Seni
politik dan politik seni
Haris
Zalkapli
hariszalkapli@gmail.com
09:30am 05 Ogos 2005
"[E]ven
those formerly aloof from popular culture
- the rural population on one hand and
the highly educated on the other - are
somehow affected." - Theodor
Adorno
Tepat
jam 12 tengah malam, 1 Ogos 1981, saluran
muzik popular MTV lahir menemui penonton
dengan tayangan muzik video pertama Video
Killed the Radio Star oleh kumpulan
The Buggles. Tema lagu ini menerangkan
segalanya tentang muzik dan televisyen
di era baru televisyen yang muncul bersama
MTV; suara yang baik sahaja tidak mencukupi.
Televisyen memerlukan lebih daripada suara,
malah ada kalanya suara menjadi semakin
kurang penting berbanding imej dan persona
seseorang artis.
Pemilihan
muzik video itu oleh MTV mudah untuk difahami.
Era baru televisyen menyaksikan dominasi
imej melalui televisyen, yang "membunuh
bintang radio." Dan tajuk album kumpulan
The Buggles pada waktu itu, The Age of
Plastics, juga menerangkan sesuatu yang
penting dalam era ini (album kedua kumpulan
ini pula bertajuk Adventures in Modern
Recording.)
Era
televisyen ini juga menerangkan fenomena
Mawi dalam rancangan Akademi Fantasi di
negara kita. Mawi muncul dengan satu imej
yang dapat difahami oleh sejumlah besar
rakyat Malaysia. Beliau dikaitkan dengan
hiburan mengandungi "mesej dakwah,"
remaja contoh dan banyak lagi perkara
positif. Boleh dikatakan imej dan persona
inilah yang menyumbang kepada popularitinya
di kalangan rakyat Malaysia. Dan hari
ini beliau sudah pun disebut sebagai mampu
dijadikan contoh remaja Malaysia oleh
pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan
Malaysia, Prof Madya Saliha Hassan.
Reaksi
terhadap Mawi dan Akademi Fantasia juga
terjadi sedemikian kerana hal ini ialah
satu ciri era televisyen. Bayangkan sekiranya
Akademi Fantasi berlangsung di radio,
adakah rancangan "radio realiti"
itu mampu mengundang reaksi yang sama?
Radio tidak mampu menonjolkan sensasi
yang hanya dapat dinikmati melalui televisyen.
Fenomena
Mawi ini - dan juga rancangan televisyen
realiti Akademi Fantasia - merupakan satu
megaspectacle, fenomena yang
disifatkan oleh profesor media Douglas
Kellner dari University of California,
Los Angeles sebagai satu spectacle media
yang menjadi acara yang mentakrifkan zamannya.
Kegilaan terhadap Mawi dan Akademi Fantasia
menyatukan tiga generasi sesebuah keluarga,
menjadi aktiviti keluarga setiap Sabtu,
dan berjaya menempatkan dirinya di tengah-tengah
aktiviti sejumlah besar warga Malaysia
hari ini.
Akademi
Fantasia juga merupakan satu microcosm
kehidupan - termasuk politik - masyarakat
negara kita. Pelbagai sentimen, termasuk
sentimen perkauman pernah mempengaruhi
pengundi sms rancangan ini. Parti-parti
politik juga tidak terkecuali daripada
memberi perhatian terhadap Akademi Fantasia,
sama ada melibatkan pengundian atau memberi
pandangan tentang implikasi sosial rancangan
ini.
Apapun
nilainya seperti yang dilihat beberapa
pemimpin PAS (tetapi kemudian turut dikritik
Puteri Umno dan Timbalan Perdana Menteri
Najib Razak), populariti Akademi Fantasia
merentasi sempadan parti, seperti juga
Desperate Housewives di Amerika Syarikat
yang popular di negeri-negeri Kristian
konservatif dikuasai Republikan.
Tetapi
perhatian parti politik tidak terhenti
setakat itu sahaja, membuktikan budaya
popular yang dekat dengan semua lapisan
masyarakat akan ditumpang popularitinya
oleh pemain politik. Kini Putera Umno
dikhabarkan ingin menarik Mawi menyertai
gerakan itu, walaupun program televisyen
realiti dikritik Timbalan Perdana Menteri.
Parti Keadilan Rakyat pula, melalui akhbarnya
Suara Keadilan menobatkan Mawi sebagai
"anak reformasi."
Di
Britain sewaktu zaman kegemilangan The
Beatles, kedua-dua parti Konservatif dan
Buruh cuba menumpang populariti kumpulan
itu dengan memberi pujian dan pingat,
tulis pengkaji politik John Street dalam
bukunya Politics and Popular Culture.
Suatu ketika dulu di negara kita sendiri,
populariti Siti Nurhaliza pernah cuba
ditumpang beberapa tokoh politik, bermula
dengan Puteri Umno. Nama Siti Nurhaliza
juga banyak disebut dua tokoh politik
dari parti bertentangan; Anwar Ibrahim
dalam perhimpunan agung Umno dan Muhammad
Sabu dalam ceramahnya. Parti pemerintah,
tidak lama sebelum pilihan raya, cuba
"memujuk" rakyat menggunakan
Siti Nurhaliza dalam satu sambutan kemerdekaan.
Siti
tidak semena-mena berada di tengah-tengah
permainan politik kepartian Malaysia pada
waktu itu. Ketua penerangan parti Keadilan
pada masa itu, Ruslan Kassim bersuara
mengkritik tindakan menggunakan Siti untuk
kepentingan parti pemerintah dan dilaporkan
menyeru album Siti diboikot. Akibatnya,
Ruslan dan parti Keadilan dikecam banyak
pihak, terutama peminat fanatik Siti dan
komuniti budaya popular Malaysia, mengakibatkan
kos politik yang agak besar.
Terbaru,
Siti diklaim hak milik oleh sekumpulan
rakyat Indonesia, yang mendesak Malaysia
diganyang, tetapi Siti perlu diselamatkan.
Tindakan
berkonfrontasi dengan budaya popular jarang
memberi faedah kepada parti politik. Di
Amerika, kecaman seorang pemimpin Parti
Republikan terhadap "keruntuhan moral"
yang dibawa budaya popular negara itu
menjauhkan parti konservatif itu daripada
golongan muda. Kemudian, dengan bantuan
program Rock the Vote oleh MTV,
Republikan kecundang dalam pilihan raya
ketika itu. Bill Clinton yang lebih pop
dan populis muncul sebagai pemenang. Di
negara kita, pengalaman Ruslan itu mungkin
boleh dijadikan contoh. Dan PAS yang sering
berdemonstrasi menentang konsert juga
menjauhkan dirinya daripada generasi muda
dan sebahagian besar rakyat Malaysia.
Mawi
mudah sekali untuk menjadi rebutan parti
politik di Malaysia. Kenyataan Saliha
yang mengaitkan Mawi dengan reformasi
telah pun digunakan oleh PKR. Klaim oleh
PKR ini mungkin akan mengundang tindak
balas Umno.
Ada
yang menyarankan agar Mawi tidak dipolitikkan
oleh mana-mana pihak. Tetapi realitinya,
sejak awal lagi Mawi telah pun berada
di tengah-tengah permainan politik negara.
______________
Nota: Versi lain
artikel ini disiarkan dalam akhbar Siasah
keluaran pertama.