Selain
muak, saya telah berkali-kali
menulis di kolum ini dan beberapa
penerbitan lain sejak bertahun-tahun
yang lalu. Saya sendiri tidak
faham kenapa parti Islam ini,
dan rakan-rakannya dalam Barisan
Alternatif, ‘tidak serius’
dengan persoalan ini –
usaha-usaha membesarkan ruang
demokrasi tetapi tanpa sepenuhnya
disedari, mereka turut menganut
nilai-nilai dan amalan –
amalan tidak demokratik.
Malah,
saya sendiri bingung kenapa
PAS (atau aktivis Islam) sendiri
menghayati budaya buruk tidak
demokratik itu, ingin menyekat
orang lain daripada bersuara.
Sedangkan tidakkah pada asalnya
mereka turut menentang realiti
buruk ‘padang permainan
yang tidak sama rata’
itu?
Misalnya,
kenapa susah bagi mereka menulis
jawapan, atau memberi penjelasan,
dengan tenaga dukungan hampir
500,000 ahli dan penyokong
di serata negara? Sudah terlalu
sering saya bersuara di sini
sehingga tidak wajarlah saya
mengulang-ulangkan lagi hal
ini di sini.
Elok
juga jika rencana-rencana
di kolum saya itu, (jika mahu)
buku terbaru saya Patah Balek:
Catatan Terpenting Reformasi
(Februari 2005) dilihat kembali
kerana kelihatan APB tidak
mengikut semuanya dengan baik
– dan membuat pertanyaan
terhadap isu-isu ‘lama’
yang saya sendiri sudah mengulasnya
atau pernah mempertanyakannya.
Seharusnya
sebagai anggota PAS, penulis
surat ini bertanya kepada
partinya sendiri – kenapa
langkah-langkah ke arah membesarkan
ruang demokrasi tidak serius
ditanggapi parti Islam tetapi
kelihatan lebih sibuk menjaga
‘tepi kain orang lain’
(kata orang Melayu). Apakah
PAS berharap mendapat manfaat
tertentu di sebalik ‘kain’
itu?
Tidak
pernah serius
Isu
kebebasan akhbar, kebebasan
berceramah, kebebasan akademik,
kebebasan kreatif dan mereformasikan
pilihanraya (agar bebas dan
adil) tidak pernah serius
dan tekal (consistent) diperjuangkan
mereka. Semua isu ini telah
saya sentuh melalui kolum
ini dan (mungkin) tidak keterlaluan
jika bidang garapan isu-isu
saya di sini jauh lebih melebar
(tetapi tidak mestinya mendalam
atau bernas) daripada PAS
yang besar dan berpengaruh
itu!
Jawatankuasa
Monitor Media (JMM) yang menganjurkan
boikot kepada beberapa media
arus perdana pada 2000 tidak
mendapat dukungan rasmi BA.
Ia diusahakan, dengan penuh
ketabahan, oleh Rustam A Sani
(penulis dan orang kuat PRM)
dan kartunis Zunar –
inilah hakikatnya yang saya
sangat tahu tetapi sengaja
tidak mahu mengulang-ulangkannya.
Begitu
juga kedudukan Kumpulan Aktivis
Media Independen (Kami) dan
jurucakapnya Ahmad Lutfi Othman
di mata parti-parti pembangkang.
Kami tahu, waktu itu ketua
pembangkang merupakan presiden
PAS, Fadzil Noor (almarhum).
Wah, kami mengalami hal yang
sulit (sangat payah) untuk
menyedarkan betapa pentingnya
hal ini.
Malah,
pernah dalam satu diskusi
tertutup, seorang naib presiden
PAS (saya enggan menyebut
namanya) melihat suasana demokrasi
‘baru’ di Indonesia
(termasuk kebebasan akhbar)
selepas kejatuhan Soeharto
pada Mei, 1998 boleh menggalakkan
pornografi! Apakah begini
caranya persoalan demokrasi
dan kebebasan vis-à-vis
reformasi di Indonesia dilihat
oleh orang teratas dalam kepimpinan
PAS? Sungguh dangkal dan memalukan!
Begitu
juga ketika Harakah dikurangkan
kekerapannya dan ketua pengarangnya
Zulkifli Sulong dibawa ke
mahkamah, kita tahu betapa
tidak seriusnya PAS melihat
isu ini. Tidak jauh bezanya
‘perlawanan’ PAS
yang ‘hangat-hangat
tahi ayam’ apabila dilarang
berceramah (tanpa sebab logik
dan munasabah) mulai Julai
2001. Hanya sebulan dua sahaja
penentangan itu dibuat di
satu dua negeri. Kemudian,
PAS menerima ‘padang
permainan yang tidak sama
rata’ itu, ‘tewas’
dan tidak sungguh-sungguh
membawa isu ini lagi.
