Menunggu
reformasi era Abdullah
Haris Zalkapli
11:50am
20 Ogos 2005
Sejak beberapa tahun lalu, melalui kempen
politik dan ketenteraan George W Bush,
Amerika Syarikat melaksanakan apa yang
disifatkan sebagai penyebaran demokrasi
di Timur Tengah. Beberapa negara dijadikan
sasaran; Iraq, Syria, Lubnan dan Iran,
yang melalui tekanan baru apabila pembangunan
nuklear negara itu turut dijadikan isu
utama.
Bagaimanapun, Washington secara sengaja
mengabaikan negara yang paling memerlukan
demokrasi di rantau itu; Arab Saudi. Negara
ini, yang dikunjungi jutaan Muslim seluruh
dunia setiap tahun untuk mengerjakan haji,
dibelenggu krisis demokrasi yang parah
- seperti juga negara Arab kaya minyak
di sekitarnya, walaupun pada tahap berbeza
- dan seolah-olah terlindung dari perhatian
dunia.
Kini, berikutan pertabalan Abdullah bin
Abdul Aziz sebagai raja baru negara itu
menggantikan Raja Fahd bin Abdul Aziz
al-Saud, persoalan reformasi dan demokrasi
di negara sentral umat Muslim dunia itu
mula menjadi perhatian. Abdullah selama
ini dikenali sebagai pemimpin yang mendepani
reformasi negara itu, walaupun pada had
tertentu. Tidak lama dulu, satu pilihan
raya majlis kerajaan tempatan berjaya
diadakan, menjadi simbol terbaru reformasi
Abdullah dan mendapat liputan meluas media
antarabangsa.
Selepas rasmi menjadi pemerintah Arab
Saudi, Abdullah kini diharapkan membawa
perubahan di negara konservatif itu. Soalnya
kini, benarkah Abdullah bersedia dan mampu
melaksanakan janji-janjinya? Bolehkah
norma yang telah kukuh di negara itu diubah
oleh seorang pemimpin, dan bersediakah
negara penjaga dua masjid suci itu berdepan
risiko menjejaskan hubungan baik dengan
pelindungnya, Amerika?
Tuntutan reformasi
Pada Januari 2003, sekumpulan 104 rakyat
prihatin - termasuk intelektual, wanita,
pekerja dan pelbagai kelompok agama -menandatangani
satu petisyen menuntut reformasi perlembagaan,
ditujukan kepada Abdullah yang ketika
itu putera mahkota. Petisyen yang mendapat
perhatian itu menuntut perkara yang telah
lama diidamkan ramai rakyat Arab Saudi,
antaranya jaminan hak sivil dan hak wanita
dan pilihan raya untuk jawatan majlis
syura, penasihat kerajaan Arab Saudi.
Beberapa petisyen lain turut diserahkan
kepada Raja Fahd, menuntut perkara yang
sama. Awal 2004, sebuah petisyen menuntut
reformasi perlembagaan sekali lagi diserahkan
kepada kerajaan. Tidak lama kemudian,
ramai yang menandatangani petisyen itu
ditahan pihak berkuasa.
Tuntutan seperti ini bagaimanapun mudah
untuk ditolak kerana dikaitkan dengan
tuntutan reformasi yang sama dari Washington.
Kumpulan yang mendesak reformasi secara
simplistik dituduh menjadi agen asing,
sedangkan tuntutan perubahan datang dari
pelbagai kumpulan, termasuk kelompok liberal
dan konservatif yang bertentangan. Arab
Saudi berdepan pelbagai tuduhan pencabulan
hak asasi manusia dan tekanan luar mendesak
masyarakat yang lebih terbuka semakin
jelas didengari di seluruh negara, perkembangan
yang kadang-kala dikaitkan dengan keterbukaan
Abdullah yang telah menjadi pemimpin de
facto sejak 1995 apabila Raja Fahd diserang
strok.
Abdullah bagaimanapun bukan satu–satunya
tokoh dikaitkan dengan tuntutan reformasi.
