Black metal dan manifestasi kuasa

Haris Zalkapli
10:30 04 Jan 2006

Malaysia, seperti negara-negara membangun lain di seluruh dunia, sedang berdepan banyak masalah yang menggugat integriti tanah air, seperti rasuah, peningkatan kos hidup rakyat, pencemaran alam sekitar, dan berpuluh lagi masalah yang sentiasa menghambat kehidupan warga negara ini. Satu tajuk besar dalam masalah negara ini ialah penyakit sosial. Tetapi, sejak kebelakangan ini, satu gejala memegang monopoli masalah sosial negara kita; black metal.

Entah kenapa, black metal mendapat perhatian khusus media arus perdana, dan kumpulan-kumpulan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Hal ini bukan pertama kali berlaku di negara kita. Seingat saya, sekitar 20 tahun lalu, masalah yang diletakkan di kedudukan penting ini ialah artis rock lelaki berambut panjang.

Sama ada pihak berkuasa benar-benar serius ingin membasmi gejala ini tidak dapat dipastikan. Mungkin, tidak lama selepas ini, masalah ini akan berlalu begitu sahaja, sama seperti penyakit sosial bermusim yang digembar-gemburkan media utama negara kita.

Dari satu sudut, perhatian terhadap black metal ini satu manifestasi kuasa pihak pemerintah. Pihak yang memegang kuasa menunjukkan kehadiran dan kekuasaannya, dan menunjukkan wujudnya satu masalah dalam negara yang perlu ditangani. "Kempen" ini, apabila dilakukan dengan berkesan, berupaya mengukuhkan autoriti pihak pemegang kuasa. Tambahan pula, hampir semua kumpulan masyarakat, termasuk kumpulan-kumpulan Islam, mengutuk dengan lebih hebat gejala ini berbanding pihak berkuasa.

Malang bagi peminat black metal - seperti juga peminat "rock kapak" 20 tahun lalu - imej mereka bukahlah sesuatu yang senang dilihat orang ramai. Sekaligus, tindakan memangsakan mereka dapat dilakukan dengan mudah, tanpa ada sesiapa pun yang sudi mengamati persoalan ini dengan lebih mendalam. Berdasarkan wajah-wajah black metal yang dikemukakan, yang disimbolkan sebagai kejahatan, mudah sekali mitos berkaitan golongan ini diterima bulat-bulat oleh masyarakat.

Peminat black metal diletakkan dalam satu kategori berasingan (seperti the others) daripada masyarakat Malaysia, yang padanya juga wujud masalah yang tidaklah lebih kecil daripada black metal. Profil yang diberikan oleh media kepada kumpulan ini diterima umum sebagai satu yang seragam, iaitu semua peminat black metal bermasalah, meminum darah kambing, menghina agama dan memuja syaitan.

Hakikatnya, black metal hanyalah satu tajuk kecil di bawah tajuk yang lebih besar konflik budaya masyarakat Malaysia, terutama orang Melayu. Perhatian agak berlebihan kepada satu masalah kecil ini (daripada satu kumpulan masalah yang besar) memperlihatkan kelemahan pihak terlibat menanggapi isu yang dikemukakan.

Kita sememangnya lebih mudah memberi perhatian kepada simbol berbanding melihat secara lebih luas dan mendalam. Pandangan saya, wajah "syaitan" black metal lebih mudah mengundang respons, walaupun gejala sosial lain tidak lebih parah berbanding black metal, cuma tidak ada simbol jahat yang dapat dikemukakan seperti black metal.

Jika diamati dengan lebih teliti, dapat dilihat bahawa tidak pernah ada dasar dan tindakan yang konsisten oleh pihak berkuasa terhadap muzik dan hal-hal berkaitannya. Dan tindakan seperti menangani isu seperti black metal ini kelihatan sebagai hanya sekadar perbezaan cita rasa antara generasi.

Awal 2001, seorang pemimpin negara yang terkenal dengan kritikannya terhadap apa yang disifatkannya sebagai serangan budaya negatif Barat telah menyuarakan kritikannya terhadap kerendahan moral seorang penyanyi rap Amerika, Eminem. Beliau mengecam lirik penyanyi tersebut yang antaranya secara grafik menceritakan tentang satu tindakan ganas, merujuk kepada lagu Eminem yang popular ketika itu, Stan.

Bagaimanapun, pada masa sama, anak beliau, seorang aktivis liberal, tidak berkongsi pandangan itu. Dalam satu tulisannya, beliau memperlihatkan sikap liberal terhadap muzik, termasuk Eminem dan lagu Stan. Dan hal ini tidak hanya berlaku kepada pemimpin itu dan keluarganya sahaja.

Remaja yang 30 tahun lalu berimej hippie dan berambut panjang, serta menikmati muzik artis seperti John Lennon - yang didasari falsafah humanisme - hari ini turut bercakap soal moral (dan agama) dan ancaman budaya asing yang mencabar masyarakat hari ini.

Satu isu penting persoalan ini ialah moral. Malangnya, moral sering dijadikan alat kuasa pihak yang memiliki kuasa, dan sering kali akhirnya isu sebenar tidak ditangani. Isu moral bukan hanya melibatkan orang muda, dan tidak juga hanya wujud sekitar muzik dan hiburan. Kita tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah sekiranya masih gagal melihat sesuatu isu secara holistik.

 
Haris Zalkapli, wartawan dan pengamat isu antarabangsa. Menulis sebahagian besarnya mengenai politik antarabangsa, tetapi turut memerhatikan dunia budaya popular global dan interaksinya dengan politik, terutamanya Amerika Syarikat. Kolum Vox-Pop.tv (ringkas kata dari Vox Populis) cuba membawa pembaca melihat budaya popular melalui perspektif yang berbeza. Beliau boleh di hubungi melalui hariszalkapli@gmail.com