Siapa
dapat pengaruhi masadepan politik Anwar?
Ahmad
Lutfi Othman
11:30pm 08 Sept 2004
Ketika
menunggu keputusan rayuan Datuk Seri Anwar
Ibrahim di depan Istana Keadilan, pagi Khamis,
2 September lalu, saya bersama ratusan yang
lain mengharapkan satu jawapan pasti ke
atas seribu satu pertanyaan dalam satu proses
perundangan yang cukup tercemar dan memalukan,
hanya kerana mahu mengiakan kemahuan ‘sang
diktator tua’
Sebaik saja diumumkan khabar gembira bahawa
Anwar dibebaskan serta-merta, rupanya sedia
terbentang pelbagai persoalan baru –
meninggalkan jawapan yang ditunggu sejak
sekian lama -- yang mengundang polemik tentang
masa depan bekas Timbalan Perdana Menteri
yang teraniaya itu. Gosip politik kian panas.
Bukan
saja rakyat, malah dunia pun terkedu,
walaupun dua minggu sebelum itu sudah
dilayangkan berita majoriti hakim akan
memihak Anwar. (Masing-masing menangguhkan
tarikan nafas lega mengenangkan ada usaha
intensif membabitkan pihak tertinggi untuk
merubah keputusan hakim itu).
Berpelukan
Hadirin
yang sabar menunggu sejak awal pagi berpelukan
mendengar berita kemenangan. Lidah tidak
perlu berbicara kerana semuanya berkongsi
rasa syukur tidak terhingga.
Apabila
saya dan isteri memasang telinga bagi
mempastikan apa yang menyebabkan suasana
kerap bergemuruh dengan tepukan, aktivis
reformasi, Zunar melaungkan, “kalaupun
tak dengar, tepuk saja … semuanya
khabar gembira.”
“Sudah
lama kita tidak mendengar berita baik,”
bisik Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, selepas
kami saling berpelukan. “Sekurang-kurangnya
mengubat kepedihan pilihanraya lalu,”
kata teman di sebelah.
Seorang
yang tidak dikenali meluru mengucapkan
“terima kasih!” Menyedari
saya termangu-mangu seperti tidak mengerti
mengapa perlu menerima lafaz itu, beliau
berkata, “Tak apa, tak apa, terima
kasih saja, banyak yang telah saudara
lakukan.”
Merasa
kecil dalam tempikan takbir dan sorakan
kegembiraan, saya cuba menyelami bagaimana
agaknya perasaan teman-teman reformis
menikmati saat-saat indah itu. Mereka
– yang sebahagiannya tidak dikenali
dan menanggung derita sendiri –
lebih ‘memerlukannya!’ Saya
sekadar penonton satu episod menarik dalam
sejarah moden Malaysia.
Bara
Semangat
Banyak
yang berubah dalam tempoh enam tahun Anwar
terpenjara. Seperti katanya sendiri, puterinya
yang bongsu masih di tadika ketika beliau
ditahan, kini (Isnin, 6 September 2004)
menduduki peperiksaan UPSR; Nurul Izzah,
anak gadisnya sudahpun menjadi isteri
orang.
Namun
Anwar tetap Anwar. Bara semangatnya membakar
dan menjalar ke setiap ruang.
Walaupun
menanggung keperitan alang kepalang, Anwar
tetap ceria (dan sabar) menyantuni penyokongnya.
Dalam kesibukan, rupanya semua masih ada
masa untuk mengunjungi kediamannya, selepas
ramai dikecewakan kerana tidak sempat
berjabat salam dengannya di mahkamah,
tengahari Khamis yang keramat itu.
Segala
aktiviti lain seperti boleh dihentikan,
hanya untuk meraikan seorang Anwar.
“Tutup
saja bank tu,” usik seorang penyokong
PAS kepada kawannya, seorang pegawai tinggi
bank, melalui telefon, apabila dimaklumkan
dia tidak boleh ke Putrajaya kerana ada
tugasan penting, “hang mesti datang
meraikannya, di sini, ketika Anwar masih
di dalam mahkamah. Rasai dan nikmati sendiri,
ia tak sama dengan membaca akhbar esok
pagi atau menonton TV malam ini.”
Bukan
saja lanskap politik tanahair berubah
menjadi lebih menarik, dunia media yang
selama ini menggelapkan berita Anwar seakan
melatah, keluar dari pasungan (sekurang-kurangnya
selama tiga hari selepas beliau dibebaskan).
Saya
memilih berita NTV7 untuk mencari kelainan,
tetapi TV3 juga ‘berubah tabiat’.