Begitulah
juga sikap PAS terhadap royalti
minyak di Terengganu. Susah
sekali mahu mengajak parti
ini menganjurkan acara-acara
lain (maksudnya, kempen yang
lebih serius dan berpanjangan),
misalnya demonstrasi (kecuali
menjelang pilihanraya kecil
Lunas akhir 2000), kecuali
solat hajat, berceramah dan
kemudiannya ke mahkamah.
‘Kemelut
media’
Lihat
juga sikap parti-parti pembangkang,
termasuk PAS, terhadap isu
Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang
terkenal kepada Mohamad Ezam
Mohd Nor pada 2002. Isu ini
tenggelam arah dan kempennya
tidak pernah meluas. Dalam
pakatan pembangkang dan badan
bukan kerajaan (NGO), kita
bersama mendirikan ‘Gerakan
Mansuhkan ISA’ (GMI)
tetapi kenapa ISA, atau undang-undang
seumpamanya, mahu dikenakan
ke atas 50 NGO dan lebih 200
anggota seperti disuarakan
oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin
Ayub?
Tidakkah
ini sejenis budaya anti-demokratik
yang asalnya dimulakan dan
berkembang biak di bawah pemerintahan
Barisan Nasional dan Umno?
Kenapa, misalnya, sulit bagi
Dr Haron Din dan Abdul Ghani
Shamsuddin menjawab (secara
tenang dan meyakinkan) beberapa
persoalan yang dibangkitkan
oleh Farish A Noor tahun lalu?
Kenapa mereka cenderung membataskan
kolumnis ini dan menjawabnya
dengan ‘nada serangan’
(peribadi)?
Banyak
juga isu dalaman yang saya
tahu tentang PAS tetapi tidak
tergamak saya siarkan secara
terbuka, perinci dan terus
terang di sini kerana jauh
‘lebih memalukan’.
Lalu, saya menulis secara
umum sahaja. Kenapa saya ‘gagal’
berterus-terang, saya telah
jelaskan di kolum ini beberapa
tahun lepas dan melalui buku
saya itu Patah Balek, bab
‘Kemelut media’
(khususnya muka surat 75-86).
Sebagai
seorang individu, tidak mungkinlah
saya mengulas semua perkara.
Penulis kolum ada keterbatasannya
sendiri. Tetapi dari segi
prinsipnya, dalam persoalan
hudud, saya mendukung hak
demokratik PAS menjalankan
undang-undang itu di negeri
bawah pentadbirannya. ‘Hak
demokratik’ di sini
maknanya penguasaan ke atas
dua negeri itu diperolehi
melalui pilihanraya umum dan
pelaksanaan hudud telah disebut
dalam manifestonya. Jadi,
bolehlah diandaikan rakyat
negeri itu, misalnya Terengganu,
bersedia dengan hudud ketika
memilih PAS pada 1999.
Tetapi
menjadi hak demokratik juga
untuk seseorang warga membantahnya
(pelaksanaan hudud) walaupun
sesuatu peraturan telah digubal
dan sedang beroperasi, seperti
kita saat ini membantah beberapa
peraturan yang ada (Akta Penerbitan
& Mesin Cetak, Akta Universiti
& Kolej Universiti, OSA
atau ISA – sekadar menyebut
beberapa contoh popular).
Rakyat, sebagai kelompok yang
lemah, sentiasa harus diberi
ruang untuk menegur atau menyuarakan
kritik terhadap negara (yang
memiliki kuasa besar).
Tetapi
saya syak, kita tidak akan
dibenarkan menentang pelaksanaan
hudud, kononnya menentang
undang-undang Islam boleh
dianggap ‘murtad.’
Orang yang menentang enakmen
hudud boleh dikenakan hukuman
pula. Kediktatoran agama akan
bermula di sini. Tersembunyi
di sebalik tafsir agama PAS
itu – nilai, tujuan,
jalan dan penghayatan yang
tidak demokratik. Di sini,
saya tidak sejalan dengan
PAS dalam memahami agama dan
demokrasi.
Kepentingan
elit
Bagi
saya, untungnya model demokrasi,
jika berjalan dengan baik,
ia membenarkan ‘semak
dan imbang’, menggalakkan
pluralisme dan merangsang
terus-menerus penyertaan ramai.
Demokrasi, pada teorinya,
cuba sentiasa menyoal siasat
kekuasaan. Kuasa dilihat sebagai
korup dan cenderung korup.
Kepentingan elit berkuasa
sangat berbahaya kepada kesejahteraan
masyarakat yang diperintah.
Beginilah model demokrasi
(dan nilai demokratik) melihat
kuasa dan segala instrumen
kekuasaan, termasuk undang-undang.
