Aceh
sudah lama menangis
Aqil
Fithri
04:30pm 30 Jan 2005
Aceh
Prang
Padang Peugah Haba
Batak Nyang Duek di Kanto
Nyang Boh Ato Ureung Jawa
[Orang
Aceh suka berperang membela kebenaran
Orang Padang hanya suka berbicara sahaja
Orang Batak ramai duduk di kantor
Yang mengatur Indonesia adalah orang Jawa]
Pepatah
terkenal Nanggroe Aceh Darussalam di atas
sudah memadai untuk melukiskan kesengsaraan
serta penindasan yang membelengggui Aceh
hingga ke dewasa ini. Keperitan yang dialami
oleh negeri Iskandar Muda ini sebenarnya
telah lama ditanggunginya, jauh sebelum
dipukul oleh ombak besar tsunami lagi.
Selama beberapa dasawarsa, Aceh secara
sendirian terpaksa mengharungi kesukaran
demi kesukaran untuk hidup tenteram. Dan,
kini tsunami hadir menambah lagi perit
kesengsaraan yang terdahulu.
Namun
ditengah simpati kemanusiaan kita terhadap
bencana tsunami di Aceh, kita hampir-hampir
terlupa bahawa hati rakyat Aceh telah
lama terluka. Dan, keterlukaan ini tidak
boleh disembuhkan hanya melalui bantuan
kemanusiaan yang dihulurkan oleh Jakarta
dan masyarakat antarabangsa. Namun, apa
yang diinginkan oleh Aceh ialah kedamaian,
kedaulatan dan kebebasan yang berkekalan.
Konflik politik yang hangat berlangsung
sebenarnya lebih parah dan pedih jika
ingin hendak dibandingkan dengan pukulan
tsunami. Tatanan ekonomi, sosial dan budaya
aceh yang begitu ampuh dan indah telah
sekian lama dihancurkan. Ia dihancurkan
atas nama agenda untuk kembalikan Aceh
ke pangkuan Ibu Pertiwi. Kesudahannya,
ribuan nyawa rakyat Aceh terkorban, sebelum
lebih ramai lagi terkorban selepas dihentam
tsunami.
Memang
benar, tiada sejarah sahih yang mencatatkan
susur-galur konflik politik Jakarta-Aceh
ini. Apatah lagi kekaburan ini di rumitkan
dengan kemunculan pelbagai versi dalam
menceritakan rentetan konflik ini. Waima,
apa yang diungkapkan oleh Hasanuddin Yusof
Adan dalam karya terbarunya, Teungku Dawud
Beureuh: ulama, pemimpin dan tokoh pembaharuan
(terbitan Penerbit UKM) amat menarik sekali
untuk diperhalusi. Beliau yang kini sedang
menyiapkan disertasi kedoktoran di UMS
berusaha untuk menjejaki pelbagai peristiwa
yang melatari konflik politik ini.
Menurut
Hasanudin, akar yang mendorong tercetuskan
konflik Aceh-Jakarta ialah bilamana Dawud
Beureuh, pemimpin rakyat Aceh merasa tertipu
dengan permainan licik politik Soekarno.
Lantaran itu, Dawud Beureuh bertindak
memproklamasikan Negara Islam Indonesia/Bahagian
Aceh pada tahun 1953. Detik proklamasi
ini merupakan klimaks kepada kekecewaan
rakyat Aceh terhadap sikap tidak adil
Jakarta. Ia juga merupakan lambang kepada
noktah perjuangan Aceh. Bagi Dawud Beureuh,
Soekarno lupa bahawa semasa penjajahan
Belanda (1873-1942), Acehlah satu-satunya
daerah di Indonesia yang bebas merdeka.
Dan, sebagai bangsa yang terkenal dengan
semangat kepahlawanan, kesabaran dan pergorbanan
ini, maka dengan pertolongan rakyat Acehlah,
Indonesia berjaya meraih kemerdekaan mutlak
pada tahun 1945. Di samping itu, Aceh
turut menyumbang hasil-mahsul negeri untuk
asas pembangunan seluruh Indonesia.
Namun
kini pasca-kemerdekaan, apa yang berlaku
menjadi berseberangan upama pepatah Melayu
lama ‘habis madu sepah dibuang’.
Aceh dimusuhi dan cuba ditelunjuki. Impian
rakyat Aceh untuk melihat terdirinya Negara
Islam Indonesia terkubur dengan strategi
politik Soekarno. Lebih mendukacitakan
lagi bilamana Perdana Menteri Indonesia
ketika itu, Muhammad Natsir dari Parti
Masyumi bertindak menghapuskan kedaulatan
wilayah Aceh lalu mengolongkannya ke dalam
wilayah Sumatera Utara. Di samping itu,
pegawai-pegawai kerajaan dari luar Aceh
yang bukan beragama Islam mula dihantar
bertugas di Aceh. Natijahnya, Aceh kini
tertipu! Rentetan dari keadaan inilah
yang memaksa rakyat Aceh di bawah pimpinan
Dawud Beureuh bangun menentang hagemoni
Jakarta yang zalim dan menindas.
