Langkah
sabotaj reformasi 1998
Fathi
Aris Omar
09:01pm 28 Feb 2005
Sehari
selepas sambutan Hari Kekasih (Valentine's
Day), menteri pertahanan Indonesia mencadangkan
tentera dan polis, yang sudah menjadi
dua institusi terpisah sejak reformasi
1998, “diintegrasikan” kembali.
Kata Juwono Sudarsono, “akibat reformasi
yang kebablasan,” terjadi pemisahan
antara Tentara Nasional Indonesia (TNI)
dan Kepolisian Negara Republik Indonesia
(Polri) yang “sebelumnya terintegrasi
menjadi satu.”
‘Kebablasan’,
istilah lain bagi kacau-bilau, sering
dipromosikan oleh mereka yang dekat dengan
Orde Baru atau pendukung garis fikir zaman
itu untuk menyindir kata dan konsep ‘kebebasan’.
Perhatikan, dua kata ini bunyinya berdekatan.
Selain
menamatkan amalan KKN (korupsi, kolusi
dan nepotisme) dan peletakan jawatan Soeharto,
perpisahan ini menjadi tuntutan-tuntutan
utama gerakan mahasiswa tujuh tahun lalu
bagi menamatkan ‘dwifungsi’
Angkatan Bersenjata Republik Indonesia
(Abri) – selain pertahanan, tentera
juga mempunyai peranan awam (birokrasi)
dan perniagaan. Selepas pindaan perlembagaan,
ketika era Abdul Rahman Wahid (Gus Dur),
wujud dua entiti terpisah, TNI dan Polri.
Pemisahan
ini dibentuk melalui Undang-undang Pertahanan
bagi TNI dan Undang-undang Keamanan bagi
Polri. Dalam usaha baru itu, kementerian
Juwono bercadang meminda kembali dua perundangan
“agar sesuai dengan fasal 30 Undang-undang
Dasar 1945 (UUD 45),” lapor harian
petang Sinar Harapan (15 Februari)
Juwono
berhujah, “jika dipisahkan [TNI
dan Polri] seperti sekarang ini, di lapangan
bisa merepotkan (boleh menyusahkan).”
Kedua-duanya akan diletakkan bawah kementerian
hal-ehwal politik, perundangan dan keselamatan,
bukan di bawah kementerian pertahanan
bagi TNI dan kementerian dalam negeri
bagi Polri. Sekarang TNI dan Polri berada
langsung bawah presiden.
Tetapi
perancang draf ini mendakwa, kenyataan
menteri ini mungkin “tersilap”
Rancangan asalnya, seperti diumumkan sebelum
ini, TNI dan Polri masing-masing di bawah
kementerian-kementerian pertahanan dan
keselamatan. Namun, Polri sendiri tidak
senang berada di kementerian keselamatan
kerana umumnya pegawai-pegawai tinggi
di sini juga pegawai tentera. (Jakarta
Post, 16 Februari)
Saranan
ini menghimbau mimpi ngeri di kalangan
aktivis dan sebilangan ahli politik pembangkang,
pastinya. Seperti kebimbangan kembali
semula ‘hantu Orde Baru’ yang
mengawal kebebasan media. Sekarang, status
Kementerian Negara Komunikasi dan Informasi
diubah menjadi sebuah jabatan, Departemen
Komunikasi dan Informatika (Depkominfo).
Seorang
anggota parlimen pembangkang berhujah,
dasar baru yang diperkenalkan presiden
Susilo Bambang Yudhoyono melalui peraturan
nombor 9 (tahun 2005) ini boleh “melahirkan
‘Hamoko’ baru.” Harmoko,
pemimpin Persatuan Wartawan Indonesia
(PWI) pada awal era Oder Baru yang sangat
ketat mengawal wartawan, ketika menjadi
menteri kabinet Soeharto memang terkenal
dengan kes-kes membatalkan permit-permit
penerbitan akhbar, termasuk Tempo,
Detik dan Editor serentak
(1994). Jabatannya dikenali Departemen
Penerangan – tetapi dihapuskan ketika
era reformasi.
Malah
diperkenalkan pula Undang-undang Pers
(No 40 Tahun 1999) yang lebih bebas dan
progresif mempertahankan kebebasan akhbar.
Dewan akhbar, berbeza ketika era Orde
Baru, di bawah akta ini bersifat mandiri.
Ia mengendalikan aduan daripada masyarakat
untuk diselesaikan, misalnya hak jawab
dan hak meralat. Dewan Pers mengawal wartawan
melalui kod etika wartawan, tanpa campur
tangan pemerintah.
Pada
2003 dibentuk pula suruhanjaya Komisi
Penyiaran Indonesia (KPI) berikutan penggubalan
Undang-undang Penyiaran. Akta ini dan
KPI memang berhasrat memberi kebebasan
media elektronik tetapi sayangnya, dalam
proses tarik menarik antara idealisme
masyarakat sivil dengan kawalan pemerintah,
kuasa memberi lesen siaran dan izin penggunaan
gelombang (frekuensi) jatuh di tangan
pemerintah, bukan KPI.