Satu kelompok yan digelar "putera–putera
reformasi" terdiri daripada antaranya
Putera Talal bin Abdul Aziz dan anaknya
Walid. Kumpulan anak–anak Raja Faisal
juga dilihat sebagai bersih dan mampu
membawa agenda perubahan.
Tuntutan reformasi bagaimanapun tidak
dapat dibahagikan hanya kepada dua kumpulan;
penyokong dan kumpulan yang menyokong
status quo. Pertembungan di kalangan ahli
keluarga diraja - dianggarkan seramai
sekitar 3,000 orang dengan persaingan
lima kumpulan paling berpengaruh - merumitkan
keadaan, dengan setiap kumpulan memiliki
tuntutan reformasi masing-masing dan memiliki
ramai penyokong dan pengikut. Semua kelompok
rakyat, termasuk golongan ortodoks, Muslim
Sunni dan Syiah menuntut pelbagai bentuk
reformasi.
Dunia yang lebih terbuka, sebahagiannya
disebabkan internet, telah membuka mata
rakyat Arab Saudi kepada dunia luar dan
membantu penyebaran versi lain kisah dinasti
Saud dan realiti politik negara itu. Perbincangan
tentang politik negara, yang pasti akan
melibatkan diskusi kritikal terhadap pemerintah
monarki negara itu semakin mudah untuk
diadakan, walaupun sekatan masih wujud.
Setakat ini, kritikan seperti ini masih
lagi sebahagian besarnya berbentuk petisyen
kepada pemerintah.
Bagaimanapun, beberapa demonstrasi telah
berjaya diadakan di bandar-bandar besar
seperti Jeddah dan Buraydah. Pihak berkuasa
bertindak segera menahan mereka yang terbabit,
seperti yang biasa dilakukan terhadap
penentang kerajaan.
Masalah seperti pengangguran terus menjadi
salah satu isu utama melibatkan golongan
muda, satu segmen yang berkepentingan
besar dalam politik negara kaya minyak
itu. Generasi muda Arab Saudi semakin
berupaya melihat kekurangan pemerintahan
negara mereka dan mahu melihat reformasi
terlaksana. Antara yang menjadi tuntutan
rakyat negara itu ialah pengagihan yang
lebih adil hasil minyak kepada rakyat.
Pengurusan hasil minyak Arab Saudi dijejaskan
oleh salah urus, korupsi dan kronisme
keluarga monarki.
Tuntutan yang berleluasa itu jelas tidak
dapat disembunyikan lagi. Pada Disember
2003, Mohammed Ibrahim al-Helwa, seorang
ahli majlis syura menulis dalam akhbar
milik kerajaan, Al-Sharq al-Awsat bahawa
negara-negara Arab telah mengabaikan modenisasi
politik sehingga menyukarkan kewujudan
masyarakat sivil. Tulisnya, tuntutan ke
arah masyarakat sivil tidak boleh diabaikan
lagi.
Politik agama
Walaupun dari luar dilihat sebagai negara
Islam unggul, dari satu sudut Arab Saudi
ialah sebuah negara sekular. Hasil daripada
pakatan keluarga Saud dengan Muhammad
Abdul Wahhab – pemimpin gerakan
Muwahidun, tetapi lebih dikenali sebagai
Wahabi – hal politik diserahkan
sepenuhnya kepada kepada raja sehingga
menyebabkan ulama tunduk kepada kehendak
kerajaan. Di peringkat yang lebih tinggi,
jauh daripada apa yang dilihat di Mekah,
jelas sekali agama dan politik terpisah.
Ulama rasmi kerajaan bergantung kepada
kerajaan dan menyokong tindakan pemerintah,
termasuk membenarkan Amerika menubuhkan
pangkalan tentera ketika perang Teluk
awal 1990-an dan mengharamkan demonstrasi
menentang kerajaan. Pemerintah Arab Saudi
menggunakan hujah agama untuk memberikan
justifikasi segala tindakan politiknya.
Tindakan menerima penempatan tentera Amerika
itu menjadi satu peristiwa yang menyatukan
penentang kerajaan dari pelbagai kumpulan.