Reaksi
agresif pejuang pemisah Aceh ini akhirnya
mengundang amarah Jakarta. Justeru, Jakarta
mula mengerakkan operasi bagi menumpaskan
gerakan ini sehingga memaksa Dawud Beurueh
dan pergerakannya berkubu di pendalaman
Aceh. Dalam kehangatan pertempuran inilah,
Jakarta telah menampakkan sikap yang bercanggah
dengan norma-norma kemanusiaan sejagat.
Hal ini telah ditegaskan oleh mantan Gabenor
Aceh, A.H Gelanggang dalam bukunya yang
ditulis pada tahun 1956 yang bertajuk
‘Rahasia pemberontakan Aceh dan
kegagalan Politik’. Dalam buku ini,
beliau secara berfakta telah mengungkapkan
pelbagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan
Jakarta ke atas rakyat Aceh. Bagi yang
membaca buku ini, ia tentunya akan membawa
kita menyelami kepedihan dan penderitaan
yang teramat sangat oleh rakyat Aceh ketika
detik-detik awal perjuangan mereka.
Gerakan
Dawud Beurueh ini akhirnya berjaya dipatahkan
pada tahun 1963. Sebagai gantinya, Soekarno
memberikan status Daerah Istimewa buat
Aceh. Kemudiannya berlaku transisi kepimpinan
Order Lama yang menyingkirkan musuh tradisi
rakyat Aceh, Soekarno. Namun, kehadiran
Orba (Order Baru) di bawah Soeharto tampaknya
lebih memeritkan lagi buat Aceh. Keamanan
sementara yang telah dinikmati oleh Aceh
mula bergolak. Ini tercetus bilamana intelektual
Aceh dari keluarga yang dihormati, Prof.
Dr. Hasan di Tiro begitu tidak senang
dengan amalan diskriminasi dalam pembangunan
di wilayah Aceh. Sumber alam Aceh yang
kaya telah dieksplotasi demi kepentingan
Jakarta semata-mata, lalu membiarkan Aceh
terus dalam kemiskinan. Kekayaan dan khazanah
Aceh ini dipunggah demi kemakmuran Jawa.
Maka, jurang kemajuan antara wilayah modal
ini (gelaran Soekarno terhadap Aceh) dengan
Jawa semakin melebar. Tatkala tidak sanggup
melihat penindasan ini, Hasan di Tiro
mula membangkitkan kesedaran rakyat Aceh
tentang keperluan kemerdekaan, tentang
kepentingan berdiri atas kaki sendiri.
Berdikari! Penindasan ke atas Aceh perlu
dihentikan segera. Lalu beliau berserta
beberapa temannya memprakasai Gerakan
Aceh Merdeka (GAM) bagi menuntut referendum
ke arah kemerdekaan penuh. Tuntutan ini
amatlah tidak di senangi oleh Jakarta,
justeru sebagai balasannya Aceh buat kali
kedua diperangi. Dengan itu, sekali lagi
rakyat Aceh menjadi mangsa di tengah-tengah
percaturan politik!
Sengketa
Jakarta-Aceh ini berterusan sehinggalah
Jakarta mempertegaskan lagi tindakan ketenteraan
mereka dengan pengistiyaran Daerah Operasi
Militer (DOM) khusus bagi Aceh pada tahun
1989. Selama hampir satu dekad operasi
ini dilancarkan, kekuatan GAM masih tetap
utuh sebaliknya kezaliman ABRI (kini TNI/Polri)
semakin terserlah. Semasa DOM, bukan sahaja
anggota GAM, malahan Rakyat Aceh turut
diperangi habis-habisan. Meskipun DOM
dihentikan pada era reformasi 1998 oleh
Presiden B.J Habibie, namun ketika naiknya
kepimpinan Presiden Megawati Soekarnoputri,
tindakan ketenteraan kembali diteruskan
melalui status darurat awam ke atas wilayah
Aceh pada tahun 2003. Perintah darurat
ini dilakukan oleh Jakarta selepas kebuntuan
diplomasi Jakarta-GAM yang diusahakan
pada kali terakhir di Tokyo.
Namun skrip ketidakadilan masih lagi berterusan,
sama seperti tempoh DOM dahulu. Menurut
laporan Human Rights Watch (HRW) yang
dikeluarkan pada September 2004 yang bertajuk
“Aceh at War: Torture, III-Treatment
and unfair Trials” telah mengesahkan
bahawa wujudnya penyeksaan serta penindasan
terhadap rakyat Aceh yang telah ditahan
oleh TNI/Polri. Semasa status darurat
awam inilah, pencabulan seksual, penculikan,
penyeksaan dan penangkapan tanpa bicara
begitu kerap berlaku hingga ia menjadi
mimpi ngeri buat rakyat Aceh. Itu belum
dihitung lagi jumlah pembunuhan beramai-ramai
yang memang sengaja dipendamkan dalam
lipatan sejarah. Dalam tempoh perit inilah,
kemuliaan hak asasi rakyat Aceh tidak
lagi dipedulikan oleh dunia luar. Masyarakat
antarabangsa seperti memejamkan mata sambil
menutup telinga. Kesudahannya, perjuangan
hak asasi manusia di Aceh menuju senjakala.
