Malapkah
gerakan Islam?
Fathi Aris Omar
10:30am 17 Oktober 2005
Di kampus sekarang, gerakan-gerakan mahasiswa
Islam semakin sulit bergerak dan berjaya
diasak ke pinggir oleh arus baru politik
pro-pemerintah. Gelombang asakan tidak
demokratik Umno terhadap gerakan mahasiswa
Islam, termasuk menggantikan seorang demi
seorang naib canselor dengan yang pro-pemerintah
dan ‘lembik’, nampaknya sedang
memuncak.
Gerakan mahasiswa Islam – semuanya
ini pula cawangan-cawangan tidak rasmi
PAS, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
(JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia
(Abim) – belum berjaya menangkis
dan mencabar kembali arus berat sebelah
ini.
Gejala ini masih baru, seawal tahun 2000
sebagai langkah Umno melemahkan gerakan
kepembangkangan yang semakin meluas sejak
peristiwa Gerakan Reformasi 1998. Konflik
politik itu mengubah peta pakatan politik,
secara diam-diam atau terbuka, antara
tiga gerakan Islam terbesar di negara
ini.
Perkembangan gerakan Islam, termasuk
gerakan mahasiswa dakwah, pasca-1998 belum
diteliti dengan cermat. Dalam sesi forum
di sebuah laman web, UmmahOnline.com,
kelihatan cara berfikir beberapa aktivis
mahasiswa di kampus-kampus tempatan masing
lagi ‘lama’ dan ‘selanjar’
– seolah-olah tidak ada fasa-fasa
baru senario politik.
Apakah gerakan Islam sedang memasuki
era kemalapannya? Jika ‘ya’,
apakah sejumlah gejala dan faktor yang
membolehkan kita berhujah sedemikian?
Jika ‘tidak’, gerakan Islam
masih dianggap berprestasi sama seperti
tahun-tahun pasca-1998, apakah analisa
ini boleh dipertahankan?
Isu yang saya cuba bawa ini penting walau
saya tidak mempunyai data-data analisa
yang lengkap. Anggap sahaja artikel ini
sebagai satu bentuk spekulasi awal tentang
beberapa gejala yang dianggap penulis
ini sebagai bermulanya ‘zaman malap’
gerakan Islam.
Oleh itu, tulisan ini wajar sahaja dibantah
dan dipertikaikan. Namun saya berharap
kritik pada analisa saya ini dibuat dengan
penuh sedar, bukan dengan ‘sindrom
sangkalan’ (denial syndrome) yang
saya nampak sering bergayut dalam minda
aktivis-aktivis agama.
Melalui artikel-artikel saya beberapa
bulan mutakhir ini, saya cuba menyampaikan
bagaimana kualiti pemikiran dan pengolahan
wacana gerakan muda aktivis Islam. Sebetulnya
kebimbangan saya ini tidak baru, sejak
di penghujung dunia aktivisme kampus (1989-1993),
saya sudah dapat merasakan dampak negatif
program pendidikan dan indoktrinasi gerakan
mahasiswa Islam.
Waktu itu, saya melihat usrah tidak banyak
membantu menyiapkan anak-anak muda dengan
zaman yang semakin mencabar, alaf baru,
abad ke-21. Kampus kita direncanakan untuk
menyiapkan tenaga kerja ‘pasang
siap’ dengan pasaran kerja negara
ini tetapi gerakan Islam tidak menyediakan
tenaga kerjanya yang kompeten. Dampak
negatif itu juga diburukkan oleh kehilangan
tenaga dan fokus akibat perselisihan sesama
gerakan mahasiswa dakwah di kampus-kampus
(waktu itu).
Hari ini, kelihatan suasana buruk itu
tidak (atau gagal?) diperbaiki oleh gerakan
Islam. Zaman berubah pantas tetapi teks-teks
rujukan terjemahan Pustaka Salam dan Dewan
Pustaka Fajar (zaman 1980-an) masih lagi
dibaca dan dijadikan rujukan dengan bangga
dan yakin sekali!
Buku Fathi Yakan, Said Hawwa, Maududi
dan Syed Qutb masih diulang baca tanpa
mempedulikan arus intelektualisme sejagat
dan bahan-bahan baru antara 1980-an hingga
sekarang (25 tahun). Kosa kata lama dicetak
untuk menghurai realiti baru dan pesat
berubah.