Pemerintah Arab Saudi tergugat apabila
dikritik gagal menjadi pelindung agama,
hujah yang sentiasa digunakannya untuk
mengukuhkan keabsahan pemerintahan.
Ulama yang bergantung kepada kerajaan
menjelaskan tindakan kerajaan itu, dan
memberi alasan membenarkan kerjasama dengan
Amerika. Kelompok rakyat yang kritikal
terhadap kerajaan menolak justifikasi
itu. Di masjid-masjid, terutama ketika
khutbah Jumaat, pelbagai pandangan alternatif
dikemukakan, dan tentangan terhadap pandangan
ulama kerajaan itu ditentang dengan jelas.
Pengaruh kelompok ulama bebas ini juga
semakin meluas dan diterima lebih ramai
rakyat berbanding pandangan ulama kerajaan.
Berikutan tentangan terhadap pandangan
agama rasmi, kerajaan bertindak keras
menahan dan memenjarakan ulama terbabit,
yang aktif mengemukakan pandangan balas
terhadap justifikasi kerajaan.
Kelompok yang lebih radikal, yang personifikasinya
muncul dalam bentuk Osama bin Laden, mengajak
penentangan yang lebih radikal terhadap
monarki Arab Saudi, termasuk jihad menentang
kerajaan yang bersahabat dengan Amerika.
Bagi kelompok ini, kerajaan Arab Saudi
telah mengkhianati agama apabila bekerjasama
dengan Amerika yang hanya menjaga kepentingannya
berkaitan minyak.
Tindakan kerajaan Arab Saudi yang menghabiskan
berbilion dolar setiap tahun membeli senjata
dari Amerika mengukuhkan pandangan kelompok
tersebut. Kerajaan dikecam kerana membazirkan
wang hasil minyak berbilion dolar untuk
peralatan ketenteraan dan bukan untuk
kepentingan umat.
Agama jelas menyukarkan pemerintah Arab
Saudi. Di satu pihak, Osama dan kumpulan
salafi menentang tindakan kerajaan mempergunakan
agama, di satu pihak lagi, hukuman hudud
- sesuatu yang dilihat sebagai mengukuhkan
imej pemerintahan Islam Arab Saudi - yang
dilaksanakan turut dikecam, bukan sahaja
di dalam negeri tetapi juga oleh pihak
luar seperti Amerika dan kumpulan hak
asasi manusia antarabangsa.
Perlindungan Amerika
Sejurus peristiwa 11 September, 2001,
hubungan Washington dan Riyadh melalui
satu ujian penting. Pada Julai 2001, Laurent
Murawiec, penganalisis dari Rand Corporation,
sebuah kumpulan pemikir berhaluan kanan
mengemukakan satu analisis kepada penasihat
tentera Amerika. Analisis itu menyebut
Arab Saudi sebagai penyokong dan penyebar
fahaman yang mendasari serangan 11 September
ke atas New York dan Washington.
Menurut laporan itu, Arab Saudi "aktif
di setiap peringkat rantaian keganasan",
daripada pembiaya dan perancang sehingga
pelaksana. Laporan itu disambut dengan
hebat di media Amerika. Perbincangan kritikal
terhadap Arab Saudi berlaku di semua media.
Laporan mengenai rekod hak asasi manusia
pemerintah Arab Saudi juga menerima reaksi
terburu-buru. Pihak neokonservatif, Kristian
fundamentalis dan feminis juga mendesak
Washington menyerang negara Arab itu,
dengan alasan untuk membebaskan rakyatnya.
Washington bagaimanapun segera menolak
pandangan kritikal terhadap pemerintah
Arab Saudi, memperlihatkan kepentingan
besarnya di negara pengeluar minyak terbesar
dunia dan sekutu utamanya di Timur Tengah
itu.
Pendirian teguh Amerika ini bagaimanapun
dikongsi oleh pemerintah Arab Saudi, yang
berdiri teguh di belakang kuasa besar
itu dalam kempen ketenteraan "menentang
terorisme." Amerika menutup mata
terhadap pencabulan hak asasi manusia
yang dilakukan pihak berkuasa Arab Saudi
dalam usaha memerangi kelompok yang didakwa
terlibat atau mempunyai kaitan dengan
beberapa pengeboman di lokasi yang dikaitkan
dengan hubungan baik Riyadh dengan Washington
pada 2003.
