Gejala
Siti Nurhaliza dan PAS
Fathi
Aris Omar
09:30pm 21 Feb 2004
Kuseru
saja Dia
Sehingga datang juga
Kami pun bermuka-muka
Seterusnya Ia bernyala-nyala dalam dada
Segala daya memadamkannya
Bersimpah peluh diri yang tak bisa diperkuda
Ini ruang
Gelanggang kami berperang
Binasa-membinasa
Satu menista lain gila - (Di Mesjid
karya Chairil Anwar, Mei 1943)
PAS,
sebuah parti fundamentalis agama, ada
masalah dan tidak jujur. Di sini ‘sindrom
PAS’ bermula. Antara isunya, parti
Islam ini tidak berterus-terang tentang
bagaimana model atau format budaya yang
bakal terbentur di bawah pentadbirannya.
PAS tidak menjelaskan sikapnya dalam menangani
‘gejala Siti Nurhaliza’.
Sebagai
seorang penulis yang pernah terdidik dalam
program dakwah fundamentalisme, saya boleh
mengagak jawapan PAS dalam hal ini. Malah,
sesiapa sahaja yang cermat menganalisis
politik, boleh menghidunya.
Di
Kelantan, wayang kulit diharamkan lebih
10 tahun tanpa jawapan intelektual yang
konkrit, tiba-tiba dibenarkan kembali
selepas menerima format baru yang dicadangkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Subteksnya,
kenapa PAS juga berjiwa seperti Umno (dan
Barisan Nasional), menggubal dasar-dasar
awam tanpa perundingan dan gagal menggunakan
akal yang tajam lagi bernas? Kenapa semua
orang politik ghairah memperkudakan kuasa
atau perundangan tanpa mengajak kita semua
berhujah, berdebat dan menggunakan akal
rasional-kritis terlebih dahulu?
Di
Terengganu, bergema suara untuk memperkenalkan
‘kod etika berpakaian’, selain
format beratur berlainan jantina di kaunter
(meniru peraturan di Kelantan) dan kaedah
baru menonton filem di pawagam.
Musabaqah
al-Quran tidak boleh disertai wanita,
kononnya atas alasan suara. Calon wanita
(muslimat) akan dikaji untuk diperbolehkan
setelah terdapat desakan tertinggi dari
dalam parti sendiri, maksudnya disuarakan
oleh pemimpin kanan Dewan Muslimat di
muktamar tahunan PAS.
Persoalan
pertama saya, kenapa PAS tidak nyatakan
secara terbuka bahawa ia hendak ‘mengharamkan
Siti Nurhaliza’? Siti harus memakai
tudung dan berpakaian menutup aurat, suaranya
(dan boleh jadi mukanya juga) boleh membawa
‘fitnah’, jika PAS menguasai
negara ini. Siti harus menjadi Waheeda,
dan Anuar Zain pula mesti menyarung kopiah
Raihan?
Wacana
bebas
Orang
boleh berhujah, ini persoalan keutamaan
memilih isu atau kebijaksanaan berpolitik.
Sebagai aktivis media independen yang
turut berkempen dalam senario politik
yang sangat mengongkong, saya faham hujah
ini.
Tetapi
tersirat di sebaliknya, lambat laun parti
Islam akan menggunakan naluri ‘sindrom
PAS’ untuk menghapuskan ‘gejala
Siti Nurhaliza’, cuma persoalan
mencari strategi terbaik, masa yang sesuai
dan kaedah yang (harap-harap) tidak menyebabkan
kemarahan orang ramai.
Sekali
lagi, subteksnya, kenapa semua orang politik
cenderung mengongkong, gagal membuka wacana
pembebasan, sedangkan persoalan rakyat
hari ini, kami sudah cukup rimas dengan
belenggu Umno-BN yang melumpuhkan dan
merugikan bangsa serta negara.
PAS
tidak bersyahwat mendepani isu-isu kebebasan,
hak asasi dan budaya demokratik. Malah,
ada bayangan ketakutan, untuk benar-benar
tekal dalam hal ini. Ia lebih ghairah
menunjuk-nunjukkan batinnya yang sudah
dijangkiti ‘sindrom PAS’,
penyakit suka mengawal orang ramai. Ulama
kita, seluruh ummah sejak merebak wabak
taklidisme, suka menutup minda, tidak
tahan dikritik.
"The
effects of despotism have become second
nature to us. We are all individually
dictator-like in our own ways, and this
unfortunate condition is evident in all
strata and spheres of our society,"
tulis Presiden Iran Muhammad Khatami dalam
Islam, Modernity and Development ketika
membicarakan krisis pemikiran dan kebebasan
masyarakatnya yang turut mewarisi kekangan
bertubi-tubi sejak zaman Islam, raja-raja
termasuk Shah Iran.