The Star yang dikuasai MCA bermurah hati
menerbitkan edisi petangnya secara percuma,
‘semata-mata kerana pembebasan Anwar’.
Begitu juga dengan akhbar-akhbar Cina.
Pemikiran
Pak Lah
Lebih
ramai berminat meneliti corak pemberitaan
dan liputan kumpulan akhbar NST. “Apa
yang disuarakan akhbar itu dekat dengan
pemikiran Pak Lah,” kata seorang
editor kanan akhbar harian berpengaruh,
sambil memberi contoh bagaimana NST memilih
gambar Mahathir Mohamad yang ‘cukup
hodoh’ dalam edisi 3 September.
“Nama Mahathir kian buruk. Tidak
mustahil, selepas ini beliau terpaksa
turun padang. Baru seronok membaca politik
Malaysia.”
Ketua
Pengarang NST, ‘seorang dari 4K’
yang rapat dengan PM menulis: “Anwar
adalah ahli politik yang handal. Rakyat
Malaysia mengetahui hakikat itu sebelum
beliau dipecat dan ditangkap lagi. Dan
Anwar meneruskan perjuangannya di pentas
politik, walaupun ketika di mahkamah.
Memang mudah untuk bersimpati dengan Anwar.
Beliau muda, pandai berhujah, kacak, kelakar,
tahu apa yang patut diperkatakan depan
khalayak yang berbeza dan paling utama,
Anwar adalah simbol kejayaan.”
Akhbar
baru terbitan Utusan, Kosmo! memilih kenyataan
Anwar untuk bersama-sama pembangkang menghiasai
muka depannya. Semua itu merancakkan lagi
perdebatan tentang apa sebenarnya yang
berlaku di belakang tabir.
Rakyat
Malaysia yang didedahkan dengan ‘teori
konspirasi’ pada 1998 tidak lagi
mudah menerima sesuatu yang berlaku itu
seadanya. Masing-masing sudah bijak dengan
teori tersendiri!
“Aku
cuma mahu tengok lambaian tangan ajaibnya,
kalaupun wajahnya terselindung,”
kata seorang sahabat yang ‘seronok’
berasak-asak di tengah 10,000 khalayak
di KLIA, yang menghantar Anwar ke Jerman,
malam minggu lalu. Beliau melangkah dan
melatam kaunter tiket bagi mencari sudut
terbaik melihat wiranya itu, namun tetap
gagal.
KLIA
yang ribut
Penat
menunggu di satu lorong ribuan manusia
yang dijangka dilalui Anwar, tiba-tiba
bubar dan terpaksa berkejar di lorong
yang lain. Biar bagai bertempiaran untuk
melepaskan enam tahun kerinduan, masing-masing
tetap mempamerkan rasa riang. “Yang
pasti, sambutan rakyat di KLIA itu cukup
menggegarkan, saya sendiri terkejut. Elit
penguasa tidak lagi lena tidur,”
ujar aktivis PAS dari Pahang yang turut
terduduk keletihan selepas gagal bersalam
dengan Anwar.
Dalam
riuh-rendah, terlihat kelibat bekas pimpinan
KeADILan,yang bukan saja tidak lagi aktif
malah ada yang ‘sudah menyeberang’.
Wajah-wajah yang pernah memeriahkan perhimpunan
reformasi sekitar 1998-99 muncul kembali.
Lobi balai berlepas itu mempertemukan
semula penyokong Anwar dari pelbagai latarbelakang.
Sesekali kemarahan terhadap Mahathir dilampiaskan
bersama jeritan “hidup hidup, hidup
Anwar!”
Tidak
minat lagi dengan Anwar!
Saya
memilih satu sudut agak terasing melepaskan
lelah apabila kaki kanan mula perit dan
pedih. Mujur seorang kawan lama sudi menemani.
“Aku sebenarnya tidak lagi berminat
untuk mengikuti perkembangan Anwar selepas
ini,” katanya.
“Kenapa
pula?” Jawabnya, “Selama ini
pun, aku lebih melihatnya sebagai insan
yang dizalimi, bukan wira keadilan. Lega
bila namanya dibersihkan dan keluarganya
tidak menanggung tohmah lagi. Apa yang
mahu dilakukannya nanti, terserahlah kepadanya.”
“Mungkinkah
Anwar akan kembali kepada Umno?”
sengaja saya memancing pandangannya. “Selain
isu mata lebam dan kekuatan karismatiknya,
Anwar disegani kerana prinsip perjuangan.
Rakyat Malaysia cukup mengharapkannya
untuk melakukan perubahan. Ternyata Umno
bukan wadah reformasi. Tokoh sehebat mana
pun tidak dapat memulihkan Umno.”