Dengan
kata seorang tokoh pemikir
liberalisme (saya lupa namanya
tetapi ada petikannya di sebuah
buku yang diedarkan oleh yayasan
Friedrich Naumann Stiftung
(FNS) di Kuala Lumpur), “negara
itu keburukan yang tidak terelakkan”
(the state is necessary evil).
Di bawah model demokrasi,
kuasa diharapkan menjadi terpecah-pecah,
tidak memusat pada seseorang
atau sesuatu kelompok elit.
Tetapi itu hanyalah impian
terunggul demokrasi sebagai
satu model kekuasaan.
Demokrasi
sendiri juga mudah terdedah
kepada manipulasi oleh penguasa
dan pembangkang, sama sahaja
dengan ‘negara Islam’
atau ‘pelaksanaan syariah’.
Tidak ada jaminan ia tidak
diperkudakan oleh manusia
(kerajaan Islam). Kekuatan
demokrasi hanya dapat dipertahankan
jika kita dapat memberdayakan
rakyat atau masyarakat sivil.
Rakyat yang celik politik,
berfikiran kritis dan mempunyai
saluran untuk bersuara. Hal
ini tidak berlaku sekarang
di negara kita kerana sebab
yang sama-sama kita fahami.
Maksudnya,
demokrasi itu membudaya dalam
masyarakat umum sehingga ibu
bapa, guru, birokrat, teknokrat
dan ahli politik berasa malu
lagi ‘berdosa’
untuk tidak menghayati nilai
demokratik. Kelihatan nada
saya ini semacam ‘unggul’
atau ‘khayalan’
tetapi sedikit sebanyak demokrasi
ini telah berjaya ditegakkan
di beberapa negara (tetapi
tentunya tidak sempurna).
Demokrasi memang bermula pada
premis ‘ketidak-sempurnaan’
ini dan meletakkan prosesnya
sebagai perjuangan yang berterusan
dan tanpa selesai.
Tentang
demokrasi, saya telah menghuraikan
hal ini pada hujung artikel
berjudul ‘Kritik agama
untuk Islam sivil’ (lima
siri) di lamanweb Ummahonline.com
Tetapi
persoalan kerajaan PAS itu,
dalam konteks pelaksanaan
enakmen hudud, sangat bergantung
pada keterbatasan kuasa pada
kerajaan negeri. Kononnya,
penguatkuasaan jenayah ada
pada kerajaan pusat sahaja,
sementara kerajaan negeri
(dalam hal-ehwal agama) mempunyai
kuasa terbatas. Hal itu terpulanglah
pada PAS sendiri, sama ada
ingin mencabar penafsiran
ini di mahkamah, mengajak
rakyat ke jalan raya (saya
tidak ada apa-apa masalah
dengan demonstrasi) atau meneruskan
dakwahnya.
Menjual
idea
Saya
tidak pernah berhalangan dengan
usaha PAS Wilayah Persekutuan
yang melancarkan dakwahnya
di Bukit Bintang dan Bangsar
baru-baru ini tetapi sentiasa
akan mengecam nada-nada seumpama
Salahuddin Ayub dan laporan-laporan
polis seperti PAS di Pulau
Pinang dan Negeri Sembilan.
PAS Wilayah mengambil langkah
bersaing (menjual idea dalam
pasaran idea) tetapi PAS di
tempat-tempat lain itu menganggap
bersuara itu sendiri satu
jenayah – nilai inilah
yang saya bantah dengan tegas.
Nilai
seumpama inilah yang Kami
(Kumpulan Aktivis Media Independen)
tentang habis-habisan, bukan
sahaja kepada wartawan, tetapi
juga kepada aktivis NGO, mahasiswa
dan ahli-ahli politik. Nilai
inilah yang menjadikan demokrasi
kita itu ‘padang permainan
yang tidak sama rata’!
Apakah APB, Salahuddin dan
PAS umumnya itu tidak (mahu?)
faham? Ini persoalan yang
paling fundamental!
Dipendekkan
cerita, saya kini menfokuskan
penelitian dan perbahasan
bagaimana suasana tidak demokratik
di negara kita sejak dulu
– termasuk tradisionalisme,
konservatisme dan feudalisme
Melayu – telah menguasai
akal bawah sedar, jiwa, bahasa,
gelagat dan tindakan kita
bersama. Ia telah membudaya.
Hal yang sama saya nampak
pada PAS dan budaya politik
kita, yang turut merebak pada
aktivis mahasiswa, seniman,
wartawan, cendekiawan dan
ulama kita.