Gejala
mengekang sedang membiak krisis politik
di Iran, satu lagi model pentadbiran bercirikan
agama, pertembungan konservatisme ulama
dengan golongan reformasi yang mendesak
kebebasan, demokrasi dan ‘peraturan
permainan yang adil’. Sejak pertengahan
1990-an, Khatami sendiri bergelut untuk
menjadi ‘pihak tengah’ di
antara dua aliran ini di Iran sehingga
dituduh seorang ahli teologi yang cuba
menafsir agama lebih rasional dan serasi
dengan demokrasi, tetapi berjaya meraikan
kebekuan kelompok ulama konservatif.
Di
negara kita, sindrom ini bukan persoalan
baru. Sindrom ini warisan dasar-dasar
mengekang Umno-BN, dasar penjajahan Inggeris
dan amalan konsevatisme-feudalisme Melayu
sejak beratus-ratus tahun.
Gejala
diktator
Tidak
dilupakan, warisan kesultanan Islam yang
autokratik dan wabak taklidisme ummah.
Ia semacam social conditioning yang tidak
disedari, tetapi berulang-ulang dihayati,
proses pembudayaan halus serta perlahan-lahan
dalam masyarakat.
Ia
berjaya membentuk jiwa (psyche) atau akal
bawah sedar sehingga melimpah ke alam
mimpi atau resah batin, tanpa dapat lagi
diselami secara sepenuhnya rasional –
jika kita gagal membongkar sejarah dan
mengenali batu-batu tanda kesesatannya.
Mungkin istilah ‘sindrom kebergantungan’
(dependency syndrome) atau ‘Stockholm
syndrome’ termasuk dalam gejala
penyakit yang sama.
PAS
tidak ada ghairah, naluri atau batin tajdid
dalam persoalan ini. Malah, saya tidak
fikir PAS benar-benar sedar latar halus
serta bermacam-macam kongkongan masyarakat
kita. PAS hanya ‘perasan’
ia telah menyedarinya. Dengan semangat
baru tetapi dengan landasan jiwa bangsa
yang terkekang sekian lama, justeru itu,
agama senang sekali dijadikan alat kongkongan
pula.
Malah,
parti Islam ini hanya melanjutkan penyakit
yang sudah lama kita deritai – yang
telah menetaskan makhluk seperti Tun Dr
Mahathir Mohamad, gejala kediktatorannya
dan budaya politik kekangan.
Rakyat,
termasuk pembangkangnya, betat memahami
selok-belok belitan politik bekas perdana
menteri. Cendekiawan pula, atau kaum terpelajarnya,
masih lagi terpinga-pinga, tenggelam punca
sampai sekarang.
Penyakit
inilah yang menyebabkan PAS sendiri, dan
rakan-rakan aktivis badan bukan kerajaan
(NGO) atau pengkritik kerajaan, gagal
menyebarkan sudut pandang alternatif kepada
masyarakat. PAS, dan boleh dikatakan Barisan
Alternatif umumnya, tidak cuba menyelesaikan
permasalahan ini. Wacana tentang hak asasi
atau kebebasan individu tidak pernah mendalam,
tidak pernah serius dipecahkan. Ia tidak
ubah sekadar ‘janji manis’
semata-mata.
Alternatif
pembebasan
Kebebasan
akhbar tidak pernah diangkat sebagai wacana
tunjang dalam isu hak kebebasan bersuara.
Cuma Anwar Ibrahim agak tekal mengulang-ulang
idealisme ini. Sepanjang lima tahun mutakhir,
sejak krisis 1998, isu kebebasan hanya
untuk kepentingan BA sendiri. Apabila
diri tersekat, mereka menjerit tetapi
landasan adil untuk semua rakyat tidak
diperjelaskan, budayanya tidak dihayati
di dalam dan luar parti.
Memang
benar ada (malah selalu) ucapan, kenyataan
akhbar atau manifesto yang kononnya untuk
‘menyelesaikan’ atau ‘memberi
alternatif pembebasan’ daripada
kekangan ini. Tetapi pembudayaan bukannya
teks di atas kertas atau getaran lidah
di lelangit; budaya atau nilai adalah
persoalan rangka fikir, naluri asas dan
penghayatan hidup; soal pembatinan prinsip
yang akhirnya mengalir secara alamiah
melalui gerak hati, gelagat dan tindakan.
Lihatlah
layanan PAS terhadap lidah pengarang Harakah
edisi bahasa Inggeris, dalam isu kritikan
terhadap ulama (awal 2002). Persatuan
Ulama Malaysia (PUM) dan rakannya, Teras
Pengupayaan Melayu (Teras), sibuk dengan
sekumpulan penulis (termasuk Dr Farish
A Noor, penulis kolum malaysiakini) dan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM) dengan konsert-filem, tidak jauh
bezanya sikap Parti Keadilan Nasional
terhadap akhbarnya Berita Keadilan (lewat
2002), semuanya menghayati budaya kekangan,
tidak tahu berhujah dengan akal sihat.