Apakah yang sebenarnya terjadi? Apakah
naqib-naqib usrah kita tidak mengembangkang
fikiran-fikiran baru dengan rujukan-rujukan
terkini? Apakah mereka banyak menghabiskan
masa dalam percaturan politik sepanjang
pasca-1998 yang keras, menekan dan tegang?
Dalam satu artikel, tidak lama dulu,
saya menulis: “Artikel-artikel yang
ditulis oleh Dr Haron Din, Dr Dzulkifli
Ahmad, Dr Lo’ Lo’ Mohamad
Ghazali, Dr Danial Zainal Abidin, Dr Shafie
Abu Bakar, Dr Siddiq Fadzil dan Khalid
Jaafar [masih sangat lemah].
“Orang-orang tua gerakan Islam
ini – dalam isu ‘Islam Liberal’
– menjadi seumpama rungutan Dr Mahathir
pada puntung-puntung rokok di Kuala Lumpur
dalam mesyuarat kabinet! Orang-orang tua
terpaksa berkerja keras apabila anak-anaknya
gagal menjalankan tugas dengan berkesan.
Padahal, bukankah anak itu mangsa sosialisasi
bapanya?
“Tulisan-tulisan setaraf pelajar
STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia)
terpaksa disediakan oleh pemimpin-pemimpin
besar ini (yang dinyatakan namanya di
atas). Sementara kerja anak-anak muda
aktivis agama pula mengecam dan mencela
musuh-musuh politik yang berseberangan
ideologi dengan wacana agama mereka (khususnya
di Internet), bukan membahaskan isu-isu
dengan ungkapan dan debat teori yang mendalam.”
Apakah contoh-contoh tulisan yang buruk
ini ditiru dan disebarkan kembali oleh
anak-anak muda gerakan Islam? Kenapa mereka
(anak muda) tidak mengkaji sendiri? Kenapa
harus bergayut pada analisa orang tua
gerakan Islam, walau sudah lemah dan selekeh?
Saya juga mempersoalkan kenapa kualiti
berhujah di Internet – sama ada
melalui laman-lawan web, blog-blog dan
forum-forum siber – begitu dangkal,
main-main, sendat emosi dan gagal memindahkan
pengetahuan baru yang mematangkan fikiran.
Lihat sahaja perbezaan antara dua forum
ini, Tranungkite.net (milik PAS
Dungun, Terengganu) dengan AstoraJabat.com
(terbuka kepada semua tetapi cenderung
disertai oleh mereka yang berfikiran kritis-liberal).
Mereka yang matang dan sedar akan segera
menghindari ruang-ruang debat yang selekeh
ini.
Saya sebenarnya tidak jelas kelompok
manusia di belakang forum-forum dan tulisan-tulisan
di alam siber. Boleh jadi mereka aktivis
muda (mahasiswa) dan boleh jadi mereka
sudah memasuki usia 30-an dan 40-an. Tetapi,
yang nyata, kualiti dan persembahan hujah
mereka itu rata-ratanya tidak boleh dihormati.
Lambat-laun, kita akhirnya menyebarkan
pemikiran yang selekeh dan cincai-cincai
ke dalam pemikiran pencinta agama. Di
hujungnya, pemikiran aktivis agama jatuh
ke belakang berbanding (bukan dengan penyokong
Umno) tetapi kelompok terpelajar yang
rasional, kritis dan terbuka.
Bagaimana mungkin masyarakat yang semakin
terpelajar dan terdedah kepada informasi
sejagat (pastinya, mereka bukan majoriti)
dapat menghormati idealisme dan penghujahan
aktivis agama (sama ada muda atau tua)
jika keadaan ini (kerendahan mutu hujah)
berlanjutan?
Dalam artikel yang lain pula, saya menulis:
“Islam di Malaysia, khususnya kerana
sudah 'capek' sejak era kebangkitan 1970-an,
telah bertukar wajah menjadi gergasi gendut
ini. Ia sudah tidak dinamik dan tidak
lagi berdaya saing (budaya dan akal).