Tambahnya,
kalaupun Anwar mahu ‘mengenang budi’
Pak Lah, beliau tentunya menginsafi dokongan
padu rakyat prihatin, aktivis reformasi,
NGOs dan parti-parti pembangkang terhadapnya
selama ini. Tembok penjara berjaya tidak
memisahkan mereka dengannya, walaupun
seketika.
Saya
turut bersetuju dengan pandangan bahawa
masa depan politik Anwar bukan saja ditentukan
olehnya sendiri ataupun diikat pandangan
pengikut setianya, tetapi juga oleh nurani
ikhlas rakyat Malaysia. Anwar tidak boleh
menghampakan, apatah lagi mengkesampingkan
suara hati mereka yang cukup mengimpikan
perubahan.
Susuk
PM
Umum
mengakui beliau sarat dengan ramuan perwatakan
seorang PM, sesuatu yang gagal ditemui
dalam susuk tubuh pimpinan pembangkang
lain, malah termasuk dalam diri Datuk
Seri Abdullah Badawi sendiri. “PM
bukan setakat nampak baik dan mesra rakyat,
tetapi mesti berketrampilan setanding
pemimpin besar dunia,” kata aktivis
Umno Selangor, yang berpendapat pembebasan
Umno menyesakkan nafas lapisan elit partinya.
“Kalau
benar Anwar tetap menjaga setiakawannya
dalam oposisi, pemimpin tertinggi Umno
seperti Najib sudah panas punggung,”
tambahnya. “Mahathir, Daim apatah
lagi. Mungkin Eric Chia boleh menjadi
gurubesar mereka dalam penjara nanti.”
Soksek
dalam Umno bertambah rancak, sehingga
menenggelamkan bahang pemilihan akhir
September ini. “Pimpinan atasan
marahkan Pak Lah bukan kerana bebaskan
Anwar tetapi kerana tidak mampu mempengaruhi
atau menekan hakim agar terus memenjarakannya,”
kata sumber dalaman Umno. “Satu
pandangan lagi menyatakan langkah itu
untuk menonjolkan imej PM sebagai tokoh
penyatu Melayu, di samping memperlahankan
kemaraan Najib untuk menghimpitnya.”
Apa
pun saya kira keputusan majoriti 2-1 Mahkamah
Persekutuan itu tidak semestinya bermakna
era gelap-gelita sistem kehakiman negara
sudah berakhir. Banyak lagi isu-isu asas
keadilan belum diselesaikan. Pemecatan
Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah
Agung pada 1998 (ekoran kes Umno 11),
juga pengakuan hakim petisyen pilihanraya,
Muhammad Kamil Awang tentang tekanan pihak
atasan terhadapnya dan hakim-hakim lain
di Sabah Sarawak, dan isu lawatan bekas
Ketua Hakim bersama peguam kroni hanya
merupakan antara insiden yang belum terungkap
bagi meleraikan kekusutan perjalanan proses
keadilan di negara ini.
Campurtangan
positif
Bagi
seorang peguam muda PAS, Hanipa Maidin,
beliau lebih suka melihatnya dari perspektif
lain: “Eksekutif dilihat campurtangan
ke atas badan kehakiman bila memenjarakan
Anwar. Tapi mungkin dalam pembebasan Anwar,
ia juga satu campurtangan … hanya
kali ini bersifat campurtangan positif.
Apakah ini boleh disifatkan satu perubahan
baik ke atas badan kehakiman?”
“Jauh
mengatasi segala teka-teki politik, pembebasan
Anwar itu,” tambah Hanipa, “dapat
menemukan antara suami dan isteri tersayang,
antara ayah dan anak-anak tercinta.”
Polemik
ini dijangka berterusan, dan dari segi
mana pun, ia membuatkan percaturan politik
yang selama ini muram dan kusam bertukar
menarik. Isu kerajaan alternatif yang
tenggelam selepas pilihanraya 1999 sudah
boleh dibicarakan semula.
Gelagat
kerajaan BN sedang diperhatikan bukan
oleh seorang bekas TPM tetapi oleh satu
institusi yang namanya tetap Anwar.
Secara
peribadi, pada hari hari Anwar dipecat
enam tahun dulu, saya seperti tidak berasa
apa-apa kejutan luarbiasa kerana sudah
menduganya (malah ada menganggap saya
antara seteru kuatnya!) . Namun, bila
dia dibebaskan, saya dapat menikmati dan
berkongsi satu rasa aneh yang cukup melegakan,
yang cukup kuat mendorong saya menulis
buku tentangnya.