. Berbekalkan kemahiran logika dan citra tasawuf, Tok Guru bukan sahaja mengukuhkan keyakinan perjuangan PAS sebagai wadah islami, malahan Tok Guru turut berjaya menambat hati-hati yang dahulunya agak sinikal dengan perjuangan PAS. Dan, pelengkap kepada keistimewaan Tok Guru ialah sikap Tok Guru sendiri yang sentiasa mendahulukan Islam daripada PAS itu sendiri. Tok Guru lebih rela PAS berkubur asalkan Islam terus hidup dan menyinari kehidupan beragama di kalangan khalayak. Pada kami, inilah sikap tauladan yang harus disemai dalam setiap struktur serta mentaliti pimpinan dan ahli parti. Percayalah, sesebuah organisasi hanya mampu untuk terus bertahan jika sentiasa ada proses muhasabah di samping kembali memposisikan haluan gerakan sesuai dengan bahasa dan aspirasi zaman.

Kami yakin dan percaya, jika pandangan diatas dibaca, maka Tok Guru tentunya rimas. Malah, tidak mustahil ada di kalangan mereka yang akan menyifatkan kami mahu menambat hati Tok Guru, meskipun kami sendiri tidak tahu apa ganjarannya yang akan kami perolehi. Apapun itulah realiti positif dewasa ini buat Tok Guru. Namun disebalik realiti positif diatas, ada khabar kurang enak buat Tok Guru untuk kami kongsi di sini (mungkin juga boleh jadi khabar enak pada Tok Guru). Kami kira Tok Guru lebih sudi untuk mendengar realiti ini dari yang sebelumnya; kerana realiti ini mengajak kita menyelami kelemahan diri lalu bangkit ke arah menjadikan PAS sebagai gerakan islamis yang unggul dan bakal dikenang dalam sejarah dunia!

Tok Guru yang dikasihi,
Dewasa ini kami melihat bibit-bibit perpecahan dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri di Kelantan. Organisasi Serambi Makkah; negeri kebanggaan kami mula menunjukkan keretakan serta terhakisnya perpaduan dalam budaya kerja. Sebagai insan yang sangat cintakan perjuangan Islam yang humanis, kami dapat rasakan bahawa terdapat perpecahan ketara dalam aliran pemikiran mereka-mereka yang dalam madrasah politik Tok Guru ini. Ada di kalangan mereka di lihat begitu terpengaruh dengan fahaman dan pemikiran talebanisme (juga wahabisme) yang kami sebelum ini kerapkali tegas menyatakan bahawa ia adalah fahaman yang berbahaya serta mengancam keharmonian dan toleransi demokratik yang ada dalam masyarakat. Namun di satu sisi lain, wujud barisan pemimpin yang tampil dalam bentuk kerja yang progresif – seupama Tok Guru sendiri! Mereka memperbanyakkan kerja secara efisyen sambil mengurangkan birokrasi dan pencak politik. Memang tidak dapat dinafikan, masing-masing ada kelemahannya termasuk barisan ini. Namun, mana ada insan biasa yang sempurna! Tanpa ada niat untuk berkempen buat mereka, karekteristik kepimpinan Husam Musa dan Nik Amar jauh lebih baik dari mereka yang berstatuskan ulama’ semata-mata, tetapi gagal mengurus pentadbiran secara cekap. Bahkan mereka bukan sahaja gagal dalam menjalankan fokus pentadbiran, malahan turut gagal untuk membangun pemikiran ummah yang dinamik dan progresif sepertimana yang dianjurkan oleh Islam.

Tok Guru yang dikasihi,
Kami bukanlah mahu mengemukakan idea Islam progresif mahupun Islam liberal. Apatah lagi ia pastinya membawa konotasi kepada dialektika Islam Hadhari yang diprakasai oleh UMNO. Kami tiada niat sedemikian. Cuma apa yang kami harapkan agar budaya “mencari kebenaran dan hikmah yang hilang” terus disemai dan dibajai dalam perjalanan organisasi kerajaan negeri. Janganlah ada yang menjadikan kerusi dalam tampuk kerajaan negeri sebagai tempat untuk bersenang-lenang!

Tok Guru yang dikasihi,
Daripada terpecahnya aliran pemikiran dalam kepimpinan PAS Kelantan (samada kepimpinan teras mahupun pemuda), maka timbullah pula masalah ketidaksefahaman dalam menguruskan organisasi negeri. Muktakhir ini, eleman-eleman ini semakin ketara dapat kami perhatikan. Kebanyakkan Exco kerajaan Negeri lebih gemar melakukan kerja tanpa ada satu orientasi arahan, sekaligus menzahirkan satu kekosongan kepimpinan mutlak. Maafkan kami Tok Guru, jika kami katakan di sini bahawa Tok Guru agak kurang ‘cakna’ tentang hal ini! Rentetan daripada keadaaan inilah yang mendorong kepada budaya kerja ‘one man show’ dan mentaliti ‘buat kerja masing-masing’. Kami tidak tahu sejauhmana Tok Guru telah berperanan dalam memperbetulkan keadaan ini. Sebagai orang tua sekaligus ketua eksekutif negeri, Tok Guru sepatutnya dapat mengatasi ketidakseragaman tindakan di kalangan Exco ini dengan keutuhan arahan. Kami yakin dan percaya, masalah ini akan menjadi lebih rumit dan parah jika disusuri pula mutu-kerja wakil-wakil rakyat PAS di Kelantan. Pada kami, ada di kalangan mereka didapati tidak layak untuk mentadbir dan memimpin masalah perkhidmatan rakyat. Ringkasnya, mereka langsung tidak berkeupayaan untuk mejadi wakil rakyat yang berguna lagi berkesan! Memang benar, mereka semua ikhlas, tapi ia masih belum lagi dari mencukupi. Keikhlasan tanpa disertai kecekapan tidak akan mencapai kejayaan. Ingatkah lagi kita akan kata-kata mashyur Saidina Ali ‘setiap kebathilan yang tersusun, boleh mengatasi kebenaran yang tidak tersusun”. Apa yang rakyat mahukan kini ialah kecekapan berkhidmatan dan usaha giat bagi berbakti pada nusa bangsa, lebih-lebih lagi mereka yang marhaen dan melarat hidupnya!