“Ia tidak mampu regeneratif (tumbuh
tunas lagi) - sebab itulah generasi muda
mereka, termasuk anak-anak aktivis Islam
generasi 1970-an, tidak lebih baik (malah,
merosot!) daripada mereka sewaktu mula-mula
mengusung idealisme ini.
“Anak-anak muda yang menyertai
arus Islam saat ini menjadi 'tua' sebelum
masanya! Mereka cepat dogmatik dan fanatik,
tidak mengkaji lagi dan tidak kritis sama
sekali. Semuanya, di sisi generasi muda
mereka, sudah beres.
“Bukan sahaja kefahaman Islam saat
ini dianggap sudah mantap, malah cara
bergerak dan budaya kelompok (dengan segala
cacat celanya) dalam organisasi mereka
juga dikira 'sudah beres'. Anak-anak muda
hanya mengikut dan mewarisi apa-apa yang
telah diterokai sejak tiga dasawarsa lalu,
1970-an.
“Baik atau buruk, maju atau mundur,
lemah atau kuat - mereka ikut sahaja seperti
seorang pekak dan buta. Apa lagi yang
boleh dilakukan oleh generasi muda yang
tidak kritis ini selain membenarkan hidung
dicucuk?
“Sebab itu, bahasa wacananya bahasa
lama, tiada kosa-kosa kata baru muncul.
Diulang tayang dan dikitar semula yang
lama-lama itu kerana pemikiran kelompok
sudah membeku. Cara berfikir baru, sisi
baru melihat sesuatu (yang lama), pastilah
membiakkan bahasa baru kerana paradigma
baru tidak mungkin diungkapkan sepenuhnya
dengan kosa-kosa kata lama yang mengendong
konsep atau sisi pandang yang lama (sedia
ada).
“Lagipun, apakah orang muda ini
tahu menilai perbezaan 'yang lama' dan
'yang baru' itu? Generasi muda rata-ratanya
masih 'mentah' - soal 'baru' atau 'lama'
bukan dalam kamus fikirannya. Kecuali
digegerkan oleh mereka yang sudah berpengalaman
dan jujur melihat realiti sekarang. Tetapi
hal itu tidak mungkin disebarkan oleh
orang-orang tua dalam gerakan 'Islam tanpa
masalah' saat ini.”
Anggap sahaja saya salah atau lemah menganalisa
gejala ini, gejala ‘kemalapan’
gerakan Islam pasca-1998 yang zaman politiknya
(nasional) semakin keras, tertutup dan
tidak demokratik. Anggap sahaja analisa
saya tentang ketertutupan politik nasional
sepanjang 1998-2005 tidak sepenuhnya kuat
dan benar.
Tetapi bayangan mutu hujah dan tulisan
yang muncul di Internet itu apa sebenarnya?
Kenapa sulit sekali, contohnya, mencari
tulisan bermutu dalam tempoh kontroversi
dan polemik ‘Islam Liberal’
baru-baru ini? Di internet itu, ‘jembalang’
hujah apakah yang dapat kita analisa dan
tangkap untuk dijadikan asas ukuran mutu
pemikiran (agama)?
Seingat saya, ada dua sahaja artikel
yang cemerlang dan kedua-dua penulisnya
berusia awal 30-an, Mohd Rumaizuddin Ghazali
(Abim) dengan judul ‘Aliran-aliran
pemikiran Islam di Malaysia’ dan
Shamsul Iskandar Mohd. Akin (Parti Keadilan
Rakyat) ‘Masyarakat, negara dan
makna undang-undang’
Apakah yang sebenarnya menunggu kita
di depan, 15 dan 20 tahun ke depan? Selepas
berakhir generasi Anwar Ibrahim, Abdul
Hadi Awang dan Saari Sungib, siapkah kita
semua (yang percaya pada idealisme agama)
mendukung amanah berat ini?
---------------------
Nota: Artikel ini
sebahagian kritik dan analisa penulis
ini sejak beberapa siri artikelnya dalam
kolum ‘Tiada Noktah’ di laman
web Malaysiakini.com, misalnya ‘Kegagalan
mentor agama’, ‘Pergelutan
antara dua wajah Islam’, ‘Ancaman
pembiusan agama’, ‘Islam Liberal
wacana terdesak’ dan ‘Agama
boleh ‘ancam’ Melayu’
(majalah al-Islam, Jun 2005).