Dari situasi inilah, maka ada pemerhati
hak asasi manusia yang menganggap bahawa
tindakan TNI/Polri hanyalah mengulangi
kembali kekejaman Pol Pot di Kemboja,
kerakusan Hitler di Eropah dan kejahatan
Milosevic di Bosnia. Bagi pemerhati bebas
ini, tindakan Jakarta semata-mata bermuara
dari fahaman nasionalis sempit yang cuba
dipraktikkan secara paksa ke atas Aceh.
Namun
selepas tindakan ketenteraan ini diambil,
hakikatnya bukan keamanan yang dikecapi
sebaliknya penindasan lebih kerap berlaku.
Maka tidak menghairankan jika majoriti
rakyat Aceh beranggapan bahawa kehadiran
TNI/Polri bukannya sebagai penyelamat,
tetapi sebagai penindas. Dan bagi mereka
lagi, TNI/Polri kini seolah-olah menjadikan
seluruh rakyat Aceh sebagai musuh mereka.
Di antara anggota GAM dengan rakyat awam,
TNI/Polri masih gagal membezakannya sama
sekali. Masing-masing kesemuanya di anggap
GAM! Tindakan semberono inilah yang menyebabkan
timbulnya krisis keyakinan operasi Jakarta.
Bukan sahaja rakyat Aceh yang mempersoalkan,
malahan rakyat Indonesia yang prihatin
turut membantah pilihan ketenteraan sebagai
jalan penyelesaian.
Nyata
sekali, tiada siapa yang untung akibat
petempuran bersaudara ini. Sebaliknya
rakyat Aceh makin terseksa! Kini, penderitaan
Aceh dipanjangkan lagi dengan pukulan
tsunami yang telah mengorbankan ratusan
ribu jiwa rakyatnya. Kendatipun begitu,
di tabir kepedihan ini timbul persoalan,
mengapakah kepedulian kita hanya terlahir
bila berlakunya tsunami sahaja, sebaliknya
bila ribuan jiwa yang terkorban dalam
operasi ketenteraan sebelum ini kita diamkan?
Malahan lebih memalukan lagi bilamana
pencabulan hak asasi manusia di Aceh cuba
ditutup serapat-rapatnya dari pengetahuan
masyarakat antarabangsa. Justeru, dimana
letaknya nilai-nilai kemanusiaan kita?
Adakah kita hanya menzahirkan reaksi apabila
ada bencana semulajadi, tetapi tidak apabila
bencana itu datangnya dari kezaliman tangan
manusia sendiri? Lupakah kita bahawa kepedihan
akibat tangan manusia ini lebih memilukan
mengatasi kepedihan akibat hukum ilahi?
Selain itu, sedarkah kita bahawa luka
kerana takdir hakikatnya lebih mudah untuk
diubati berbanding dengan luka angkara
kezaliman manusia?
Persoalan-persoalan
ini memang sengaja diungkitkan. Ia ditimbulkan
bukan bererti untuk meremehkan segala
usaha bantuan kemanusiaan yang tiba di
Aceh mutakhir ini. Bantuan memang mendesak
dan amat diperlukan bagi meringankan beban
rakyat Aceh. Sebaliknya persoalan ini
adalah untuk mengingatkan kita bahawa
penderitaan rakyat Aceh bukannya baru
bermula pada 26 Disember 2004, tetapi
puluhan tahun sebelum itu lagi. Apa yang
rakyat Aceh mahukan kini bukannya bantuan
kemanusiaan semata-mata, tetapi kedaulatan
dan keamanan yang berkekalan. Mereka berhasrat
kepada kehidupan tenteram sepertimana
belahan dunia yang lain. Lantaran itu,
adalah sangat tidak wajar untuk kita menanggap
bahawa gerakan pemisahan sebagai masalah
utama kepada tercapainya keamanan hakiki,
sebaliknya aspek pencabulan hak-hak asasi
manusia yang wujud ekoran perseteruan
tersebut lebih patut diberikan perhatian
serius oleh pihak yang terlibat. Mungkin
kita lupa bahawa Aceh telahpun lama menangis
sebelum lagu tema Indonesia Menangis dikumandangkan
lagi dalam media-media massa di Republik
tersebut.
Buat
Aceh! Maafkan jika rakyat negeri seberang
ini melupakanmu. Meskipun kita serumpun,
namun kesengsaraanmu hanya baru kini didengari.
Itupun dikhabari oleh tsunami. Tsunami
hadir memukul sambil memberitahu; memeberitahu
kita bahawa Aceh telah lama menangis.
Dan, tangisan Aceh kini mula membasahi
hati-hati kami ini. Namun di kala kesedihan
itupun, masih tiada apa yang dapat dihulurkan
melainkan sebuah kiriman doa buat negeri
Tanah Rencong ini – tanah yang pernah
berbakti untuk seluruh nusantara. Juga
tanah yang telah menghadiahkan kebanggaan
buat para penganut idealogi kebenaran.
Ya, moga-moga Aceh bisa ketawa semula
selepas ini!