Sewaktu
penggubalan, aktivis tidak sedar ada perenggan
manipulatif yang memungkinkan eksploitasi
tafsiran dan kawalan mutlak pemerintah.
Akhirnya, bukan suruhanjaya KPI yang mengawal
kegiatan kewartawanan (termasuk pemberian
lesen dan penggunaan gelombang) tetapi
dikawal oleh jabatan baru ini, Depkominfo.
Pada era Soeharto, jabatan penerangan
Harmoko hanya mengawal akhbar dan permit
siaran, sedangkan penggunaan gelombang
dikawal sebuah jabatan lain, Departemen
Perhubungan.
Namun,
Depkominfo kini mengawal kedua-duanya,
hujah Djoko Susilo, wakil rakyat Partai
Amanat Nasional (PAN), seorang ahli politik
progresif yang mengusulkan penggubalan
akta penyiaran beberapa tahun lalu (Kompas,
15 Februari).
Tetapi
undang-undang kebebasan akhbar tahun 1999
belum terjamin bebas sepenuhnya. Ia masih
diancam Kitab Undang-undang Hukum Pidana
(KUHP), sebuah warisan Belanda (yang tidak
lagi dipakai di negara bekas penjajah
itu), yang seakan-akan Kanun Keseksaan
di negara kita. Tiga wartawan Tempo
tahun lepas dan beberapa akhbar lain sepanjang
era Megawati Soekarnoputri dihadapkan
ke mahkamah, dan didapati bersalah, gara-gara
masih ada ruang pemerintah menekan akhbar
melalui KUHP.
Aktivis
dan wartawan mahu undang-undang akhbar
diisytiharkan lex specialis tetapi
pemerintah dan beberapa pengamal undang-undang
menganggap perenggan-perenggan di dalamnya
masih terlalu umum dan harus tunduk pada
KUHP, sebagai kanun tertinggi hukum jenayah.
Kini,
KUHP (yang mahu dipinda) mengandungi lebih
banyak fasal yang menekan kebebasan akhbar.
Kitab besar undang-undang jenayah ini,
yang mahu dikemas kini sejak awal 1990-an,
sudah siap dan akan dibawa ke Dewan Perwakilan
Rakyat (DPR) tidak lama lagi.
Ketika
dibahaskan pada awal era reformasi, KUHP
(baru) mempunyai 569 fasal tetapi kini,
selepas disemak oleh beberapa pakar, menjadi
727 fasal. Ia juga memasukkan beberapa
fasal daripada draf Rancangan Undang-undang
(RUU) porno-grafi dan porno-aksi yang
telah dibawa ke DPR tahun lalu, lapor
harian Koran Tempo (4 Februari).
Beberapa
fasal cadangan KUHP (baru) bukan sahaja
mengikat media dan wartawan tetapi juga
seniman, pekerja seni dan orang ramai
sebagai pengguna. Misalnya, fasal-fasal
469, 470, 473 dan 474 melarang bahan-bahan
yang dianggap berbau porno-grafi dalam
bentuk suara, filem, syair lagu, puisi,
gambar, foto dan lukisan. Bentuk-bentuk
ini tidak boleh disebarkan melalui media
massa atau secara terbuka.
Menurut
Jakarta Post (7 Februari), KUHP
yang bakal dipinda masih mengandungi hukuman
yang berat terhadap wartawan. Fasal 212
menghukum 15 tahun penjara atau denda
Rp 3 bilion (USD326,000) bagi pengamal
media yang menyebarkan maklumat yang “menghina
ideologi negara Pancasila.” Seseorang
yang didapati bersalah boleh dipenjara
sehingga 10 tahun! (Tempo, 31
Jan - 6 Februari) Fasal 308 pula menghukum
setahun penjara atau denda Rp30 juta (USD3,300)
bagi sesiapa yang “menyebarkan maklumat
keliru, berlebih-lebih atau tidak lengkap”
sehingga menyebabkan huru-hara.
Menurut
gabungan Aliansi Pembela Fasal 28 (dalam
perlembagaan UUD 45 yang menjamin kebebasan
bersuara), terdapat sekurang-kurangnya
49 fasal dalam KUHP (baru) yang menghalang
kebebasan akhbar. KUHP (sekarang) hanya
mengandungi 32 fasal bersangkutan kebebasan
akhbar.
Wartawan,
dan aktivis, juga boleh dihukum jika didapati
“menghina presiden, timbalannya,
ketua-ketua negara jiran, badan-badan
negara, kaum, kumpulan agama dan golongan.”
Fasal ini disebut ‘fasal karet’
dalam KUHP dan sering digunakan sejak
Soeharto untuk menakut-nakutkan dan menghukum
aktivis. Disebut ‘karet’ (maknanya,
getah) kerana begitu mudah ditafsirkan
sewenang-wenangnya.
Dalam
era reformasi, Megawati pernah menggunakan
fasal-fasal 134 dan 137 ini ke atas aktivis
yang membakar, memijak, menconteng atau
membuang foto presiden ke tong sampah.