Menurut wartawan Subhi Hadidi dalam tulisannya
di akhbar Al-Quds al-Arabi pada November,
2003, dalam operasi pihak keselamatan
Arab Saudi itu, selama enam bulan, lebih
600 orang ditahan manakala puluhan lagi
dibunuh. Jelas Subhi, kesemua ini berlangsung
dengan pengetahuan Amerika, yang terus
memuji apa yang disifatkan sebagai langkah
keselamatan itu.
Menurutnya lagi, pencabulan hak asasi
manusia itu tidak berakhir di situ. Pihak
Biro Siasatan Persekutuan Amerika juga
diberikan kebenaran tanpa had untuk pergi
ke mana-mana tempat di negara itu dan
menyoal siasat sesiapa sahaja.
Banyak pihak melihat serangan tersebut,
yang semakin kerap berlaku sebagai tindak
balas kepada peningkatan kerjasama Riyadh
dengan Washington. Dua serangan bom yang
berlaku juga menerangkan sesuatu mengenai
tentangan terhadap Amerika dan pemerintahan
autoritarian Arab Saudi.
Pada November 1995, satu serangan telah
ditujukan kepada tentera Pengawal Kebangsaan
Arab Saudi dan kakitangan Vinnell Corporation,
sebuah firma tentera upahan yang dibayar
untuk melatih Pengawal Kebangsaan, tentera
pelindung Dinasti Saud yang berada di
bawah pimpinan Abdullah. Dalam satu serangan
pada Mei 2003, sembilan pekerja Vinnell
terbunuh. Tahun 2003 bagaimanapun turut
menyaksikan pengunduran tentera Amerika
dari Arab Saudi, selepas ia menolak untuk
membantu serangan ke atas Iraq.
Perlindungan daripada Amerika melibatkan
Vinnell hanyalah satu bahagian kecil.
Arab Saudi melihat Amerika syarikat sebagai
pelindung negara itu, yang paling jelas
dilihat selepas Iraq menakluk Kuwait pada
1990. Minyak dijadikan bayaran untuk perlindungan
yang diberikan.
Antara kebimbangan terbesar Arab Saudi
ialah revolusi di Iran pada 1979. Perlindungan
Amerika diharapkan untuk menghalang pengaruh
revolusi itu - yang telah berjaya menjatuhkan
pemerintah zalim - daripada sampai ke
Arab Saudi. Sebelum itu, Arab Saudi juga
melihat beberapa negara berpengaruh di
Timur Tengah sebagai ancaman, iaitu Iraq
dan Jordan pada 1940-an dan Mesir di bawah
pemerintahan Jamal Nasir pada 1950-an.
Perlindungan Amerika membolehkan Arab
Saudi kekal dilihat sebagai negara paling
berpengaruh di Timur Tengah. Tindakan
Amerika terhadap Iraq dan Iran juga secara
tidak langsung mengekalkan kedudukan selesa
Arab Saudi di Timur Tengah, terutama sebagai
pengeluar minyak.
Sekiranya demokrasi terus dihalang, cengkaman
Keluarga Saud pasti akan mengundang pelbagai
bentuk tentangan – yang jelas semakin
keras dan radikal – daripada pelbagai
segmen rakyat Arab Saudi yang dahagakan
perubahan.
Apa pun yang dijanjikan Abdullah sebelum
menduduki takhta, penilaian sebenar hanya
akan dapat dibuat apabila usaha yang konkrit
dilaksanakan. Bagaimanapun, berdasarkan
beberapa tindakan kerajaan, seperti tindakan
keras terhadap demonstrasi menuntut perubahan
dan mempergunakan institusi mufti untuk
mengharamkan demonstrasi, sokongan terhadap
agenda Amerika dan kekangan terhadap hak
asasi manusia, sukar untuk dijangkakan
perubahan akan berlaku, atau akan cuba
dilaksanakan.