Tok Guru yang dikasihi,
Ada beberapa saranan kami buat tatapan Tok Guru. Maaf sekali lagi jika apa yang kami nyatakan ini akan di katakan dianggap senada dengan UMNO/BN. Tok Guru telahpun memimpin eksekutif negeri lebih dari satu dasarwarsa. Lazimnya, pemerintahan eksekutif dalam tempoh yang lebih lama akan mengundang kepada ketidakcekapan dan pengabaian. Ia boleh berlaku tanpa kita sedari. Pada hemat kami, Tok Guru mempunyai potensi besar bagi membangun sipiritual muslim di Malaysia. Tok Guru boleh memimpin dan membangun keperibadian islami di kalangan anak-anak bangsa kita agar mereka menjadi muslim yang semarak menegakkan panji-panji keadilan dan melawan sebarang kezaliman! Mudahnya, Tok Guru adalah lebih layak menjadi bapa bangsa yang religious berbanding menjadi seorang eksekutif! Bersama-sama Tok Guru telahpun tersedia generasi pelapis yang sangat berkualiti, yang sebelum ini sangat sukar untuk diperolehi. Justeru, mari kita ketepikan dahulu sinonim kepimpinan negeri atau parti yang mesti diterajui oleh ulama’. Pandangan bahawa hanya ulama’ sahaja yang mesti memimpin adalah sangat tidak relevan! Dalam konteks apa ulama’ mesti memimpin? Ulama’ yang bagaimana? Adakah ulama korup juga boleh memimpin? Sudah tentunya Tok Guru turut tidak bersetuju seperti juga kami!

Tok Guru yang dikasihi,
Ulama’ ada peranannya seperti juga mereka yang non-ulama’. Lebih-lebih lagi kita di sempitkan pula dengan pemaknaan istilah ulama’. Tidakkah mereka yang bukan dari aliran pendidikan agama formal tetapi mempunyai kemahiran agama yang tinggi serta mampu mendiskusi pemasalahan semasa secara progresif, juga boleh digelar ulama’? Tentu sekali! Maka, polisi kepimpinan ulama’ wajar ditekuni semula agar ia tidak dieksploitasi oleh individu-individu yang mementingkan hagemoni dan dominasi diri mereka. Jangan biarkan polisi kepimpinan ulama’ di takrifkan dalam kerangka yang anti-progresif!

Tok Guru yang dikasihi,
Bicara kami mungkin usai disini. Namun ada tinta terakhir buat renungan kita bersama. Tok Guru tidak perlu menoleh lagi untuk mencari-cari pilihan yang ada. Di hadapan kita ini ada anak-anak muda yang mampu mengisi posisi eksekutif. Mereka bukan sahaja berbakat dan berkredibiliti profesionalisme, tetapi mereka turut terlatih dalam madrasah perjuangan islami. Kami yakin dan percaya, mereka mampu memainkan peranan yang terbaik bagi mengisi teraju kepimpinan negeri yang sudah boleh Tok Guru tinggalkan. Lebih menguntungkan, kini mempunyai dua generasi yang berwibawa; generasi Husam Musa, Nik Amar, dan generasi pemuda negeri yang berfikiran progresif. Mereka inilah yang perlu diberi peluang dalam detik-detik keemasan ini. Ya, memang berat untuk menuntut Tok Guru berundur dan merubah fokus gerak-kerja Tok Guru. Tetapi cukuplah jika kami ungkapkan di sini sebagaimana tokoh sanjungan Tok Guru sendiri - Ayatollah Ruhollah Khomeini – meskipun dia yang mengerakkan revolusi sehingga berjaya meraih hasilnya, namun citranya sebagai pemimpin spiritual mengatasi posisi eksekutif yang ditawarkan kepadanya. Dan, kami di sini sangat-sangat mengharapkan agar Tok Guru agar menuruti jejak langkah pahlawan revolusi kita itu. Pedulikan desakan mereka yang tidak mempunyai ensesi ruhi!

Sekali lagi Tok Guru yang dikasihi,
Maafkan kami anak-anak muda ini, jika bicara diatas tidak disenangi. Apapun, kami sangat sayangkan Tok Guru, tetapi inilah cara kasih kami….

Sekian, salaam dari kami – UmmahOnline Team!

 
Aqil Fithri merupakan aktivis media Independen. Berminat dalam soal Islamisme, falsafah dan hal-hal yang mengangkat wacana pemikiran kritis. Beliau kini merupakan editor sekaligus webmaster untuk UmmahOnline; sebuah majalah maya yang berbahasa Melayu. Tulisan beliau pernah tersiar dalam AcehKita, Hidayatullah, El-Azhar, Hayatulislam dan Malaysiakini. Beliau dapat dihubungi melalui ummahonline@yahoo.com atau aqilfithri@yahoo.com