Bagi
saya, Islam di negara kita
ialah ‘Islam Melayu’
dan ‘Islam Malaysia’,
maksudnya agama yang telah
berjaya diresapi unsur-unsur
buruk suasana tradisionalisme,
konservatisme, feudalisme
dan tidak demokratik yang
telah lama berkembang. Kita
tidak memahaminya, sebab itu
kita membantahnya. Kita akan
temui jenis-jenis Islam yang
berbeza-beza, bergantung pada
jenis budaya penerima, misalnya
di Indonesia dan Iran.
Jelas
kelihatan pengalaman dan dinamika
‘Islam’ di negara
kita dengan negara jiran kita
itu. Pengalaman beragama tidak
tunggal dan tidak mutlak tetapi
sangat kontekstual dan nisbi.
Tetapi aktivis Islam di negara
ini enggan mengiktirafnya.
Mereka sentiasa percaya pada
kemutlakan wahyu tanpa mengiktiraf
adanya kenisbian penghayatan
agama pada diri manusia (individu),
kelompok, masyarakat dan negara.
APB
menyimpulkan: “PAS adalah
pihak yang tertekan dan ditekan.
Mereka dikunci mulut, diikat
kakitangan. Justeru itu, tidak
adil untuk menghukum PAS dalam
situasi begitu”. Kemudian
dia bercakap tentang bom dan
Palestin dengan nada kecewa
dan patah hati.
Tidak
bersungguh-sungguh
Tenang
kawan, kita belum sampai di
peringkat itu dan malah, banyak
jalan yang belum diterokai.
Malah, jika sudah diterokai,
mungkin belum sungguh-sungguh.
Dalam
al-Quran, ada kecaman terhadap
orang yang berpura-pura beralasan
tidak mampu berhijrah ke Madinah,
dan mahu terus tinggal di
Mekah, dengan kata mereka
kaum mustadh’afin (kaum
tertindas) tetapi Allah mengecamnya
kerana pada hakikatnya mereka
tidak sungguh-sungguh berusaha
melepaskannya diri mereka
daripada belitan hidup di
kota Mekah.
Al-Quran
menganggap mereka itulah yang
menzalimi diri mereka sendiri;
mereka bukanlah mustadh’afin.
Jadi janganlah mudah-mudah
berlagak ‘tertekan dan
ditekan’ tanpa banyak
memuhasabah gerak politik
kita (aktivis dan pembangkang)
sendiri – sama ada sudah
serius atau masih banyak yang
main-main.
Jawapan
APB ini, dalam konteks wacananya
dengan saya, seolah-olah ingin
membayangkan bahawa suasana
tidak demokratik itu ‘wajar’
dijawab dengan mengamalkan
sejenis taktik tidak demokratik
yang lain. Sering aktivis
Reformasi dan pemimpin BA
(yang saya selalu berhujah
sejak 1998) menyebut ‘padang
permainan yang tidak sama
rata’ dengan maksud
tersiratnya begini.
Pandangan
seumpama ini, pada saya, akan
menjerumuskan kita semua dalam
pusaran ganas jiwa, nilai
hidup dan taktik tidak demokrasi.
Oleh itu, semakin sukarlah
kita semua melepaskan diri
daripada cengkaman yang ada.
BN
dan Umno, dibimbangkan, akan
digantikan dengan parti baru
yang sama atau lebih tidak
demokratik. Fokus saya, mengingatkan
akan ‘kemungkinan buruk’
ini.
Tetapi
sulitnya berhujah dengan PAS
dan aktivis-aktivis Islam
umumnya ialah kedangkalan
kefahaman mereka tentang demokrasi
itu sendiri. Dalam artikel
lepas, sya menyarankan agar
kedangkalan ini harus diatasi
dan menjadi tanggungjawab
mereka yang berpendidikan
bukan ulama memberi fokus
yang serius dalam isu-isu
yang saya bangkitkan terdahulu.
Dalam
al-Quran ada seruan agar ‘tidaklah
wajar semua orang Islam itu
semuanya keluar berperang,
sebilangannya harus menimba
pengetahuan agar mereka yang
berperang itu (apabila selesai
dari medan) pulang dan mempelajarinya.’
Dalam
konteks hari ini (pada kefahaman
saya), janganlah semua orang
berlagak dan berjiwa seperti
seorang ahli politik dan aktivis.
Harus ada sekelompok orang
yang tajam lagi bernas kesarjanaan
mereka; dari sinilah persoalan
kontemporari dapat dibahas
dengan lebih luas, rasional
dan tenang. - ehsan Malaysiakini.com
Nota:
Kerana keterbatasan
ruang, artikel ini tidaklah
menjawab satu persatu inti
perhujahan ‘Ahli PAS
Bangsar’ tersebut tetapi
sekadar meletakkan perspektif
umum yang menjadi tema utama
penulis kolum ini. Mungkin
di kesempatan lain, isu-isu
berbangkit tersebut boleh
dibincangkan lagi.