Malah, sekarang seorang aktivis siswa
ditahan dan beberapa lagi sedang diburu
polis mengikut fasal ini. Jika didapati
bersalah, aktivis siswa ini boleh dikenakan
penjara sehingga enam tahun (Tempo,
7-13 Februari).
Pada
Mac 2002, DPR mengumumkan untuk memasukkan
dan mula membahaskan RUU Kebebasan Memperolehi
Informasi Publik (KMIP) walau sampai hari
ini belum diluluskan. Setahun kemudian,
muncul pula RUU Kerahsiaan Negara –
dikemukakan oleh Badan Legislasi (Baleg),
bukan pemerintah – sebagai langkah
perlawanan terhadap akta kebebasan maklumat.
Idea menggubal akta kerahsiaan negara,
bayangkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) di Negara
kita, sudah muncul sejak pertengahan 1990-an
lagi tetapi tidak muncul sehingga ada
langkah ke arah KMIP.
Aktivis-aktivis
menganggap langkah RUU Kerahsiaan Negara
sebagai “berbahaya” dan menggesa
presiden menyatakan pendirian sebenar
beliau atau mengkaji kembali langkah tersebut.
Sementara Djoko Susilo, wakil rakyat PAN,
meminta kedua-dua RUU ini dibahaskan serentak.
Dia bimbang, akta kerahsiaan negara “cenderung
menindas akhbar” jika dibahaskan
terlebih dahulu berbanding KMIP (yang
umumnya menguntungkan
media), lapor Koran Tempo (14
Februari).
Agus
Pembagio, seorang aktivis, menganggap
akta kerahsiaan tidak diperlukan lagi
kerana beberapa fasal kerahsiaan itu sudah
terjamin di bawah KMIP (Suara Pembaruan,
12 Februari)
Walau
presiden Yudhoyono, terbaru sewaktu sambutan
Hari Akhbar Nasional pada 9 Februari,
dan menterinya Sofyan Djalil sering berjanji
bahawa pemerintah tidak bercadang mengawal
akhbar tetapi perkembangan di DPR jelas
sekali menunjukkan langkah-langkah mundur
(malah boleh sahaja disebut ‘sabotaj’
nyata) proses demokratisasi republik itu.
Yudhoyono
juga dilaporkan menggesa Indonesia, melalui
wakil negaranya sebagai pengerusi Suruhanjaya
Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB), segera mengiktiraf dua kovenan
hak asasi 1966 tentang hak-hak kebebasan
berpolitik, dan kebebasan ekonomi, sosial
dan budaya. “(Presiden) ingin menunjukkan
bahawa pemerintah Indonesia memiliki komitmen
tinggi terhadap pemajuan dan perlindungan
hak asasi manusia,” Makarim Wibisono
dilaporkan berkata selepas pertemuan dengan
Yudhoyono.
Ditanya
tentang kontroversi jabatan baru, Sofyan
pula menjawab, sambil ketawa, “Depkominfo
bukan Departemen Penerangan dan tidak
berperanan seperti Departemen Penerangan.”
(wawancara dengan Koran Tempo,
8 Februari)
Tetapi
ada sisi lain untuk melihat semua ini.
Seorang aktivis dalam Koalisi untuk Kebebasan
Informasi memberitahu penulis ini, dia
kecewa dengan sikap aktivis dan wartawan
yang tidak begitu ghairah mempromosi kempen
KMIP dan tidak endah pada beberapa ancaman
di sebalik pindaan dan penggubalan perundangan
ini. Tuduhnya, aktivis dan wartawan sudah
mula goyang kaki dan leka selepas euphoria
lengsernya Soeharto sedangkan tiang-tiang
demokrasi dan reformasi masih lagi rapuh
dan tidak tegak berdiri.
(Nota:
Republik ini sempat menikmati demokrasi
dalam waktu terbatas sejak kemerdekaan
1945, sebelum Soekarno memperkenalkan
‘demokrasi terpimpin’ 1957.
Harapan demokrasi juga muncul selepas
presiden ini jatuh pada 1966 tetapi hilang
apabila Soeharto memantapkan kuasa Orde
Baru tidak lama selepas itu. Maka, tidak
hairan, kebebasan demokrasi sejak 1998
memang luar biasa menggoda dan mengkhayalkan.)
Rakyat
terbanyak pula dijolok dihinggapi ‘sindrom
SARS’ (Sindrom Aku Rindu Soeharto),
pemimpin yang pernah memberikan mereka
ideologi ‘ketertiban, kepastian
dan kemajuan ekonomi’ walau sangat
mengekang kebebasan.
Apakah
kita masih boleh berharap pada Yudhoyono,
bekas seorang pegawai tinggi tentera,
bergabung dengan pemimpin utama Golkar,
Jusuf Kalla – bukankah mereka berdua
gabungan terbaik ulang tayang babak-babak
Orde Baru? Atau, aktivis-aktivis hanya
terbayang mimpi ngeri Orde Baru –
sesuatu yang tidak akan menjadi kenyataan
buruk sekali lagi? - ehsan Malaysiakini.com,
21 Februari 2005