‘Perkara
idea’ yang kecil ditundukkan dengan
kekerasan keputusan jama’i, kolektivisme
yang merosakkan, membayangkan betapa angkuhnya
kekuasaan atau kepimpinan organisasi.
Sejenis tyranny of the majority. Gejala-gejala
ini mengingatkan kita kepada pesan-pesan
agung pemikir politik abad ke-19.
"The
will of the people, moreover, practically
means the will of the most numerous or
the most active part of the people; the
majority, or those who succeed in making
themselves accepted as the majority; the
people, consequently may desire to oppress
a part of their number; and as much needed
against this as against any other abuse
of power," pesan John Stuart Mill
di awal mukadimah On Liberty.
Sikap
dan budaya yang sama dihayati oleh beberapa
mufti dan majlis agama Islam negeri terhadap
penulis kolum Mingguan Malaysia atau editor
Al-Islam, Astora Jabat. Tidak mampu menjelaskan
dengan akal sihat, mufti-mufti cuba mengadu
kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk
mengawal kegiatan penulis yang kerdil
dan daif.
Seorang
pemikir reformasi Iran yang dihormati
sejak Revolusi 1979, Abdul Karim Soroush
dalam Freedom, Reason and Democracy in
Islam berhujah: "Seperti bunga-bunga
liar di alam, iman akan tumbuh dan berkembang
di tempat yang ia idamkan dan dalam aroma
serta yang warna ia sukai. Masyarakat
orang beriman lebih menyerupai belukar
liar daripada taman (bunga) yang dirawat.
Masyarakat ini terhutang aroma imannya
pada jiwa liar yang bebas merdeka. Memasung
jiwa ini sama sahaja dengan mencekik jasadnya."
Masyarakat
agama
"Dalam
pengertian inilah masyarakat agama, yang
didasarkan pada iman yang bebas, pemahaman
dinamis, dan kewujudan insan di depan
Tuhan, pastilah demokratik. Jadi kepatuhan
(orang ramai) yang penuh ketakutan dan
keterpaksaan terhadap hukum agama tidak
boleh dianggap sebagai ukuran masyarakat
agama."
Kita
sedar PAS sengaja menyembunyi gari-gari
di pinggang mereka sebelum mendapat kekuasaan
penuh, seperti kita faham apa erti senjata
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada
Umno-BN.
Kita
semua boleh bergerak tetapi apabila pengaruh
pemimpin negara tergugat, tetamu tidak
diundang menghumban kita ke kawah ISA.
Boleh dibayangkan sekarang bagaimana imej
siaran TV dan kulit depan majalah di pasaran
sebaik sahaja PAS menggari kebebasan wartawan
dan seniman.
Ingat!
Beberapa tahun lepas, teater Tok Ampoo
arahan penulis-aktivis Hishamuddin Rais,
terbitan kartunis Zunar, lakonan penggerak
mahasiswa yang pro-reformasi pernah dilarang
dipentaskan (bagi kali kedua) di Markaz
Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, tidak
jauh bezanya larangan di beberapa tempat
lain oleh Umno. Apa bezanya sikap PAS
ini dengan garispanduan lakonan pentas
ciptaan baru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL)?
Parti
Islam tidak perlu berpura-pura dalam hal
ini, keluarkan kenyataan akhbar sekarang
bahawa ‘Siti Nurhaliza akan dilarang’
menyanyi kecuali dia bertudung! Malah,
akhirnya Siti tidak dibenarkan menyanyi
kerana suaranya yang manis dan mukanya
yang comel itu juga sejenis aurat!
Kita
mahu perisytiharan hitam putih wajah dan
susuk kebebasan akhbar di bawah pentadbiran
PAS. Tidak guna membantu sebuah parti
politik yang kemudiannya, apabila bersenang-lenang
di takhta kekuasaan, kami terpaksa menyembah
demi menyelamatkan diri daripada daulat
ulama! Toleransi yang bagaimana PAS mimpikan?
Ini
semua konsep dan akademik bunyinya tetapi
parti yang yakin diri akan mengemukakannya
sekarang, tanpa perlu bercabang lidah
untuk berdolak-dalik kemudiannya. Siapa
yang tidak arif gelagat orang politik
kita? Apabila hendak sesuatu, rakyat dirasuah
dan dibelai-belai. Apabila sudah berkuasa,
sungguh angkuh dengan kekuasaan tetapi
apabila terpelanting dari serambi kuasa,
mula menuduh kerajaan semuanya tidak benar.
Saya
mengakhiri lintasan-lintasan ringkas idea
ini dengan kutipan dari John Rawls, A
Theory of Justice: "Each person
possesses an inviolability founded on
justice that even the welfare of society
as a whole cannot override. For this reason
justice denies that the loss of freedom
for some is made right by a greater good
shared by others. It does not allow that
the sacrifices imposed on a few are outweighed
by the larger sum of advantages enjoyed
by many. Therefore in a just society the
liberties of equal citizenship are taken
as settled; the rights secured by justice
are not subject to political bargaining
or to the calculus of social interests."